Isnin, 4 Mac 2013

Takut Nak Baca Akhbar


Semenjak dua menjak ni, nak baca akhbar, sama ada online atau bercetak pun dah rasa semacam. Kalau tengok akhbar online tu, penuh satu muka utama berkaitan pencerobohan suluk di Lahad datu dan serangan hendap terhadap anggota polis di Semporna.

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. 5 pegawai dan anggota PDRM yang terkorban dalam satu serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Semporna adalah:

1. Supt Ibrahim bin Lebar, Caw Khas, Bukit Aman.
2. ASP Micheal Padel, Caw Khas, IPD Semporna
3. Sjn/D Baharin bin Hamit, Caw Khas, IPK Sabah
4. Sjn Aziz bin Sarikun, BN 14 PGA Tawau
5. Kpl/S Salam bin Togiran, IPD Tawau
6. L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, BN 14 PGA Tawau



Pegawai polis yang masih menjalani rawatan di Hospital Tawau adalah Insp Mohamad Hasnal bin Jamil yang mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan dan di beberapa bahagian badan. Walau bagaimanapun, keadaan beliau dilaporkan stabil.

Kita doakan semoga beliau cepat sembuh.


Sidang video mengumumkan senarai korban serangan hendap di Semporna;



Video sidang akhbar serang hendap anggota polis di Semporna [Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah] boleh dilihat dalam entri sebelum ini.

Al-fatihah. Semoga roh wira-wira negara ini ditempatkan di kalangan orang beriman dan dicucuri rahmat.

Takziah kepada keluarga mendiang ASP Micheal Padel, pengorbanan beliau sentiasa dikenang.

Kalau baca akhbarpun boleh sebabkan hati tak tenteram, apalagi bila baca sms khabar dari keluarga dari sana.

Silalah jangan politikkan isu kemanusiaan dan nyawa sebegini. Kasihankanlah sebegitu ramai penduduk yang hidup dalam ketakutan dan tidak tenteram di sana. Kasihankanlah keluarga mereka di seluruh Negara yang sentiasa sahaja dalam kebimbangan dan keresahan. Kasihankanlah pasukan keselamatan yang sanggup menyabung nyawa untuk pulihkan keamanan. Kasihankanlah ahli keluarga mereka yang sentiasa mengharapkan mereka kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Cukuplah dengan kesilapan lalu yang mencetuskan suasana ini. Cukuplah dengan orang-orang tertentu yang tidak ada rasa cinta kepada Negara sendiri dan sanggup jadi pengkhianat itu, semoga mereka ini dilaknat.

Marilah kita sama-sama berdoa agar suasana tegang dan tidak aman yang berlaku di Timur Sabah ini berakhir dengan segera dan tidak mengorbankan lebih banyak nyawa. Sama-sama kita doakan keselamatan penduduk dan saudara mara kita di sana dibawah lindunganNya. Doakan juga semua pasukan keselamatan sentiasa selamat dan berhasil bawa balik kejayaan misi ini.

PsssT: SMS abang pagi tadi buatkan susah nak telan liur. Tiba-tiba je terbayangkan mereka semua: Terkenangkan kakak, Teringat Ira, Aisyah… 




Video Sidang Media Serangan Hendap Anggota Polis di Semporna


SIDANG MEDIA KPN: PERKEMBANGAN TERKINI 03 MAC 2013 9.00 PM Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut kepada enam orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Hj Omar berkata enam anggota kumpulan bersenjata itu juga terbunuh dalam kejadian pukul 8 malam di perkampungan atas air itu. Dalam operasi 'menyelamat' yang dilancarkan hari ini dan berakhir kira-kira 7 malam, Tan Sri Ismail berkata polis turut berjaya mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari Kampung Sri Jaya Simunul itu, boleh tengok dalam rakaman di bawah;



Dalam sidang media kira-kira 9 malam di Felda Sahabat, Kampung Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu dihantar ke Hospital Semporna.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin. Salam takziah kepada semua ahli keluarga. 

PssssT: Ya...daku memang wartawan tak bertauliah. Namun, setiap entri ini sebenarnya catatan untuk diri sendiri, untuk dikenang kemudian hari.  Dalam setiap entri ini harapannya hanya satu: cepatlah tamat. bukan hanya sebab ada abang dan kakak di Semporna, tapi juga untuk negara yang aman. 

Bila ada orang yang dekat dengan kita berada dalam situasi bimbang dan tidak aman, hati kita juga jadi tak aman, tidak tenteram. 



Ahad, 3 Mac 2013

Bila Semporna Bergolak Hatiku Berbolak Balik Tak Keruan


Sebelum buat kerja semalam pada waktu yang dah agak tengah malam, aku buka FB dulu untuk tengok apa-apa yang terkini. Tak ada apa-apa yang menarikpun. Namun bila baca akhbar online di Sinar harian dan berita harian, ada kemaskini yang sangat mengejutkan. Buat jantung nak berhenti berdegup pun ada. Rasa kering darah sekejap.

Aku tulis entri Seorang Lagi Polis terkorban di Semporna dengan hati yang bercampur baur.

Masa pergolakan berlaku di Lahad Datu, aku buat tak kesah sahaja sebab jaraknya ke Semporna lebih kurang 150km. Pada aku jarak itu agak jauh juga, dah tentu mereka tak buat hal di Semporna pulak. Namun, bila seorang lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap, hati aku dah mula tak sedap.

Waktu tu jam dah dua belas tengah malam. Abang dan kakak biasanya tidur awal, jadi kalau aku telefon pada waktu sebegitu, memang akan sangat mengganggu. Tambahan pula, selepas telefon aku buat hal tempoh hari, aku belum save nombor abang dalam telefon baru. Sangat cuai bukan?

Pagi tadi berkesempatan telefon abang. Belum tanya apa-apa lagi, dia dah beritahu “abang, kakak dan adik-adik sihat dan selamat kat sini. Pagi tadi kami datang Tawau”.

Suara abang tak ceria macam selalu. Kedengaran juga suara orang penat. Dah pasti semalam dia tak lena tidur dan berjaga sepanjang malam. Tapi aku bersyukur bila dengar suaranya. Dari jauh, hanya mampu berdoa agar semuanya akan tamat dalam waktu yang singkat. Agar mereka yang berada di Tawau, Samporna, Lahad Datu dan Sandakan boleh hidup dengan aman dan selamat.

Agak banyak maklumat yang aku dapat tetapi tak akan aku tulis di sini atas dasar menjaga kerahsiaan maklumat. Ada baiknya pesanan ini kita ambil perhatian;





Sama-sama kita doakan pasukan keselamatan kita yang berada di sana berada di bawah lindungan Allah selalu. Sebagai manusia, hati rasa sangat pilu masa aku tulis entri;


Kepada sebilangan manusia yang suka politikkan semua perkara dalam dunia ni termasuk nyawa orang, Cukup-cukuplah tu. Kalau tak kena kat mereka, selagi itu tak serik. Selagi tu tak cuba berubah. Belajarlah lebih sensitif sedikit. Bukan semua perkara layak dipolitikkan.

Berikut adalah sidang media dilakukan Ketua Polis Negara tentang OPS Sulu;


Kecik nak baca ek? Ok aku salin semula:

Sidang Media oleh YDH Ketua Polis Negara 3 Mac 2013 (Ahad), menyatakan bahawa dalam OPS SULU ini terdapat 3 kejadian iaitu yang pertama kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu di mana keadaan terkawal dan penceroboh berada dalam kepungan pihak keselamatan kita, PDRM dan ATM berkerjasama untuk menamatkan konflik ini. Setakat ini polis telah berjaya menangkap 3 penceroboh yang cuba melepaskan diri dari kepungan polis di Kampung Tanduo.

Kejadian kedua ialah yang berlaku di daerah Kunak di mana maklumat diterima terdapat satu pendaratan penceroboh di antara Kg. Lormalong dan Kg. Dasar Lama. Seramai 10 orang disyaki orang asing, 3 daripadanya bersenjata dan kini bersembunyi di sebuah rumah. VAT 69 telah dihantar untuk "ground assesment" dan bertindak.


Seterusnya kejadian ke 3 pula berlaku pada 2 Mac 2013 jam 1830hrs. Di mana sepasukan anggota polis telah diserang hendap oleh suspek dengan menggunakan senjatapi sewaktu mereka membuat serbuan di kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Serbuan tersebut telah dijalankan berikutan maklumat diterima dimana penjenayah ini dipercayai berada dikawasan tersebut dan mempunyai senjatapi. Dalam serbuan itu, dipercayai 5 orang pegawai/anggota polis terkorban manakala dipihak penceroboh 2 orang terkorban. Berikutan insiden ini pihak polis juga telah mengepung kawasan sekitar di mana penceroboh ini bersembunyi. Butir-butir lengkap pegawai/anggota polis yang terkorban belum dapat didedahkan buat masa ini bagi menghormati keluarga mangsa.



Subhanallah. Korban dah meningkat ke angka tujuh. Lima lagi perwira negara gugur semalam. DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan sebagai syahid. Aminnn. Takziah kepada seluruh keluarga mereka.

PsssT: Sesiapa yang pernah dan mengetahui tentang Semporna, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau akan mengerti mengapa kita wajar sangat bimbang dengan apa yang berlaku ini.

Video penduduk kampung berpindah bila penceroboh berpecah dan menawan penduduk kampung





Seorang Lagi Polis Terkorban, Pencerobohan Di Lahad Datu Merebak Ke Semporna?


Kalau dilihat jaraknya 150km, jauh juga untuk mereka berpecah dan bergerak dalam kumpulan kecil begitu. Namun, apa-apapun boleh jadi bila ada keinginan dan kesungguhan. Namun, pihak berkuasa mengatakan kedua-dua situasi ini tidak ada kaitan. Kononnya di Semporna libatkan kumpulan Abu Sayaf. Aduhhhhh! Pening esey!

Dianggarkan jam 8 malam semalam (hari ni dah berubah tarikh kan?), telah berlaku pertempuran antara pihak berkuasa dan para penceroboh di Semporna Sabah. Berikut pengesahan PDRM melalui FB;

YDH Tan Sri Datuk Seri Ismail bin Tan Sri Omar mengesahkan bahawa telah berlaku satu kejadian tembak menembak susulan daripada pemeriksaan oleh pihak polis ke atas sebuah premis di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira jam 7.30 mlm tadi.

Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu. Setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang.

Dalam kejadian tembak menembak ini, beberapa anggota polis dilaporkan tercedera. Butiran terperinci akan dimaklumkan dari masa ke semasa - FB PDRM.

Keliru juga sebenarnya bila baca akhbar dan FB PDRM. Yang sama hanyalah Semporna, kampungnya berbeza pula. PDRM kata kejadian berlaku di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, manakala akhbar melaporkan kejadian berlaku di kampung Selamat, Semporna. Entahlah labu! Gamaknya kampung tu berada di sempadan antara kedua-dua kampung ini.

Difahamkan juga penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Lahad Datu dan Semporna itu dua tempat yang berbeza, jaraknya lebih kurang 150km. Jadi, bila berita ditulis secara bersama, menggambarkan bahawa kedua-dua tempat ni macam kampong bersebelahan sahaja. Ke aku je yang salah faham? Entahlah!

Komen aku: Bila Semporna yang jaraknya agak jauh juga itu turut bergolak, hati jadi tak tenang. Moga-moga abang & kakak serta anak-anak selamat. Moga-moga mereka tidak terlibat dalam kancah pergolakan ini. Tengah-tengah malam buta begini, tak selesa pula nak sms atau telefon. Tunggu ajelah esok pagi ya…



Sabtu, 2 Mac 2013

Gambar Ketibaan Jenazah Komando Polis Yang Terkorban dalam Pencerobohan Sulu di Lahad Datu


Entri ini aku buat khas untuk mengenang jasa dan sebagai penghormatan kepada dua orang perwira Negara iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud yang gugur mempertahankan Negara dalam kejadian tembak menembak di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama para suhada. Aminnnn. Takziah juga kepada seluruh keluarga mereka.

Kumpulan penceroboh Sulu dipercayai seramai lebih kurang 180 orang termasuk 30 orang yang bersenjata api yang di ketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Semua kejadian dan peristiwa berdarah ini boleh baca semula di entri berikut;




arwah Inspektor Zulkifli Mamat dan arwah Kopral Sabaruddin Daud



arwah Inspektor Zulkifli Mamat dan arwah Kopral Sabaruddin Daud Bersama keluarga tercinta


Ketibaan jenazah dinanti dengan rasa sayu




Penghormatan terakhir dari dua orang wanita yang sangat kuat: isteri dan ibu


Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Aminn.




Semua gambar-gambar diambil dari FB PDRM.

Lebih banyak gambar-gambar selepas ketibaan jenazah dan penghormatan terakhir daripada kaum keluarga arwah Zulkilfi Mamat dan Sabaruddin Daun boleh dilihat di blog Bulan Purnama.




Jumaat, 1 Mac 2013

Kenyataan Media PDRM Bertempur Tentera Adik Sultan Sulu


Jam lima petang tadi, pihak berkuasa PDRM telah membuat sidang media berkaitan pertempuran yang berlaku antara pihak berkuasa dengan penceroboh yang mendakwa diri mereka tentera kesultanan sulu di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Boleh baca entri sebelum ini tentang serangan penceroboh dan video serangan penceroboh kampung Tanduo berkaitan.

Bagi mengelakkan salah tafsir, maka aku salin dan tampal sahaja kenyataan sidang media berkenaan yang aku kutip dari FB PDRM, seperti berikut;

LAHAD DATU: Sidang Media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah

LAHAD DATU, 1 Mac 2013 jam 6 petang - YDH Dato' Pahlawan Hj. Hamza Bin Taib PJP Sabah, telah mengadakan sidang media berkaitan kejadian tembak menembak yang berlaku di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Menurut YDH PJP Sabah, kejadian tembak menembak tersebut bermula pada jam 9.59 pagi (1/3/2013-Jumaat) dan telah berakhir setengah jam kemudian selepas 5 orang anggota Pasukan Gerakan Khas bergerak untuk mengetatkan kawalan kepungan di sekeliling Kg.Tanduo di mana kumpulan penceroboh Sulu seramai lebih kurang 180 orang termasuk 30 orang yang bersenjata api yang di ketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram yang telah di kepung sejak 9 Feb lalu.

Menurut YDH PJP Sabah lagi, semasa 5 orang anggota Pasukan Gerakan Khas sedang mengetatkan kawalan kepungan telah terserempak dengan sekumpulan penceroboh tersebut di mana kumpulan penceroboh tersebut telah melepaskan tembakan kearah pasukan Gerakan khas yang telah memaksa mereka membalas tembakan.

Tambah YDH PJP Sabah lagi bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan, Pasukan Keselamatan kita telah mengawal dan bertahan di sepanjang keluasan 10 km persegi dan pihak polis juga telah berjaya merampas sejumlah senjat api dari kumpulan tersebut.

Ekoran dari kejadian tembak menembak ini, YDH PJP Sabah telah mengesahkan 2 orang daripada Pasukan Gerakan Khas kita telah meninggal dunia sementara 3 orang lagi mengalami kecederaan yang kini dirawat di Hospital Lahad Datu dan Sandakan.

Kita harap, semuanya telah berakhir.



Video Pencerobohan Bersenjata Lahad Datu


Berikut tiga video yang tersebar di youtube berkaitan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina kononnya diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Dua orang komando kita telah disahkan maut dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata ini di Kampung Tanduo, Lahad Datu tengahari tadi. Kedua-dua wira Negara tersebut adalah Insp. Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud. Walau bagaimanapun terdapat kekeliruan tentang status Kopral Azman Ampong yang dikatakan pihak media turut terkorban sama, yang sebenarnya beliau hanya mengalami kecederaan.


DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmati. Amin. Takziah kepada seluruh ahli keluarga mereka.

Rakaman video suasana di Lahad Datu, Sabah dari laporan stesyen TV Filipina.




Dalam Bahasa Tagalog





Sebenarnya, video ini lebih menarik.
Agaknya siapa yang muat naik video ini? Ada sesiapa boleh terjemahkan?




Pihak berkuasa lebih ramai dikerah ke sini memandangkan Lahad Datu menangani situasi tegang ini walaupun menteri pertahan dan menteri dalam negeri kita kata keadaan masih lagi terkawal. Perdana menteri kita pun kata situasi masih lagi aman dan terkawal. Walaupun ramai blogger dan khabar angin maya kata berlaku perintah berkurung dikuatkuasakan di Lahad Datu, pihak berwajib mengesahkan bahawa tidak ada arahan perintah berkurung dikeluarkan.

Kejadian tembakan dimulakan pihak penceroboh kira-kira jam 10 pagi tadi. Dalam kejadian berbalas tembakan itu, 2 orang komando dan 12 orang penceroboh telah maut, manakala 3 orang anggota keselamatan turut cedera. Pihak berkuasa turut merampas M-16 dan pelancar roket.

Marilah sama-sama kita doakan semoga keadaan ini berakhir dengan segera. Sayangilah Negara kita.


2 Komando Maut Di Kampung Tanduo, Lahad Datu



Walaupun Lahad Datu tu nun berada di seberang laut sana, dah pastilah masih lagi dalam kedaulatan undang-undang Malaysia. Bila ada kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina kononnya diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram dan  berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, perut tiba-tiba rasa macam senak.

Banyak perkara pulak berlegar dalam batu gemala ni yang tak mampu nak jawab sendiri. Macam peliklah pulak macam mana semudah itu mereka boleh menguasai tanah kita. Bukan seorang dua pulak tu. Beratus.  

Sejak tengahari, dah tersebar berita yang lagi tak sedap untuk di dengar. Dua orang komando polis khabarnya terbunuh di Kampung Tanduo Lahad Datu setelah terkena serangan mortar ketika sedang berkawal di satu daripada pos yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu.

Para wartawan melihat mayat dua anggota keselamatan diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu. FBPDRM mengesahkan bahawa dua orang komando polis telah terbunuh dalam kejadian tembakan mortar berkenaan. Pihak Polis akan mengadakan sidang media di Lahad Datu kira-kira 5 petang ini berhubung operasi pasukan keselamatan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu.

Jam 2 petang tadi, pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar dari kawasan berkenaan kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku. Insiden tembakan berlaku setelah tamat tempoh rundingan dan kumpulan ini pula enggan meninggalkan kawasan itu setelah berkubu di situ lebih tiga minggu dengan membuat beberapa tuntutan.

Tiga minggu tu lama. Bayangkan  ketakutan dan rasa tak aman penduduk kampung yang perlu berdepan dengan situasi ini. Siang malam tidur tak lena.

Sama-sama kita doakan ketegangan yang berlaku ini dapat diatasi dengan sebaiknya pihak berkuasa kita. Moga tidak ada lagi berlaku pertumpahan darah. Kedaulatan Negara tanggungjawab kita bersama tak kira parti politik apa yang kita sokong ya. Sila sayangi Negara sendiri.





Petua dan Tips Tuntut Hutang Cara Islam

Pernah tengok Rancangan Kalau Dah Jodoh di Astro Aosis yang dikendalikan Ustaz Kazim Elias? Berikut adalah Promonya;




Apa hukumnya seorang suami yang gagal memberikah nafkah yang halal kepada keluarganya. Video di bawah ini adalah petikan Rancangan Kalau Dah Jodoh di Astro Aosis yang dikendalikan Ustaz Kazim Elias dalam siri berjudul Hukum Suami Gagal Beri Nafkah Halal Kepada keluarga.

Gaji sebulan RM1800 tetapi; Guna telefon pintar Samsung harga RM2 ribu, Guna TV LCD 3D, Peti ais besar yang boleh muat anak, melancong setiap bulan. Gaji hanya RM1800, tetapi gaya hidup macam gaji bulanan RM81 ribu. Ini menyebabkan ramai orang mula berhutang, termasuk hutang Along.

Ramai orang pernah hadapi masalah apabila memberi hutang. Masalah paling utama adalah bagaimana cara untuk mendapat semula atau menuntut hutang berkenaan. Ramai jugak rupanya kaki hutang yang liat nak bayar hutang.

Andai kalian juga hadapi masalah sama, silalah dengar rakaman ini. Pada minit ke 5.00 hingga minit 6.02, Ustaz Kazim Elias ada bagi petua cara mengutip hutang dari orang yang tak nak bayar hutang kita tu, cer dengar;



Menurut Ustaz Kazim Elias, petua supaya peminjam duit tu bayar hutang kepada kita; baca surah Yaasin. Pada setiap sebutan perkataan “mubin”, berhenti seketika dan berdoa sambil menyebut nama orang yang berhutang dengan kita tu. 

Setiap kali bacaan kita bertemu dengan perkataan “mubin”, maka kita akan berdoa sambil menyebut nama orang berkenaan.

Terdapat sebanyak 9 Kali sebutan perkataan “mubin” dalam surah Yaasin. Jadi kita akan berdoa sambil menyebut nama malaun yang liat nak bayar hutang dengan kita itu. 

Kepada rakan-rakan yang berhadapan dengan masalah kesukaran menuntut bayaran hutang, bolehlah mencuba cara ini. Jom ramai-ramai kita pakai cuba!



Khamis, 28 Februari 2013

Jambatan Putrajaya Runtuh


Lebih kurang jam dua petang tadi, satu kejadian jambatan runtuh berlaku di laluan Putrajaya Link selepas Plaza Tol Putrajaya Lebuhraya Elite berhampiran Selangor Science Park 2. Aku baca berita mengejutkan ni di ondscene



Secepat siput babi melakukan aksi kayuhan lentang kononnya nak jadi Juara Langkawi de Tour 2013, aku terus cari maklumat dan jumpa berita singkat di Sinar Harian berkaitan hal ini. Jambatan itu rupanya masih lagi dalam pembinaan di Selangor Science Park 2 Interchange, antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya / Cyberjaya di Lingkaran Putrajaya. Jambatan yang runtuh itu merupakan lebuh raya sambungan ke Putrajaya dan ia di bawah kawal selia PKNS.



Walau bagaimanapun tiada laporan kemalangan jiwa kerana jambatan tersebut masih ditutup untuk kegunaan awam. Maklumat lanjut, kita tengok berita perdana malam ni.

Harapnya, tak adalah spekulasi macam-macam ya walaupun dah mula laju je spekulasinya kat FB dan mana-mana hu hu hu 



PDRM Sahkan Penipuan Panggilan Antarabangsa


Aku salin terus dari FB PDRM lah ya…biar maksudnya tak terpesong.

PERINGATAN PENTING: PDRM mengesahkan bahawa hebahan mengenai kod panggilan telefon antarabangsa tertentu, yang berupaya menyalin maklumat dan mengenakan cas yang tinggi kepada pemanggil adalah sahih. Orang ramai diingatkan agar tidak membuat panggilan kembali terhadap nombor luar negara +375602605281, 37127913091 atau mana-mana nombor yang bermula dari +375, +371 atau 081 (missed call/panggilan yang tidak dikenali).

Panggilan tersebut boleh membuatkan pemanggil dikenakan caj yang tinggi (premium rates) dan semua maklumat yang berada didalam telefon bimbit akan diambil sepantas 3 saat termasuk maklumat bank dan kad kredit sekiranya maklumat tersebut berada di dalam telefon bimbit.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak menerima dan mengikut mana-mana arahan hyperlink yang diterima dari sumber yang tidak pasti atau diragui. Sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah siber.

Sumber imej daripada Facebook 1Sabah



Baguslah dah ada pengesahan dari pihak PDRM, maknanya maklumat ni boleh disebarkan secara berleluasa. Sekarang ni telefon bukan sahaja telefon, banyak fungsinya. Bukan sahaja ada nombor telefon, macam-macam nombor ada. Kalau ada telefon pintar tu, macam-macam dokumen pula disimpan.

Dua tiga minggu lepas, (sebenarnya bulan lepas) aku ada juga terima panggilan dari nombor pelik ni. Aku memang jawab pun panggilan tu, tapi tak ada dengar suara sesiapapun. Lebih lah jugak dari 3 saat tu, kalau nak anggarkan, lebih kurang setengah minit juga. Tiga empat kali lah kiranya aku dok helo-helo tak ada siapa nak jawab tu.

Tapi aku bersyukur sebab masa tu isi kepala telefon aku tak banyak bendapun ada. Hanya ada no telefon (bila mereka sedut maklumat dari telefon kita, nombor-nombor telefon yang ada dalam telefon kita pun kena sedut sama. Itu sebabnya mereka boleh dapat banyak nombor untuk disedut dan ditelefon lagi) sahaja sebab telefon lama aku tu dah nazak asik pengsan je memanjang.

Awal minggu ini, aku ada juga terima panggilan dari nombor-nombor sebegini. Sekali dering aje pun, terus senyap. Dah tahu memang ini cara menipunya, buat tak tahu aje.

Harapnya, maklumat ini akan tersebar dengan lebih meluas. Kongsikanlah maklumat ini seluas-luasnya kepada semua rakan, kenalan dan kaum keluarga. Semoga, kita bukanlah antara mereka yang malang menjadi mangsa mereka. Insha Allah.


Ini Bukan Blog Seks Luar Tabii


Ohhhhh sangat tak comey letak tajuknya di atas, apa lagi pada hari Khamis sebegini kan? Esok dah Jumaat, patutnya hari ini tajuk-tajuk kekeluargaan seperti merapatkan hubungan keluarga, meningkatkan rasa cinta suami isteri atau tips keluarga bahagia, cara mudah dan cepatkan jodoh walaupun secara realnya, aku bukanlah pakar kekeluargaan atau orang yang berpengalaman dalam hal-hal keluarga bahagia. Apalagi kaunselor cinta. Aku sendiripun masih belum jumpa si jejaka hensem idaman gadis Malaya. Entah mana dia yang ensem itu menyembunyikan diri, aku pun tak tahu.

Wahhhhhh! Intro yang panjang mengalahkan pengenalan tulis tesis. Sila abaikan hu hu hu.

Semalam semak kata kunci yang digunakan buat menjengah blog ini. Nak tengok tak?



Memang agak ramai yang datang ke blog ni untuk cari doa mudahkan jodoh dan cerita hantu di asrama. Kadang kala ada juga yang nak cari cerita panas, tetapi yang mereka jumpa hanyalah cerita panas di MAHA sahaja. Cerita panas dan gossip artis adalah juga tempiasnya. Dah tentulah mereka akan kechiwa jiwa raga sebab cerita dan aksi panas yang diingini itu tidak ada dalam blog ni.

Namun, bila mereka cari sesuatu yang diluar jangkaan seperti yang terdapat dalam senarai kata kunci yang jadi tarikan trafik ke blog ini (maaf, rasa tak patut sangat-sangat untuk aku taip semula kata kunci berkenaan), aku jadi keliru bebenor. Sejak bila pulak blog ni jadi blog seks luar tabii?

Entri mana yang mereka jumpa tu? Jom jengah sini; susah jaga anak perempuan.

Semoga dia insaf! Semoga dia diberi hidayah.

Adoiiiiihaii, dah lah baru dua hari kemaskini semula blog, semangat merudum semula bila jumpa hal-hal sebegini.


Kuasa Politik Mahasiswa dan Wacana Sinar siri 17



Wacana Sinar Siri 17 mengupas topik Kuasa Politik Mahasiswa, berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Ahli panel terdiri daripada bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Tun Faisal, penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar.

Moderatornya ialah Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar.

Antara intipati wacana ini mengupas lebih lanjut mengenai isu Auku yang memberikan kuasa politik kepada mahasiswa sekaligus melihat sejauhmana mampu mengubah landskap politik, selain daripada persoalan tentang kewujudan ruang dan peluang yang diberi selaras dengan pindaan Auku yang dipersetujui.

Berikut adalah video rakaman Wacana Sinar Siri 17 berkenaan;

Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 1



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 2



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 3



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 4



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 5



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 6



Wacana Sinar Harian Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa Bahagian 7



Macam mana? Puas hati?
Belum puas…sebabnya, sangkut-sangkut.


Rabu, 27 Februari 2013

Kata Gambaran Diri


Selasa, 26 Februari 2013

Ada Sesiapa Rindu Tak?


 Ada sesiapa rindu tak ni?
bajet retis kekwat sat hu huh u hu

Alahaiiii....tak sampai dua bulan pun bersemangat untuk tak menulis di blog,
tetiba tengah malam semalam terasa sangat rindu untuk menulis
jadinya, tulislah kat FB seringkas dapat macam berikut;



Mmmmm gamaknya berjaya tak untuk berhenti memblog ni?
Berhenti???????
Asalnya memang niat nak berhenti terus,
lama-lama sikit...kononnya dah menulis balik selepas enam bulan
tetiba semalam didatangi rasa rindu yang membuak-buak
hu hu hu hu gimana ya kalau rindu rinduannya menulis blog hu hu hu
mengalahkan rindu jejaka hensem sebelah rumah
Ohhhhh jiwang la sangat!


Khamis, 24 Januari 2013

Sekalipun Hati Rasa Berat


Assalamualaikum,
Selamat menyambut maulidur Rasul. Selamat bercuti.

Terima kasih dengan sokongan rakan-rakan semua. Blog ini sepatutnya sudah diprivatekan (errrr bahasa apakah itu?) Sabtu lepas.

Berikut antara komen yang saya terima;


Namun, tak sangka juga blogger tersohor kak Kujie pun boleh TERbaca blog ni, terkedu seketika.


Lebih dramatic lagi bila dapat komen panjang lebar dari blogger ondscene;


Ohhhh! Saya pengomen tegar di blog beliau yang sentiasa berada di tempat kejadian itu.

Sepanjang tempoh dari 1 Januari 2013 hingga 19 Januari 2013, aku sentiasa teliti trafik yang datang blog ni dan analisis apa yang mereka cari. Nyatanya, walaupun tanpa kemaskini, blogwalking, tinggalkan link dimana-mana blog lain melalui komen, dalam sehari hampir seribu kunjungan yang datang untuk melihat maklumat, bukannya berseronok menikmati kisah pribadi.

Setelah edit sedikit sebanyak apa yang patut, maka kuwakafkan sahaja semua isi blog itu untuk dinikmati dan dimanfaatkan ramai. Nak buang html untuk dibolehlan copy and paste pun malas nak menelaah cecacing tu.

Biarpun blog ni masih kekal terbuka, hati masih belum terbuka untuk kemaskini entri lain. Biarlah daku belajar dari kesilapan diri ini juga. Biarlah ia jadi pengajaran yang amat bermakna. Aku tak boleh paksa orang, hanya boleh paksa diri sendiri sahaja. Paksa hati sendiri sahaja.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam ini cherita. Semoga kalian lebih dirahmati.




Selasa, 1 Januari 2013

Blog Ini Bakal Bertukar Status


Blog ini dah berusia 5 tahun, dilahirkan pada 19 April 2008. Patutnya dah masuk tadika ni.

Selepas 5 tahun menguruskan blog ini dengan penuh kasih saying dan kecintaan, sempena entri yang cantik angkanya ini (1234) aku memutuskan untuk menamatkan usianya di sini sahaja. Pada entri ke 1234.




Bermula 19 Januari 2013 nanti, blog ini akan diubah statusnya ke private tanpa penambahan entri baru lagi (mungkin untuk selamanya).

Sekalung terima kasih kepada semua pembaca yang sudi singgah dan menikmati segala pahit manis kehidupan, kepada anda yang sudi menjadi rakan follower yang sentiasa mengikuti tanpa jemu dan rakan-rakan bloger.

Mohon maaf andai terdapat kekasaran kata yang tertulis, kelancangan bahasa yang tercoret atau sindir pesan andai mengguris perasaan. Daku hanyalah insane biasa yang tidak terlepas dari melakukan silap.

Semoga perubahan status blog ini berikan lebih manfaat kepada seisi alam. Biarpun raya lambat lagi, aku nak mohon maaf zahir batin kepada anda semua. Semoga kalian dirahmati Allah dan 2013 yang b aru kita pijak ini memberi lebih banyak keberuntungan. Amin.

Salam sayang untuk semua.


Selamat Tahun Baru 2013


Dah pun tahun baru, baru sekejab sambut 2012, dah pun datang 2013. Dahpun tinggal 2012 dengan macam-macam kenangan dan peristiwa.

Moga tahun 2013 lebih banyak garapkan kebaikan untuk kita jadi lebih matang. Semoga lebih banyak bakti dan kebaikan bakal dilaksanakan sepanjang 2013 nanti, InsyaAllah.

Teruskanlah perjuangan. Orang yang berjuang tidak mempunyai cukup masa untuk rasa kechiwa.