Kemasukan
Secara Lantikan Terus Ke Gred Kenaikan Pangkat
56. Kemasukan secara lantikan terus ke semua gred
kenaikan pangkat (lateral entry) bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi
serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah tertakluk kepada pegawai
memenuhi syarat-syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.
57. Ketua Perkhidmatan hendaklah membentuk kriteria
pemilihan kemasukan secara terus ke gred kenaikan pangkat bagi tujuan
pengambilan oleh Pihak Berkuasa Melantik.
58. Penetapan gaji permulaan kemasukan secara
lantikan terus bagi pegawai yang dilantik kali pertama dan pegawai sedang
berkhidmat yang belum disahkan dalam perkhidmatan adalah berdasarkan gaji
minimum gred jawatan lantikan terus. Bagi pegawai yang sedang berkhidmat yang
telah disahkan dalam perkhidmatan, penetapan gaji adalah pada matagaji tertinggi
berhampiran yang perbezaannya tidak kurang daripada satu (1) pergerakan gaji biasa
bagi gred gaji JGS atau tidak kurang daripada 5% bagi gred gaji
minimum-maksimum, terhad kepada gaji maksimum gred jawatan lantikan terus.
59. Bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,
pegawai perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan dan menghadiri Program
Transformasi Minda (PTM) dengan jayanya.
Tempoh
Percubaan
60. Mulai tarikh kuat kuasa SBPA, calon yang
dilantik secara tetap dikehendaki berkhidmat dalam percubaan antara enam (6)
bulan hingga 24 bulan. Pegawai boleh disahkan dalam perkhidmatan setelah
melalui tempoh percubaan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan memenuhi syarat
pengesahan lain yang ditetapkan.
61. Pegawai yang masih tidak dapat disahkan dalam
perkhidmatan setelah tamat tempoh percubaan maksimum 24 bulan, boleh
dilanjutkan tempoh percubaan tidak melebihi tempoh 12 bulan.
62. Bagi calon yang dilantik tetap tetapi belum
disahkan dalam perkhidmatan mulai tarikh kuat kuasa SBPA dan bersetuju menerima
SBPA, tempoh percubaan dan pengesahan dalam perkhidmatan adalah seperti
berikut:
62.1 pegawai boleh disahkan pada atau selepas
tarikh kuat kuasa SBPA tertakluk telah berkhidmat dalam tempoh percubaan enam
(6) bulan atau lebih, dan memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan
di bawah SSM.
62.2 pegawai yang telah berkhidmat dalam tempoh
percubaan selama 24 bulan atau lebih tetapi belum memenuhi syarat pengesahan
dalam perkhidmatan, dibenar menghabiskan baki tempoh percubaan asal di bawah
SSM atau baki tempoh yang dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik dan pegawai
boleh disahkan sekiranya telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam
perkhidmatan.
Program
Transformasi Minda
63. PTM diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk
memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan
dalam Perkhidmatan Awam. Program ini dibentuk bagi membolehkan pegawai memahami
falsafah dan prinsip pembentukan negara, sistem pentadbiran Kerajaan dan
peraturan-peraturan asas Perkhidmatan Awam serta pembentukan jati diri bagi
menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan. PTM menjadi salah satu daripada
syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.
Peperiksaan
Perkhidmatan
64. Peperiksaan perkhidmatan ditambah baik dari segi
pelaksanaannya di mana sukatan peperiksaan bagi Subjek Umum diklasifikasikan
kepada tiga (3) tahap keperluan penguasaan iaitu asas, pertengahan dan
lanjutan. JPA bertanggungjawab untuk menyediakan sukatan dan soalan Peperiksaan
Perkhidmatan Subjek Umum. Ketua Perkhidmatan pula bertanggungjawab menentukan
tahap keperluan penguasaan Subjek Umum serta melaksanakan Peperiksaan
Perkhidmatan Subjek Umum dan Subjek Jabatan.
Penilaian
Prestasi
65. Sistem penilaian prestasi baru yang lebih
menyeluruh diperkenalkan meliputi penggunaan kaedah pelbagai penilai
(multi-rater), Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) dan Laporan
Penilaian Prestasi Tahunan yang ditambah baik. Sistem penilaian prestasi baru
ini lebih inklusif, adil dan telus selaras dengan keperluan perkhidmatan dan
mengandungi elemen baru kompetensi seperti idea inovatif dan kreatif serta
sumbangan aktif pegawai di luar tugas rasmi.
Pingat
Perkhidmatan Cemerlang
66. Selain daripada Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang diperkenalkan bagi mengiktiraf
sumbangan pegawai yang melangkaui kebiasaan kepada perkhidmatan, masyarakat dan
negara.
DASAR
PEMISAH (EXIT POLICY)
67. Bagi memastikan kecemerlangan penyampaian
Perkhidmatan Awam, Kerajaan memperkukuhkan dasar pemisah dengan mengambil
tindakan tegas untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah.
Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada
peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang
menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.
PERSARAAN
DAN FAEDAH PERSARAAN
Umur
Persaraan Paksa 60 Tahun
68. Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1
Januari 2012, umur persaraan paksa adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini
tertakluk kepada umur persaraan paksa 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai
akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan paksa 60
tahun. Borang opsyen pelanjutan umur persaraan paksa 60 tahun seperti di
Lampiran F.
Kebolehalihan
69. Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan lagi
mobiliti pegawai dalam perkhidmatan, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan dasar
pelepasan dengan izin dan menggantikannya dengan dasar pelepasan jawatan
berkuat kuasa 1 Januari 2012. Pemansuhan dasar ini membolehkan tempoh perkhidmatan
pegawai diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah persaraan dengan syarat
pegawai dilantik semula dalam Perkhidmatan Awam.
70. Dari segi pelaksanaan, pegawai perlu
memaklumkan kepada Ketua Jabatan secara bertulis mengenai hasratnya untuk
meninggalkan jawatan yang disandang bagi tujuan menerima pelantikan baru dalam
Perkhidmatan Awam. Pelepasan jawatan tersebut akan berkuat kuasa mulai tarikh
pegawai dilantik ke jawatan baru itu. Manakala, pegawai yang akan dilantik ke
Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan
serta pegawai yang berhenti daripada Perkhidmatan Awam hendaklah meletak jawatan.
71. Bagi pegawai yang melepaskan jawatan atau
meletakkan jawatan dan kemudiannya dilantik semula pada atau selepas 1 Januari
2012, tempoh perkhidmatan lepas yang terputus boleh dimasuk kira bagi maksud
penghitungan faedah persaraan.
Pembayaran
Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan
72. Pegawai yang dilantik pada atau selepas 12
April 1991 dan kemudiannya bersara pilihan akan dibayar pencen apabila mencapai
umur 55 tahun.
Pengiraan
Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan
73. Pegawai yang dikehendaki oleh Kerajaan untuk
dibersarakan atas alasan kepentingan negara atau demi kepentingan Perkhidmatan
Awam diberi faedah persaraan yang dikira berdasarkan tempoh perkhidmatan
seolah-olah pegawai itu berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan paksa yang
terpakai baginya.