Isnin, 4 Mei 2009

Layak ke Tomok Menang?


1 Mei 2009 berlangsung persembahan akhir untuk rancangan One in a Million musim ke 3 dengan tiga orang finalist iaitu Tomok, Aweera dan Eshter. Keputusan akhir, Tomok jadi juara. Stadium Melawati menjadi saksi.

Kalau diikutkan, penglibatan Tomok dalam dunia nyanyian sudah berlangsung lama dulu lagi. Nama Tomok memang antara nama pemnyanyi muda yang menjadi sebutan, sebaris dengan nama kumpulan-kumpulan remaja yang lain seperti Exist. Aku sendiripun dah lupa bila masa Tomok muncul dengan kumpulannya, tetapi aku memang sedar keadaan dia dan kumpulannya itu. Namun hanyalah sebagai penyanyi atau kumpulan yang suam-suam kuku saja. Masa itu Tomok lebih digilai remaja kerana berwajah baby facenya. Jadi igauan anak sunti saja, bukannya sebab suara atau vokalnya yang power ke apa. Aku lebih ingat Exist lagi berbanding kumpulan yang dianggotai Tomok tu (Newboys la tu...) ...

Bila Tomox masuk OIAM3, awalnya aku kata “kena tendang keluar dek penyanyi kampung yang tak ada nama, lagi jatuhlah nama dia”. Aku ingat balik beberapa nama penyanyi lain yang pernah masuk program realiti tv tetapi kena tendang peringkat awal lagi. Tak ke jatuhkan reputasi diri. Masa tu aku ingat, Tomok akan alami nasib yang sama. Walaupun ada juga penyanyi yang ada album ikut program realiti tv masih boleh bertahan kerana mereka dah ada minat yang tersendiri, bak kata orang, biasalah bila jadi artis. Apa yang dibuat tetap kena komen jugak. Jadinya, ada pro dan kontra. Bergantung kepada penyanyi tu sendirilah macam mana nak terus bertahan.

Namun, kemunculan Tomox dalam OIAM3 merupakan satu strategi yang bagus. Tomok tak menyesal ikutinya. Berbaloi. Dia bukan sahaja bawa balik RM1 juta, tetapi pada masa yang sama tarik lebih ramai peminat selain daripada peminat asalnya. Dia juga berjaya asah vokalnya, berjaya juga jadikan namanya yang suam-suam kuku sebelum ini kembali hangat semula. Jadinya, aku jangkakan Tomok akan naik semula. Namanya akan jadi sebutan semula. Peminatnya juga akan terus bertambah. Yang penting, Tomok berjaya mantapkan lagi nyanyiannya, persembahannya dan kualiti dirinya. Itu yang penting sebab kalau tak ada kualiti, orang akan bosan juga. nak harapkan muka semata-mata, selama mana boleh bertahan. Dah berumur sikit lagi, hilanglah peminat kalau tak mantapkan bakat.

Tahniah kepada Tomok. Walaupun aku bukan peminat Tomok nombor satu, namun aku menyedari bahawa Tomok mampu naik semula. Itupun, kalau Tomok pandai mengatur strategi seterusnya. Malah, Mawi pun dia mampu tandingi. Harapnya, selepas melakukan come back melalui OIAM3 ini, Tomok akan muncul semula dengan lebih “berkuasa”. Masa Tomok nyanyi “Hanya Kau Yang Mampu”...fuih...berdiri bulu romaku. Dia memang layak menang sejuta tu kan. Apapun, aku suka dengan single terbaru Tomok “Rindu terhenti”.

Cuma nanti, janganlah pulak dah dapat juta-juta tu, Tomok lupa diri dan berlagak pulak. Karang, dah menjunam, susah nak naik lagi dik...

Rindu terhenti Lagu Solo pertama Tomok
http://www.youtube.com/v/VZG8KfnF-1o&hl=en&fs=1

Jumaat, 1 Mei 2009

TANDA-TANDA NAK MATI

Aku pernah terima e-mel seperti ini lebih lima tahun lepas. Dan kini, e-mel yang sama kuterima lagi. Namun lain pengirimnya. Tak pasti pula betul tidaknya kandungan e-mel ni, namun disebabkan kandungannya macam satu peringatan untuk setiap orang, maka aku turunkan di sini. Sama-sama kita kongsi ya. Tak ada niatpun nak takutkan sesiapa, sekadar untuk tatapan semua.




100 HARI: Seluruh badan rasa bergetar
60 HARI: Pusat rasa bergerak-gerak

40 HARI

Daun dengan nama orang yang akan mati di Arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.

7 HARI: Mengidam makanan
5 HARI: Anak lidah bergerak-gerak
3 HARI: Bahagian tengah dahi bergerak-gerak
2 HARI: Seluruh dahi rasa bergerak-gerak
1 HARI: Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu Subuh dan Asar
SAAT AKHIR: Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang Solbi (di bahagian belakang badan)

Bila Malikat menyabut Nyawa:




Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut…



“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.”



“Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.”


“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasullullah S.A.W lagi…
“Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril A.S akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S.”


“Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya dia apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.”

Kita tak tahu bila masanya sampai saat itu untuk kita. Moga kita berjaya hadapinya dengan sebaik cara.

Bila berlaku sesuatu kematian, Orang selalu saja tanya saudara mara tentang perubahan diri si mati. Lalunya, bermacam-macam kepelikanlah yang akan diceritakan. Jarang kita jumpa saidara mara akan kata "Dia seperti biasa sahaja"

Selasa, 28 April 2009

Raikan Cinta




Semalam, Isnin 27 April 2009. Aku tak datang kerja pun. Bukanlah malas, tapi menyiapkan lambakan kerja yang perlu dikejar “tarikh mati” secara efektif. Semua bahan yang diperlukan sudah ada, tinggal lagi mahu siapkannya sebagai patutnya paling lewat Khamis nanti. Sebelum menjelang bulan baru. Sebelum sambutan hari pekerja.

Jadinya, malas buang masa untuk make up seadanya, mengenakan pakaian seperti selayaknya dan merempit ke pejabat, aku putuskan untuk lakukan di rumah sahaja. Lebih santai. Lebih terfokus memandangkan tiada gangguan. Tanpa dering telefon. Tanpa sapaan teman online. Tanpa peluang untuk bazirkan masa untuk update blog, baca e-mel atau menjenguk Forum Maya yang sememangnya sudah jadi sebahagian tugas lazim seharian. Tanpa sapa teman yang selalu bertandang basahkan tekak di mejaku sambil mengumpat itu ini juga.

Jadinya, tanpa ke pejabat pada hari semalam, aku sebenarnya sudah jimatkan masa sejam dua untuk semua aktiviti itu. Juga lebih bebas untuk menyiapkan kerja. Boleh sahaja mengadap TV dengan laptop. Lenguh duduk, boleh pula meniarap. Kemudiannya berbaring menghilangkan lenguh.

Sekalipun seharian dihembus udara sejuk aircooler Takada yang baru dibeli petang Ahad lepas, hangat musim kemarau memang menyengat. Berpeluh. Tengahari hujan agak lebat juga, namun cuaca tetap juga panas. Hangat. Dan aku, memang tak tahan dengan cuaca panas sebegini. Nak kata dilahirkan musim salji luruh di tengah kota London, sehayat ini tak pernah pula kaki ni jejak ke sana. Ruginya buat kerja di rumah, itulah...panas. Hangat!

Petang yang hangat dihangatkan lagi dengan satu panggilan. Nasib baik bukan panggilan hangit. Timbalan Pengarah telefon.


TP: You kat mana ni? (Alamak! Leh pecah rahsia ke aku tengah landing bagus punya ni kat depan tv dengan laptop terpasang. Dengan semua benda bersepah keliling aku termasuk nescafe khaw dan roti gardenia?)
Aku: Kat rumah. Malas nak pergi kerja. (Aku memang tak suka cerita apa yang sedang aku buat dan siapkan kepada rakan sekerja. Karang ada pulak yang mulut lebih canangkan aku terlebih rajin, padahal, memang semua tu nak kena siapkan juga macam manapun. So, lebih baiklah tak payah cerita apa-apa, tetapi semua kerja siap pada masa yang ditetapkan. Jadi, tak kesahlah kalau dia nak kata aku malas pun hu hu hu...)
TP: What everlah. Mesti tengah seronok landing kan... You know what?
Aku: Pe? (Alamak! Ram puteh lah plak!. Dia memang cakap lebih banyak bahasa Inggeris berbanding Bahasa melayu. Anak-anaknya menghadapi masalah untuk berbahasa Melayu kerana bahasa komunikasi utama di rumah adalah Bahasa Inggeris. Namun yang aku kagum sangat-sangat tu, bahasa Melayu dia pun sangat bagus. Tapi, dia tak tahupun aku terkagum-kagum kat dia macam tu. Jangan bagi tau dialah ya, karang dia terperasan pulak kan susah)
TP: Guest what?
Aku: Manalah tahu.
TP: Kita punya proposal tu diterima tanpa pindaan. Dia orang akan hantar terus ke Putrajaya nanti.

Tanpa pindaan? Terus sahaja aku menjerit terlolong-lolong. Kuat pulak tu. Salah hari, satu taman perumahan boleh dengar jeritanku itu. Aku dah tak peduli lagi. Pertama kali dalam hidup ni aku menjerit sebegitu sekali. Tak pernah aku buat macam tu. Kalau TP nak kata aku kurang betul darjah celcius pun, aku dah tak kesah dah. Namun, aku hanya dengar dia ketawa sakan sahaja di hujung talian.

Penting sangat ke proposal tu? Taklah sangat. Biasa-biasa sahaja. Namun inilah antara sebab aku nak maki orang minggu lepas. Dah la sebelum tu terima janji palsu. Tetiba je budget 20 juta tu tak ada. Proposal ni pulak, Aku kena belasah teruk masa bentangkan peringkat Pusat. Macam-macam komen yang dia orang beri. Cincang habislah kiranya. Pembetulan major kena buat. Konon-kononnya apa yang kami buat tu tak jejak dunia nyata. Proposal tu hampas. Tak capai piawai dan bla bla bla yang semuanya negatif. Tak ada satupun positif. Pendek kata, proposal kami tu nonsense. Mengarut. Buang masa orang je nak baca. Panjang katanya, banyak sangat komen yang mereka senaraikan hingga aku sendiri pun sebenarnya tak faham pun apa yang mereka nak aku ubah. Sebabnya, apa yang mereka nak tu semua dah ada dalam proposal yang aku buat tu. Tak paham betul!

Peringkat awal kena hentam, aku cuba juga untuk terangkan kepada mereka agar mereka faham. Namun, akhirnya aku sendiri jadi faham bahawasanya mereka memang tak faham pun apa yang aku bentangkan. Prejudiskah aku? Asalnya ada jugak rasa prejudis tu...tapi, bila dah analisis kemudiannya, aku mula sedar bahawa yang mereka hentam itu bukannya proposal yang aku buat. Tapi mereka nak lepaskan perasaan tak puas hati pada orang yang buat proposal tu. Siapa lagi kalau bukan aku dan TP. Dua-duanya memang tidak disukai. Gabungan yang mantap untuk kena cincang hu hu hu!

Dah sedar matlamat mereka hanyalah itu semata-mata, akhirnya aku hanya diamkan diri. Nak confirmkan betul tidaknya andaian tu, selepas kena basuh dengan teruknya tu, aku dapatkanlah tukang basuh, tukang cincang dan tukang hentam tu. Konon-kononnya nak menuntut ilmulah. Ye lah, aku ni kan tak pandai. Buat kerja pun tak elok. Hanya hampas je jadi. Jadinya, itulah peluangnya nak sahkan betul tidaknya andaian yang selama ini berlegar sahaja di otak aku tetapi tak pernah buat ujianpun.



Macam mana aku tahu memang mereka sengaja sabotaj aku? Bila mintak tunjuk ajar setelah aku puji mereka itu sebagai golongan yang bijaksana secara melambung-lambung (kasi kembang lobang hidung dulu lah...), pelbagai alasan diberikan. Bila mohon dihantar contoh proposal terbaik mereka yang boleh aku jadikan contoh, dua hari selepas itupun aku tidak terima apa-apa. Dan bila mohon disemak pembaikan yang telah siap, sebelum dihantar kelulusan oleh Pengarah, mereka juga menolaknya dengan pelbagai alasan juga. Tak sah lagikah? Tak jelas lagi bersuluh? Itu belum lagi termasuk kritikan yang menonjolkan betapa tidak tahunya mereka tentang apa yang mereka komen. Lain kali, kalau nak komen apa-apa, komen sajalah apa yang kita tahu. Bukannya buat-buat tahu pasal apa yang kita tak tahu. Karang menyerlahkan betapa tak tahunya kita! Habis tu, macam mana aku nak hormat orang macam ni? Kalau kata dah nak monopous karang, jadi isu sensitip plak!

Hasilnya, memang sah. Sah benarlah yang mereka memang sengaja hentam. Sengaja susahkan. Sengaja lambatkan kerja aku. Sebabnya, laporan dalam pembentangan itu akan dirujuk semula setelah dilakukan pembaikan. Kalau tak baiki setiap komen tersebut, dah pastilah Pengarah tak akan luluskan di peringkat Pusat nak bawa ke atas. Oleh itu, bertambahlah kerja aku kan? Mana tahu, bila dah cantas kat situ, aku akan lemah semangat dan putus asa. Saingan untuk mereka dapat dana juga akan semakin berkurang kan?


Begitukah aku? Mudah putus asa sesenang itu?
Mmmm mereka memang tidak pernah mengenali aku. Aku ni jenis manusia yang “keras pedal” mengikut gelaran orang Kelantan. Ertinya, degil. Tak dengar cakap. Tak akan give up dengan mudah. Apalagi bila dah tahu memang ada orang sengaja sabotaj. Semakin langkah aku dihalang, makinlah aku buat lagi baik. Makin orang sabotaj aku, makin banyak aku akan buat. Selagi aku tahu apa yang aku buat tu betul, jangan harap aku akan mengalah dengan mudah. Hatiku dah lama jadi batu. Keras. Nalurikupun dah lama beku. Kaku. Muka pula dah setaraf dengan dinding jamban. Kalau setakat nak malukan aku dalam bilik mesyuarat semasa pembentangan tu, rasanya tak jejaskan apa-apa. Lebih daripada itupun aku pernah alami.



Kalau betul aku salah, betulkanlah aku. Kalau benar aku silap, tegurlah aku. Kalaulah aku tak tahu, maka baikilah. Ajarlah aku. Namun, kalau kritik hanya semata-mata nak jatuhkan aku, nak sabotaj aku...minta maaflah. Memang salah orang. Aku tak akan berundur dengan mudah. Aku tak akan mengalah dengan cepat. Aku ni spesis muka jamban yang tak tahu malu.

Lalunya, proposal yang menurut pendapat mereka yang bijak pandai itu hampas telah diterima sepenuhnya tanpa perlu lakukan apa-apa pembetulan dan akan dihantar ke kementerian. Dan proposal itu sebenarnya, hanya ditambah sebanyak tiga perenggan sahaja berbanding proposal asal. Terbukti kan hampas itu ada maknanya kepada orang yang tahu apa kami tulis itu?



Malamnya, aku meraikan kemenangan diri untuk itu. Sekalipun kemenangan utuk itu tidak seberapa sebenarnya, gembira ini hanyalah kerana aku berjaya buktikan “hampas” yang dihasilkan itu bukan seperti yang mereka sangka. Kalaulah proposal mereka itu baik sangat, mengapa ditolak? Mengapa perlu dilakukan pengubahsuaian? Mana bagusnya mereka?

Sekalipun menikmatinya seorang, kala musim panas yang menghangat seluruh ruang ini...ada nikmat yang berbeza makan aiskrim. Sejuk di lidah. Sejuk di hati. Sejuk juakah di minda? Aiskrimmmmmmmm yummy!

Hari ini, aku datang ke pejabat dengan semangat yang berkobar-kobar. Semangat kemenangan. Ada sedikit gah. Ada sedikit gembira. Ada juga bangga. Dan, paling tak suka...entah kenapa aku sedar ada sedikit ego mula membiak dalam dada. Riakkah aku?

Aku sekadar nak meraikan kemenangan ini saja. Tak ada niat nak berlagakpun. Tapi masih tersimpan jua niat untuk melihat reaksi mak cik-makcik dan pak cik-pak cik yang perasan dia hebat tu. Kalaulah boleh aku cekik je setan yang mula tumbuh tanduk dalam kepala aku ni!

Khamis, 23 April 2009

Kala Dia Di Sisi



Setiap hari di tempat kerja, bila kembali ke istana impian, hati jadi sejuk saat terpandang tanaman yang kita tanam itu subur. Paling kurang daunnya masih hijau. Atau bunganya memenuh ranting.



Kesempitan waktu adakala menyebabkan “dia” aku abaikan. Dah lama sangat bounggavilla depan rumah tidak mengembangkan kuntum. Tak sempat cabut rumput. Tak sempat letak baja. Ada kalanya hingga tak sempat nak siram pun. Sedar-sedar, seorang bibik menegurku;
Bibik: Lama sih bunga tu ngak kembang...


Aku terkedu seketika. Selama ini bounggavila pelbagai warna itu ada peminat rupanya.
Aku: Ngak sempat...sibuk bangat! (cuba-cuba meniru gaya Indon macam dalam TB tuh hu hu hu)
Bibik: Selalunya penuh bunga, mbak...geramm aku kalau nonton. Tiap kali lintas sini, ngak puas mandang...


Aku tersengih kerang busuk. Tak tahu nak kata apa. Tiba-tiba tersedar yang pergi kerja ku seawal pagi dan pulangnya bila matahari dah hilang. Mmmm sibuk awal tahun!



Sedar juga semuanya terabai. Hanya sempat siram pada malam hari sebelum masuk ke rumah. Orkid yang tergantung itu sudah luruh kembangnya. Tangkai masih juga belum dipotong. Daunnya pula tidaklah segar sangat. Mmmm adakala terlupa untuk renjiskan air. Melor juga dah togel daun-daunya dibaham ulat. Bagaimana mahu kembang putih bunganya? Sepasu mawar yang dihadiahi mak mertua adik pula sudah kerap benar berbunga, namun kembangnya itu kecil sahaja. Bantut. Pasunya yang kecil itu telah membantutkan pertumbuhannya akibat kekurangan nutrien. Tak punya kesempatanpun nak tukar pasu.





Pasu yang diborong semasa ke Nilai 3 bulan lepas, masih lagi setia di halaman. Terbiar. Tanah pun tak ada nak isi. Entah bila gamaknya pokok-pokok yang mati segan hidup dah tak mahu tu akan berganti pasu. Kenalah cari gunting dulu kan. Rantingnya perlu dicantas semasa tukar pasu.



Dan di belakang rumah sana, sudah tinggi pokok semalu dan lalang. Bermaharajalela. Entahkan gajah pun dah terlindung!


Serai...Penting untuk masak tom yam. sekarang ni dah subur balik. Masa snap ni...hampir nak mati.

Sibuk sangatkah aku? Rasanya baru semalam aku berteleku di hadapan TV menonton siaran langsung sambutan tahun baru di Dataran Merdeka. Masa agaknya cepat berlari!
Ampun...gambar bounggavilla tak dapat dimuatnaik!

Isnin, 20 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Anda peminat buku? Hantu buku? Ulat buku? Semuanya buku? Pasti “spesis” seperti ini akan cuba sedaya mungkin untuk serang PWTC tiap kali tibanya April. Ada apa dengan April? Macam lagu Fazley pulak kan?

Penggemar, pengumpul, pencinta atau apa-apapun gelaran yang boleh dinobatkan kepada kelompok ini, tidak akan melepaskan peluang hadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Bukan hanya kerana potongan harga yang ditawarkan, kepelbagaian bahan bacaan yang boleh didapati, atau bertemu muka dengan penulis dan artis, malah juga kerana pada masa inilah dihimpunkan banyak penerbit di bawah satu bumbung. Banyak penerbit bermakna banyak judul buku yang ditawarkan. Terbitan terkini pula. Banyak juga promosi. Malah, buku-buku lama ditawarkan serendah RM2. Jika bernasib baik, anda akan ketemu buku-buku yang mengalami penurunan harga yang drastik. Buku Mawi dan Ekin umpamanya (mohon maaf, lupa nak snap buku ni) ditawarkan pada harga RM5 pada hari Sabtu, turun serendah RM1 pada hari Ahad keesokan harinya. Ada juga buku bacaan untuk anak-anak, dijual dengan harga serendah RM0.50.

Penyelidikan yang dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia pada 1998 melaporkan bahawa rakyat Malaysia membaca 3 buah buku sahaja setahun. Itupun bahan bacaan popular. Bacaan seperti komik, magga, akhbar, majalah, novel popular. Apa jadi dengan bahan bacaan berat seperti buku? (Maaflah, aku tanya pasal buku je, bukannya bahan bacaan lain yang lebih berat dan maha memberatkan macam jurnal ke, ensiklopedia ke, hasil penyelidikan ke...sebabnya, kalau buku pun tak berapa nak habis baca, dah sah lah lagi payah nak khatam bila baca benda alah sebegini rupa). Membacanya hanya pada musim peperiksaan sahaja?
Tepi tong sampah pun sempat membaca...

Orang Malaysia ni malas sangat ke membaca? Persoalan itu sentiasa sahaja berlegar dalam kepala aku yang taklah berapa sangat geniusnya ni, kalau nak bandingkan dengan Adi Putra tu. Dah lama persoalan tu tak terjawab. Namun, kalaulah anda seorang yang suka melelahkan diri di setiap pesta buku, tak kiralah walau di mana pesta buku itu diadakan, apalagi kalau Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, abda sendiri pun akan keliru dengan hakikat ini.

Setiap kali diadakan pesta buku sebegini, kalau kena tarikhnya (hujung bulan atau awal bulanlah tu...musim terima gaji), penuh sesak dengan pengunjung. Padat. Sendat. Nak sorong kakipun payah. Begitu jugalah yang berlaku apabila diadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Tahun ini, ianya bermula 17 April hingga 26 April 2009.

Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Dewan Merdeka PWTC.


Bagai semut hurung gula.

PTS. Sesak!

Karangkraf

Antara penulis yang hadir meriahkan pesta buku:
Ain yang sentiasa menambat hati sesiapa saja;
Ebriza Aminuddin, Puteri Imaneisya
dan Dinaz. Sori, tak sempat Snap
Bikash...



Ini satu-satunya novel yang aku beli. Siap dengan tanda tangan pengarangnya lagi.


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 jadi kenangan terindah juga. Di pesta yang meriah inilah bersua dan lepak dengan Dina, Ain dan Gee. Bersimpuh ayu di hadapan tangga lagi. Bertemu mata juga dengan Jiedam dan Hot Mum yang sengaja turun dari Johor bahru semata-mata untuk ke pesta gemilang ini.

Sekalipun dah semakin jarang melepak di Caluk Corner sejak pertengahan tahun 2008 dek kekalutan erti sebuah hidupan, pertama kali bersua Jiedam dan Hot Mum memang agak meriah juga. Mesra. Bersuara mata dengan Hot Mum buatkan rasa nak berbalas kata pula di Caluk Corner nanti kerana sebelum ini hanya sesekali diri mencelah perbualan antara ramai pengunjung yang ada. Harap-harapnya, adalah kelapangan masa yang boleh dicuri nanti walaupun kebarangkalian untuk saling berbalas kata itu agak payah juga. Sebabnya...hot mum dan Jiedam kerap kali muncul tengah malam, sedang aku...tengah siang pun payah nak menjelma.

Jelitawan Caluk Corner


Malu-malu.

Sekejab saja dah mesra

Mula-mula keliling tiang. Lama sedikit lagi...keliling padang pulak. Kalau Hindi, dah tentu keliling unggun api, ye tak? hu hu hu jangan marah aku, Dina :)

Singgah seketika di Fajar Pakeer, bertemu mata dengan Abriza Aminuddin. Pertama kali bersua si manis Abriza, rasa teruja pula. Selama ni hanya kenal wajah ayunya di blog, di Caluk Corner saja. Bila bertentang mata sendiri, nyatanya Abby lebih manis dari jeruk yang dibawanya. Terima kasih banyak-banyak, Abby...bawakan jeruk yang cantik bermacam warna tu. Rasa sayang pulak nak makan. Kalaulah boleh awet jadikan macam mumia yang boleh disimpan beribu-ribu tahun itu...kan boleh fremkan kat dinding!

Cantik kan? Sedap juga. Lebih sedap bila dah sejukkan dalam peti ais. Yummy!

Sakan berborak, hinggakan lupa nak patah balik ke Fajar Pakeer dan beli novel baru Abriza. Mahal novel tu sebab ditandatangani penulisnya. Sayangnya, dah sampai Puchong baru teringat. Mmmm agaknya, bila boleh beli novel berserta tandatangan penulis terkenal tu ya?