Jumaat, 16 Oktober 2009

Sesekali Bila Memuji


Dah penatlah marah-marah. Orang kata, kalau selalu marah-marah, wajah cepat tua. Umurpun singkat. Penyakit banyak datangnya. Hatipun tak tenang. Jadinya, tak nak lah semua gejala itu buatkan hidup aku ni terganggu. Nak juga rasa sihat. Rasa gembira. Rasa sentiasa muda. Jadinya, nak kena senyum pulak ni. Tak mau dah marah-marah, walaupun ketika ni aku memang tengah bengang gila (hampir-hampir naik gila dah ni) dengan lawyer firm ni. Namun, aku ambil keputusan untuk memuji pulak dalam entri ini.

Tak mudah untuk aku puji orang, tapi kalau aku dah puji tu...maknyanya, memang tulus ikhlas dari dasar hatiku. Untunglah sesiapa yang dapat pujian aku. Mahal tu!

Satu masa dahulu (dah lupa tahun lepas atau tahun sebelum tahun lepas...lu kira la sendreyyy!), aku pernah ke PD keseorangan. Lebih tepat lagi Teluk Kemang sebenarnya. Saje je nak buang stress dalam kepala dengan hidu angin laut sebelum stress tu menular jadi wabak dan sindrom tak terkawal. Masa perut tengah keroncong tengah nyanyikan lagu-lagu M.Nasir (ada sesiapa punya mp3 lagu “Kau dan Aku” nyanyian M.Nasir dan Yunizar Husin tak? Nak mintak!), aku singgah di satu gerai. Memang hanya gerai itu sahaja yang buka pada masa tersebut. Apa saja yang ada dan tentu perut akan terima sahaja. Tengah lapar hampir ke arah kebuloq. Tak sempat sarapan pun, padahal waktu itu jam dah lebih tiga petang. Amalkanlah selalu!

Masa duduk di kerusi (hari tu bukan hari minggu, jadi tidak ramai pengunjung. Bukan musim cuti juga) hanya aku yang ada selain sepasang kekasih sedang menjamu selera. Bagi sesiapa yang selalu pergi Teluk Kemang, pasti dah tahu sangat tahap kebersihan gerai-gerai di sana, namun pilihan memang tidak ada. Nak atau tidak, terpaksa saja makan di situ.

Lama duduk, tak siapa datang ambil order. Rupa-rupanya bos tengah “basuh” pekerja. Lantang suara bos, menikus sahaja anak buah. Diam dan tunduk pandang lantai. Lebih banyak kena basuh adalah si tukang masak. Masa tu aku terfikir, kalaulah tukang masak itu tetiba saja mogok, tinggalkan senduk dan kuali lalu blah pergi main laut...apa jadi dengan perut aku? Tengah lapar mencapai tahap kebuloq ni!

Lambat datang ambil order, pekerja indon itu kena marah lagi sekali. Entah berapa banyak anak tebuan bos dia makan masa sarapan tadi agaknya...bengkeng aje! Dengan muka separuh merah, separuh pucat, dia datang hampiriku dan mintak order. Payah juga untuk dia senyum dan layan dengan baik, maklumlah baru kena marah. Bos pula marah pekerja depan pelanggan. Semua orang dengar termasuk pekerja-pekerja di gerai yang lain, orang lalu lalang dan berdekatan. Nasib baik bukan aku pekerjanya. Kalau tak, bukan saja kerusi meja aku terbalikkan, sekali dengan gerai itu aku campak masuk laut. Biar padan muka dia! (Ingat sikit bos, doa orang yang rasa dirinya teraniaya mudah makbul. Kena mak Indon tu tadah tangan doa bos tumbuh tanduk...parah jadinya. Tak pepasal bos jadi Jin Noti lak!).

Aku mintak mi goreng basah dan teh o ais limau saja. Itulah menu waktu terdesak aku sebenarnya. Bukan suka sangat, tapi kalau dah tak ada pilihan, memang itu pilihan terakhir. Sekejab sahaja tukang masak itu siapkan. Itupun hentak senduk dan kuali tak usah cakaplah kuat tidaknya. Memang tengah panas hati. Nak hentak kepala bos dengan senduk memang tak dapat dah, hentak ajelah kuali. Kalau pecah bos boleh tukar!

Aku makan tanpa banyak soal. Orang tengah kebulor memang telan apa saja yang ada. Kulit pisangpun rasa sedap apalagi mi goreng basah. Masa buat bayaran, aku tanya siapa yang masak. Bos yang tengah kira harga patut aku bayar terhenti buat kerja. Mendongak pandang muka aku tanpa kelip. Tajam.

“Kenapa?” soalnya dengan muka merah. Suara dah berubah. Pandangannya macam nak telan aku. Aikkkk, aku bukan pekerja hang, jangan dok nak buat tak tentu marah orang! Karang tak pepasal kena perang mulut lak!

Aku terdiam tak terkata. Terkejut sebenarnya. Kalaupun dia tak tahu jaga air muka pekerjanya, maki hamun pekerja sesedap rasa tak kira tempat, atau jadikan suasana kerja yang stress untuk tunjuk kuasa, apakah perkara yang sama perlu dia buat kepada aku, padahal aku ini kan pelanggan yang akan beri dia rezeki. Walaupun pekerjanya itu orang yang dia bayar gaji, tak bermakna dia boleh buat sesuka hati. Dia kena ingat, pekerjanya itu juga ORANG yang ada hati, perasaan dan harga diri.

“Saya nak ucapkan terima kasih sebab dia masakkan mi goreng yang sedap untuk saya,” balasku seayu dan sesopan yang boleh. Lebih sopan daripada apa-apa miss yang dinobatkan seluruh dunia. Moga-moga pujian itu boleh berikan motivasi kepada si tukang masak. Moga-moga sejuk hatinya. Moga-moga puji itu boleh beri semangat baru untuknya berkerja setelah merudum hingga ke kaki dek mulut bos yang celupar dan pra-san bagus itu. Padahal tingkahnya itupun kita dah tahu lavel bagusnya itu takat mana.

“Lapar sangat kot...sebab tu rasa sedap!” selamber toyer je si bos bersuara sambil tarik bayaran dan pulangkan baki. Aku tetap ucapkan terima kasih juga kepada si tukang masak yang tetiba jengulkan kepala dengan senduknya. Boleh nampak air mukanya yang muram dan terpenuh api sebelum itu berubah jadi tenang, ceria dan berseri-seri walaupun tak ada suara dilafazkan. Aku kagum dengan adik ensem itu yang sanggup bersabar dengan bos dia nan kemaruk kuasa.

Salahkah aku hargai orang yang masak untuk aku tengah kebulor tahap kronik ini? Salahkah aku puji untuk beri semangat dan motivasi kepada dia setelah bosnya sendiri lenyek perasaan “sukakan kerjanya” dengan marah-marah dan malukan dia di hadapan kawan-kawan gerai lain dan pelanggan? Salahkah aku gembirakan hati orang lain walaupun tak kenal dia pun. Ataupun sebenarnya, aku bersalah kerana puji si tukang masak ensem itu tetapi lupa nak puji bos tukang masak?

Budaya kritik memang dah berakar umbi dalam masyarakat kita. Semua orang buat tak pernah kena. Semua orang buat tak pernah bagus. Diri sendiri sahaja yang kena, yang bagus, yang baik. Pantang salah sikit, atau ada masanya tidak salahpun, hanya tak kena dek mata kita sahaja, mata orang lain ok-ok aje. Maka seperti peluru berpandulah kita buat kritik. Macam bertih goreng kita akan komen. Macam meriam buluh berdentum serata alam. Canang hulu hilir. Merata. Namun, bila ada orang buat kebaikan, sanggup tolong kita sedaya upaya hinggakan hal-hal yang tak perlupun dia tolong, lidah kita amat berat nak ucap terima kasih. Kelu tak terkata. Jari-jari kita payah amat nak taip dan tulis, kemudian hantar ke mana-mana akhbar, majalah atau stesen TV untuk ucapkan terima kasih walaupun orang korbankan nyawa untuk kita, berbanding sedikit silap dan salah faham yang bolehpun kita lupakan sahaja tanpa besarkan isu tersebut. Kalau boleh, mak cik tukang cuci jamban yang lupa nak bagi salam kat kita sebagai pegawai teramat BESAR (termasuk badan kita yang besar) pun kita nak bawak masuk meting. Betapa tak hormatnya mak cik tukang cuci tu pada pendapat kita (Luuu pikir la sendrey, dalam jamban pun nak kena bagi salam ka? Karang kena gelak dek jin pakai toceng lak! Itupun nak kena bagi tau...apa daaaaaaa!)

Kalau kita ucap terima kasih, kalau kita memuji tentang kecekapan atau kecemerlangan seseorang atau agensi tertentu, maka pujian itu pula dipandang serong. Dilihat pelik. Sama maksudnya macam: “Buat apalah nak puji-puji, tu kan dah keja dia. Dia dibayar untuk jadi hamba saya”. Boleh gitu?

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa untuk tulis surat terima kasih yang dihantar kepada ketua pengarah itu ini dan kemudian memuji seorang mak cik mop lantai yang tolong basuhkan kaki kita yang berlumpur masa kita jatuh longkang?

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa untuk tulis surat terima kasih yang dihantar ke akhbar, TV, majalah dan sebagainya untuk beri penghargaan kepada tukang kebun sekolah yang sentiasa awasi keselamatan anak-anak sebelum mereka dikutip bas sekolah ke sekolah agama? Kalau anak hilang, cepat aje latahnya salahkan pak cik tukang kebun tu, padahal, bukan kerja dia jaga anak-anak kita. Kerja dia jaga pokok je!

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa beberapa detik dalam kesesakan jalan raya masa balik kampung pada musim perayaan dan hulurkan sebalang dua tart Soul yang sedap itu kepada anggota keselamatan yang bertugas? Macamlah kita saja ada hati nak gembira di musim perayaan, macamlah mereka itu tak punya perasaan itu. Macamlah mereka tak sambut raya. Satu paket kuih raya yang kecil itupun dah terlebih dari cukup untuk gembirakan mereka walaupun hakikatnya mereka perlu kongsi 14 orang. Yang penting kita ikhlas hulurkan sebagai tanda terima kasih kita, walaupun sebenarnya tak memadaipun.

Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih bersulam senyum kepada mana-mana petugas di kaunter yang kita kunjungi setelah semua urusan kita diselesaikan. Ucaplah “Selamat Hari Raya” kepada adik-adik kerja tol. Dahlah hari raya, dia tak dapat cuti. Ingat air mata tak meleleh ke terkenangkan keluarga di kampung? Hari ini, sama-samalah kita mulakan tradisi mengucapkan terima kasih ini. Tak susah pun...hanya senyum dan ucapkan terima kasih (walaupun di lorong tol. Bukan ke depa patut ucap terima kasih ke kita dah bagi bayaran? Hu hu hu tiap kali ucap terima kasih, depa buat donno je kecualilah kalau adik jantan yang jaga tol tu...sempat lagi tanya nombor telefon tu. Gitulah pulak!).

Sebagai permulaan, aku nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi baca tulisan panjang ini. Terima kasih, andai bermanfaat, sama-samalah kita kongsi. Andai rasakan ianya hanya bebelan, jadikannya sebagai alun muzik yang mendodoi jiwa. Syahdu!



12 ulasan:

iza~de~bintang berkata...

Iza setuju part kita mesti selalu ucap terima kasih kat orang lain tu.

Dan kalau nak marah2 kat orang tu belek2 sama diri sendiri jugak..
takut2 lepas marah sampai keluar anak tekak, tengok2 puncanya diri si pemarah tu sendiri. Haru lah kan. Lagi haru kalau ego dia tinggi taknak ngaku salah dan mintak maaf. LempaQ dalam laut baru tau kehkehkeh


p/s: terima kasih yer Kak Anyss sebab belanja tomyam hari tu :D

anyss berkata...

Iza: Hu hu hu...ni mesti sbb selalu tengok anak tekak orang yang marah2 ya...
Sama2 kasih, lain kali kita makan benda lain lak ;)

Frodo Baggins berkata...

hehehe ... betul, berapa banyak dari kita pernah terfikir nak ucap terima kasey dekat org yg benyak memudahkan halpekerjaan kita seharian. tukank kebun, polis, dll ~


((sepak jerr bos mangkuk hayun. Ciss, x respect org ke haper?))


>>____________<<

Cetusan berkata...

lain kali pergi lagi..

kira..masa pukul 5pm.. banyak sikit pujian

anyss berkata...

Hobit: hu hu hu nak wat macam mana, dah bos dia gitu...malanglah kan nasib badan

ZZ: mesti...lain kali kita buat sijil pulak hu hu hu

anyss berkata...

Hobit: hu hu hu nak wat macam mana, dah bos dia gitu...malanglah kan nasib badan

ZZ: mesti...lain kali kita buat sijil pulak hu hu hu

Unknown berkata...

Terima Kasih menulis~betul la.Kita ni semua sama je.Tak layak utk sombong!org tak sedar yg dia tu sombong.Sebab sombong ni sifat org2 derhaka.Sesungguhnya tiada tempat di dalam syurga bagi org yg sombong

dina berkata...

bila aku baca entri ni, memang aku selalu terpikir, kenapa kita jarang berterima kasih pada orang2 yang penting tapi kita tak nampak kepentingan mereka. Macam kat area opis aku ni, bkn aku nak kata, berapa ramai yang tutup hidung sambil buat muka jengkel bila lori sampah parking tepi jalan sambil pekerja2 alam flora mengambil sampah2 tersebut. Memang mereka nampak tidak penting, tapi apasalahnya kita ucap selamat pagi atau assalamualaikum? Sedangkan kalau tidak ada mereka, penuh lah sampah sarap di depan opis masing2... aku selalu harap aku tidak terlalu sombong kepada manusia2 ini... sebab takut nanti rezeki lak sombong nak datang pada aku...

Cetusan berkata...

hari tu Anyss pakai lawa tada org puji heee

anyss berkata...

Iqbal: Tak ramai orang suka nak sama ratakan nilai "manusia" dalam hati...ada masa kita sendiri terlalai untuk ingat semua itu hinggakan Allah tunjukkan peringatan. Harap-harapnya tak selalulah kan kita bersikap lalai sebegitu ;)

Dina: Hukum alam kot...memuliakan manusia lain berdasarkan fizikal. Mudah-mudahan kita sentiasa ingat bahawa setiap manusia itu sama sahaja di sisi Dia melainkan amal...

azieazah berkata...

Terkedu.. taktau nak kata apa..

Yang pasti cukup sayu dengan insiden di Teluk Kemang..


Dan menitis air mata... kerana perihal menghargai dan terimakasih tu...

tu belum lagi kisah Minta Maaf tuu... aduhhh...

anyss berkata...

Azieazah: Tak terkata ya...tak pe...asalkan, bukan jadi amalan kita.

Minta maaf? Mmmm nanti kita boleh sama2 tulis pasal tu pulak ya ;)