Ahad, 31 Julai 2011

Resipi Ikan Singgang Kelate Versi Anyss


Hari ni hari skodeng anak bulan
kita akan tahu
Tarikh puasa untuk tahun ni
kita tunggalah ya pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja
Isnin atas Selasa akan mula puasa Ramadhan
Kalau Isnin kan best…tak sabar ni

Sempena Ramadhan nan mulia ni
Apa kata aku bagi resipi paling mudah seanterio alam ni
Sesuai jugak untuk berbuka puasa;
Hidangan berkhasiat untuk perut yang kekosongan sepanjang hari;
Tadaaaaaaaaaaaaaaaa resipi Ikan Singgang
versi aku punya (aku je masak ikan singgang gaya gini!)


Yummyyyyyy Hirup kuah hingga menjilat siku!

Bahan-bahan untuk masak Ikan Singgang

2 ekor ikan kembung sederhana besar, Boleh juga guna 4 ketul ikan tongkol (ikan Aya)
5-6 keping lengkuas
2-3 keping asam gelugur
2-3 kuntum bunga kantan (dibelah dua)- aku sorang je buat ikan singgang letak bunga kantan sebab aku memang suka rasa bunga kantan.
1-2 ulas bawang putih (dimayang)
1-2 ulas bawang merah (dimayang)
1 labu bawang besar yang sederhana (dipotong)
Cili padi (sesedap rasa berapa banyak). Boleh juga letak cili besar.
Tomato kalau suka.
Sayur: seperti bendi, karet, putik jagung, cendawan (ikut citarasa)
Air (sesedap rasa berapa banyak)
Garam secukup rasa


Cara-cara Memasak Ikan Singgang


Masukkan air dalam periuk bersama lengkuas, asam keping (gelugur), bawang merah, bawang putih. Masak hingga mendidih.
Masukkan bawang besar, cili, bunga kantan, garam.
Masukkan sayur (ikut jenis sayur. Kalau karet atau putik jagung perlu masukkan awal supaya empuk. Kalau cendawan dan bendi, dah nak masak baru masukkan).
Masukkan ikan. Didihkan hingga ikan masak dan sayur empuk.
Akhir sekali masukkan tomato dan tutup api.
Tutup periuk. Biarkan tomato masak dengan wap dan air yang panas itu.


Selamat mencuba.

Walaupun orang tak pandang pun masak singgang ikan sebegini, tapi aku paling suka…hingga menghirup kuah srup! srup! Jangan risau kalau ikan tersebut tak dapat dihabiskan terus. Boleh hangatkannya hingga beberapa hari. Kuahnya yang sedikit masam itu akan menyerap masuk ke dalam ikan. Ikan berkenaan sangat sedap kalau digoreng. Dah cuba baru tahu, tapi…awas! Goreng ikan singgang sangat mencabar sebab ikan berkenaan akan meletup-letup masa digoreng. Jadi kena tutup kuali sepanjang masa goring ikan berkenaan. Selamat mencuba!

Sabtu, 30 Julai 2011

Kitar Semula Puisi Ramadhan Tahun Lepas


Ini Entri kitar semula. nak tengok entri asal, sila klik pada tajuknya.



Selamat datang ya Ramadhan,
Kunantimu dalam simpuh malu
dengan wajah tertunduk
dengan pandangan jatuh ke lantai
Sesekali, jemari menyeka hujung selendang
melabuh tutupi muka
selindung duka

Tiada paluan kompang
Menyambut datangmu, Ramadhan
Hanya jendela kecil di sisi tingkap kaca
kukuak luas
menanti teduh rahmatMu pamit
menunggu dingin rahmanMu singgah
Di kamar sepi terselubung rintih ini
setia kutunggu dalam gemuruh memalu dada.

Akulah sang pesalah menunggumu
mohon pengampunan
Akulah sang pelarian menantimu
mohon perlindungan
Akulah musafir sesat dilautan dunia
mohon ditunjuki jalan tanpa liku.

Marhaban ya Ramadhan,
Tanganku terlalu kecil, menadah datangmu
Hati ini terlalu sempit, menanti saat dilapangkan
Jiwa yang terpalit debu ini,
menunggu detik dibersihkan.

Aku rindukan aku yang dulu
Dalam samar Ramadhan
menemukan benderang cahaya
dalam kilau Ramadhan
disuluhi wangi hidayah
Lalunya kali ini
Anugerahilah ia sekali lagi.


Bandar Baru Bangi

Jumaat, 29 Julai 2011

Kenduri Pra-Ramadhan



Hari ni hari Jumaat... Puasa pun dah nak dekat ni…

Subuh-subuh tadi hujan, basahkan bumi bangi buang habuk, turunkan suhu bumi. Turunkan suhu badan dan suhu hati juga. Opsssss! hari ni ramai orang naik angin, gembira dengan Raja Gopal Harimau Malaya. Sejak tengah malam semalam lagi, dah terasa bahangnya. Melintaslah ke manapun di dunia maya, nama Raja Gopal dah popular sakan. Semua orang sebut. Hari ini tentu lagi popular keluar kat paper segala.

Aku sejukkan kalian yang sedang menggelegak rasa dan jiwa dengan hancurnya harapan Malaysia untuk beraksi dalam Piala Dunia 2014 dengan entri ini. Entri Pra-Ramadhan.

Aku terdedah dengan acara kenduri dan majlis kesyukuran sebelum kedatangan Bulan Ramadhan semenjak dua menjak ini sahaja. Sebelum ini aku terkurung dalam tempurung kaca aku sendiri sahaja, tak ada orang sudi bermasyarakat dengan aku (boleh ek alasan tu?).

Sebenarnya agak kekok dan pelik acara kenduri sebegini, namun lama kelamaan secara perlahan dan diserap masuk dalam hidup aku pun. Orang kata, dek terbiasa, dah tak hairan lagi. Kira sama macam budaya buka puasa di hotel-hotel mewah hingga tersandar tak terbangun dek lambakan makanan. lama-lama dah semacam jadi budaya pula.

Kalau kat kampung aku di Kelantan sana (ini kira macam kenangan silamlah ya…sekarang ni dah tak berapa ramai lagi yang buat kot, tak tahulah. Aku kan balik musim raya je, bukan musim puasa) kenduri dan acara makan-makan kesyukuran ni mereka buat dengan berlumba-lumbanya sepanjang masa sebulan Ramadhan itu. Acara buka puasa bersama-sama. Ajak satu kampung kalau buat besar. Kalau kecil sahaja, hanya libatkan rakan-rakan dan sanak saudara sahaja.

Masa kecil dulu, agak kerap juga ayah buat acara kenduri buka puasa ini. Biasanya hanya dihadiri jiran terdekat dan saudara mara yang dekat aje, tak sampai 20 orang pun. Waktu begini, onde-onde atau Puteri Mandi kita orang buat berjeluk banyaknya. Tak pun cendol. Siap kisar beras segala tu…tragis betul, namun, itulah yang indahnya pun. Rindu pulak nak kenduri berbuka puasa ramai-ramai macam tu.

Lepas berbuka puasa tu, ada yang teruskan pula dengan acara solat maghrib berjemaah, bersambung dengan Isyak dan terawih pula. Kalau rumah tak besar mana, mereka akan ramai-ramai ke surau atau masjid berdekatan. Acara sebegini mereka lakukan untuk mengaut sebanyak mungkin kebaikan dilimpahkan pada bulan Ramadhan yang mulia itu. Bukankah memberi makan kepada orang lain dan menderma itu besar pahalanya, terutama pada Ramadhan. Mungkin sebab itu, masing-masing berlumba untuk lakukannya. Jom kita hayati hadis di bawah:

Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR. At Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” Riwayat at- Tirmidzi

Huraian dan Pengajaran Hadis:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

Bila dah lama hidup di bumi Bangi, budaya kenduri pra-Ramadhan semakin kerap aku hadiri. Orang lain yang buat kenduri, aku tukang angkut mulut dok nganga je. Bila semakin kerap aku hadiri dan dijemput, rasa pelik itu sedikit demi sedikit dah hilang padahal sebelum ini aku selalu berkata-kata dalam hati sendiri: Bukankah lebih elok lakukan pada bulan ramadhan?

Apapun, harapnya, orang yang jemput dan buat kenduri Pra-Ramadhan itu juga tetap mendapat pahala dengan budi baik mereka menjemput dan menjamu aku. Ada yang siap bekalkan kurma lagi bawak balik. Asal pasal makan aje, aku memang tak tolak hu hu hu memanglah mulut tempayan kalau bab makan!

Misteri Panggilan Hangit




Bukan Hot FM sahaja panas dengan panggilan hangit
hari ini aku mendapatnya juga
masa tengah dok sebok promosi Meruku, Kerepek dan Popia Simpul Kasih
sempena Aidilfitri 2011 sambil minum pagi
(sekalikan sahaja sarapan, minum pagi dan makan tengahari)
aku dapat panggilan misteri yang hangit
maka, terjadilah perbualan seperti berikut;

Dia: Hello, kira jadilah ya malam ni
(Wahhh jejakan hensem manakah yang telefon aku?)
Aku: Malam ni? Apa yang jadi?
Dia: macam yang kita janji hari tu, kira jadi ya
Aku: Siapa ni? Nak cakap dengan siapa?
Dia: Nak cakap dengan orang yang tengah bercakap ni lah
Aku: Awak salah nombor kot
Dia: Tak ada salah punya, memang dah betul. Ingat ya...jam 3 dah berkumpul
Aku: Hah? (masih blur)
Dia: Jam tiga berkumpul di Stadium Bukit Jalil. Sokong Harimau Malaya ya
Aku: Awak memang salah orang ni
Dia: Tak ada salahnya. Dah betul. Jom pergi sokong Harimau Malaya malam ni. Jangan sokong Singapura
Aku: Errr...
Dia: Lahanatlah kalau sokong Singapura. Ok?

Aduhaiiii. Siapakah orang hensem itu ajak aku tengok bola?
Tiket FREEnya mana?
Kepada semua rakyat Malaysia
marilah sama-sama kita sokong Harimau Malaya
tak kira di mana kita berada

Akhirnya:
Singapura layak ke pusingan ke 3 kelayakan Piala Dunia 2014
setelah mengalahkan Malaysia 6-4 di Bukit Jalil
gol Malaysia kali ini dijaringkan Safee Sali
apapun, tahniah kepada semua penyokong Harimau Malaya
anda memang terbaek!



PSSST: kepada rakan-rakan yang memerluka kerepek, meruku dan Popia Simpul Kasih sempena Aidilfitri nanti, bolehlah buat tempahan segera. Tempahan awal diutamakan bergantung kepada stok. Biasanya minggu kedua puasa dah habis.

Lokasi: sekitar Bandar Baru Bangi, Teras Jernang, Sungai Tangkas, UKM, Sungai Merab, Sungai Ramal, Kajang, Semenyih, Putrajaya, Nilai 3 Dan Nilai.

Tempahan untuk doorgift, cenderahati, kenduri juga diterima. Terdapat diskaun untuk tempahan dalam jumlah yang banyak. keterangan lanjut: kerepekrembow@gmail.com atau boleh tanyakan Cik Rembow di FB Kerepek Rembow.

Khamis, 28 Julai 2011

Apa Boleh Dibeli dengan RM10 Hari Ini



Ini kisah hari Selasa lepas
hari pasar malam di negeri Bandar Baru Bangi ni
disebabkan belum sarapan
walaupun dah jam 5 petang
(kalaulah niat puasa kan elok!)
aku menapak juga ke pasar malam
berbekalkan RM10

nekad dalam hati
hanya sejumlah ini sahaja akan dibelanjakan
untuk hari ini. Nekad!
dan juga beli barang basah beberapa hari
sebelum puasa
Dapat tak?

Boleh ke bawa RM10 ke pasar malam
dan berangan nak beli macam-macam keperluan
hingga seminggu?
macamlah tak tahu harga petrol dah naik
letrikpun dah naik , melompat-lompat bil rumah aku bulan lepas
harga barangan dapur juga dah naik
hanya hujan sahaja malas nak turun
lalunya, masih lagi berangan?

Ok, kita tengok siapa yang KENAAAAAAAA!

mula-mula tawaf pasar malam
nak beli makanan tapi tak tau nak beli apa
singgah di gerai nasi kerabu
ramai orang kerumun
nampak macam sedap
terliur benar tengok solok lada dan daging bakar
bila nampak lalatpun turut kerumun
tak jadi beli
Ampun! aku memang cerewet!

singgah gerai jual mehun sup
adik tu buat-buat tak nampak aje
maklumlah muka memang nampak macam makcik klener
yang tak ada duit...memang tak adapun, bajet RM10 je hari ni
tak jadi beli
terus ke bahagian barang basah
nampak rambutan segar dan elok
RM6 untuk dua kilo
tak cukup nak beli benda lain pulak
rambutan tidak mengenyangkan
lagi tambah dugal isi perut adalah
dah lah belum makan apa-apa lagi hari ini
kecuali air kosong

intai-intai sayur
paling murah 50 sen
itupun dua batang sawi je pun
ambil je lah seikat
cukup kot untuk 3 hari
ambil juga cili padi, tak sedap kalau tak ada rasa pedas
dah seringgit untuk satu piring
kemudian singgah tempat jual ayam
ambil suku ekor ayam yang kecil dah Rm3.90
(entah ayam entah burung gamaknya!)

sambil balik, singgah gerai mehun sup lain pulak
yang tak ada lalat
melayang RM3.50 untuk sebungkus
bila makan baliknya
masih ada ruang longgar boleh diisi lagi dalam perut
kira punya kira
masih berbaki RM1.10
persoalannya: dengan dua batang sawi
dan suku ekor anak ayam itu
berapa kali boleh aku masak untuk isi tembolok?

Mmmmm kena puasa Rejab sebelum Ramadhanlah nampak gayanya kan!
Itulah aku
yang berjaya belanjakan bawah RM10 di pasar malam
paling berprestej di dunia
Salam 1Malaysia!
Errrr bajet 2012 nanti, gaji aku naik tak?
tak pun, boleh dapat bonus dua bulan gaji tak?
Isssshhhh! sampai bila aku nak makan behun kicap je ni!