Memaparkan catatan dengan label Nur Khatijah Abdullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Khatijah Abdullah. Papar semua catatan

Selasa, 7 Januari 2014

Bayar Yuran Sekolah Dengan Duit Syiling

Semalam tersebar di whatsApp dan FB tentang kisah bagaimana seorang datuk telah membayar yuran persekolahan cucunya yang malang dengan duit syiling. Mungkin itu hasil tabungannya, pecahkan tabung cap ayam. Hanya datuk tersebut yang lebih tahu. Namun, aku tampalkan disini untuk perkongsian bersama;

Pagi-pagi saya terima whatsapp gambar ini dari adinda saya. Ni gambar duit yuran seorang pelajar yang masuk mendaftar ke sekolah semalam di Kuala Lumpur. Datuknya membawa punjut duit syiling yang bernilai RM64.00. Itu pun tak cukup untuk membayar yuran sekolah tersebut. Guru-guru 'topup' untuk pelajar tersebut. Pelajar ini, kematian ibu sedari umurnya sebulan lagi. Bapa dipenjara kerana masalah dadah. Nenek bekerja sebagai cleaner dan akan tamat kontrak pada bulan Jun nanti. Datuknya sudah tidak berdaya untuk bekerja dan menerima bantuan PERKESO RM350.00. Berapalah sangat RM350.00 hidup di bandaraya Kuala Lumpur ini.
Tabung ayam aku masih belum penuh...belum boleh pecahkan. Sabarlah hati!

Bayangkan, semua orang menunggu untuk guru mengira jumlah duit syiling yang di bawa oleh datuk tersebut. Kasih seorang datuk untuk menyekolahkan anak ini. Semasa menulis cerita ini, saya beberapa kali terbabas kerana sebak. Dalam dunia semakin pantas ini, di ibu kota ini, masih ada golongan yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Keluarga ini, sudah memohon beberapa kali bantuan zakat, namun kerana kerenah birokrasi , bantuan tidak disalurkan kepada mereka. Mungkin inilah sepatutnya tugas wakil rakyat atau pemimpin masyarakat. Mencari mereka yang terpinggir ini. Selalunya golongan ini, tidak akan meminta-minta untuk menagih simpati ramai. Malah mungkin hidup mereka lebih bahagia dengan jumlah wang yang sedikit tetapi dimanfaatkan sepenuhnya. Sebenarnya, inilah ladang pahala untuk kita yang setiap hari membazir. Membazir makanan, membazir pakaian, membazir masa dan sebagainya.

Kisah anak ini, mungkin ada juga di tempat lain. Cuma kita sahaja yang belum mencarinya. Saya juga ditunjukkan gambar anak-anak ini. Comel-comel dan gembira sahaja rupanya. Seronok hendak ke sekolah seperti orang lain juga. Namun bajunya tak serupa orang lain. Kekuningan, besar dan lusuh, mungkin juga pemberian orang lain. Gambar ini disebar bukan untuk menagih simpati. Gurunya yang sebar di kalangan rakan-rakan kami sahaja kerana sudah tidak tertahan lagi melihat kepayahan hidup yang anak ini bakal tempuhi. Mana tak sebak, belum pernah dalam sejarah sekolah, mengira duit syiling yang belum tentu cukup untuk dijadikan yuran sekolah.

Akhir kalam, duit gaji atau bonus yang kita terima, sedekahlah kepada golongan seperti ini, kerana di dalam duit gaji kita, pasti ada hak orang lain. Pengajaran juga buat saya, agar tidak mewahkan anak-anak, mana tahu ada rakan-rakan yang tidak bernasib baik. Pasti hati kecil mereka sayu dan tersentuh hati, mereka tidak semewah anak-anak lain. Tiada ipad, tiada tv mungkin, tablet pc jauh sekali. Mungkin pegang komputer hanya di sekolah.

Cerita ini bukan rekaan. Berlaku di sebuah sekolah rendah agama di Kuala Lumpur pada Januari 2014. Alhamdulillah, masih ada yang berhati mulia untuk membantu.

Sebenarnya, rakyat Malaysia ni sangat pemurah. Jadi sekiranya kalian tahu siapa datuk yang dhaif itu, kat mana dia tinggal, silalah tinggalkan komen untuk kita kongsikan bersama. Mungkin ada antara kita yang bermurah hati menanggung persekolahan cucunya itu. Kalau tidak menanggung keseluruhan biaya paling tidak mampu mengurangkan beban atuk dan nenek ini.

Dan cucu si datuk itu sepatutnya belajar dengan gigih untuk membina masa hadapan. Usah mudah terpedaya dengan nikmat dunia hingga buang masa dan buat benda tak berfaedah. Selain belajar dengan tekun, masa terluang perlulah tolong datuk dan nenek ya. Semua pengalaman duka dan perit itu besar maknanya bila dewasa nanti. Bila dah berjaya.

Kisah datuk adik Nurkhatijah membayar yuran persekolahannya dengan duit syiling ini dilaporkan Kosmo rupanya...nampak benar aku tak baca kan? Alhamdulillah, dengan tersebarnya maklumat ini melalui rangkaian media sosial seperti blog, SMS, Facebook, WhatsApp dan sebagainya, kes ini mendapat perhatian Pusat Zakat Selangor yang cepat bertindak. Walaupun Kosmo tidak menyatakan link asal blog yang menyebarkan kes ini ke pengetahuan umum, tetapi aku dapati ianya berpunca dari blog Panduan Makanan Sihat dan Selamat. Terima kasih kepada puan punya blog Puan Zunairah Abdul Ghani dengan paparan kisah ini. Ada beberapa entri tentang kisah ini, silalah jenguk ya.



Bagi yang nak membantu keluarga ini, bolehlah mengunjungi rumah mereka di E-1-10, Blok E, Flet Taman Dagang Fasa 2A di Ampang dan membaca maklumat lanjut tentang kehidupan mereka di Trengganu Today. Menurut Trengganu Today (aku syak depa ni kidnap maklumat dari blog Panduan Makanan Sihat dan Selamat di atas), terdapat seorang lagi kanak-kanak yang memerlukan bantuan seperti Nurkhatijah, iaitu adik Norsyafiqah Abdul Rahim, 9 tahun, seorang anak yatim. Ibunya bekerja menyara persekolahannya dalam keadaan uzur selepas diserang angin ahmar sebelum ini. Nursyafiqah dijaga oleh jirannya Hafifah Harun, 57 tahun, yang turut sama bersusah-payah sehingga tahap bertanyakan jiran-jiran lain jika ada pakaian sekolah terpakai yang boleh digunakan oleh Norsyfiqah untuk ke sekolah setiap hari.
 
Sekiranya ada yang masih ingin meneruskan niat bersedekah sebagai dana pendidikan untuk anak-anak ini, boleh masukkan terus ke akaun bank mereka seperti berikut;

adik Nur Khatijah Abdullah, bank rakyat: 220621244780,
Nur Syafikah, bank rakyat: 220141565286.



ni pula no akaun datuk dan nenek Khatijah; Mohd Rodzi Ariffin 12-12202-023994-9 atau Maybank atas nama Shamsiah Yusoff 1121-8316-732


Mereka berdua anak-anak yang disayangi Rasulullah S.A.W. sangat besar ganjarannya membantu mereka. Apa kata kita kongsi sikit seringgit dua bonus yang kita terima minggu lepas. Kalau satu Malaysia membantu mereka seringgit seorang pun dah mampu menanggung pendidikan mereka hingga keluar universiti.