Memaparkan catatan dengan label Ayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ayah. Papar semua catatan

Ahad, 20 Jun 2010

Satu Dua Tiga...Aku Sayang Semua

Enteri ini mencelah seketika, Mabul, Kapalai dan Semporna boleh tunggu dulu ya ;)

Sejak sekolah rendah, aku sering jadi bahan usik budak lelaki (Pak Wa dan Mat Zani). Dua orang ni memang sangat suka usik aku. Usiknya bukan sahaja pakai mulut, tetapi siap kaki dan tangan. Tak cukup tangan, aku balas dengan penyapu. Balik rumah, aku mengadu jugak dengan Mek, tapi mek kata “buat tak tahu je”. Bila ayah dengar, dia kata “lawanlah balik. Sepak!”

Sejak itu, aku jadi perempuan yang agresif. Bila kena usik sahaja, satu sekolah aku akan kejar mereka dengan penyapu. Dari tingkat paling atas, hinggalah ke padang sekolah. Bila masing-masing dah tua (ohhhh aku masih lagi 18 tahun 2 hari...) barulah aku tahu kenapa mereka suka buli aku...sebab akulah satu-satunya perempuan yang tidak menangis bila kena buli, tetapi balas balik dengan sepak terajang dan batang penyapu. Cabaran bagi dia orang kononnya. Bila ke sekolah menengah, sepak terajang itu aku masih bawa. Orang nak menguratpun takut. Takut kena terajang!

Ayah juga selalu sebut “Ayah tak ada harta nak bagi anak-anak, tapi...kalau nak belajar, ayah sanggup cari duit”. Hingga kini, aku masih lagi belajar walaupun dah tua bangka (oppsssssss aku masih lagi 18 tahun 2 hari...).

Ayah memang ayah yang sangat garang, maklumlah cikgu silat. Setiap katanya adalah arahan. Hukuman juga. Masa sekolah dahulu, anak-anak dia diharamkan bercinta, bercakap dengan lelakipun tak boleh. Kami hanya boleh belajar sahaja. Jadinya, kalaupun “dalam hati ada taman dipunyai sang monyet”, taman itu tandus. Hanya berani main mata sahaja tanpa suara, surat (tak boleh sms, FB, blog atau twitter lagi masa tu) atau berbual gatal belakang tandas sekolah. Ayah ada ramai spy, sorok macam manapun akan sampai juga ke telinganya. Jadi, taman bunga itu ketandusan. Sekarang garang dia dah banyak sangat kurang, itupun selepas dapat cucu. Namun, taman bunga tetap juga tak menguntum harum. Hanya bunga kertas sahaja yang kembang. Ada sesiapa berani jumpa dengan ayahku si tok guru silat itu? Hu hu hu

Sekalipun kehidupan kami serba serbi kurang berbanding orang lain, aku sangat beruntung punya seorang ayah yang sangat kerja keras walaupun hanya kerja bendang. Memang kena kerja keras. Pada musim menuai, kami semua akan ke bendang pada waktu malam ditemani lampu kalimantang dan bateri kereta untuk masukkan padi ke dalam guni. Cuaca tak panas waktu malam. Kami juga tak sekolah waktu malam, jadi dapat cepatkan sikit proses memasukkan padi ke dalam guni. Dahulu proses menuai padi tidak semudah pada hari ini. Jam tengah malam baru kami balik. Esoknya kena marah dengan cikgu sebab tak siap kerja rumah dan tertidur dalam kelas.

Bila musim bajak sawah pula, ayah akan ambil upah bajak sawah orang lain. Nak kejar keperluan orang, ayah perlu kerja dari pagi hingga tengah malam, adakalanya hingga pagi semula. Turunnya dari rumah seawal kami ke sekolah, baliknya jam 2-3 pagi. Dan aku, berjaga setiap malam untuk bukakan pintu bila ayah balik sebab terlalu kasihan dengan Mek yang terganggu tidurnya walhal dia juga penat di bendang pada siang hari. Aku tak belajar pun, hanya baca novel atau dengar radio buruk, tapi ayah selalu anggap aku tekun belajar. Oppsssss hingga kini hanya aku seorang je tahu hal ini, nasib baik tak kantoi kan. Kalau tak, mesti malu. Hingga kinipun dia masih ke bendang, kalau tak pergi akan jatuh sakit. Walaupun umurnya dah lebih 60 tahun, takat padi satu guni rami besar itu, senang je dia pikul. Ada berani bertanding dengan dia angkut padi?

Satu malam, kami ke rumah nenek dan balik dah tengah malam. Masa itu kami ada kereta bluebird buruk yang dah nak roboh, tetapi itu lebih baik dari tak ada kan? Masa itu jalan dah sangat sunyi. Orang kampungpun dah ramai tidur. Semua rumah dah gelap. Di pertengahan jalan, ayah berhentikan kereta di tengah-tengah jalan dan berpesan pada Mek “Apapun jadi, jangan turun!” Macam biasalah, itukan arahan. Ayah keluar dari kereta dan buka bonet. Dia keluarkan parang panjang. Rupa-rupanya, masa itu ada beberapa orang lelaki samseng kat belakang kereta kami (nampak samar-samar sahaja). Kami semua senyap dan ketakutan dalam kereta. Aku rasa nak terkencing masa itu juga (nasib baik sempat tahan). Nasib baik tak ada apa-apa yang berlaku. Bermula malam itu, aku mulai percaya yang ayah memang digeruni ramai orang kerana panas baran, berani dan ilmu silatnya. Patutpun tak ada orang berani kacau anak dia ni kan hu hu hu...jangan sengaja cari pasal!

Ayah tak pernah tahu apa itu Hari Bapa atau hari lahir yang perlu diraikan. Tidak pernah. Sama macam mek juga. Adik pernah telefon dan ucapkan “selamat hari Ibu” pada Mek, tapi mek tanya balik “Menatang apa tu?”. Bila adik terangkan, orang tua tu merungut...”wat habis bil je telefon aku nak ucap menatang tu”. Namun, aku menghargainya dengan cara ini setelah tiada daya lain lagi mampu kubuat saat ini untuk hargai ayah. Dia terlalu banyak mengajar aku tentang semangat, kerja keras dan perjuangan walaupun dia tidak pernah tuturkannya. Dia tak pernah mengeluh, namun aku tahu...dia telah lakukan apa yang terdaya untuk kami. Malah, dia telah lakukan apa yang orang lain tak mampu lakukanpun. Kalaulah ayah suka dengar lagu ni...rasa macam nak kongsi kemerduan lagu ni dengan dia (Woitttttt! Ayah aku dah jadi pak ajilah...mana boleh dengar lagu-lagu yang lalaikan jiwa...mmmmm nanti aku beli vcd plaayer untuk dia tengok ceramah agama ke, nasyid ke...bacaan ayat suci al-Qur’an ke, ganti yang dah rosak dulu tu, tak janji tahun bila mampu beli hu hu hu adoiiiii lah). Jommmmm layan lagu...


Bapa Nyanyian Sudirman Haji Arsyad

Bapa, lihatlah ladang kita
Terbentang luas subur dan menghijau
Tanah yang merdeka
Bapa, ini rumah kita
Pusaka peninggalan
untuk melindung keluarga yang merdeka
Bapa, yang hendak kukata
Pengorbananmu memberikan kami
Kelahiran yang merdeka
Terima kasihku, ganerasi baru



Selamat Hari Bapa kepada semua bapa dan bakal bapa di Malaysia. Jangan buang anak merata-rata ya...

Selasa, 14 Julai 2009

Menganyam Kenangan

Sambung cerita masa balik kampung dulu...

Masa tengah syok lepak kat ruang tamu, adik bongsu beritahu Mak Teh datang. Mintak aku pujuk nenek masuk rumah. Tak sedarpun bila masanya mereka sampai sebab mereka masuk melalui pintu dapur. Biasanya keluarga rapat kami akan masuk melalui pintu dapur. Kerja ubahsuai rumah yang ambil masa terlalu lama (lebih 4 tahun. Sekarangpun masih belum siap sepenuhnya) buat kami lebih selesa lepak melalui pintu dapur sahaja. Pintu depan jarang benar dibuka.

Kata ayah, nenek tak mahu masuk. Tengah panas buta tu, dia sanggup duduk dalam kereta. Kononnya dia tak kenal tuan rumah. Sebelum ini orang tua itu pura-pura nyanyuk. Kini, aku sendiri tidak tahu dia masih pura-pura atau memang dah betul-betul nyanyuk. Yang nyata, dia kenal sesiapa sahaja yang berikan “sesuatu” padanya. Itupun ikut mood dia. Kalau yang datang sekadar jenguk dan bawakan biskut kering atau kuih muih je, mmmm tak kenallah jawabnya. Nak dia kenal kena hulurkan kain baju ke, wang ringgit ke...hu hu hu. Apa-apa ajelah labu! Jangan aku terikut peel itu, sudahlah!

Adik pergi pujuk, tapi dia tetap tak nak masuk juga. Bila aku pergi pujuk, macam-macam alasan dia beri. Tak kenal tuan rumahlah. Malulah. Kaki sakit, tak larat nak jalanlah. Akhirnya dia turun juga bila aku kata dia ada tongkat. Rasanya dia dah habis alasan dah, sebab tu terpaksa turun. Dan aku pula, cakap terpekik-pekik hingga semua orang dengar. Kalau cakap perlahan, dia tak dengar pulak. Memanglah nampak tak sopanpun, tapi kalau cakap perlahan...lain yang kita tanya, lain pulak dijawabnya.

Dah masuk rumah, dia tak kenal sesiapapun dalam rumah tu. Katanyalah. Kakak ipar memang buat dak je, sebab memang dah biasa sangat dia pura-pura tak kenal sebelum ni. Dah fed-up nak melayan. Bila dah hidang milo panas dengan roti, nenek kata “Mujur naik, boleh minum air...ada roti juga,”

Mak Teh ketawa tak hengat donia. Berlambak-lambak gelak dia. Bercampur pulak dengan ketawa menantunya, ayah dan adik bongsu aku. Nenek kata dia dah kenyang. Baru je makan durian yang Pak Muda beli. Seulas je pun dia makan.

Kebetulan abang ipar ada bawa balik durian. Masih ada lagi sebiji. Terus je ayah suruh adik bawa depan nenek. Nenek kata dia masih kenyang lagi. Jadinya, ayah kata bawa balik saja. Sekali lagi nenek beritahu tentang “mujur” dia masuk tu. Bila ayah hulur RM10, lagi sekali “mujur” dia diluahkan.
“Mujur naik tadi...buleh minum, makan roti...bawak balik durian. Buleh duit lagi,” ungkit Mak Teh. Tak tahulah menyakat atau perli. Mak Teh memang begitu sejak dahulu, namun aku memang tahu hatinya benar-benar baik. Tak ada phD pun (perasaan hasad dengki) berbanding beberapa orang mak sedara dan pak sedara yang lain. Mungkin dia tak kaya berbanding mak cik dan pak cik lain.

Bila aku mintak dia tinggal saja dengan kami, nenek menolak. Dia dah janji dengan Mak Teh, katanya. Macam biasalah, Mak Teh akan sakat dia.
“Nanti nak mari dak sini?” tanya Mak Teh sambil gelak-gelak dan pandang ayah.
“Ada orang ambik, kita marilah,” jawab nenek.

Nenek tidak lagi mahu datang rumah kami sejak dia tuduh ayah ambil duit simpanannya awal tahun dulu. Mek melenting sangat-sangat (sejak muda nenek tidak pernah satu kepala dengan Mek, walaupun tidaklah perang. Namun itulah pertama kali aku tengok Mek memang bengang sangat-sangat dengan nenek). Apa tak bengangnya, bila orang tua tu tuduh laki dia (ayah aku lah tu. Padahal ayah aku tu kan anak dia...pelik betul aku!) curi duit yang entah berapa je nilainya. Tak sampai dua ratus pun. Duit itu sebenarnya nenek dah serah pada Mak Cik yang datang menziarah sehari sebelum itu.

“Laki mu tu curi duit aku, sebab tu dia kaya,” ayat tu buatkan Mek benar-benar melenting. Macam kena gigit semut api kat bontot. Sejak itu, Mek buat tak tahu saja dengan orang tua tu walaupun selama ini aku sangat tahu dia terlalu ambil berat. Sepanjang aku jadi cucu dia, tak pernah sekalipun Mek katakan sesuatu yang tak baik pasal nenek kepada kami, padahal kami memang nampak pun apa yang nenek buat. Dia tetap juga mintak kami melawat orang tua itu setiap kali kami balik kampung. Dia tetap nak kami hormatkan orang tua tu. Dan kami pula, lakukan semua perkara yang Mek mintak sebab dia, bukannya atas kehendak kami sendiri. Aku memang kagum dengan Mek kerana itu. Aku pun tak boleh buat macam Mek. Tahu kenapa? Karang aku cepat aje menjawab! Kalau mulut aku ni menjawab, pedas pulak sampai ke telinga hu hu hu.

Mek bukanlah menantu pilihan nenek, tetapi menantu kesayangan arwah Tok Ayah. Bila arwah Tok Ayah dah tak ada, sikapnya itu lebih menjadi-jadi. Tapi Mek tetap macam itu juga. Tak tahulah sama ada dia buat-buat tak tahu, ataupun memang dia hormatkan orang tua itu. Hanya selepas peristiwa itu, kami tidak lagi dipaksa untuk menziarahi orang tua itu lagi setiap kali balik ke kampung. Sebut pun tak. Dan kami pula, hanya diamkan sahaja walaupun memang nak tahu apa ceritanya yang berlaku. Satu caranya, tanya kakak ipar. Kakak iparku itu memang dah terkenal jadi tukang gosipnya mengalahkan mami jarum. Semua cerita ada dalam tangannya. Tanya saja, semua perkara boleh kami tahu. Dari cerita kakak ipar itulah kami mula menyedari yang Mek memang benar-benar terluka.

Aku tak salahkan Mek. Dia memang dah terlalu lama bersabar. Patutnya sejak dulu lagi dia terasa macam tu. Sejak berkahwin hingga dah ada cucu berbelas orang, baru kini Mek meletup? Dan letupnya itu tanpa suarapun. Hanya diam. Aku akui, kalau aku berada di tempat Mek, aku memang tak mampu untuk sabar seperti itu. Selama itu pula. Hampir 50 tahun. Wow! Tabek springlah! Kalau aku...setahu dua je. Lebih dari tu...pegi mampuslah!

Banyak yang aku saksikan dengan mata kepala aku sendiri, tak ada siapa yang pengaruhipun. Namun, Mek hanya kata “Orang tua macam tu lah...dia tetap mak (kepada) ayah jugak. Kena hormat,”

Apa yang kami buat untuk nenek sebenarnya sebab Mek. Sebab tak mahu Mek anggap kami ni cucu yang kurang ajar atau kurang apa-apalah yang sewaktu dengannya walaupun kami sedar orang tua itu pandai terima kami sejak masing-masing dah kerja. Dah mampu hulur duit tiap kali melawatnya. Sebelum itu, apa yang tak pernah kami terima darinya? Ada kala aku pun tak faham, adakah betul kami adik beradik ni cucu dia? Betul ke ayah tu anak dia? Namun penerimaannya terhadap kami berubah bila taraf hidup kami juga berubah. Hanya kerana itu?

Kini nenek gelar ayah “Orang Kaya”. (Macamlah kami ni betul-betul kaya. Entah kenapa mulutnya tak masin...kalau masin kan best, boleh juga aku berlagak jadi “anak orang kaya”). “Orang Kaya” itu kami sebut-sebut selalu depannya. Dia juga sebarkan kepada setiap orang yang berjumpa dengannya tentang “kekayaan” kami. Kami tak kesahpun tentang itu kerana semua orang memang dah tahu tentang “pura-pura nyanyuknya” itu.

Mek terkejut bila aku beritahu kedatangan nenek itu (masa nenek datang Mek pergi kenduri). Aku sendiri tidak pasti adakah nanti nenek memang benar-benar akan datang ke rumah kami seperti dahulu setelah apa yang berlaku. Lagi aku tak tahu, adakah Mek seikhlas dulu melayan kerenah nyanyuk orang tua itu yang sebenarnya pura-pura nyanyuk itu?

“Wa nak buat gapo duit banyak-banyak?” aku pernah tanya nenek begitu.
“Nak simpanlah,”
“Simpan buat apa? Dah mati bukan boleh guna lagi...rugi je,” provoke ku. Jahat kan aku? Saje je nak naikkan darah dia.
“Nak simpan buat tahlil, buat sedekah... bila mati nanti,” beritahunya. Entah dari mana dia dapat idea tu.
“Kalau dah mati, mana kita tahu orang buat apa dengan duit tu...kalau dia orang ambil je buat joli, tak buat tahlil pun, Wa nak buat apa? Bukannya boleh jadi hantu...dah mati, terima sajalah apa orang buat,”

Lama dia terdiam. Terkelip-kelip tak kata apa-apa.
“Tak boleh macam tu. Kalau duit tu taruh untuk buat tahlil, kena buat. Berdosa...” katanya lambat-lambat.
“Dah nampak duit, mana nak ingat dosa pun...kalau nak sedekah, sedekahlah masa hidup. Buat apa nak tunggu mati dulu?” Aku memang tahupun dia bengang dengan soalan aku tu. Dia kan mata duitan, jadi aku memang suka sangat sekat anginnya yang satu tu.

Bila dia terdiam tak kata apa, aku timbulkan pula pasal kenduri arwah dan tahlil tu.
“Bila kita mati, duit tu dah jadi harta anak yatim. Mana boleh sedekah lagi,” kataku.
“Habis tu, tak boleh buat tahlil lah? Tak boleh sedekah?”
“Dah jadi harta anak yatim, kena tanya anak yatim tu lah boleh buat ke tidak. Kalau buat juga tapi anak yatim tu tak setuju, mana boleh. Mana boleh guna duit anak yatim, besar dosanya...” terangku.
“Habis tu, duit tu kira macam mana?”
“Terpulang kat warislah nak buat apa...kalau semua sepakat tak nak buat tahlil, tak bolehlah guna untuk tahlil,”

Dia diam lagi. Lama juga diamnya itu.
“Dalam Islam mana ada suruh buat tahlil,”
“Kalau tak buat tahlil, buat macam mana?”
“Tanam je...lepas tu balik je lah,”
“Habis tu, sapa nak doa?”
“Nak suruh sapa doa? Doalah sendiri masa hidup...orang yang datang tahlil tu pun belum tentu lagi ikhlas nak doa kita. Datang tahlil tu pun kena bayar, kena jamu makan lagi...bukannya ikhlas kalau macam tu. Baca doa pun nak kena bayar...”

Selepas aku bagi ceramah percuma itu, dia telah pesan kepada semua orang, bila dia mati nanti, upah orang untuk bacakan doa untuk dia. Buat kenduri tahlil. Risau benar dia kalau anak cucunya tanam jenazah dia tanpa buat apa-apa tahlil dan upacara doa.

Orang kata, berdoalah untuk panjang umur. Bagi aku, aku sentiasa berdoa untuk mati muda. Masa umur 45 tahun. Mati ketika tenaga masih ada dan tidak harapkan orang lain untuk teruskan kehidupan. Mati tanpa menyusahkan orang lain. Boleh macam tu?