Isnin, 28 September 2009

Jalan-jalan Jelajah Selangor

Suasana raya masih terasa walaupun dah dua hari aku mula berkerja semula. Bangi masih terlalu lenang sebenarnya. Kawasan perumahan masih sunyi. Banyak rumah masih gelap. Penghuninya masih beraya sakan. Di pejabat pula, hanya dua orang sudah mula berkerja. Susana memang senyap sunyi. Pasang lagu-lagu raya macam nak pecah pintu pun tidak menganggu ketenteraman awam. Hanya telinga aku sahaja yang dengar. Naik muak pula dengan lagu-lagi raya yang diulang entah berapa kali sepanjang hari. Itu dah lebih 60 buah lagi yang ada. Bayangkan kalau hanya ada 10 lagu je...naik tanggal tahi telinga dengar lagu raya yang sama!

Khamis aku ke perpustakaan Jabatan hal Ehwal Orang Asli di batu 10 Gombak. Jumaat, diri kebosanan. Jam 9.45 aku dah keluar dari pejabat mengulor. Stereng kuhalakan ke Bangi Lama, membelok ke Bukit Unggul, Salak Tinggi, Sepang, dan terus ke Bagan Lalang. Belum pun jam 10.30 aku dah pandang luas laut yang menghampar.

Semua mata memandangku. Semuanya hairan. Entah minah mana yang sesat. Dengan berbaju kurung purple (dah lama tak pakai baju kurung), bertudung pink dan berselendang purple juga, dah tentulah semua orang hairan memandang. Pergi tepi laut sebegitu, agaknya ada serupa tak dengan hantu laut?

Dah sampai Bagan Lalang, apa lagi yang diidamkan kalau bukan makanan lautnya. Namun, kedai makan di sini hanya dibuka selepas jam 6 petang. Waduh...kempunan betul nak belasah ikan bakar dan sotong celup tepung!

Jam 11.30 pagi, aku jengah sebuah gerai. Itupun setelah pusing sepanjang pantai peranginan itu dua tiga kali. Pagi tadi belum sarapan, terus sahaja ambil makan tengahari. Kalau ada apa-apa masakan berlandaskan makanan laut pun kira dah boleh lepaskan kempunan. Namun, yang ada hanya kerang dan sambal udang sahaja. Lainnya adalah ayam. Ikan gorengpun tak ada. Nak tak nak, senduk saja udang masak pedas dan sayur kacang goreng, dilengkapkan dengan teh o ais limau.

Iza si Bintang mintak aku tulis puisi kat pantai indah ini. Bila jumpa batang kayu terbiar di bawah pohon ru, aku terus tulis puisi untuk Iza comel tu. Inilah puisi yang kutulis itu, moga-moga Iza seronok menikmatinya...

Langit mendung ketika tumit
menjamah halus pasirmu,
Gumpal awan memintal-mintal temali angin,
menyeru-nyeru dikau ke sini
Pujuk nyiur melambai ayun temayun
menggamit seberkas rindu pada mesra kita.

Daku tidak pernah bercanda
tiap kali lafazkan rindu padamu
seperti juga kaki ini tetap juga mesra di bumi
biarpun terpijak tahi lembu
atau sekawan burung lelayang lemparkan
buangannya ke muka
saat kuberlindung di bawah dahan Rhu.


Bangan Lalang
26 Sept 2009
12.15 tengahari.

Encik Caluk bagi tahu Pantai Kelanang agak menarik juga. Pantai ini letaknya selepas Pantai Morib jika bergerak dari Bagan lalang. Ingatkan dekat, fuyooo 30 minit juga perlu memandu. Itupun gerak macam siput babi aje. Sepanjang jalan itu pula singgah merata. Snap gambar sana sini tanpa hiraupun semua orang pandang dengan pelik. Akhirnya, bateri tidak dapat diselamatkan lagi. Masa singgah sekejab di Pantai Morib, tiada sekeping gambar dapat dirakamkan.

Lebih kurang 6 km selepas Morib, papan tanda ke Pantai kelanang aku jumpa, namun aku teruskan perjalanan ke pekan Banting untuk cari charger. Sepuluh km tu, namun nak snap gambar punya pasal, bazirkan sedikit petrol pun tidak apa. Entah bila lagi dapat datang ke sini semula. Nasib baik ada satu kedai jual barangan komunikasi dah buka, RM10 saja charger tersebut.

Patah balik semula ke Pantai Kelanang pada waktu tengahari buta. Jam dua lebih. Panas terik. Kulit muka aku dah rentung terbakar dikunyah-kunyah terik mentari. Pedih! (Kan dah lama tak kena panas, sembunyi dari mentari setiap hari. Puteri lilinlah katakan, kena panas boleh cair!) Namun, buat-buat tak ambil peduli saja. Sepanjang pantai berbakau itu aku susur dua tiga kali. Berhenti sana sini untuk ambil gambar juga walaupun sentiasa jadi perhatian pengunjung lain. Apa taknya ada perempuan pelik sesorang menjelajah kawasan pantai. Orang lain berpasangan atau berkumpulan, hanya aku seorang yang sendirian. Berbaju kurung dan berselendang pula. Macam nak pergi majlis bacaan tahlil hu hu hu!

Jam 3.30 Pantai kelanang ditinggalkan. Sebenarnya dah lupa nak pergi ke Bukit Jugra. Bukit ini merupakan puncak yang terdapat rumah api. Tempat cerapan anak bulan juga. Asalnya nak terus balik saja apabila terlepas papan tanda untuk ke tempat itu, tetapi kemudiannya, simpang yang lain aku jumpa. Terus saja mengarah ke sana bila fikirkan “alang-alang dah datang...belum tentu lagi akan sampai lagi pada lain kali”.

Dengan kereta secomel viva, sampai juga aku ke puncak. Memang tak menyesal bersusah payah untuk ke sana kerana apa yang ditemukan cukup buatkan hati sangat lapang. Indah. Sesayup mata memandang. Terlihat kapal-kapal di Selat Melaka. Gugus angin yang menyapa begitu mendamaikan. Puncak ini merupakan kawasan rumah api, tempat untuk melakukan aktiviti paragliding dan tempat melakukan cerapan anak bulan bagi menentukan tarikh mula puasa atau hari raya. Ohhhh bestnya kalau boleh terbang kan. Apapun, melebarkan pandangan di puncak inipun sudah memadai. Ada tempat duduk dan kawasan tinjau yang terletak di tebing bersebelahan menara rumah api. Sempat berangan sesaat dua sambil merenung Selat Melaka, menghayati panorama indah. Kalaulah boleh tengok matahari terbenam kan bes!

Di puncak itulah aku memutuskan;
i. Tingkatkan lagi kekuatan yang kerap benar menjunam jadi sisa. Biar sebagaimana cerita tentang hidup ini perlu ditempuh, terlalu banyak perkara yang belum aku lakukan sebelum menutup mata. Masa semakin singkat, lalunya, tidak perlulah buang masa dengan sesuatu yang remeh temeh. Masa untuk meratap hiba dah tamat!

ii. Isnin ini jadi pemula untuk aku tekan gear 5. Yup...terus ke gear 5. Sejak setahun ini, aku hanya tekan gear 2 sahaja. Banyak masa dibazirkan untuk meratapi kesedihan dan “kematian”. Jadinya, kalau selepas ini aku kian tidak punya waktu untuk kemas kini blog, apalagi lepak di forum borak, ampunkan daku rakan-rakan! Aku sedang berusaha untuk beli donia...harapnya aku tak akan lupa tentang mati. Ada dua perkara lagi dalam hidup ini perlu aku capai dalam tempoh terdekat ini. Perkara ke tiga: langsaikan hutang. Selepas itu, aku lebih bersedia untuk tinggalkan donia penuh kalut ini.

iii. Sesuatu yang telah berlalu itu, lepaskanlah dengan rela walaupun hati sebenarnya amat berat. Kemudiannya, lupakannya secara perlahan-lahan sama ada secara rela atau paksa...moga aku mampu lakukannya.

iv. Sesuatu yang tidak pasti itu, abaikan sahaja kerana ketidakpastian akan sentiasa melengahkan masa. Kita akan lebih dihargai dan diingati setelah tiada, jadinya...izinkan aku untuk ghaib dari hidupmu secara perlahan-lahan. Macam nak merajuk je kan? Bukan merajuk...sedar diri!


v. Teruskanlah berlari biarpun perlahan. Larian itu akan sentiasa disenjah tarik agar aku terguling ke lereng, namun, bukankah menarik bila kita boleh jadi pencabar paling tegar untuk orang lain? Aku bukan nak berdiri di puncak sebagai maharaja, tetapi aku juga tak akan biarkan orang lain memijak kepalaku untuk ke sana berbekalkan taktik kotor. Kalau betul kau layak jadi maharaja, silakan...namun bersihkan kakimu dahulu, agar permaidani yang kau pijak kelak tidak terpalit selut!

Balik melalui Pekan Banting yang memang agak boleh tahan juga sibuknya. Kiri kanan jalan masih lagi ada jualan murah. Awalnya nak juga singgah lepaskan lelah sambil jamu mata, namun akhirnya hanya minyak sahaja yang ditekan, lupa nak tekan brek. Terus sahaja ke Dengkil dan Jenderam sebelum menghala ke Bangi. Jam enam lebih sampai di UKM, masuk ke pejabat dan balik rumah dah jam sembilan lebih.

Sehari yang penat. Letih. Mengujakan. Menyeronokkan. Lain kali nak pergi lagi ke Bukit Jugra, ambil angin bersih. Tak perlulah merayau hingga Morib dan Bagan Lalang, cukup sekadar ke Bukit Jugra sahaja. Ada sesiapa yang ada kereta tayar besar nak bawak tak?


Jumaat, 25 September 2009

Beraya dengan Orang Asli

Muzium Orang Asli Gombak
Khamis: pepagi pergi pejabat. Sempat juga kemas kini blog sambil belek dua tiga benda. Setelah itu bergegas ke Gombak untuk bertapa di Perpustakaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Mohon ampunlah dengan tajuk yang memang tak ada kena mengenanya pun ni. Musim raya tak leh marah ya, ingat tu!
Cantik...tradisi
Biasa hanya tengok je papan tanda berhampiran tol Gombak, hari ini perlu eksplotasi tempatnya sendirian hanya berpandukan papan tanda semata-mata. Akhirnya, jam 11 sampai juga ke kawasan tersebut walaupun berlaku sedikit salah faham (bukan gaduh ye...tapi dia paham lain apa yang aku tanya) semasa bertanya di pondok pengawal. Gerak hati menyelamatkan aku daripada terlajak ke hadapan.

Mula-mula melawat Muzium Orang Asli yang ambil masa dalam 5 minit sahaja. Memang menarik. Reka bentuk luarannya memang terserlah tradisinya, bila lihat kat dalam, hati lagi tertawan. Binaan batu telah digabungkan dengan binaan kayu di dalam. Syiling yang biasanya diperbuat daripada esbestos telah diganti dengan anyaman buluh yang kemas dan halus. Begitu juga dengan setiap sudut dindingnya.


Anyam buluh jadi rumah
kraftangan pandan
Timba ni buatkan aku terkenangkan gemulah Tok Ayah...
timba upih...susah nak jumpa dah sekarang ni
Seterusnya bertapa di perpustakaan yang terletak berhampiran hingga jam 3.45 petang. Walaupun perpustakaan itu sepatutnya tutup pada waktu tengahari, aku minta izin untuk gunakannya. Tak kesahlah kalau kunci dari luarpun. Nasib baik Encik yang baik hati itu benarkan, kalau tak...memanglah lagi lambat siap telaah aku di situ.

Mok Yang telefon masa kepalaku tengah berasap baca semua dokumen...ajak ke rumah terbukanya. Terus saja perut jadi lapar. Pagi tadi sarapan dengan tart nenas sahaja sambil memandu. Kira macam, orang lapar disogokkan makananlah kan. Apalagi, keluar je dari Gombak, terus memecut ke Pandan Jaya. Kalau ikutkan, memanglah segan nak singgah setelah seharian keluar rumah, berpeluh entah berapa kali. Ampun ya tuan rumah, ada banyak bau!

Walaupun berpusing banyak kali di tempat yang sama (tanya wak java pun dia tak tau tempat tu yang letaknya kat sebelah dia berdiri hu hu hu) akhirnya tiba dengan jayanya. Celcom pulak buat hal. Naik patah jari dail nombor Mok Yang dan Caluk...mesin betina je yang jawab. Kesian Mok Yang terpaksa telefon banyak kali bagi memastikan aku tiba dengan jayanya. Apapun, terima kasih daun keladi kepada tuan rumah yang sudi menjemput datang makan kala memang perut memerlukan. Rembat jugalah semangkuk laksa penang dan sepinggan pulut kuning yang dimakan dengan kari kerang dan rendang ayam. Yummy...lapar sangat sampai lupa nak snap gambar!

Terima kasih daun keladi, lain kali jemputlah lagi...



Travelog Raya Siri 4: Balik KL

Rabu dah balik KL kerana perlu ke Perpustakaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Batu 10 Gombak keesokan hari. Bertolak dari rumah jam 8.05 pagi. Jam sembilan dah sampai rumah mak cik di Kuala Krai dan hantarkan puding roti yang aku buat malam sebelumnya. Walaupun dah sarapan nasi di rumah, kenalah sarapan nasi goreng lagi sekali. Kang kecil hati pulak orang tua tu.

Jam sepuluh bertolak ke Gua Musang. Perjalanan lancar, hanya sesekali sahaja merangkak macam penyu belimbing (penyu merangkak ke?) kerana terdapat gajah-gajah yang angkut balak. Bukan ke sebelum ni depa semua tu tak boleh berada di jalan raya ke semasa cuti perayaan?

Sampai di Genting Sempah jam 2.45 petang. Agak awal juga. Jadinya, aku sms saja seorang rakan yang tinggal di Seri Gombak yang katanya sampai dari Kuala Kangsar pada Selasa. Jam empat petang aku dah mengadap mangkuk me bandung. Kami berbual hingga jam 6.30. masa memang cepat benar berlalu. Dah lama tak jumpa, macam-macam yang diborakkan hingga lupa rasa penat dan rasa lapar.

Perjalanan sedikit perlahan semasa balik ke Bangi melalui MRR2. Jam 7.30 baru sampai dengan letihnya. Hati tercuit saat terpandang bunga-bunga kertas yang tengah lebat menyambut Syawal gugur kelayuan!








Nikmati ajelah pemandangan terindah sepanjang jalan yang panjang tu...





wifi slow pulak hari ni...minggu depan ajelah upload gambor ye...sabor!












Travelog Raya Siri 3: Bila musim Raya

Raya bagi aku hanyalah tradisi bersesak di jalan raya, kembali ke kampung halaman jumpa Mek ayah dan adik beradik. Kemudiannya jumpa beberapa orang sedara mara yang bertandang ke rumah kami. Keterujaannya hanyalah itu, jumpa mek ayah dan beberapa orang adik dan abang di kampung halaman. Kakak dan seorang lagi adik selalu aku jumpa di sini.

Jadinya tiap kali datangnya raya, kami beraya sesama sendiri. Saudara mara hanya beberapa kerat sahaja (kecuali sekarang, kami sendiri tak sedar yang bilangan saudara mara kami kian bertambah) yang perlu kami kunjungi. Itupun saudara mara yang sama-sama sesak macam kami, tetapi tetap membantu sedaya upaya masa kami lalui jalan sukar.

Kami dah biasa tidak diterima walaupun pada hari semulia Aidilfitri hanya kerana status kami sebagai “miskin tegar” dan sentiasa layak menerima bantuan makanan bagi kanak-kanak termiskin masa sekolah dahulu. Jadinya, jalan terbaik untuk kami adalah berada di rumah sahaja biarpun pada hari segembira itu. Selepas solat sunat hari raya, kami biasanya akan makan-makan sesama keluarga sebelum tukar pakaian dan berehat dengan bagusnya. Hari raya pertama biasanya terpenuh dengan kebosanan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan selain dari melingkar sahaja di rumah. Raya ke dua dan ke tiga barulah terasa macam raya sikit kerana ada kunjungan saudara mara yang tidak memandang jijik dengan keluarga kami.

Kini, semuanya dah berubah. Koleksi saudara mara kami bertambah dengan begitu cepat. Itupun setelah kami anak beranak mampu ubah status ekonomi keluarga, ubah keteguhan pondok kami dengan tiang kongkrit (dulu depa takut rumah kami runtuh kot kalau depa yang bersaiz xxxl tu datang rumah), ubah juga beberapa cara hidup kami. Setiap kali raya, aku memang sangat kagum dengan Mek kerana hidangan rayanya boleh tahan hingga lebih sebulan (bayangkanlah banyak mana hidangan raya yang Mek ada untuk itu walaupun mek tidaklah beria-ria sangat siapkannya). Semua itu kami yang bawa balik sedikit seorang dan disumbangkan oleh sanak saudara (sama ada yang pernah datang atau pernah memandang kami tanpa anak mata sebelum ini).

Dan kini juga, aku dah semakin tidak reti untuk beraya dengan meriah seperti orang lain. Kakak, walaupun dah ada anak enam, masih lagi kekok untuk mengubah tradisi “memerap” keluarga kami tiap kali musim perayaan. Begitu juga adik perempuanku, seringkali memilih untuk berada di rumah membantu Mek cuci pinggan mangkuk berbanding keluar bersama suaminya. Satu kejutan dan dilema untuk adik ipar aku. Aku tak salahkan mereka sebab aku juga rasa begitu. Rasa lebih senang berada di rumah. Datanglah berapa ramai tetamupun, kami sudi untuk meraikannya, namun...kami tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk merewang raya. Sebab itulah, aku tak begitu kesah tidak punya baju raya biar sehelaipun dalam tempoh lebih 10 tahun ini hinggakan aku sendiri tidak mampu menyebut secara tepat tarikh terakhir aku memilikinya.

Kamilah antara penyebab kepupusan tradisi sambutan raya mengikut acuan Melayu!



Khamis, 24 September 2009

Travelog Raya Siri 2: Aku yang lambat balik


Sabtu petang: dah lewat masa kakak sms tanyakan cd surah al-baqarah. Rumah kami kat kampung tu makin banyak dihurung jin dan hantu. Aku memang heran sesangat dengan masyarakat kita yang ramai sangat dah ada phD (perasaan hasad DENGKI) padahal masa kami merempat dulu, kami tak mintak ehsan sesiapa pun, apalagi TV3. Sekarang ni tak lah senang sangat pun, hutang tetap keliling pinggang, tapi baik sikit je dari dulu. Kami juga tak lah bongkak diri sampai tayang gelang sampai siku bak mami jarum. Kami tak susahkan sesiapa, tak ganggu sesiapa juga. Bila ada orang yang terlebih phD ni menyusahkan hidup keluarga kami, kami juga tak susahkan dia balik pun. Buat tak tahu saja macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dah buat macam tu pun masih lagi tak puas hati?

CD yang pelbagai surah untuk halau hantu, termasuk mp3 yang Suzry kirimkan melalui emel kepada semua rakan-rakan itu juga ada. Dahululah. Sampai sekarang pun aku ingat masih ada kat rak CD di rumah. Yakin pulak tu ada. Jadinya, CD .... kat pejabat tu aku tak bawa baliklah. Ingatnya cukuplah dengan apa yang ada kat rumah.

Bila balik rumah, ternyatanya dengan penuh kekaguman, aku menyedari semua tu dah tak ada. Dah kena kidnap. Dua tahun lepas aku ada bela teman serumah yang kidnap banyak barang-barang aku termasuk almari pakaian, meja makan dan taperware (mahal tu weh!), termasuk juga barang-barang lain yang kecil seperti alatan dapur, buku-buku (termasuk novel), malah spanar dan keperluan untuk bertukang. Kiranya, apa-apa sajalah yang dia rasa berkenan dan dia tak ada lagi. Nasib baik peti ais tak sempat dia angkut hu hu hu. Jadinya, dia dah kidnap sama CD-cd bacaan al-qur’an jugalah tu...boleh ke gitu. Macam yang sering dilakukan ramai jiran India aku dulu yang ambil bunga-bungaan orang untuk dibawa ke kuil. Alahai!

Semua barang-barang tu besar (termasuk yang kecil-kecil), aku sendiri pun tak pasti dia angkut dengan apa dan siapa balachi yang tolong dia angkut. Meja makan tu saja dah enam kerusi, apa lagi almari pakaian tu. Memang kena guna lori. Seusaha itu dia angkut barang-barang buruk aku?

Berbuka je malam tu, terus aku terjah PKNS nak cari Cd baru. Banyak kedai dah tutup sedangkan ramai juga manusia berpusu membuat belian terakhir. Kedai buku Shabab lagilah tutupkan? Aku bergegas ke Kompleks Diamond pula. Banyak kedai juga dah tutup termasuk kedai yang jual cd agama. Akhirnya aku balik dengan sedikit putus asa sambil melilau tengok kalau-kalau ada tudung yang sesuai untuk Mek. Memang susah untuk dapatkan tudung yang agak labuh ke bawah sedikit. Sekarang ni pesen orang pakai tudung nampak leher, pakai baju nampak anak baju. Pakai kain macam tak pakai kain hu hu hu...jangan marah ya, idea spontan. Jari tak terkawal taipnya.

Akhirnya jumpa juga tudung lembut yang sejuk untuk Mek pakai walaupun warna pilihan hanya ada 3 sahaja: biru laut, putih dan purple. Bila telefon, Mek pilih purple. Kalau ada warna gelap kan lagi bagus. Masa tengah bersesak nak balik, aku ternampak satu kedai yang jual macam-macam barang keperluan seperti baju melayu, tudung, telekung solat, alat tulis, buku-buku agama dan macam-macam lagi lah...kira macam Astro tu. Terus saja singgah dan cari cd-cd sebegitu kalau-kalau ada. Jumpa sedikit sahaja. Rasa putus asa tu datang balik. Semua orang yang datang situ untuk beli pakaian raya, samping atau songkok je. Akhirnya aku ternampak juga cd yang disusun di bawah susunan songkok. Apalagi, terus borong 5 keping.

Pagi Raya: Alamak! Terbangun lambatlah pulak! Entah macam mana aku boleh pergi tutup alarm telefon (dah pasang dua tu...letak atas meja tulis lagi, memang perlu bangun dan berjalan untuk tutupkan). Bila sedar, memang dah siang. Enam lebih. Setelah mandi ala-ala kambing begitu, akhirnya aku bertolak dari rumah pada jam 6.45 pagi. Biasanya pada waktu sebegini aku sudah solat di Genting Sempah. Kali ni baru mula turun dari rumah. Entah jam berapalah nanti akan sampai.

Perjalanan memang selesa walaupun dah banyak kereta. Rupanya bukan aku seorang yang biol balik kampung pada pagi raya. Pasang lagu dikir barat kuat-kuat sepanjang perjalanan bagi elakkan mengantuk sambil sesekali aku turut berkaroeke. Jangan tanya suara aku merdu ke tidak, namun apa yang pasti, sepanjang jalan balik langit diselubungi awan kelabu yang kadang kala dihiasi rintik hujan. Sebab aku nyanyilah tu kot!

Perjalanan yang panjang ini terpenuh dengan pemandangan indah sepanjang laluan. Namun, bila sampai di puncak tertinggi (masih lagi di negeri Pahang, Bukit Tujuh kami panggil. Aku paling suka pemandangan di sini sebab selain tempatnya yang memang berada di puncak bukit, kita boleh nampak kawasan hutan yang menghijau. Suasananya sangat cantik pada waktu pagi sebegini, hijau dan dipenuhi kabus. Ikutkan hati nak saja berhenti di situ dan menghayati keindahannya, namun kawasan ini merupakan antara kawasan paling bahaya dan sering berlaku kemalangan kerana selain jalannya yang sempit, berliku dan curam juga. kalau bukan aku yang memandu, memang aku akan snap gambar banyak-banyak di sini.) suasana nyaman dan hijau itu sudah berubah. Dari puncak, kelihatan kawasan bukit yang sedang ditarah rakus untuk penanaman getah (kalau tak silap).

Tiba di R&R Gua Musang pada jam 10.45 pagi. Kalau ikutkan perancangan, atau kebiasaannya, pada waktu sebegini aku dah sampai Kuala Krai. Kira macam satu jam terlewat dari biasa. Bila dah waktu tengah hari sebegini, kenderaan makin banyak di jalan raya. Itu yang cuba dielakkan. Maklumlah, orang nak pergi beraya ni...mereka lebih hargai nyawa berbanding aku. Bawa kereta pun dengan kelajuan kereta kuda walaupun bunyi keretanya macam jet pejuang.

Di R&R ni ramai juga orang berhenti. Berbaju raya semuanya. Semuanya juga dalam perjalanan jauh dan mungkin baru balik beraya pagi ni macam aku. Ada juga beberapa buah kereta dipandu keluarga berbangsa Cina yang ambil kesempatan musim perayaan untuk melancong kot. Namun apa yang aku kagumkan, mereka ni sempat lagi bersihkan kawasan R&R yang berterabur dan bersepah dengan botol serta tin air minuman. Walaupun mereka dalam agenda melancong, tetap sempat lagi kutip rezeki kan?

Ketika brek aku tekan di belakang rumah jam 2.30 petang, (kami memang tak suka parking kereta depan rumah. Kawasan belakang rumah, kami boleh parking di tempat berbumbung. Kira menumpang berteduh dengan lembu yang ayah bela. Tempat itupun agak tersorok sedikit, jadi kalau kami menyusun kereta pun, tak ramai orang tahu melainkan memang mereka skodeng ke kawasan tersebut. Biasanya, saudara mara terdekat sahaja yang akan parking kereta di situ) ada tetamu yang beransur pulang. Salah seorang daripadanya tinggal di Bangi juga, dan dia pulang ke kampung mengambil masa hingga 16 jam pada hari Jumaat. Nasib badanlah!