Seorang rakan aku letak status di FB tentang kebengangannya tahap gaban bila seorang rakan sepejabat yang gaji lebih tinggi suka ngendeng dan mintak makanan orang lain. Gaji lebih tinggi, campur kerja sampingan lagilah dapat ribu riban, tetapi masih berkira bab makan, bab nak isi anak tekak sendiri. Kalau anda berdepan masalah begini apa nak buat?
Sekali sekala memang boleh terima, tetapi kalau setiap hari dok ngendeng…belum sempat punchkad lagi dah tanya bekal orang, apa cerita. Perabut mahal mampu beli, nasi lemak kepak ayam nak isi anak tekak sendiri berkira pula.Macamlah bila mati angkut bawak sekali itu perabut mahal-mahal!
Bila orang bawa bekal, patutnya kita tahu yang dia sedang berjimat cermat untuk perbelanjaan lain terutama persekolahan dan keperluan anak-anak. Sekali sekala rasa sesuap dua lainlah, dalam pada tu juga, kita pun kenalah memberi jugak. Jangan asyik nak harap orang je hulur. Ramai mak di dunia ni dahulukan anak berbanding diri sendiri, walaupun ramai juga anak yang lupa diri bila berjaya dan buat mak macam kuli.
Kalau aku, ada beberapa cara akan aku buat. Antara cara yang aku guna bila berinteraksi dengan orang kebuluran nak makan percuma macam ni adalah;
- Bersindir pesan. Ramai orang tahu aku ni jenis marah anak sindir menantu. Biasanya orang kita memang hebat mentafsir makna tersurat dan tersirat, cuba bila sampai tang aku, jangan dok main cara ni sebab aku ni blur dan bendul…berfalsafah bagai aku memang tak reti. Kena bagi tahu terus terang je. Tak Berjaya cara ni, aku buat pula cara lain.
- Bungkus untuk dia satu, kemudian mintak dia bayar. Anggap sahaja dia memang suka dengan masakan kita yang sedap tu. Dia ambik bekal kita bagi tapi dia tak mau bayar? Tak apa, gunakan cara seterusnya.
- Gunakan psikologi terbalik. Setiap hari bawak bekal untuk dia dan pastikan bekal dia tu lebih banyak dari bekal kita sebab dia memang tengah kebuluran tak cukup makan dan dia juga tak mampu nak bayar bahan mentah dan kos penyediaan penat lelah kita tu. Jangan buat sekali dua je, silalah buat berbulan bulan lamanya. Kalau kita tak sempat masak dan beli nasi lemak tepi jalan tu, pastikan kita beli juga untuk dia. Kalau kita beli untuk diri sendiri sebungkus, belikan untuk dia dua tiga bungkus. Cara ni pakai modal sikitlah, tapi kalau aku…bila hati dah bengang tu, sanggup aje!
- Bicara hati ke hati, beritahu dia bahawa bekal yang kita bawa tu untuk isi tembolok sendiri sebab nak jimat untuk perbelanjaan lain. Tak jadi jugak? Suruh je lah dia bunuh diri. Apa ke jadahnya benak benar, benda macam tu pun nak tunggu orang ambil 4 langkah semata-mata nak bagi dia faham. Dengar cerita masa sekolah dulu hebat benar, bijak pandai…bab makan harta benda orang tanpa redha ni sama aje pun dengan menyamun. Hishhhh! Ilmu mantik tak cukuplah tu. Mai menuntut dengan aku, aku cuci kloroxkan kepala otak tu bagi hilang berpasir!
Bab makan ni kena beringat lebih sikit, jadi darah daging. Kalau makan pun main taram je, jangan buat tak faham kalau kehidupan kita tak tenteram, kacau bilau serba serbi rasa tak cukup walaupun gaji kita tinggi berangka-angka bertingkek-tingkek mengalahkan kondo mewah sebelah KLCC.
Ada orang, kerja biasa-biasa saja, gaji pun biasa-biasa sahaja, hidup pun biasa-biasa sahaja tapi kepala tak serabut. Hidup harmoni dan tenteram penuh kesyukuran dengan segala yang ada. Tapi ada orang lain, gaji tinggi pangkat tinggi kasut juga tinggi tapi ego juga tambah tinggi, hidup pun hanya nak meninggi-ninggi aje. Hanya hati di dalam sahaja tidak berapa tinggi darjah keselesaan dan ketenteramannya. Itupun kalau rasa tenteram dan bahagia tu lebih penting dari duniawi.
Aku hanyalah orang yang biasa-biasa sahaja, tak pernah idamkan pangkat tinggi-tinggi, gaji tinggi nak lah juga tapi tak adapun tingginya. Namun yang paling utama, alangkah indahnya hidup ni kalau tahap tenteram tu tinggi, tahap gembira dan ceria juga tinggi tanpa perlu tersangkut sendat dengan gundah gulana dengan duniawi. Dan, antara faktor ketinggian tahap bahagia itu adalah dapat menikmati setiap rasa di lidah dengan titik peluh sendiri. Nikmat! Ayat mudahnya, masak sendiri dengan hasil gaji sendiri…tak faham lagi? Tu pun nak kena cakap!
Lebih bahagia andai boleh ukirkan senyuman di bibir orang sekeliling kita, bukannya masam mencuka penuh dengan rasa meluat. Tak percaya? Cer cuba! Cer try! Hanya hati yang dapat merasa betapa tenteramkan diri walaupun cubaan kali pertama, kedua atau ketiga itu terisi dengan perasaan riak. Bila dah banyak kali ulanginya, syaitan pun malas nak desak lagi huh u huhu.
Selamat berusaha!
Anda tergolong dari golongan suka ngendeng makanan orang? Sila taubat cepat. Mana tahu orang dah sakit hati, diletaknya racun tikus dalam bekal tu, percuma aje masuk kubur tak sempat bersantai nikmat dengan perabut mahal yang kita beli tu!