Isnin, 6 Disember 2010

Cara Kawal Marah


Aku telah ditakdirkan lahir dari keturunan yang panas baran. Pemarah. Tak takut orang. Degil. Keras kepala. Pongah. Bengkeng. Gedebe. Agaknyalah, tak ada siapa pernah istiharkan semua itu. Ayahku baran, begitu juga arwah datuk. Menurut arwah datuk, moyangku juga begitu. Semuanya darah pendekar. Dan darah itu mengalir dalam tulang belulangku.

Bangga ada juga, rendah diripun ada. Bangga sebab tak pernah rasa takut kepada manusiapun. Rendah diri sebab adakala tahap panas baran tu buatkan orang tak selesa terutama bila “akalku hilang” sedetik dua bila setan berjaya hasut di telinga. Bila sedar khilafnya diri, mmm memang ada rasa menyesal, namun orang kata terlajak kata memang tak boleh nak delate balik. Hanya, berusaha baiki diri pada masa hadapan.

Kalau ikutkan, panas baranku ini dah banyak kurang berbanding masa belajar dahulu. Maklumlah, darah panas...setan cucuk sikit je dah latah. Lelakipun aku bantai, tak ada rasa gerun atau takutpun. Bila umur dah bertambah macam sekarang ni (tetap 18 tahun 2 hari sejak beberapa tahun lepas), sedikit sebanyak dah berjaya kawal diri dari marah hinggakan ada pula orang sakit hati dengan aku yang lebih banyak mengalah, menyerah dan buat tak kesah walaupun jelas sekali bukan aku yang salah. Mereka tak suka aku dibuli. Sedangkan, sebenarnya sangat sukar untuk jadi tak peduli sebegitu. Perlukan latihan yang berpanjangan.

Bukan mudah untuk belajar jadi penyabar, menerima seadanya dengan seisi kehidupan dan bertolak ansur walaupun orang lain yang salah. Ambil masa juga. walaupun begitu, aku lakukan beberapa perkara secara berterusan. Berikut aku nyatakan bagaimana cara untuk kawal kemarahan bagi orang yang baran macam aku. Mana tahu, ada manfaat untuk anda;

1. Perlu sedar sebenarnya “Tak cun pun bila marah”
Ada tak sesiapa yang bertambah jelita dan rupawan ketika marah? Maklumlah, kalau dah marah tu...kulit hitam berukar merah, mata sepet boleh jadi bulat (belum termasuk warnanya yang juga jadi merah menyala...tak ubah macam Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam), hidung gelap pun nampak cerah, pipi suram tiba-tiba sahaja bertukar merah jambu. Cantik kan?

Setiap kali marah, ingatlah bahawa kita memang tak cun bila marah sebegitu. Kalau kulit gelap gelita macam akupun boleh nampak kesan perubahan warnanya, campur pula dengan biji mata yang tajam, bulat dan bersinar-sinar renung orang macam nak telan (errrr...bayangkan je kalau Mr. Bean yang marah hu hu hu), hidung jadi pink kat atas puncak tu sejemput sahaja, kening pula bergerak-gerak dah jadi macam kening Ziana Zain...adakah wajah kita yang serba kekurangan itu akan terlihat rupawan dan jelita?

Setiap kali marah, setiap kali nak jerkah orang, setiap kali nak naik angin...ataupun dah ternaik angin sikit, cuba-cubalah bawa bertenang dan ingati bahawa “memang tak cun pun bila marah”. Bila dah ingat begitu, cubalah langkah seterusnya ini...

2. Istifar, kemudian tarik nafas
Dah sedarkan “tak cun kalau marah”? Istifarlah. Ingat bahawa syaitan cukup suka bila kita marah. Iblis akan ketawa tergolek-golek kerana berjaya buatkan kita naik angin. Bila kita dah istifar, dah sebut nama Allah, dah minta “dijauhkan dari syaitan yang direjam”, gelak iblis dan setan itu akan terhenti tiba-tiba. Tak sempat habis depa tu dok nganga gelakkan kita. Tetiba je dia tarik muka masam dan menraung-raung kesedihan sambil menjerit “Hampeh! Ingatkan dah boleh gelak!” hu hu hu

Tarik nafas panjang-panjang. Penuhkan oksigen dalam ruang dada dan kosongkan fikiran seketika. Sekurang-kurangnya tiga saat. Oksigen yang mengalir ke sel-sel dalam otak dengan kapasiti yang cukup akan buatkan anda lebih rasional. Jadinya, tak mustahil anda kemudiannya mampu untuk tersenyum ketika ini walaupun wap marah tu masih lagi bersisa. Orang yang tak berapa nak baran dah boleh atasi marah pada tahap ini. Namun, kalau jenis baran tu melampau-lampau...anda masih lagi perlukan langkah seterusnya.

3. Tahan nafas seketika di dada sebelum lepaskannya
Dah tarik nafas panjang-panjang kan? Ok, sekarang tahan seketika nafas kat dada. Beberapa saat pun dah ok tetapi kalau boleh buat lebih lama, lagi baik. Janganlah pula tahan sampai anda pula habis nafas. Kang tak pasal-pasal kena telefon ambulan pulak. Tahan takat 10 -15 detik (ikut kemampuan) pun dah cukup.
Tarik nafas, tahan seketika dan hembus nafas ini dilakukan secara berulang-ulang hingga anda dapat rasakan panas hati, marah, geram atau panas dada tu dah habis. Paling kurang dah semakin berkurang berbanding sebelumnya.

4. Ubah cara duduk
Andai saat itu anda sedang berdiri, bila dah sedar sedang marah, maka duduklah. Kalau tengah bercekak pinggang, luruskan tangan anda. Kalau tengah duduk, baringlah kalau rasa sesuai. Namun, kalau dikhalayak ramai, tak payahlah baring pula ya. Kang tak pepasal datang cop mohor baru pulak....opsssss! apa lagi kalau bukan terbakar fius hu hu hu

5. Beredar dari tempat itu dan buat sesuatu yang boleh kurangkan marah seperti makan aiskrim. Jangan shooping pula ya, karang papa kedana nanti. Makan tu pula, janganlah sampai ikut perasaan. Habis sebaldi aiskrim telan...itu bukan makan namanya. Itu dah sampai tahap mentekedarah!

Nak makan pun kena pilih juga. pilihlah benda-benda yang sejuk macam aiskrim. Macam ABC ke, cheese kek ke, coklat ke, atau yang manis macam bubur, macam pengat ke, ...ohhhh yummy! Jangan pula pilih makanan yang berjenis panas dan pedas. Karang makin bertambah meningkat pula suhu badan.

Makan sampai kenyang sudahlah ya...berhenti bila dah sendawa dua kali. Jangan terlalu ikutkan hasutan iblis, makan sampai tersadai tak boleh bangun. Itu bukan ubat, itu dah tambah penyakit. Kalaupun nak lepaskan gerampun, berpada-padalah. Masa nak makan tu pun, silalah makan dengan doa ya...baca Bismillah. Mulakan dengan nama Allah, barulah setan tak ikut makan sama dengan kita.

6. Ambil wuduk, baca al-qur’an
Dah makan satu baldi aiskrim pun masih lagi belum hilang hangat hati? Ambillah wuduk. Moga-moga siraman air wuduk mampu sejukkan hati, bukan sahaja kulit. Dah ambil wuduk tu, akan lebih baik kalau baca al-Qur’an. Biasanya aku suka baca surah yassin. Marah orang ke, tengah sedih ke, tengah geram ke...tak ada semangat ke...baca yassin boleh ubat hati aku ni. Nak nangis sambil baca yassin pun ok aje...kalau orang tanya nape nangis, selain jawab “tengah cuci mata” bolehlah juga bagi alasan ingat kat orang yang dah pergi, walaupun sebenarnya tengah rawat hati sendiri.

7. Mandi
Andai hati masih lagi belum sejuk dengan wuduk, dengan baca al-Qur’an...campur juga dengan bazir air mata secupak dua bila menangis tu, pergilah mandi. Mandilah lama-lama sikit. Habiskan air sekolah dua. Sambil mandi tu bolehlah sental bilik air sampai kilat. Maklumlah masa tu tengah geram, jadi bila sental tu...sehabis upaya tenaga kita guna. Dah sental bilik air, sambung pula dengan basuh baju dua tiga baldi. manual punya!

Aku pernah sental bilik air jam 2 pagi dan basuh baju entah berapa besen hanya sebab tersangat kecewa, marah dan sakit hati dengan komputer yang telah TELAN semua kerja aku selama setahun. Banyak woooooo fail-fail yang hilang tu, dah lah nak kena hantar cepat, semuanya habis dan lenyap begitu sahaja. Pada masa itu aku merempat kat rumah kakak. Abang ipar hanya komen “Baguslah! Marah selalu pun tak apa”
Cissss! Murka betul beta bila tahu hal itu. Huihhhh ada ka patut. Tau la masa tu kami tak mampu nak beli mesin basuh, usahlah dera daku sebegitu sekali. Macam bawang putih lak aku kena dera hu hu hu

8. Tidur
Wuduk dah ambil, al-Qur’an dah baca, mandi pun sudah...andai masih lagi belum reda rasa marah itu, pergilah tidur. Kalau ada penghawa dingin, pasang dengan suhu paling rendah. Baring dengan tenang dan tutup mata perlahan. Cubalah untuk tidur walaupun akhirnya hanya memaksa diri sahaja. Kalau berjaya tidur, bila bangun nanti...fikiran akan lebih tenang. Lebih segar. Agaknya bantal dah serap hawa panas marah kat dalam dada tu kot hu hu hu

Bab tidur ni, amat jarang-jarang untuk aku paksakan diri kerana kebiasaannya aku memang tak cukup tidur. Asal jumpa bantal sahaja, terus hilang dan ghaib ke alam baQa...alahai! Jadinya, sebelum tidur tu, kenalah baca doa tidur dulu...baca ayat-ayat yang patut sekurang-kurangnya 3 Qul.

9. Elakkan daripada jumpa punca kemarahan itu sehingga fikiran waras semula.
Selagi belum bersedia untuk bersemuka dengan punca kemarahan itu, usahlah cuba untuk bertembung. Sedapatnya, cubalah elakkan. Orang kata, undur bukan bermakna kalah...hanya susun strategi. Mmmmmm macam nak pergi perang pulak!
Namun, bila aku dah benar-benar bersedia, raksasa pun sanggup didepani hu hu hu apalah sangat takat ular sawa si anakonda. Namun, pada saat itu, sudah semestinya kepala dan fikiran kita dah waras. Dah boleh dikawal. Kita tidak lagi akan dikuasai emosi dan syaitan.

Selepas lakukan 9 langkah ini, kiranya anda masih lagi belum waras, maknanya memang bapak kepada bapak iblis sedang bertapa dalam dada anda. Sila mandi bunga campuran air bacaan yassin setempayan ya...Ish! ish! Ish! Kebal benarlah pulak setan tu! Sila cari jalan untuk halaunya dari bertenggek dalam aliran darah anda. Serius, aku tak tipu!

Kalau aku, biasanya tahap 5 dah ok. Kalau belum ok lagi bermakna...masa tu tengah meroyan salah makan ubat batuk hu hu hu. Walaupun hanya sampai tahap 5 sahaja, namun langkah terakhir itu tetap aku amalkan. Selagi aku belum bersedia untuk bertembung dengan punca kemarahan itu, usahlah cuba-cuba untuk kail angin aku ni ya. Kelak, tiba saat aku dah bersedia ...fuyoooo, bapak kepada anakonda pun aku belasah tak henggat donia. Jadinya, kalau aku yang baran dari entah berapa keturunan ini pun boleh kontrol, tak kan anda tak boleh.

Cer dengar apa nasihat Ustaz Kazim Elias bab marah ni...



Sungguh tak comel bila marah. Cik Bintang selalu nampak aku marah, jadi dia lebih tahu betapa rupawan dan jelitanya aku kalau marah ;)


PssssssT: Selamat menyambut kehadiran tahun baru Hijrah. Selamat Hari Muharam untuk semua…jom makan cheese kek beramai-ramai!

Aku Dah Rapunzel, Kalian Bila Lagi?

Macam mana rupanya kalau anda punya rambut yang panjang? Paling panjang aku pernah ada rambutpun hanya hingga lepasi punggung sahaja. Kalau duduk memang cecah lantai. Simpan untuk 3 tahun boleh dapat sepanjang itu. Sekarang? Dah pendek hu hu hu!


Hari ni aku berkesempatan menonton Rapunzel. Beginilah sinopsisnya;

Sinopsis Rapunzel

Sepasang suami sangat gembira apabila isterinya hamil. Si isteri mengidam nak makan salad, jadi si suami masuk ke hutan untuk mencari salad tersebut. Malangnya salad berkenaan kepunyaan ahli sihir bernama Nyisari (Dah namapun ahli sihir,m memanglah jahat kan hu h uhu mana ada ahli sihir baik). Si suami dibenarkan mengambil salad berkenaan dengan syarat mereka perlu serahkan bayinya setelah lahir nanti. Si suami tiada pilihan lain, dia bersetuju.

Si suami cuba melarikan diri dari kampung tetapi mereka dihalang oleh si ahli sihir Nyisari. Dia telah menyihirkan rantai kepada kedua suami isteri itu; sekiranya mereka cuba lari lagi, rantai itu akan mencekik mereka. Apabila anak itu lahir, Nyisari telah datang mengambilnya.

18 tahun kemudian, anak itu telah besar dalam jagaan Nyisari dan diberi nama Rapunzel. Rapunzel tidak dibenarkan keluar rumah atau bermain di halaman, apalagi bergaul dengan anak-anak yang lain oleh ibu sihirnya (betul ke panggilan begitu? Hu hu hu). Semasa ibunya tiada di rumah, dia telah curi-curi keluar untuk bermain dengan anak gadis yang lain tetapi setelah mereka mengetahui siapa sebenarnya Rapunzel, mereka semua lari ketakutan (kan semua orang takut dengan ahli sihir). Ini menyebabkan dia menangis kesedihan.

Tangisan itu didengari oleh ibu bapa kandungnya. Mereka sempat menceritakan apa sebenarnya yang berlaku sebelum si mak sihir tiba-tiba muncul di situ (best betul jadi ahli sihir ni, boleh muncul mana-mana pun). Rapunzel kemudiannya dikurung dalam menara yang hanya mempunyai satu tingkap sahaja tanpa tangga untuk mendakinya. Ibu sihirnya telah sihirkan rambutnya jadi panjang, jadi bila ibu sihir itu datang, dia akan panjat rambut Rapunzel ke atas.

Satu hari seorang pemuda kacak, Dimas (anak pemimpin daerah) telah tertarik dengan kecantikan Rapunzel dan berjaya memperdaya gadis itu bawakan dia ke atas. Mereka berkenalan dan jatuh cinta. Dimas berusaha menyelamatkan Rapunzel dan ingin berkahwin dengannya. Bila ibu sihirnya dapat tahu Rapunzel bertemu Dimas, dia telah campakkan Rapunzel ke dalam perigi buta dalam hutan. Ibu sihir itu juga menunggu Dimas di menara, menyihir Dimas menjadi buta, kemudian mencampakkan Dimas keluar menara.

Dimas mencari Rapunzel berdasarkan suara nyanyian Rapunzel dari dalam perigi. Akhirnya mereka bertemu semula. Mata Dimas pulih semula setelah terkena air mata Rapunzel. Mereka akhirnya berkahwin. Rapunzel dapat bertemu semula kedua ibu bapa kandungnya, manakala ibu sihirnya datang buat kacau pada hari pernikahannya. Akhirnya ibu sihir itu dan Rapunzel jatuh perigi buta, tetapi Rapunzel selamat (pelik juga, tetapi dah namanya pun cerita dogeng, macam-macam boleh jadi).


Kat Malaysia, pernah juga ada versi Rapunzel ni dalam Mayang Mengurai;


Macam mana, meriah tak Rapunzel yang aku tengok kat TV3 dalam slot Cerita Dongeng tu? Alahhhh yang selalu TV3 tayang setiap Ahad jam 3 petang selepas siaran Nona? Lorrrr sape kata aku masuk panggung tengok animasi Rapunzel versi orang puteh tu? ini versi Indonesialah!

Errrrrrr….ampunkan dakulah ya! Aku nengok versi Indonesia kat depan TV je.

Semua gambar dari Google.com

Ahad, 5 Disember 2010

Budak Kelantankah Berdoa Cari Jodoh dengan Jejaka Hensem?

Kelakar tak tajuk? Macam pelik sikit kan?
Entah kenapa, aura “doa cari jodoh” selalu sahaja memberi trafik kepada aku walaupun bukannya banyakpun. Namun, boleh dikatakan setiap hari. Malangnya, doa itu tak ada kat blog aku ni. Yang ada hanya Doa Cari Jodoh?

 
Betapa ramainya insan sedang berdoa untuk dapatkan jodoh…buat aku teruja untuk cari doa itu juga. Untuk kongsi di sini, agar pencarian mereka terhenti di sini. Sayangnya, Disember adalah bulan paling penuh aktiviti dalam kelendar aku. Bagaimana ni?

Tangguh dululah ya…lain kali, kalau ada kesempatan aku akan tolong carikan untuk pencari-pencari doa cari jodoh.




Sabtu, 4 Disember 2010

Aanas Tag Award

Dah lama tak kena tag. Aku paling tak reti nak jawab tag. Seringnya tag daripada teman-teman akan terbiar (Ohhhh ampunkan daku!) Walaupun ada juga yang aku jawab dengan segala susah payah. Bila siap, rasa semput dada pun ada.
Kali ni Aanas dah tag aku di blognya. Tag dan award serentak. Aku tampal kat mana tah award ni…boleh gantung kat tiang seri rumah tah? Hu hu hu hu Namun ada syarat-syaratnya kalau nak ambil award ni...



Syarat-syarat:

1. Jangan kerek.Ucapkan Alhamdulillah dulu, pastu thanks giver award ni

Alhamdulillah sebab sihat badan, lapang fikiran, tenang hati, damai jiwa, :) ... (ok sebenarnya yang tu aku salin dan tampal terus dari blog Aanas. Boleh kan?)

Terima kasih Aanas, bagi award ni...tetiba je rasa terharu. Rasa macam, daku sudah dihatimu (la la la)


2. Jangan kedekut, kongsi nikmat bersama rakan-rakan lain ;)

Nak kongsi award ni dengan: SEMUA PEMBACA Saat kau Sentuh Hatiku (baru tak kedekut kan?)


3. TUJUH perkara tentang diri saya: (Tujuh je? Awatnya sikit sangat?)
  1. Suka jalan-jalan, makan angin dan melancong serata ceruk alam. Lagi suka kalau FREE je dapat menyelam dasar laut, mendaki gunung ganang, menjejalah segala tanah rata; menikmati dan menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah.
  2. Suka ambil gambar walaupun bukannya reti pun ambil gambar. Asal jadi gambar dahlah...walaupun sangat kagumi sesiapa yang pandai ambil gambar.
  3. Suka membaca, walaupun tak ada apa yang nak dibaca, tetap boleh baca dan telaah kulit gula-gula. Sangat suka beli buku, baca buku dan simpan koleksi buku. Kalau tak ada duit sesenpun, baik tak payah melintas depan kedai buku. Sanggup tak makan sebab beli buku.
  4. Sangat tak suka dengan perempuan yang nampak je comel, wangi dan bergaya tetapi hakikat sebenarnya pengotor, penyepah dan boleh hidup dalam semak samun macam sarang tikus. Anti sangat-sangat.
  5. Akan hormat orang yang tahu hormat orang lain. Kalau tak reti nak hormat orang, walaupun dah tua bangka, jangan terlalu aku akan hormat dia hu hu hu
  6. Sangat tinggi yakin diri. Walaupun sesekali menjunam sampai ke dasar laut, biasanya sekejab sahaja. Meroyan sehari dua, kemudiaannya akan teruskan semula apa yang perlu dilakukan dengan penuh keyakinan.
  7. Sekali kubilang sayang, akan selamanya sayang. Bila dah benci, hingga hujung nyawa benci itu merentap tangkai hati. Jadinya, usah tukarkan kasih sayang itu dengan benci...kelak, kalian jugak akan rugi ;)
Ohhhhh akhirnya selesai juga jawab tag ini. Ohhh Aanas…harapnya anda puas hati.

Selasa, 30 November 2010

Mmmm Nak Jadi Beruang Kutub Hari Ni

Semalam tidur awal, jam 11 malam dah lompat naik katil. Biasanya paling awal jam 2 pagi aku tidur. Itu waktu biasa untuk aku beradu entah berapa lama semenjak dua menjak ni. Namun hingga jam 12 aku masih lagi guling balik tak lelap mata. Tak tahu jam berapa terlena selepas itu.

Bila jaga pagi tadi, badan masih lagi lesu. Tanda-tanda tidur yang tak berkualiti. Sambung tidur semula hingga jam 9.30 pagi, masih juga lemah rasa badan. Kenapalah pulak nak malas-malas ni? Adakah aku juga seperti dia dan Dina?

Esok dan lusa ada acara rasmi di Hotel Equatorial (malas nak check balik ejaan hu huhu). Kalau aku tak pergi, akan jejaskan kerja orang lain juga.

Hari ini, izinkan aku seperti ini sepanjang hari;



Dan segar bugar semula selepas itu.



Pssst: Dah lama tak dengar Amir jerit meragam nak susu dan nak tidur.