Memaparkan catatan dengan label Pantai Lok Nga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pantai Lok Nga. Papar semua catatan

Isnin, 7 Jun 2010

Ketika Toleh ke Belakang, Tinggal hanya Kenangan

Entri ini mencatatkan beberapa perkara lagi tentang Aceh. Ini merupakan entri kedua terakhir yang akan bercerita tentang Aceh.

Pasar Aceh

Pasar Aceh (asalnya dieja Pasar Atjeh), letaknya bersebelahan dengan masjid Baiturrahman. Betul-betul bersebelahan. Yang tinggal dan masih utuh hanyalah pintu gerbang tertulis namanya sahaja. Bahagian yang lain telah alami pengubahsuaian.




Bangunan baru Pasar Aceh yang dibangunkan dan naiktarafkan oleh kerajaan Jepun.



Gerai-gerai sirih banyak ditemu di sekitar pintu masuk Masjid Baitulrahman dan Pasar Aceh.




Di pasar ini, boleh beli semua barangan dan buah tangan seperti mukana (telekung solat), pakaian, baju T dan pelbagai barangan termasuk kerajinan tangan. Aku tak beli apa-apa di sini kerana mereka (penjual) tidak mahu turunkan harga. Maklumlah, mereka sangat tahu kita ni orang Malaysia. Kalau turunkan hargapun hanya sekadar RP5 ribu sahaja. Macam terlalu sadis untuk aku beli barangan yang hanya dapat diskaun tak sampai RM3 pun. Adussssss!

Di blog Taufik Al Mubarak Aku menemukan catatan beliau tentang pasar terkenal ini. Kiranya anda rasa nak tahu catatan beliau tentang pasar ini, silalah ke blog ini. Aku malas nak copy and paste isinya kat sini, nanti jadi sangat panjang pula.

Lonceng Cakra Donya Di Banda Aceh


Lonceng Cakra Donya Aceh ini terletak di Jalan Sultan Alaidin Mahmud Syah, iaitu di halaman Muzium Aceh dan Rumoh Aceh. Berdekatan dengan kawasan ini juga terdapat makam Sultan Iskandar Muda. Sekiranya anda ke kawasan Muzium Aceh, anda pastinya akan singgah di Rumoh Aceh yang berada di sebelahnya dan melihat Loceng Cakra Donya yang berada berhampiran dengan pos pengawal. Di sebelah (terpisah dengan pagar), terdapat makam Sultan Iskandar Muda dan beberapa monumen peluru dan meriam perang.

Loceng Cakra Donya merupakan antara ikon terkenal (Banda Aceh) di Aceh kini yang ditempatkan di Muzium Aceh, Banda Aceh. Loceng ini kononnya dibawa oleh Cheng Ho diberikankan Maharaja China kepada Raja Pasai pada abad ke-15. Ketika Pasai ditakluk oleh Aceh Darussalam pada tahun 1524, loceng ini dibawa ke Kerajaan Aceh.

Loceng Cakra Donya ini merupakan loceng yang terdapat dalam kapal Cakra Donya.




Kapal Cakra Donya adalah seperti armada kapal induk di Aceh pada waktu itu dan sangat besar, sehingga Portugis menyebutnya "Espanto del Mundo" (World of Terror).

Loceng gergasi Cakra Donya adalah salah satu daripada warisan sejarah yang berkualiti tinggi disimpan di Muzium Aceh. Ia menjadi objek sejarah kebanggaan rakyat Aceh sampai sekarang. Loceng ini juga merupakan bukti dan simbol hubungan sejarah antara China dan Aceh yang berlangsung sejak abad ke-15. Loceng gergasi Cakra Donya Maharaja adalah limpah kurnia yang disampaikan oleh Laksamana Cheng Ho China pada tahun 1414. Di atas ini loceng berdaftar aksara China "Sing Fang Niat Toeng Juut Kat Yat Tjo".


Bangunan pentadbiran muzium dan rumoh Aceh.





Rumoh Aceh



Makam Sultan Iskandar Muda

Dalam catatan lepas, aku ada catatkan tentang makam ini, tetapi tidak ada huraian secara lebih terperinci. Semasa pergi ke makam ini untuk kali ke dua, aku bertemu semula dengan si kambing hensem yang pernah menyondol bahuku itu. Masih lagi hensem kambing itu hu hu hu, sila baca semula di sini...malas nak ulang tayang semula.
Terletak di Jalan Sultan Alaidin Mahmud Syah (Japakeh), Kompleks Baperis Museum Aceh, disamping Pendopo Gubernur NAD. Berada di tengah-tengah Banda, Aceh. Boleh naik beca motor sahaja untuk pusing keliling banyak tempat di kawasan bandar.

Di bawah pokok nan rendang ini, si kambing ensem pernah beri salam hormat tabik spring padaku hu hu hu



Sultan Iskandar Muda merupakan tokoh penting dalam sejarah Aceh. Aceh pernah mengalami masa agungnya. Ia menerima jolokan Serambi Mekah kerana pernah muncul sebagai satu tempat yang menjadi pusat penyebaran agama Islam terkemuka di asia. Semasa pemerintahan Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1607-1636 ia mampu menempatkan kerajaan Islam Aceh di peringkat kelima di antara kerajaan terbesar Islam di dunia pada awal abad ke-17 Masehi. Saat itu Banda Aceh yang merupakan pusat Kerajaan Aceh, menjadi kawasan bandar perniagaan yang ramai karena berhubungan dagang dengan dunia internasional, terutama kawasan Nusantara apabila Selat Malaka menjadi jalur lalu lintas pelayaran kapal-kapal niaga asing untuk mengangkut hasil bumi Asia ke Eropah.

Ramai menyatakan, seandainya terdapat 10 orang pegawai tinggi atau pemerintah yang mempunyai sifat bijaksana seperti Sultan Iskandar Muda, maka keadilan akan berjalan dengan baik. Baginda sangat adil dalam pemerintahannya, termasuk kepada anak kandungnya.

Baginda Sultan mempunyai dua orang putera/puteri. Salah seorangnya bernama Meurah Pupok yang sangat suka berlumba kuda. Pribadinya sangat buruk sehingga tertangkap basah sedang berselingkuh dengan isteri orang. Suami wanita itu telah menangkap kecurangan isterinya, di rumah mereka sendiri. Sang suami telah mencabut rencong (sejenis senjata Aceh), ditusukkannya ke tubuh sang isteri yang serong. Sang suami kemudian melaporkannya kepada Sultan, dan setelah itu di depan rajanya sang suami kemudian berharakiri (bunuh diri).
Renchong Aceh



Sultan yang sangat dihormati sebagai raja yang adil dan bijaksana oleh rakyat jelata sangat murka dengan apa yang berlaku. Baginda telah menyusul Meurah Pupok di gelanggang kuda dan dipancungnya (dibunuh) sendiri di hadapan umum. Kejadian ini telah menimbulkan rasa bangga orang Aceh, hingga muncul: Adat bak Po Temeuruhoom, Hukom bak Syiah Kuala. Adat dipelihara Sultan Iskandar Muda, sedang pelaksanaan hukum atau agama di bawah epertimbangan Syiah Kuala. Murah Pupok telah dikuburkan di kompleks perkuburan tentara Belanda yang terkenal dengan nama "KerKhoff Peutjoet" (letaknya bersebelahan dengan Muzium Tsunami).


Masjid Turki (Masjid Rahmatullah, Pantai Lok Nga)


Masjid ini merupakan antara masjid yang masih lagi terpacak gagah walaupun bangunan lain sekitarnya ranap menyembah bumi saat Aceh dibadai tsunami pada Disember 2004. Cerita ini mungkin dah basi bagi sesetengah orang. Namun, bagi aku, menjejaki semula semua tinggalan ini telah berjaya memberi sesuatu dalam diri. Kenal dan tahu betapa kerdilnya diri.

Selepas kejadian tsunami, masjid Rahmatullah lebih dikenali sebagai Masjid Turki. Sebabnya sangat mudah: kawasan perkampungan ini termasuk masjidnya telah dibangunkan semula oleh kerajaan Turki. Sama seperti kawasan petempatan lain yang dikenali berdasarkan penaja yang membangunkan kawasan berkenaan seperti perkampungan Jackie Chan, perkampungan Brunei, perkampungan macam-macam lagilah. Kampung Malaysiapun ada kat sana, tapi kami tak sempat nak pergi terjah apa yang ada. Namun, menurut masyarakat tempatan, perkampungan Brunei merupakan perkampungan paling mewah, manakala perkampungan Indonesia adalah kampung yang paling naif kerana rumah binaannya diperbuat daripada esbestos. Aku boleh bayangkan betapa “masak” kepala aku kalau tinggal dalam rumah sebegitu. Namun, dalam hidup ini, ada kala kita tidak boleh terlalu memilih.




Masa aku tanya Inche Google pasal masjid ni, belum ada tulisan tentangnya pernah ditulis secara maya. Hanya beberapa keping gambar sahaja yang ada. Namun, hakikatnya masjid ini sangat popular pada masa tsunami dahulu.

Jadi bagai padang jarak padang tekukur. Ranap semua. Gambar ini antara yang difrem dan pamerkan di satu sudut dalam masjid.

Ini pula keadaannya pada masa ini. Dah cantik, indah dan diubahsuai dengan lebih terpelihara.


Di bahagian dalamnya, masih lagi ada tinggalan kesan retak dan pecah akibat tsunami. Sebagai kenangan. Sebagai peringatan.

Di sini juga diabadikan gambar-gambar berkaitan maasjid ini dan tsunami yang telah disebarkan di serata dunia. Kira mengabadikan maasjid terkenal ini di ruang dalamnya.

Anak-anak pasca tsunami; masihkah mereka ingati tragedi itu?
Ketika kami sampai, gerimis baru menurunkan air matanya. Menyambut kami dalam remang senja sebegitu pula. Kami hanya menghabiskan lebih kurang 10 minit sahaja di sini memandangkan kesuntukan masa. Hari dah nak malam, kami perlu bertolak ke Pantai Lok Nga, pantai yang landai dan cantik.
Indah. Pantai Lok Nga dari satu tebing di tepi jalan, brdepan dengan perkampungan Brunei.


Senja nan Merah...





Pantai ini sangat indah. Terhampar cantik dari tanah tinggi di tepinya. Bagai tebingan. Laut di sini agak bergelora kerana ombaknya terus dari Laut Hindi. Tanpa pulau-pulau yang menahan kuatnya gelora itu. Pantai ini merupakan antara pantai pertama yang dibadai tsunami tempohari. Menurut sumber tempatan, malam sebelum tsunami terdapat pesta di pantai ini, sempena krismas barangkali. Tidak diketahui benar tidaknya.

Apa yang nyata, pantai ini sangat indah dan memukau pandangan terutama bila dilihat dari tebingan tinggi berdepan dengan perkampungan Brunei berhampiran. Lebih indah lagi ketika senja. Kami hanya sempat menikmati suasana di sini hanya seketika...dalam sepuluh minit sahaja sebelum tibanya malam. Dari Banda, Aceh, kita perlu ambil masa kira-kira setengah jam hingga 45 minit untuk sampai ke sini. Kalau ada peluang, aku memang nak sangat berlama-lama sedikit berada di sini. Menyusuri pasirnya, memandang bukit yang mengunjur hingga membentuk teluk dan menanti ketibaan senja. Rasa sangat teruja untuk duduk-duduk di batu sambil menadah angin yang dihantar dari Lautan Hindi. Kalaulah sempat untuk berangan kat sini kan, mana tahu...muncul putera duyung ajak pergi skuba hu hu hu

Bila ke Aceh, terlalu banyak objek baru pasca tsunami boleh ditemu. Pihak Pemkot telah mengambil langkah bijak untuk menjaga semua objek-objek ini sebagai salah satu bentuk wisata yang mampu memberi sumber ekonomi kepada Nanggoroe Aceh Darusalam. Semua ini bukan sahaja tunjukkan kita bukti kekuasaanNya yang tidak mampu lagi untuk kita nafikan, namun pada masa yang sama mampu menginsafkan. Mengenang bencana alam maha dahsyat itu, wajar benar kalau Banda Aceh menyandang gelaran sebagai Tsunami Memorial City. Di mana-mana tempat pun di Aceh ini, kita boleh saksikan dan kaitkan dengan tsunami; dari sekecil-kecil hal seperti pesawat pertama Aceh yang masih lagi tegak berdiri biarpun meranapkan harta benda yang lain (seakan menuntut warganya meneliti semula sejarah panjang Aceh itu), hinggalah masjid Baitulrahman atau kapal PLTD Apung yang nyata benar kehebatan kuasa Sang Pencipta.

Banyak maklumat pasal Aceh boleh anda telaah secara maya, antaranya di acehprov.go.id Seuramoe Informasi Pemerintah Aceh. Pelbagai maklumat ini diperincikan mengikut kategori yang tersendiri seperti sejarah, wisata, keterangan umum dan sebagainya.

Sebahagian daripada pengalaman kami sepanjang berpetualang ke Aceh telah dicatatkan Dr. Roosfa Hashim yang disiarkan di Mingguan Malaysia. Ia merupakan antara beberapa siri catatan yang akan disiarkan akhbar ini. Di bawah adalah catatan pengalaman yang beliau tulis, sempat saya korek secara maya;

RENCANA

ARKIB: 30/05/2010

Oleh DR. ROOSFA HASHIM

DARI tingkap kapal terbang, tampak jelas hamparan bumi Aceh yang luas dan indah yang terus memikat hati. Gunung ganang dan bukit bukau yang tegap, petak-petak sawah padinya melebar dan sedang menguning, ribuan bumbung rumah yang rapat sepanjang gigi air pantai Aceh menghadap Selat Melaka seolah-olah tidak pernah tergugat oleh hempasan ganas tsunami lima tahun lalu. Kapal terbang menggelongsor dengan selesa di landasan panjang berdepan bangunan lapangan terbang Sultan Iskandar Muda yang baru disiapkan. Bangunan utama lapangan terbang itu memakai kubah bermotif ukiran Aceh berwarna kuning dan hijau yang lembut. Di kiri dan kanan kubah besar ini diapit pula oleh dua menara rendah yang juga mempunyai kubah tetapi lebih kecil dengan warna dan motif yang serupa.

Sungguhpun lebih besar daripada lapangan terbang di Medan, suasana bahagian dalam lapangan terbang ini cukup sederhana, dan tidak terlalu sibuk. Yang kelihatan ialah sekumpulan rombongan orang Aceh yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di tanah suci Mekah. Fenomena ini sesuailah dengan jolokan 'Serambi Mekah' yang diberikan kepada Aceh. Sampai sekarang, sebahagian lot kedai masih belum memulakan perniagaan. Cuma dua buah kedai menjual barangan kerajinan tangan Aceh dan dua buah kafe telah menguakkan pintu untuk pengunjung.

Urusan di kaunter imigresen dan kastam berjalan lancar. Pekerja lapangan terbang cuba mendapatkan upah mengangkut beg manakala pengusaha teksi gelap mencuba-cuba nasib mendapatkan penumpang. Orang berjaja buah dan makanan lain adalah pemandangan biasa seperti mana yang dapat kita lihat di mana-mana lapangan terbang di Indonesia. Sebuah medan meletak kereta yang luas terhampar di depan lapangan terbang ini tetapi tyidak banyak kereka yang diletakkan di situ. Selain penerbangan dalam negeri, cuma Air Asia dari Kuala lumpur dan Fire Flies dari Pulau Pinang sahaja kapal terbang antarabangsa yang mendarat di lapangan terbang itu.

Sebuah replika tengkolok Aceh yang sederhana besar menyambut kedatangan pelawat sebelah kanan jalan keluar daripada kawasan lapangan terbang. Memang orang Aceh mempunyai betuk tengkolok yang unik. Demikian juga songkok yang dipakai oleh orang biasa apabila ke masjid. Keluar saja daripada kawasan lapangan terbang, di kiri kanan jalan kita melihat susasana kampung orang Aceh dengan rumah mereka di tepi sawah. Anak-anak berlari-lari di halaman rumah dan orang kampung yang kebanyakannya petani melakukan kerja kampung. Mereka berpakaian sederhana sama seperti kebanyakan orang Melayu di Nusantara. Tidak banyak bezanya antara mereka dengan suasana di kebanyakan kampung di Malaysia.

Kubur
Cuma keadaan mereka masih utuh dan belum sangat digugat oleh kemajuan kota. Lima minit selepas meninggalkan lapangan terbang kita mula melihat sebuah kuburan besar yang menyimpan jenazah ribuan korban tsunami lima tahun lalu. Padang luas yang hening ditutupi rumput kuku kambing menimbulkan rasa sayu di hati mereka yang melintasi kawasan ini. Ada lapan kuburan besar seperti ini di Seluruh Aceh. Semuanya memuatkan tubuh-tubuh kaku yang pergi serentak pada pagi 26 Disember 2004 akibat dilanda Tsunami sebesar 9.2 skala Richter.

Penerbangan kami terlewat empat jam pada hari itu. Saya bersama tiga rakan sejawat datang untuk membentangkan kertas kerja di Aceh. Dr. Abdullah Sani dan isteri beliau yang menanti dengan kenderaan pacuan empat roda segera membawa kami ke suatu tempat makan dan mencadangkan kami mencuba masakan Aceh. Suami isteri ini berasal dari Langsa, suatu daerah di selatan Aceh. Mereka sebelum ini tinggal lebih sepuluh tahun di Bangi kerana menyiapkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sani menjadi Pensyarah di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniri manakala Rosnizar, isteri beliau pensyarah di Universitas Syiah Kuala. Kampus kedua-dua universiti ini terletak bersebelahan di suatu sudut di Banda Aceh. Tiga daripada lima orang anak mereka lahir di Kajang. Anak-anak yang besar sempat pula bersekolah di Kajang.

Oleh kerana masih petang kami memesan makanan yang agak ringan. "Mi ketam," Sani mengusulkan. Dan kami tidak mahu membantah kerana kami pun tidak pernah merasa masakan Aceh. Ternyata mi ketam yang dicadangkan oleh Sani cukup enak. Mungkin kerana perut sudah lapar kerana kelewatan pesawat, atau mi ketam itu memang sedap. Mi ketam itu disediakan agak berkuah dan ditumis sekali dengan ketam. Pelanggan boleh juga memilih ketam hidup yang dipamerkan dalam sebuah bekas kaca berbentuk seperti akuarium pada bahagian depan kedai makan itu.

Sambil menikmati mi ketam kami berbual dan bertanyakan tentang suasana masyarakat Aceh selepas tsunamai dan rancangan kami untuk melawat Aceh di celah-celah maksud asal untuk berseminar. Aceh dikenali ramai selepas tsunami kerana Masjid Raya Baitulrahman yang terselamat, kapal janakuasa letrik yang terdampar jauh ke dalam kampung, bot nelayan yang tersangkut di bumbung rumah, kubur besar mangsa tsunami, rumah anak yatim, muzium tsunami dan banyak lagi. Tetapi selain itu tanah Darussalam ini kaya dengan objek pelancong yang belum dipromosikan secukupnya. Seluruh bumi aceh yang luas itu terletaknya banyak bekas dan tinggalan sejarah bangsa Melayu. Selain makam raja-raja Melayu terdapat juga makam Tun Seri Lanang. Di Banda Aceh saja terdapat banyak tempat yang dapat menarik perhatian pelancong yang bernilai sejarah, kaya dengan nilai budaya mahupun tempat rekreasi.

Dari tempat makan itu Sani membawa kami berkeliling sepintas lalu masuk ke pusat Banda Aceh. Kami melintasi Masjid Raya Baiturrahman, Muzium Tsunami, Kantor Gabenur, perpustakaan Banda Aceh dan beberapa tempat lagi sebelum sampai ke Sulthan Hotel tempat kami akan menginap. Agak kagum dan gembira juga dapat melihat masjid yang cukup bersejarah ini dengan mata sendiri. Kubahnya yang hitam, kolam air di lamannya pada petang yang redup itu sungguh menenangkan hati. Kami akan mengujungi tempat-tempat di Banda Aceh kemudian.

Pemandangan udara dari tingkap pesawat memperlihatkan panorama seluruh Aceh sebagai sebuah negeri yang bergunung-ganang sungguhpun kalau kata mengelilinginya dari jalan darat kita dapat melihat sawah padi yang luas terbentang. Bukit Barisan merentasi Aceh bersama-sama pergunungan Tangse, Gayo, dan tanah tinggi Alas. Terdapat juga tasik yang terkenal di Aceh seperti Tasik Laut Tawar yang terletak di bahagian Tengah Aceh dengan keluasan 60 kilometer persegi dan berada pada ketinggian 1,225 meter daripada paras laut. Para pelancong yang berkunjung ke Pulau Sabang, sebuah pulau percutian yang terkenal di Aceh dapat menikmati keindahan Tasik Aneuk Laot.

Banda Aceh yang menjadi ibu kota Aceh ini mendapat namanya pada 28 Disember 1962. Sebelum itu bandar ini dikenal sebagai Kutaraja. Berdasarkan Peraturan Daerah Aceh 1988, Kutaraja mula wujud pada 22 April 1205. Laksamana China, Cheng Ho pernah singgah di Banda Aceh dalam ekspedisi pertamanya setelah singgah di Palembang. Seluruh bumi Aceh berkeluasan 57,365.57 km persegi, iaitu 12.26 peratus daripada keluasan pulau Sumatera dan 1.1 peratus daripada keluasan seluruh Indonesia.

Sibuk

Sekali imbas Banda Aceh kelihatan agak sibuk juga kalau dibandingkan dengan kota-kota lain di Pulau Sumatera yang pernah penulis kunjungi seperti di Medan, Pekan Baru, Jambi atau Bukit Tinggi. Jalannya juga agak sesak. Saya bertanya kepada Sani apakah saya boleh meminjam kereta atau motorsikal beliau untuk memandu sendiri di Banda Aceh. Sambil ketawa dan bergurau beliau berkata, "kalau setakat memegang lesen memandu dari Kajang atau Bangi, tak payahlah." Setelah melihat kesesakan di simpang-simpang jalan dan cara pemanduan penduduk kota ini, saya bersetuju dengan gurauan Sani itu. Memang lalu lintas di Banda Aceh agak sibuk dan sendat dengan kereta, motorsikal dan beca. Bolehlah dikatakan beca menjadi nadi dalam sistem pengangkutan di Banda Aceh. Di tempat-tempat tumpuan orang, banyak sekali beca yang berbaris menanti penumpang.

Sani menghantar kami ke Sulthan Hotel yang terletak di Jalan TP Polem, iaitu di suatu kedudukan yang terletak agak dekat dengan pusat Banda Aceh. Hotel bertaraf tiga bintang ini agak terkenal semasa kelam kabut usaha menyelamat dilakukan di Aceh selepas dilanda tsunami. Hotel ini pernah menerima kunjungan Puteri Anne dari England dan Bill Clinton dari Amerika serta pemimpin terkemuka dunia yang lain. Dengan kadar penginapan 300 ribu Rupiah semalam, kadarnya adalah sederhana jika dibandingkan dengan perkhidmatan yang diberikan.

Berkeliling Banda Aceh dengan beca
Nadi bagi penduduk Banda Aceh ialah beca. Dengan beca, kebanyakan penduduk kota ini bergerak ke sana ke sana ke mari menjalankan urusan seharian. Kalau kita ke masjid, ke pasar atau ke tempat lain yang menjadi tumpuan masyarakat, barisan beca sedia menanti. Seperti London Bus dan London Taxi di kota London atau trem di San Fransisco atau motokar Embassador di India, demikianlah beca Aceh menjadi identiti yang penting bagi penduduk Banda Aceh. Oleh yang demikianlah, beca Aceh menjadi salah satu objek yang diabadikan pada Kemeja T yang dijual sebagai ole-ole untuk pelancong. Pada bahagian depan kemeja T dihiasi gambar berwarna beca Aceh dengan tulisan "Betja Atjeh."

Terdapat kelainan beca Aceh jika dibandingkan dengan beca yang terdapat di tempat lain di Indonesia mahupun di negara kita. Beca di negara kita dan di kebanyakan tempat di Indonesia dikayuh oleh tuannya. Di Aceh, beca digerakkan oleh motorsikal. Hampir kesemua beca musnah semasa Aceh dilanda tsunami. Menurut Ilham Sapawi, salah seorang pengemudi beca di Aceh, kerajaan Aceh menghadiahkan secara percuma seribu buah beca bagi mereka memulakan penghidupan baru. Harga beca dan motorsikal dianggarkan berharga sekitar 16 juta Rupiah.

Kalau ingin berkeliling di Banda Aceh, menggunakan beca adalah suatu bentuk kenderaan yang mudah. Kalau menyewa kereta, harga untuk sehari dalam sekitar 500 ribu Rupiah tidak termasuk minyak. Suatu pagi, penulis dengan seorang teman bercadang berkeliling ke beberapa tempat di Banda Aceh. Tambang untuk ke mana-mana di Banda Aceh adalah sekitar 5 ribu, 7 ribu atau sepuluh ribu Rupiah bergantung pada jarak dan boleh pula tawar menawar. Harga itu memang cukup murah jika dilihat akan kepantasan pergerakannya yang menggunakan morsikal. Bayangkan harga menaiki beca roda tiga di Banda Hilir, Melaka!

Beca memang tersedia menanti di luar hotel. Kami menaiki beca yang dikemudi oleh Ilham Sapawi yang telah sejak sekian lama membuat pekerjaan ini. Penulis melihat beliau menggunakan motorsikal berkuasa agak tinggi juga, buka berkuasa 70 cc. Pagi itu kami bercadang ke pasar untuk melihat-lihat kegiatan jual beli masyarakat Aceh.

Ilham Sapawi menghantar kami ke Pasar Peunayong. Mungkin nama pasar itu bermaksud 'pendayung' memandangkan kedudukan pasar di pinggir sungai Aceh. Pasar Peunayong agak besar dan sibuk dengan ruang dan bangunan yang berasingan untuk ikan, ayam daging dan rempah ratus. Pembeli bertawar dengan peniaga yang berjual sayur dan ikan segar. Dari Pasar Peunayong kami bertolak pula ke Pasar Kedah yang terletak tidak jauh dari Pasar Peunayong. Pasar Kedah terletak di atas bekas Penjara Kedah. Pasar ini tidaklah sebesar dan semewah Pasar Peunayong kerana penjual membina pondok-pondok kayu bagi meletakkan barangan yang mereka jual. Di sini dijual sayuran dan buahan dan termasuk juga ada yang menjual pakaian.

Dari Pasar Kedah kami menyambung perjalanan ke Lampulo yang menempatkan jeti memunggah ikan terbesar di Banda Aceh. Keadaan di sini agak sibuk dan riuh rendah dengan nelayan mengangkut bakul-bakul ikan ke darat. Di suatu sudut jeti ini ada seorang penjual barangan dan ubat tenaga batin lelaki. Ilham Sapawi mengenali lelaki ini yang bernama Rusli. Dia dikatakan sering berulang alik ke Malaysia bagi mendapatkan bekalannya. Ramai juga peminat barangan jualan si Rusli ini berkeliling mendengar pedoman yang disampaikannya. Ilham Sapawi kemudian kami ajak singgah minum di sebuah kedai makan untuk bersarapan. Kami minum kopi ulle Kareng, iaitu kopi yang terkenal di daerah Ulle Kareng. Kopi ini salah satu produk yang dijadikan ole-oleh oleh pelancong yang datang ke Aceh. Sambil minum kopi kami malan kueh muih Aceh yang tidak jauh bezanya dengan yang terdapat di tempat kita. Selepas itu kami bertolak ke Masjid Raya Baitul Rahman yang menyambut Mulud Besar, suatu perayaan besar-besaran di Banda Aceh. Kisah ini akan penulis tuliskan dalam keluaran lain nanti.

Malam itu kami tidur awal kerana keletihan setelah berkeliling sekitar Banda Aceh. Penulis berdoa janganlah berlaku sesuatu yang akan menyusahkan, termasuklah gempa bumi atau tsunami. Mudah-mudahan peralatan siren kecemasan di hotel itu dapat berfungsi dengan baik. Tidak lama selepas berdoa, penulis sampailah ke alam mimpi


Beberapa hari lepas, media menyiarkan tentang Keberangkatan Kembali ke alam yang kekal abadi, seorang pejuang GAM yang menuntut kemerdekaan Aceh dari Indonesia. Catatan ini aku salin dan tampal tanpa apa-apa suntingan dari Utusan Online seperti berikut;

Perjuangan Aceh oleh Hasan Tiro

Oleh BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my

HASAN Tiro, pengasas Gerak Aceh Merdeka (GAM) meninggal dunia pada usia 84 tahun, ketika dirawat di hospital di Banda Aceh hanya sehari selepas dia memperolehi kembali kewarganegaraan Indonesia. Teungku Hasan Muhammad di Tiro lahir di Pidie, Aceh, 25 September 1925, di Tanjong Bungong, Lameulo, sekitar 20 kilometer dari Sigli.

Dalam tubuhnya mengalir darah keturunan bangsawan para pejuang Aceh. Beliau adalah keturunan ketiga Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro. Beliau merupakan anak kedua pasangan Tengku Pocut Fatimah, cucu perempuan Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro, Pahlawan Nasional Indonesia.

Beliau adalah orang yang mengisytiharkan kemerdekaan Aceh pada 4 Disember 1976 dan kemudian keluar-masuk hutan bersama pasukannya pada 1976 untuk memisahkan diri dari Indonesia. Perjuangannya itu hanya berlangsung selama tiga tahun. Kemudian beliau terpaksa melarikan diri ke berbagai negara, sebelum akhirnya menetap di Stockholm, ibu kota Sweden.

Dari luar negara beliau meneruskan perjuangan secara politik, dan sempat mengirim surat tentang GAM kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan pada 25 Januari 1999. Setelah jatuhnya pemerintahan Soeharto, isu "Aceh merdeka" kembali menjadi sorotan dunia. Organisasinya (Gerakan Aceh Merdeka) pun muncul kembali ke pentas antarabangsa.

Namun tidak diketahui dengan khusus punca kepada perjuangan yang digalang oleh beliau. Ada yang menyatakan ia berpunca daripada kegagalannya untuk mendapatkan kontrak pemasangan paip minyak untuk Mobil Oil di Aceh dan ada juga mengatakan setelah kematian adiknya kerana kecuaian doktor berketurunan Jawa. Satu teori bahawa beliau menganggap kerajaan pusat Indonesia meminggirkan pembangunan Aceh adalah yang paling logik dan boleh diterima pakai.

Hasan Tiro dengan gagasannya sejak Januari 1965 untuk membentuk negara Aceh, menilai Presiden Soeharto meminggirkan Aceh daripada pembangunan industri. Hasan Tiro bersama para ulama Aceh menilai kekayaan alam Aceh diambil melalui pembangunan industri yang dikuasai orang asing melalui restu pemerintah pusat. Tetapi rakyat Aceh tetap miskin, berpendidikan rendah dan keadaan ekonomi sangat menyedihkan.

Akhirnya GAM ditubuhkan di kaki Gunung Halimun, Pidie. Walaupun Hasan Tiro yang tidak hadir dalam penubuhan GAM beliau dilantik sebagai wali negara. GAM terdiri atas 15 menteri, empat pegawai bertaraf menteri dan enam gabenor. Namun sebagai seorang yang sangat tinggi rasa kemanusiaannya apabila menyaksikan bencana yang menimpa Aceh dalam bencana gempa dan tsunami pada 2004, akhirnya beliau bersetuju untuk menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Indonesia iaitu setahun selepas bencana itu dan selepas 30 tahun hidup dalam buangan.

Meminggirkan
Penganalisis konflik berkenaan berpendapat, selain faktor sedih melihat nasib buruk menimpa rakyat yang diperjuangnya, Hasan Tiro juga menaruh keyakinan kepada Jusuf Kalla yang ketika itu merupakan Naib Presiden Indonesia. Jika sebelum ini kerajaan Indonesia meminggirkan peranan yang dimainkan oleh Hasan Tiro dalam GAM, sebaliknya hanya mengadakan rundingan dengan para panglima GAM, tetapi Jusuf Kalla mengambil pendekatan yang berbeza dengan mendekati Hasan Tiro. Jusuf Kalla juga dilihat ikhlas kerana sebelum ini berjaya menyelesaikan konflik di Ambon dan Poso yang mirip dengan konflik di Aceh. Selepas perdamaian pada 2005, Aceh sebenarnya telah ketinggalan jauh daripada segi pembangunan serta sedang mengalami krisis ekonomi dan sosial.

Hubungan Aceh dengan wilayah lain di Indonesia serta kerajaan pusat sebenarnya masih lagi memerlukan masa untuk berada pada landasan yang normal. Ini adalah kerana asas perjuangan yang diterap Hasan Tiro adalah kebencian kepada kerajaan pusat dan kebencian kepada kaum lain selain Aceh khususnya kaum Jawa.

Untuk memulihkan kembali imej Aceh sebagai wilayah yang aman juga mengambil masa yang lama dan ini dapat dilihat walaupun terdapat pelbagai perjanjian persefahaman ditandatangani di dalam bidang ekonomi, tetapi tidak banyak yang berhasil. Bank-bank juga masih berpandangan adalah berisiko tinggi untuk memberi pinjaman kepada syarikat yang mahu melabur di Aceh.

Seperkara yang dibuktikan oleh Aceh baru-baru ini bahawa mereka tidak mudah termakan provokasi dan muslihat orang asing. Ketika terdapat usaha sekumpulan militan yang mahu bertapak di Aceh mereka tidak mendapat sokongan penduduk setempat khususnya bekas anggota GAM dan akhirnya ramai yang ditembak serta ditangkap pihak berkuasa.
Walaupun ada yang menganggap perjuangan GAM dan Hasan Tiro tidak berkesudahan, namun bagi penduduk, Aceh Hasan Tiro tetap dianggap sebagai pejuang sejati. Di akhir hayatnya, Hasan Tiro memilih kembali ke pangkuan tanah airnya. Tokoh perdamaian Helsinki itu menghembuskan nafas terakhir sehari setelah menjadi warganegara Indonesia.

Pemergian Hasan Tiro diharap menjadi titik permulaan episod baru di dalam sejarah Aceh yang lebih damai, kerana hanya dengan perdamaian sahaja masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai.

Catatan ini masih juga panjang kan? Bosan? Jemu? Terserah. Apa yang utama, catatan pengalaman dan maklumat ini akan disebarkan secara maya dalama bahasa Melayu secara lebih luas. Menambah koleksi ilmu, menambah catatan pengalaman yang insyaAllah akan ada gunanya kepada orang lain nanti.

Entri seterusnya nanti adalah catatan tentang Maulid Akhbar yang sempat kami alami suasananya di masjis Baitulrahman, Banda Aceh. Tidak ramai orang berpeluang menyaksikan sambutan berkenaan walaupun berada di Aceh saat itu. Aku menganggap pengalaman itu tiada tukarannya dengan apa-apa material sekalipun. Ia umpama bonus untuk kami yang sedang menimba pengalaman, mengutip pengamatan dan menggali segala nilai sejarah, akar diri Melayu dan meleraikan simpulan dari kitab sejarah tua. Untuk kali ini, cukuplah di sini dahulu…