Khamis, 6 November 2008

Hala Tuju Kita Mana Arahnya?

Dipetik dari Utusan Malaysia 9 November 2008 yang juga boleh dilayari di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Henti guris Melayu
Oleh Abdul Razak Din

BERSATU... Seramai 2,000 orang Melayu membaca ikrar taat setia semasa Majlis Penyerahan Memorandum oleh Gabungan Melayu Perak kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak. Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah di sini bagi menyerahkan memorandum itu.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.

Sultan Azlan bertitah, kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkannya ke dalam Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan).

Titah baginda, ia termasuk klausa- klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu. Baginda menjelaskan, sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh raja- raja serta bidang kuasa raja merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu mendapat perkenan raja-raja.

Dalam hubungan ini titah baginda, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping memberikan keadilan kepada warga keseluruhannya.
‘‘Institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian. Raja-raja memahami bahawa perlembagaan merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara yang aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah, orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.
Titah baginda, untuk itu orang Melayu memerlukan jaminan dan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak terancam.
‘‘Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita atau dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu dan nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia,” tegas baginda.
Ini pula dipetik dari Utusan Malaysia 6 November 2008 yang juga boleh dibaca secara online di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
Bimbang kedudukan Melayu tercabar

KUALA KANGSAR 5 Nov. - Perasaan bimbang mengenai kedudukan orang Melayu yang sudah tercabar di negaranya sendiri merupakan faktor utama Gabungan Melayu Perak (GMP) menyerahkan memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ini kerana semua perkara yang berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan termasuk kontrak sosial telah mula dipertikaikan, sekali gus mengancam kedudukan pribumi di negara ini. Beliau berkata, mereka juga telah mula mengungkit Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang termasuk di dalamnya mengenai keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu.

"Baru-baru ini ada yang mengatakan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang. Saya rasa perkara ini tidak perlu diungkit lagi kerana semua ini telah termaktub dalam perlembagaan. Oleh itu, kami berpendapat kita perlu taat setia kepada Sultan serta berdiri teguh mempertahankan kedaulatan, institusi kesultanan, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorendum kepada Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini. Kira-kira 2,000 wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur yang diketuai Mohd. Hilmi menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke istana bagi menyerahkan memorandum itu.

Memorandum tersebut mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu pada bulan lepas berhubung perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mohd. Helmi berkata, mereka berharap apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan tidak dicabar kerana ia sudah semestinya menyentuh orang Melayu dan raja- raja Melayu.
"Saya sangat menyokong penuh titah Sultan bahawa kita jangan berpolitik berlebihan kerana ia boleh membuatkan banyak pihak akan berasa tidak berpuas hati," katanya.
Beliau berkata, GMP bukan sebuah badan politik tetapi ia adalah persatuan yang membawa aspirasi yang sama di kalangan orang Melayu di negeri ini. Kita menjemput siapa sahaja dalam majlis ini iaitu mereka yang berjiwa Melayu dan beragama Islam. Melayu dan orang Islam ini perlu bersatu," katanya.
Ini pula Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. Titah ini boleh dibaca dalam Utusan malaysia pada 6 November 2008, atau secara online di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.
Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Harapnya semua ini dapat direnungkan sebaiknya. Ada pro ada kontra. Ada orang setuju, ada juga yang tak setuju. Ada baik, ada buruknya. Namun, apapun pendapat anda atau pegangan anda, pastikan Malaysia ini tidak tergadai dari segala sudut. material. Fizikal. Budaya. Cara hidup. Pemikiran.

2 ulasan:

Cetusan berkata...

bila lagi ANyss nak bersatu huhuu

anyss berkata...

Tunggu sat nak melayan lagu dikir ni...