Memaparkan catatan dengan label Tv alhijrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tv alhijrah. Papar semua catatan

Isnin, 27 Jun 2011

Kopi Luwak Tu Halal ke Haram?

Isu panas ni. Pertamanya, apa dia kopi luwak?
Kopi luwak merupakan jenis kopi yang dikumpulkan daripada hasil proses pencernaan luwak, iaitu sejenis musang yang hidup di hutan-hutan Indonesia. Bagaimana kopi ini diperoleh?

Kena tunggu musang yang makan kopi ini dahulu, kemudian...tunggu lagi hingga musang berkenaan menajiskan (opppssss! Ada ka istilah ni? Kalau aku tulis, musang ni akan “berakkan” biji kopi, rasa macam bahasa kasar pula. Jangan kata aku mencarut ya!).
Biji kopi yang dimakan musang ini dipercayai adalah biji kopi yang paling bermutu tinggi. Harganya juga mahal. Kalau ikut harga pasaran, kopi ni sangat mahal harganya; 10 kali ganda (harga termurah dipasaran). Masa tanya inche google nan ensem, harga 500g kopi ini mencecah usd90. Fuuuyoooooooo! Nak kena buru musanglah pulak kan! (bela musang nak kena ada lesen ya!). Sila google untuk tengok imej kopi ni ya...errr lagilah rasa tak lalu nak minum kopi ni (Opppps! maaf...imaginasi aku tanpa batasan kali ni. Ampun!)

Majlis Ulamak Indonesia (MUI) pada julai 2010 telah menghalalkan kopi luwak ini melalui fatwa nombor 4 dengan syarat biji kopi ini masih terbungkus lagi kulitnya, dan sekiranya ditanam akan tumbuh. Tetapi sekiranya biji kopi berkenaan didapati pecah kulitnya (terhadam) dan tidak tumbuh sekiranya ditanam, hukumnya haram dimakan. Errrr...maksudnya juga, biji kopi itu perlu dibersihkan dahulu ya sebelum diproses...bukannya diproses bersama najis musang tu!
Biji kopi yang dinajiskan musang, jika biji itu dapat tumbuh, ia dikira mutannajis (terkena najis), jadi ia boleh dimakan. Kalau tak tumbuh, bermakna ia dah jadi sebahagian daripada najis. Jadi tak boleh makan.

Kru tv al-hijrah telah ke jakarta untuk menyelidik tentang status halal kopi luwak. Sekarang ni, JAKIM melalui panel kajian syariah dengan kerjasama MARDI tengah menguji biji kopi luwak yang dibawa pulang dari jakarta masih dalam proses kajian untuk menanam atau menumbuhkan semula biji kopi ini sebelum dikeluarkan fatwa halal atau haram minum kopi luwak ni. Masih lagi mengkaji, melakukan ujian lanjut dengan kerjasama jabatan kimia. Jadi keputusan hukum halal atau haram minum kopi luwak ni di malaysia masih lagi belum difatwakan. Masih dalam kajian. Dianggarkan keputusannya diperolehi selepas ramadhan.

Sila bersabar menunggu ya...


Psssst: kalaupun kopi ni halal, terima kasih ajelah kepada sesiapa yang nak belanja kopi luwak ya...belanja aje aku minum benda lain. Errrr...bukan tak sudi, tekak rasa kembang sikit je. Banyak benda lain lagi seisi alam ni yang boleh ditelan kot selain kopi musang ni ;)

PssssT: Aku dah jatuh chenta dengan Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajidterutama bila dia cerita bab IsraQ MikraJ dalam rancangan Assalamualaikum di TV Al-Hijrah semalam. Ohhhhhhh!


KEMASKINI:


Berikut adalah fatwa dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,  JAKIM berkaitan Hukum Meminum Kopi Luwak(Musang).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatNya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 172 yang bermaksud:

“ Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah menetapkan bahawa: الأصل فى الأشياء الإباحة، ما لم يقم دليل معتبر على الحرمة iaitu hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagimana tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya. Ulama’-ulama’ fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut, selagi mana ianya tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.

Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan-pandangan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:

1. biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
2. biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.