Khamis, 27 Mei 2010

Minda Terbuai Hati Tersayat

Saat datang kali itu, kami hanya mampu memandang entah berapa kali bangunan Muzium Tsunami. Bentuknya bak sebuah kapal dengan ketinggian empat tingkat, dihiasi motif Islam. Reka bentuknya berbentuk Rumoh Aceh Escape Hill karya M Ridwan Kamil. Letaknya kira-kira 500 meter sahaja dari Lapangan Blang Padang, Tugu Tsunami dan Pesawat. Bersebelahan dengan Muzium ini juga, terdapat Makam Belanda (Kherkhof) berhampiran dengan simpang jam, lebih tepat lagi di Jalan Iskandar Muda. Muzium ini dibangunkan oleh banyak pihak seperti BRR NAD-Nias sebagai penyandang dana dan Pemkot (Pemerintahan Kota) Banda Aceh sebagai penyedia sarana dan prasarana muzium ini. Ia dirasmikan pada Februari 2008.



Kami hanya singgah seketika di bangunan ini. Hanya seketika. Tak berkesempatanpun untuk menjengah ke bahagian dalam bangunan, apalagi untuk melihat isinya. Ambil gambar pun terlompat-lompat sahaja. Maklumlah, bila ikut rombongan cik Kiah yang ahlinya terdiri daripada bapak-bapak dah pencen ini, begitulah keadaannya. Tak ramai yang suka meneliti sebaiknya atau berminat menelaah setiap inci sudut. Mungkin mereka capek, mungkin juga tidak begitu teruja sebagaimana kami. Mungkin, ia tidaklah menjadi sesuatu yang membanggakan sangatpun. Jadinya, kami tak sempat pun untuk merakamkan sisi terindah bangunan penuh makna ini selain rupa bentuknya dari hadapan. Jauh di sudut hati, aku memang mengakui yang keseronokan datang dahulu lebih tinggi tahap kepuasannya berbanding kali ini, padahal aku lebih mengharapkan sebaliknya. Sekalipun penat dan sangat letih dengan perjalanan jauh (hingga ke Langsa-lebih jauh lagi berbanding balik ke kampong aku di Kelantan), nilai kepuasan itu berada pada tahap 80 peratus, padahal, kami masih tidak punya kesempatan untuk meninjau seluruh pelusok bumi Aceh. Kiranya nak tahu lebih lanjut tentang Muzium Tsunami ini, bolehlah berkunjung ke blog Gendang Dipalu.


Monumen Kapal Apung Lampulo Banda Aceh

Dari hotel Shultan tempat kami menginap, hanya dengan 15 ribu rupiah (lebih kurang RM5), kita boleh ambil beca mesin (beca bermotor; beca ini menggunakan motosikal sebagai penggeraknya, tidak perlu dikayuh lagi) untuk ke monumen kapal apung Gampong Lampulo. Monumen ini muncul ekoran berlakunya tragedi bencana tsunami pada bulan Disember 2004, terletak di Kampung Lampulo, Kecamatan Kuta Alam, Kota Banda Aceh.

Kampung ini terletak berhampiran dengan pelabuhan perikanan Lampulo yang menjadi tempat mendaratnya nelayan-nelayan yang baru kembali dari laut. Pada waktu pagi, pelabuhan ini sangat sibuk dengan urusan mendaratkan ikan-ikan nelayan. Bau hanyir ikan dapat dihidu sebaik sahaja tiba di jalan utama yang betul-betul berada di tebing sungai. Banyak bot-bot nelayan terdapat di sungai sepanjang jalan ini. Kalaulah punya masa yang lebih panjang untuk terus berada di situ, dah pasti aku skodeng beribu-ribu gambar bot dan nelayan. Bagi aku nampak cantik dan menarik. Bot-bot mereka juga terlihat baru dan kukuh, bukannya usang seperti yang tertulis dalam hikayat sang nelayan laut. Mungkin bot-bot lama, usang dan buruk itu sudah berkubur di perut muara dibaham tsunami. Bukan mungkin lagi, memang pun begitu, kan?










Akibat tsunami, kapal apung Lampulo itu telah dibawa arus hingga lebih kurang 3 Km ke daratan. Walaupun arus tsunami berkenaan sangat deras dan ganas, kapal itu berjaya menyelamatkan 59 nyawa yang terhindar dari terjangan gelombang apabila mereka menyelamatkan diri ke atas kapal tersebut.





Kapal apung ini adalah salah satu daripada kapal-kapal yang terdampar ke daratan semasa kejadian Tsunami tersebut. Hingga kini, struktur kapal ini tetap dipertahankan sebagai objek wisata untuk mengingat akan peristiwa tersebut, dan dijadikan salah satu situs Peringatan Tsunami. Untuk memudahkan pengunjung melihat kapal nelayan ini dari dekat, Pemkot (pemerintah kota) telah membangunkan sebuah jambatan. Sekiranya kalian tanya Inche Google bertanyakan gambar kapal apung ini, kalian pasti akan jumpa gambar-gambar sebelum ini tanpa binaan jambatan tersebut.

Sekalung puji patut diberi kepada pihak Pemkot yang sangat berusaha menjaga monumen ini dengan membuat pagar, membina tempat duduk mengadap monumen kapal bak stadium kecil, membina jambatan untuk membolehkan pengunjung melihat keseluruhan struktur kapal dari arah atas, seterusnya menjaga monumen kapal ini dengan mengecat semula keseluruhan kapal. Ini secara tidak langsung dapat menjaga struktur kapal agar sentiasa terjaga. Bila ambil gambar juga, nampak lebih cantik dan terang benderang kerana catnya yang masih baru itu.

Kapal PLTD Apung

Orang kata, kalau ke Aceh, perjalanan itu tidak akan lengkap tanpa ke kawasan perumahan di Pungei menyaksikan satu lagi monumen besar malapetaka tsunami. Kita akan benar-benar menginsafi betapa besarnya kuasa Allah saat memandang sebuah kapal yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan. Pertama kali tiba di sini, aku memang terpegun. Terkelu tak terkata. Berintifar beberapa kali. Bukti sebesar ini Allah tunjukkan kepada setiap umat manusia yang masih lagi hidup selepas tsunami 2004. Masihkah kita perlu pertikaikan lagi?

Dari jauh kapal janakuasa Perusahaan Listrik Negara (PLN) “LTD Apung 1” kelihatan seperti sebuah bangunan tiga tingkat. Cuba bayangkan kapal sebesar feri Pulau Pinang boleh dipukul ombak tsumani sejauh 4 kilomiter (ada yang kata 5km) jauhnya dari pantai (Dermaga Ulee Lheue) ke tengah permukiman padat penduduk hingga menelan korban nyawa dan juga merosakkan bangunan dan kawasan petempatan. Tinggalan rumah yang musnah tanpa baiki masih juga dapat dilihat di kawasan perumahan terbabit hingga saat aku menulis entri ini. Masih jelas runtuhannya. Masih nyata betapa hebatnya kemusnahan yang berlaku.


Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung I ini terletak di Kampong Pungei Blang Cut, Banda Aceh. Beratnya 2,500 tan dengan keluasan kapal itu adalah 1,600 meter persegi. Di bawah kapal itu, dikatakan terdapat dua buah rumah yang dibenamkan akibat hempapannya. Ia menjadi kubur tetap penghuni malang dua buah rumah itu. Sesaat berada di bumbungnya yang lebar itu, hati terdetik sesuatu. Wajarkah kaki ini memijak di atas kuburan entah berapa ramai penghuni kedua-dua buah rumah tersebut. Dan datangnya setiap insan ke sini juga, tanpa huluran biarpun hanya salam kepada penghuni di dasarnya, apalagi doa, yasin atau al-fatihah. Sesaat yang lain pula, aku jadi terlalu takut untuk melangkah di kota ini, takut-takut tanah yang kupijak ini sebenarnya terisi tulang belulang insan yang telah terkambus benam di bawah lumpur tsunami dahulu. Ohhhhh…ampunkan aku dengan imaginasi sejauh itu!

Kapal ini kini menjadi antara monumen penting yang menjadi wisata kepada pelancong asing. Di Kapal PLTD Apung yang sudah tak berfungsi lagi itu, kita boleh naik ke atas geladak setinggi lebih kurang 20 meter. Dari bahagian atas geladaknya, kita dapat menyaksikan pemandangan luas ke berbagai-bagai penjuru kota di Banda Aceh, termasuk ke dermaga Ulee Lheue yang menjadi tempat kapal itu berada pada asalnya. Keindahan waktu senja di Ulee Lheue pernah aku paparkan dalam entri bulan Mac 2010 semasa kunjungan pertama ke Nanggoroe Aceh ini. Mercu tanda Banda Aceh seperti Masjid Baiturrahman, Muzium Tsunami dan menara beberapa buah masjid dapat dilihat dari jauh di geladak ini.


Lima puluh meter jaraknya dari kapal Apung ini terletak Taman Edukasi Tsunami. Rekaan taman ini sangat cantik dilihat dari geledak kapal apung. Di kawasan taman ini juga terdapat Pusat Kreasi Seni (muzium) yang mempamerkan sejumlah gambar-gambar tsunami. Kiranya jiwa dan minda anda tak kuat, saya tidak menyarankan untuk melihat gambar-gambar ini kerana terdapat banyak gambar yang sangat ngeri dan menyayat hati.

Biarpun hanya berbeza sebulan lebih sahaja jangkamasanya, aku dapat menyaksikan perubahan yang sangat drastik di kawasan ini. Mac lalu, kawasan ini memang menjadi tumpuan pelancong (sama macam kini juga) tetapi tidak ada gerai-gerai berjualan di kawasan ini sekalipun menjual air mineral. Bila datang semula kali ini, sudah banyak toko-tokok dibuka untuk menjual minuman, gerai makan, toko kerajinan tangan (kraftangan) dan toko cenderahati.



Semasa berbual-bual dengan beberapa orang warga tempatan tempohari, kanda Jo ada menyarankan bahawa mereka (penduduk tempatan) boleh mengambil peluang menjual bermacam barang kerajinan tangan sebagai cenderamata kepada pelancong. Bila datang lagi hampir dua bulan kemudian, perubahan yang sangat drastik terlihat. Aku sangat kagum dengan mereka. Benar, mereka miskin, namun mereka sanggup menerima pembaharuan, perubahan dan berkerja keras. Kalaulah mereka juga ada peluang!

Entri akan datang akan aku isi dengan beberapa perkara lain yang dapat ditemu bila berkelana di Aceh. Salah satu daripadanya adalah Masjid Rahmatulah yang terletak di perkampungan Turki, berhampiran juga dengan pantai Lok Nga nan cantik. Masjid ini sangat terkenal selepas peristiwa tsunami kerana strukturnya masih utuh walaupun kawasan sekeliling telah hancur ranap.

4 ulasan:

NAZ berkata...

gambar saja dah menarikkkkk

Unknown berkata...

ada gaya nampak..

ckLah @xiiinam berkata...

Menginsafkan...
Ditambah dengan lenggok bahasa catatan yang menarik...

anyss berkata...

Naz: belum cukup lagi untuk cari makan tu ;) masih perlu banyak usaha, apalagi kalau sekadar guna kamera kompax biasa

ZZ: opssssss! ek?

xiiinam: moga2, insyaAllah...dan, terima kasih juga