Memaparkan catatan dengan label Selamat Hari Bapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selamat Hari Bapa. Papar semua catatan

Ahad, 20 Jun 2010

Satu Dua Tiga...Aku Sayang Semua

Enteri ini mencelah seketika, Mabul, Kapalai dan Semporna boleh tunggu dulu ya ;)

Sejak sekolah rendah, aku sering jadi bahan usik budak lelaki (Pak Wa dan Mat Zani). Dua orang ni memang sangat suka usik aku. Usiknya bukan sahaja pakai mulut, tetapi siap kaki dan tangan. Tak cukup tangan, aku balas dengan penyapu. Balik rumah, aku mengadu jugak dengan Mek, tapi mek kata “buat tak tahu je”. Bila ayah dengar, dia kata “lawanlah balik. Sepak!”

Sejak itu, aku jadi perempuan yang agresif. Bila kena usik sahaja, satu sekolah aku akan kejar mereka dengan penyapu. Dari tingkat paling atas, hinggalah ke padang sekolah. Bila masing-masing dah tua (ohhhh aku masih lagi 18 tahun 2 hari...) barulah aku tahu kenapa mereka suka buli aku...sebab akulah satu-satunya perempuan yang tidak menangis bila kena buli, tetapi balas balik dengan sepak terajang dan batang penyapu. Cabaran bagi dia orang kononnya. Bila ke sekolah menengah, sepak terajang itu aku masih bawa. Orang nak menguratpun takut. Takut kena terajang!

Ayah juga selalu sebut “Ayah tak ada harta nak bagi anak-anak, tapi...kalau nak belajar, ayah sanggup cari duit”. Hingga kini, aku masih lagi belajar walaupun dah tua bangka (oppsssssss aku masih lagi 18 tahun 2 hari...).

Ayah memang ayah yang sangat garang, maklumlah cikgu silat. Setiap katanya adalah arahan. Hukuman juga. Masa sekolah dahulu, anak-anak dia diharamkan bercinta, bercakap dengan lelakipun tak boleh. Kami hanya boleh belajar sahaja. Jadinya, kalaupun “dalam hati ada taman dipunyai sang monyet”, taman itu tandus. Hanya berani main mata sahaja tanpa suara, surat (tak boleh sms, FB, blog atau twitter lagi masa tu) atau berbual gatal belakang tandas sekolah. Ayah ada ramai spy, sorok macam manapun akan sampai juga ke telinganya. Jadi, taman bunga itu ketandusan. Sekarang garang dia dah banyak sangat kurang, itupun selepas dapat cucu. Namun, taman bunga tetap juga tak menguntum harum. Hanya bunga kertas sahaja yang kembang. Ada sesiapa berani jumpa dengan ayahku si tok guru silat itu? Hu hu hu

Sekalipun kehidupan kami serba serbi kurang berbanding orang lain, aku sangat beruntung punya seorang ayah yang sangat kerja keras walaupun hanya kerja bendang. Memang kena kerja keras. Pada musim menuai, kami semua akan ke bendang pada waktu malam ditemani lampu kalimantang dan bateri kereta untuk masukkan padi ke dalam guni. Cuaca tak panas waktu malam. Kami juga tak sekolah waktu malam, jadi dapat cepatkan sikit proses memasukkan padi ke dalam guni. Dahulu proses menuai padi tidak semudah pada hari ini. Jam tengah malam baru kami balik. Esoknya kena marah dengan cikgu sebab tak siap kerja rumah dan tertidur dalam kelas.

Bila musim bajak sawah pula, ayah akan ambil upah bajak sawah orang lain. Nak kejar keperluan orang, ayah perlu kerja dari pagi hingga tengah malam, adakalanya hingga pagi semula. Turunnya dari rumah seawal kami ke sekolah, baliknya jam 2-3 pagi. Dan aku, berjaga setiap malam untuk bukakan pintu bila ayah balik sebab terlalu kasihan dengan Mek yang terganggu tidurnya walhal dia juga penat di bendang pada siang hari. Aku tak belajar pun, hanya baca novel atau dengar radio buruk, tapi ayah selalu anggap aku tekun belajar. Oppsssss hingga kini hanya aku seorang je tahu hal ini, nasib baik tak kantoi kan. Kalau tak, mesti malu. Hingga kinipun dia masih ke bendang, kalau tak pergi akan jatuh sakit. Walaupun umurnya dah lebih 60 tahun, takat padi satu guni rami besar itu, senang je dia pikul. Ada berani bertanding dengan dia angkut padi?

Satu malam, kami ke rumah nenek dan balik dah tengah malam. Masa itu kami ada kereta bluebird buruk yang dah nak roboh, tetapi itu lebih baik dari tak ada kan? Masa itu jalan dah sangat sunyi. Orang kampungpun dah ramai tidur. Semua rumah dah gelap. Di pertengahan jalan, ayah berhentikan kereta di tengah-tengah jalan dan berpesan pada Mek “Apapun jadi, jangan turun!” Macam biasalah, itukan arahan. Ayah keluar dari kereta dan buka bonet. Dia keluarkan parang panjang. Rupa-rupanya, masa itu ada beberapa orang lelaki samseng kat belakang kereta kami (nampak samar-samar sahaja). Kami semua senyap dan ketakutan dalam kereta. Aku rasa nak terkencing masa itu juga (nasib baik sempat tahan). Nasib baik tak ada apa-apa yang berlaku. Bermula malam itu, aku mulai percaya yang ayah memang digeruni ramai orang kerana panas baran, berani dan ilmu silatnya. Patutpun tak ada orang berani kacau anak dia ni kan hu hu hu...jangan sengaja cari pasal!

Ayah tak pernah tahu apa itu Hari Bapa atau hari lahir yang perlu diraikan. Tidak pernah. Sama macam mek juga. Adik pernah telefon dan ucapkan “selamat hari Ibu” pada Mek, tapi mek tanya balik “Menatang apa tu?”. Bila adik terangkan, orang tua tu merungut...”wat habis bil je telefon aku nak ucap menatang tu”. Namun, aku menghargainya dengan cara ini setelah tiada daya lain lagi mampu kubuat saat ini untuk hargai ayah. Dia terlalu banyak mengajar aku tentang semangat, kerja keras dan perjuangan walaupun dia tidak pernah tuturkannya. Dia tak pernah mengeluh, namun aku tahu...dia telah lakukan apa yang terdaya untuk kami. Malah, dia telah lakukan apa yang orang lain tak mampu lakukanpun. Kalaulah ayah suka dengar lagu ni...rasa macam nak kongsi kemerduan lagu ni dengan dia (Woitttttt! Ayah aku dah jadi pak ajilah...mana boleh dengar lagu-lagu yang lalaikan jiwa...mmmmm nanti aku beli vcd plaayer untuk dia tengok ceramah agama ke, nasyid ke...bacaan ayat suci al-Qur’an ke, ganti yang dah rosak dulu tu, tak janji tahun bila mampu beli hu hu hu adoiiiii lah). Jommmmm layan lagu...


Bapa Nyanyian Sudirman Haji Arsyad

Bapa, lihatlah ladang kita
Terbentang luas subur dan menghijau
Tanah yang merdeka
Bapa, ini rumah kita
Pusaka peninggalan
untuk melindung keluarga yang merdeka
Bapa, yang hendak kukata
Pengorbananmu memberikan kami
Kelahiran yang merdeka
Terima kasihku, ganerasi baru



Selamat Hari Bapa kepada semua bapa dan bakal bapa di Malaysia. Jangan buang anak merata-rata ya...