Khamis, 18 Disember 2008

Cemburu Itu Sayang?




Seseorang telah serahkan sekeping kad undangan perkahwinan yang comel sebagai bukti dua orang sepupunya berkahwin. Cantik tetapi ringkas. Comel juga.

Musim cuti sekolah biasanya jadi musim untuk orang berkahwin. Ada setengah-setengah orang dengan nakalnya menyebut sebagai musim mengawan. Tak kiralah apapun panggilannya, musim cuti sekolah sebegini memang meriah dengan undangan perkahwinan. Sekecil-kecil kenduri dibuat adalah kenduri kesyukuran sempena anak-anak berkhatan.

Bila balik kampung sesekali, bermacam cerita kudengar. Si polan dah kawin. Anak si polan tu baru bertunang. Si A dapat anak lelaki. Anak si B dah pun berkhatan. Anak Minah dapat 5A. Ada macam-macam cerita. Macam-macam berita. Masa inilah telinga banyak mendengar tentang sedara mara, sahabat handai, sepupu sepapat, taulan...

Kata orang cemburu tu tandanya sayang. Itu kata oranglah. Aku hanya salin dan tulis semula kata-kata itu di sini. Persoalannya, benarkah cemburu itu sebagai satu perlambangan rasa kasih sayang?

Raya lepas, masa balik kampung itu, terdengar juga ke telinga kisah seorang sepupuku telah bercerai sebulan sebelum adiknya naik pelamin. Sepupu perempuanku itu cantik orangnya. Tinggi lampai. Putih melepak. Manis senyumnya. Sopan santun. Entah berapa kali lebihnya dia berbanding aku yang kelabu asap dan “muka tak bawa rezeki” ni.

Sehabis pengajian peringkat Sarjana (master) dia berkahwin dengan pujaan hatinya. Berkerja di Kota Bharu sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta. Ikutkan, dengan kerjanya sebegitu, tinggal di KB yang agak rendah kos sara hidup pula, punya anak-anak dan suami tercinta, patutnya hidup dia dah lengkap. Dah sempurna. Dah bahagia. Patutnya. Di dunia ini, banyak perkara yang tidak patut sering terjadi.

Pendidikan tinggi yang diterima bolehkan dia menyandang kerja yang bergaji yang agak lumayan juga. Kerjayanya itu bersifat profesional. Dan dia, perlu bertingkahlaku sedikit profesional walaupun tidaklah sampai perlu kehilahan seperti mak datin.

Malangnya, suami tercinta itu terlalu cemburu bila dia yang comel lote itu berpakaian cantik selayaknya seorang profesional ke pejabat. Cemburu bila dia kenakan lipstik. Cemburu bila dia kenakan busana mengikut peredaran fesyen semasa. Klimak cemburu itu pula tidak sekadar perang mulut yang saling jawab menjawab, namun disusuli dengan sepak terajang, tumbuk menumbuk hingga lebam seluruh badan. Bengkak bengkeng anggaota badan. Entahkan bersilat, entahkan berkungfu. Entah juga karate atau judo.

Mangsanya bukan dia seorang. Anak-anak turut terima tempias. Dapat bahana. Cemburu punya kisah, kasih sayang yang dibina sekian lama punah ranap. Hancur berderai. Meruntuhkan tidak sesukar membina. Tidak sepayah membangunkannya semula.

Antara kerja, anak-anak dan suami tercinta, apa pilihan yang dia ada? Andai berhenti kerja, nanti mahu makan apa? Memang punya suami, namun gaji suami tercinta jauh lebih kecil berbanding gajinya. Berhenti kerja bukanlah pilihan bijak yang dia patut pilih.

Orang kata “ulat dalam batu pun boleh hidup”. Soalnya itu ulat. Ulat tak minum teh tarik yang harganya naik tetapi tidak mahu turun bila harga minyak dah turun. Ulat itu tidak guna pampers untuk anak-anaknya. Ulat itu juga tidak perlukan Astro untuk tengok Akademi Fantasia.

Lalunya, bagaimana pula dengan lebam-lebam dikungfu lelaki tercinta itu? Sekali dua mampu lagi ditahan dengan alasan cinta. Kali ke tiga dan seterusnya, masihkah sabar menahan perit? Kalaupun diri kuat menahan kungfu dan sepak terajang, namun sampaikah hati melihat cahaya mata yang dilahirnya dengan pertaruhan nywa itu diperlakukan begitu juga? Apa salahnya anak-anak itu? Apa dosa mereka? Mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan!


Cerai hanya satu perkataan. Satu makna juga. Namun, entah bagaimana trauma yang perlu ditempuhinya. Ataukah, dia masih lagi tertanya-tanya keputusannya itu benar-benar terbaik untuknya? Ketika seisi keluarga bergembira dengan kedatangan menantu baru, bagaimana isi hatinya?

Hanya dia yang tahu. Hanya dia yang rasa. Kita hanya mampu memandang. Hanya mampu simpati.

Rabu, 17 Disember 2008

Geng 12

Ni dia Geng 12 yang "pecah belahkan" rumah ayah dan Mek di kampung. Mereka n i buatkan Mek selalu naik angin dengan kenakalan yang sukar dikawal. Mereka juga buatkan orang tua tu ketawa geli hati hingga tergolek-golek. Jom, berkenalan dengan mereka...




Anak-anak abang sulung

1. Shafix: Tidak terdapat dalam gambar. Sejak baligh, dia dah jadi pemalu padahal sebelum ni kira boleh tahan jugalah dia "gila glamour" nak masukkan muka dalam mana-mana gambar.


2. Ain



Comel bila bertudung. Petah berbicara. Lazer bila komplen termasuk komplen Mek yang selalu kenakan pakaian yang tidak "matching" dengan tudung. Bila datang anginnya nak melawa, mengalahkan model...hmmmmm



























Anak-anak kakak








1. Along Fatin
2. Angah Nazahah bersama Fahim

3. Fahmi
4. Fahim
5. Najman


Macam baru mendarat je....hu hu hu




















6. Siti












































Kecik lagi pun dah pandai bergaya. Macam-macam aksinya bila nampak aku nak snap muka dia...












Anak-anak Adik






1. Along Amirul
2. Angah Fahmi








Mereka tak boleh duduk jauh, tapi...tak boleh duduk dekat juga. Orang kata, jauh merindu...dekat nak bercekau!












3. Haikal
4. Hakim






















bersama Pak Su mereka.










Raya Lepas...beginilah aksi mereka

















Teman sebergaduhan. Tapi, kalau susah tu sama-sama tolong. Gambar ni aku paling suka, sayangnya blurr sikit.





Bermacam ragam bila semuanya berkumpul.

Tiada dalam gambar: Shafiq, Hakim & Haikal


Bila semua dah ada, Mek boleh dapat darah tinggi hu hu hu...










Selasa, 16 Disember 2008

Cinta itu...




Semalam baru balik dari Kuching. Aku selsema sebelum pergi sana lagi. Di Kuching, aktiviti yang padat, berada jangka masa yang lama dalam aircond dan cuaca yang tak menentu sebabkan selsema itu bertambah berat. Tekak mula perit dan sakit. Dan hari ni, kepala kian memberat.
Jadinya...hanya ini sahaja mampu kutulis sebagai update blog ini.
Harap sabar ye, nanti aku akan cerita keindahan Kuching ya...

Rabu, 10 Disember 2008

Belalang Goreng



Pernah makan belalang goreng?
Sedap belalang goreng ni. Berbanding sambal ikan bilis, belalang goreng lagi sedap. Tak ramai orang pernah rasa belalang goreng, tambah lagi pada zaman serba maju dengan pelbagai makanan lazat yang boleh dibeli di mana-mana sahaja.

Dulu-dulu, selalu juga kami masak belalang goreng. Teringat zaman dulu-dulu ni, ungkit balik nostalgia yang orang zaman sekarang banyak tak lalui. Macam dah tua sangatlah pulak rasa diri...hu hu hu...tak apa, di hati aku tetap 18 tahun.


Bukan semua jenis belalang boleh dimakan. Bagi yang tinggal di kawasan bendang padi, mungkin pernah rasa atau tahu tentang belalang goreng ni. Hanya belalang minyak atau belalang beras yang ada di kawasan sawah padi singat aku boleh digoreng dan dimakan. Belalang jenis lain tak tahu pulak boleh dimakan atau tidak.

Biasanya belalang jenis ini banyak didapati pada musim menuai ataupun pada musim menanam padi. Kalau musim menuai lebih mudah diperolehi kerana belalang terperangkap bersama padi yang dimesin jentera penuai. Jadi senang saja mengutipnya. Kalau musim menanam, terpaksalah tangkap seekor demi seekor di kawasan sawah padi. Belalang ni jinak bila musim hujan. Senang saja tangkap. Mungkin dia juga kesejukan.

Sayap dan kaki belakang belalang akan dibuang. Bagi yang besar saiznya, kepala juga akan dicabut. Isi perutnya akan terkeluar sekali dengan kepala. Bahan-bahan yang digunakan untuk masaknya juga simple sahaja. Hanya bawang merah dan putih, cili, sedikit santan pekat dan garam sahaja. Goreng belalang yang telah dibersihkan itu tanpa minyak hingga kekuningan. Setelah itu masukkan semua bahan dan kacau hingga garing dan rangup.

Apa kata mencuba makanan eksotik ni? Kenalah belajar tangkap belalang dulu dan...mana nak cari belalang minyak ya?



Masak Lemak Siput

Pernah rasa masak lemak siput bendang?

Rupa siput bendang berbeza sedikit daripada siput yang dikutip di kawasan pantai. Lebih comel dan gemuk. Disebabkan siput tu kecil sahaja, susah sikit nak ambil gambarnya. Kamera tak boleh folus memang itulah kelemahannya. Apa daya tak boleh banyak komen, maklumlah kamera pinjam hu hu hu...

Siput ini warnanya hitam. Banyak didapati di kawasan sawah padi terutamanya pada musim tanam padi. Masa balik kampung beberapa hari lepas (masa tulis ni pun, aku masih lagi berada di kampung menikmati deru monsun timur laut. Tiap hari hujan lebat, sepanjang masa langit mendung je. Best bila makan ubi kayu rebus dengan kelapa parut...kena mintak Cokek belanja ni hu hu hu ...), kebetulan ada siput yang ayah dah kutip semasa bersihkan parit di bendang. Jadinya, sebelum Aidiladha, mak masak lemak siput tu.

Beza masak lemak siput yang selalu dijumpa di KL atau tempat lain, masak lemak siput di tempat kami dimasukkan daun kadok. Jadi rasanya lain sikit.

Petangnya, Along Fatin, Angah Nazahah dan Angah Fahmi telah diajar cara untuk potong bontot siput. Malam tu, meriah seisi rumah dengan gelagat anak-anak buah aku makan nasi dengan siput. Bising bunyi mereka sedut siput. Pengalaman baru bagi mereka. Tak sempat nak snap gambar, semua dah licin!

Selasa, 9 Disember 2008

Dialog Maut


i
Angah: Janganlah bawa laju...excident nanti susahlah.
Aku: Kenapa pula angah susah?
Angah: Angah ni belum besar lagi...belum pun UPSR. Belum kahwin lagi ni...

ii

“Benci aku ada anak semua lelaki. Tak pernah nak main elok-elok...gaduh saja kerjanya!”

Dialog itu dilafazkan sepupuku, seorang guru. Usia kami sama. Dua tahun kami sekelas semasa sekolah menengah dulu. Berpuluh tahun dia mohon ke Maktab Perguruan sebelum diterima masuk. Sebelum Posting dia berkahwin dan kini punya 3 orang anak. Semuanya lelaki.

Aku terkedu saat mendengar tutur itu sebenarnya. Namun, situasi tidak begitu sesuai untuk kunyatakan seayat dua kata-kata lazer ke telinganya. Allah tak bagi aku kesempatan untuk lukakan hatinya kala itu. Tidakkah dia sedar yang dia punya dua kesempatan yang tidak aku miliki? Bergelar isteri dan ibu, sedang aku belum tentu lagi punya kesempatan untuk kedua-dua atau salah satu daripada gelaran itu.

iii

Fahmi: Abah kata tak boleh makan kacang.
Aku: Kalau makan?
Fahmi: Kalau makan...akan mati.

Tak pasti cara mana paling sesuai untuk disiplinkan anak agar berpantang makan kacang. Fahmi (6 tahun) alergik dengan semua jenis kacang. Sejak diberitahu dia akan mati kalau makan kacang, dia memang tidak makan kacang walau sedikitpun. Walaupun neneknya memujuk “Raya tak apa, Tuhan tak bagi mati,”, namun dia tetap juga berpantang.

Persoalannya, dia takut mati atau cuba elak alergik itu?

Sepanjang Perjalanan...


Dalam perjalanan pulang ke kampung untuk Aidiladha, aku ditemani dua orang anak buah, Along dan Angah. Awal-awal lagi Angah dah tanya, jam berapa kami akan sampai. Jangkaannya jam satu petang, namun, beberapa hal sebabkan jadual asal terganggu.

Awal perjalanan, mereka tidur. Dikejutkan jam 5.05 pagi, dah tentu mengundang kantuk untuk anak-anak seperti mereka (11 dan 10 tahun). Bila dah bangun, dah sarapan pula dengan bekal roti bersalut tuna (nudget yang kubeli semalam untuk bekal mereka tidak dapat digoreng kerana kehabisan gas. Jam 5 am, tiada kedai gas buka. Jadinya, nudget itu kubawa balik mentah sahaja. Karang dia orang mintak nak goreng kat kampung nanti, tak perlu aku kalut ke pasar raya mencari), sepanjang jalan ditemani pula celoteh mereka.

Along tak banyak cakap berbanding Angah yang banyak komen itu ini. Asal sahaja meter mencecah 100 km/jam, mulutnya bising beri amaran. Bayangkanlah perjalanan lebih 500 km dengan kelajuan 80 km/jam, entah berapa lama baru boleh sampai. Aduhhhhhh!

Berikut antara dialog yang berlaku antara kami;
Aku: Baru 100 lah, Angah. Meter ni ada 180...masih banyak lagi belum guna. 180 baru kira laju.
Angah: Kena ikut had laju di papan tanda...
Aku: Mana ada papan tanda!
Along: (ketawa) Jalan ni tak ada papan tanda had lajulah, Angah.
Angah: Nanti excident...
Aku: Tak boleh ke excident?
Angah: Kalau excident, Angah tak bertanggungjawab!
Aku: Apa pulak angah tak bertanggungjawab. Kalau polis tanya, nanti Cik Na cakap angah yang bawak kereta laju...

Kami ketawa serentak.
Angah: Janganlah bawa laju...excident nanti susahlah.
Aku: Kenapa pula angah susah?
Angah: Angah ni belum besar lagi...belum pun UPSR. Belum kahwin lagi ni...

Tak terkata aku dibuatnya!

Aidiladha di Rumah Kami

Bila musim raya sebegini, peluang untuk bertemu muka dengan sanak saudara. Masa inilah berkumpul ramai-ramai dan saling kunjung mengunjung. Biasanya rumah kami jadi “port” untuk anak-anak buah ayah dan mek. Sebab itu aku jarang ada peluang untuk jalan-jalan pergi mana-mana untuk beraya. Terperuk di dapur untuk siapkan hidangan tetamu dan kemas semuanya bila tetamu dah balik. Nasib ler jadi orang bujang!

Sebab itulah tiap kali raya, mesti ada sesuatu yang boleh mengenyangjan perlu dihidangkan. Biasanya adik akan buat nasi minyak pada Aidilfitri. Namun pada Aidiladha, macam biasalah, daging qurban akan dimasak sebahagiannya untuk dijamu kepada tetamu. Menu tetap kami tiap tahun: singgang tulang, kari daging, perut, daging goreng, acar mentah, ada kalanya masak kicap. Jadilah aku bibik yang akan hidangkan kepada mereka, kemaskan, basuh semua pinggan mangkuk dan segalanya. Satu badan berbau lembu!

Tiap kali Aidiladha juga, rumah kami akan jadi tempat untuk acara korban. Sebabnya, ayah memang akan cari lembu sekor dua dan jualkan bahagian-bahagian kurban itu kepada anak-anak buah atau kenalannya. Tahun lepas dua ekor lembu, namun tahun ni hanya sekor saja. Jadinya, setiap tahun rumah kami akan jadi “port” untuk acara tersebut.

Masa inilah peluang bertemu sanak saudara, sepupu sepapat, pak sedara tok sedara dan netah berapa tahap pupu lagi. Sambil borak, umpat itu ini, sambil sama-sama buat kerja. Kaum wanita sibuk di dapur memasak. Bila lembu dah tumbang, beberapa kilo daging diambil untuk dimasak. Biasanya yang ringkas sahaka. Goreng, singgang. Adakala buat kari. Bila kaum lelaki yang siang (lapah) daging lembu dah selesai kerja mereka, masakan dah siap. Dah sedia untuk dimakan.

Hidangan pertama daging kurban akan dinikmati beramai-ramai. Walaupun masakannya simple sahaja, tapi...bila perut dah lapar, penat melapah daging pula, tambah lagi makan beramai-ramai begitu, bertambah sakan semuanya. Hinggakan, nasi ditanah tak cukup. Perlu ditambah jerang seperiuk lagi. Memang meriah. Begitulah tiap tahun bila Aidiladha di rumah kami saban tahun.


Banyak ni lah jumlah sebahagian daging kurban. Freshhhh tu....


Isnin, 8 Disember 2008

Ketupat Pisang Untuk Raya

Ni makanan kegemaran aku tiap kali raya. Kalau tak ada, memang tak sah. Macam tak raya je... 


Cara Buat Ketupat Pisang
1. Beras pulut dikukus.
kukus pulut
kukus pulut



2. santan pekat dicampur garam.

masukkan garam dalam santan
masuk garam dalam santan
pokok pisang
Daun pisang kelat lega
3. ambil siap-siap daun pisang awak (kelat lega) dan layur atas api biar layu sikit


4. Pisang kelat lega (awak) di belah dua
5. Pulut akan digaul dengan santan hingga sebati, kemudian dikukus semula. setelah itu, Pulut akan digaul dengan santan dan gula. 

buah pisang
pisang kelat lega masak
masukan santan ke dalam pulut kukus
Gaul santan dalam pulut6. Pulut dibungkus dengan daun pisang. Letakkan pisang yang telah dibelah dua di tengah-tengahnya.


Bungkus dalam daun pisang
Membungkus
mengikat pulut
Ikat berdua
ikatan
Siap ikat
ketupat pisang
Sedia Terhidang
rupa ketupat pisang
Rupanya dah masak...yumy!



Lekapkan dua balutan pulut dengan temukan kedua-dua bahagian daun yang berlipat supaya berada di tengah-tengah dan seterusnya ikat dengan tali.


Rebus atau kukus lebih kurang 2 jam.



Sedia untuk dimakan. Selamat mencuba.

Ahad, 7 Disember 2008

Keropok



Bila balik kampung, macam-macam aktiviti dibuat. Banyak perkara dilakukan. Balik raya kali ini aku pergi ke Pasar Tani di pekan. Sepanjang hari hujan renyai yang sesekali lebat. Ingatkan bila cuaca sebegitu, tak ramai orang akan sesakkan pasar tani yang diadakan setiap Sabtu itu. Rupanya andaian itu tidak benar belaka. Sesak teruk kawasan pekan yang terlalu sempit dan tidak banyak kawasan parking kenderaan itu. Hampir sejam aku pusing keliling cari parking. Nasib baik Mek dah turun awal-awal lagi.

Suasana dan kesesakan di pasar tani tidak dapat aku upload sebab cuaca memang hujan. Cahaya tak cukup dan suasana memang tak sesuai untuk aku petik picu kamera.

Petangnya aku ke gerai jual keropok untuk beli berkilo-kilo keropok keping (ikan dan udang). Bila musim raya macam ni, orangmemang ramai beli. Kalau tidak beli awal-awal, risau aku tak punya banyak masa lagi untuk datang beli. Persiapan raya belum buat lagi. Esok pula nak kena tolong Mek buat ketupat pulak. Jadinya, hanya hari ni aku ada masa untuk beli keropok tu.


Adik yang jual keropok tu bukan saja manis, tapi pandai pula layan pelanggan. Mesra. Buat lawak bodoh pun dia buat selamba je layan. Kalau orang lain dah sah lah aku kena marah. Orang kelantan ni memang terkenal dengan peramah tapi...tahap baran tu tinggi juga. Tambah lagi kalau kita tawar harga barang dia banyak sangat tapi tak ambil. Boleh naik angin. Menakutkan!

Bagi sesiapa yang nak beli keropok losong atau keropok keping, bolehlah ke gerai adik manis tu. Gerainya terletak di tepi jalan antara Batu 10 dan simpang Chengal, jalan Kota Bharu – Kuala Krai. Di gerai ni juga ada dijual sos pencicah, keropok segera dan keropok lekor. Harganya lebih murah sedikit dari di pasar Ketereh. Hari ini adik itu jual keropok ikan dengan harga RM7.50 setiap kilo (di pasar Ketereh RM8 sekilo), manakala keropok udang RM7.00 sekilo.


Selamat menikmati keropok. Sedap juga bila dimakan musim hujan begini!






Rabu, 3 Disember 2008

Selamat Hari Raya Aidiladha







Hari ni dan esok aku dapat MC. Lusa aku dah cuti untuk balik kampung bagi meraikan Aidiladha.
Jadinya...dikesempatan ini, kuhulurkan sepuluh jari memohon kemaafan andai terguris hati dengan patah kataku, tercalar rasa dengan lawak senda. aku tak sengaja ya...






moga kita semua akan sentiasa memberi dan memaafkan. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha, maaf zahir batin.




P/s: kalau nak dengar lagu-lagu raya, dengarlah Klasik Nasional. Depa dah start pasang lagu raya....






Hari OKU Sedunia






Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Diisytiharkan oleh PBB pada 19 Oktober 1992 dengan menetapkan setiap 03 Disember adalah hari orang kurang upaya. Kabinet dalam mesyuaratnya pada 12 Oktober 1994 telah mengesahkan 03 Disember setiap tahun sebagai hari kurang upaya peringkat Kebangsaan. Dianggarkan 1% rakyat negara kita adalah terdiri daripada golongan Orang Kurang upaya.

Prihatinkah masyarakat kita dengan golongan OKU? Luangkan sedikit masa dan tanyalah diri anda. Prihatinkah anda? Sedarkah kita tentang keperluan mereka terhadap sedikit bantuan kita yang sihat walafiat dan bertenaga penuh ini?

Cekalkan dia? Semangatnya tinggi.

Sebelum ini, akupun hanya punya sedikit keperihatinan sahaja tentang keperluan mereka. Satu ketika dahulu, seorang pelajar OKU pernah luahkan rintih hatinya tentang kesukaran untuk pergi ke perpustakaan. Bayangkan, mereka belajar di university, namun sukar untuk menggunakan kemudahan perpustakaan. Bila kuajukan kepada pihak perpustakaan, mereka kata ada disediakan lif. Akupun cubalah cari lif yang dimaksudkan itu. Hasilnya…deng deng deng…aku yang berupaya penuh ini pun tak akan gunakan lif di laluan tersebut. Gelap. Tersorok. Dan pastinya tak selamat. Apatah lagi golongan OKU.

Sejak jatuh tangga, beberapa kali juga aku keluar di Bangi dengan bertongkat. Taklah rasa malu sangat. Mungkin sebab hanya sementara sahaja. Namun, aku mula sedar tentang reality kehidupan golongan OKU ini. Kemudahan yang ada sangat sedikit mesra OKU. Kalau anda hadapi kesukaran untuk menapak di anak tangga, melangkah longkang atau memanjat bendul yang tidaklah besar halangannya untuk orang normal tetapi payah benar dihadapi OKU ini, kesukaran itu terpaksa anda tanggung sendiri. Banyak mata hanya sudi memandang.

kemudahan yang ada banyak yang tidak mesra OKU. Tak ada niatpun mereka nak susahkan kita.

Kalau anda perlu tolak pintu, maka tolaklah sendiri. Kalau naik tangga, anda akan diasak dari belakang supaya bergerak dengan lebih laju. Kalau ke pasaraya, awasilah kaki sendiri kerana orang-orang normal seperti kita ini suka sepak kaki orang OKU. Kalau naik kemudahan awam seperti komuter atau LRT…terpaksalah anda serbu masuk atau keluar seperti orang yang normal. Kalau lambat anda akan dirempuh. Di dalam train pula belum tentu anda akan dapat tempat duduk walaupun kerusi khas untuk golongan ini memang ada. Namun yang duduk dengan gah, hebat dan bangganya di kerusi-kerusi ini adalah golongan normal yang perkasa dan cantik manis.


Itulah hakikat yang terpaksa anda hadapi bila jadi OKU. Kalau ada sesiapa yang sudi hulurkan bantuan, atau sisihkan jalan untuk anda lalu, tahulah kita bahawa orang itu memang benar-benar berbudi. Orang sebegitu dah mula pupus di Malaysia yang tercinta ini. Dan orang sebegitu itu pula terdiri daripada anak-anak sekolah yang menelaah ilmu pendidikan moral di sekolah dengan tekun. Ataupun juga seorang nenek yang dia sendiripun memerlukan tempat duduk itu. Tahu kenapa nenek itu prihatin dengan OKU sebegini? Sebabnya dia juga alami kesukaran yang sama. Dan dia rasa, kala itu dia lebih sihat dari orang yang dia tawarkan tempat duduk itu. Pelik bukan?


Mereka mudah letih walaupun aktiviti yang dilakukan taklah sebesar mana.


Jadi, hari ini, 3 Disimber 2008, sama-samalah kita lakukan perubahan. Prihatinlah dengan keperluan orang kurang upaya. Selagi anda sihat walafiat, mampu menguruskan diri dengan sempurna tanpa bantuan orang lain, bersyukurlah. Lahirkan kesyukuran dan keinsafan itu dengan membantu OKU. Sedikit sahaja bantuan anda, begitu besar maknanya bagi mereka.

Aku tak mintak diri ditolong sebab aku bukan OKU. Cedera kakiku sedikit sahaja. Seminggu dua lagi aku sudah boleh pergi shooping untuk jualan mega semula. Namun, aku hanya mohon agar sama-sama kita prihatin dengan OKU. Mereka sedaya mungkin cuba untuk berdikari, namun kudrat adakala tidak sebesar harapan. Apa salahnya kita membantu, kalaupun hanya sekecil bukakan pintu untuk mereka masuk. Atau beri laluan untuk mereka keluar atau masuk dahulu ke dalam train. Mudah sahaja kan?

Dostana II




Semalam aku MC. Korang mesti ingat kaki aku masih tak mampu untuk diangkatkan?


Kakiku memanglah masih belum sihat sepenuhnya. Masih bengkak. Masih lebam. Masih perlu disapu minyak dan diurut. Masih terkial-kial lagi untuk berjalan. Hari Isnin, aku kerja. Malamnya kaki bengkak kembali. Tidak termasuk outstation ke Alor Star pada Jumaat dan kembali Sabtu malam. Ahad, beberapa kali kedua-dua belah kaki kuurut hingga kurang bengkaknya. Namun bengkak itu kembali semula apabila banyak berjalan pada hari Isnin.

Jadinya, pagi-pagi lagi semalam aku jumpa doktor. Dapat MC satu hari. Ingatkan dapatlah 3 hari, bolehlah aku bermaharajalela lagi kat rumah dan layan lagu Hindi. Aku dah kemaruk rehat hu hu hu!

Aku dah bosan terperuk macam jeruk kat rumah. Tahu apa aku buat masa MC sehari, semalam? Aku pergi tengok filem Dostana di Capsquare. Mesti korang tak percaya kan? Ataupun ada yang gelak sampai golek guling-guling di lantai. Ikhlas aku cakap, ni pertama kali aku masuk panggung semata-mata nak tengok filem hindi. Itupun sebab ada pass percuma. Aku kan suka benda FREE ni...hu hu hu

Masuk saja panggung, dah pastilah hanya kami sahaja Melayu kat situ. Lainnya India, Bangla, ataupun Punjabi. Tak ramai yang menonton, tak sampai separuh tempat dudukpun. Hari kerjakan. Dan semua yang berada dalam panggung itu benar-benar menikmati filem ini. Dua jam setengah berada dalam panggung tak terasapun. Terpenuh gelak tawa sepanjang masa. Ada sahaja hal yang mencuit hati menyebabkan tawa meletus. Senak perut!
Ini Pass yang aku guna...


Dostana bermaksud persahabatan. Filem ni simple saja, kisah dua orang lelaki yang terdesak untuk sewa rumah terpaksa mengaku mereka homoseksual (gay) sebabnya tuan rumah tak mahu terima lelaki. Akhirnya kedua lelaki ini jatuh cinta dengan si gadis (anak saudara tuan rumah). Macam-macam mereka buat untuk memikat si gadis termasuk memisahkan gadis tersebut dengan kekasihnya. Akhirnya persahabtan juga yang menang.

Lokasinya di Miami. Jadinya, faham-faham sendirilah fesyen bikini yang ada. Macam-macam. Bagi sesiapa yang minat liuk lentuk Shilpa Shetty menari dengan bikini tu, bolehlah tengok. Ataupun, bagi peminat John Abraham yang nak tengok ketul-ketul badan dia macam ayam KFC (ayam KFC ke? Ntah...betullah kot!) bolehlah tengok. Awal-awal tayangan, badannya yang berketul-ketul itu yang ditayangkan sana sini hingga adakalanya hanya berseluar dalam sahaja. Atau juga, kepada yang nak tengok betapa jambunya Abishek Bachchan yang selama ini terlihat macho itu, kali ini melakunkan watak nurse, silalah tonton. Boleh juga menonton filem ini bagi anda yang berserabut kepala otak dengan pelbagai masalah dunia. Aku percaya, keluar panggung nanti, urat kepala yang tegang akan jadi kendur seketika.

Satu je yang aku tak berapa suka filem ni...lagu-lagunya tak nyaman di telinga dan tidak menusuk ke dasar hati. Semua lagu-lagu yang dimuatkan dalam filem ini tidak kena dengan selera aku. Namun, bagi yang gemarkan lagu-lagu berentak laju, berbunyi bising, bermuzikkan rancak, mungkin anda akan temuinya dalam filem ini. Aku lebih gemarkan lagu-lagu yang menenangkan, menyegarkan, mengundang emosi, lebih berentak perlahan dan sentimental. Jadinya, lagu-lagu dalam filem ini tidak satupun yang mengundang siulan di minda (ingat korang je ke pandai bersiul!).
Ini pass yang satu lagi...untuk tongkat sakti.

Walaupun aku dapat pass FREE, ni bukannya promote FREE, sebabnya, aku ni manusia yang susah nak memuji. Komen je tahu, itu biasanya yang selalu jadi rungutan orang terdekat dengan aku. Namun untuk kali ini, aku memang puji menjulanglah filem ni. Sesiapa yang tak tengok memang rugi. Aku tak pasti filem ini akan ditayangkan di TV atau tidak memandangkan pemandangan 18SX yang agak ketara pada peringkat awal filem. Kecualilah dilakukan PEMOTONGAN yang memang ketara akan mencacatkan jalan cerita kerana setiap scane itu saling berkaitan tidak termasuk sebahagian daripada intro dengan kehadiran Shilpa Shetty yang tak berfungsipun.

Biarpun malamnya aku terpaksa ambil masa dua jam untuk urut kedua-dua belah kaki agar bengkaknya berkurangan, apa yang pasti hati memang puas. Benar-benar puas hati. Tak rasa menyesalpun. Terima kasih kepada tongkat sakti aku, merata jalan jelajah semalam walaupun kaki macam ni. Terima kasih tongkat sakti, tak jemu menapak biarpun terlalu perlahan. Tak jemu juga meminjamkan diri tiap kali perlu turun tangga. Tiap kali perlu melangkah bendul. Bendul? Apa-apa ajelah yang korang panggil, asalkan tempat berbeza tinggi itu perlu kulalui dengan lebih mudah.

Nasib baik ada tongkat sakti. Untung kan kalau ada tongkat sakti...

Isnin, 1 Disember 2008

Hari AIDS Sedunia



TANGGAL 1 Disember 2008 merupakan ulang tahun ke-20 sambutan Hari AIDS Sedunia yang mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1988. AIDS adalah singkatan bagi Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. Peringkat ini adalah peringkat terakhir Jangkitan HIV. Pada peringkat ini sistem daya tahan tubuh melawan penyakit dan kanser telah lumpuh. Pesakit akan mendapat gejala jangkitan oportunis dan barah tertentu.

HIV (Human Immunodeficiency Virus) HIV adalah singkatan bagi sejenis virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang. HIV menyebabkan AIDS.

Kes jangkitan HIV pertama telah dikesan pada tahun 1981 di California Amerika Syarikat. Jangkitan ini bermula di kalangan golongan homoseksual diikuti biseksual dan heteroseksual. Kawasan yang paling teruk adalah Sub Sahara Afrika diikuti oleh Asia Selatan (India) dan Asia Tenggara (Negara Thai). Di Malaysia, kes pertama HIV dikesan pada tahun 1986. HIV/AIDS paling teruk berlaku di benua Afrika dengan 5.5 juta daripada 47 juta penduduknya dijangkiti virus HIV, sementara secara keseluruhan sekitar 33 juta hidup dengan HIV/AIDS di seluruh dunia.

Ketiadaan ubat dan rawatan khusus untuk menyembuhkan HIV/AIDS, kos rawatan yang sangat tinggi dan implikasi sosio-ekonomi yang sangat hebat sepatutnya dapat mendorong agar setiap remaja supaya mempertingkatkan pengetahuan yang lengkap mengenai HIV/AIDS. Semua orang tidak terlepas dari bahaya dijangkiti sama ada secara langsung ataupun tidak.

AIDS atau Acquirred Immune Deffiency Syndrome yang disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus), merosakkan sistem pertahanan badan. Akibatnya seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit yang sebelumnya tidak berbahaya, menjadi amat berbahaya selepas jangkitan dan boleh mendatangkan maut. Sehingga kini masih belum ditemukan penawar yang mampu mengubati penyakit ini.

HIV pula adalah virus yang disebarkan secara dominannya melalui hubungan syahwat yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti hubungan homoseksual dan heteroseksual yang tiada pertalian pernikahan. Ia juga boleh disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih najis dadah.

HIV adalah virus yang berjangkit dari individu ke individu melalui peralihan kuantiti tertentu cecair badan yang mempunyai virus tersebut, seperti darah, sperma, cecair vagina dan susu badan. Cecair ini tidak akan berpindah dengan mudah kecuali melalui aktiviti khusus yang berada di bawah kawalan manusia seperti melalui hubungan seks, pemindahan darah tercemar, cucukan jarum tercemar (sengaja atau tidak) atau dari ibu kepada anak semasa mengandung, kelahiran atau penyusuan badan. Terdapat juga kes-kes di mana AIDS dijangkiti melalui pemindahan darah, namun jumlahnya adalah amat sedikit.

HIV yang menjangkiti kanak-kanak selalunya dipindahkan melalui jangkitan ibu semasa mengandungkannya. Namun begitu, sekiranya orang dewasa tidak mempunyai kuman pembawa sudah pasti kanak-kanak juga tidak akan dapat dijangkiti.

Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa kadar jangkitan HIV telah meningkat ke tahap yang tertinggi dalam tahun 2004 dimana dianggarkan sebanyak 39.4 juta orang dijangkiti AIDS diseluruh dunia dan telah membunuh sebanyak 3.1 juta orang pengidapnya.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan statistiknya yang amat membimbangkan. Sebanyak 19 kes baru dikesan setiap hari dengan peningkatan 300% dari tahun 1999 hingga 2003. Sejak mula dikesan pada Disember 1986 hingga Disember 2004, sebanyak 64,439 kes HIV/AIDS dilaporkan, dan daripada jumlah itu, 9,442 merupakan kes AIDS dan melibatkan 7,195 kematian. Majoriti pengidapnya adalah dari golongan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

Acquired': Bermaksud jangkitan yang dipindahkan dari seorang individu kepada lain individu dan bukan diperolehi dari keturunan.

Immunodeficiency: Menerangkan keadaan di mana keupayaan semula jadi badan melindungi dirinya dari penyakit-penyakit dan jangkitan telah sangat lemah dan tidak lagi boleh melindungi dirinya dari jangkitan dan berbagai jenism penyakit dan barah.

Syndrome: Membayangkan gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala berpunca dari sebab/keadaan atau gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala dalam satu kombinasi tertentu sebagai gambaran klinikal satu-satu penyakit.

Antara objektif utama sambutan Hari AIDS Sedunia adalah untuk memupuk kesedaran dalam masyarakat pelbagai peringkat mengenai keperluan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat masing-masing dalam usaha untuk menangani pandemik AIDS. Selain itu, ia juga bagi meningkatkan penglibatan dan sokongan pemimpin dan ketua masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS di dalam dan luar negara. Sambutan ini juga membantu mengingatkan para pemimpin terbabit mengenai janji-janji yang perlu ditunaikan dalam meningkatkan dan meneruskan usaha mengawal penularan HIV dan AIDS.

Islam memandang bahawa menghidap AIDS bukanlah suatu dosa, tetapi perbuatan yang melanggar hukum syara’ dan boleh menghantarkan kepada jangkitan HIV, itulah yang membawa kepada maksiat dan dosa. AIDS hanya akan berkubur sekiranya punca kepada penyakit ini dihapuskan. Dan punca kepada masalah ini hanya akan dapat dihapuskan sekiranya hukum Allah yang suci ini dilaksanakan secara kaffah, bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Dostana







Pagi tadi (Jumaat, 21 November 2008, 8.35 pagi), baru sahaja mata mahu dilelapkan setelah semalaman berjaga dengan membaca, menelaah, menaip dan...main game juga, diri dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Ada pos ekspress menggunakan GDEX daripada Airtime Management. Dah pasti aku tertanya-tanya surat saman daripada siapa. Sebab apa. Biasanya surat sebegitu yang gunakan pos ekspress atau berdaftar. Kalau setakat bil telefon atau bil untuk bayaran masuk jamban setiap hari (IWK), tidak pernah pula mereka membazir sebegitu.

Kata adik itu, tengahari baru dia hantar. Aku pesan siap-siap dengannya supaya ambil masa sikit menunggu disebabkan kakiku ini. Mata terus sahaja lelap sebaik panggilan ditamatkan. Otak sudah tidak mampu untuk berfikir lagi hinggalah mata terbuka semula pada jam 10.45 pagi. Itupun kerana tuntutan perut. Kalau tidak kerana perut yang minta untuk di isi, belum sanggup lagi untuk aku bangkit. Baru dua jam tidur sejak semalam.

Saat selesai mengunyah tiga keping roti bersalut tuna mayonis, adik itu tiba di depan pintu pagar rumah yang berkunci. Terjengkit-jengkitlah aku naik ke bilik mengenakan pakaian yang sopan sedikit sebelum terkial-kial kemudiannya membuka gril dan pintu gelungsur cermin (sliding door). Berbantukan tongkat, langkah tiba juga ke pagar di tengah panas terik itu.

Kala dibuka envelop putih itu, hanya empat keping pass percuma sahaja yang terisi di dalamnya. Filem Dostana. Filem Hindi. Ohhhh, tidakkkkkkkkkkkkkkkk!!!! Mimpikah aku?

Semua yang aku ajak untuk pergi tonton wayang percuma itu ketawa terbahak-bahak. Entah-entah sampai tergolek-golek di lantai. Pertama, sebab mereka memang tak minat tengok filem Hindi. Mereka lebih suka tengok cerita hantu dari industri filem Hong Kong. Boleh ketawa, kata mereka. Keduanya, aku tak pernah pergi panggung untuk tengok filem Hindi. Kalau tengok pun hanya tayangan di TV pada hari Sabtu sebab tak ada tayangan lain lagi yang nak ditengok. Dah tentu mereka ingat aku dah buang tebiat. Baru terseliuh pun dah buang tebiat, apalagi kalau kena sakit yang kaw-kaw boleh pendekkan umur (mulut dia orang memang ada insuran. Ikut sedap je nak cakap apa).

Bila cerita dengan kakak pasal pas percuma itu, kakak pun pelik. Kenapa filem Hindi. Kenapa tak filem Melayu ke, Indon ke, Korea ke, Perancis ke...sebabnya keluarga kami bukannya kaki filem Hindi. Kami memang cukup hairan bila ada orang suka filem Hindi. Menonton filem Hindi tiada dalam budaya keluarga kami. Dulu kakak iparku kaki filem Hindi. Sekarang katanya sudah tidak berminat lagi. Mungkin sebab selalu kena perli dengan abang. Kini, aku akan masuk panggung untuk tengok filem Hindi? Biar betul!!!

Bosan menjalani hidup dengan rehat yang panjang sebegini, jari terlebih gatal dan hantar sms ke siaran Time Radio Highway (THR) yang tiap malam kudengar keasyikan lagu-lagu hindustannya (filem tak berapa suka tonton, tapi lagu-lagunya agak merdu juga didengar sesekali). Sementara siang mendengar Klasik Nasional. THR jadi pilihan pada malam hari hanya kerana pengacaranya yang ceria itu, Gina. Tawanya buatkan dunia terasa indah. Akhirnya aku kemaruk mendengar suaranya. Pelik bukan? Lagi pelik bila cubaan pertama peraduan yang mereka anjurkan itu berjaya. Hadiahnya hanya 4 keping pass percuma filem Dostana. Apapun, terima kasih THR, terima kasih Sendi Mutiara yang jadi penaja.

Asalnya ada juga niat untuk merewang pergi tengok walaupun filem Hindi. Rasanya kalau tak tahan untuk duduk tiga jam di dalam panggung, aku keluarlah. Namun, setelah disemak, hanya beberapa buah panggung TGV sahaja yang tayang iaitu TGV Bukit Tinggi, kelang; Sunway Piramid, PJ dan Capital Square, KL. Memandangkan kaki masih lagi lebam, bengkak pun belum surut, rasanya upaya dan daya untuk gunakan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur itu agak tipis. Jadinya, biarlah pas percuma itu kusimpan jadi kenangan sahaja. Ada sesiapa nak pass tersebut? Boleh dipertimbangkan, kiranya anda berminat. Ini dia rupanya pas itu.
Pass 1

Pass 2



Pass 3

Pass 4

Ni jadual mutakhir filem ni hingga 3 Disember 2008.


Dostana (U) - Hindi

Genre: Komedi


TGV Sunway Pyramid

5:20 PM 11:30 PM

TGV CapSquare, KL

12:30 PM 3:30 PM 6:30 PM 9:30 PM

Masih ada dua hari lagi untuk gunakan pass ni ....

Dell Inspiron 1420

Impian untuk miliki komputer riba sendiri sudah lama terpendam. Terlalu lama sebenarnya. Bertahun-tahun yang lalu. 2004, ada “seseorang” menyatakan padaku yang dia terima tawaran dari kawannya yang kononnya berkerja dengan Kastam Diraja Malaysia untuk pasarkan komputer riba jenama Accer dengan harga yang murah. Konon-kononnya barang rampasan kastam kerana elak cukai. Harga asal komputer itu mengikut pasaran semasa sekitar RM6 ribu hingga RM7 ribu. Untuk kami harganya tidak sampai RM3 ribu.

Sayangnya, kami tidak boleh beli satu sahaja kerana ianya dipacking (tiga atau lima unit-sudah lupa yang mana satu. Maklumlah, dah tua kan...) setiap sekotak. Jadinya, terpaksalah mencari beberapa orang lain yang nak beli komputer riba sama. Dipendekkan cerita, aku berjaya cari 5 buyer (termasuk diri sendiri) dan kumpulkan RM7500. Bila tiba masa untuk dapatkan komputer riba itu, berjuta alasan yang kuterima. Kalah citrawara ataupun cerekarama di TV jalan ceritanya. Kalau difilemkan kisah itu, boleh jadi box office wa cakap luuu...dan akhirnya, merangkaklah aku berkerja siang malam, buat part time sana sini mencari duit untuk mengganti wang pendahuluan yang telah diambil itu. Dan diri pula, untuk pertama kali dalam sejarah hidup digelar Sang Penipu.

Kata orang, seseorang manusia itu akan dikenang dengan kesilapan yang dilakukan biarpun silap itu hanya sekali. Namun silap itulah yang akan disebut berjuta kali. Silap itulah yang akan diulang-ulang, bukannya bagaimana orang itu belajar daripada kesilapan itu. Baiknya yang dilakukan sehayat akan terlupakan. Itu kata orang. Entah betul, entahkan tidak. Sama-samalah kita tengok nanti ya. Bila aku dah mati nanti, tolong sms bagi tahu apa yang manusia atas muka bumi ni cakapkan pasal aku. Jangan risau, nanti aku bawa “Orang Kuning” (bukan itik ya) masuk liang lahad sama. Line mesti clear punya! (Sah-sah DIGI marah aku ni...jangan kena saman udah ler, memang tak mampu nak bayarpun!)

Dan kini, setelah empat tahun berlalu, Allah berikan kesempatan untuk kumiliki jua harta ini. Bonus yang dianugerahkan sebelum Aidilfitri dahulu dengan sedikit top up pada bulan berikutnya membolehkan impian ini menjadi nyata. Terima kasih Pak Lah, berikan kami bonus sebulan. Terima kasih Malaysia yang aman makmur, berikan kesempatan untuk kakitangan kerajaan dapat bonus sebulan gaji. InsyaAllah, aku akan kerja bukan sahaja untuk kerajaan Malaysia, namun demi Islam, demi anak bangsaku (Terlebih patriotik lah pulak...tapi, memang macam itulah kira-kiranya. Sebab itu, aku paling tak suka orang Malaysia tak sedar diri yang burukkan negara Malaysia yang kucintai ni. Nak aje hantar orang yang tak bersyukur macam tu ke Iraq. Okey tak idea tu?)

Sekalipun komputer riba ini tidaklah secanggih mana, namun ia telah jadi “kesayangan hamba” yang menemani sepanjang malamku. Warnanya biru. Jenama Dell Inspiron 1420. Isi perutnya seperti berikut;

Microsoft Windows XP
Version 2002 Service Pack 3
Intel (R) Pentium (R) Dual CPU
T3200 @ 2.00 GHZ
1.99 GHZ, 1.99 BB of RAM


Sepanjang seminggu terlantar di katil, DIA telah temaniku dengan setia. Diiringi lagu-lagu merdu yang adakalanya kudengar bersama siaran radio di sebelah. Nak tengok dengan lebih jelas, beginilah rupanya dari pelbagai sisi.











Macam-macam warna ada...pilih mana yang berkenan di hati....

Sekali tengok, macam dah berkenan ni...















Charger dia simple dan mudah. siap dengan getah untuk ikat wayar. nampak kemas.

cute je beg dia