Memaparkan catatan dengan label Akta hari kelepasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akta hari kelepasan. Papar semua catatan

Khamis, 16 September 2010

Selamat Hari Malaysia

Hari ni dah 16 September 2010. Hari Malaysia. Hari Sabah dan Sarawak bergabung bersama Semenanjung Tanah Melayu menjadi Malaysia 47 tahun lampau. Dah pun 47 tahun berlalu, baru tahun ini diumumkan sebagai cuti umum. Kerajaan mengumumkan mulai tahun ini, tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia dan penetapan itu diwartakan pada 9 November 2009 di bawah Akta Hari Kelepasan 1951, Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955. Aku memang suka kalau banyak cuti umum, walaupun baki cuti aku masih lagi ada hampir 40 hari belum guna, tapi bila ada cuti umum ni, rasa dia lain sikit. Tak payah mintak cuti ...sila jemput aku ke rumah terbuka korang ya hu hu hu perut tengah bunyi ni!

Pertama kali ke Sabah dan Sarawak awal tahun akhir 90-an dahulu, aku rasa peluk juga. maklumlah, perlu ikut laluan antarabangsa bila di lapangan terbang. Perlu juga ada pas masuk. Dulu-dulu kena isi borang, sekarang ni tunjuk myKad pun dah ok. Tapi tetap ambil masa kerana pegawai kastam akan rekodkan dalam sistem online sebelum diserahkan myKad itu bersama satu helai kertas putih. Kertas itu perlu diserahkan semula di lorong kastam semasa nak kembali ke KL semula nanti. Nak mudah, aku guna pasport antarabangsa. Tak perlu lagi simpan kertas putih itu yang sangat mudah pula untuk hilang.

Bila berbual dengan orang Sabah atau Sarawak, saya akan ditanya “Bila balik Malaya?”. Mulanya aku tercengang-cenang macam ungka dapat strowberi. Sanggup bertegang urat tekak dengan orang Borneo semata-mata tak puas hati dengan panggilan Malaya itu. Lama-lama, dah malas nak kesah. Sesekali rasa seronok pula...maklumlah, kembali ke zaman silam! Mana tahu tetiba je Hang Tuah muncul depan mata persembahkan Taming Sari untuk aku hu hu hu.

Itulah situasi yang perlu didepani orang Semenanjung bila berkunjung ke Sabah dan Sarawak walaupun sama-sama warga Malaysia. Ada masa, penduduk Borneo sendiri tidak tahupun wujudnya hal-hal sebegini. Kalau dia orang tu tinggal puncak Gunung Kinabalu, tak kesahlah sangat kerana kesukaran dapat line tenet, tetapi kalau terdiri daripada pegawai kerajaan berstatus bos nombor dua, tiga...rasa nak sahaja humban komputer canggih kat depannya itu. Bazir je kerajaan bagi komputer dan line tenet berkelajuan tinggi tetapi malas nak selidik maklumat.

Kini, bila ada sambutan Hari Malaysia, maknanya cukup besar kepada semua terutama rakyat di Sabah dan Sarawak. Ia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan,” itu kata Pairin.

Kata Aku: Biarlah hanya laut China Selatan pisahkan Borneo dan semenanjung. Aku bangga jadi anak Malaysia. Sama-samalah kita gotong royong bangunkan negara tercinta ini (bab semangat kebangsaan, semangat aku memang kental dan tinggi). Paling aku suka…kalau dapat jelajah tiap pelusuk Sabah dan Sarawak, alami pengalaman indahnya alam dan uniknya masyarakat tempatan. Entah bila akan tercapai hasrat itu…ada sesiapa sudi taja tak?