Anda Juga Mungkin Berkenan

Rabu, 31 Oktober 2012

Menghargai Pemimpin Amanah Dan Tepati Janji


Bila Perdana Menteri Malaysia kita yang terchenta, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang diberikan serta menepati janji, aku memang setuju sangat-sangat. Lebih sejuta kali aku setuju. Kira macam setuju tanpa berbelah bahagi ni…bukan mudah untuk aku setuju aje dengan ucapan PM kita semasa berucap dalam majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini hari ini.

Sekarang ni kan musim pilihanraya dah nak dekat. Jadi kita sebagai rakyat marhaen yang hanya BERKUASA sekali dalam tempoh lima tahun ni perlulah gunakan sebaiknya peluang yang ada. Pemimpin yang tidak pernah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan, wajib disokong oleh rakyat demi kesejahteraan negara. Betul sangatlah kata-kata Perdana menteri kita itu. Aku sokong sepenuhnya. 500% lagi sokongan aku.

Kalau ada pemimpin yang cakap tak serupa bikin tu, atau jumpa kita sekali dalam masa lima tahun tu…baiklah kita lupuskan sahaja. Membazirkan beras je kita simpan pemimpin macam tu. Kita perlukan pemimpin yang kotakan janji mereka, kalau hari ni berjanji nak bangunkan negeri kita, maka sepanjang lima tahun tu kenalah mereka bangunkan sungguh-sungguh. Bukannya dok seluk poket bilang RM je.

Kalau janjinya nak bela rakyat marhaen macam kita, maka dah pastilah kehidupan kita patut dibela, bukan hanya mengharapkan “budi dibalas” sebab kita tak pernah pun minta mereka berjanji untuk bela kita. Mereka berjanji tanpa kita paksapun. Bila janjinya tak mahu naikkan harga petrol, maka tak naiklah. Itu yang dikatakan tepati janji. Kalau janji nak buat lebuhraya, maka binalah lebuh raya. Baru amanah namanya.

Maka seperti itulah juga tentang janji-janji yang lain. Kalau janji mulut masa kempen pilihanraya pun mereka tepati dengan slogan janji ditepati, maka bangga sangat-sangatlah aku yang jadi golongan rakyat marhaen ini agar semua janji yang ditandatangani atas kertas juga tidak dimungkiri. Namapun amanah kan? Namapun tepati janji kan? Kalau janji lisan yang hanya laku di youtube itupun sangat bersungguh-sungguh benar mahu ditepatinya, dah tentulah janji yang dibuat secara bertulis juga terlebih-lebih lagilah kan?

Errr tetiba aku rasa lapar pula. JOMMM, malam ni kita makan capati sambil bercerita tentang kelebihan menunaikan amanah bila berjanji…dah rindu capati dengan ayam ;)






Semuanya Hijau!


Ada berani? Semuanya hijau...dari tiang rumah, dinding, atap...termasuk juga bendera hu hu hu


Video Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2012 Yang HANGAT Itu


Jom tengok!





Anugerah Bola Sepak 100 Plus - Astro Arena – FAM 2012

01. Kelab Terbaik – Sime Darby FC
02. FA Terbaik – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
03. Pemain Harapan Terbaik - Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
04. Jurulatih Terbaik - B. Sathianathan (ATM)
05. Penyerang Terbaik - Nor Shahrul Idlan Talaha (Kelantan)
06. Pemain Tengah Terbaik - Mohd Safiq Rahim (Selangor)
07. Pertahanan Terbaik - Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM)
08. Penjaga Gol Terbaik - Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
09. Anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh - Nor Shahrul Idlan Talaha (Kelantan)
10. Kelab Penyokong Terbaik - Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
11. Pemain Import Terbaik - Marlon Alex James (ATM)

Mmmmmm tak nak komen apa-apa, kang jadi isu pulak hu hu hu 

 


Selasa, 30 Oktober 2012

Generasi kedua Felda terima durian runtuh mulai 10 Nov.


Waaaaaaaa ada berita baik untuk Generasi kedua peneroka Felda ni. Mereka bakal menerima "durian runtuh" sebanyak RM5,000 mulai 10 November. Errrr...kenapa pulak aku yang terlebih berdebar-debar ni?

Pemberian fasa ketiga itu melibatkan peruntukan sebanyak RM563 juta.

Mmmmmmm ganerasi ke tiga felda, sila belanja ya...



Tak Sabar Nak Joli


Dah tak sabar sangat dah nak guna benda ni;




Nak pergi joli di kedai buku dan kedai optomatrist...spek dah lama kena tukar. Tahap rabun dah melampau!

Nak sebat juga spek itam, biar nampak lebih jelita menawan dan rupawan la la la

Alahai...entah bila lah nak pergi ambik ni...Lembah Pantai tu bukannya jauh manapun dari Bangi, tapi bila mengenangkan sesak nak harung pergi sana, kenalah siapkan kerja dulu ya. Sambil pergi hantar kerja dan jumpa penyelia yang kacak hensem gantang tu, bolehlah singgah ambil KADS1M ni. 

Jom sambung edit...kena cepat siap ni, baru cepat dapat ambil kad ni ;)




Mengidam Lah Pulak!


Entah apa ke sebabnya, tak semena-mena teringatkan benda ni;



Yaaaa....sepatutnya pulut kuning dan ayam masak pedas, tapi dek kerana tak ada pewarna kuning, pewarna merahpun jadi lahhhhhhhh!

Orang lain makan pulut kuning dengan rendang, tapi aku lebih suka makan dengan ayam masak pedas @ merah. Pulutnya pulak tak mahu yang tanak punya, tapi KUKUS hu hu hu entah siapalah nak kukuskan untuk aku ni!

Isnin, 29 Oktober 2012

Orang Gedebe Langgar Kereta Peronda Polis



Mood lemau!

Penat tak terkata. Orang Kelantan je tahu macam mana penatnya kalau balik raya masa aidiladha.

Gerak balik kampong Khamis lepas jam 5.45 pagi, terlewat 45 minit. Hanya berhenti masa isi petrol dan solat sahaja. Dan, singgah cari tandas juga. Selebihnya hanya di dalam kereta. Ada masa 20km/j, ada ketika 80km/j tetapi yang tak tahannya bila 0km/j selama berjam-jam di tengah hutan sana.


Jalan 2 hala dah jadi sehala...hebat!

Sepanjang masa balik itu, terdapat tiga kemalangan. Itu yang tambah sesakkan jalan. Orang Kelantan memang gedebe…kereta peronda polispun dia orang boleh hentam sampai penyek huh u hu siapalah yang hebat itu. Kereta peronda pun sampai hati korang langgar ya?

Sampai di kampong halaman dengan selamat jam 8.30 malam lebih kurang. Malamnya, tiga kali betis tersentap-sentap kremm. Aduhaiiii!


Kemalangan di Jln Gua Musang-Kuala Krai...


Ahad, jam 5.30 dah gerak datang Bangi. Alhamdulillah, walaupun kenderaan dah berderet masa kami di jalanan seawal pagi itu, namun perjalanan boleh pecut berapa laju pun nak kalau rasa hebat sangat. Aku? Macam biasa hanya 80km/j hingga 130km/j sahaja. Tiba di Semenyih hantar kakak dan anak-anak jam 2 petang. Lepak sekejab dan pecut ke Bangi. Sampai dengan selamat mendarat atas tilam jam 3.20 petang.


Bentong Jem...perjalanan balik bangi

Malam, mood ke laut lagi. Penat belum habis.
Sekarang? Masih lagi mood nak rehat dan urut betis. Biar tak kremm lagi.





Ahad, 28 Oktober 2012

Mana Satu Suami, Mana Satu Isteri?


Masih lagi dalam suasana raya Aidiladha. Berat rasa hati nak balik bangi semula, apa daya…kehidupan perlu diteruskan. Ceeewahhhh!

Ada orang rindu tak? Ada sapa-sapa rindu tak? Huh u hu soalan bajet retis gitu, walaupun memang dah tahupun tak ada siapa yang nak rindu pun.

Semoga perjalanan sepanjang hari ni lancer dan tak alami kesesakan teruk. 

Untuk kalian, kutinggalkan satu filem pendek yang manis. Bagus filem ni…banyak dapat anugerah tu….rugi tak tengok tau!





Best tak?

Kasihan pak lebai tu, terkebil-kebil tak tau nak kata apa. Tapi hakikatnya, Pak Lebai tu boleh dakwa mereka tau…kesalahannya: “berpakaian menyerupai…” macam kes Kajol dulu tu…


Sabtu, 27 Oktober 2012

Ultraman Terlupa Daaaaaaaaaa


Bila Ultraman lupa nak buat apa...ginilah jadinya;



hu hu hu napelah aku tak pernah tertengok siri yang ni ya...macam kelakar pulak!



Jumaat, 26 Oktober 2012

Labbaik Allahumma Labbaik


Selamat Hari Raya Aidiladha.



Maaf zahir batin.

Khamis, 25 Oktober 2012

Meriahnya Aidiladha di Kelantan


Orang kata, kemeriahan Aidiladha di negeri Pantai Timur terutamanya Kelantan memang tersangatlah meriah. Kalau tanya pelajar kita di Timur Tengah, walaupun mereka berasal dari Kelantan, mereka kata sambutan hari raya Korban di sana seperti Mesir lagi meriah. Lagi meriahhhh? Teringin sangat nak rasai kemeriahan itu...

Sepanjang hidup di perantauan berbelas tahun ni...mmmm bila bilang semula, baru sedar betapa lamanya aku tinggalkan negeri paling miskin itu dan menetap di negeri paling maju, beberapa kali juga sempat sambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sendirian di Bangi. Tahu macam mana rasanya.

Bagi sesiapa yang nak rasai kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan, sebenarnya kat rumah daku je pun, rumah orang lain mungkin bukan macam ni. Setiap tahun, beginilah suasananya. Bolehlah baca entri yang aku pernah tulis tahun lepas. Tahun lepas ek? Ye lah kot!


Walaupun cuti Aidiladha hanya sehari...ramai anak Kelantan serbu balik sanggup bersesak sepanjang hutan di negeri pahang.

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin.



Rabu, 24 Oktober 2012

Anda Pemandu Hebat?



Ya…kalian adalah pemandu yang sangat hebat andai mampu berlumba di jalan ini.
Aku juga sangat hebat kalau boleh memandu di jalan ini… malangnya, aku tidak sehebat itu.



Apalah sangat kan kalau takat memandu ke Ketereh melalui jalan Lipis-Gua Musang kan?

Selamat balik kampong ya kawan-kawan, pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah keluarga yang tersayang menanti kepulangan anda untuk maraikan Aidiladha, bukannya menyambut kepulangan anda bersama kenduri arwah.

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin.


Selasa, 23 Oktober 2012

Video Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin



Dalam entri lepas, ada tercatat tentang Wacana Sinar Siri 15. Hajat di hati memang nak tengok, tapi masa terlalu suntuk. Banyak kerja belum siap lagi dan nak kena buat dengan kadar yang paling laju berbanding siput sedut.

Jadinya, aku kumpul semua video berkenaan dan simpan di sini.
Bolehlah juga kongsikan dengan orang lain yang turut berminat. Selamat menonton.


Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 1




Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 2




Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 3





Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 4






Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 5






Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 6





Kalutnya hidup! Nak tengok benda ni pun tak sempat...entah apalah yang aku dok kejar nak angkut masuk kubur ya. Alahai!





Suara Tak Sedap Pun Nak Nyanyi Jugak


Hati di dalam dah lama menyanyikan lagu ni....dah tak sabar



Hari ni nak balik awal, nak pack bagasi...mmmmm macamlah nak balik sebulan ya tak? 3 Hari je pun!

Ohhhhhh! sangat teruja!

Isnin, 22 Oktober 2012

Wacana Sinar ke 15: Peranan Ulama Tegur Pemimpin


Sinar Harian sekali lagi menganjurkan siri wacana sinar mengetengahkan topik Peranan Ulama Menasihati Pemimpin, pada hari Selasa ini tentang peranan ulama yang arif tentang sesuatu perkara namun tidak menegur kesilapan yang dilakukan pemimpin mereka.

Wacana kali ini akan menampilkan tokoh yang berpengalaman iaitu bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. moderator kali ini masih lagi Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Wacana akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam mulai jam 3 petang. Orang ramai yang berminat untuk sama-sama menyertai majlis ilmu ini boleh menghubungi Laila menerusi 019-3310211, Fazli (019-2808492) atau Rini (019-3371066) untuk keterangan lanjut.

Pernah tengok dulu dua tiga kali, tapi dah lupa tengok kat mana...


Tak Solat Sebab Tengok Bola?


Usahlah prejudis bila libatkan urusan antara insan dan Pencipta. Kita bukanlah sesiapa untuk jadi hakim.

Sejujurnya, aku bukanlah minat sangat pun bola sepak. Apa jenis sukanpun. Namun, aku akan tengok bila perlawanan akhir. Dan aku sentiasa menyokong Kelantan walaupun hanya kebelakangan ini sahaja Kelantan banyak menang. Sebelum ni, tenggelam, namun pada masa itupun aku masih juga setia menyokong.

Dan aku juga tak pernah masuk stadium untuk menonton perlawanan bola sepak. Dalam keluarga kami, benda-benda yang berbentuk hiburan sebegini dianggap buang masa. Namun, kalau ditayangkan secara langsung di TV, kami tengok juga kecuali acara hiburan berbentuk nyanyian. Ayah memang tak suka. Bila dia tak suka, secara automatik, anak-anak tak tengok. Nasib baik drama boleh tengok huh u hu, nasib baik bola dia suka…

Kenapa aku sokong Kelantan? Hebat sangatkah?




Tak kira mereka hebat atau tidak, ada banyak sebab. Pertama memang sebab Kelantan negeri Kelahiran aku. Kedua, walaupun mereka beraksi di padang bola, mereka akan solat Isyak dahulu sebelum turun padang. Dan mereka tak kesah kena kritik disebabkan lambat turun padang semata-mata kerana bersolat.

Lalunya, bagaimana pula dengan puluhan ribu penyokong Kelantan itu?

Perjalanan mereka lebih 500km, jadi mereka layak untuk jamak dan qasar kerana tujuan perjalanan itu bukannya bersifat maksiat. Ke maksiat tengok bola?





Soal solat soal individu. Hendak seribu daya, tak hendak memang seribu dalih. Adakah sebab tak ada surau (walaupun di stadium memang disediakan surau), maka kita beralasan untuk tidak solat? Sebab bolakah kita tidak solat? Semuanya terpulang kepada individu. Tak tengok bola pun, kalau memang tak nak solat, tak akan solat juga.

Andai kita keluar dari Malaysia, masihkah kita mengharapkan masjid dan surau untuk solat? Masihkah kita perlu bersedia dengan telekung putih itu baru nak solat? Kalaulah sebegitu yang kita fikir, betapa sukarnya Islam itu. Betapa susahnya untuk beribadat sedangkan di mana-manapun kita boleh bersolat asalkan tidak diragui kebersihannya.




Bukankah Islam itu mudah?

Maaf andai entri ini mengguris hati, aku sekadar meluahkan sedikit pendapat. Dan pendapat itu bukanlah dari sesiapa. Aku bukannya golongan cerdik pandai dalam bab agama. Namun aku sebolehnya tidak gemar untuk menghukum orang walhal aku sendiri tidak tahupun tentang orang itu. Aku bukanlah hakim untuk menghukum hubungan antara hamba dan pencipta.

sumber gambar: Google & FB





Ahad, 21 Oktober 2012

Untuk Dia Parody


Baru tersepak video ni...comel je dua beradik ni nyanyi hu hu hu




Semua Gol Pasukan Kelantan semasa perlawanan akhir @ Final Piala Malaysia Kelantan vs ATM (3-2) 20-10-12



Bola memang bulat, akan ditendang ke gol lawan, namun usah kita jadi macam bola...sesuka hati je dikejar masa nak, bila dah dapat ditentang pergi.

Meraikan Kemenangan Pasukan Bola Sepak Kelantan

Tahniah Kelantan, tahniah pihak pengurusan pasukan kelantan dan tahniah juga kepada penyokong tegar Kelantan ataupun penonton tak berapa nak tegar pun dengan kemenangan Kelantan TRW menjuarai Piala Malaysia 2012. Kemenangan ke 3 ya untuk tahun ni... memang gomo tak habis!

Kagum dengan semangat anak Kelantan yang memenuhi ¾ Stadium Shah Alam. Berbaloi mereka datang dari jauh, malah ada yang terlibat dalam kemalangan maut. Alfatihah dan takziah.

Masa kemenangan piala FA dulu, aku balik kampung dan datang semula KL keesokannya dengan suasana yang sangat meriah. Aku ada tulis tentang kemeriahan sambutan rakyat Kelantan sepanjang jalan itu di entri Belaja Kecek Kelate Versi Piala FA, namun entri berkenaan dalam dialek Kelantan. Jadi, entri ini akan terjemahkan entri berkenaan ke Bahasa Melayu kerana aku tahu, suasananya akan begitu juga bermula pagi-pagi esok hingga ke petang di sepanjang jalan bermula dari Shah Alam hingga ke Kota Bharu.

Entri asalnya boleh baca di Belaja Kecek Kelate Versi Piala FA, berserta gambar-gambar. Berikut adalah terjemahannya;

Ambo tahu crito ni basi doh
sajo jah nak tunggu sejuk dulu
baru nok royak ko adik kako kita belako
bia demey keboh dulu takot jugok ambo kalu-kalu tok keboh
lamo ker tok cekak minu ai nyo dok mabuk tape tak po lagi
bberaklah kalu mabuk ai sejok gak
mugo tau dok puok kito ni
lorak gaduh tok tetu kalu ado pulok hok panah kok dale

[saya tahu cerita ni dah basi
Sengaja nak tunggu cerita ni sejuk dulu
Baru nak cerita kepada adik kakak semua
Biar demam kebah dulu, takut juga saya kalau-kalau tak kebah
Nanti tak larat minum air kelapa, kalau mabuk tapai masih tidak mengapa
Memang berat kalau mabuk air sejuk
Memang dah tahu orang kita ni
Gopoh gapah tak menentu, akan ada pula yang panas di dalam]

Maso ore pakak dok geger gegok cari baju meroh
hungga gi cari pasa tani, pasa male
ambo pulok dok lorak gaduh nak kelik kaapo
lamo kakloh doh tak kelik
lah kelik dulu masa sambok taho baru
dok ngaro aai boh jugok maso tu
uje dok reti ...kelik tu puh balik krijo hok bena nyo
belang2 tuh jah kelik tengok mok poknyo
gitu lah sokmo pong
bukenyo kelik sebak cuti ko gapo

[ketika semua orang sedang kalut mencari baju warna merah
Berlari mencari di pasar tani, pasar malam
Saya pula kelam kabut nak balik kampung
Lama sangat tak balik
Kali akhir balik masa sambut tahun baru
Harung air banjir juga pada masa itu
Hujan tak berhenti...balik pada masa itu untuk kerja sebenarnya
Terlanjur tu, balik tengok mak ayah
Begitulah selalunya pun
Balikpun bukan sebab cuti]

Ari slaso sebelo bola piala FA ari tuh
ambo kelik sore2..10 menek sebelong puko limo ambo turo dumoh
bedesuk hungga lorak gadoh srupo pok dogo suboh2 sepeie
bereti semeta di petronah dekak tol karok
awa ambo make ari tu, oda neskepe panah getek
nok suruh mato bbuko luah
huhhhh nyo jua neskepe 3+1 tak brapo nok jeliro

[Pada hari selasa sebelum perlawanan bola Piala FA tu
Saya balik seorang je, 10 minit sebelum jam lima pagi saya mulakan perjalanan
Berdesup kelam kabut macam Pak Dogol awal pagi @ awal subuh
Berhenti sekejap di petronas dekat tol Karak
Awal saya sarapan, order neskefe panas sekali
Supaya mata jadi segar dan tak mengantuk
Huh! Dijualnya neskefe 3+1 tidak berapa kena dengan tekak]

Sapa guwo muse puko 9.30 doh
tak bereti mano2 pong, isi minyok jah semeta kerey
pah tu muucut kecik palo2 kelik Ttere
singgoh moh abe make nasik, pkol 2 sapa rumoh
mek ayoh dok tido muko pitu kkejut bruk
tak rajin lagi anok dio ni kelik tak tetu kalu lagu ni
sekalo gak puye rayo jah kelik
puye duye pong tak napok baye huh u hu

[sampai di Gua Musang dah jam 9.30 pagi
Tidak berhenti kat mana-mana, hanya isi petrol di Kuala Krai sekejap
Selepas itu memecut balik Ketereh
Singgah rumah abang makan nasi, jam 2 petang baru sampai rumah
Mek ayah sedang tidur di pintu rumah terkejut beruk
Tak pernah lagi anak dia ni balik macam ni
Biasanya musim perayaan baru balik
Musim durian pun tak nampak bayang hu hu hu]

male bola tu, rama-rama mek, ayoh, abe, kakok ipa, anok sedaro
pakak dok nyorak deper TB belang2 kekoh krepok
belang2 cicoh colek, minum aai kopi
maso tu baru ambo tahu ayoh buleh kena Gaddar
duo ari sebelo tu lagi dio dok tanyo bilo bola
maso maing tu...ayoh dok deper skali
ambo pulok kelik belang2 pecek mek
ari-ari pecek mek, buke sebak ambo reti pecek
mugo ore lamo...dok royak sakik oratlah
lengoh la...pecek jah lah mugo buke sokmo
maso tu jah pong dio nok mmanjo pong
kor lagu mano adik kakok?

[Pada malam perlawanan bola tu, beramai-ramai: mek, ayah, abang, kakak ipar, anak saudara
Bersorak depan TV sambil makan keropok
Sambil cicah colek, minum kopi
Pada masa itu baru saya tahu ayah kenal mana satu Gaddar
Dua hari sebelumnya ayah dah tanya tarikh perlawanan bola tersebut
Masa perlawanan...ayah di hadapan sekali
Saya pulak tengok sambil picit Mek
Setiap hari picit Mek, bukannya sebab pandai
Orang lama...mek beritahu sakit uratlah
Lenguh lah...picit ajelah, bukannya selalu
Masa balik begitu ajelah Mek nak bermanja pun
Ker macam mana adik kakak?]

Hari ahak esok keng tu, ambo kelik Bangi
Kalu ikuk ati, meme lah tok ser kelik lagi
Ssero tok puah kelik ner ari
Nok wak lagu mano, puok kito ni asal negeri hok paling sesok
Kenolah krijo, buke nyo ado ore nak wi subsidi ko ggapo
Ambo pulok buke ado getoh ko tanoh felda ko gapo
Kenolah jadi koli ore sapa mati

[Pada hari Ahad keesokan hari, saya balik Bangi
Kalau diikutkan hati, memang tak mahu balik lagi
Rasa belum puas balik enam hari
Nak buat macam mana, kami asal dari negeri paling miskin
Kenalah kerja, bukannya ada orang nak bagi subsidi
Saya pulak bukannya ada getah atau tanah felda ke apa
Kenalah jadi kuli orang sampai mati]

Ambo sebenanyo nok royak crito
Gapo bendo hok ambo tengok maso ambo kelik Bangi tuh
Mugo duo minggu lepah ambo tengok dale sinar hairan dok pakak royak
Ore kelate ni babir sapa rukah tiang api
Gilo dok kibar ddero meney piala FA
Sajo jah nak wi ambo naik angin

[saya sebenarnya nak bercerita
Apa yang saya tengok semasa perjalanan balik ke Bangi
Dua minggu lepas ada baca dalam Sinar Harian tentang berita
Orang Kelantan ni (ada kata babir tu degil, ada jugak kata maksudnya hengga (tak cukup cerdik) hingga panjat tiang letrik
Gila mengibarkan bendera kerana menang piala FA
Sengaja nak suruh saya naik angin/mengamuk]

Kalu nak tahu hari ahad tu gak, ambo ni...
sekok Sebok kok daley dado dok nok nitik ai mato
Seriya bulu romo ddiri tegok chachey
Bele-bele bedikey bele-bele akak tangey ko sek2 kito
Beley-beley pakat wi lapu...Ddeeru kelik bejujuk jujuk mari alik ulu
Hok mano slisih bowok deero kelate, bowok deero pah
Bowok mace2 deero, hok banyoknyo deero kelate lah

[kalau nak tahu, pada hari Ahad berkenaan saya...
Rasa terharu dah syahdu hingga menitik air mata
Berdiri tegak bulu roma
Sambil berdikir barat, sambil angkat tangan kepada penyokong kelantan
Sambil high beam ...berderet kereta balik dari KL
Berselisih dengan mereka yang bawa bendera kelantan, bendera PAS
Bermacam-macam bendera, bendera kelantan yang banyak]

Kiri kane jale tu pulok budok2 tubik rama-rama
Dok kiba deero kelate, dok pakak akak tange,
dok soorok ko sek2 hok kelik Bukik Jaley
Deeeru kreto besa kecik, baru burok ado blako
Keno sek-sek kito adik kakok hok spooting tu
Pakak wi lapu blako, dok wi hon panje berjujuk-jujuk segenak jale
Hok ambo kagong berdooh tu
sek adek-adek pakat rama-rama Gi Bukik Jaley bowok muto..
tok leh nok baye brapo kali demo tuh bereti isi minyok...
kalu mapuh ko, punoh muto ko...lagu mano nak buak kiro tuh
Sekalo ambo tengok lagu tu puye rayo jah

[di Kiri kanan jalan pula kanak-kanak keluar beramai-ramai
Mengibar bendera Kelantan, angkat tangan
Bersorak kepada kumpulan penyokong balik dari Bukit Jalil
Menderu kereta yang besar, kecil, baru & buruk semuanya ada
Terdapat adik kakok yang sporting tu
Semuanya high beam, bunyikan hon panjang berderet sepanjang jalan
Yang saya kagum sangat tu
Adik-adik yang beramai-ramai bermotosikal ke Bukit Jalil
Tak dapat nak bayangkan berapa kali mereka berhenti isi minyak
Kalau motor mati, rosak...entah macam mana nak buat
Biasanya saya tengok adik-adik konvoi bermotor musim raya sahaja]

Jak Ttere lagi puok2 hok kelik ni dok kiba deero
Sapa aloh ko Kkere jale nok gi Muuse nuh ko lebak pakak tubik belako
Adik kakok kito kecik besa tuwo mudo hok mano tak leh gi tengok Bukik Jaley
Kalu lalu puok2 kito hok mano kelik tu, kiba ddero dok tiyup sruna
Bejujuk-jujuk tu...panje nyo bui hon, kuak nyo ppakat sooorok Geger gegok
Adek2 hok dok tepi jale ni ko kuak kibar deero, ko smangak dok lamba


[bermula di Ketereh mereka ni kibarkan bendera
Di Kuala Krai hingga jalan ke Gua Musang semakin ramai mereka keluar
Adik kakak yang kecil, besar, tua dan muda yang mana tak dapat pergi Bukit Jalil
Bila para penyokong yang balik itu lalu dengan mengibarkan bendera dan meniup vuvuzela
Berderet...panjang ditekan honnya, sorakannya juga kuat
Adik-adik di tepi jalan pula semakin semangat kibar bendera dan melambai]


Ambo ingak sremo tu sapa tubik ko Muuse jah
Masuk Merapoh pong dok ado lagi deero kito,
tinggi pulok tuh pakat dok pacok depe umoh
Nyo rukah apo poho nyo tuh
Budak2 pulok dok paka baju kelate hungga guling bating arok ddero tepi jale
Asa napok jah kreto bowok ddero kelate, berenggoh bokali tanoh dok pakat lokpak
Maso ambo bereti semeta sejik Rauk,
beley-beley make nasik dage berah lemot gula aye pesen kelate,
Geger gegok sek-sek kito bedeerung dereng lalu tepi sejik dok kona kok Liipih
Buke sekak ddero jah puok ni kiba, dok tiyuk sruno geger segenak sor Rauk
Aloh ko Bbetong tu pulok, ambo kelih van ni
Acu tera pakat kelih teh, napok dok palor budok ni wok tubik kok ceremin tu?

[saya ingatkan semua tu hingga di Gua Musang sahaja,
Hingga masuk Merapoh masih lagi terdapat kibaran bendera Kelantan
Ada yang kibarkannya di atas pokok kelapa hadapan rumah
Tinggi pulak pokok kelapa itu
Entah dipanjat apa pokok kelapa tu
Budak-budak pula memakai baju Kelantan, berlari jatuh kibarkan bendera tepi jalan
Bila nampak kereta yang bawa bendera kelantan, bergegar barangkali bumi mereka melompat
Semasa saya berhenti sekejab di masjid Raub
Sambil makan nasi dagang beras lembut dengan gulai ayam masakan kelantan
Bising gempita para penyokong kelantan yang balik ini melalui jalan tepi masjid menulus Lipis
Bukan sahaja bendera yang mereka kibar, bising mereka tiup serunai vuvuzela di Raub
Dalam perjalanan ke Bentong pula saya lihat van ini
Cuba tengok, Nampak tak kepala budak ini yang dikeluarkan melalui cermin?]
Sila ke entri asal untuk tengok gambar berkenaan.

Asa dio napok jah sek-sek kito kelik jujuk alik kolo lupo tuh
Dio pong akak ddero, kiba bejuruh benar
Sek2 kito hok jujuk tu pulok wi lapu, wi hon
Keno hok budok2 jenih naka tu..wak tubik palo, tuboh kok ceremin
Dok bbbalah smula...ooooo laaa, niitik ai mato ambo

[Bila dia nampak kumpulan penyokong berkereta yang balik dari arah KL
Dia akan angkat bendera dan mengibarkannya dengan bersungguh-sungguh
Kumpulan penyokong berkereta itu pula akan beri high beam dan hon
Terdapat juga remaja yang nakal,
keluarkan kepala hingga sebahagian tubuh melalui cermin kereta
saling berbalas kibar bendera, bersorak dan menjerit
menitik air mata saya tengok semua itu]

Toksoh dok royaklah lagu mano, memey tak habih nok kato gapo doh
Kalu lagu ni lah puok kito bersatu semer ha
Kito pakak mmolek, maju senghoti kelate kito
Pakak sikik sorey soko lebuhrayo rakyat
Wi seriya samah sorey jadi doh... seney ko puok kito jugok
Mudoh nak kelik museng rayo...Mudoh nak gi mano mano
Tok soh dok dengalah sek-sek hok dok reti kecek jah tuh
Kalu wi suruh dio wak, gapo jadi tok tahu
Mugo molek, ore buak dok cah keting
Nok nanti dio wak padey mati belang changchang

[tak perlu cerita, memang tidak habis untuk diberitahu
Sekiranya beginilah masyarakat kelantan bersatu dalam semua hal
Saling bersatu, barulah maju negeri kelantan
Saling membantu sedikit seorang menyokong lebuhraya rakyat
Derma lima puluh sen atau seringgit seorang pun dah ok,
Memudahkan kita juga bila siap nanti
Mudah nak balik musim raya...mudah untuk pergi mana-mana
Tak perlu dengar golongan yang hanya tahu bercakap
Kalau mintak mereka ini yang buat, tidak tahu akan jadi tidaknya
Benda baik yang orang buat diboikot
Kalau nak tunggu dia yang buat, akhirnya mati sambil berdiri]


Semua ini berdasarkan pengalaman sendiri ketika Piala FA dahulu ya...



Sabtu, 20 Oktober 2012

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012


Malam ni berlangsung perlawanan akhir @ Final Piala Malaysia 2012 antara Kelantan dan ATM di Stadium Shah Alam.

Sama kuat, sama gagah. Malah timbul konflik identiti jugak dikalangan penyokong sebab ramai orang ATM berasal dari Kelantan.

Tak apa, bola tetap bulat. Gomo tetap gomo. Lawan tetap lawan. Menang atau kalah memang ukurannya, namun paling utama adalah usaha. Perjuangan.

Gomo Kelate Gomo!

Keputusan Perlawanan Final Piala Malaysia 2012 Kelantan Lwn ATM adalah seperti berikut;

Kelantan = 3 [Norsharul Idlan Talaha, Mat Yo minit ke 43, 49, Indra Putra minit 96]
ATM = 2 [Rizal Zamri Yahya, minit 48; minit ke Marlon Alex James minit ke 61]

Juara Piala Malaysia 2012 adalah: Kelantan untuk kali ke 2, setelah berjaya pada 2010

Tahniah kepada pasukan Kelantan, Tahniah kepada seluruh pengeraknya dan tahniah kepada penyokong pasukan Kelantan yang bessstttttt!!!!

Permainan malam ni...aduhai, buatkan jantung berdegup kencang.



30 minit masa tambahan, fuhhhhh…mental penyokong pulak kena kental!





Seorang penyokong bola sepak Kelantan maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain di Kilometer 328 Jalan Raub-Kuala Lipis dekat Raub, jam 9 pagi tadi. Muhamad Saiful Daud, 19, dari Kampung Manek Urai Lama, Kelantan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.  Mereka dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Kelantan bertemu ATM, malam ini.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. 





Perlawanan Akhir Final Piala Malaysia 2012 Kelantan Vs ATM


Malam nanti persaingan sengit Perlawanan Akhir Final Piala Malaysia 2012 Kelantan Vs ATM akan berlangsung di Shah Alam. Berjujuk-jujuk anak Kelantan dari Tanah Serendah Sekebun Bunga akan datang dan penuhkan stadium Shah Alam selain anak Kelantan yang berada di Selangor.

Selepas Kelantan berjaya menyingkirkan Selangor yang merah padam menelan kata-kata sendiri, malam ni kita saksikan pula perlawanan akhir yang aku agak sudah pasti sengit. Sambil tu bolehlah nyanyi meriahkan suasana macam kat bawah ni ya...


Oley Oley Oley Oley...Jom Nyanyi Ramai-Ramai




Sama-sama kita tunggu siapa pemenang yang menjuarai Piala Malaysia 2012...Kelantan ke ATM?

 Keputusan penuh perlawanan akhir @ Final Piala Malaysia 2012






Jumaat, 19 Oktober 2012

Gomo Kelate Gomo!


Hari ni azieazah ajak sokong Kelantan dalam perlawanan akhir @ final Piala Malaysia Kelantan bertemu ATM Sabtu nanti.

Sabtu tu esoklah kan?

Kat FB, Azieazah ada Tanya;





Jadi apa maksudnya gomo?

Kata gomo ni ada banyak maksudnya mengikut situasi tertentu, tetapi untuk situasi ini, maksudnya seperti berikut;

Bersungguh-sungguh dalam apa-apa hal yang dibuat. Kalau makan, maka bersungguh-sungguhlah dia makan. Kalau bergaduh dan belasah, separuh mati dibuatnya. Kalau main bola, maka akan main sampai habis kederat…lawan sampai menang.


Jadi jawapan Azhan Abd Rahman kat FB hampir tepat;





Selain maksud di atas, kata gomo ni juga ada maksud yang lain.

Sebenarnya entri ni nak buat panjang, tetapi batalkan saat akhir huh u hu … Selamat bergomo!




Bukan Semua Orang Bersedia Untuk Belajar


Bersediakah kita untuk belajar? 
Mampukah kita menerima kritikan dan belajar daripada kritikan tersebut?

Selalunya kita akan kata “sila tegur saya kalau ada yang tak kena,” namun bila ada seseorang menegur perbuatan kita yang Nampak tidak begitu kena, bagaimana pula penerimaan kita? Sentapkah ataukah masih lagi berusaha mempertahankan pendirian sendiri?

Kalau kita ini sahabat yang baik, bersediakah menyatakan kebenaran, padahal kita tahu apa yang akan kita katakan itu mencalar hatinya?

Bersediakah kita belajar? Bersediakah kita menerima kritikan? Bersediakah melihat teguran itu secara positif dalam setiap situasi?

Memberi teguran dan menerima teguran memerlukan aura yang positif. Kalau sebelah pihak sahaja positif, akhirnya negatif juga yang akan menjelma. Namun, andai aura negatif si penegur diterima dengan positif oleh si penerima, bukankah akhirnya jadi positif juga?


Khamis, 18 Oktober 2012

Banglo Sedang Ubahsuai Runtuh di Shah Alam


Banglo mewah sedang diubahsuai di Shah Alam runtuh?

Petang tadi, dipercayai tujuh orang pekerja binaan warga Indonesia terperangkap selepas sebahagian banglo mewah dua tingkat milik seorang ahli perniagaan yang sedang dalam proses pengubahsuaian di Jalan Jed 7/5, Seksyen 7 Shah Alam telah runtuh. Kejadian itu berlaku jam 4.30 petang.

Dua daripada pekerja terbabit berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan kini telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Dipercayai masih terdapat tiga lagi mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan tersebut dan salah seorang daripadanya telah meninggal dunia.

Kejadian runtuhan itu disedari Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang juga jiran kepada ahli perniagaan tersebut, yang kemudiannya menghubungi pihak berkuasa.

Untuk maklumat lanjut, jom sama-sama kita tengok Berita Utama malam ni...mungkin ada perkembangan terkini. 




kemaskini:

bumbung sebahagian banglo runtuh

seorang yang terselamat kerana tidak berada di tempat kejadian.



Mayat pertama pekerja warga Indonesia itu dikeluarkan pada jam 6.37 petang tadi.
Sementara itu, tiga daripada tujuh mangsa yang terperangkap dalam kejadian jam 4.30 petang tadi berjaya diselamatkan.

Berikut video dari tempat @ lokasi banglo yang runtuh;