Selasa, 11 Mac 2014

Dimalukan Dengan Keletah Anak?

Pernah tak rasa malu dengan keletah anak-anak di khalayak ramai? Kita rasa macam kita tak pernah ajar berbuat sesuatu perkata sebegitu. Pernah alaminya?

Anak sapalah tuh!

Adik perempuan aku pernah cerita, anaknya (umur 2-3 tahun ketika itu) ketawa terbahak-bahak melihat budak lain seusianya jatuh. Kejadian berlaku di pasaraya. Kata adik, dia rasa macam nak sembunyi muka dalam beg plastik ketika tu. Malu sangat kat orang keliling. Entah kat mana anaknya belajar buat begitu. Tak ada siapa yang ajar pun!

Masa aku ke klinik panel dalam usaha mengumpul MC hingga pernah terpaksa menunggu lebih 5 jam semata-mata nak dapat MC tu, seorang budak lelaki seusia anak buah aku itu juga ketawa dengan kuat bila tengok aku bertongkat. Kemudian dia berkata “sakit ler tew,”.

Tindakannya buatkan air muka maknya berubah merah padam. Aku buat-buat tak nampak sahaja maknya, kalau aku pandang kang dia rasa bersalah pulak. Tapi aku buat pura-pura sakit depan budak tu sambil kerutkan muka.Siap mengaduh-ngaduh lagi.

Cara tu buatkan budak tu datang dekat dengan aku dan pandang kaki aku. Mukanya juga berkerut-kerut, macam dia pulak yang sakit. Bila mak dia suruh dia bukakan pintu untuk aku, cepat-cepat dia pergi buka pintu tu. Bersungguh-sungguh dia buka hingga ternganga luas, beri laluan untuk aku keluar. Kemudian dia melompat-lompat gembira bila aku ucapkan terima kasih.

Budak-budak dan anak-anak belajar dari persekitarannya. Walaupun mereka hiperaktif, cergas dan tidak duduk diam…usahlah “dipadanmukakan” atau ketawakan mereka bila jatuh, kena marah, atau kena hukum. Mereka belajar dari apa yang mereka alami, apa yang mereka tengok. Itulah  juga yang akan dilakukannya.

Jadi, usah salahkan anak bila suatu hari mereka bereaksi sebegitu, kerana itulah yang pernah mereka alami atau saksikan.Bagi mereka itu tidak salah. Tak ke muka kita sendiri yang malu kemudiannya?

PssssT: Macam pelik je bila aku yang belum ada anak ni cerita tentang kemahiran keibubapaan huh u huh u.

Isnin, 10 Mac 2014

Video Sidang media Ops Mencari MH370 hari ke-3 (4:00pm, 10/3/2014)


Lintas langsung sidang media tentang perkembangan terkini hari ketiga Pray for MH370 (4:00pm, 10/03/2014) operasi mencari pesawat MH370.



Teruskanlah berdoa dan jangan berhenti berharap.

Video Sidang Media Hari Ke-3 Operasi Mencari MH370


Berikut adalah rakaman video sidang media ke 3 Operasi mencari MH370 pada jam 12 tengahari 10/03/2



Teruskan mengharapkan berlaku keajaiban. Usaha dan doa, biarpun terdapat segelintir manusia yang suka sebarkan khabar palsu, harapan palsu atau politikkan isu ini. Golongan itu hanya terdapat 2-3 kerat sahaja yang mati jiwanya, masih ramai lagi yang sentiasa mengharapkan MH370 ditemui biar dalam apa jua keadaanpun. Pray for MH370.

Dia Panggil Aku Mak Cik?


Sejak bertongkat ni, banyak perkara aku belajar. Bukan sahaja berkawan dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik di pusat Ceragem Bangi, malah perlu juga selesaikan segala hal sendiri walaupun belum sihat sepenuhnya.Acara kumpul MC berkepuk-kepuk tu sudah semestinya kena buat.

Bila hujung bulan, banyak bil kena bayar. Banyak perkara kena buat termasuk memanjat tangga bank. Masa memanjat tangga bank itulah, seorang lelaki menyapa dari atas “Boleh ke tu, makcik…hati-hati,”

Dia panggil aku makcik? Fuhhhhh! Sampai kat atas dia bukakan pintu untukku. Aku tengok rambutnya dah kelihatan warna putih sana sini.

Nak aje aku cakap “Saya belum kahwin lagi tau!”

Ahad, 9 Mac 2014

Penumpang Misteri Dalam Pesawat MAS MH370?

Bila berlaku sesuatu yang besar seumpama kehilangan kapal terbang MAS MH370 dalam penerbangan Kuala Lumpur-Beijing, lebih banyak perkara misteri akan ditemui. Dah lah misteri kehilangannya memening kepala semua pihak, lebih banyak misteri lain ditemui.

Dalam kes sebegini, tetiba kita boleh temui bagaimana terdapat juga manusia yang tidak sensitif terhadap perasaan orang lain, hinggakan ramai orang nak kenal siapakah empunya diri. Komen-komen Shariman Omar yang sentiasa memandang rendah kepada orang lain terutama orang-orang Kelantan dan wanita cantik ibu tunggal dan janda seperti Erra Fazira menyerlahkan ketidakstabilan emosinya. Ramai jugak nak kenal siapa dia ni;


Kalau rajin nak telaah gambar kecil di atas, Shariman ni grad tahun 2005 tapi mungkin tidak jalankan latihan kedoktoran sebab tak ada tempat practise. Menurut prosedur nak jadi doctor, bila dah ada ijazah kedoktoran, masih perlu dapatkan provisional registration tu. Selepas habis houseman baru dapat “full registration”, pengesahan jawatan dan proses untuk dapatkan annual practising cert. Mmmmm tak tahulah kalau-kalau kes dia ni lain.

Bagi aku, orang sebegini kekurangan kasih sayang. Kalaupun benar dia doktor mendapat sijil dalam bidang perubatan, bahasa yang digunakan tidak memaparkan langsung keintelektualannya sebagai seorang terpelajar. Setiap status di facebooknya penuh dengan aura kebencian, kemarahan dan kekurangan kasih sayang. Barangkali, wanita-wanita jelita yang berada di Veneuzuela gagal menarik minatnya, Erra Fazira jugak yang menetap di hati, namun apa daya, siapalah dia untuk dipilih Erra kan. Daku sangat bersimpati dengan dia. Kasihan benar.

Bila senarai nama penumpang dan kru bertugas Pesawat MAS MH370 dihebahkan kepada umum, didapati pula terdapat dua nama yang misteri iaitu Christan Kozel dan Luigi Maraldi. kedua-dua tuan punya diri bernama Christan Kozel dan Luigi Maraldi ini menyatakan mereka tidak berada dalam penerbangan tersebut. Kedua-dua mereka pernah kehilangan passport. Jadi, siapakah sebenarnya yang menggunakan passport curi tersebut?

Agaknya, bilakah misteri ini akan terungkai?

Bila pesawat ini akhirnya ditemui, aku sangat pasti lebih banyak misteri akan terbongkar. Sebelum berlaku pembongkaran tersebut, marilah kita titipkan harapan dan doa (biarpun sedikit) agar semua penumpang dan anak kapal MH370 akhirnya berjaya ditemui. Janganlah berhenti berharap.

Yang perlu dihentikan adalah tindakan-tindakan membodohkan atau menampakkan kebodohan diri sendiri terutama merumitkan lagi keadaan. Kita tidak perlukan terlalu ramai penganalisis penerbangan tak bertauliah atau pencaci maki siber. Silalah jaga perasaan ramai orang yang sedang berduka saat ini.