Novel Barbara inspirasi hidup masyarakat Kelantan
|
BERCAKAP mengenai wayang kulit, ternyata kebudayaan yang wujud lebih
1,000 tahun dahulu diasimilasi secara berperingkat dari beberapa negara,
sebelum ia meresap ke dalam budaya masyarakat Melayu.Wayang kulit Melayu yang agak popular di Malaysia rata-ratanya adalah
dari pantai timur Malaysia dengan kebanyakan mempunyai ciri dan
sentuhan Siam.Antaranya ialah wayang kulit Kelantan atau lebih dikenali sebagai
wayang kulit Siam. Ia dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk
melalui Patani, selatan Thailand.Dasarnya, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah berdasarkan Hikayat
Ramayana dan penglipur lara tempatan dan disampaikan menggunakan loghat
Kelantan. Antara watak penting ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi,
Maharaja Rawana dan Laksamana.
Sebagai negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, Kelantan
mempunyai persamaan dari segi elemen kebudayaan, sosial dan
sesetengahnya memiliki loghat serta gaya hidup masyarakatnya.
Kekayaan budaya Kelantan
“Berdiri sebagai sebuah negeri yang khusus, Kelantan kaya dengan
kerja kraf, seni, makanan dan bahasa yang sangat unik. Tidak ketinggalan
wayang kulit dan lain-lain seni persembahan yang menjadikan warga
Kelantan bangga dengan siapa diri mereka,” kata seorang penulis buku
bersiri misteri Shadow Play, Barbara Ismail dari Brooklyn, New York,
Amerika Syarikat.
Wanita berdarah Inggeris itu menjadi saksi kepada beberapa
persembahan wayang kulit di Kelantan, khususnya Kota Bahru pada era
tahun 1970-an hingga 1980-an. Tergerak hati untuk membukukan memori tersebut, novel beliau bukan
sahaja diolah seperti kisah misteri ala Sherlock Holmes, bahkan
menyentuh kehidupan masyarakat Kelantan terutamanya wayang kulit. Dalam novel itu, Barbara tampil dengan siri penyiasatan penuh
misteri membabitkan watak Maryam, seorang penjual kain songket di pasar
Kota Bharu.
Mungkin agak luar biasa untuk menceritakan bagaimana seorang wanita
yang menjual kain di pasar menjadi penyiasat dalam membantu polis
menyelesaikan sebuah pembunuhan melibatkan pemain wayang kulit.Namun, Barbara ternyata bijak menggunakan watak-watak hidup yang
ditemuinya di Kota Bahru dan memanipulasi secara bijak. Semua garapan
penulisan itu adalah hasil daripada adaptasi diri beliau dalam kalangan
penduduk tempatan.
“Saya belajar di Kolej Hamilton di New York dan menerima falsafah
kedoktoran di Universiti Yale juga di New York. Pengenalan saya dengan
wayang kulit buat pertama kali adalah ketika saya berada di Jawa semasa
belajar dulu. Profesor saya, Doug Raybeck seorang antropologis yang belajar di
Kelantan, mengajar saya bahasa Melayu,” kata wanita itu melalui temu
bual e-mel yang dilakukan baru-baru ini.
Fasih berbahasa Melayu tetapi dalam loghat Kelantan, Barbara
terpengaruh dengan Raybeck dalam melanjutkan pendidikan mengenai wayang
kulit Siam di Kelantan.
“Pertama kali saya menonton wayang kulit Siam, saya terus jatuh hati,” katanya.
Ibu kepada dua orang anak, Jerushah, 25 dan Arielle, 21, itu amat
mendalami penceritaan dan persediaan wayang kulit termasuk mempunyai
hubungan rapat dengan tok dalang sehinggalah kepada para penonton
tempatan. Mengimbas pengalaman menonton wayang kulit, masih segar dalam kotak
fikiran Barbara mengenai persembahan yang melarut hingga lewat malam
itu.
“Ada orang yang melintas ulang-alik di hadapan tabir putih dan urusan
jual beli snek serta kopi berlangsung di tepi pentas. Ada yang duduk,
merokok, berbual-bual dan makan sewaktu persembahan itu. Ia seperti
sebuah majlis keramaian,” ujar beliau yang turut mendirikan rumah tangga
dengan lelaki Melayu.
Wanita lebih berkuasa
Pemerhatian Barbara di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkisar
mengenai pengaruh wanita. Wanita tempatan dilihat bukan sahaja cantik
pada rupa, malah amat berkuasa. Laksana ketua dalam keluarga, peranan
mereka merentasi kemahiran berniaga dan menjaga kebajikan ahli keluarga. Beliau juga berpendapat, golongan lelaki pula digambarkan sebagai
kurang reputasi dalam berniaga lantas lebih suka membantu isteri dan
lepak di kedai-kedai kopi selepas bersara.
“Seperti watak utama novel saya, Maryam, wanita di Kelantan sangat
berbakat, berani dan mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bayang-bayang
lelaki. Mungkin juga ia menjadi sebab mengapa Kelantan agak mendahului
statistik perceraian kerana wanita-wanita tidak perlu bergantung kepada
lelaki,” katanya lagi sambil menambah bahawa pada tahun 1970-an,
Kelantan agak ketinggalan dan terasing daripada bahagian barat
Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan. Keramahan dan kemesraan penduduk di Kelantan juga menambat hati
Barbara dan dia berharap pada suatu hari nanti kedua-dua anak
perempuannya dapat merasai pengalaman yang sama.
Budaya Melayu
Kisah yang dibawa dalam novel Barbara banyak dibantu oleh rakannya, Ijan Shaari.
“Dia membaca draf novel dan banyak membantu dalam penelitian penggunaan bahasa Melayu serta penerangan tentang budaya.Jiran saya di Kota Bharu yang ketika itu berusia 12 tahun, Ashikin
Mohd. Ali, turut menawarkan bantuan dalam mendapatkan maklumat mengenai
budaya dan orang Kelantan,” ujarnya Barbara yang menetap sekitar lima
tahun di Kelantan.
Barbara juga amat berterima kasih kepada ramai lagi orang
perseorangan, jiran-jiran dan rakan-rakan beliau di Kelantan yang banyak
membekalkannya dengan pengalaman yang indah tatkala di Kelantan.
“Bryn Barnard, seorang artis yang saya kenali sejak kami di Kelantan
pada tahun 70-an, membaca draf dan memberi komen membina. Pengarang
saya, Richard Lord, memberi idea dalam saya menjayakan novel ini, tidak
dilupakan adik ipar, Shahmim Dhilawala, yang berkerja keras untuk novel
ini,” kata Barbara.
Wanita kulit putih yang lebih menyukai kehidupan fasa perlahan
Kelantan berbanding New York itu turut menggambarkan kebudayaan orang
Melayu khususnya di Kelantan.
“Orang Melayu amat menjaga hati orang lain dalam setiap tindakan dan
percakapan. Di New York, kami cakap sahaja apa yang terlintas, tanpa
memikirkan impak kepada orang lain. Pengalaman di Kelantan membuatkan
saya lebih kemelayuan. Kini saya bercakap, makan, masak, bertindak,
semuanya dipengaruhi resam Kelantan,” katanya bangga.
Walaupun sudah sekian lama tidak melawat Kelantan, negeri itu menjadi
kegemarannya di Malaysia memandangkan, dia masih mempunyai ramai
kenalan di situ selain di Melaka dan Kuala Lumpur. Merindui pemandangan semula jadi Kelantan dan makanannya seperti nasi
dagang dan kek Kelantan, Barbara mengakui, rasa cintanya terhadap
Kelantan sesuatu yang tidak dapat dipadam begitu sahaja dan akan terus
dihidupkan melalui penulisan buku beliau.
“Saya masih ingat apabila balik ke rumah selepas menonton wayang
kulit, segala-galanya gelap gelita. Apabila mendongak ke atas, saya
dapat lihat awan yang cantik dipenuhi bintang-bintang.Tidak mungkin saya mendapat perkara yang sama di New York. Itu adalah kecantikan milik Kelantan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
Komen aku: alangkah bertuahnya kalau boleh jumpa dengan dia...nak bawak dia nyuluh ikan, mmukat burung puyuh ;)