Memaparkan catatan dengan label train. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label train. Papar semua catatan

Rabu, 3 Disember 2008

Hari OKU Sedunia






Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Diisytiharkan oleh PBB pada 19 Oktober 1992 dengan menetapkan setiap 03 Disember adalah hari orang kurang upaya. Kabinet dalam mesyuaratnya pada 12 Oktober 1994 telah mengesahkan 03 Disember setiap tahun sebagai hari kurang upaya peringkat Kebangsaan. Dianggarkan 1% rakyat negara kita adalah terdiri daripada golongan Orang Kurang upaya.

Prihatinkah masyarakat kita dengan golongan OKU? Luangkan sedikit masa dan tanyalah diri anda. Prihatinkah anda? Sedarkah kita tentang keperluan mereka terhadap sedikit bantuan kita yang sihat walafiat dan bertenaga penuh ini?

Cekalkan dia? Semangatnya tinggi.

Sebelum ini, akupun hanya punya sedikit keperihatinan sahaja tentang keperluan mereka. Satu ketika dahulu, seorang pelajar OKU pernah luahkan rintih hatinya tentang kesukaran untuk pergi ke perpustakaan. Bayangkan, mereka belajar di university, namun sukar untuk menggunakan kemudahan perpustakaan. Bila kuajukan kepada pihak perpustakaan, mereka kata ada disediakan lif. Akupun cubalah cari lif yang dimaksudkan itu. Hasilnya…deng deng deng…aku yang berupaya penuh ini pun tak akan gunakan lif di laluan tersebut. Gelap. Tersorok. Dan pastinya tak selamat. Apatah lagi golongan OKU.

Sejak jatuh tangga, beberapa kali juga aku keluar di Bangi dengan bertongkat. Taklah rasa malu sangat. Mungkin sebab hanya sementara sahaja. Namun, aku mula sedar tentang reality kehidupan golongan OKU ini. Kemudahan yang ada sangat sedikit mesra OKU. Kalau anda hadapi kesukaran untuk menapak di anak tangga, melangkah longkang atau memanjat bendul yang tidaklah besar halangannya untuk orang normal tetapi payah benar dihadapi OKU ini, kesukaran itu terpaksa anda tanggung sendiri. Banyak mata hanya sudi memandang.

kemudahan yang ada banyak yang tidak mesra OKU. Tak ada niatpun mereka nak susahkan kita.

Kalau anda perlu tolak pintu, maka tolaklah sendiri. Kalau naik tangga, anda akan diasak dari belakang supaya bergerak dengan lebih laju. Kalau ke pasaraya, awasilah kaki sendiri kerana orang-orang normal seperti kita ini suka sepak kaki orang OKU. Kalau naik kemudahan awam seperti komuter atau LRT…terpaksalah anda serbu masuk atau keluar seperti orang yang normal. Kalau lambat anda akan dirempuh. Di dalam train pula belum tentu anda akan dapat tempat duduk walaupun kerusi khas untuk golongan ini memang ada. Namun yang duduk dengan gah, hebat dan bangganya di kerusi-kerusi ini adalah golongan normal yang perkasa dan cantik manis.


Itulah hakikat yang terpaksa anda hadapi bila jadi OKU. Kalau ada sesiapa yang sudi hulurkan bantuan, atau sisihkan jalan untuk anda lalu, tahulah kita bahawa orang itu memang benar-benar berbudi. Orang sebegitu dah mula pupus di Malaysia yang tercinta ini. Dan orang sebegitu itu pula terdiri daripada anak-anak sekolah yang menelaah ilmu pendidikan moral di sekolah dengan tekun. Ataupun juga seorang nenek yang dia sendiripun memerlukan tempat duduk itu. Tahu kenapa nenek itu prihatin dengan OKU sebegini? Sebabnya dia juga alami kesukaran yang sama. Dan dia rasa, kala itu dia lebih sihat dari orang yang dia tawarkan tempat duduk itu. Pelik bukan?


Mereka mudah letih walaupun aktiviti yang dilakukan taklah sebesar mana.


Jadi, hari ini, 3 Disimber 2008, sama-samalah kita lakukan perubahan. Prihatinlah dengan keperluan orang kurang upaya. Selagi anda sihat walafiat, mampu menguruskan diri dengan sempurna tanpa bantuan orang lain, bersyukurlah. Lahirkan kesyukuran dan keinsafan itu dengan membantu OKU. Sedikit sahaja bantuan anda, begitu besar maknanya bagi mereka.

Aku tak mintak diri ditolong sebab aku bukan OKU. Cedera kakiku sedikit sahaja. Seminggu dua lagi aku sudah boleh pergi shooping untuk jualan mega semula. Namun, aku hanya mohon agar sama-sama kita prihatin dengan OKU. Mereka sedaya mungkin cuba untuk berdikari, namun kudrat adakala tidak sebesar harapan. Apa salahnya kita membantu, kalaupun hanya sekecil bukakan pintu untuk mereka masuk. Atau beri laluan untuk mereka keluar atau masuk dahulu ke dalam train. Mudah sahaja kan?