Memaparkan catatan dengan label The Malay Chronicles-Bloodlines. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Malay Chronicles-Bloodlines. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mac 2011

Aku Hampir Gila Menunggu Hikayat Merong Mahawangsa

Aku tahu tentang kewujudan filem Hikayat Merong Mahawangsa masa tengok filem Magika tahun lepas. Tengok promo je pun, aku dah tahu filem itu akan jadi filem yang hebat. Kali ini, Yusry yang jadi pengarahnya dan bakal ditayangkan pada 10 Mac 2011. Tak sabar nak tunggu!


Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah filem yang menggabungkan cerita-cerita sejarah dan mitos tiga tamadun terkenal dunia iaitu Melayu, China dan Rom. Filem epik aksi yang akan ditayangkan di 72 buah negara itu dibintangi oleh Stephen Rahman-Hughes, Gavin Stenhouse, Jing Lusi, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Nell Ng, Khir Rahman, Craig Fong, Jehan Miskin, Umie Aida dan Mano Maniam. Beberapa pelakon dari United Kingdom, Sweden dan China juga terlibat dalam filem ni. Hikayat Merong Mahawangsa juga menggunakan 15 pelakon aksi lagak ngeri yang didatangkan dari Hong Kong. Filem ini menggunakan 50 peratus dialog dalam Bahasa Melayu dan selebihnya bahasa Inggeris. Ia membabitkan lebih 300 pelakon akan menggunakan judul The Malay Chronicles-Bloodlines untuk tujuan pasaran dan tayangannya di peringkat antarabangsa.

Apa yang buatkan aku lagi teruja sebab filem ini merujuk kepada Hikayat Merong Mahawangsa yang terkenal itu (aku je la kot yang kenal). Selain itu, kostum dan props dalam filem epik drama itu juga akan diimport dari Amerika Syarikat dan China kerana filem ini juga melibatkan Empayar Rom dan China. Kostum berkenaan mengikut daya imaginasi, kesesuaian watak dan latar masa kurun ke-11 sewaktu era kegemilangan Kerajaan Langkasuka. Empat buah kapal yang ada di antaranya berukuran 60 kaki kali 20 kaki saiznya telah dibina bagi menggambarkan jalan cerita filem ini di samping bantuan unsur-unsur CGI.

Filem ini juga menjadi filem Melayu pertama yang menggunakan lagu-lagu skor di dalamnya dengan kerjasama MPO (Malaysia Philharmonic Orchestra) dengan hampir 100 pemuzik. Lagu tema berjudul Sedetik Lebih sangat merdu dialunkan suara Anuar Zain. Jiwang sekejab aku hu hu hu

Sedetik Lebih: Anuar Zain



Lokasi penggambaran filem ini dilakukan sekitar Kuala Terengganu dan Besut di Terengganu, malah Kuantan dan Kuala Lumpur. Skripnya pernah dirombak sebanyak 16 kali dengan kos pembikinan filem ini hanya RM8 juta tetapi filem genre epik dan aksi itu dihasilkan bak sebuah produk bertaraf Hollywood yang sepatutnya mencecah ratusan juta ringgit. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membiayai geran lebih RM4 juta bagi pembikinan filem tersebut. Empat juta tu memang banyak, tetapi dengan hasil yang sebegitu, aku percaya pelaburan itu berbaloi.

Setakat ini filem Hikayat Merong Mahawangsa bukan sahaja mampu mencuri hati aku yang tak suka tengok filem Melayu di panggung, tetapi juga berjaya menarik perhatian ramai pengedar filem luar semasa menyertai Pasaran Filem Eropah (EFM) di Berlin, Jerman pada 11 hingga 21 Februari lalu. 25 pengedar dari 25 buah negara seperti United Kingdom, Jerman, Rusia, Perancis dan negara-negara Timur Tengah sudah pun menempah untuk mengedarkannya di negara mereka. Kagum tak?

Tengoklah macam mana mereka buat promo…fuyoooooooooooooooo! Macam bukan filem Malaysia je.

Hikayat Merong Mahawangsa (Official Teaser)



Hikayat Merong Mahawangsa (Official Bahasa Malaysia Trailer)



KRU juga pandai promosikan filem ni. Biasanya orang buat program Di Sebalik Tabir... Atau The Making Of...sahaja, tetapi hikayat ini tampil dengan sebuah program dokumentari khas. Itu yang aku tabik spring tu. Dokumentari ini digunakan mereka untuk mengelakkan masyarakat daripada terus keliru mengenai mitos Merong Mahawangsa yang selama ini diceritakan secara turun-temurun oleh nenek moyang kita.

Ada 3 siri di sebalik tabir Hikayat Merong Mahawangsa di Youtube. Silalah cari sendiri kalau nak tengok.

Terdapat pelbagai versi dan tafsiran tentang naskhah Merong Mahawangsa yang asal, dokumentari memberi peluang kepada penonton untuk menilainya melalui beberapa sesi temuramah dengan pakar-pakar berkaitan. Antara individu yang terlibat dalam penghasilan dokumentari itu ialah Datuk Wira Mohd Shaarif Abu Samah (wakil Istana Kedah), S. Mohan (Presiden Hindu Sangam Malaysia), Prof. Emeritus Datuk Khoo Kay Kim (Sejarawan), Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof (Sejarawan Negeri Kedah) dan Datuk Dr. Siti Hawa Salleh (Ahli Filologi dan Pengkaji Buku HMM). Dalam erti kata lain, ia adalah penterjemahan intelektual untuk menyokong penterjemahan berbentuk hiburan bagi filem HMM, barulah orang lebih yakin. Bukan calang-calang orang tokoh yang ditemubual. Semua mereka ini pakar dalam bidang tersebut. Ada sesiapa lagi yang berani pertikaikan?

Ini promosi percuma sebelum filem ni pecah panggung. Yusry tak pernah bayar aku apa-apa untuk promosi filem terbarunya ini, tetapi aku sangat-sangat bangga dengan usaha mereka. Pada masa hadapan, mereka akan jadi lagenda dalam industri perfileman negara kita, macam apa yang telah dicipta oleh P.Ramlee. Harap-harapnya, selepas ini, kita tak malu lagi nak masuk panggung untuk tengok filem Melayu. Errr…ada sesiapa nak ajak aku tengok filem hebat ni tak?