Memaparkan catatan dengan label JPA lengah naik gred guru DG41. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JPA lengah naik gred guru DG41. Papar semua catatan

Selasa, 31 Julai 2012

Maklum Balas Akhbar berkaitan "JPA Lengah Naik Gred Guru"

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010. Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. 

Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temuduga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012