Memaparkan catatan dengan label WOW. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label WOW. Papar semua catatan

Khamis, 20 Disember 2012

PLUS Perkenal WOW Banteras Penipuan di Lebuh Raya


Berita baik kepada semua pengguna lebuh raya…cewahhhhh, macam iklan pulak!

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah melancarkan perkhidmatan ‘bengkel bergerak’ Workshop on Wheels (WOW) sebagai strategi dan pendekatan terbaru syarikat mengelakkan penipuan kepada pengguna lebuh raya menjadi mangsa penipuan syarikat trak tunda dan bengkel yang tidak bertanggungjawab bila kenderaan mengalami masalah dan terkandas di lebuh raya.

PLUS telah bekerjasama dengan pihak AAM bagi mengelakkan pengguna terus menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain perkhidmatan sedia ada oleh PLUSRonda ketika ini, perkhidmatan asas yang diberikan oleh WOW seperti menunda kenderaan ringan (Kelas 1) ke plaza tol, kawasan rehat atau hentian sebelah, memeriksa dan membaiki kerosakan kecil diberikan secara percuma kepada pengguna lebuh raya apabila menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan.

Pada ketika ini, PLUS tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menghalang trak-trak tunda memasuki lebuh raya, mengakibatkan pengguna lebuh raya yang terkandas terdedah kepada risiko penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengguna perlu telefon line PLUS, pasukan PLUSRonda akan diarahkan untuk ke lokasi di mana anggotanya akan memeriksa, membuat penilaian dan cuba membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Sekiranya kerosakan tidak dapat dibaiki, PLUSRonda akan menghubungi semula Pusat Kawalan Trafik PLUS sebelum unit WOW dikerah ke lokasi untuk memberikan bantuan seterusnya.

Selain itu, WOW turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan menukar alat ganti kenderaan seperti bateri kereta, radiator, kipas dan lain-lain dengan caj yang berpatutan. Semua kerja ini akan dikendalikan di lokasi selamat di lebuh raya tanpa perlu keluar dari kawasan lebuh raya dan membayar kos tundaan. Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna masih mahu menghantar kenderaan mereka ke bengkel pilihan masing-masing, mereka boleh berbuat demikian dan kos ditanggung oleh pengguna itu sendiri. Bagi mengelakkan kekeliruan dan keraguan pengguna, caj menukar alat ganti kenderaan dipaparkan dengan jelas pada kenderaan unit WOW untuk pengguna membuat penilaian

Fasa Pertama WOW akan meliputi laluan Seremban-Johor Bahru dan boleh diperolehi 24 jam setiap hari. Ia akan diperluaskan ke laluan-laluan lain di rangkaian lebuh raya PLUS secara berperingkat.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di semua lebuh raya kendalian PLUS menerusi perkhidmatan Twitter di www.twitter.com/plustrafik untuk memaklumkan pengguna lebuh raya tentang keadaan trafik terkini di rangkaian lebuhraya Utara-Selatan, ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Linkedua, lebuh raya Seremban-Port Dickson, Jambatan Pulau Pinang dan lebuh raya Butterworth-Kulim.

Orang ramai juga berpeluang mengikuti perkembangan terkini serta pelbagai promosi PLUS menerusi laman Twitter KembaraPLUS. Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk mengetahui apa-apa perkembangan lanjut.