Memaparkan catatan dengan label Wisma Bapa Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Wisma Bapa Malaysia. Papar semua catatan

Rabu, 28 April 2010

Cabutan Bertuah: Dapat Tahun Lepas, Ambil Tahun Ni

Pagi-pagi hanya sarapan dengan dua ketul roti dan air kosong. Rancangan hari ini nak ke Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching, kemudian ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk borong buku. Ambil teksi depan hotel. Diberitahu tambangnya RM20 untuk ke Wisma Bapa, namun, bila dah naik...jadi RM25. Kita tak akan menang punya kalau gaduhpun. Untuk pertama kali, aku rasa malas nak gaduh. Entah kenapa.


Nombor bertuah!



Di pos pengawal, aku diarahkan ke tingkat 6. Entah macam mana aku pergi ke tingkat 7. Jumpa dengan Puan Salmah, bergelak ketawa dalam setengah jam, dihantar jumpa Puan Mareia Datok Hassan di tingkat 6, kemudian dihantar lagi ke tingkat 9 jumpa Encik Endrew. Walaupun tak ada apa-apa yang boleh aku buat dalam “lawatan sambil belajar” ini, namun penerangan Encik Endrew sangat banyak membantu dan buatkan hati terubat terbang sejauh ini.

Jam satu tengahari, teksi yang dihubungi tiba di Wisma Bapa untuk bawa aku ke DBP. Semasa telefon, diberitahu tambang ke DBP adalah RM15 sahaja tetapi bila naik teksi, macam biasalah, depa mintak RM17. Alasannya, dia terpaksa bayar RM2 kepada pak guard yang telefon. Jadinya, penumbang yang jadi mangsa! Masa turun, aku hanya bayar RM16. Dia janji nak datang ambik jam 4 petang untuk balik ke bandar.

Di DBP, melayang RM302 untuk beli buku walaupun jumlah bukunya bukanlah banyak pun. Hanya satu beg kertas sahaja. Namun, mereka berikan satu beg berisi buku-buku (4 buah) yang aku menang cabutan bertuah semasa datang beli dulu. Dah bertahun dapat, tetapi mereka tetap simpan juga untuk aku. Tak sangka sebenarnya, ingatkan dah jadi arwah. Sangat gembira, sebab bukan selalu dapat cabutan bertuah. Tambah lagi, hadiahnya buku, bukannya makanan ringan ;).

Boleh tahan beratnya hadiah cabutan bertuah berkenaan!







Saje je letak sebelah sandel baru kan...

Jam 3.45 petang aku dah tercatuk berhampiran pondok pengawal tunggu teksi. Hingga jam 4.15, bayang teksi pun tak nampak. Akhirnya aku putuskan untuk tunggu teksi di tepi jalan. Namun, sangat jarang teksi yang muncul kat depan sana pun. Hingga jam 4.30 petang, tak nampak satu teksipun. Nak tak nak, aku putuskan untuk menapak sahaja ke jalan yang lebih sibuk sedikit. Keberangkalian untuk teksi muncul lebih tinggi. Lalunya, dengan sandel baru yang cantik itu, aku pun melangkah ke hadapan. Ikutkan, dah tentu jadi perhatian kerana tidak ada orang yang berjalan kaki dijalan yang lengang itu. Sangat mengundang untuk penjenayah melakukan aktiviti (nasib baik aku ni tak kelihatan seperti orang kaya yang berbaloi untuk disamun). Nak buat macam mana, memang tak ada pilihanpun.

Sejam berjalan rasanya, tetapi sempat juga snap gambar apa-apa yang indah di mata sepanjang jalan itu. Sempat dihulurkan salam seorang mak cik yang berskuter kerana aku berjalan di tengah-tengah jalan (pejalan kaki) berturap hingga menghalang dia ke hadapan dengan skuter chomelnya.




Besar sangat bulatan ini...nak masuk gambar pun tak muat!

Bila jumpa perhentian bas, aku berhenti di situ dan cuba tahan bas atau teksi yang melintas. Tak ada luck kot hari ni, bas pun tak nak berhenti, apalagi teksi. Hentian bas itu berhantu ke hingga menyebabkan semua teksi dan bas takut nak berhenti?

Stress pun tak guna. Penat memanglah penat. Dahlah berat jinjing buku (13.5kg beratnya), letih berjalan lagi. Nasib baik bawa bekal air mineral dan biskut. Jadinya, bosan menunggu, aku teguk air mineral dan kunyah biskut. Ada aku peduli orang lalu lalang tengok? Bukannya depa nak tolong bagi tumpang pun (kalau depa berenti nak bagi tumpang, agaknya aku akan tompang tak? Aku sendiripun tak tahu!).

Lebih setengah jam melongo tepi jalan sambil kunyah biskut, akhirnya seorang pemandu teksi yang ensem berhenti juga. RM15 dia mintak untuk hantar ke hotel. Kalau dia mintak lebih banyak dari itupun aku bagi je, memang dah tersangat penat. Lutut dah nak tercabut. Lapar. Dahaga. Lenguh kaki. Buku laliku terlihat benar bengkaknya. Semalam lupa nak urut!

Sepanjang hari ini mendung sahaja, jadi aku tak ke Waterfront untuk ambil gambar kerana suasananya tak cantik. Langit mendung. Jadi aku hanya ke KFC untuk dapatkan 2 ketul ayam goreng dan segelas oren untuk makan malam. Selepas berborak seketika dengan Cik Bintang, aku terus masuk gebar. Capek deh! Gempita orang karoeke hanya sempat sampai ke telingaku tak sampai 2 minit. Selepas itu terus PADAM.


15 April 2010.

Jam 8 pagi, aku pindah bilik. Kalau tinggal di tune.hotel ni, anda perlu check out jam 10 pagi. Tepat jam 10 pagi, semua alatan elektrik dalam bilik tidak akan berfungsi. Disebabkan penerbangan balik jam 4 petang, aku perlu bayar tambahan satu hari lagi harga bilik. Tidak ada caj mengikut jam atau separuh hari. Jadinya, melayanglah juga hampir RM70 hanya kerana aku nak mandi sebelum keluar nanti.

Hari ni aku bercadang nak habiskan masa beberapa jam untuk ke muzium di Kuching ni. Walaupun dah sangat kerap aku datang ke bandaraya ini, sebenarnya tidak pernah sekalipun aku masuk ke muzium. Aku memang tak suka muzium. Tak gemar melihat artifak dan benda-benda yang dah mati sebegitu. Berbanding muzium, aku lebih sukakan Zoo, lebih mesra dengan alam sekitar dan berinteraksi dengan hidupan, bukannya benda yang dah berkurun mati.

Berpandukan peta, aku ambil keputusan untuk berjalan sahaja. Menyusur Waterfront seketika sebelum melencong ke kawasan muzium bila tiba di hadapan panggung wayang.

Bangunan panggung wayang yang meriah, terpenuh warna pelagi. Letaknya bersebelahan dengan tokong Tua Pek Kong. Dekat juga dengan Muzium Sejarah China. Tepi Waterfront je.




Semasa teruja mengambil gambar tokong Tua Pek Kong yang terletak di simpang tiga berdepan dengan bangunan panggung wayang, aku terpandang seorang jejaka hensem yang bertopi, sedang leka menulis buku catatan. Bersopan orangnya. Ingatkan si kacak Sarawak, rupanya dari Tanah Jawa. Namanya Suhartono. Baru sahaja beberapa bulan mencari rezeki dan pengalaman di Bumi Kenyalang ini. Aduhhhhh Tono, masa sangat cemburukan aku kala itu, hanya beberapa detik sahaja kami berbual dan berjanji akan saling berkomunikasi secara maya. Soalnya, aku ngak punya FB!

Muzium Kuching terletak bersebelahan dengan Hotel Merdeka Palace. Bermakna berdepan dengan Padang Merdeka. Senyap dan sunyi keadaannya. Tak ramai pengunjung. Mungkin sebab bukan hari minggu. Setelah bertanyakan itu ini dikaunter, aku di sarankan untuk ke sana sini, namun maklumat yang aku perlukan tentang “Gawai” tidak aku peroleh kecuali pakaian yang dipakai semasa Gawai sahaja. Aku nak maklumat tentang Gawai, namun setiap kali tanya tentang hal itu walaupun kepada pekerja di muzium sana, mereka tidak mengetahuinya secara spesifik kecuali ... “cuti 2 hari setiap kali Gawai”. Hanya itu sahaja?







Ini namanya kubur. Kalau jumpa rumah yang dibina tinggi begini, jangan dok buat perak (bukan negeri Perak ya...peerakkk) dok pi panjat!











Akhirnya, aku ditunjukkan perpustakaan awam DBKU jalan P.Ramlee untuk buat rujukan. Dengan jakunnya aku ke sana, menapak saja. Sepanjang 3 hari di Kuching kali ini, bukan bumi sahaja basah. Bukan hati saja yang basah. Satu badan lagi basah. Dibasahi peluh. Mandi peluh. Bau tu usah dikiralah, memang wangi sangat. Pakai One Drop perfume pun tak jalan dah. Apa nak buat kan, jarang-jarang berpeluh, bila dah peluh...fuyooooooo dahsyat tu. Wangi amat! Sayangnya, maklumat tentang Gawai aku tak jumpa juga. Buku tu tak ada dalam simpanan perpustakaan walaupun dalam sistem pengkalan data memang ada. Malang betul nasib! Hati terubat juga bila jumpa buku tentang penan, terus saja aku fotostat buku tersebut. Fotostat sendiri lagi!

Dari perpustakaan, aku hayun langkah ke kawasan pusat bandar. Jangan salah beza antara kedua bangunan ini, nampak macam sama tapi sebenarnya berbeza. Letaknya sangat dekat antara kedua-dua bangunan ini. Usah keliru dengan kubahnya.



Masjid lama negeri Sarawak. Di bina entah berapa kurun lepas.
Di depannya aku tahan teksi dan balik ke hotel, terus janji dengan pak cik itu untuk hantar ke lapangan terbang dengan caj sebanyak RM26. Barang memang dah siap kemas sejak semalam. Jadinya, aku berada di bilik untuk rehat hingga jam 1.30 tengahari dan mandi sahaja. Sambil itu, aku makan roti yang tidak sempat dimakan walaupun dah beli sejak hari pertama datang. Alas perut sahaja, nanti akan makan di lapangan terbang.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang, aku mintak tolong pak cik pemandu teksi singgah di mana-mana kedai untuk beli kek lapis. Dan dia singgah di satu kedai yang menurutnya sedap kek lapis di situ. Harganya hanya RM10 satu. Semalam, aku ditawarkan dengan kek lapis berharga RM15. Kiranya murah RM5 dan pasti sedap. Agaknya lah. Aku bukannya tahu menilaipun kek lapis yang macam mana sedap tidaknya. Asal kek lapis, belasah sahaja.

Masa check in, bagasi aku seberat 13.5kg. Semuanya buku-buku sahaja. Pakaian aku masukkan dalam beg sandang, manakala kek lapis aku masukkan dalam beg kertas yang dibimbit. Berserta dengan novel Bahlut. Bekal untuk baca dalam penerbangan nanti. Nyatanya, novel itu hanya sempat aku baca ketika menunggu masa untuk berlepas sahaja kerana dalam penerbangan, aku menjadi kaunselor perkahwinan kepada seorang ustaz yang duduk di sebelahku. Macam tak logik pulak kan, aku yang masih belum terima akad daripada mana-mana lelaki lagi pun, telah beri kaunselor perkahwinan kepada seorang yang sepatutnya lebih tahu dari aku. Dia ustaz, dah tentu banyak ilmu agamanya, dia punya dua isteri, dah tentu tinggi juga ilmu psikologinya. Aku? Dua-dua aku tak punya hu hu hu. Apapun, aku sentiasa harapkan ustaz itu berjaya temui jalan keluar untuk masalahnya. Bukankah Allah hanya menguji hamba-hambaNya yang mampu sahaja? Bukankah Allah menguji hambaNya yang dicintai? Bukankah ujian itu adalah kasih sayang Allah untuk hambaNya mengutip sebanyak mungkin pahala bagi setiap kesabaran dan redha terhadap semua itu?

Jam enam tepat, aku sudah menjejakkan kaki semula di LCCT.