Jumaat, 8 November 2013

Kenali Rakan Bila Bermusafir

 
Orang kata, ketika bermusafirlah kita akan kenal siapa rakan kita. Betul ke?

Betullah kot! Bijak pandai mengatakannya begitu. Rasulullah s.a.w melarang bermusafir seorang diri.

Pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya,

“Apakah engkau kenal lelaki itu?”

Pemuda itu menjawab, “Tidak ya amirul mukmimin.”

Saidina Omar bertanya lagi. “Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?” Orang itu jawab, “Tidak pernah,”

Lalu bertanya lagi Saidina Omar, “Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,’Tidak pernah.’

Lantas ditanya Omar lagi, “Macam mana engkau kenal dia?

Dijawab si pemuda. Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.’

Omar berkata, “Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya.”

Terima kasih Cik Bintang, jadi seorang sahabat yang baik. Semasa di Seoul tempoh hari, kami berkenalan dengan Zu dan Yam dalam perjalanan ke Namimara Republic (Pulau Nami). Esoknya, mereka ikut kami ke Pergunungan Soerak pula (Soerak-san).

Menghabiskan masa dua hari mengenali masing-masing adalah pengalaman yang indah juga. Ada kala kita tak pernah sangka boleh kenal, baik dan menikmati kesukaan yang sama padahal sebelum ini (semasa di bumi Malaysia) tidak pernah tersua pun. Akhirnya, mereka kongsikan tentang pengembaraan mereka di Seoul yang teruji dengan erti persahabatan.

Bagi aku mudah sahaja. Mengembara memang menguji banyak perkara. Masa inilah kita lebih faham tentang rakan kita. Masa inilah rakan kita itu akan faham tentang kita. Kalau hanya asyik kita sahaja yang berusaha untuk memahami dia, mendahului semua keinginannya, maka di mana pula erti persahabatan itu?

Hidup perlu memberi dan menerima. Saling memahami. Kalau kita mahu diri difahami, luangkanlah masa sesaat untuk memahami rakan kita itu. Tak kan semuanya kita sahaja nak menang? Tak kan hanya keinginan kita sahaja mahu dipenuhi?

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
 
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk"
 
 
Jika terdapat sahabat bersikap memusuhi, mengkhianati, bermasam muka dan seumpamanya akibat daripada tidak puas hati dan tidak mampu bertoleransi, makanya, buangkan sahaja dia dari hidup kita. Tak rugipun. Semasa kita tak punya masalahpun dia sudah tunjukkan belangnya, secara pasti…ketika kita bermasalah dan perlukan bantuannya satu ketika nanti, memang sah dia antara orang yang tidak boleh diharapkan langsung. Belum apa-apa lagi dia sudah gagal menjadi seorang sahabat yang baik.


Al-Qamah al-Attaridi pernah wasiatkan kepada anaknya;

Wahai anakku! Jika kamu dihadapkan pada suatu keperluan untuk bertemankan seseorang, maka bertemanlah dengan orang yang apabila engkau melayaninya nescaya dia menjagamu. Apabila kamu menemaninya, dia mempertimbangkan penghargaan kepadamu. Jika engkau memerlukan satu perbelanjaan, dia menyediakannya. Berkawanlah dengan orang yang apabila kamu menghulurkan tangan kepadanya dengan suatu kebaikan, dia akan menghulurkan tangannya juga. Jika dia melihat kebaikan padamu, dia akan menghargainya. Jika dia melihat suatu keburukan padamu, dia menutupnya. Berkawanlah engkau dengan orang yang apabila engkau memintanya, dia akan memberi kepadamu. Jika engkau diam, dia memulakan bercakap denganmu. Jika engkau ditimpa bencana, dia menolong kamu. Berkawanlah engkau dengan orang yang apabila engkau bercakap, dia membenarkan perkataanmu. Jika engkau berdua saling berusaha tentang sesuatu perkara, dia mementingkan urusanmu. Jika engkau berdua berselisih, dia mengutamakan engkau”



Hishhhh! Panjang lah pulak entri ni. Kita sambung lain kali je lah ya…
 
 
 
 
 
 

Khamis, 7 November 2013

Pekeliling JPA Tambahbaik Skim Perkhidmatan


Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA telah mengeluarkan pekeliling dengan 27 Pekeliling Perkhidmatan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan seperti yang diumumkan YAB Pendana Menteri dalam pembentangan bajet 2014 pada 25 Oktober 2013.

Nak tengok pekeliling tambah baik skim perkhidmatan JPA boleh semak di lawan web rasmi JPA.
 
 
 

Rabu, 6 November 2013

Festival Gamelan Malaysia UKM 2013


Setiap tahun, Pusat Kebudayaan UKM memang mempunyai banyak agenda kesenian dan kebudayaan termasuk Festival Gamelan Malaysia UKM. Pada tahun ini Festival Gamelan Malaysia UKM 2013 bertemakan 1 Rentak 1 Irama diadakan seperti berikut:

Acara: Festival Gamelan Malaysia UKM 2013
Tarikh: 9 November 2013 (Sabtu)
Masa: 8.30 malam
Tempat: Panggung Seni DECTAR UKM

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Cik Sherry di talian 03-89215240.

Festival Gamelan Malaysia UKM 2013 sebenarnya terbuka kepada masyarakat umum, jadi sekiranya ada dikalangan anda berminat dengan acara budaya seperti ini, silalah hadirkan diri. Kalian dialu-alukan. Masuk adalah percuma.

Berikut adalah rakaman Festival Gamelan Malaysia UKM 2012



Kalian juga boleh baca pengalaman rakan saya melihat persembahahan dalam Festival Gamelan Malaysia UKM 2012 di blog beliau Yang Ingin Kukongsi.

Semoga penganjuran aktiviti budaya sebegini sedikit sebanyak dapat meneruskan kelangsungan budaya bangsa kita agar tidak luput ditelan zaman. Paling istimewa, golongan muda kini berani bereksperimen dan melakukan kaloborasi dengan seni moden.
 
 

Selasa, 5 November 2013

Selamat Menyambut Tahun Baru Awal Muharam


Selamat menyambut kedatangan tahun Hijrah 1435, semoga tahun ini membuka lebih banyak peluang meningkatkan diri ke arah kebaikan.




Selamat panjang umur, murah rezeki, lebih kerja keras dan diberkati seluruh kehidupan kepada diri sendiri yang sambut hari lahir dua kali setahun.

Kalian macam mana?
 
 

Isnin, 4 November 2013

Pahang Juara Piala Malaysia 2013


Semangat memang dah berkobar-kobar sejak minggu lepas ni. Dengarnya sejak Khamis dah ada yang berkampung di stadium Shah Alam nak tunggu perlawanan Akhir @ Final Piala Malaysia antara Kelantan TRW dan Pahang Tok Gajah kali ni. Kalau tengok di FB, ramai dah muat naik macam-macam gambar sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2013 hari ni.
Aku pun tinggi juga semangat Kelantan ni...tak percaya? Cer tengok;
Hu hu hu hu sampai Korea kau itu mafla! Sila percaya!

Alhamdulillah, tahun ni dua pasukan bola sepak Pantai Timur bertarung untuk merebut juara. Kelantan TRW dah tentulah nak pertahankan dan kekalkan kejuaraan Piala Malaysia ke-87 pada malam ni, tapi tak kan Tok Gajah Pahang nak tengok aje kan? Dah tentulah Pahang nak gugat dan rebutnya.

Walaupun dalam tempoh lima tahun Kelantan telah tampil empat kali ke perlawanan akhir Piala Malaysia, tapi kena juga ingat bahawa bola itu bulat. Kita tak tahu mana bola akan bergolek. Namun begitu, barisan pemain bola sepak Kelantan seperti Mohd. Badhri Mohd Radzi, Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, harapnya The Red Warriors mampu mendominasi permainan malam ni. Begitu juga penyerang import, Dickson Nwakaeme tentu tidak akan berdiam diri tunjukkan kehebatannya walaupun malam ni tanpa Obinna Nwaneri.

Kelantan beruntung mempunyai penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat yang sentiasa membanggakan. Dia memang nampak kacak bila berjaya mengawal pintu gol…ohhhhh, Lueiney, sila jangan jeles kat kami ya!

Apa-apapun keputusan perlawanan final Piala Malaysia 2013 malam nanti, dah tentu pasukan Kelantan memerlukan penyokongnya yang setia. Janganlah sokong masa menang sahaja ya…saat-saat genting mempertahankan kemenangan itu TRW sangat memerlukan sokongan kalian. Percayalah!

Keputusan final Piala Malaysia 2013 antara Kelantan TRW dan Pahang Tok Gajah akan diketahui nanti. Kita tunggu sahajalah pasukan mana juara Piala Malaysia 2013 ya.

Kemaskini:

Pahang Juara Piala Malaysia 2013 dengan mendahului Kelantan 1-0. Tahniah Pahang.