Memaparkan catatan dengan label orang kaunter. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label orang kaunter. Papar semua catatan

Isnin, 13 Januari 2014

Suka Kerja Pejabat Tanah

Makcik ada cerita pengalaman dia berurusan di kaunter pejabat tanah di Kota Bharu. Ketika itu, arwah pakcik Ya dah meninggal setahun tetapi urusan harta pusaka masih juga tertangguh-tangguh. Macam-macam alasan. Belum campur lagi dengan gaduh-gaduh rebut dikalangan waris.

Menurut makcik, dia terlewat ke pejabat tanah itu kerana perlu sabit rumput untuk kambingnya dahulu. Kang kebulur kambing tu, mati ke apa…siapa yang susah? Dah tentulah dia jugak!

Makcik sampai di pejabat tanah tu lebih kurang jam 12.15 tengahari, tetapi grill di kaunter tersebut sudah diturunkan separuh menandakan kaunter dah tutup. Walaupun begitu, masih terdapat seorang anak muda kusyuk membaca akhbar di situ.

Bila makcik beritahu nak dapatkan tanda tangan pegawai, terus sahaja anak muda itu beritahu “makcik mari semula pukul dua deh,” tanpa memandangpun orang tua ni, tanpa ambil dan bacapun surat yang makcik bagi. Maklumlah, makcik aku tu orang kampong, pakai pun macam cara orang kampong juga. Macam aku jugaklah tu kan…berserabai.

“Lamonya nak tunggu pukul dua anok weh…makcik nok sign sikit jah eh,” kata makcik lagi.
“Makcik…pukul dua pong belum tentu bos masuk. Esoklah makcik mari pagi-pagi lagi,” sambungnya semula. Masa tu dia pandang muka makcik.
“Nak mari pagi-pagi lagu manolah makcik ni…payah kenaikan (kenderaan). Rumah jauh masuk dalam. Kena jalan kaki dua tiga batu anak oiii. Sapa jalan besar baru buleh naik bas. Kalu mari esok pun, masa lagu ni jugak makcik sampai,” makcik mula buat muka kesian.

Anak muda itupun ambil dan baca borang apa benda yang makcik bawa. Menurutnya borang tu tak lengkap dan perlukan borang tambahan yang lain. Tanpa bangun dari kerusi, dia tolak kaki ke meja dan gerakkan kerusi beroda dia tu ke arah kotak berisi borang. Kemudian dia tunjal pula kaki rak tersebut hingga gerakkan badannya yang berada atas kerusi itu merapat ke kaunter setelah dia ambil borang tersebut.
“Kalu makcik ngaji tinggi, makcik pun nak kija sini…tak payah jalan. Duduk atas kerusi pun boleh gi rata riti,” kata makcik (menurutnya masa cerita dengan kami, dia sebenarnya perli budak tu).

“Makcik patutnya mari dengan semua waris ni…bawak semer anak-anak, baru bos buleh sign,” katanya kemudian.
“Lagu mano makcik nak bawak…anak-anak makcik kija jauh belaka. Sorang tu pegawai JKR dok Labuan, sorang pegawai JPJ di Sungai Petani, anak nombor lima tu cikgu di Kuala Lumpur. Payahlah nak buleh semer cuti…musim raya je buleh balik,” balas makcik sengaja memancing.

Akhirnya makcik dapat juga tanda tangan pegawai yang diingini tanpa tunggu jam dua. Adalah pulak bosnya…tadi kata tak ada! Dah kisah itu berlaku lebih 5 tahun lepas, aku tulis ekoran dari entri kerja orang kaunter di entri lepas.

Sebenarnya, aku memang tak mampu untuk kerja di kaunter. Aku tak boleh nak melayan pelanggan sangat. Karang adalah orang kena hu huh u hu tapi, aku sangat kagum dengan beberapa orang yang aku pernah jumpa. Dia memang berbakat untuk berada di kaunter.

Orang yang berada di kaunter bukan sahaja perlu cekap berkerja dan manis senyumnya, tetapi tinggi ilmu komunikasinya. Tinggi tatatertibnya. Hebat pemahaman sosio budaya setempat. Kalau jenis hangin putting beliung macam aku ni, baiklah pergi cuci jamban je. Jangan nak mengada dok di kaunter.