Anda Juga Mungkin Berkenan

Rabu, 23 Jun 2010

Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak, Semporna Sabah

Semporna asalnya dinamakan sebagai Tong Talun (Ujung Hutan) oleh Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Dahulunya daerah ini hanya diliputi oleh hutan, tetapi kini sebahagian besar Semporna ditanami dengan kelapa sawit, manakala kawasan pekannya yang semakin berubah menjadi bandar itu sentiasa sibuk dengan kehadiran pelancong. Sekiranya ke jeti yang terletak bersebelahan dengan pasar Semporna pula, kesibukan berkenaan dipenuhi dengan masyarakat setempat dari pulau-pulau berhampiran dengan urusan seharian mereka. Sekiranya melancong ke pulau-pulau Sipadan (tersenarai dalam 7 Wonder of The World kerana keunikan yang dimilikinya) Mabul, Mataking, Sibuan, Kapalai dan pulau-pulau berhampiran yang lain, bandar Semporna menjadi tempat transit. Jadi, bandar ini menjadi sangat sibuk dengan kehadiran pelancong terutama pada musim cuti sekolah.

Semporna pernah menjadi lokasi penggambaran bagi filem Duyong yang diarahkan PM A.Razak Moheedin yang dilakunkan Saipul Apek, Maya Karin dan Awie. Aku dah letak gambar-gambar di Tampi-tampi dalam entri lepas yang menjadi sebahagian daripada lokasi filem berkenaan. Mereka siap buat pulau lagi seperti yang ada dalam filem tu. Filem ini sangat bagus kalau diteliti dari sudut alam sekitar kerana dari awal hingga akhir, “sampah” dan kebersihan tidak pernah dilupakan dalam dialognya. Bila anda datang ke Semporna dan jelajah ke pulau-pulau berhampiran, anda akan tahu betapa bermaknanya filem ini. Dahulupun aku bukan minatpun nak hayati filem ni. Selepas balik dari Semporna yang indah ini, aku tengok semula filem Duyong walaupun hanya di youtube.

Selain Tampi tampi, ada satu lagi tempat menarik boleh anda kunjungi bila ke semporna, iaitu Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak. Letaknya beberapa kilometer dari pekan Semporna. Anggaran masa untuk ke sini dalam setengah jam. Memandangkan kami tinggal di rumah Cikgu Ramli di Kabogan, kami hanya mengambil masa dalam lima minit sahaja untuk ke Bukit Tengkorak yang boleh kita nampak dari jalan. Jalan i ni juga sama arah untuk ke Tampi-tampi. Kalau dari Tampi-tampi rasanya hanya beberapa minit sahaja. Jadi, kalau dah berpeluang ke Tampi-tampi itu, sangat membazir kiranya peluang ini tidak digunakan sepenuhnya.

Pandangan dari bawah. Larat ke panjat? Ada tangga kayu maaaa, semak samun dah tak ada. Senang je mendaki!


Apa istimewanya tentang sebuah bukit yang namanya sahajapun dah boleh menyebabkan bulu roma meremang itu? Anda tidak perlu takut untuk mendaki bukit yang bernama seram ini kerana bila sampai di puncaknya, anda akan terjelepok syahdu. Kenapa? Selain daripada penat dan lelah kerana kurang stamina dek sepanjang masa berkerja dalam hawa dingin tanpa bersenam yang cukup, anda juga terjelepok kerana terpukau dengan pemandangannya yang sangat indah.

Kena daftar nama dulu sebelum naik. Pekerja dari Muzium Sabah buka kaunter sementara dalam kereta je





Angin yang bertiup lembut sangat menyegarkan hingga lelah mendaki tangga sebelumnya sangat mudah dilupakan. Dari puncak bukit ini anda akan dapat melihat pulau-pulau berhampiran (pulau yang kelihatan masa kat jeti). Kesibukan selat di hadapan Tampi-tampi memang jelas dari puncak ini selain beberapa pulau yang lain. Cikgu Ramli ada sebutkan nama setiap pulau berkenaan tetapi aku ni kan pelupa hu huhu kalau tak catat memang akan lupa. Tambah pula penerangan itu Cikgu Ramli beritahu masa lelah masih lagi menguasai diri.

Bukit Tengkorak berada pada ketinggian kira-kira 500 kaki dari paras laut merupakan salah satu tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar di Asia Tenggara pada zaman Neolitik (pada 5000 SM atau lebih awal). Di bukit ini ditemui tinggalan tembikar lama dan tulang-belulang masyarakat zaman paleolitik yang berusia serpihan tembikar serta temuan yang lain di kawasan itu yang berusia 2500 hingga 3000 tahun lalu sebagai bukti. Bukti-bukti arkeologi menunjukkan bahawa interaksi meluas antara puak-puak pada zaman tersebut. Ciri-ciri tembikar Bukit Tengkorak pada zaman itu adalah sama dengan yang ditemui di Madai dan Baturong di Kunak, Balobok Semenanjung Sulu, Leang Tuwo Mane’e di Kepulauan Talaud serta Paso dan Ulu Leang di Sulawesi. Kajian telah dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah sejak 1994 dan sekarang dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara. Walaupun begitu, anda tidak akan temui tengkorak dan tulang-tulang yang bersepah di atas bukit ini kerana ia telah disimpan pihak kerajaan negeri. Sebuah muzium yang sangat indah rekabentuk dan buatannya sedang dalam proses binaan. Bila dah siap nanti, pihak muzium akan letak semula semua tulang belulang, tengkorak dan tembikar yang mereka temui kat sini u ntuk dilihat semua orang. Jadi, sila bersabar ya...

Selain indah dinikmati pemandangannya dan tempat kajian arkeologi, bukit ini juga pernah menjadi tempat tentera Jepun dikatakan bersembunyi pada zaman perang dunia kedua. Dari puncak bukit ini memang jelas sekali kita boleh tengok kawasan sekitar termasuk pulau-pulau berhampiran, jadi tidak mustahil puncak ini boleh dipilih menjadi tempat untuk mengawasi keselamatan dan bersembunyi mereka.

Bukit Tengkorak di Semporna semakin dikenali ramai. Tidak kurang daripada 20 orang yang datang setiap hari malah kadang-kala lebih daripada itu. Pada hujung minggu sahaja lebih kurang 80 hingga 100 orang yang terdiri daripada orang tempatan dan juga pelancong dari luar negara yang berkunjung ke sana. Ia ditutup jam 5 petang, tetapi masih ramai lagi yang memanjat ke puncak bukit ini walaupun selepas jam lima. Nak tengok matahari terbenam kot. Apapun, jangan ambil risiko kerana tidak ada lampu ya. Kalau rasa mata anda itu rabun (macam aku), silalah turun sebelum gelap. Apa-apa jadi kat atas sana, kena baham rimau ke…jumpa kuntilanak ke…sendiri tanggung.

Bukit Tengkorak merupakan tinggalan sejarah yang perlu diberi perhatian demi kepentingan generasi masa kini dan masa akan datang. Harus dipelihara kerana ia satu-satunya tempat yang hampir dengan pekan Semporna serta mudah dikunjungi.

Pihak Muzium Sabah berusaha dari masa ke masa untuk memperbaiki lagi pasarana serta kemudahan di Bukit Tengkorak secara berperingkat-peringkat. Tangga kayu telah disediakan bagi memudahkan orang ramai mendaki sampai ke puncaknya, juga disediakan pondok-pondok tempat berteduh di samping pelantar meninjau yang membolehkan pengunjung melihat keindahan sekitar pekan semporna dan kepulauan yang berhampiran. Walaupun begitu, tangga kayu ini kelihatan mereput pada bahagian tertentu, termasuk untuk ke puncak tertinggi. Sangat keciwa tau tak dapat panjat tempat paling tinggi itu. Namun begitu, kemudahan pondok pengawal di kaki Bukit Tengkorak serta tandas awam di puncak bukit sangat perlu disediakan. Maklumlah, dah naik atas sana…sangat dahagalah. Bila minum banyak air, mau buang pulak. Mana boleh buang merata-rata. Rosak keindahan mata dan hidung kat atas sana pulak.

Muzium Bukit Tenggorak; sedang giat dibangunkan

Disebabkan anda dan habis membaca kisah sejarah ni, maka dengan ini aku tampalkanlah pemandangan indah kat sini ya...selamat menikmati. Penat memanjat tu seketika sahaja pun, perjalanan turun nanti tak penat dah. Kalau bawa bekal nasi lemak ke, goreng pisang panas ke...makan kat atas ni, perghhhhh mesti sangat menarik!









Jommmm pi panjat bukit!

Tiada ulasan: