Anda Juga Mungkin Berkenan

Jumaat, 31 Disember 2010

Syukuri Setiap Anugerah Kehidupan

Kita selalu mendongak ke langit, membilang kerlipan bintang-bintang yang indah, memuja bulan yang cantiknya hanya di mata, walhal hakikatnya...permukaan bulan berkerutu bak pipi ditumbuhi jerawat batu, atau menadah memandang terang mentari biarpun kita tahu hangatnya telah membahang ke kulit.

Tak salah bercita-cita tinggi dan simpan angan-angan menggunung dalam hidup ini, kemudian berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Memang tak salah. Apa yang salah adalah; terlupa nak pandang ke bumi tempat kaki kita berpijak. Terlupa yang kita sebenarnya berada di dunia realiti.

Terlalu agungkan tingginya wan, langit, bulan, bintang dan seluruh isi planet, usahlah sampai lupakan rumput yang menjalad di bumi. Usahlah leka hingga tak sedar asal dan duduk diri. Kejarlah sebanyak manapun isi dunia ini, namun, ada masa-masa tertentu usahlah leka dengan apa yang kita miliki. Semua itu hanya pinjaman. Usah lupa untuk bersyukur dengan apa yang ada biarpun kita masih lagi rasa tak cukup. Rasa masih lagi nak tambah. Rasa macam masih belum banyak lagi kita kumpul.

Memandang kurangnya orang lain, melihat sukarnya hidup orang lain, melihat betapa banyaknya usaha orang lain perlu dilakukan demi menyambung hayat hingga esok hari, pernahkah kita bandingkan dengan diri sendiri?

Tak salah kita ada impian setinggi langitpun, itu akan beri kita tenaga untuk mencapaipun. Tambah pula, berangan tu tak payah bayar. Seronok pun berangan. Namun, pada masa yang sama, usahlah sombong dan bongkak dengan apa yang kita tak pernah rasa cukup itu. Kalau Allah nak tarik, sesaat pun lenyap semua.


PsssssT: Selamat menyambut tahun baru 2011. Saat ini, daku tiada di Bangi...

Rabu, 29 Disember 2010

Kek Lapis Sarawak

Sebelum ke Dhaka, aku perlu ke Kuching dahulu. Macam biasa, dua hari berkerja, dua hari lagi aku sambung untuk merayau di bandaraya itu dengan tujuan yang lain. Kali ini aku ke seberang sungai sarawak; kampung Boyan dan Kampung Gersik yang berada di tebingan sungai sarawak. Betul-betul di hadapan waterfront.

Naik perahu seberang sungai, tambangnya hanya 50 sen sehala (jangan bagi tahu Cik Bintang yang aku sebenarnya teruja nak naik perahu tambang ni lebihi dari cari kek lapis Sarawak tu hu hu hu). Seminit je masa pun untuk seberang. Aku ke sana kira-kira jam tiga petang. Terus ke kilang kek lapis Dayang Salhah yang diusahakan di rumah sahaja sebenarnya.


Waterfront dari Seberang (kampong Boyan dan Kg Gersik). Waktu malam mesti cantik ni..


Sampai di teping seberang sana, aku ikut kaki sahaja, kemudian tanya orang. Kita akan jumpa beberapa gerai menjual kek lapis di kampung ini, tetapi disebabkan aku nak cari kek lapis Dayang, aku cari juga sampai jumpa. Letaknya di belakang surau Kampung Gersik. Kalau kat gerai tu, kek lapis diusahakan orang lain. Ramai orang yang aku jumpa berpesan untuk beli kek lapis Dayang sahaja kerana rasanya yang lebih sedap. Tak tahulah pula sejauh mana kebenarannya. Aku bukannya kaki kek lapis, mana-manapun pakai rembat sahaja. Namun, alang-alang dah menyeberang, cuba ajelah cari yang paling sedap.



Kek lapis Dayang Salhah diusahakan di rumah sahaja. Bila sahaja masuk, kita akan lihat satu meja yang dipenuhi kek lapis tersedia dipotong dan dimasukkan dalam bekas tertutup. Kita boleh rasa sebanyak manapun yang nak. Rasa sahaja sebanyak mana kita mahu. Banyak jenis dan macam-macam rasa.








Kek-kek lapis pula tersedia di atas rak keliling bilik tersebut. Pelbagai jenis dan rasa. Paling murah RM10 tetapi sekiranya kita nak beli yang agak sedap sedikit, harganya pelbagai. Jadinya…rasa dahulu hingga kenyang (aku rasa sampai nak muntah), kemudian boleh pilih sendiri di rak ataupun minta adik-adik yang kerja kat situ tolong ambilkan.


Seberang sungai semula untuk balik


Mereka akan packing dengan kemas sekiranya kita beli banyak. Masukkan dalam kotak dan tulis alamat sekiranya kita nak masukkan dalam kargo. Bagi sesiapa yang nak beli secara online juga boleh…boleh buat tempahan seperti yang terdapat di web mereka Kek Lapis Dayang Salhah.

Sejarah dan cerita tentang kek lapis Sarawak boleh dibaca di sini

Sekarang Ni, anda tidak perlu lagi ke Sarawak semata-mata hanya nak rasa kek lapis. Order sahaja secara online, nanti tunggu depan pintu je.

Maklumat lanjut pasal tempat ni boleh diperolehi di laman web Kek Lapis Dayang Salhah.

email: sedap@keklapisdayangsalhah.com, keklapisdayangsalhah@gmail.com

 

Selasa, 28 Disember 2010

Aku Dah Tahu Mengapa Tikus Sembunyi


Ingat lagi entri yang hanya ada serangkap pantun sahaja itu? Kalau dah lupa, boleh jengah sekejab di entri pantun tikus dan kucing. Entri itu aku tulis bila kembali dari kuching tempohari.

Bila balik rumah (aku tidak beritahu ahli rumah setiap kali kerja luar atau tarikh kembali: sila jangan amalkan sebegini, tetapi aku punya alasan yang tersendiri lakukannya), macam biasa, aku akan dapat saksikan hal-hal di luar jangkaan kerana mereka masih beranggapan yang aku masih belum balik. Makanya, itulah diri mereka sebenar.

Kalau mereka itu pengotor, masa aku tiada kotornya itu akan terlebih berkali ganda (ohhhhhh tidak!!!), kalau kaki sepah, sepahnya itupun berganda-ganda juga. Jadinya, bila tengah mengotorkan dan menyepahkan alam dengan bagusnya, tiba-tiba nampak aku ada…boleh bayangkan apa jadi?

Sebelum berangkat ke dhaka (sementara tunggu teksi sampai), aku telefon adik; tanya kalau-kalau dia nak kirim apa-apa. Apalagi nak kirim kalau bukan sari kan hu hu hu akupun rasa macam nak borong satu kilang, malang betul dah tak mampu. Klaim sejak beberapa bulan lepaspun belum dapat lagi, apa tak papa kedananya (opsssss! Dah melalut ke laut lah pulak!).

Setelah berpesan apa-apa yang patut pada adik (setiap hujung minggu rumah aku akan jadi rumah dia), aku beritahu bakal “halau” salah seorang ahli rumah bila balik nanti (Ohhhh aku dah mula tunjuk kekejaman diri sekarang ni) dan bercerita tentang silapnya yang semakin melampau akhir-akhir ini. Kata adik “Tak serik lagi aku bantai hari tu?”

Kami memang keturunan brutal. Kalau rasa aku ni dah brutal, memang salah besar. Adik aku tu lagi tak takut apa-apa. Paling kurang aku belajar juga cara kawal marah.

Patutlah dia jadi tikus yang suka menyorok. Dah kena sebiji rupanya.


Psssst: adik aku cikgu sekolah rendah yang sangat pakar beri arahan dengan jelas kepada murid-muridnya, contoh: “pergi basuh kuali dalam sink, aku nak guna. Sental sampai bersih. Tak payah tanam lumut. Guna je reti, basuh tak reti?”

















Ahad, 26 Disember 2010

Tahniah Malaysia!

Masih lagi dalam mood mengantuk. Baru kembali dari Dhaka tengah malam semalam, sepanjang hari ini hanya qada tidur yang tertinggal sejak sebulan (ohhhh sebenarnya sejak awal tahun). Hari ini sahaja tidurnya tiga kali tidak termasuk malam ini.

Sempat jenguk sesekali tv1 menyaksikan perlawanan pertama peringkat akhir piala Suzuki AFF 2010. Malaysia menang 3-0 dengan indonesia. Gol malaysia dijaringkan oleh Mohd Safee pada minit 60 dan 72 dan Mohamed Ashari (pemain gantian) pada minit yang ke-67.

Tahniah malaysia!

Kembali dari Dhaka, Bangladesh…aku lebih menghargai betapa bertuahnya menghuni malaysia tercinta ini. Nanti aku cerita dalam entri akan datang. Masih perlukan rehat yang panjang ya…malam ni nak tidur sepuasnya, sebelum kembali aktif esok hari.

Jumaat, 24 Disember 2010

Ceritera Tentang SMS

ceritera 1
SMS ni dah lama aku terima, tetapi masih lagi belum dipadamkan dari peti simpanan. Entah kenapa tak delate walaupun banyak SMS lain aku dah delate. Isinya begini;

Tlong bagi topped up 30RM ke nombor baru ayah 0128128046 ayah ada mslah d balai police. Sekejab ayah call blik.
Bulan lepas aku terima SMS ni. Masa tu tengahari. Hari Jumaat. Awalnya aku biarkan sahaja. Memang tak masuk akal, kerana;
  1. Ayah aku tak ada telefon walaupun cap ayam. Dia tak akan bercakap di telefon kalau takat nak borak kosong. Ada urusan sahaja dia akan guna telefon, itupun bukan henset. Dia tak ada henset. Ulang suara ya…ayah aku tak ada henset. Opppppsss! Mana tahu kalau-kalau sekarang ni dia dah ada?
  2. Hanset tak ada, apalagi nak sms. Mek pun tak reti sms, hanya reti cakap je guna henset, kalau nak telefon sesiapa, orang lain tolong tekan, kemudian dia akan cakap.
  3. Kalau tak pernah ada telefon, maknanya tak akan ada nombor baru kan? Maknanya juga, tak payah tambah nilai
  4. Sms tu guna 3 perkataan penjajah iaitu “topped up”, “police” dan “call” hu huhu ayah aku sekolah atap je dulu
  5. Masalah di balai polis? Ada dia heran ke kalau di balai polis? Ketua balai kat tempat kami tu kawan dia.
  6. Kalau betul-betul terdesakpun, ayah tak akan cari aku yang berada di selangor ni…adik dan abang ada di kampung. Depa tu dulu ayah akan terjah. Biasanya, ayah tak akan terjah sesiapa sebab dia akan boleh atasi semua masalah yang datang dalam hidupnya tanpa perlu bantuan anak-anak dia yang ramai itupun.
Tiba-tiba aku terfikir, “bagaimana kalau betul?”. Dengan semua alasan di atas itu, pikir semula beberapa kali (lebih kurang 30 minit juga), akhirnya aku ambil keputusan untuk telefon ke kampung. Telefon rumah, tak ada orang angkat. Telefon pula ke henset mek. Banyak kali cuba, tak angkat juga. Telefon pula adik perempuan yang tengah bercuti sekolah, juga tak angkat. Banyak kali telefon. Akhirnya angkat juga.
Bila tanya ayah, adik jawab “gi surau”. Kan hari jumaat tu. Hati jadi lega.
Cerita dengan adik tentang sms tu, adik gelak tak henggat donia…”kayo ayah mu ada henset” katanya. Bukkkkkkk! Sebijik kena kat hidung aku. Huh!

Selepas tu, google pasal ni dan terjumpa kat blog Joe menulis tentang ni. Huh! Dasar! Kepada rakan-rakan yang dah terkena dengan SMS sebegini, sila buat aduan polis, ke SKMM juga. Nanti kita boleh tengok siapa yang kena!
Bulan Disember ni, Cik Bintang juga terima sms yang sama tetapi ayah dah tukar jadi pak cik pulak.


ceritera 2
Tolonglah jangan persendakan ayat-ayat al-Qur’an, boleh tak?
Sebelum ni agak banyak juga SMS lebih kurang serupa macam ni aku terima;

yasiiin. (dieja menggunakan BM bacaan surah yasin hingga ayat ke 6. Maaf, aku tak tulis semula sebab bacaan ayat al-qur’an ditulis rumi ada masa tak kena sebutannya). kirim surah yasiiin ini kpd 7 insan brgelar islam. insyaAllah esok anda akn menerima khbr yg baik dan rezeki anda sentiasa brda di tngn anda. JGN DELATE INI BETUL2 JD KENYATAAN…insyaallah mgkin ada yg trsirat drpd ayat di atas. mudah2 ada brita baik esok.
 
Aku ni paling TAK SUKA dengan perkara-perkara yang bersyarat seperti;
i. U pollow me, I pollow U…macam tak sesuai gitu!
ii. Fowordkan email atau SMS ini kepada 5 orang atau lebih, dalam masa 3 hari anda akan dapat kesenangan hidup bla bla bla…kalau delate, anda akan ditimpa bala….pleaselah! Hah! Kan dah keluar ayat manglish tu hu hu hu semua perkara yang berlaku dalam hidup ni telah ditentukan qada dan QadarNya sejak kita belum wujud lagi. Apa yang boleh ubah semua tu hanya DOA bukannya email dan sms mengarut macam tu. Kalau percaya dengan benda-benda macam ni, salah hari boleh pesong akidah. Tahu kenapa? Sebab tak ikhlas buat sesuatu. Tak tinggal solat sebab masuk silat gayung, forward email atau sms sebab takut bala…huh! Niat pun dah tak betul!
iii. I lelong blog u bagi popular, syaratnya U kena puji I melambung-lambung sikit, bagi gempak satu Malaya…ingat, blog I ni femes, ramai akan terjah blog u nanti


Kepada anda semua, janganlah jadi penyebar wabak sebegini. Usah takut ditimpa bala kalau tak forward email dan sms tersebut. Bukan email atau sms itu yang berkuasa. Allah lebih tahu apa yang bakal terjadi. Usahlah hanya kerana hal-hal remeh sebegini, lucut akidah kita.


ceritera 3
ini SMS yang paling aku suka terima. Aku dapat masa dok bertapa kat bilik sempit di tengah ketenangan Bandaraya Kuching beberapa hari lepas. Cuba baca, sangat teruja menerimanya;

Salam. dato sri apa khbr, ada mane skrg? mlm td ada tel aku ke? sory la aku dah nyenyak tidur x sedar
 
Agak-agaknya, masin tak jari dia masa taip SMS tu? Harapnya lah! Mana tahukan, tetiba je Sultan Brunei berkenan nak anugerahkan aku gelaran Pehin ke…tak pun sultan Kelantan yang baru tu terbuka hatinya angkat aku jadi Raja Perempuan Kelantan fuyoooooo Itu mimpi di tengah hari buta namanya!
Pernah tak terima sms yang pelik dan buatkan anda terfikir dua tiga kali seperti aku?

PssssT: SMS tersebut tidak termasuk menang hadiah ribu riban ataupun tawaran percuma ARAK untuk ladies ya…yang tu malas dah nak tulis.

Bila Stacy Pakai Skirt

Kita selalu tengok penyanyi cilik berasal dari negeri Di Bawah Bayu ni menyanyi sambil lompat-lompat. Cantik dan comel je bila dia melompat ikut irama yang rancak, menari ligat ikut rentak muzik. Tertawan. Tertegun dan terkagum. Ramai orang kata dia bayangan Anita sarawak.

Namun, bila Stacy tampil bergaun, dia nampak lebih manis. Lebih ayu. Lebih menawan. Hati lebih tertegun. Tak percaya? Cuba lihat…





Cuma, yang tak cantiknya, bila dia melompat menari ketika pakai skirt. Hilang sekejab comelnya tu. Perasan tak?

Jadinya, Stacy…lain kali kalau nak pakai skirt, nyanyilah lagu-lagu yang perlahan rentaknya ya. Tak comellah bila melompat pakai skirt begitu hu hu hu


PsssT: Bila gamaknya stacy nak pakai kasut tumit tiga empat inci ya ;)

Khamis, 23 Disember 2010

Ohhhhh Aku Sedang Rindu Parah!

Ada sesetengah orang, sangat gemar makan di hotel. Kononnya nampak kaya. Mewah. Rasanya lebih sedap (jarang-jarang makan memanglah sedap, cuba kalau setiap hari hu hu hu). Hinggakan dia sangat bangga setiap kali makan di mana-mana hotel. Jenuh canang satu dunia; makanan kat hotel tu sedap, teh tarik di hotel ni best, kek di hotel nun sangat mengikut citarasanya.

Betul ke sedap makan kat hotel?



Kalau tanya aku (perlu diingatkan ya, aku ni minah kampung yang setiap harinya makan kat tepi jalan dan longkang entah mana-mana je), jawapan aku mudah sahaja: ada tempat sedap, ada hotel tak sedap langsung tapi buat masa ini, tekak aku tak boleh terima dah.

Ohhhhh itu jawapan bagi orang yang biasa makan kat tepi jalan dan tepi longkang. Orang yang biasa makan bersama aroma longkang yang semerbak baunya hu hu hu.

Kalau ada pilihan, aku lebih gemar makan di gerai Mak Cik Munah mana-mana yang lebih terasa umphnya. Lebih rasa pedasnya, lebih sekata masinnya. Lebih terserlah asli ramuannya. Sekali sekala nak makan di hotel banyak bintang (bergantung juga jenama hotel mana yang memang telah diketahui nilai sedapnya itu) bolehlah juga. Tapi, janganlah hampir sebulan berturut-turut ya…tekak aku dah kembang ni.

Kopi ini terasa sedap ditekak bila diminum sambil cuci mata…



Aku dah tak lalu nak telan masakan hotel lagi. Aku dah tak tertelan mehun goreng dan nasi lemak yang biasa ditelan mat dan minah saleh itu. Aku nak nasi lemak Pak Cik Mat (bukan nama sebenar) yang selalu aku beli tepi longkang dekat rumah aku tu. Walaupun nasi lemak sambal kerangnya hanya RM2.50 sahaja sebungkus, nasi lemak itu lebih lazat berbanding yang aku makan pagi tadi dengan harga RM20 sepinggan. Lebih ada umph. Lebih terasa manis, masin dan pedasnya. Lebih terasa dan rata lemaknya. Lebih wangi aromanya biarpun bercampur dengan wangian longkang.

Aku dah rindu dengan asam pedas. Aku dah terkenangkan tomyam. Dah terbayang paprik campur. Aku dah teringat dengan sambal belacan. Aku dah termimpikan budu yang dibenamkan dengan tempoyak. Sebulan aku tak jumpa semua benda tu tau. Tau tak? tau tak? Tolonglah tau




Ohhhhh ampunkanlah daku…akan sebegini hingga selepas xmas nanti. Ohhhh masih lama lagi tu… lama untuk orang yang merindu.

Rabu, 22 Disember 2010

Pantun Tikus dan Kucing

Buaya tembaga belajar bersugi,
Patah gigi mengunyah pinang;
Bila kucing tak tonjol diri,
Tikus berani menari inang.

CunNyeeee Awek Tu!

Pernah tak kalian rasa sangat kagum dengan kecantikan seseorang? Walaupun aku perempuan sejati, aku tetap puji perempuan yang cantik kalau memang dia benar-benar cantik.

Memanglah cantik tu subjektif, ikut penilaian seseorang. Bagi aku, cantik itu tak semestinya putih melepak kulitnya. Ada orang, kulit putihnya buatkan dia cantik, namun ada orang lain, putih sahaja tidak begitu cukup bila kehilangan manisnya.

Kali ni aku nak tampal gambar seseorang yang pada aku sangat manis rupanya. Sejuk mata memandang. Jelita. Ayu rupawan…huh! habis kata-kata dah aku puji dia.

Renung matanya ayu je…


Cantik tak rambutnya?



Seksi tak bibirnya? Lipstik apa dia pakai ya?




Langsing dan tinggi lampai orangnya. Pakai kasut bertumit, lagilah nampak tinggi kan.


Opssssss! Rambut tampal rupanya. Nape lain macam aje rupa dia?


Hah????? Ambik kau! Inilah rupa asalnya hu hu hu hu



Faizal Yusof rupanya hu hu hu tertipu mataku akhirnya. Aku terpedaya. Penampilannya dalam drama Zarul Zarina. Aku gelak sampai tak sedar diri. Sungguh…dia memang ayu dan menawan bila jadi Zarina hu hu hu, lebih ayu dari aku hu hu hu satu pengakuan berani mati ha ha ha

Selasa, 21 Disember 2010

"Sorry, We Speak English"

Ohhhhhhhh!


I speak Malay ONLY!




PsssT: Aku tercangak-cangak mencari papan tanda kalau-kalau aku sebenarnya salah landing di Tanah Uncle Sam ------> hanya KLIA je.... oHhhhhhhh!

Khabar dari Seberang

Masih lagi dipetik dari The Borneo Post, tetapi berita ni aku dah banyak faham sikit berbanding entri sebelum ni hu hu hu ....jom, sama-sama nikmati keindahan bahasa Melayu Sarawak. Errr...betul ke bahasa Melayu Sarawak? Klaka Srawak ka tok? Ada sesiapa tahu tak?

Sila baca dengan kuat ya...bagi melatih lidah anda hu hu hu...

Rayat menua pesisir minta servis jalur lebar dikerembaika
Posted on December 18, 2010, Saturday

 
DEBAK: Mensia mayuh ti diau ba kandang menua pesisir kelebih agi genturung menua Debak enggau Betong minta perintah sereta kompeni penyambung jalur lebar ngerembaika bungkur sistem nya awakka mensia mayuh ulih bekenaka internet ba endur sida.

“Kami ngarapka perengka guna tu ulih dikerembaika enggau lengkas ngambika kami nyamai sereta ulih bekenaka internet “, ku Mohd Daud, seiku orang ti diau ba genturung pendiau Debak, Betong betemu enggau pengarang berita ari Utusan Borneo ditu ensanus.

Ku iya, naka ke diatu, perengka guna nya (jalur lebar 3G ) semina ulih dikena ba pasar Betong.

“Kami nemu baka Debak, Spaoh enggau sekeda endur ke bukai ulih bekenaka jalur lebar udah tu lalu kami minta ngagai perintah tauka kompeni penyambung jalur lebar ulih nyediaka perengka nya sereta ngerembaika bungkur ngagai mayuh endur,” ku iya.
Nambahka nya, pengawa nyediaka perengka guna baka WiFi enggau enda bebayar mega patut dikerembaika agi ngambika orang ti kurang bepenatai pemisi ulih nguna servis nya.

“Baka ke dipinta perintah apin lama ti udah, mensia mayuh ti diau ba menua pesisir patut nyingkang ngagai arus ke lebih moden ba dunya siber ngambika sida ngasaika genap iti ubah nya. “Sebedau tu kitai semina ulih macha ba surat berita, ningaka radio sereta meda tv aja, tang ngena jalur lebar genap iti berita ari serata dunya ulih ditemu kitai,” ku iya.

“Baka ke diatu jalur lebar ba dua bengkah endur nya semina ulih dikena nengah Streamyx lalu kami ngarapka enti jalur lebar nya majak manah perengka nya ulih dikena ba sebarang endur aja,” ku iya.

Nambahka nya, kami endang ngarapka bungkur arus nya ulih dikerembaika agi ngambika mensia mayuh ba menua pesisir ulih bekenaka jalur lebar nya udah tu ila.

Huh! berapa lama baru boleh faham ni? Enche Google tak reti ke terjemahkan bahasa ni? Adussssss!

Isnin, 20 Disember 2010

Jom Belajar Bahasa Iban

Aku petik berita ini dalam The Borneo Post sempena kedatangan aku ke sini. Sambil merayap cari kek lapis dan menjala ikan terubok di sungai Sarawak, kita baca akhbar tempatan ya. Jadinya, sila nikmati cerita menarik ni...jom kita mewayang hu hu hu (sila baca dengan kuat untuk melatih lidah dengan bahasa Iban ini)

Filem Iban enda patut ngayanka rumah panjai aja
Posted on December 19, 2010, Sunday

KUCHING: Filem Iban ti deka digaga jemah ila patut kurang agi ngayanka pendiau bansa Iban ba rumah panjai, ku siku direktor filem Iban Monica Jeff.

Berindik ari nya, iya deka ngaga filem baru iya ti dikumbai Aloi enggau Empangup ba mengeri ke besai baka Bintulu, Miri, Kuala Lumpur sereta Melaka.

“Muntang agi disebut, konsep filem Aloi enggau Empangup tu deka ngayanka mayuh macham gaya pengidup mensia.

‘Aram meh kitai ngaga cherita ke baru, enti ngelamatu mayuh filem Iban ngayanka gaya pengidup ba rumah panjai. Lapa enda ke serak tu kitai ngaga cherita ti ngayanka mayuh macham gaya pengidup baka ke cherita filem Indonesia,” ku iya madah ngagai pengarang berita nengah e-mail.

Aloi enggau Empangup, siti projek ari BFG Media enggau Entertainment Productions keterubah iya disadang deka digaga nyadi cherita drama Iban ti besambung.

Monita ti mega raban ari Film Directors Association Malaysia (FDAM)-bisi penemu nyadi direktor, madahka kebuah iya nukar projek tu nyadi projek ngaga filem laban deka napi peminta mensia mayuh ti rindu agi meda filem.

“‘Aku enda madah kitai enda ngaga filem tu nengah format DVD/VCD. Kitai sigi deka ngaga filem tu nengah format nya tang naka ka diatu kitai deka bekenaka awak ari ulah mensia mayuh kelebih agi bansa Dayak ti majak rindu ngenataika diri ngagai panggung wayang, tu meh tanda ti manah.

“Nya meh kebuah Aloi enggau Empangup deka diayanka ba panggung wayang dulu, format DVD/VCD dudi ila,”ku Monita.

Nitihka penerang ti dipansutka, Monita bedau lama tu tadi udah betemu enggau National Film Development Corporation (FINAS) Direktor General Mohd Mahyidin Mustakim lalu maya nya seduai iya berandau senentang ngeluarka filem Iban.

“Mohd madahka kompeni aku patut ngaga filem begulai enggau opis iya ngambika nyamai sida iya meri bantu lalu iya madahka filem Iban deka diberi basa sereta kelai ari FINAS,”ku Monita.

Senentang pekara bukai, penerang berita udah madahka pengawa begiga ka bala pelakun lelaki enggau indu filem Aloi enggau Empangup ti sepatut iya diatur kena 18 Disember udah dilanjarka ngagai bulan Januari.

Kebuah tu nyadi laban pengawa sida iya ti deka ngangkatka cherita tu nyadi filem ti deka diayanka ba panggung wayang.

Penerang berita mega madah BFG deka ngaga dokumentari Iban ti digelar ‘Bejalai’ nengah format DVD/VCD.

Monita ke nyadi ‘co-direktor’ projek nya, Benny Zachariah (co-direktor/pengeluar), Gumba Amba (Production Manager), Timothy Rayang (Tukang gambar) enggau Mike Kilat(co-host).

Bala sida iya benung bejalai ngagai menua Melaka, Kuala Lumpur, Putra jaya, Johor, Port Dickson enggau Cameron Highland berengkah ari 18 Disember nyentukka 31 Disember ngaga filem.

PssssT: Duak tiga patah aje kamek faham klaka Iban tok hu hu hu gimana kitak tek?

Tanda2 rakan serumah dah dapat Gaji

Ni bukan entri menyindir, hanya sekadar dapatan pemerhatian yang aku lakukan tanpa melakukan temubual dan kaji selidikpun. Kalau masa belajar dahulu, inilah tandanya bila loan dah dapat. Bila kerja, ini juga tandanya bila gaji dah masuk akaun tiap hujung bulan. Nak tahu apa tandanya? Kat bawah aku senaraikan berdasarkan pemerhatian tak rasmi aku.

1. Balik lambat dengan senyum manis
Biasanya dia sampai rumah jam 5.30 petang. Bila musim baru dapat gaji, jam 10 malam pun belum timbul lagi mukanya depan pintu. Kalau biasanya, senyuman ikut musim, maka kalau terlihat senyumnya manis di hujung bulan itu, tandanya dia dah terima gaji. Dia akan jadi lebih peramah. Gembira. Wajah yang berseri-seri. Senang hati je...sedangkan sebelum itu, mukanya nan jelita itu terlihat teduh macam bulan gerhana. Sebelum ini, moodnya sentiasa sahaja tidak elok. Masuk rumahpun dihentaknya grill macam nak tercabut. Muka kelat. Terus sahaja masuk bilik dan senyap. Salam pun lupa nak bagi.

2. Beli belah sakan
Tiap hari dia akan balik sedikit lambat dengan barangan yang dibeli penuh tangan. Macam-macam keperluan dapur, pelbagai jenis jajan, makanan dalam tin, megi dan sebagainya termasuk kotak-kotak air minuman, minuman segera 6+1 dan lain-lain. Penuh peti ais di isi. Pada musim inilah dia akan beli berplastik sayur (yang kemudiannya akan dibuang kerana tidak tahan lama), lauk yang meriah; ayam, udang, ketam, sotong dan pelbagai jenis sosej atau ayam goreng segera dalam peket. Berbeza sakan berbanding bila dah masuk tengah bulan; plastik megi pula dipunggah keluar dari gerobok. Opssssss! Tak ada salahnya makan megi, hanya aku sahaja tidak boleh nikmati makanan itu. Hanya, mewah itu hanya seminggu dalam sebulan sedangkan tiga minggu lagi hadap megi. Sadis jugak begitu ya...

3. Tak masak dahhh...semuanya beli
Minggu ke tiga dan ke empat setiap bulan, dia akan bangun awal untuk masak bekal. Masuk dalam taperware dan bawa ke tempat kerja. Setiap hari. Bila musim terima gaji, bukan sahaja dah tak masak untuk makan malam di rumah, malah sepanjang minggu itu akan sentiasa sahaja makan di luar. Order sahaja. Dapur memang tak berasap dah untuk seminggu dua.

4. Tak lekat di rumah
Tangga pusat beli belah dah jadi macam tangga rumah sendiri. Entah berapa kali ulang dalam seminggu. Setiap tempat jualan murah akan dikunjungi walaupun taklah beli apa-apapun. Apa salahnya buat lawatan sambil cuci mata kan? Kalau rasa berkenan nanti bolehlah beli apa-apa yang patut. Paling tidakpun boleh masuk panggung wayang. Tengok kartun penyu pun jadilah walaupun untuk tayangan tengah malam. Bukan selalu pun tengok wayang kan?

Ramai yang mengalami sindrom seperti di atas setiap kali datangnya musim terima gaji. Entahlah! Berapa banyak gaji yang dapatpun tetap tak akan cukup andai tidak melakukan perancangan ekonomi secara berhemah. Paling utama, sisihkan jumlah tertentu untuk simpanan yang akan sangat berguna pada masa susah yang kita tidak akan jangka bila datangnya.

Dah siap tulis entri ni barulah aku perasan satu perkara; adakah aku cemburu dengan cara hidup mereka? Mmmmm aku dah ada cara hidup sendiri yang aman damai tanpa perlu kacau hidup orang lain. Dan aku gembira memilih cara hidup sebegini. Biarlah aku cemburu kepada orang lain ajelah ya...bukan cara sebegini. Aku tak mampu untuk makan megi tiap hujung bulan. Alergic dengan megi...

pSSSSt: Sentiasa sama sahaja cara hidup tak kira awal, tengah atau hujung bulan, sebab: hu hu hu banyak hutang, termasuk hutang nyawa...oH! Usah contohi daku!

Sabtu, 18 Disember 2010

NOMAD Moden di Bulan Disember

Saat ini aku berada di tengah kerancakan Bandaraya Kuching. Kerja lagi hu hu hu sangat penat, namun jadual sangat padat hingga kembali semula ke Bangi pada hari Krismas.

Awal bulan lagi jadual aku dah padat. Hujung minggu ke Melaka selama dua minggu berturut-turut, dan minggu ini berada di Seberang Laut China Selatan. Kembali dari sini, aku hanya ada masa sehari untuk cuci baju dan angkut beg semula ke tempat lain yang beribu batu jauhnya.

Dengan jadual yang ketat itu, entri aku agat terbatas kerana koleksi entri yang aku ada dah makin susut. Semua entri yang muncul di blog ini sebenarnya telah aku setkan siap-siap sebelum diri kalut menguruskan urusan dunia dan akhirat ini (harapnya termasuklah urusan akhiratlah ya, bukankah kerja itu juga untuk akhirat?...sila betulkan niat anda, maka kerja juga akan jadi urusan akhirat. Paling utama, NIAT kena betul).

Jadinya, kepada teman-teman yang sentiasa sudi ziarahi teratak daku nan tak sepertinya ini, terima kasih daun keladi diucapkan. InsyaAllah, aktiviti menziarahi istana anda semua akan saya lakukan selepas Krismas.

Kepada rakan-rakan yang baru singgah, yang pertama kali datang...harapnya tinggallah pesan sepatah dua kata agar kedatangan anda daku maklumi. Nanti aku boleh pergi balik blog anda. Memanglah, kalau tak tampal pesan dan komenpun aku boleh tahu siapa yang datang, tapi...lambat sikitlah sampainya tu kan ;)

Juga, mohon maaf andainya komen rakan-rakan juga agak lambat untuk “diluluskan” siarannya, kerana bila dah keluar dari daerah Bangi ini, masa tersangat suntuk untuk online dan buka email. Email rasmipun beberapa hari tertinggal, apalagi bila email tersebut tidak rasmi.

Biarpun aku jadi Nomad moden sepanjang Disember ini hingga datangnya Krismas, kalian tetap akan dapat menatap entri baru di sini (dengan kadar yang sederhana). Terima kasih semua dengan sokongan anda. Waaaaa dari cara tulis tu macamlah aku glamer sengat-sangat kan? Apa salahnya praktis, mana tahu tahun depan tetiba je jadi glamer hu hu hu 

PsssT: Jom Ngangkung hu hu hu hu -----> sempat lagi tu!

Jumaat, 17 Disember 2010

Masjid Tengkera, Melaka

Entri sebelum ini dah cerita pasal Melaka, sila baca Bersantai ke Melaka untuk mengetahui serba sedikit tentang itu. Ahad lepas aku ke Melaka lagi sekali, terkurung selama tiga hari di Everly Resort, Tanjung Keling tanpa sempat untuk jelajah tanah bersejarah itu sepenuhnya. Gula Melaka yang Cik Bintang kirim pun aku hanya sempatkan diri semasa perjalanan balik ke Bangi sahaja. Namun, sempat juga aku bazirkan masa selama setengah jam mencari Masjid Tengkera. Dah banyak perubahannya berbanding dahulu.

Jadi, kali ini kita belajar sejarah ya…sempena berada di bumi bersejarah ni…


Masjid Tengkera adalah masjid yang kedua tertua di negeri Melaka. Ia di bina pada tahun 1728 (M) bersamaan 1141 (H). Masjid ini dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu di Melaka.

Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910. Jika kita teliti dari sudut seni bina, masjid ini menggabungkan senibina Cina dan Islam dan mempunyai persamaan dengan masjid Kampung Laut di Kelantan, disamping mempunyai bentuk yang sama dengan masjid Demak di Jawa, Indonesia. Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera pada zaman itu membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu.

Masjid ini berbentuk segi empat tepat dengan bumbung tiga tangkup. Bumbung masjid ini menggabungkan bentuk bumbung rumah limas, istana Sultan Mansur, bentuk pagoda dan bentuk piramid. Masjid ini sangat unik dan mempunyai seni bina yang sangat halus disegenap sudut, baik di pintu masuk, tingkap, dinding, tangga, mimbar, menara dan pintu gerbangnya; dihiasi dengan batu mar-mar cina yang indah.

Berhampiran dengan masjid terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah, Sultan Johor yang telah menyerahkan dan mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles (Syarikat Hindia Timur - Inggeris pada tahun pada 6 Februari 1819). Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhamad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.

Masjid ini berada di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negeri Melaka.


PsssT: hujung minggu nanti, rumah ini sepi kembali. Usah malu untuk singgah ya…aku sentiasa hargainya hingga kembali lagi pertengahan minggu hadapan. Saat anda membaca entri ni, saya sedang berlari-lari arnab ke KLIA…

Selasa, 14 Disember 2010

Mana Nak Angkut Kasut Aku Tu?

Sempena Kontes Cerita Paling Lawak Sedunia yang aku anjurkan dalam blog ni, aku nak kongsi satu cerita lawak yang pernah berlaku. Untuk menyertai kontes ini, cerita lawak berkenaan tidak semestinya anda alami sendiri, asal lawak dan boleh buat orang tersenyum, kira okey aje. Tak kesahlah kisah yang pernah anda baca atau dengar, atau alaminya sendiri…asalkan anda gunakan ayat sendiri untuk cerita, masih boleh diterima untuk peraduan ini.

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1996, 1997 atau 1998 yang lalu. Dah lama tu, tapi tetap aku ingat sampai hari ni. Masa tu aku masih lagi student. Pada satu hari minggu, aku telah ke KL, lebih tepat lagi Sentral Market untuk jumpa seorang kawan. Jumpa tau, bukan pergi dating. Pada masa tersebut, manalah ada lagi KLCC ke, Midvaley ke, Time Squere ke…kira macam Central Marketlah tempat yang popular untuk bertemu sesiapa selain Lot 10.

Masa itu juga baru sahaja diperkenalkan komuter. Jadi, dari Bangi aku ke sana naik komuter dan turun di stesen Kuala Lumpur. Masa tu manalah ada lagi stesen Midvaley atau KL Sentral. Tak wujud lagi (Apa nak wujudanya stesen tu kalau Midvaley sendiri pun belum wujud). Jadinya, dari stesen keretapi KL tu, aku berjalan ikut Daya Bumi, Pejabat Pos Besar dan seberang sungai melalui jambatan ke CM. Masa tu juga, rail LRT sebelah CM tu baru je siap separuh, belum sepenuhnya lagi.

Selepas jumpa kawan yang akan ke Sabah itu, aku menapak semula ke stesen KL melalui bawah terowong rel LRT untuk menyeberang sungai. Di bawah terowong itu, ada seorang tukang kasut (warga Indonesia) sedang menyiapkan kasut-kasut pelanggan. Masa tu tak ada orang. Jadi, aku pun singgahlah sekejab. Maklumlah, student memang kayap untuk beli kasut baru. Kenalah tampal tapak kasut selalu.

Abang itu berikan aku selipar Jepun kaler biru (kalerpun aku masih ingat lagi tau) untuk aku pakai sementara dia siapkan tapak kasut aku. Aku duduk kat kerusi kecil yang dia sediakan sambil perhatikan dia buat kerja.

Tiba-tiba, abang tu kemas semua barang-barang dia. Masukkan semua kasut-kasut yang perlu dia betulkan ke dalam kotak kayu (termasuk kasut aku), kemudian selamba badak je pergi dari situ. Alamak! Apa dah jadi ni?

Alamak! mana boleh jadi ni. macam mana aku nak balik Bangi nanti? tak kan nak pakai selipar Jepun kaler biru tu kot? Kasut aku macam mana? Esok nak masuk kelas pakai apa? [hanya satu itu ajelah kasut yang aku ada. Mahal pulak tu kasut tu (aku beli di Petaling Street dengan harga RM6.90 tu tau…mahal!]

Menceceh je dia hilangkan diri dari situ. Sekelip mata lesap. Nak je aku jerit “Wehhhhh! Kasut buruk aku!!!!”

Malangnya aku hanya terpinga-pinga sahaja. Lidah kelu untuk menjerit. Kepala blur sekejab.

Aku dah putus asa. Nak tak nak kenalah balik bangi dengan pakai selipar Jepun warna biru tu juga. Baik sikit dari jalan kaki ayam kan? Penganiayaan mental betul!
Bila aku bangun, keluar dari terowong tu…aku nampak pihak berkuasa DBKL berlambak kat kawasan tu. Patut pun Abang si tukang kasut tu lari…rupa-rupanya ada penguatkuasa. Penguatkuasa tu pula semuanya muda belia lagi. Mereka jerit sekali je, terus abang tukang kasut tu menapak datang semula. Tertunduk-tunduka dia buka semula kotak harta karun yang dilarikannya tadi. Terpaksalah dia tampal kasut aku sampai siap kat situ.

Apa jadi pulak dengan aku?

Huh! Teruk kena urat dengan abang-abang penguatkuasa. Macam-macam tanya. Akhirnya tanya nombor telefon. Masa tu henset belum masuk Malaysia lagi kot. Kalau ada pun mahal tahap dewa. Jadi, bagi ajelah nombor telefon apa-apapun, bukannya dia boleh check masa tu juga kan? Hu hu hu jahat!

Abang tukang kasut tu pula sambung melarikan dirinya selepas siap tampal tapak kasut aku hu hu hu …sangat tak kelakar kan?

Apa-apa je lah labu, asalkan ada yang boleh senyum sikit-sikit tu pun kira okeylah ya…

Hah, apalagi? Dah boleh mula tulis cerita lawak yang kelakar gila untuk Kontes Cerita Paling Lawak Sedunia dah ni…Selamat melawak ;)

Isnin, 13 Disember 2010

Bersantai Ke Melaka

Awal Disember lepas (macamlah bulan Disember dah lepas tu...baru je nak masuk satu pertiga ;) ), jabatan tempat aku bertugas telah berjaya menganjurkan satu seminar peringkat antarabangsa dengan kerjasama UNISCO. Jadinya, sepanjang dua hari tersebut, kami sangat sibuk menguruskan perjalanan seminar berkenaan. Entri ini tak akan ceritakan tentang seminar tersebut yang memang bersifat antarabangsa itu, nanti semua orang bosan nak baca. Maklumlah, benda-benda serius ni jarang-jarang orang nak baca, sama jugalah nak tulis pun. Aku pun malas jugak nak tulis, sebab penat nak kena fikir kan hu hu hu yaaaaa ampunnnn!

Salah seorang peserta dari India. Pengerusi tengah pening kepala tu pun dari India juga;


Jadinya, entri ini akan ceritakan pasal rombongan cik Kiah ke Melaka. Cik Kiah? Siapa itu cik Kiah?

Hu hu hu ...ada sesiapa pernah tengok tak satu drama kat tv masa sukan komenwealth kat KL entah tahun berapa dahulu. Sempena sukan tu, satu rombongan orang kampung nak pergi ke Bukit Jalil tengok acara sukan, tetapi macam-macam hal yang jadi. Aku sendiripun dah lupa kesudahan drama tu macam mana. Jadi, selepas drama yang penuh dengan susah payah nak pergi tengok sukan Komenwealth itulah, sesiapa yang buat rombongan akan sebut “rombongan Cik Kiah”.

Namapun seminar antarabangsa, jadi datanglah peserta-peserta yang bersifat antarabangsa seperti dari India, Jepun, Filipina, Indonesia dan Bhutan (pertama kali aku dengar ada negara namanya Bhutan). Selepas seminar berkenaan, kami sebagai penganjur telah adakan dua siri rombongan pendek kepada peserta antarabangsa yang berminat. Siri rombongan pertama ke Putrajaya dan Kuala Lumpur. Rombongan ni aku tak ikut sebab dibuat malam hari. Lagi pula, macam dekat sangatlah pulak Putrajaya tu kan...dah biasa sangat. Pergi malam-malam tengok lampu ajelah. Nak ambil gambar pun bukannya reti ambil malam hari hu hu hu...alasan tak leh blah kan?

Mereka juga dibawa makan-makan ala Malaysia di kedai Mamak sekitar Bangi. Menurut cerita, peserta dari Jepun menambah dua kali tosei, 3 gelas teh o ais dan makan sambil menangis dan berpeluh kerana kepedasan. Namun begitu, dia tetap juga makan dengan sambal tersebut sambil lap peluh, lap air mata dan berkata “Ohhh hot! hot! hot!”

Satu kedai mamak terpesona dengan aksi tersebut. Namun kami sangat bangga kerana perkenalkan realiti hidup masyarakat malaysia kepada mereka. Maksudnya, bukan hanya makan di hotel sahaja. Tekak aku tak berapa nak terima sangat makanan hotel ni, sekali sekala bolehlah. Hari kedua pun dah terkenang-kenangkan asam pedas dan sambal belacan. Ada la sambal belacan di hotel tapi rasanya tak berapa nak kena dengan tekak aku yang biasa makan kat tepi jalan ni ya...

Aku ikut rombongan keesokannya yang pergi ke Melaka. Guna bas UKM.


Ahli rombongan adalah: 2 orang pemandu bas. 2 orang peserta Iran, 1 orang peserta Bhutan, 2 orang RA (Pembantu penyelidik), Ketua Rombongan dan Aku. Bayangkanlah begitu ramainya rombongan kami itu. Tengokkan basnya, macam 40 orang je muat kan? Hu hu hu peserta lain pula terlibat dengan macam-macam program, termasuk terpaksa berkejar ke lapangan terbang untuk penerbangan balik. Maklumlah, kalau dah pergi berjalan tu, dah tentu tak akan dapat tepati masa sepenuhnya.

Apabila membawa peserta asing, maklumat tentang Melaka perlu kami selidik dengan lebih tepat. Maklumlah, Melaka kan dapat pengiktirafan UNISCO. Seminar kami ini juga antara penajanya UNISCO.

Mereka sempat hilang setengah jam tanpa kami mampu mengesannya dalam pusat beli belah. Ohhhh sangat letih mencari. Terima kasih kepada pihak pengurusan di Dataran Pahlawan.



Kita tengok apa depa ni nak buat;



Bagi makan ikan hu hu hu


Jomlah kita layan gambar-gambar sepanjang di Melaka tu...





Nak interprem sekejab. Jarang berpeluang buat gini kan?










Tak banyak tempat yang sempat kami kunjungi sebenarnya. Masa terlalu singkat, sedangkan kami pula tidak mahu terlalu mendesak mereka mengejar masa kerana ini adalah acara santai. Singgah Tanjung Bidara kejab...5 minit sahaja. tak ada apa yang mengujakan.




Baliknya melalui jalan kampung supaya mereka dapat lihat suasana alam dan rumah-rumah Melayu. Akhirnya, kami sahaja yang tengok kerana mereka tertidur keletihan.




Ketika anda menatap entri ini, saya telah berada di Melaka semula. Untuk beberapa hari. Urusan Kerajaan Malaysia. Amanah negara ya, bukan untuk makan angin. Dan, sudah pasti akan cari asam pedasnya. Ada sesiapa sudi masakkan asam pedas paling sedap untuk saya?