Memaparkan catatan dengan label metro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label metro. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Mac 2009

Kata Cintai Aku!

Ramai katakan mencintai bumi, namun berapa ramai yang sanggup melakukannya tidak sekadar lafaz dek lidah yang sememangnya tidak bertulang? Cukupkah sekadar menyatakan “I love You” setiap hari kepada insan yang anda cintai, tanpa menzahirkan setiap kata itu?

Itulah juga yang perlu kita buat. Itulah juga yang perlu kita lakukan. Kiranya kita benar-benar sayangkan bumi ini, sejauh mana kita sanggup untuk mengambil berat tentang bumi yang kita cintai itu? Ataukah hanya sekadar menyebut “I love You?”

Banyak perkara yang anda boleh buat. Di bawah aku senaraikan beberapa perkara remeh yang biasanya kita tak pernah ambil berat pun. Ada masa, kita bukan tak tahu, atau malas nak ambil tahu. Hanya malas nak amalkannya sedangkan taklah susah sangat pun. Kalau boleh, kita nak orang lain yang buat, bukannya kita.

Perkara yang boleh kita buat untuk menjaga kelangsungan alam sekitar;
Jimat Letrik.
Padamkan semua lampu yang tidak digunakan. Kalau anda sedang menonton di ruang keluarga, untuk apa lampu di dapur atau bilik air dipasang. Rumah kita bukannya Dataran merdeka yang perlu diterang benderangkan untuk tarik minat pelancong asing. Kalaupun untuk keselamatan, buka hanyalah satu lampu di hadapan rumah, bukannya seluruh isi rumah terang benderang. Ataupun semua alat elektrik terpasang. Pasang computer. Pasang tv. Pasang radio. Pasang juga mp3 kat computer. Sebenarnya, telinga anda ada berapa untuk mendengar semua bunyian tersebut? Kalau pun mata anda ada sepasang, hanya satu tempat sahaja anda boleh pandang, sama ada skrin computer atau skrin tv. Jadinya, bila masa anda nak dengar radio, mp3 dan tv itu?

Ada kaitan ke jimatkan letrik dengan kelangsungan alam ni? Macam tak masuk akal je kan? Ada! Mana pulak tak ada. Cuba Tanya TNB kalau tak percaya. Paling-paling kita manfaatkan kuasa untuk hasilkan tenaga di Malaysia ni, kita gunakan tenaga empangan. Sebab itulah wujud empangan buatan manusia seperti Bakun. (Bakun dah siap ke?) Namun begitu, TNB juga kena guna bahan bakar yang lain. Guna arang batu. Guna petrol. Bila kita jimatkan letrik, bermakna kita juga turut jimatkan penggunaan mineral dalam proses untuk hasilkan tenaga. Mineral yang kita gali di perut bumi seperti arang batu, bijih timah, bijih besi, petroleum, pada suatu masa nanti akan habis juga lambat launnya. Mana lagi kita nak cari selepas ini?

Pandai pun! Apa kata kita guna tenaga solar dan kincir angin je! So…bila kita nak mula manfaatkan cahaya matahari yang kita terima ni? Ada sesape nak derma kereta solar kat aku tak? Di alu-alukan!
Selain dapat panjangkan kelangsungan bumi ini, pada masa yang sama kita pun boleh berjimat kan? Jimat bil letrik setiap bulan!

Jimat Air
Air basuh beras, basuh ikan, basuh sayur, masih lagi boleh digunakan untuk jirus tanaman. Jirus cili. Jirus kacang botol. Jimat apa. Tak payah lagi letak baja kimia banyak-banyak. Lebat buahnya nanti. Tak percaya? Cubalah!

Kalau pun nak basuh cawan, kecilkanlah pili anda. Rendahkan tekanan air paip anda. Tak perlulah basuh cawan satu je, air yang digunakan macam nak basuh kereta besar anda. Macam air terjun lajunya! Nak basuh baju dua helai…anda setkan mesin basuh dengan “penuh”. Jimatlah sikit air anda. Tahulah Kerajaan Negeri Selangor bayarkan untuk anda RM11 setiap rumah, tapi...sampai hujung tahun ni saja! Apa salahnya belajar berjimat guna air sejak sekarang kan?

Berhenti merokok
Ni mesti ramai orang akan marah aku. Bab rokok ni memang sensitif. Aku pun agak sensitive juga dengan bau rokok, sensitive dengan orang yang tak reti nak hormat orang lain yang tak suka asap rokok. Kalau anda nak merokok depan saya, pastikan anda sedut sekali dengan asap dan baunya agar saya bebas dari semua itu. Ramai orang tak suka dengan bau asap ni, kalaupun anda nak merokok, pergilah ke tempat tak ada orang atau tempat orang yang sukakan pencemaran dan jerebu. Bagaimana perokok menyumbang kearah kelestarian alam? Kalau Tanya perokok, mereka pun tahu. Jadinya, silalah tanyakan kepada mereka. Kalau aku yang jawab, karang sang perokok kata aku saja nak sindir-sindir pulak.
Kitar semula.
Banyak benda yang boleh dikitar semula. Akhbar. Botol plastic. Tin. Botol kaca. Kalaupun malas nak jual kat ah pek beli “old Paper” setiap hari minggu dengan lori angkut tu, apa kata gunakan tin bekas milo anda untuk tanam cili. Tanam pokok bawang. Tanam pokok kunyit.

Hijaukan bumi.
Tanamlah pokok bunga. Tanamlah pokok serai. Tanamlah pokok kacang. Pokok cili. Pokok betik. Bermacam pokok boleh ditanam kat depan atau belakang rumah. Kalau semua kawasan dah bersimen, gunalah pasu. Gunalah bekas tin biskut yang dah tak guna lagi. Gunalah tayar lama kereta anda. Tanam apa-apa sahaja kecuali LALANG!

Jaga kebersihan.
Kebersihan rumah. Kebersihan kawasan perumahan. Kebersihan longkang. Kebersihan tempat peranginan. Gunalah tong sampah yang disediakan. Kalaupun nak buang sampah dari rumah, pastikan plastic sampah anda telah diikat. Karang kalau terburai keluar isi, dah tak cantik. Dah kotor kawasan sekitar. Berterabur sepanjang jalan.

Aktiviti cintai bumi
Ikut aktiviti mesra alam kalau anda berminat atau ada peluang. Kalaupun tak punya peluang sebegitu, paling kurang jagaklah amalan hidup anda. Tisu yang anda guna, usah dibuang merata. Sehelai tisu yang anda guna itu, entah berapa banyak kawasan pembalakan telah lupus. Itu baru tisu, kertas dan blab la bla. Belum lagi pembalakan haram. Belum lagi libatkan penggunaan plastic yang sukar diuraikan secara semulajadi dalam kitaran alam kita. Belum juga kita timbulkan kesan pencemaran yang dihasilkan dek bunyi bising, dek jerebu dan asap, dek air yang tercemar…

Kalau kita semak semula apa yang berlaku terhadap alam ini, apa yang dah kita lakukan, betapa banyaknya ala mini tercemar, betapa sakitnya alam kita ini…barulah kita insafi apa yang telah kita lakukan. Dah la…dah lenguh aku menaip ni…dibawah aku tampal beberapa perkara lain yang boleh kita lakukan untuk panjangkan lagi kesinambungan alam kita yang aku petik dari pelbagai tempat. Selamat berfikir!
atrtikel dalam Kosmo pada 27 mac 2009 boleh dilayari di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm


Generasi Hijau Nemgrads

Oleh ZAKI SALLEH

Atas kesedaran untuk memelihara kesejahteraan bumi, Nemgrads menyatakan tidak pada polisterina dan plastik.

HENTIKAN penggunaan beg plastik, gunakan produk mesra alam dan lakukan kitar semula atau menggunakan bekas jenis biodegradable.

Itu laungan 24 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang ingin meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya kemusnahan alam sekitar.

Menggelarkan diri mereka New Millennium Graduates atau ringkasnya Nemgrads, tema Kick Off Green Generation! dipilih mereka dalam usaha menerapkan budaya Generasi Hijau dalam masyarakat, khususnya golongan remaja dan warga kampus.

Sesuai dengan perkataan kick off, tema itu jelas menunjukkan satu tindakan keras membuang budaya penggunaan apa-apa barang atau perkakasan tidak mesra alam.

Kuasa tolakan itu bagi membawa perubahan dan menggalakkan satu kehidupan yang lebih sihat dengan menerapkan aktiviti berbentuk kehijauan dalam kehidupan seharian kita

Diperkenalkan sejak tahun 2004, setiap tahun program Nemgrads yang dilaksanakan oleh para pelajar tahun akhir USM itu dikehendaki mengadakan kempen yang menekankan isu-isu sosial sebagai sebahagian daripada projek akhir mereka.

Setiap tahun, isu-isu yang diketengahkan oleh warga Nemgrads itu berbeza-beza. Tahun ini, Nemgrads 2008/2009 melaksanakan kempen alam sekitar yang bertemakan Kempen Generasi Hijau.

"Demi mengejar perkembangan industri, banyak negara di seluruh pelosok dunia kini mengeksploitasikan sumber asli bumi sehingga kehijauan alam tidak mampu dikekalkan," ujar Pengarah Projek Nemgrads, Kumutha Vejeyan.

Menurut beliau, dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran disebabkan kemunculan pelbagai industri. Cabaran paling besar yang terpaksa ditempuhi oleh dunia adalah kemusnahan alam ekoran sikap manusia yang tamakkan kebendaan.

"Dengan dorongan untuk menyumbang sesuatu yang positif demi pertumbuhan ekonomi dan sosial, kami ingin menekankan keperluan mengamalkan aktiviti berbentuk kehijauan dalam kehidupan seharian kita.

"Melalui kempen jelajah di pasar raya Tesco, orang ramai diberitahu betapa pentingnya memelihara alam sekitar.

"Walaupun mungkin memainkan peranan kecil misalnya tidak menggunakan beg plastik semasa membeli-belah, tetapi ia memberi sumbangan besar kepada ekosistem dunia.

"Jika ia dijadikan budaya, akhirnya negara itu sendiri akan menyedari tentang kewajipan masing-masing dalam mengekalkan persekitaran di samping bersaing dalam memperoleh kuasa dan kekayaan," jelasnya.

Bermula 12 Januari lalu, ahli-ahli Nemgrads telah menjelajah ke 16 buah sekolah. Selain ceramah, mereka turut mengadakan pertandingan kraftangan menggunakan bahan kitar semula.

Jelas Kumutha, enam institusi pengajian tinggi sekitar Zon Utara, termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Perak menjadi lokasi persinggahan mereka. Antaranya Kolej Han Chiang, Kolej Olympia, Kolej Inti dan Kampus USM, Nibong Tebal.

Objektifnya, untuk memupuk dan menggalakkan para pelajar menggunakan daya imaginatif dan pada masa sama meningkatkan kesedaran mereka mengenai penjagaan alam sekitar serta mencipta generasi yang berjiwa hijau.

Kemuncak kempen hijau ini ialah bengkel kesedaran alam sekitar serta hari perasmian Kick-Off yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak dengan berlatar belakang hijau rimbun kawasan tapak konvo.

Dalam ucapannya, Dzulkifli menyifatkan usaha warga Nemgrads bertepatan dengan konsep universiti dalam taman yang diadun USM demi mengekalkan alam yang dikurniakan Tuhan.
"USM telahpun mengharamkan penggunaan polisterina, dan sumbangan ini menepati konsep pembangunan lestari, justeru USM benar-benar serius untuk mendahului usaha yang kini menjadi ikutan warganya," ujar beliau.

Pada hari tersebut, kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada warga kampus, pelajar sekolah dan kolej swasta menyertai acara Eco-Race yang memerlukan mereka melepasi lapan hentian.
Di sini para peserta diminta menyelesaikan puzzle dan menyelesaikan kod serta perkataan-perkataan rahsia yang berkaitan alam sekitar.

Sesuai dengan konsepnya, gerai jualan juga didirikan dengan konsep yang berbeza iaitu para peniaga dan pengunjung dilarang menggunakan beg plastik. Mereka boleh memilih untuk menggunakan produk mesra alam, kitar semula ataupun bekas biodegradable apabila membeli makanan mahupun ketika membawa barang-barang.

Bebola pembersih sungai

Oleh AZELI ALI

Bagaimanakah bebola yang diperbuat daripada lumpur menjadi bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan?

SEPERTI bermain pondok-pondok. Itulah yang dilakukan oleh 15 pelancong asing yang menginap di Golden Sands Resort (GSR) dekat Batu Feringghi, Pulau Pinang yang menyertai pertandingan membuat bebola lumpur.

Hakikatnya, ia adalah satu acara tanggungjawab sosial hotel itu untuk menyediakan bebola lumpur yang akan digunakan sebagai bahan pembersih sungai.

Bebola tersebut dibuat daripada tanah liat yang dicampur dengan cecair effective microorganism (EM) dan bahan buangan dapur seperti kulit buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menurut Ketua Pentadbiran EM Admins, Soo Lee Choo, bebola lumpur yang dipenuhi EM itu boleh diaplikasi di tasik, kolam atau sungai sebagai bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan.

"Sebanyak 1,407 biji bebola lumpur telah dihasilkan dan digunakan pada pelancaran kempen Pencemaran Kepada Penyelesaian anjuran Golden Sands pada 11 Mac lalu," jelasnya.

Lee Choo memberitahu, teknologi EM bola lumpur itu amat sesuai digunakan sebagai bahan membersihkan sungai yang tercemar kerana ia akan pecah perlahan-lahan seterusnya meningkatkan kualiti air.

"Konsep EM dibangunkan oleh Prof. Teruo Higa dari Universiti Ryukyus, Okinawa, Jepun yang mampu meningkatkan kualiti tanah serta perkembangan benih tanaman.

"Ia mengandungi bakteria asid laktik, yis dan bakteria fotosintetik, actinomycetes dan beberapa jenis organisma lain.

"Malah hasilnya juga dapat dilihat dalam masa yang singkat iaitu kira-kira tiga hari selepas bebola itu dicampakkan ke dalam sungai," katanya.

Selain bebola lumpur untuk pembersihan sungai, EM juga boleh digunakan dalam bidang ternakan sama ada menghindarkan lalat atau meningkatkan pengeluaran tanaman serta pengurusan sisa industri.

Dalam pertandingan tersebut, Elizabeth Bannerman dari England muncul juara dengan menghasilkan 231 biji bebola lumpur.

"Saya cukup teruja dan terhibur. Ia seperti kembali ke zaman kanak-kanak bersama rakan-rakan. Cuma, bezanya saya menghasilkan sesuatu untuk disumbangkan kepada kebersihan alam.

"Percutian ke Batu Feringghi ini cukup meninggalkan kesan kepada saya apabila dapat menyumbang sesuatu kepada alam sekitar," jelasnya.

George Lewis, 73, yang menduduki tempat ketiga pula berkata, usaha pihak pengurusan GSR ini wajar dipuji kerana menjadi peneraju kepada kempen seumpama itu.

"Biarpun seolah-olah bermain dengan lumpur tetapi sebenarnya ada sumbangan yang diberikan terhadap penjagaan alam sekitar dan mencegah pencemaran sungai.

"Saya harap banyak lagi hotel di Malaysia mengikut jejak langkah seperti ini agar sungai dan laut di Malaysia terpelihara," katanya.

Dalam pada itu, GSR turut mencatat rekod tersendiri apabila menjadi hotel pertama di negara ini yang mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Effective Microorganism (EM) melalui penghasilan ciptaan pertamanya, bebola lumpur.

Menurut Pengurus Besarnya, Bruno Cristol, bebola lumpur ini dianggap ajaib kerana keupayaannya membersihkan sungai dalam masa yang singkat.

"Sebagai tanggungjawab sosial korporat GSR, kami berhasrat menggunakan bebola lumpur ini sebaik mungkin dengan menjadikan Sungai Emas dekat sini sebagai sungai angkat kami untuk dipulihkan.

"Atas sebab itu jugalah, kami mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan EM sebagai usaha menjadikan bebola lumpur sebagai alat pembersihan yang menjaga kebersihan sungai, selain murah dan amat berkesan," katanya.

Beliau menyeru agar usaha yang sama dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk pengusaha tempatan yang berniaga di pesisir pantai Batu Feringghi bagi memastikan kebersihan pantai di situ.
Kalau benar anda cintai bumi ini, masih belum terlambat untuk lakukan sesuatu. Mulakanlah dari sekarang.