Memaparkan catatan dengan label kenyataan media isu DNA babi dalam cadbury. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenyataan media isu DNA babi dalam cadbury. Papar semua catatan

Isnin, 26 Mei 2014

Mesyuarat Khas Isu Penemuan Dna Babi Dalam Produk Cadbury

Ini Kenyataan Media Penuh oleh KP Jakim
------------------
KENYATAAN MEDIA BERKENAAN
KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS ANTARA JAKIM, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA, KPDNKK, JABATAN KIMIA MALAYSIA DAN JABATAN STANDARD MALAYSIA BERKAITAN ISU PENEMUAN DNA PORCINE DALAM PRODUK KELUARAN SYARIKAT CADBURY CONFECTIONARY (M) SDN. BHD.
________________________

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini 26 Mei 2014 (Isnin) telah mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia berkaitan isu penemuan DNA Porcine dalam produk coklat susu dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh, Kementerian Kesihatan Malaysia. 

2. Mesyuarat ini telah diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung maklumat penemuan analisis DNA porcine bagi dua produk di atas, kaedah persampelan yang digunakan, penyelarasan maklumat analisis antara agensi dan tindakan lanjut yang bakal diambil oleh pihak-pihak berkaitan.

3. Jakim telah menghantar sampel kedua-dua produk berkenaan dan produk-produk lain dalam aliran pemprosesan (processing line) yang sama di kilang tersebut ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan pengujian. 

4. Untuk makluman, Makmal Jabatan Kimia Malaysia merupakan makmal rasmi yang digunakan oleh Jakim/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Makmal Jabatan Kimia ini juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisa makanan selain mendapat akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses (highly processed food).

5. Hasil keputusan mesyuarat bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut antaranya ialah:

5.1 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar secara rasmi laporan hasil penemuan analisis kedua-dua sampel produk berkenaan kepada Jakim bagi melengkapkan hasil siasatan.

5.2 Sebarang penemuan oleh mana-mana agensi yang melibatkan isu halal perlu diselaraskan bersama Jakim/JAIN selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dalam pensijilan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Oleh yang demikian, kenyataan berhubung isu halal hanya akan dikeluarkan oleh Jakim bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam.

5.3 Bagi tujuan pengawalan dalaman, selain dari pemantauan berkala yang dibuat oleh pihak Jakim, Jakim juga akan menetapkan pemegang Sijil Halal Malaysia perlu membuat pengujian berkala bagi produk dan ramuan kritikal (seperti ramuan berasaskan haiwan) di makmal yang telah mendapat akreditasi Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005.

5.4 Jabatan Kimia Malaysia akan mengeluarkan keputusan analisa dua produk berkenaan yang telah diserahkan oleh Jakim dalam tempoh 7 hari bekerja. Keputusan yang akan dikeluarkan oleh Makmal Jabatan Kimia Malaysia akan menjadi keputusan rasmi bagi isu ini.

5.5 Semua agensi perlu menjaga aspek integriti bagi manfaat semua pihak iaitu pengguna dan industri demi menjaga kredibiliti pensijilan halal Malaysia, meliputi aspek kesahihan dan penyebaran maklumat.

5.6 Jakim akan membuat kenyataan media selanjutnya sebaik keputusan dari Makmal Jabatan Kimia Malaysia diperolehi.

6. Sukacita dimaklumkan Jakim juga telah menghantar pasukan Pemantauan Dan Penguatkuasaan Halal Jakim untuk membuat pemeriksaan ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dilaksanakan.

7. Sehubungan dengan itu, semua pihak digesa untuk tidak membuat tindakan terburu-buru dalam isu ini bagi mengelak keresahan awam, sebaliknya menyerahkan tindakan dan keputusan selanjutnya kepada pihak berautoriti.


DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA

Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
26 Mei 2014