Selasa, 7 April 2009

Rokok?

Kaki rokok mesti marah aku kali ni. Tak kesah la...aku peduli apa kan. Ni aku punya blog, ikut suka akulah nak letak apa pun. Buat la blog sendiri kalau korang nak baca ikut selera korang hu hu hu ...
Artikel ni aku petik dari Berita Harian online yang boleh disurf di

Rakyat Malaysia belanja RM15j sehari untuk rokok

WALAUPUN penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health” melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15 juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6 bilion.

Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia.

Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia - kira-kira 5 juta kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah:

• Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa 60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding mereka yang tidak pernah merokok.
• Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.
• Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif pada jantung janin.
• Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak.
Laporan itu diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun. Selain itu, asap daripada rokok juga menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga. Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang menghidap asma.

Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa, tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.

Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang membimbangkan.

Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT)dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat merokok, sila ke laman web www.iwanttoquitsmoking.com.my

Artikel ini adalah inisiatif kesihatan masyarakat yang disokong oleh Johnson & Johnson.
10,000 mati sehari akibat rokok

Hasil kajian mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok

MINGGU ini, saya ingin memperkatakan mengenai tajuk “merokok mengundang kematian”. Mungkin ungkapan ini sering diperkatakan sehingga kebanyakan daripada anda bosan mendengarnya. Bagi yang merokok, ungkapan seperti ini seolah-olah tidak diendahkan.

Bagaimanapun, anda yang merokok harus ingat bahawa bukan anda saja yang akan menerima kesan atau akibat daripada merokok, malahan mereka yang berada di sekeliling anda terutama keluarga akan menerima kesan yang sama atau mungkin lebih teruk.

Artikel saya minggu lalu mengenai zarah radikal bebas yang memberi kesan negatif kepada tubuh badan sehinggakan boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Tetapi zarah radikal bebas ini boleh dielakkan jika anda mengetahui punca pembentukannya yang paling kuat.

Satu daripada punca pembentukan zarah radikal bebas yang paling kuat (dan juga yang paling mudah dielakkan) adalah merokok. Dalam hal ini, toksin yang terkandung dalam asap rokok bertindak sebagai pemangkin untuk membebaskan elektron daripada atomnya, dan dengan itu mewujudkan zarah radikal bebas. Statistik juga menunjukkan hubungan yang jelas di antara kewujudan zarah radikal bebas itu dan kejadian sel kanser.

Walaupun statistik itu membimbangkan, sekurang-kurangnya perokok itu mempunyai pilihan sama ada untuk merokok atau tidak merokok. Orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain tidak ada pilihan sedemikian. Berikut adalah gejala orang yang terpaksa menyedut asap rokok orang lain berbanding orang yang langsung tidak merokok:
• lima kali lebih karbon monoksida disedut
• empat kali lebih tar dan nikotin disedut
• empat puluh kali lebih karsinogen disedut
Perokok memang mendapat semua gejala ini, kedua-dua kesan secara langsung atau asap baru yang ditambah dengan kesan secara tidak langsung.

Bahan kimia yang disebut di atas, iaitu karbon monoksida, tar dan nikotin, selain bersifat karsinogen, juga meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menambah risiko arteriosklerosis (penyumbatan jantung dengan kolesterol), dan menambah kejadian darah beku dan trombosis. Lebih dahsyat lagi, bahan kimia itu mengganggu ritma denyutan jantung biasa.

Malangnya, hasil kajian dan statistik, mendedahkan tidak ada kesan pencegahan yang berkesan terhadap perokok. Sebaliknya, mereka dengan megah memberitahu tabiat itu dapat meningkatkan tahap kecerdasan mental, membaiki sistem penghadaman, mengurangkan tekanan mental dan secara keseluruhannya, menghasilkan pendekatan hidup yang lebih menyenangkan dan dengan mudah mengenepikan segala kesan buruk terhadap diri dan orang di sekeliling mereka.

Namun bukan perokok saja patut dipersalahkan kerana tabiat buruk itu. Kalau tidak ada pengilang rokok dan tembakau, rokok tidak akan wujud.
Dr Nakajima, dulunya Ketua Pengarah Perubatan Pertubuhan Kesihatan Dunia, dalam keterangannya baru-baru ini mengatakan “bukan saja di negara maju tetapi juga di negara membangun, kira-kira separuh daripada perokok akhirnya mati akibat penggunaan tembakau. Setiap tahun ketagihan rokok menyebabkan kira-kira 3.5 juta kematian di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 10 juta setahun pada tahun 2020 dan seterusnya, dan 7 juta daripada kematian itu adalah di negara membangun. Lima puluh peratus daripada kematian yang sia-sia itu kini berlaku kepada orang pertengahan umur (35-69), yang kerugian kira-kira 22 tahun jangka hidup biasa.

”Setiap hari, hampir 10,000 orang mati di seluruh dunia akibat penggunaan tembakau.”

Terdapat pelbagai statistik menunjukkan bilangan perokok dan berapa ramai yang mendapat kesan buruk daripadanya. Apa yang pasti, statistik semakin meningkat. Mungkin pendedahan ini terlalu mudah, namun saya benar-benar percaya bahawa kita yang membuat pilihan sama ada untuk merokok atau tidak. Kita jugalah yang membuat pilihan untuk berhenti. Selepas anda mendapat kekuatan untuk berhenti merokok, gunakan kekuatan dalaman dan azam untuk kekal demikian dan yakinlah bahawa anda membuat pilihan yang betul.

Saya mempunyai impian melihat Malaysia bebas daripada rokok. Bukan untuk kebaikan saya tetapi demi anak-anak dan demi generasi akan datang. Alangkah baiknya jika masyarakat kita mempunyai lebih orang yang berpendirian sedemikian, khususnya dalam kerajaan hari ini, untuk membantu mencapai impian itu.
Tak kesahlah korang rasa artikel ini bermakna ke tidak. Apapun, jangan merokok depan aku sudahlah!
Kalau nak merokok jugak, pastikan sedut asap dan bau rokok tu sama. Jangan sampai hidung aku tercium baunya nanti. Ok tak idea tu? Berani sambut cabaran?

4 ulasan:

azieazah berkata...

cakap kat depa.... sendirik mau ingatlaaa...

anyss berkata...

Depa ni memang dah ingat...saje je buat2 tak henggat!

Tanpa Nama berkata...

Bila dah ketagih rokok ni cakap apa pun tak dengar. Hubby kak tie tu dah bertahun merokok...sejak remaja lagi. Bulan posa je dia boleh kawal. Hari2 biasa ni...asyik berasap je...terutama bila jumpa kengkawan yang sama kuat merokok tu.

Kita ni dah letih membebel... sekarang ni dia hisap rokok kat luar.. kak tie kata tak larat bau asap tu...nak semput gak !!

anyss berkata...

Isu ni sensitip bagi yang sukakan jerebu ni.
Kawan saya dulu pernah putus girlfriend sebab awek dia tak tahan bau rokok. Boleh dia slamber badak je kata "Alah...pompuan, 100 pun aku leh cari!"
Apa nak buat kan :)