Memaparkan catatan dengan label Beatles. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Beatles. Papar semua catatan

Rabu, 7 Julai 2010

Puisi Istimewa Buat Insan Istimewa

Puisi ini kutulis satu-satunya untuk Cik Bintang (yang sangat bertuah sebab bukan selalu aku tulis puisi yang khusus sebegini) yang menyambut hari kelahiran pada 8 Julai 2010. Sesiapa yang nak salin dan tampal di tempat lain, sila istiharkannya secara berhemat kerana ia dilindungi akta hak cipta. Pelanggaran akta hak cipta akan mensabitkan anda dengan seksyen 36 (1), seksyen 36 (2), seksen 36(4), seksyen 36 (5) dan seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 yang boleh membawa hukuman sekurang-kurangnya RM10 ribu hingga RM40 ribu dan penjara sekurang-kurangnya 5 tahun (bergantung kepada kategori kesalahan). Itu belum kira lagi akta komunikasi dan multimedia.

Kalau tak mahu kena hukuman seperti dalam akta di atas (dan beberapa akta lain yang berkaitan), sila hanya baca sahaja, jangan gatal tangan nak salin dan tampal merata (melainkan dengan kebenaran). Apalagi, silalah berjiwang karat ya...


Tatkala Kuaminkan Doa Ini

Kalaupun dikau bukanlah bulan yang warnai semesta
dengan kilau emas kala purnama
cukuplah jadi bintang kejora
yang pagari malamku, yang sinari kamar hatiku
kerdipmu bawakan mimpi indah
dalam lena beradu.

Kalaupun dikau bukan mentari yang hangatkan siang
cukuplah jadi sang bayu
yang membelai anak rambutku kala terjuntai di dahi
yang mengelus keningku ketika menahan kerut
yang mengusap pipiku saat airmata menyapa
dengan dinginmu, dengan lembutmu.

Kalaupun dikau bukan bidadari sakti
cukuplah jadi sang pelangi
memberi warna indah
membawa kenangan mewah
menghilang seluruh gundah
kecundanglah nestapa
pergilah duka
larilah lara.

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga panjang umur untuk mengejar berjuta impian
untuk syukuri segala kurniaan
untuk nikmati kebesaran Ilahi
untuk turuti bisik naluri
untuk dengari kata hati.

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga murah rezeki untuk dikongsi
dengan insan yang tersayang
dengan orang yang malang
mengisi pengertian dan kasih sayang.

Sekian kalinya kuucapkan
Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
semoga lebih tabah mengharung gelombang kehidupan
lebih sabar tangani tiap ujian
lebih matang depani seluruh cabaran.

Tatkala kulafazkan Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
moga Allah berkati hidupmu
moga Allah lindungi hatimu
moga Allah rahmati dirimu
moga Allah cepatkan jodohmu.

Ya Allah,
sekiranya jodoh Cik Bintang ada di langit
maka turunkanlah ia
jika tempatnya di perut bumi,
keluarkanlah ia
jika di dasar laut dalam,
apungkanlah ia
Sekiranya jodoh Cik Bintang ada di tempat yang jauh,
maka dekatkanlah
jika sukar datangnya,
mudahkanlah
Ya Allah
aturkanlah ia dengan penuh kemuliaan
dengan segala kebaikan
dengan seluruh rahmat
dan berkat.

Ya Rahman,
sejahterakanlah kehidupan sahabatku ini
kekalkanlah kesihatan lahir batinnya
tambahkanlah ilmu pengetahuannya
berikan dia rahmat sepanjang masa
mendapat keampunanMu dunia akhirat
mendapat redhaMu dan syafaat.

Ya Rahim,
sayangi dia ketika siang biarpun malam
kabulkanlah setiap doanya dan impian
elakkan dia tenggelam dengan duniawi tak bertepi
tunjukkan dia hanya jalan yang lurus
jalan yang benar
jalan yang diredhai
lindungi dia tergelincir dari Rahmat dan RahmanMu
ampuni biar sebesar manapun khilafnya

Selamat Ulang Tahun, Cik Bintang
Selamat Hari Lahir, Cik Bintang
Ketika kuaminkan doa ini
Hanya kesejahteraan kumohon jadi miliknya
ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


~annieyss@blogspot~
Julai 2010
Bandar Baru Bangi


Kalau sambut hari lahir, selalunya orang akan tiub lilin, potong kek atau potong pulut kuning bersama ayam golek. Kemudian ramai-ramai nyanyi lagu “Happy Birthday to You”. Suara aku sangat merdu kalau nyanyi, hanya Cik Bintang sahaja yang tahu. Kalau aku nyanyi kat sini, Rossa tak boleh cari makan, Siti Nurhaliza akan bersara menyanyi. Jadinya, sempena hari ulang tahun kelahiran Cik Bintang ni, aku undang beberapa orang penyanyi tersohor dunia untuk nyanyikan lagu hari lahir untuknya. Sila nyanyi bersama-sama ya...

Penyanyi jemputan pertama:




Penyanyi jemputan Kedua:




Penyanyi jemputan ke tiga:





Yang ni aku cukup suka. Sangat-sangat suka. Chomel sangat!
Penyanyi jemputan ke empat:




Ini khusus untuk sesiapa yang memang dah lanjut usia. Moga Allah selamatkan kamu...
Penyanyi jemputan ke lima:




Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Cik Bintang. Lirik lagu Ajmain tak begitu sesuai untuk tampal kat sini walaupun lagunya sangat indah. Moga-moga pada usia ini segalanya lebih baik dari sebelumnya. Perjuangan masih lagi panjang untuk diredah.