Memaparkan catatan dengan label Pulau Kipalai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pulau Kipalai. Papar semua catatan

Khamis, 24 Jun 2010

Mabul, Aku Datang Menggendong Cinta Yang Sarat

Blog Abdnaddin telah menceritakan pengalaman penulisnya tentang Semporna dengan tajuk Catatan kecil di Semporna. Penulis blog ini ada menyebut nama beberapa buah hotel dan chalet yang ada di semporna. Sayang sekali tidak dinyatakan nombor yang boleh dihubungi untuk memudahkan orang lain dapat maklumat kalau nak ke sana. Apapun, mungkin anda boleh tanya Inche Google, mana tahu maklumat ada di sana.

Kalau menyelak laman
Tourism Malaysia, anda akan peroleh maklumat asas tentang pulau indah ini. Pulau Mabul dikatakan salah satu lokasi fotografi-makro terhebat di dunia. Pulau ini yang terletak di perairan jernih Laut Sulawesi tidak jauh dari pantai Sabah di kelilingi terumbu karang yang melandai sedalam 2 hingga 40 meter. Pulau seluas 21 hektar ini lebih besar dari Pulau Sipadan dan menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut yang merupakan salah satu etnik pribumi Negeri Sabah.

Perjalanan bot ke Pulau Mabul mengambil masa 1 jam 15 minit dari Semporna menggunakan bot laju dan 20 minit dari Pulau Sipadan. Mungkin ada yang menganggap, menggunakan kapal yang lebih besar akan cepatkan perjalanan (akupun anggap macam tu juga), tetapi sebenarnya kapal besar perlu berenang (berenang? Ohhhh tidak! Belayar ya...) ke tengah lautan untuk mengelak daripada melanggar coral, batu karang atau kawasan cetak berbanding bot kecil. Penduduk tempatan juga menawarkan perkhidmatan perjalanan ke pulau-pulau berhampiran Semporna termasuk Mabul, namun perlu juga diambil kira bab keselamatan. Biasanya bot mereka tidak begitu dilengkapi dengan peralatan keselamatan berbanding bot-bot yang diusahakan agensi pelancongan. Ini sangat penting terutama bagi anda yang tak tahu berenang macam aku ni...gerun je memanjang. Walaupun airnya cantik, tetapi sangat dalam. Dah jatuh ke dalam laut, timbulnya selepas 6 jam ohhhhhh derita!

Di Semporna boleh menginap di sini dulu, sebelum ke pulau-pulau. Atas air!


Menyelam skuba adalah aktiviti utama di pulau ini dan selaman boleh dijalankan sepanjang tahun. Antara hidupan laut yang terdapat di sini ialah kuda laut, tapak sulaiman, ikan goby, ikan baji-baji, 'pipefish' dan belut ular. Terdapat lebih dari lapan tapak selaman yang popular di sini di mana setiap satu dengan kelebihannya yang tersendiri. Ada kala anda akan beruntung, bertemu sang penyu…ataupun ikan yu…fuyoooooo jaw ada tak? Alamak! Seram la pulak!

Terdapat tiga buah resort (Sipadan Mabul Island Resort, Sipadan Water Village & Borneo Divers) menyediakan tempat penginapan untuk penyelam skuba - dua terletak di pulau ini sementara satu lagu terletak di atas sebuah pelantar minyak yang telah diubahsuai kira-kira 500 meter dari pinggir pantai. Kesemua resort ini boleh mengatur lawatan sehari ke pulau yang berdekatan iaitu Pulau Sipadan dan Kapalai. (nak pergi ke Pulau Sipadan memerlukan permit. Permohonan untuk permit ini ambil masa sebulan. Kalau berminat nak pergi ke Sipadan, pastikan mohon permit ni awal-awal kerana setiap hari hanya dibenarkan 100 orang pengunjung sahaja sebagai langkah menjaga kelangsungan Sipadan. Sila cari info tentang pulau tercantik ini mengapa peraturan sebegini digubal. Sipadan sebenarnya satu pulau yang sangat kecil, jadi perlu dijaga sebaiknya sebelum tercemar dengan lebih teruk). Di resort ini, boleh tahan harganya, hingga ada yang cecah hingga RM450 semalam (nak berbulan madu bolehlah kot…kalau aku bulan madu, pilih resort kat pulau Kapalai terus hu hu hu).

Walau bagaimanapun, terdapat banyak homestay dan chalet ekonomi yang turut menyediakan pakej yang sama seperti resort berbintang-bintang ini, tetapi dengan kos yang jauh lebih murah tetapi masih lagi selesa. Antaranya
ScubaJeff boleh tengok kat blog ni juga dan facebook kalau minat. Kebetulan terjumpa nombor mereka, bolehlah hubungi 0178614391 @ 0195855125) Dah jadi macam iklanlah pulak blog ni kan. Tak apa...untuk kemudahan orang lain yang bercadang nak ke sana. Homestay Noryati ni pula kepunyaan ketua kampung kat Mabul, menjadi kegemaran pelancong asing terutama US, Jepun dan Taiwan. Masa kami singgah, penuh dengan mat salih dok melepak. Homestay lain yang penuh dengan pelancong asing adalah Uncle Chang. Sekiranya anda pergi berkeluarga, pada pendapat saya tempat ini tak begitu selesa untuk keluarga kerana ramai sangat mat saleh. Kecualilah anda memang nak jamu mata hu hu hu.




Kami menginap di Sphere Divers , menggunakan pakej BJ yang beroperasi di jeti Semporna. Pakej berkenaan meliputi penginapan dua hari satu malam di Spheredivers termasuk makan, bot laju pergi balik ke Mabul dan tiga kali snorkling di Mabul dan Kapalai. Kat homestay ini ada lebih kurang 10-12 buah bilik sahaja dengan 3 bilik air untuk dikongsi, tetapi tempatnya bersih dan selesa. Tak begitu ramai orang, tenang dan bestlah. Tak ada nyamuk juga. Pekerjanya juga peramah. Homestay ini dikongsi dua orang yang kedua-duanya sangat baik.



Homestay penginapan kami, ketika air surut.
Macam kat rumah sendiri, sila layan diri!



Boleh tengok senja kat sini...tunggu Duyong timbul juga!


Rata-rata homestay di Mabul mengenakan harga yang sama iaitu RM70 seorang sahaja semalam, tetapi sekiranya menggunakan agensi pelancongan, harga itu dah jadi RM80 seorang. Harga ini termasuk makan minum yang disediakan untuk sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Sekiranya rasa nak minum selain daripada waktu ditetapkan tu, disediakan semua bahannya tetapi kena buat sendiri. Siap dengan biskut dan roti juga. Percuma sahaja, hanya kena rajin bancuh sendiri. Rasa macam kat rumah sendiri pula. Hanya satu sahaja, janganlah nak berangan untuk guna barangan elektrik pada siang hari kat sini, maklumlah pulau kan. Mereka guna generator sendiri. Hanya boleh guna pada jam 5 petang hingga 8 pagi sahaja. Jadinya, kalau nak caj semua barang elektrik tu, cajlah semuanya pada malam hari.

Tinta Keris memberi gambaran tentang homestay di atas air. Pengalaman menarik di Pulau Mabul yang jarang diperincikan boleh dibaca di ScubaJeff. Kat blog ini juga anda boleh dapatkan maklumat dan hubungi penulisnya untuk percutian kat pulau indah ini. Siap ada pakej lagi. Aku tak dapat apa-apa bayaran untuk promosi ini, tetapi aku sangat suka untuk sebarkannya kepada semua orang. Pertama sebab aku suka caranya menulis cuba promosikan pulau ini, kedua nak tolong anak bangsa aku majukan perusahaan mereka dan ketika, memudahkan orang lain yang berminat untuk pergi ke sana. Banyak tip juga disertakan dalam blog ini selain gambar-gambar yang menarik. Anda tak akan menyesal ke blog beliau. Jangan lupa jaga keindahan pulau tersebut ya kalau ke sana...indah itu terlalu mudah untuk dimusnahkan, tetapi sangat sukar untuk terus menjaganya. Tak ada ganti lagi kalau dah hilang.

Sewaktu bot meninggalkan jeti di Semporna, airnya yang kehijauan menghiasi pandangan. Sangat jernih. Terlihat hingga ke dasarnya. Setelah setengah jam meninggalkan jeti, perlahan-lahan, warna air laut mula berubah menjadi biru pekat. Dikejauhan juga kita boleh nampak kawasan penanaman rumpai laut. Aku kagum dengan mereka, berkerja di ladang rumpai menggunakan perahu. Atas air. Aku yang tidak tahu berenang ini sangat kaguminya!

Ketika bot mendekat ke jeti rumah penginapan, sudah jelas terlihat keindahan pulau ini. Airnya membiru dan jernih. Pohon kelapa melambai. Angin yang menderu bak sutera yang membelai pipi. Tiada perkataan sebenarnya untuk memperincikan tentang keindahan ini.



Di Mabul, kita boleh snorkling di kawasan resort sahaja, tak payah ke laut dalam. Sangat cantik terumbu karangnya. Geram sangat, rasa nak pijak je (Awas, jangan pijak...dia pun nak hidup juga kan?) ikan-ikan juga pelbagai, berwarna warni. Kecil-besar...kalaupun kita tak usik, ada masanya ikan-ikan tu datang  kerumun. Geram je nak tangkap seekor. Ada masanya kita boleh tengok ketam, sotong kurita, timun laut, tapak sulaiman dan macam-macam jenis ikan hanya di jeti atau pelantar homestay sahaja. Airnya dahlah jernih, bila surut, kita boleh ke tengah laut mencari kepah atau tangkap ikan. Kalau bernasib baik, anak penyupun boleh datang jenguk kita. Rasa macam tak percaya sahaja.

Pulau Mabul kecil sahaja, boleh pusing keliling dalam masa 2 jam. Itupun sambil jalan, borak, ambil gambar dan berbual-bual dengan penduduk tempatan. Namun, ia masih lagi lebih besar berbanding pulau Kapalai dan Pulau Sipadan. Keistimewaan Kapalai aku akan tulis dalam entri akan datang. Kali ini tentang Mabul sahaja.

Di pulau Mabul ni, kita boleh jalan-jalan sambil melihat cara hidup masyarakat tempatan. Mungkin ada yang beranggapan bahawa penduduk di pulau ini sangat popular kerana tidak bertamadun seperti ditulis ramai pengunjung. Namun begitu, ia sebenarnya salah tanggapan sahaja. Kalau tanya Inche Google dan melihat gambar-gambar di internet, kita akan jumpa wajah anak-anak yang telanjang bulat, berambut perang dan comot dengan cara hidup primitif. Nampak macam kerajaan Malaysia ini sangat tidak mempedulikan rakyatnya sehingga mundur sebegitu sekali.

Sebenarnya, terdapat dua kelompok penduduk yang menetap di Pulau Mabul, iaitu Bajau dan Palauh ataupun lebih dikenali sebagai Bajau Laut. Kaum Bajau dan Palauh (Bajau Laut) adalah dua bangsa yang berbeza. Suku kaum Bajau, Suluk dan Bugis yang terdapat di daerah Semporna adalah dari kumpulan suku-bangsa 'Malayo-Polinesia'. Keturunan bangsa-bangsa ini beragama Islam turun-temurun dan mengekalkan adat-budaya mereka. Kaum 'melayu' disini adalah merujuk kepada keturunan bangsa dari Semenanjung Malaysia. Namun budaya suku kaum yang disebutkan ini tidak jauh dari adat Melayu. Selain dari bertutur dalam bahasa ibunda, mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu (dialek Sabah). Adat-adat lain seperti menghormati tetamu, memuliakan golongan yang lebih tua, perkahwinan dan majlis sambutan perayaan adalah sama seperti kaum melayu lain.

Budak lelaki ni mintak difotokan

Mahir membuat perahu dan bot


Skodeng dari homestay

Tetiba terkenangkan zaman anak-anak dulu...aku juga pernah pam air begini

Macam kabel letrik, sebenarnya paip air

Bukan aiskrim yang tergantung tu, tapi keperluan harian seperti minyak masak, sos cili, kicap, softlan...hanya 20 sen. Sangat kreatif!

Kaum Bajau ini memang tinggal di darat, menjadikan laut sebagai sumber pendapatan dan rezeki. Akhir-akhir ini, mereka juga mula lebih kreatif dan tahu komersilkan keindahan Mabul dengan terbinanya beberapa buah homestay. Walaupun homestay ini tidak sehebat resort atas air yang mahal itu, namun kemudahannya lengkap. Mereka juga sangat mahir dengan laut termasuk berenang dan scuba. Jadi, ramai dikalangan mereka menjual kepakaran ini kepada pelancongan. Mereka juga pandai berniaga. Sangat kreatif. Disebabkan taraf hidup yang rendah dan pembeli juga tidak mampu untuk membeli barangan dalam kapasiti yang besar, para pekedai runcit ini telah membuat isian semula untuk banyak barangan keperluan harian seperti sos, kicap, minyak masak, hingga kepada pelembut kain. Semua itu diisi dalam plastik yang selalu kita guna untuk buat aiskrim Malaysia dan digantung di kedai runcit mereka. Setiap satunya dijual dengan harga 20 sen sahaja. Sangat kreatif.

Anak-anak Bajau (bukan palauh), termasuk yangtudung purple tu kot hu hu hu
Semangat 1Malaysia...PM mesti bangga ni

Aktiviti masa lapang...sementara tunggu malam

Perkataan 'Bajau-Laut' yang merujuk kepada 'palauh' adalah tidak tepat dan disalahertikan. Kaum Palauh ini hidup di perahu, kebanyakkannya tidak ada agama dan tergolong dalam kumpulan 'orang asli' dan hidup secara nomad, macam gipsi. Mereka hanya singgah ke daratan untuk mendapatkan keperluan harian (makanan, sumber air bersih) dan ketika kecemasan. Perkara menarik tentang Palauh adalah mereka 'tidak berasa takut' dengan haiwan laut biar sebesar mana sekalipun. Mereka juga pelayar dan penyelam yang handal. Palauh dilindungi oleh PBB (United Nation) dan kaum ini tiada kena-mengena dengan orang kepulauan Republik Palau di kawasan utara Laut Pasifik. Mereka tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara kerana hidup dan dilahirkan di tengah lautan. Di sini, petempatan mereka sangat hampir dengan pantai. Lokasinya pula betul-betul di belakang resort bertaraf bintang-bintang itu. Jadinya, kita boleh melihat dua bentuk kehidupan yang sangat jauh berbeza. Resort yang indah penuh dengan ciri-ciri Malaysia dengan buatan kayu nan kukuh, indah mata memandang, tinggi kos buatannya...sedangkan di pesisir pantai yang terletak di belakang resort ini, kita boleh lihat petempatan masyarakat palauh ini. Macam dalam filem purba. Nak buat penggambaran untuk filem pendekar memang sangat sesuai. Dan golongn inilah yang sering dieksploitasi gambar mereka dalam internet atau tulisan-tulisan asing, menggambarkan betapa mundur dan tidak bertamadunnya negara kita. Menyerlahkan betapa kita tidak pernah hiraukan pembangunan masyarakat tempatan, membiarkan mereka bertarung dengan alam untuk hidup.

Perkampungan Palauh


Di Pulau Mabul, sebahagian daripada mereka telah mula tinggal di darat dengan corak kehidupan yang sangat dhaif, lebih tepat lagi sebagai “sangat tidak bertamadun”. Mereka hidup dalam keadaan seadanya sahaja, iaitu untuk makan, berjudi dan minum. Keperluan mereka tidak banyak. Kawasan petempatan mereka juga sangat tidak terurus, lebih tepat lagi dikatakan sebagai kotor dan cara hidup tanpa tamadun. Sekiranya anda berjalan-jalan di kampung ini, awasi dengan kaki...bila-bila masa sahaja kaki boleh terpijak bom terutama di kawasan tepi pantai. Anak-anak tidak terurus. Ada yang bogel dan berkaki ayam, ada yang hanya mengenakan baju lusuh dan ada juga yang hanya berseluar sahaja.

Apabila nampak pengunjung luar, mereka ini tanpa segan silu akan meminta duit. Bila diberitahu tak ada duit, mereka akan minta coklat pula. Ada antara mereka sangat agresif hingga mengikut kita kemana sahaja kita pergi hingga kita berikan duit. Namun awas! Apabila anda berikan kepada seorang, jangan terkejut kiranya anda akan diserbu oleh puluhan kanak-kanak yang lain. Sekiranya tidak mahu timbul masalah, anda perlu buat muka kering tanpa perasaan dan tidak melayan kerenah mereka walaupun sebenarnya rasa kasihan itu sangat menimbun.

Anak-anak ini juga sangat pandai beraksi di hadapan kamera. Tak perlu arahkan pun, mereka boleh posing maut punya...gaya macam-macam. Kalau takat artis Malaysia tu, mereka lagi pandai bergaya sakan. Selepas itu, macam biasalah, kena hulur duit. Walaupun hanya beberapa kerat sahaja yang memberikan gaya maut untuk dirakamkan kamera, bila tiba masa untuk beri bayaran atau upah coklat, anda akan diserbu. Cakap apapun mereka bukannya faham. Nak tak nak, terpaksa juga beri.

Tanpa perlu arahkan apa-apa, mereka memang pakar beraksi


Kena serang!

Sila beratur! Ada depa nak heran dengan arahan sebegitu?

Berjaya disuraikan bila wafer dah habis. Namun...yang yang tak dapat terutama yang kecil. Wajah hampa mereka sangat mengundang belas. Apa nak buat, hidup penuh dengan persaingan, mereka kena faham.

Golongan dewasa pula akan berjudi kalau tidak ke laut. Melewati perkampungan ini, kita boleh bau sesuatu yang kurang menyenangkan. Boleh juga bau masam arak. Botol-botol arak boleh dilihat merata tempat. Jika melewaki kawasan rumah-rumah mereka ini, rasa tak sampai hati pula untuk tidak menyingsing kaki seluar. Risau sangat ada sesuatu yang akan terpalit dan akan kita bawa baunya merata-rata tempat. Bom atom lah tu...

istana mereka di belakang resort berbintang-bintang

Dua hari menyaksikan kehidupan, meneroka kegiatan dan gelagat mereka, sesaat aku pernah terfikir: andai ditakdirkan aku lahir dalam masyarakat ini, bagaimana takdir diri? Lahir di atas perahu, di tengah lautan.... bersama gelombang, dibesarkan air masin dan laut ini menjadi gelanggang hidup, bagaimana arah tuju yang boleh aku pilih? Mampukah aku meredah samudera luas, mencari daratan yang lebih banyak gelora hidupnya, kemudian bersaing dengan manusia lain yang adakala sangat haloba untuk aku saingi, ataukah ...sebenarnya kalah sebelum sempatpun untuk berjuang. Adakah gelombang di tengah samudera itu lebih mudah diharung berbanding badai di daratan?

Andai puluhan tahun lepas aku dilahirkan dalam perahu di tengah lautan, berlatarkan keindahan Pulau Sipadan, kejernihan Mabul atau kekayaan Kapalai ini, akan begini jugakah nasib dan takdir hidupku? Akan lebih menghargai dan mencintai alam sekitar sebeginikah, ataukah aku juga antara yang akan menyumbang kepada jumlah plastik, botol minuman atau sampah yang timbul di permukaan laut, walaupun hakikatnya setiap hari aku menyelam dasarnya mencari sang duyong yang kesepian antara indah taman karang? Akan cuba memahami erti hidup dengan lebih luaskah, atau hanya jalani setiap hari yang datang tanpa merancang apa-apa selain sebuah kehidupan untuk hari ini; apa yang mahu dimakan pada hari ini?

Isu Palauh ini telah Mazidul kupas dalam 999 sekejab tadi dari pelbagai sudut.

Oklah, jom nikmati keindahan pulau Mabul. Tak payahlah fikir banyak-banyak, karang mati pula sel-sel otak kerana lebihan caj elektrik yang mengalir. Boleh gitu ek? Sematkan dalam minda untuk berada di pulau ini biarpun satu saat dalam hidup anda. Syurga dunia antaranya ada di sini.

Secara keseluruhan, Pulau Mabul memang menawan. Namun, jika prihatin dengan persekitaran, kita boleh lihat betapa suatu hari nanti kita akan kehilangan indah itu. Apa tidaknya, bukan sahaja di Semporna penuh dengan sampah sarap, plastik, botol-botol air minuman yang terapung dan segala macam sampah sarap (termasuk pampers), tetapi di pulau ini juga suasana itu boleh kita lihat. Bila air pasang, semua itu dibawa ke tengah laut.

Sampah sarap ini telah menyebabkan bot kami mati enjinnya beberapa kali kerana tersangkut dengan plastik. Susah sangatkah untuk tidak buang sampah ke laut? Mmmm bagi yang dah biasa buang saja sampah ke mana SAHAJA nak dibuang, memang susah kalau nak buang sampah dengan cara yang teratur, namun kata orang, kalau nak buat memang boleh sahaja. Yang susahnya bila tak nak buat. Bila tak mahu menyusahkan diri. Apalah sangat ertinya alam sekitar yang bersih kan, esok luasa dah nak mati. Apa yang berlaku kepada alam ini pada masa depan bukan lagi urusan kita kan? Hu huhu...silalah buang sampah merata-rata ya! Sila! Sila!


Budak hensem ini sangat teruja untuk terjun ke dalam laut.



Satu, dua, tiga...senyum!


Jom pi scuba!



Kolek berkolek di dada laut...
Laut sepi, bot sepi, jeti sepi dan aku...sendiri!
Bila langit dan laut bersatu




Tiada lagi kata-kata mampu dilafaz






Gigi ikan...RM500 Opsssss untuk dibuat rantai



Remaja ini gembira wajah mereka dirakamkan. Sedang main gitar sambil menyanyi di jeti lama dalam warna senja nan indah.

Saat air surut di tepi homestay. Dalam perahu itulah Bajau Laut tinggal ketika singgah di darat untuk dapatkan keperluan mereka, kemudian ke laut lepas semula.

Perkampungan di belakang homestay.

Perkampungan Palauh (Bajau Laut yang tinggal di darat). Banyak beza dengan kampung penduduk Bajau tempatan.
Skodeng minah saleh nak terjun kejar Duyong. Aku... masih lagi menanti sang putera bawa ke taman karang mengungkap lafaz cinta...

Sangat jernih dan indah. Dari atas botpun boleh nampak ikan berenang dan karangan laut, apalagi kalau orang atau sang putera laut ya. Memang geram nak terjun walaupun tak tahu berenang.

Teruja tak? Belum lagi?
Entri akan datang tentang Pulau Kapalai. Mesti teruja ;)