Jumaat, 12 Ogos 2011

Sumbangan Ramadhan untuk Anak Yatim

Ini adalah entri kitar semula yang pernah aku tulis Anda Prihatin? pada 29 Januari 2009. 

Sempena Ramadhan yang mulia dan Hari Jumaat yang diberkati, barangkali ramai dikalangan anda sedang mencari golongan tertentu seperti anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan untuk memberi sumbangan. Saya kitar semula entri ini bagi membantu anda menyalurkan sumbangan berkenaan. Untuk pengetahuan anda, tidak ada ahli keluarga kami atau anak-anak dan balu ini tahu yang aku tampal kisah ini di blog. Mereka (balu dan anak-anak yatim ini) tidak pernah meminta sesenpun bantuan dari kami, malah menerima semua takdir ini seadanya. Itu yang buatkan air mata kami berjuraian. Dia tak minta, tapi kami tahu mereka sangat-sangat memerlukannya. 

Kami sekeluarga hanya mampu menolong setakat yang mampu, selain mendapat bantuan juga daripada orang tertentu yang iklas membantu (dengan cara bank in dalam akaun mereka) tanpa mereka sekeluarga mengetahuinya pun (bukankah bila tangan kanan memberi, sebaiknya tangan kiri tidak mengetahui?). Kebanyakan penderma ini biasanya orang yang membayar zakat (tanpa mahukan resit dunia untuk klaim semula dari cukai pendapatan). 

Berikut adalah entri lepas tentang cerita ini yang aku tampal semula di sini; 

Kiranya anda seorang yang prihatin, bacalah satu kisah duka yang memerlukan bantuan semua. Pada 2 Januari 2009 yang lepas, aku menerima SMS mengkhabarkan seorang sepupuku (usia awal 40-an) telah dipanggil Ilahi dalam satu kemalangan di Jalan Gua Musang-Lipis. Saat itu, yang menjelma di ruang mata hanyalah nasib anak-anaknya (6 orang). 

Isterinya surirumah sepenuh masa. Tidak pernah berkerjapun sejak berkahwin. Hanya menjaga anak-anak dan keperluan rumah tangga. Anak keduanya belajar di Sekolah Menengah Sains, Machang. Untuk seorang anak kampung yang dikelilingi dengan suasana belajar yang tak seberapa, melangkah ke sekolah sains adalah sesuatu yang membangggakan. 

Setelah ketiadaan sepupuku itu, aku sendiri tidak tahu bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan dengan cabaran dunia hari ini. Anak-anak ada 6 orang yang semuanya masih kecil. Aku risaukan persekolahan mereka akan terjejas, terutama anak sulungnya itu. Dia punya harapan untuk maju dan meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga nanti. 

Kami, saudara maranya yang terdekat hanya mampu hulurkan sedikit bantuan. Namun, aku cukup pasti yang ianya masih tidak begitu cukup meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung. Mereka bukan sahaja hilang ketua keluarga yang menjadi tonggak rezeki, malah hilang terus punca pendapatan. Kalaupun isteri arwah cuba mencari pekerjaan, dengan anak-anak yang masih kecil serta memerlukan jagaan, kelulusan yang tidak seberapa dan peluang pekerjaan yang agak terbatas dek kegawatan ekonomi, memang amat sukar untuknya. 

Kiranya anda seorang yang prihatin dan bersedia untuk membantu anak-anak yatim ini, berikut adalah nombor akaun yang boleh disalurkan bantuan itu; 

Nama: Mohamad Hasyir Ashfal bin Hapani & Normain Bt. Omar (akaun bersama dengan anak bongsu) 

No. Akaun: 03-072-02-087969-6 Bank Islam. 

Aku faham kiranya ada yang akan melambat-lambatkan sumbangan tersebut kerana bank yang digunakan. Aku juga begitu. Sering tertangguh. Kalau Maybank atau CIMB, lebih mudah bagi kita. Sambil uruskan bayaran bil atau hal-hal boleh bank in sama untuk ini. Bila pergi ke bank semata-mata untuk ini, acap kali benar tertangguh. Mereka tidak pernah tahu yang kisah mereka itu aku masukkan ke dalam blog ini. Mereka pun tidak pernah tahu blog itu apa. Tidak ada ahli keluarga kami yang tahu aku tampal kisah ini di sini. Semua ini aku lakukan dengan niat untuk membantu mereka. Manalah tahu, ada hamba Allah yang tulus ikhlas mahu membantu kesinambungan kehidupan anak-anak yatim ini. 

Kalau boleh aku tak mahu anak-anak itu keciciran pendidikan mereka. Kalau boleh aku tak mahu isteri arwah tertekan dengan kehilangan berkenaan hingga abaikan persekolahan anak-anak hanya kerana masalah kewangan. Kalau boleh juga, aku tak mahu anak-anak itu terpisah kerana terpaksa diserahkan kepada orang lain (walaupun saudara mara kami juga) kerana anak-anak itu perlukan kasih sayang seorang ibu. Setelah hilang seorang ayah, amat malang bagi mereka andai dipisahkan sebegitu pula. 

Marilah kita tingkatkan cinta kasih kepada fakir miskin dan yatim piatu. Insya Allah kelak di akhirat kita dikumpulkan bersama orang-orang yang mengasihi fakir miskin dan yatim piatu serta menjadi satu gerbong kebajikan bersama Rasulullah Muhammad SAW beserta orang-orang shalih, seperti firman Allah yang bermaksud; 

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya, orang-orang yang berbuat riya dan enggan (menolong dengan) barang berguna”. (Al-Qur’an, surah Al Maa’un: 1-7): terjemahan Indonesia. 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 
[1] Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
[2] Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, 
[3] Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. 
[4] (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; 
[5] (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; 
[6] (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),
[7] Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). (Al-Qur’an, surah Al Maa’un: 1-7) 
Terjemahan Malaysia di http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?nType=1&nSeg=0&l=eng&nSora=107&nAya=1&t=mal

Bagi anda yang prihatin dan ikhlas ingin membantu, saya (kena sopan sikit) mewakili keluarga tersebut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Hanya Allah sahaja yang akan membalas kesediaan dan keikhlasan semua. Moga anda diberkati kehidupan di dunia dan akhirat. Aminn. 


Entri ini tiada niat untuk memaksa anda berbuat kebaikan kerana aku sendiripun tidak akan tahu anda membantu mereka atau tidak sebab semua orang mengadap mesin ATM sahaja untuk memberi. Aku secara personal lebih suka cara ini berbanding hlurkan secara terbuka. Sebabnya mudah sahaja: berapa banyak yang kita ikhlas nak beri, sebanyak itulah yang kita beri tanpa rasa bersalah dengan Peminta Sedekah yang Demand. 

Mereka memang tidak pernah meminta. Tidak ada sepatah perkataanpun keluar dari mulut Kak Nor untuk memohon apa-apa bantuan daripada kami. Dia sentiasa sahaja redha dengan setiap apa yang berlaku dan bakal ditempuhinya. Namun, bahu kami yang terasa senget dan berat dek kebisuannya itu sebab kami tahu sangat sukar untuk dia menempuh hari-harinya seorang diri. Dengan kehidupan serba kekurangan pula. 

InsyaAllah, balik raya nanti aku akan tanyakan khabar mereka sekeluarga setelah lebih 3 tahun arwah tiada. Semoga mereka lebih GAGAH dan kental meneruskan kehidupan.

Tiada ulasan: