Memaparkan catatan dengan label apa nak cari dalam hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label apa nak cari dalam hidup. Papar semua catatan

Rabu, 23 Februari 2011

Berapa Banyak Cukup Untuk Kita?

Baru balik dari Seremban, terkurung 3 hari di sana siang malam tanpa dapat berhubung dengan dunia luar. Tak sempat sebenarnya. Semua perkara yang dibuat perlu dibentangkan hasilnya kepada cikgu yang mengajar kami selama hampir tiga hari siang dan malam itu. Jadinya, anak murid kenalah bersungguh-sungguh buat kerja, karang, kalau tak tahu buat termalulah pulak hu hu hu

Walau bagaimanapun, sempat juga curi-curi baca novel comel ini;


Bukankah hidup ini perlu diisi sepenuhnya dengan sesuatu yang kita suka. Walaupun tak mampu isi dengan penuh, sesuku penuh atau separuh penuhpun kira dah okey apa.

Sebenarnya, dalam tempoh ini, tersangat banyak yang ingin aku kongsikan dalam blog ini. Ada masa apa yang aku nak tulis di sini tak tertulis, apa yang nak kongsi tak sempat dikongsikan dan semuanya berlalu begitu sahaja. Hidup memanglah sangat komppleks. Kalau diikutkan, aku sendiripun kian tidak mengerti apa sebenarnya yang kita nak kejar dalam hidup ini. Kalian tahu tak apa yang kalian ingini dalam hidup ni?

Berapa banyak harta cukup untuk kita hidup di dunia ini? Berapa banyak RM kita perlukan? Berapa banyak kemewahan yang kita dambakan? Berapa tinggi pangkat nak kita capai, berapa banyak pengaruh yang kita idamkan? Berapa gulung ijazah nak kita gantung di dinding rumah? Berapa banyak itu, berapa banyak ini lagi yang belum cukup? Berapa? Berapa?

Setiap kali apa yang dihajatkan itu tercapai, setakat mana nilai kepuasan yang ada? Mengapa masih mahu mencapai hajat yang lain, yang lebih besar, yang lebih tinggi? Tamakkah? Halobakah? Atau sebenarnya keinginan untuk berada di atas itu masih tinggi dan meledak-ledak?

Tidak salah bercita-cita tinggi. Tidak juga salah ada impian yang besar. Lagi tidak salah kalau kita punya tenaga yang cukup untuk realisasikan impian dan cita-cita itu. Yang salahnya, bila kita pijak kepala orang untuk naik hanya kerana menutup peluang kita ke atas. Yang salahnya juga bila kita sabotaj orang lain agar persaingan tidak lagi menjadi sengit. Yang salahnya juga bila...kita gunakan cara yang tidak sepatutnya hanya kerana nak capai impian dan angan-agan sendiri.

Setiap apa yang kita buat, yang kita kejar, yang kita dapat...kita bertanggungjawab sepenuhnya. Kiranya semua itu diperoleh dengan cara yang tidak betul, kita perlu menjawabnya pada hari kemudian. Kiranya kita tidak berlaku adil dengan semua perkara yang sepatutnya menuntut kita bersifat sebegitu, kita juga perlu menjawabnya pada hari kemudian itu. Dan, lebih parah lagi...kiranya ada antara insan yang teraniaya dari tangan kita tidak memaafkan dan tidak redha dengan apa yang kita buat itu...bagaimana untuk kita menjawabnya nanti? Bersediakah kita?

Bagaimana kalau orang itu buka kaunter di padang Mahsyar? Perlukah kita daftarkan diri untuk senarai nama orang-orang yang perlu minta maaf daripadanya? Saat sangat-sangat memerlukan markah kebaikan untuk meniti siratulmustaqim, tetiba kena derma markah baik kepadanya untuk menebus maaf...sangat sadis kan? Pernah tak terfikir begitu?