Pertamanya, alfatihah buat arwah Sosilawati, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang disayangiNya.
Ramai blogger berlumba-lumba kemaskini dan ceritakan kronologi pembunuhan kejam dan keji terhadap jutawan kosmetik Dato’ Sosilawati di blog masing-masing dan menjadi antara penyumbang trafik tertinggi sepanjang dua tiga minggu ini. Perincian dan kemaskini mutakhir bagaimana mangsa-mangsa dibunuh turut ditulis dan menjadi tatapan ramai pembaca. Mendapat komen-komen yang pelbagai juga. mengapa aku tak tulis hal yang sama? Mengapa aku tunggu hingga berita basi dahulu?
Bila tak tulis, bukan bermakna aku tak prihatin. Bukan bermakna aku tak sedih dengan pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu. Bukan bermakna aku tak ambil kesah pasal makhluk bersifat lebih binatang dari binatang itu. Namun, aku cuba untuk letakkan diri dalam situasi keluarga arwah terutama anak-anaknya. Cuba untuk rasa kesedihan, kepedihan dan kehilangan. Cuba untuk mengerti bahawa apabila kita kehilangan orang yang disayangi, kita tidak mampu mengawal rasa tiap kali hal itu disebut-sebut. Diungkit-ungkit. Apalagi kalau musibah yang berlaku itu terlalu tragis. Tak mampu diterima dek akal yang waras. Tak akan dilakukan oleh manusia kerana kebinatangan sifatnya. Asal sahaja orang sebut benda tu, air mata pasti berderai. Akan mengalir. Hati akan hiba. Tersayat. Pilu. Jadi, tak mustahil kalau mereka jadi fobia untuk tengok tv, baca akhbar atau layari internet.
Aku tidak mahu buat spekulasi perkara-perkara yang masih lagi dalam siasatan. Biarlah pihak berkuasa jalankan tugas mereka. Sebab itu, kawasan kejadian ditutup kepada orang media, apalagi orang ramai walaupun bukan semua orang media sanggup jadi macam paparazzi.
Biarpun kita mengutuk, mencemuh, menyumpah dan mengeji orang-orang yang tidak berhati perut itu, ia tidak beri apa-apa perubahan kepada apa yang dah berlaku. Apa yang dah jadi tetap terjadi. Bila kita maki hamun mereka, kita sebenarnya telah paparkan betapa tidak sabarnya kita dengan ujian dan dugaan yang Allah beri. Biarpun kita simpati kepada keluarga arwah, makian itu hanyalah lebih jatuhkan pribadi kita sendiri.
Aku pernah terjebak dalam musibah biarpun tidak sebesar ini. Aku tahu bagaimana peritnya berhadapan dengan kenyataan. Namun aku tabik spring toing toing toing dengan anak sulung arwah, Erni yang kuat, tabah dan sangat berkeyakinan meneruskan semua usaha bonda tercinta. Sama-samalah kita doakan, dia mewarisi kekuatan dan ketabahan yang ada pada arwah ibunya. Menjadi perempuan muda yang kaya, warisi berkoyan-koyan harta dan perniagaan warisan tidak semudah yang kita anggap. Dan dia perlu lebih kuat untuk itu.
Sama-samalah kita doakan dia menjadi kuat dan tabah. Bahunya perlu kekar pikul tanggungjawab. Hatinya perlu keras menahan segala dugaan. Moga-moga dia mampu teruskan kegemilangan perniagaan bondanya. Moga-moga dia mampu pertahankan jumlah peniaga melayu yang berjaya. Mudah-mudahan. Selamat mengatur langkah Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, moga langkahnya tidak mudah tersandung.