Memaparkan catatan dengan label bujang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bujang. Papar semua catatan

Rabu, 11 Februari 2009

Remaja Zaman Sekarang

Bila baca pasal kelakuan anak muda, anak remaja dan adakalanya anak yang dah beransur-ansur nak sampai senja ni, adakala rasa semacam pula. Kak Tie kita risaukan anak bujangnya yang masih lagi sekolah rendah. Masih disekolah rendah sudah di urat anak dara orang. Kerisauan Kak Tie tu boleh anda baca di http://kaytieze.blogspot.com/2009/02/apa-sudah-jadi.html

Memang susah jadi ibu zaman milaneum ni. Semua perkara nak kena risau. Banyak benda nak kena perhatikan. Perlu ditinjau. Cabaran hidup anak-anak kini pada zaman penuh pancaroba ini jauh bezanya dengan kehidupan kita pada musim-musim yang sudah. Masa seusia umur anak Kak Tie itu, aku rasanya masih lagi belum pandai nak mengurat anak teruna orang (sampai sekarang pun belum pandai-pandai jugak tu...). Bila di sekolah menengah, menyebut nama rakan-rakan sekelas lelaki pun kena marah.

Kebimbangan Kak Tie memang ada asasnya. Gejala sosial kian memberat kini. Toleh kiri kanan, hati jadi risau. Suasana masyarakat kita yang dah semakin maju dan TERBUKA masa kini (tak kira cara berfikir atau cara pakaian yang dikenakan...mmmm semuanya terbuka), bukan sahaja Kak Tie yang ada anak teruna itu sahaja yang risau. Aku pun risau jugak.

Aku sarankan agar rajin-rajinlah Kak Tie gunakan perkhidmatan awam. Dalam komuter, LRT ataupun monorel, Kak Tie boleh tengok macam-macam gelagat remaja yang ada masanya masih rebung lagi tetapi aksi mereka boleh buatkan muka kita yang dah jadi buluh ni memerah. Ramai antara mereka tak kesahpun untuk berpelukan mesra dalam perkhidmatan awam sebegitu lebih-lebih lagi kalau musim sesak dan sendat dengan manusia. Siap melentokkan kepala ke dada sang teruna lagi. Jadinya, kalau setakat anak teruna Kat Tie kena hendap tu, masih berada pada aras yang belum bahaya lagi. Kak Tie akan lebih risau bila anak bujangnya itu melangkah ke sekolah menengah.

Bukan semua remaja, muda mudi atau anak gadis dan teruna zaman ini yang sebegitu. Tak ramaipun, hanya segelintir sahaja. Namun yang segelintir itulah yang boleh sentap jantung kita. Sebenarnya masih ramai lagi anak-anak remaja, muda mudi dan si dara jetita yang masih tepu dengan kesopanan dan susila timur. Namun, kesusilaan dan budaya timur yang dibawa mereka ini buatkan mereka tidak begitu menonjol dan menyerlah di khalayak. Ataupun juga disebabkan mereka ini “normal” dan biasa-biasa sahaja berbanding dengan dua tiga kerat yang lain yang begitu menonjol atau sengaja menonjolkan diri itu. Itulah sebabnya mereka lebih mudah kita ingat, kita kenang dan kita rasa sakit kepala.

Buat anak-anak muda, adik-adik remaja dan anak bujang teruna alaf baru ini, jagalah susila diri. Jagalah Islam yang kita anuti. Jagalah nama baik ibu bapa. Jagalah juga susila timur yang kita dukungi. Remaja hanya sekali, jadi peluang yang datang hanya sekali itu usahlah dicemari dengan sesuatu yang akan kita tanggung akibatnya sepanjang hayat. Adik adik ini lebih bijak dari kami dahulu, jadi gunakanlah kebijaksanaan itu ke arah yang sepatutnya. Jika sekali buat silap, alangkah ruginya andai terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan berkenaan sepanjang hayat kita. Bukankah lebih baik kiranya usia muda digunakan untuk membina hidup yang lebih bermakna apabila dewasa nanti?

Fikir-fikirkanlah!