Rabu, 2 Jun 2010

Bila H1N1 Bergelombang Semula: Akukah yang Terjepit Tanpa Daya?

Catatan ini mungkin akan jadi panjang. Seluruh rasa ada di dalamnya. Kiranya anda tak betah untuk berteleku mengadap skrin, sila boloskan diri dari sini dengan segera sebelum anda benar-benar terperangkap di dalamnya.

Aku jarang sakit, kecuali migrine yang menjadi bagai makanan ruji. Selain itu, memang sangat jarang nak sakit dan terlantar. Kalau sakit (selain migrine atau sesekali diserang Jepun), biasanya terus tak bangun. Kalau demam sikit sahaja, sama macam tak demam bagi aku. Jadi, bila aku kata aku sedang demam, maknanya aku macam beruang koala dalam sarang sutera. Selimut litup hingga kepala, terkapar macam ayam diserang selsema burung.

Sejak Rabu lepas aku terima tetamu dari Aceh yang ada urusan di UKM. Selama 10 hari ini, dia akan menginap di pondok usang aku. Rutin harianku berubah 70 peratus, perlu disesuaikan dengan keperluannya juga.

Hari Wesak, kami keluar dari rumah jam 12.30 tengahari, terus ke kedai fotostat untuk binding tesisnya. Selepas itu ke Fakulti dan tinggalkan draf akhir tesisnya ke dalam kotak surat penyelia. Petangnya kami mendapat undangan di Taman Guru, Jalan Senawang-Paroi; meraikan tetamu dari Aceh. Jam 2.30 petang singgah di Nilai 3, ambil Cik Bintang.


Gelap gelita dan hujan sepanjang perjalanan


Cuaca memang panas amat. Kepala berdenyut sejak di Bangi lagi, tetapi aku telan ubat di rumah Cik Bintang. Dua biji sekaligus. Sepatutnya sebiji berselang setengah jam. Meriah benar kami dijamu jejaka hensem di istana kayangannya. Makan sampai tadek ingat donia. Terlupa seketika tentang diet, tentang kalori...tentang migrine yang berdenyut di kepala.

Calon Pak Mertua masak mewah untuk kami hu hu hu












Selesai makan, baru ingat nak telan sebiji lagi ubat. Sepanjang perjalanan ke Nilai, aku dah tak mampu nak kata apa-apa dah. Apa yang dimakan dah mula bergelora dalam perut. Bergelombang. Salah hitungan, boleh terkeluar dalam perjalanan singkat itu, walaupun dah buang sebahagian daripadanya di istana tersebut. Kami singgah seketika di pasar borong Nilai 3, beri peluang untuk orang Aceh berbelanja. Bukan mudah nak kawal diri bila kepala tengah melayang-layang dan berdenyut sebegitu. Ada masa tak sempat berfikir apa-apa, tingkah kita mampu guris perasaan orang. Ada masa tak berniatpun nak kata apa-apa, tapi terlafaz juga. Ada masa, diam pun salah juga. Semua jadi serba tak kena.

Sampai sahaja rumah Cik Bintang, aku layan diri sendiri dan baring...kemudian berdengkur (kot! Lupa nak tanya tuan rumah). Jam lapan malam baru mandi dan segarkan diri. Kira bolehlah buka sedikit biji mata untuk kembali ke Bangi walaupun dah pasti pandangan memang berbinau, kabur, campur lagi rabun ayam. Perjalanan yang patutnya 20 minit sahaja jadi tersangat lama bagi aku kerana terus memaksa diri untuk sampai di Bangi dengan selamat. Sampai sahaja di rumah, terus humban diri ke katil dan sambung tidur tanpa tukar baju.

Jam 11.30 malam aku bangkit. Migrine dah hilang. Alhamdulillah. Sempat berbual dengan adik sekejab, kemudian mengembara ke alam maya. Sempat juga buat entri ringkas di blog. Konon-kononnya nak kekalkan rutin kemas kini di blog sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Saat itu kenaikan suhu badan dah mula terasa, namun aku anggapnya macam demam-demam manja yang boleh aku lupakan begitu sahaja keesokan harinya dek kesibukan kerja. Jadi, acara tengah malam itu aku sambung dengan menonton tv yang tak ada pun rancangan menarik. Disebabkan dah tidur beberapa jam awal malam, mata jadi sangat sukar untuk tidur.

Sedar tak sedar, kaki dah mula terasa sejuk biarpun ruang menonton itu tidak ada kipaspun. Kipas dah aku pindahkan ke bawah untuk kegunaan adik dan adik ipar. Beberapa ketika kemudian, sejuk itu menular ke seluruh tubuh hingga memaksa aku mencari stokin tebal, baju panas dan selimut. Bertemankan beruang pink yang terbuang dek tuannya (sama terbuangnya macam aku hu hu hu), aku tidur seperti ulat gonggok dikatil hadapan tv (depan tv pun ada katil, nampak sangat kan tv selalu saja tengok aku, bukannya aku yang tengok tv). Suhu badan kian meningkat, sedangkan tiap inci kulitku terasa sangat sejuk hingga menggigil. Gigi menggeratup menahan gigil. Beruang pink yang biasanya terasa hangat itu juga tidak meninggalkan apa-apa kesan.

Seluruh diri bagai dibaji. Setiap sendi terasa menyucuk-nyucuk. Menggigit-gigit. Bagai mahu relai cantuman itu dan bersepai ke lantai. Daging-daging umpama dicucuk dengan jarum yang halus. Seluruh diri. Nyilu sangat. Lebih terkesan bila rasa itu sangat menyengat di kepala. Macam digerudi. Tiap kali sengatan itu memerit di kepala, seluruh diri terasa kesannya. Kaki bagai ditarik-tarik, disentak-sentak, disenjah-senjah. Sesekali kekejangan juga. Semua itu ditambah pula dengan kebas kaki, lenguh pinggang dan sakit belakang dek serangan Jepun.

Mata memang tidak mampu dilelapkan. Seluruh diri terasa bisa. Sejuk dan menggigil. Dalam gelap pada waktu pagi yang hening itu, bermacam rasa datang. Bermacam benda terfikirkan. Macam-macam hal ingat. Macam-macam perkara hitung.

Kalau aku mati masa tu, apa jadi agaknya? Masa tu jugaklah aku teringat begitu banyak lagi hutang yang perlu aku bayar dalam hidup ni, tidak termasuk hutang dengan JPA (Inche JPA yang ensem, boleh tak halalkan sahaja hutang tu? Bukannya banyak pun. Saya ni pembayar cukai yang setia...bagi diskaun 70% pun dah ok, kalau tak payah bayar, lagilah ok kan. Daku merayu ni!). Kalau dinilai dengan kalkulator harga RM3 yang beli kat pasar malam tu, aku perlu ambil masa 10 tahun untuk bayar semua hutang yang tertera namaku secara rasminya, walaupun tidak sesenpun aku guna. Usah ditanya bagaimana terjadi kerana di Malaysia ni, semua perkara boleh berlaku. Mengikut undang-undang manusia yang termaktub di muka bumi ini, aku yang perlu membayarnya. Mengikut undang-undang Allah, semua itu tak perlu aku bayar kerana bukan aku yang gunapun. Disebabkan aku masih lagi hidup dalam undang-undang manusia di alam fana ini, kiranya biarlah aku bayar sama ada secara rela atau paksa. Usah ditanya ikhlas ke tidak aku lakukan semua ini. Tanyalah diri sendiri; andai anda berdiri di tempat aku ini, ikhlaskah anda?

Aku juga terkenangkan hutang dengan Mek dan Ayah. Aku mahu penuhi setiap impiannya, namun kini aku tahu aku tak mampu laksanakan dalam tempoh 10 tahun ini. Masih punya masa lagikah aku selepas 10 tahun itu? Masih bernafas lagikah aku kala itu? Masih sempatkan kugembirakan mereka dalam hayat ini. Dan, kalau malam itu adalah malam penghabisan aku bernafas, tidak tertunailah semua hutang itu kepada mereka. Aku hanya ingin menjadi seorang anak yang mampu membuatkan Mek dan Ayah tidak rasa menyesal, kalaupun mereka tidak pernah banggapun dengan aku. Seorang anak yang tidak pernah disesalkan wujudnya di muka bumi ini. Seorang anak yang sangat-sangat memerlukan doa dan restu. Masih terlalu banyak yang belum sempat aku berikan kepada mereka. Andai malam ini malam terakhir aku bernafas, betapa tak terhitungnya hutang aku kepada mereka.

Aku hitung juga hutang puasaku tahun lepas. Nasib baik langsai. Namun itu bukan bererti aku sudah tiada hutang dengan sang Pencipta. Sesekali subuhku ada juga terbabas bila alarm telefon tersalah set. Sesekali yang lain maghrib pernah juga tidak mampu untuk kutunaikan bila semput menguasai diri. Bila bilik air yang hanya 3 langkah itu jadi terlalu jauh untuk aku pergi, bila hujung jaripun tidak mampu aku gerakkan setelah terkedang dalam lelah di pembaringan. Belum lagi dikira sehayat ini; sejak baligh yang ada masanya terlalu liat untuk bersenam sebegitu. Tarikan terhadap aktiviti lain lebih besar berbanding sejadah.

Itu semua hutang terbesar aku. Yang perlu aku tebus sebelum tinggalkan alam nan fana ini. Belum kira lagi betapa banyaknya perkara lain yang belum sempat aku lakukan. Aku belum sempat tamatkan belajar lagi. Sama ada hidup atau mati, aku perlu sempatkan juga siap belajar itu. Aku perlu tamatkan secepatnya. Terima kasih Cik Bintang, sentiasa sabar memaksa aku, aku sangat hargainya walaupun sangat liat juga. Usah mudah bosan dengan kerenah aku ya. Orang kata, kalau meninggal semasa menuntut ilmu, sama seperti syahid berjihad. Kalaupun syahid sebegitu, masih perlu juga ditolak hutang piutang, salah dan silap, khilaf dan dosa.

Aku juga belum sempat untuk cari guru tersohor untuk belajar macam Akademi Al-Qur’an. Sangat teringin untuk baca al-Qur’an sehebat mereka. Mahu juga tambah lagi ilmu agama, mendengar ceramah dari guru-guru tersohor, ustaz-ustaz ternama, ulamak-ulamak besar...bukan hanya melalui kaset atau buku sahaja. Aku tak mahu salah pilih guru, nanti jadi hantu. Aku tak mahu salah pilih ustaz, nanti akan sesat. Tak mahu salah pilih sahabat, nanti kena laknat. Niat dah lama ada tapi pengisian dalam hidup terlalu banyak. Semuanya nak tunda hingga habis belajar. Kalau tak sempat macam mana? (Itulah, masa sekolah dulu tak ingat nak belajar rajin-rajin, dah tua-tua macam ni baru menyesal, siapa salah? Sendiri mau ingatlah! Eh...bukan baru 18 tahun 2 hari ke umurku?)

Tiap kali nafas dihela, dada terasa berat. Sendat. Dua lubang hidung bagaikan sangat tidak cukup untuk menggumba oksigen ke dalam dada. Apalagi bila perlu berselubung hingga menutup kepala. Entah bila tertidur aku tidak pasti. Sedar-sedar bila peluh telah membasah seluruh diri. Lencun. Suhu kian meningkat. Panas. Gigil yang aku tahan tadi sudah hilang. Yang datang kini kehangatan. Sangat panas. Bagai ada bara meliputi seluruh diri. Stokin yang aku pakai terpaksa dibuka. Selimut tolak ke tepi. Baju panas dibuka. Baju T kapas telah basah dek peluh. Tapak kaki bagaikan terhimpun bara.

Panas yang mungkin hanya berbeza beberapa takat celsius sahajapun aku sudah tidak tahan. Entah bagaimana andai panas di Padang Mahsyar. Entah berapa kambria tiba giliran untuk diadili dari sekian banyak umat manusia. Entah berapa banyak buku catatan yang perlu ditimbang kira. Entahkan berat sebelah kanan, entahkan beratnya di kiri. Entah itu, entah ini. Entah apa lagi.

Semua ini sebab peningkatan suhu badan inikah? Semua ini hanya kerana sedikit derita yang aku tanggung inikah? Entah berapa banyak kesenangan yang telah aku nikmati selama ini. Entah berapa banyak nilai sihat yang aku jalani tetapi diabaikan tanpa mengenang erti syukur. Diuji dengan migrine pun rungutnya dah berhari-hari. Kini, akan terdiamkah aku? Terkelukah lidah? Ataukah, masih belum sedar diri, masih mahu hidup menongkat langit? Ataukah...ataukah...

Kian dibiar, suhu makin meningkat. Aku perlu lap diri sendiri dalam samar cahaya lampu dari luar rumah agar tidak disedari orang lain. Agar tak menyusahkan orang lain, lebih-lebih lagi adik yang sedang menunggu hari itu. Asalnya berbaring di katil, akhirnya hanya terlentang di lantai berparkir ditemani gayung berisi air dan sehelai tuala basah. Setelah lap muka, leher lengan, betis dan kaki, tuala basah itu aku pekapkan ke dahi dan berusaha untuk tidur. Ada masa berjaya melelapkan mata, ada masa yang lain hanya gelisah menguasai diri. Sekejab masa sahaja tuala itu perlu aku basahkan semula untuk dapatkan dinginnya. Untuk meredakan kenaikan suhu yang mendadak ini. Dan dalam kegelapan itu, bermacam perkara menerpa kepala.

Aku masih belum bersedia untuk mati lagi. Aku belum bersedia untuk tinggalkan dunia maha luas ini. Bukan kerana indahnya, bukan kerana luasnya, bukan kerana belum sempat aku jelajahi seluruhnya lagi...namun kerana begitu banyak yang masih belum aku selesaikan. Aku belum langsaikan lagi semua tanggungjawab yang patut sepenuhnya. Tanggungjawab sebagai hambaNya. Sebagai seorang anak. Sebagai seorang pekerja. Sebagai warganegara. Sebagai insan. Kalau dihitung segala, memang masih terlalu banyak. Kalaupun aku hidup 10 tahun lagi, belum tentu lengkap sempurna semua itu aku mampu lakukan.

Seluruh badan bukan sekadar panas sahaja. Bukan sahaja lenguh dan sengal-sengal. Bukan sahaja bak disentak senjah dan ditarik-tarik, namun kian terasa bisanya. Kian lemah tak berdaya hinggakan tiap isi dan tulang bagai tak bersisa biar sesaat dari berdenyut. Biar aku telah mencuba untuk memicit diri sendiri, membuang segala sengal, nyeri dan lenguh itu...namun, semua usaha itu sangat tidak memberi kesan biarpun sedikit. Tenaga yang telah terhakis habis ini sudah tidak mampu biar untuk mengangkat hujung jari. Kala itu, aku mengharapkan Cik Bintang datang picit. Dan, aku akan menjadi seorang yang sangat kejam andai mengejutkan dia pagi-pagi buta ini hanya sekadar untuk meminta picit itu. Hati, tahanlah menanti dia datang! Dan hati pula, sangat yakin benar dia akan datang biarpun katanya...dia sangat sibuk minggu ini. Dia tak akan datang minggu ini.

Dan malam itu, dalam ketakberdayaan rasa dan upaya, air mata memang sangat mudah untuk tumpah. Bukan kerana kesakitan yang mendera itu, kerana aku memang sedia maklum bahawa ujian sakit itu akan menggugurkan dosa-dosa kecil kita. Bukan juga kerana menyesal, kerna tiada apa yang perlu disesalkan dalam hidup inipun biar apapun yang telah terjadi. Namun tangis itu (kerap kali aku katakan “menangis adalah aktiviti cuci mata yang sihat”) hanya kerana mengenang liku-liku perjalanan hidup ini sejak kecil hingga kini. Pahit manis meniti ranjau berduri bak filem P.Ramlee kembali berputar di kotak fikir. Keseluruhannya kenangan pahit. Kesukaran, kesusahan, pahit dan duka yang pernah aku jalani hingga takat kini. Dan aku merasakan diri tersangat kerdil. Sangat tidak berdaya. Sakitnya lebih sakit dari sakit yang sedang aku tahankan kini.

Dada dah sebak ya? Berhibur dululah...





Aku lebih sukakan rentak ini, biarpun lagunya agak menusuk kalbu, namun bila telah diubah rentak, taklah rasa duka sangatkan. Macam gembira pula dengar lagu ni;





Biarpun jam dah hampir lima pagi, namun kapasiti tidur yang sekejab-sekejab itu menjadikan kepala terasa “weng”. Sekejab terapung, sekejab mamai, sekejab lagi blur. Bagaimana boleh aku sembunyikan wajah yang dah mula nampak cemberut ini dari tatapan orang lain. Bagaimana mahu sorokkan betapa menderitanya aku menahan seluruh rasa itu sepanjang lebih lima jam itu?

Nasib baik adik ada, gorengkan nasi untuk sarapan. Jadi tetamu aku bersarapan juga hari itu walaupun pada jam 10.30. Kasihan dia kan. Tuan rumah tak mampu angkat kakipun untuk siapkan dia sarapan, hanya beberapa kali berpesan “turunlah buat minum untuk sarapan”. Kalau aku terdaya, aku tak akan biarkan sang tetamu tanpa layanan. Dan dia pula, walaupun jadi tetamu dah lebih dari seminggu, tetap juga tersegan silu untuk buat minumannya sendiri (bukan dalam masa 3 hari sahaja ke layanan kelas pertama untuk tetamu? Selepas itu tetamu kenalah pandai-pandai bawa diri. Aku bukan mintak kemas rumahpun, hanya buat sendiri minuman. Itupun untuk diri sendiri, bukan untuk aku). Tolonglah! Kalau aku ada upaya, aku tak sekejam itu. Memanglah adik aku ada, tetapi dia juga sedang tunggu hari. Nak bangunpun bukan main siksa lagi. Itupun gagah juga pergi masak nasi goreng bila aku tak turun-turun walaupun dah hampir jam sepuluh pagi.

Patutnya aku perlu tunggu penyewa bilik baru jam sepuluh. Namun kaki ini sudah tidak mampu untuk berdiri lebih lama dari seminit, badan ini tidak daya lagi untuk duduk lebih dari seminit. Kalau boleh, aku hanya inginkan berbaring dan betulkan tulang belakang, kemudian mengundang tidur yang aku terlepas. Hanya seorang sahaja yang sampai pada waktu yang ditetapkan. Katanya dia akan menunggu rakan yang lain datang dari Sungai Buloh di rumahku.

Kalau aku sihat macam biasa, memang tak kesah. Namun hari ini, aku sendiri tidak sudi memandang rupa sendiri di cermin kerana aku tahu betapa tidak sesuainya untuk dipandang. Kutinggalkan dia dilayan adik dan suami serta sang tetamu dari Aceh. Aku beransur ke klinik panel yang jaraknya sekadar 100 meter sahaja dari rumah. Nasib baik tak ada pesakit lain. Seminit sahaja aku dah boleh jumpa doktor. Namun sebab hari cuti, doktor yang bertugas bukanlah doktor yang biasa aku jumpa. Musim H1N1 inipun dia hanya periksa ala kadar sahaja. Kemudian beri aku PANADOL dan PINKILLER bersama strepsil walaupun aku tak batukpun.

Baliknya, aku minta diri untuk tidur sahaja. Memang tak larat sangat. Memang tak berupaya. Tak mampu untuk berfikirpun. Jadi, aku mintak adik si mak buyung itu layan mereka dan terangkan pasal bilik sewaan itu. Sepanjang hari Sabtu itu, aku hanya berbaring, lelapkan mata dan selimutkan diri dalam gebar. Sesekali bangkit untuk meneguk air putih yang sentiasa ada di sebelah katil. Dalam kepala saat itu, dunia sudah tidak ada lagi. Hanya memujuk diri untuk tidur, aku berjaya melenyapkan seluruh rasa lesu dan nyeri itu. Sesekali yang lain, mengingatkan sang tamu untuk mencari sendiri apa yang boleh dimasak di dapur buat santapan tengaharinya. Ampunkanlah aku, aku tak berdayapun untuk siapkan hidangan buat sang tetamu. Usahlah berkecil hati andai layanan memang tidak mampu kusedia selayaknya. Sedar-sedar, Cik Bintang dah masuk rumah pun, entah bila masa dia sampai aku tak sedar. Dan datangnya itu, memang sangat kuharapkan. Kalaupun dia bukan sang doktor rajuna hati yang boleh ghaibkan demam ini, paling tidak dia boleh kurangkan lenguh segala urat sendi ini dengan picitnya. Paling tidak, dia boleh tolong layankan sang tetamu. Rasa macam pelik pulak; tetamu datang untuk melayan tetamu yang lain. Aduhai! Ampunkanlah daku! Namun, aku sangat hargainya...tak tipu! Betul!

Malamnya, hidangan kami adalah tomyam hasil tangan Cik Bintang. Nasiku hanya dua sudu sahaja, itupun tiada daya untuk dihabiskan. Bukan tomyam itu tak sedap, namun tekak tak mampu untuk menelan. Lidah tak punya deria rasa pun. Dan malamnya, aku tidur sesedap rasa lagi setelah telan semua jenis dadah yang dibekalkan. Kononnya itu kali terakhir untuk demam sesi ini. Esok dah tak perlu telan lagi. Esok dah sihat. Kononnyalah!













Bila buka mata esoknya, pagi masih sangat dara; ketika kumandang subuh menerawang di ruang udara Bangi. Seluruh badanku basah dek peluh. Masam. Tandanya memang demam dah ok. Dan pagi-pagi sebegitu aku dah bersiram bak tuan puteri. Jam 10 pagi dah bersedia untuk masak hidangan tengahari. Cik Bintang sebenarnya beria-ria masak. Hanya mulut aku yang cekap bercakap macam bertih. Macamlah dua hari bertapa dalam selimut itu dah lama sangat hingga gian nak bercakap. Dan tengahari itu kami mengadap ikan bakar, lengkap dengan sayur dan tomyam semalam.

Ingatkan panas hingga petang, rupanya mendung berarak di tengahari. Jam tiga petang, suhu badan mendadak naik. Dan aku terbaring semula di katil bergelumang dalam selimut. Pagi dan tengahari aku dah tak ambil dadah itu lagi, kononnya dah sihat...jadi tidak mahu tambahkan dos dadah dalam alir darah. Akibatnya, aku menderita lagi. Dah lah Cik Bintang dah nak balik, adik juga akan kembali semula ke Sijangkang. Kini, tinggallah kembali aku bersama sang tetamu. Andai demam yang belum kebah ini kembali semula, akan terbiar lagikah dia? Atau, dapatkah dia bawa dirinya seiring dengan keadaan?

Malangnya, demam kali ini lebih berganda berbanding derita yang aku alami malam sebelumnya. Bukan sahaja demam, sengal segala urat sendi, nyeri seluruh kulit belulang, lemah segenap otot dan daging...malah, ditambah lagi pula dengan migrine yang super kuasanya dan cirit birit pula. Ingatkan malam semalam paling derita, kali ini lebih sengsara. Lebih menyengat. Lebih kuasa kudanya juga. Setelah telan semula ubat, termasuk dua biji ubat migrine, aku hanya berbaring dan lelapkan mata sepanjang malam. Sang tetamu yang berkerja keras menyiapkan tesis pada malam itu tidak lagi kuhulurkan nescafe panas sebagai peneman bagai biasa. Biarpun berkali aku mintanya bancuh sendiri, namun dia tetap tidak lakukannya. Bukan salah aku kan? Mmmmmm...

Aku memang jarang demam, tetapi bila dah demam...memang sangat teruk. Memang dah tak mampu nak bangun lagi. Dan demam yang sebegini, seingat aku dah lebih 15 tahun aku tidak alaminya. Lama, bukan? Dan hari ini, biarpun belum sihat sepenuhnya lagi...masih perlu berjaga-jaga dengan apa yang dimakan, jaga-jaga dengan suhu panas yang melampau, namun...aku dah sihat semula. Hanya dua hari itu yang banyak menguji seorang aku. Kalau aku seorang sahaja di gubuk buruk itu, sangatlah tidak kesah kerana aku boleh sahaja tidurkan diri selama tiga hari tanpa risaukan apa-apa. Tanpa perlu risaukan apa-apa, atau sesiapa. Jadinya, bersyukurlah dengan harta kesihatan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Biar sebanyak mana harta atau kesenangan yang kita kumpul, namun semua itu tidak ada erti apa-apa bila kesihatan telah ditarik dari kita.

Kisah tentang Aceh akan disambung kembali selepas entri ini, walaupun sebenarnya dah basi. Namun, bagi aku...ilmu itu perlu dikongsi. Aku juga tidak mahu simpan sahaja ilmu itu kerana tidak punya jawapan “mengapa lakukan sebegitu” saat disoal pada hari perhitungan nanti.

p.s: sama-samalah kita doakan semoga rombongan misi keamanan Malaysia ke Gaza sentiasa diberi Allah perlindungan dan keselamatan. Bukan semua insan diberi kekuatan untuk melakukan kerja sukarela berimpak tinggi seumpama itu. Saat terbaring lesu di lantai, hati pernah terdetik “bila agaknya aku akan mengikut misi sebegini?” Bila ya?

4 ulasan:

NAZ berkata...

makanan tip top. yeah skrg gelombang sdh dtg. pakcik saya satu keluarga kena skrg dthn wad semua nya

Cetusan berkata...

ya lapo lapo

dina berkata...

aku belum punya masa nak baca ~sgt panjang.. tapi makanan sangat marvellous! kau dah sihat tak?

anyss berkata...

Naz; moga2 dia cepat sembuh...makanan itulah sumber segala penyakit. Penyakit bermula di perut ya...makan kena berpada, jangan ikut nafsu je ;)

ZZ: Hu hu hu dan berjaya buatkan ZZ kecur ayaq lioq sampai menitik berbaldi-baldi la la la

Dina: Alhamdulillah, dah sihat rasanya kot...dah jadi beruang kutub beberapa hari