Hari buat kerja atas katil, sambil dengar Klasik Nasional
boleh gitu? Sila bersihkan minda anda ya pada bulan Ramadhan mulia ni
Celik mata je pagi-pagi gajah punya pagi tu,
terus buka lap top, buka fail dan sambung siapkan kerja
yang tak sempat dihabiskan sebelum subuh tadi
errrr maknanya…berapa kali tidur daaaaaa!
tak apa, tidur masa perlu, kalau tak otak beku
tak boleh buat kerja buat apa dok berjaga bagai
baik tarik selimut cari mimpi kan?
Gitulah jadinya pagi tadi…
kepala dah tepu mata tak leh buka dah
tengah kusyuk dok sambung kerja tetiba dengar berita
Sebuah kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC
“Bunga Alpinia” telah terbakar di labuan, sabah 2.30 pagi tadi
kapal tangki berkenaan itu mempunyai 29 anak kapal
yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan 6 Filipina.
24 (anak kapal) telah selamat dibawa ke pantai
satu mayat telah ditemui dalam tragedi kebakaran dan letupan kapal MISC
tiga orang mengalami kecederaan manakala
5 orang anak kapal masih lagi hilang
Kapal itu berada bersebelahan terminal Petronas Methanol Sdn Bhd
kalau ikut berita di akhbar, kebakaran berlaku
ketika proses mengisi minyak di jeti
macam mana tu? Hal pertama adalah nyawa,
keduanya…apa jadi dengan bahan kimia dan minyak sawit tu?
hanya satu pertanyaan, sebabnya aku memang selalu suka tanya
macam yang selalu cikgu nasihatkan masa sekolah dulu
kalau tak tahu, sila bertanya…kita tak akan sesat
masalahnya, sangat banyak pertanyaan aku susah nak jawab
cer tanya Cik Bintang perangai aku bila nak tahu sesuatu
mesti akan cari jawapannya…habis tu sekarang ni,
aku kena pergi Labuan ke untuk tahu?
Mmmmm tengok je lah Buletin Utama malam ni!
Tu pun nak kena cakap huh u hu
Opssssss! Entri ni hanyalah monolog dalamanku sahaja!
PSSSST: ini laporan terkini tentang kebakaran dan letupan Bunga Alpinia di petik dari mstar;
LABUAN: Kebakaran di atas kapal tangki 'Bunga Alpinia' milik MISC Berhad, di sini pada awal pagi Khamis telah mengorbankan seorang anak kapal manakala empat lagi masih hilang.
Letupan yang berlaku dalam kebakaran pada 2.30 pagi itu, menggegarkan Labuan.
Anak kapal yang terbunuh dikenali sebagai Syahril Azmi Baharudin dan empat yang hilang dikenali sebagai Zahari Hashim, Mohd Hanafi Khairil, Mohd Nazim Kamsani dan seorang warga Filipina yang hanya dikenali dengan nama Colangoy.
Menurut MISC, kejadian itu berlaku ketika kapal berkenaan sedang mengisi metanol di terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd di sini. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada jam 6 petang untuk membolehkan para petugas berbuka puasa dan disambung selepas itu.
MISC juga berkata, keluarga dan waris mangsa telah dimaklumkan berhubung kejadian itu. Talian hotline telah disediakan bagi keluarga mangsa yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut. Menurut MISC, kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina. Seramai 24 anak kapal telah berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Dr Abd Hapiz Abdullah berkata, letupan itu berlaku selepas beberapa jam proses pengisian bahan kimia ke dalam kapal dilakukan. Proses mengisi bahan kimia itu memakan masa kira-kira 24 jam. Beliau berkata, dalam kejadian itu, hanya seorang sahaja kakitangan syarikat itu yang cedera dan mengalami kecederaan di mata. Katanya lagi, petugas syarikat Petronas Chemicals, yang identitinya tidak dimaklumkan itu bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk kepada pakar mata esok.
Abd Hapiz juga berkata, pada masa kejadian terdapat 14 kakitangan Petronas Chemicals yang sedang bertugas di bilik kawalan. Mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Terdapat kira-kira 200 kakitangan Petronas Chemicals yang bertugas di loji tersebut. Abd Hafidz menambah, ekoran kebakaran itu, operasi 'plant one' dihentikan sementara waktu, manakala 'plant two' tidak terjejas. Beliau juga mengesahkan tidak ada kebocoran berlaku di perairan Labuan berikutan kebakaran kapal MISC itu. Jelas beliau lagi, pihaknya memandang serius kejadian yang tidak diduga itu dan keselamatan merupakan keutamaan dalam operasi syarikat berkenaan.
Sementara itu, penduduk kampung berhampiran terminal Petronas, iaitu Kampung Patau-Patau 1 dan 2, yang terletak kira-kira 100 meter dari terminal berkenaan, awal pagi tadi telah dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat dan diikuti dengan gegaran. Salah seorang penduduk Maimunah Mahmud dari Kampung Patau-Patau 1 berkata, pada masa kejadian dia sedang memasak untuk sahur, dan keluarganya yang tidur masa itu semua terkejut lalu meluru keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.
"Dentuman itu diikuti dengan api yang menerjah ke langit. Kami semua panik bercampur takut ketika itu, bimbang kampung kami akan terbakar kerana rumah kami di hadapan tapak operasi Petronas itu," katanya. Awang Kadir Abdullah yang tinggal di Kampung Patau-Patau 1 ketika ditemui berkata, kejadian yang mengerunkan itu merupakan yang pertama kali berlaku di loji tersebut. Kejadian itu telah menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk kampung mengenai keselamatan mereka kerana kedudukan kampung mereka yang terlalu dekat dengan loji itu, katanya.
"Kita tidak nafikan operasi metanol ini telah banyak menjana aktiviti ekonomi penduduk setempat, namun aspek keselamatan perlu juga diambil kira. Kita percaya pihak Petronas sedar akan perkara ini, dan kita tahu mereka sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan," katanya.