Anda Juga Mungkin Berkenan

Selasa, 30 November 2010

Mmmm Nak Jadi Beruang Kutub Hari Ni

Semalam tidur awal, jam 11 malam dah lompat naik katil. Biasanya paling awal jam 2 pagi aku tidur. Itu waktu biasa untuk aku beradu entah berapa lama semenjak dua menjak ni. Namun hingga jam 12 aku masih lagi guling balik tak lelap mata. Tak tahu jam berapa terlena selepas itu.

Bila jaga pagi tadi, badan masih lagi lesu. Tanda-tanda tidur yang tak berkualiti. Sambung tidur semula hingga jam 9.30 pagi, masih juga lemah rasa badan. Kenapalah pulak nak malas-malas ni? Adakah aku juga seperti dia dan Dina?

Esok dan lusa ada acara rasmi di Hotel Equatorial (malas nak check balik ejaan hu huhu). Kalau aku tak pergi, akan jejaskan kerja orang lain juga.

Hari ini, izinkan aku seperti ini sepanjang hari;



Dan segar bugar semula selepas itu.



Pssst: Dah lama tak dengar Amir jerit meragam nak susu dan nak tidur.

Isnin, 29 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Akhir


Sebab ke Empat mengapa Aidiladha disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Ke Empat: Memasak Dan Jamu Kepada Tetamu

Apabila buat ibadah Qurban, ramai yang ambil satu per tujuh daripada seekor lembu. Maklumlah, kalau nak buat seekor, mana nak mampu kan. Jadinya, kalau anda buat ibadah Qurban di kelantan, anda akan menerima sejumlah satu per tujuh daripada seekor lembu Qurban tersebut. Semuanya. Kalau lembu itu gemuk dan banyak daging, maka banyaklah timbangan yang akan anda terima. Kalau lembu itu kurus kering, maka sedikitlah jumlah timbangannya.

Disebabkan ramai yang melakukan ibadah Qurban ni, maka masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk diagihkan daging tersebut. Kebanyakan daripada mereka memasak dan kemudian menjamu tetamu yang datang. Ada juga membuat kenduri ringkas seperti kenduri arwah, bacaan yasin dan sebagainya. Bagi golongan muda belia pula, mereka akan ajak kawan-kawan dan diadakan acara membakar daging yang akan dimakan beramai-ramai. Ada juga yang buat acara bakar sate. Tak kurang pula yang memberi daging dalam bentuk mentah kepada orang yang berhak.

Tak kira apapun caranya, masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apa yang utama, ikatan dan ukhuwah semakin erat. Sambil bakar daging, sambil bercerita dan bergurau senda. Maklumlah masing-masing dah lama tak jumpa. Ada masa berjumpa dan meluangkan masa bersama rakan-rakan itu yang utama berbanding makan. Daging yang dibakar belum sempat angkat, dah pun hilang ditarik orang. Harapkan kenyang dengan makan daging bakar sebegitu, memang tak berapa nak kenyang berbanding menjamu masakan bersama hidangan nasi, tetapi ikatan dan kemesraan akan bertambah erat dengan cara itu.

Sekarang, sangat sukar untuk mencari orang yang benar-benar layak menerima daging Qurban. Ada masa, ramai yang mengambil kesempatan untuk buat kenduri arwah (memasak) atau buat acara keagamaan yang lain. Pada masa yang sama, sekiranya terdapat sahabat handai dan jiran tetangga yang mempunyai anak yang ramai, tidak melakukan ibadah Qurban, golongan tua yang sudah tidak upaya berkerja, mereka ini juga diberikan daging mentah.


Ke Lima: Hari Pertama Acara Qurban, Hari Kedua Baru Jejalan

Bagi yang menjalani ibadah Qurban, pada hari raya Aidiladha pertama, biasanya mereka akan lakukan ibadah Qurban tersebut. Selepas solat sunat Aidiladha di masjid atau surau, mereka akan ke tempat acara Qurban dijalankan. Ada yang jauh (biasanya mereka akan berkumpul dan ambil bahagian qurban ni bersama rakan-rakan atau saudara mara yang dekat. Jadi, walaupun jauh sedikit, mereka sanggup sahaja pergi.

Biasanya, sepanjang pagi hingga ke awal petang, dalam lingkungan jam dua ke tiga petang, mereka akan berada di tempat sembelihan lembu. Baliknya dengan jumlah daging tertentu. Untuk satu bahagian lembu, biasanya boleh cecah satu besen besar daging dan satu besen besar tulang. Belum masuk kalau ambik kepala atau kaki. Belum juga termasuk perut. Kalau dah termasuk 3 benda ini, akan lagi bertambah. Jadinya, hari ini masing-masing akan sibuk menguruskan daging kurban tersebut..

Bukannya sekejab nak uruskan semua daging itu. Potong besar-besar, tos dan simpan pun dah ambil masa juga. Apalagi kalau nak siapkan perut (usus). Kena letak kapur lagi. Nak kikis kaler hijau rumput rampai yang melekat kat usus tu lagi, kalau yang degil tu…kena celur pulak. Kikis lagi. Kalau kena perut kitab (usus yang dindingnya berlapis-lapis nipis- yang ni lagi best makan sebenarnya), lagilah mencabar minda. Kena selak setiap lapis itu, kikis sampai jadi putih (tak lalu nak makan kalau kaler hijau kehitaman tu masih ada…akan teringat kat isi usus lembu tu sebelum disembelih, tinggi betul imaginasi aku kan?), kemudian rebusnya pula hingga empuk.

Belum kira lagi nak kena kapak dan parangkan tulang belulang supaya jadi kecil dan dibuat sup. Belum campur juga acara masak memasak yang seadanya untuk tetamu dan sanak saudara yang bakal datang. Jadi, paling cepat semua itu selesai pun hingga hampir maghrib. Itupun kalau cekap dan cepat tangan bertindak. Kalau yang lemah gemalai macam aku ni, malam pun masih lagi terhegeh-hegeh potong daging untuk dimasak. Esok baru boleh makan kot! Semua ni dilakukan ahli keluarga sahaja kerana masing-masing sekampung kan melakukan ibadah Qurban. Setahun sekali tunjuk bakat memasak, memanglah lambat. Hari yang lain pakai order je belakang rumah (belakang rumah aku ada Secret Recipe)

Bagi yang tak berkorban tahun itu, mereka ni akan mula melakukan jelajah rumah sedara mara dan sahabat handai terdekat. Kalau rumah yang mereka singgah itu melakukan ibadah korban, mereka akan dijamu seadanya (bagi yang dah siap masak) atau dibekalkan dengan daging mentah untuk dibawa balik. Bagi yang lakukan ibadah qurban, acara beraya akan bersambung pada hari raya kedua atau selepas mereka menjamu masakan berkenaan kepada tetamu. Orang-orang tua pula lebih suka menunggu tetamu (golongan yang lebih muda datang menziarahi) pada ketika tersebut sehingga beberapa hari (perantau dah pergi semula), termasuk ayah. Bila kami semua dah balik KL barulah ayah dan mek dengan penuh sentimental dan loving couple akan ke rumah rakan-rakan dan adik beradiknya yang lain.

Ke Enam: Ziarahi Kuburan


Menziarahi kuburan juga dibuat pada hari Raya Aidiladha macam Aidilfitri. Maklumlah, bukan kerap pun kita balik kampung dan sempat ziarahi ahli keluarga yang dah pergi lebih dulu. Masa inilah kita luangkan masa ya.


Mek di kuburan Bonda dan Ayahandanya…arwah Mak (nenek) dan gemulah Pak (datuk) akulah tu…


Cukuplah kot enam sebab tu kan? Letak banyak-banyakpun bukannya korang baca hu hu hu itu statement orang yang dah bosan nak tulis panjang lagi. Tak sempat sebenarnya ni. Tengah kejar banyak tarikh mati. Jadi, kira dah cukuplah ya entri pasal Hari Raya Aidiladha ni. Risau jugak kot ada yang termuntah bila membacanya. Muntah sebab bosan hu hu hu

Sabtu, 27 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Ketiga

Entri ini adalah sambungan entri terdahulu di Pertama: Perantau Balik Beraya. Sesak Itu Indah, Kedua: Acara Qurban Dijalankan Secara Persendirian

Aidiladha juga disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Ketiga: Walaupun Tak Mampu Pergi Haji, Ganti dengan Qurban

Semua orang Islam bercita-cita untuk jejakkan kaki ke tanah suci Mekah. Ada ke yang tak nak? Sila angkat tangan ya kepada sesiapa yang tak mahu pergi ke sana biarpun hanya sedetik.

Walau bagaimanapun (ceeeewah formal bebenor pulak lah ayatnya!) Bukan semua orang ditakdirkan mempunyai keupayaan dari segi kewangan, fizikal dan mental. Macam aku sendirpun, walaupun orang nampak selalu sahaja pergi merata ceruk Malaysia (dunia belum habis ceruk lagi pergi…hanya dua tiga inci sahaja pernah jejak), namun semua itu dengan urusan kerja. Bila namanya pergi sebab kerja, maka perbelanjaannya Kerajaan Malaysia yang tanggung. Hakikat sebenar, aku masih belum layak untuk menunaikan umrah atau haji kerana: masih dikelilingi hutang piutang. Hutang belajar belum bayar, hutang yuran pengajianpun masih tertunda seribu (sahaja) tetapi awal tahun depan akan menjadi dua ribu pula sebab dah mula semester baru, hutang itu hutang ini…kalau ikut perkiraan aku…hingga 2018 baru separuh hutang berjaya aku langsaikan. Itupun setelah membayarnya dengan gigih setiap bulan dengan jumlah yang tetap.

Jadi, bagaimana nak jejak kaki di Tanah Haram itu? Nak jual tanah (macam yang selalu orang kita buat), aku hanya ada beberapa pasu tanah sahaja di depan rumah. Itupun dah tanam bunga. Ada 6 pasu lagi masih kosong belum isi tanah. Buat loan? Berhutang lagi! Layakkah orang yang dikelilingi hutang macam aku ni mengerjakan umrah dan haji?






Bila tak mampu untuk mengerjakan Haji atau Umrah, sebahagian besar daripada kita akan melakukan ibadah Qurban. Banyak hikmahnya. Tinggi nilainya bila dilakukan dengan ikhlas. Janganlah pula jadi ibadah qurban macam dalam cerita Habil dan Qabil pula ya…semua orang memang dah tahukan kisah tu? Jangan kata Habil dan Qabil yang pernah tayang di tv3 tu sudahlah ya! Nak kena luku tu!

Apa yang aku nak ketengahkan di sini adalah, ibadah Qurban yang dilakukan ini BUKANnya GANTI ibadah Haji, iaitu tak payah pergi haji. Maksud aku di sini adalah, kita tak mampu nak pergi Haji setiap tahun, tetapi kita mungkin mampu untuk laksanakan ibadah Qurban ini kerana kosnya tidaklah setinggi nak pergi haji. Karang ada pulak yang kata aku sebarkan ajaran sesat pulak kang…ni bukan ajaran dari Kerajaan Langit ya.





Bila lakukan ibadah Qurban, saat paling syahdu adalah semasa niat, iaitu ketika darah binatang korban tersebut mengalir dan proses jual beli yang berlangsung sebelumnya. Masa melapah, memasak atau makan tu tak rasa apapun. Rasa kenyang je kalau terlebih makan. Kalau zaman aku kecil dahulu, mungkin masa itu ramai yang berpendapatan rendah, sangat seronok bila musim Aidiladha ini. Walaupun kami tidak mampu lakukan ibadah Qurban, atau lakukannya sekali sekala sahaja, namun…mendapat daging pemberian orang lain memang sangat mengujakan. Dapatlah merasa sekali sekala makan daging yang elok sedikit berbanding kalau beli sendiri. Hanya daging-daging yang berkualiti rendah (berurat-urat), lemak (ayah dan abang sangat sukakan lemak berwarna kuning hingga sekarang) dan bahagian yang orang lain tak suka seperti kaki, yang mampu kami rasa.

Apabila lakukan ibadah sebegini, terutama bila ada ahli keluarga terdekat dan jauh pergi mengerjakan Haji pada tahun tersebut, masing-masing akan berlumba-lumba untuk melakukannya. Ada yang buat ibadah Qurban untuk diri sendiri, untuk mak ayah, untuk aqiqah anak, kenduri arwah dan sebagainya. Maklumlah setahun sekali sahaja. Kalau boleh buat ramai-ramai, rasa seronok juga. Sebab itu jadi lebih meriah. Kat Mekah meriah dengan suasana baru, rupa bentuk bangunan baru dah meriah juga dengan orang juta-juta lemon, kat Kelantan meriah pula dengan sembelih lembu.




Di Kelantan, kesedaran untuk lakukan ibadah Qurban ni memang sangat tinggi. Walaupun kerja sendiri seperti buat bendang, menoreh atau berniaga kecil-kecilan, apabila sampai je bab melakukan ibadah Qurban ni, mereka macam tak kesah dan mampu aje. Kalau tengok rumah mereka, ada yang nampak nak roboh. Tak ada kenderaan pun, walau motor buruk (ada lagi ke yang tak ada motor buruk?). Menjual di Pasar Siti Khadijah tu pun kat tepi tangga sahaja. Bawa kelapa dua tiga biji, bunga kantan satu plastik, sayur-sayur kampung…habis sahaja hasil jualan untuk hari itu, mereka akan balik. Tak ada niatpun nak tambah lagi banyak-banyak untuk jadi kaya cepat (ini cerita mak cik aku, seorang janda. Dia berjualan hanya isi masa hariannya dan untuk keperluan harian sahaja. Nampak macam tak ada cita-cita tapi akaun dia lebih tebal dari aku sebab dia ada tanah getah yang orang lain usahakan. Hasil jualannya itu hanya untuk makan hari itu sahaja. Dia kena kerja sebab dah biasa kerja sejak muda)

Kesedaran untuk melakukan ibadah Qurban inilah menjadikan ramai orang di Kelantan menyertai acara ini. Sekiranya anda jelajah negeri Kelantan pada Aidiladha, anda akan temui ibadah Qurban ini dilakukan di merata tempat. Dibuat secara persendirian juga, bukannya diuruskan mana-mana organisasi di kampung atau daerah. Mungkin orang kampung pun dah tak larat nak tubuhkan AJK sebab kalau dikumpulkan semua satu kampung, berkemungkinan akan ada berpuluh ekor lembu atau kerbau (biasanya lembu) perlu dikorbankan. Letih tu. Boleh meninggal AJK nak uruskan.

Mengenang meriahnya Aidiladha, rasa sangat berbaloi untuk bersesak balik kampung walaupun hanya ditemani awan gemawan sahaja.

Khamis, 25 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Kedua

Entri ini adalah sambungan entri terdahulu di Meriahnya Aidiladha di Kelantan: Edisi Pertama
Aidiladha juga disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Kedua: Acara Qurban Dijalankan Secara Persendirian

Acara Qurban di Kelantan biasanya diadakan secara persendirian. Acara keluarga dan sahabat handai yang terdekat. Kalau seekor lembu tu, ada masanya hanya dua atau tiga keluarga sahaja. Tahun ini umpamanya, keluarga kami kat kampung ambil peluang sempena aidiladha untuk buat aqiqah sama. Adik kat kulim dah dua bahagian sebab anaknya kembar, abang yang kat kampung satu bahagian, adik kat Sijangkang juga satu bahagian. Asalnya ayah juga ambil satu bahagian tetapi akhirnya terpaksa mengalah kepada permintaan orang lain yang nak lakukan qurban tu.

Sejak dahulu, ayah memang bela lembu. Tak kesahlah berapa ekor, paling ramai pun 4-6 ekor sahaja. Lembu-lembu itu pula akan disembelih dan jual dagingnya berdasarkan permintaan. Jadi, tahun ni, ayah bekalkan 4 ekor lembu untuk upacara qurban ini dengan 4 bahagian daripadanya adalah ahli keluarga kami. Jadinya, setiap tahun, rumah kami akan menjadi tempat untuk acara sembelih lembu Qurban.

Sebelum pulang berhari raya minggu lepas, aku sempat berbual-bual tentang sambutan Aidiladha dengan beberapa orang rakan sekerja. Menurut mereka, acara sembilahan binatang Qurban dilakukan di masjid dengan dikendalikan ahli jawatankuasa tertentu. Ramai yang akan membantu kerana jumlah lembu Qurban juga tidak banyak. Satu kampung dalam 4-5 ekor lembu sahaja sedangkan di Kelantan, (kat rumah akulah ya…bukan keseluruhan Kelantan), 4 ekor lembu tumbang hanya di rumah aku sahaja. Belum lagi rumah orang lain. Dalam sekampung, mungkin berpuluh ekor lembu akan tumbang. Mungkin inilah punca mengapa kemeriahannya lebih terasa.

Berikut gambar-gambar semasa Aidiladha lepas.

Acara jual beli;


Satu! Dua! Tiga! Bukan mudah tumbangkan lembu. Nasib baik ada jejaka kacak berbaju merah tu kan (adik aku...dah berpunya tu!)


Sila niat ya...


Acara melapahpun bermula...



Juara: wanita Kelantan memang pandai berdikari. Takat tulang lembu…no hal lah!



Kalau tahun-tahun lepas, apabila lembu telah ditumbangkan, sedikit daging akan dibawa ke rumah kami mengikut persetujuan setiap ahli yang menjalankan ibadah Qurban tersebut. Bukan banyak pun, sekadar 5kg sahaja untuk dimasak terus. Bahan-bahan lain seperti beras, bahan-bahan masakan atau apa sahaja keperluan memang kami sebagai tuan rumah sediakan. Bukannya berbayar, kira sebagai amal jariah untuk semua orang sama-sama merasa nanti.

Kaum wanita akan siang daging tersebut dan memasak dengan resipi yang mudah dan ringkas sahaja seperti goreng kunyit, acar mentah, sup tulang dan kari daging masak ala kampung. Gotong royang ini sama-sama kami rasa enak masakannya secara beramai-ramai setelah semua daging siap dilapah. Maklumlah, walaupun nampak mudah, melapah daging juga agak memenatkan. Tambah pula bukan semua orang pandai (setahun sekali je buat benda ni…) melapah daging. Kalau tak pandai, lagilah lambat. Jadinya, bila semua dah siap bertungkus lumus di bawah, semua yang berkerja itu dapatlah makan tengahari sebelum balik.

Kebiasaannya kenduri yang pertama ini memang akan menyebabkan semua orang makan dengan banyak. Sebabnya mudah sahaja, pertama memang sedang lapar dan penat. Kedua, kali pertama merasa daging segar, memang cukup berselera. Pada ketika ini selalunya semua nasi dan lauk pauk yang dimasak akan habis. Setiap orang makan bertambah.

Pada tahun ini, acara makan-makan itu tidak dilakukan walaupun kami kaum perempuan dah bersedia untuk menjalankan tugas seperti kebiasaannya. Mungkin sebab tahun ini, sebahagian besar peserta ibadah Qurban itu terdiri daripada golongan muda yang pertama kali hadiri acara itu di tempat kami. Kalau dah biasa, mereka memang tahu mereka akan menjamu selera sebelum balik. Walaupun kami tuan rumah, tetapi kami tidak ada hak untuk mengambil setiap gram daging Qurban berkenaan tanpa keizinan dan persetujuan setiap ahli tersebut.

Ahli-ahli yang dah biasa melakukan ibadah Qurban di tempat kami kelihatan agak kecewa dengan keadaan itu tetapi masing-masing memahami. Maklumlah, kalau tidak ada acara makan-makan di rumah kami, dah tentu mereka perlu balik dengan perut sedikit berkeroncong. Nak tunggu untuk makan daging yang mereka bawa balik itu, malam pun belum tentu siap kecuali ahli keluarga yang membantu itu ramai. Di Kelantan, setiap orang yang melakukan ibadah Qurban akan menerima seluruh satu pertujuh bahagian yang diqurbankan itu, bukannya satu atau dua kilogram daging sahaja seperti yang diamalkan di KL. Jadi terpulanglah kepada tuan empunya bagaimana untuk agihkan daging berkenaan sama ada berikan kepada orang yang berhak secara mentah atau memasak, kemudian membuat jamuan di rumah masing-masing.

Kami yang menjadi tuan rumah hanya menyediakan minuman dan makan-makan ringan seperti nasi impit sahaja. Kata sepupu “Aku lapar ni…nak kena telefon Nah masak nasi”. Adiknya itu memang tidak bersiap sedia untuk juadah makan tengahari kerana tetamu yang hadiri Qurban di rumah kami biasanya akan balik dengan kenyang. Hanya tahun ini sahaja tidak.

Bagi aku pula, situasi itu memang meringankan sedikit bebanku. Bukan tak ikhlas masak segala dan uruskan semua kerja-kerja di dapur, namun menjadi tuan rumah memang berat juga. Semua perkara kena urus dari air minum yang tak pernah berhenti perlu dibancuh. Belum lagi kira kerenah orang yang macam-macam. Seorang nak minum teh, sorang lagi nak neskefe. Ada yang nak minum panas, ada juga nak yang sejuk. Belum kira kerenah budak-budak lagi. Kalau tahun-tahun sudah, adik perempuanku juga ada, kali ini dia masih lagi dalam perjalanan balik. Semua urusan dapur aku kena urus sedangkan aku sendiri masih lagi terkial-kial perlu mencari mana letaknya garam, gula, asam dan segala. Maklumlah, balik pun dua kali setahun sahaja. Mana nak tahu mana Mek letak semua itu.

Walaupun tanpa acara memasak pra kenduri itu, tumit kaki tetap lenguh. Buku lali bagai nak tercabut. Sehari sebelumnya ayah dah sembelih seekor lembu yang lebih besar untuk jualan pra-aidiladha di tepi jalan. Malamnya dia bawa balik sebatang kaki untuk buat sup gearbox. Dah sengal pun badan melapah tulang-tulang itu menjadi ketulan yang lebih kecil. ketika itu hanya aku dan Mek sahaja ada di rumah. ikutkan Mek, dia lanyak je masukkan tulang kaki itu ke dalam periuk paling besar. Masalahnya bila nak hidangkan nanti…pasti tak akan muat dalam pinggan paling besar pun. Tak kan nak hidang dalam “jeluk” (besen) pulak. Dah kapak pun ada dekat, lalunya mengapaklah aku tulang-tulang itu untuk kecilkan sedikit. Kalaupun tapak tangan tak pecah, dah jadi keras jugaklah sikit…mmmmm kena tambah losyen nanti hu hu hu

Sepanjang raya Aidiladha hari pertama, perlu diuruskan pula daging, perut dan tulang-tulang lagi. Walaupun ayah tak jadi qurban, namun adik, abang dan adik perempuanku telah kumpulkan jumlah daging bahagian masing-masing dan tinggalkan di rumah. Walaupun tidaklah banyak, namun dah tentu lebih 10 kg tidak termasuk tulang dan perut. Nak uruskan perut itulah yang malas ni…leceh! Masa makan tak leceh pun hu hu hu

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Ke Tiga akan bersambung dalam entri seterusnya.

Selasa, 23 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Pertama

Entri ni berkaitan sambutan AIdiladha yang kami sambut. Apa yang aku tulis ini hanya relevan untuk keluarga kami sahaja, mungkin berbeza dengan keluarga lain di Kelantan. Namun, ini antara gambaran bagaimana kami menyambut kehadiran Aidiladha yang semua orang kata kami sambut dengan meriah. Hakikatnya, aku sendiri tidak tahu kat mana meriahnya itu kerana sambutan sebegitu telah sebati dalam keluarga kami. Peringatan: entri ini akan jadi panjang dan dimuatkan dalam entah berapa entri.

Apa yang menyebabkan AidilAdha lebih meriah di Kelantan;

Pertama: Perantau Balik Beraya. Sesak Itu Indah

Anak Kelantan suka merantau. Tak tahu setakat mana benar tidaknya. Yang pasti, aku sudah tinggalkan Negeri Serambi Mekah Cik Siti Wan Kembang itu pada 1993, hingga kini boleh dikatakan sudah menetap di Bangi. Walaupun Serambi Mekah itu tenang untuk dihuni, aku lebih memilih untuk bermastautin di Selangor. Ramai orang kata, di sana ketandusan kerja. Untuk aku, boleh sahaja aku ke sana, masih ada ruang. Namun paling utama, agak sukar untuk aku berkerja dalam suasana dan cara hidup masyarakat Kelantan yang lebih banyak toleransi itu. Bagi aku, kerja tetap kerja. Semasa berkerja, aku perlu tumpukan dan serius dengan kerja aku, sedangkan jika di sana, kerja adalah sebahagian daripada hidup. Barangkali aku yang tak reti nak bermasyarakat kot hu hu hu

Sebelum hari raya lepas, aku berkesempatan ke pekan untuk bayar bil letrik. Di TNB itu, aku perlu beratur beberapa minit kerana satu kaunter sahaja yang buka. Maklumlah, esoknya hari raya, ramai yang dah bercuti. Staf di kaunter tersebut ramah melayan pelanggannya. Siap urusan pembayaran, dia akan bersalaman (sempena raya kot) dengan semua pelanggan perempuan (staf itu perempuan) ketika mengembalikan keratan bil. Andainya aku yang berada di kaunter itu, adakah aku akan buat begitu? Jawapannya dah tentu TIDAK, sebab aku nak kejar masa untuk kurangkan masa beratur setiap pelanggan. Dan aku, dah pasti akan dilabelkan sebagai “tidak mesra pelanggan” bila berkerja di sana. Itu baru satu kes. Belum campur lagi jika berlaku pertentangan pendapat dan cara pelaksanaan sesuatu. Bagi aku yang pernah berkerja dalam organisasi swasta sebelum ini, boleh sahaja terima maki sekiranya kerja yang aku buat itu tidak menepati piawai, tetapi kemudiannya masih lagi boleh bergelak ketawa dengan orang yang maki aku itu (kalau betul aku yang salah) ketika makan tengahari. Kalau aku boleh terima maki, bermakna aku juga boleh maki orang lain bila piawai tak sampai. Kerja adalah kerja, hal bersosial tetap sosial. Namun di sini, masihkah akan begitu andai tersalah tinggi suara sedikit kala menegakkan pendapat? Anda faham tak maksud aku? Maksudnya; dah naik suara sekali, akan tetap dipandang tak mesra alam sampai bila-bila walaupun yang salah tu bukan kita. Aku kan baran, mana boleh selamanya berlemah lembut dan bersopan santun. Sekali dua bolehlah. Kali ketiga, darah sudah didih wooooo…

Bila Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Rabu, aku bayangkan mesti tak ramai orang akan balik. Dah tentu jalan tak jem macam biasa. Namun sangkaan itu sangat meleset sama sekali. Adik dari Sijangkang balik pada malam Aidiladha dan terpaksa bermalam dalam kereta di Genting Sempah sementara menanti jalan lancar semula. Jam 10 pagi hari raya, dia masih berada di Gua Musang. Terpaksalah orang lain yang mewakilkan dia untuk niat Akikah tersebut. Kalau nak tunggu dia, entah jam berapa baru sampai. Alamat tak tumbanglah lembu itu.

Aidilfitri tahun lepas, aku terpaksa patah balik ke Bangi setelah jem teruk di lebuh raya Karak, boleh baca kat Travelog Raya Siri Satu dan Travelog Raya Siri 2: Aku yang lambat balik. Boleh juga nikmati kisah Raya Aidilfitri tahun lepas di Travelog Raya Siri 3: Bila musim Raya dan perjalanan balik Bangi semula di Travelog Raya Siri 4: Balik KL

Setiap kali raya, memang kami perantau-perantau ni akan bersesak dan bergembira dalam jem maha hebat. Ada kala sesak itu berlaku kat tengah hutan pun. Dan sesak itu pula, bukan hanya berlaku di negeri Cik Siti Wan Kembang Kelantan Serambi Mekah sahaja, tetapi bermula sejak di Genting Sempah lagi, berlarutan hingga Raub, Lipis, Gua Musang, Kuala Krai dan seluruh negeri. Setiap kali hari raya, dianggarkan lebih sejuta kenderaan akan masuk ke Kelantan. Berlaku pertambahan yang mendadak sedangkan jalannya tetap serupa. Paling lebarpun hanya dua lorong sahaja.

Dari bukit ke bukit menyusur hutan


Kami yang dah terbiasa alami kesesakan ini, boleh dikatakan sudah bersedia fizikal dan mental. Maksudnya di sini, kami memang dah tahu akan sesak teruk, hanya tak boleh jangka teruknya itu hingga tak bergerak ataupun masih lagi boleh bergerak 30kmj atau 80kmj. kami juga perlu menerima kenyataan bahawa perjalanan kami yang lebih 300km itu tanpa kemudahan R&R kecuali di Gua Musang. Negeri Pahang yang makmur itu luas ya sayang, sebahagian besar masa kami berada di negeri itu, sementara perjalanan di negeri DarulNaim paling lama pun 3 jam sahaja (kalau sesaknya sedikit dengan kelajuan 80kmj) untuk sampai di Kota Bharu. Jadinya, perlu tahu area mana terdapat kedai makan untuk isi tembolok, masjid dan surau untuk buang isi tembolok yang melimpah itu pula sambil singgah untuk Jamak dan Qasar.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa perjalanan kami ke kota bharu sebenarnya tidak melalui lebuh raya selurus dan seluas lebuh raya utara selatan, tetapi menggunakan jalan negeri. Ayat mudahnya adalah: jalan kampung. Jalan itu pula dua hala. Ada masa jalannya lurus, ada masa bengkang bengkok. Ada masa landai dan rata, masa yang lain perlu tekan minyak sikit bila mendaki bukit.

Melalui jalan inilah kami meredah negeri pahang yang luas dan mengharung gua musang hingga ke Kota Bharu. Perjalanan itu lebih mudah dan selesa andai tidak ada kenderaan berat seperti lori, bas dan kenderaan berat yang lain. Bila ada kenderaan berat, perjalanan akan jadi perlahan terutama ketika mendaki bukit. Sangat sukar untuk memotong kenderaan berat apabila jalannya sempit dan berbukit. Itu belum lagi campur dengan masyarakat tempatan di kawasan tersebut yang keluar makan angin. Payah woooooo nak potong; dah lah dia punya kereta dok tengah-tengah jalan, bawa pula 60kmj…adusssss bila kita orang nak sampai ni. Perjalanan kami jauh, ratus-ratus km, kalau mengekor belakang depa ni, bila nak sampai?


Taklah panjang sangat ekor kat belakang…nampak tak kat cermin sisi?

Kemana sahaja pergi, memang akan sesak terutama jika terdapat lampu isyarat. Bila musim perayaan sebegitu, tak perlulah ke Kota Bharu, memang akan susah nak masuk. Buat penat je. Betul ke sesak itu indah? Entahlah! Biasanya tiap kali balik kampung, aku jarang sangat keluar semula ke pekan atau kota bharu. Semua keperluan untuk persiapan raya aku beli siap-siap di bangi termasuk tomato. Jadinya, dah masuk rumah, malas nak keluar lagi kecuali kalau benar-benar perlu sahaja.

Kalau dah begitu keadaannya nak balik raya, adakah tak terasa meriah? Bukan sahaja meriah dengan pesta lampu brek, tetapi juga…sesekali balik kampung mesti nak jumpa sanak saudara dan sahabat handai. Namapun lama tak jumpa. Masa inilah jalan sakan, beraya sakan dan ziarahi keluarga sambil bersesak sana sini. Sebab itulah, masa aku selalu balik dengan abang ipar, kakak dan anak buah dahulu…kami sentiasa sahaja bawa bekalan yang macam-macam; macam nak pergi berkelah. Maklumlah budak-budak kan, kalau lapar bukannya tahu tahan, terus nak makan. Kalau jem kat tengah hutan tu, bukannya dia orang reti ada kedai makan ke tidak. Bila ada bekal, tak sempat sebut lapar, aku dah buka taperware hu hu hu …ampunkanlah daku ya, perangai macam mak sikit; bawak bekal segala.

Bila balik seorang, agak malas sikit nak bawa bekal; hanya air mineral sahaja. Biasanya akan beli coklat sahaja di stesen minyak dan makan sambil nyanyi lagu hindi (tak pun dikir barat) sepanjang perjalanan. Bukannya orang tahu suara sumbang ke tidak, aku sorang je dengar. Aku lebih suka makan bila sampai rumah nanti.

Raya kali ini aku balik awal walaupun tertunda sehari kerana tak sempat siapkan banyak hal sebelum balik. Pagi-pagi Ahad dah balik. Agak ramai juga balik kampong hari itu, namun taklah jem. Boleh bawa 180k/j kalau nak. Aku tak bawa laju, hanya sekitar 100kmj hingga 120kmj sahaja. Hanya sesekali je terlupa nak tekan brek…bukan lajupun, 140kmj je hu hu hu. Itupun bukan selalu sebab ralit ambil gambar awan sepanjang perjalanan. Kalau bawa laju, mana boleh ambil gambar awan. Cantik awan yang memayung bumi sepanjang perjalanan kali ini, rugi kalau lepaskan peluang ni…cuba tengok semula dalam entri Aku kan balik sorang-sorang, tak ada orang sudi nak jadi pemandu terhormat. Gambar-gambar dalam entri ini aku selongkar entri lama masa sesak Aidilfitri lepas.

Jadinya, bila anda alami sesak sepanjang jalan yang perjalanan itu beratus km (taklah sepanjang jalan, biasanya kat tempat tertentu sahaja yang dekat dengan pekan atau simpang), adakah anda tidak teruja untuk sambut raya dengan meriah?

Isnin, 22 November 2010

Ditemani Awan Gemawan Putih Kekabu Bak Biri-Biri Gemok

Awal kan aku balik kampung untuk sambutan Aidiladha kali ni. Asalnya nak balik pagi-pagi buta pada Sabtu sehari sebelumnya tetapi hidup ini memang penuh dengan kekalutan. Banyak perkara belum sempat aku selesaikan menyebabkan aku tunda perjalanan sehari lewat. Itupun aku kemas barang pada tengah malam Sabtu dan terbangun lambat keesokan harinya. Jam 6.30 pagi barulah aku bertolak. Jalan raya dah banyak kereta pada masa tersebut.

Aku memang tak suka jem dan banyak kenderaan di jalan raya. Apa nak buat, salah sendiri juga. Masa alarm berbunyi jam 4.05 pagi, aku tarik selimut semula. Akhirnya terbangun jam 5.30 pagi bila Amir Hanif kejutkan. Kelam kabut juga aku bersiap. Sudahnya, aku tak sempat menikmati matahari terbit di kawasan perbukitan Bukit Tujuh. Huh! Hilang nikmat balik kampung seketika.

Aku selamat tiba di pekan Ketereh pada jam satu setengah tengahari lebih kurang. Merayau di pekan seketika sebelum singgah di rumah kakak ipar, ambil Ain dan balik rumah. Lebih kurang jam 2.30 petang baru sampai di rumah dengan jayanya buatkan Mek dan ayah tak terkata sebab aku tak beritahupun nak balik. Jahat kan anak depa ni hu hu hu

Sebelum paparan tentang Meriahnya Aidiladha di Kelantan aku lepaskan di sini, entri kali ini aku akan tampal gambar-gambar tentang awan gemawan yang sangat cantik menemaiku sepanjang perjalanan balik kampung pada Ahad 14 November 2010 yang lalu, dan perjalanan ke Bangi semula pada 19 Novemver 2010.

Jommm kita jamu mata tengok awan gemok bak biri-biri kat tengah padang ragut ni…rasa macam nak berhenti setiap inci jalan untuk ambil gambar. Kalau tak, dua haripun belum tentu sampai kan la la la








Hujan mula turun


Ni perjalanan balik bangi pula…walaupun pagi nampak mendung, tetapi tengahari sikit dah muncul awan gemokkk…









Dah nak sampai Raub



Awan dah mula berat. Nak hujan.


Sampai je Genting Sempah, jalan mula sesak. Ada kemalangan. Pertama kali boleh ambil gambar dalam terowong. Fuhhhh bising bukan main. Sakit telinga.




Lori melintang jalan. Lorong arah Kuantan terpaksa dibuka memberi laluan kepada kenderaan dari Karak ke KL menyebabkan kenderaan yang nak ke Karak terpaksa ditutup seketika. Jem panjang juga…tapi taklah panjang sangat. Dan hari kemudiannya hujan dengan lebat hingga Cheras. Selamat tiba di Bangi jam 5 petang. Huh! Penat!


PssssT: Adik balik kampong pada Selasa malam (malam raya). Katanya jalan sesak lebik kronik berbanding raya Aidilfitri lepas. Ingatkan bila Raya tengah minggu, ramai yang tak balik…rupanya “Ramalanku Tidak benar Belaka”… Nasib baik aku balik awal kan, kalau tak sangat tidak mustahil untuk aku balik pada pagi hari raya lagi sekali hu hu hu

Sabtu, 20 November 2010

Menangani Stress Musim Peperiksaan


Entri sebelum ini berkisah tentang Stress Menjelang Peperiksaan yang biasa berlaku kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting. Stress sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira pelajar, orang biasa atau pekerja. Malah, bayi juga boleh stress.

Kali ini aku nak kongsi tentang bagaimana untuk menangani stress. Hal ini sangat penting kerana jika tidak ditangani secara sepatutnya, ia bukan sahaja akan memakan diri sendiri, tetapi stress yang kronik boleh bahayakan orang lain di sekeliling. Dah banyak kes yang berlaku kan? berikut adalah beberapa cara yang boleh kita sama-sama amalkan bila berdepan dengan stress;


1. Minum air dengan kadar yang banyak untuk membekalkan oksigen
Air putih sangat baik untuk kesihatan, sebab itu orang yang nampak awet muda dan nak sentiasa awet muda sentiasa mengamalkan minum banyak air putih. Jaga juga pemakanan dan kesihatan diri. Dahlah nak kena beri tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, kalau tiba-tiba sakit dan mendapat stress yang terlampau, itu akan kurangkan fokus adik-adik.

2. Cukup tidur.
Untuk saat-saat akhir sebegini, aku tidak galakkan adik-adik berjaga malam secara melampau untuk ulangkaji. Sepatutnya saat sebegini, adik-adik dah bersedia sepenuhnya, kecuali hanya tengok nota pendek pada tajuk-tajuk tertentu yang diramalkan akan keluar dalam peperiksaan. Itupun membaca secara ringan dan santai, bukannya menelaah dan menghafal. Bukannya baru nak mula belajar.

Tidurlah dengan cukup. Sebelum tidur juga, semak jadual peperiksaan untuk kali terakhir. Mana tahu, kalau-kalau adik-adik tersalah tengok jadual. Inilah kesilapan paling tak boleh diterima kalau berlaku. Bila terlepas waktu peperiksaan hanya kerana adik-adik cuai atau terlambat bangun, menyesalnya bukan untuk sehari dua. Bagi yang bersemangat waja, mereka akan mengulang ambil semula pada tahun hadapan (setahun perlu tunggu untuk tebus silap ini) atau sekurang-kurangnya ambil peperiksaan Julai yang orang kata lebih sedikit tahap susahnya. Saya tak tahu sebab belum pernah ambil untuk kertas Julai.

Cukup rehat dan tidur buatkan minda adik-adik lebih tenang, segar, bersemangat dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Ini secara tidak langsung akan kurangkan stress.


3. Jaga pernafasan. Tarik nafas melalui hidung, tahan hingga kiraan tiga saat kemudian lepaskan melalui mulut
Setiap orang memang akan stress bila berhadapan dengan sesuatu yang digelar ujian. Tanyalah pemidato terbaik duniapun, dia tetap gementar setiap kali berhadapan dengan penonton atau pendengarnya. Apa yang berbeza adalah bagaimana cara dia berhadapan dengan perasaan gementar dan stress tersebut.

Setiap kali adik-adik rasa gementar, gemuruh dan stress, amalkanlah cara pernafasan yang betul. Tarik nafas perlahan-lahan, kosongkan otak sekejab, tahan nafas tersebut beberapa detik di dada sebelum lepaskan semula melalui mulut. Lakukanlah beberapa kali hingga dada adik-adik rasa lapang, rasa gementar semakin hilang dan rasa yakin diri perlahan-lahan muncul dalam diri. Pada peringkat awal, mungkin memerlukan masa yang agak lama juga tetapi apabila dah sentiasa lakukan begitu…dalam tempoh beberapa saat sahaja, adik-adik dah boleh kontrol diri semula.

4. Belajar cara bertenang dan kawal emosi sendiri
Hanya diri sendiri yang tahu bagaimana cara untuk bertenang dan mengawal emosi. Ada orang akan terkawal emosinya bila makan aiskrim atau coklat, ada orang cukup dengan hanya menyanyi lagu kegemaran, manakala sesetengah orang yang lain akan gunakan cara yang lain. Lain orang, lain caranya.

Salah satu cara yang aku amalkan setiap kali mahu buat pembentangan, laporkan kajian dan sebagainya terutama di hadapan khalayak dan orang-orang yang lebih terpelajar dariku, hadiri temuduga atau jumpa boss laporkan sesuatu biasanya aku akan ulang baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) secara berulang-ulang kali hingga hati rasa lapang. Hingga aku benar-benar yakin diri. Hingga aku kejapkan hati bahawa “hanya Allah sahaja yang patut aku gentar” tiada lain selain daripada itu. Ambillah berapa lama masapun untuk tenangkan emosi dan diri ini dengan mengulang baca surah berkenaan, kemudian senyumlah. Senyum itu akan tambah keyakinan diri juga.


5. Jalani cara hidup yang sihat; bersenam, jauhi dadah, alkohol dan rokok
Badan sihat, otak cerdas. Kurangkan stress dengan melakukan pelbagai kegiatan yang kita suka seperti menari, karaoke, bersenam atau ada juga yang akan masuk panggung wayang. Walau bagaimanapun semua aktiviti ini tidak boleh melampau pula, karang terlupa nak masuk dewan peperiksaan, cukuplah sekadar kurangkan stress. Jauhilah daripada perkara negatif seperti dadah, alkohol, rokok atau ubat batuk (ketagih, bukan sebab batuk ya).

Pada masa ini juga adik-adik perlu lebih jaga diri. Elakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya, jaga kesihatan supaya tidak sakit dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti bahaya seperti bergaduh, mandi sungai atau melakukan aktiviti lasak macam daki gunung (Daki gunung? sempat lagi ek?). Kalau dah sakit, cedera atau terlibat dalam kemalangan, makin menyusahkan diri pula untuk ambil peperiksaan di katil hospital. Kalau dah elak, tetapi masih juga jadi, kira telah ditakdirkan…lainlah pula cerita.

6. Komunikasi dengan orang lain tentang hal yang sama
Orang kata, belajar dari pengalaman, walaupun pengalaman orang lain. Nasihat daripada orang yang dah pernah lalui perkara yang sama dengan apa yang akan kita lalui itu lebih tulus dan ikhlas, kecuali orang itu ada niat serong dengan kita. Jadi, tanyalah kepada orang yang dah berjaya lepasi halangan itu dengan cemerlang. kita tak akan rugi kalau bertanya.

Untuk tips saat akhir sebegini, payah juga kalau baru nak kaji bagaimana Nur Madihah berjaya dengan cemerlang walaupun ada dua buah buku diterbitkan tentang ini. kalau anda pernah membeli buku tersebut sebelum ini, boleh sahaja membacanya sepintas lalu. kalau baru hari ini nak pergi beli di kedai buku yang belum tentu lagi anda akan perolehinya, rasanya langkah itu lebih buatkan adik-adik bertambah stress. Namun, boleh sahaja berbual kosong dengan ahli keluarga terdekat untuk dapatkan tips dan panduan.

7. Doa
Walaupun doa aku letakkan pada nombor terakhir, namun tidak bermakna ia tidak penting. Ia sebenarnya lebih bermakna “setelah berusaha, maka angkatlah tangan dan mintalah kepada Yang Kuasa”. Makanya, sila berusaha, bukan hanya tahu berdoa nak cemerlang tanpa usaha. Sama seperti, “tambat dahulu unta sebelum berdoa agar unta tersebut tidak terlepas dan lari” (errrr…ramai ke unta di malaysia ni?).

Ramai orang kata (entah siapalah orang tu!), kalau dah tertulis sejak azadi takdir hidup kita, usaha macam mana pun tak guna. Itu kan memang takdir? Usah silap. Takdir boleh diubah, dan senjata yang boleh mengubah takdir adalah doa. Berdoalah dengan seikhlasnya. Dengan sesungguh hati. Dan dan pengharapan kepada Allah akan mengubah takdir yang telah tertulis (itu ustaz cakap masa sekolah dulu). Jadi, berdoalah. Mintalah. Tapi ingat, minta dan doalah hanya kepada Allah. Jangan syirik. Ramai orang kita sekarang ni telah lakukan syirik tanpa sedar. Bahaya tu!


Moga-moga cara ini boleh membantu anda. Aku bukanlah pakar psikologi, motivasi atau kaunselor, namun biasanya aku mampu tangani semua perkara walau seburuk mana situasinya pun. Perkara utama yang aku pegang adalah: yakin diri. Seterusnya berserahlah kepada Yang Kuasa. Biar sehebat mana kita, siapalah sangat berbanding Sang Pencipta.

Bila yakin dan berusaha, seterusnya berserah kepada Ilahi, insyaallah, kita akan mampu gapai apa yang diimpikan walaupun semua itu bukannya mudah. Paling tidak, kita masih lagi berpeluang untuk berusaha dan mengatasinya dengan tenang. Akhirnya, sama ada anda dapat capai atau terkandas setelah diusahakan sebaiknya, yakinilah bahawa apa yang diperolehi itu adalah dengan izinNya. Dengan ketentuanNya. TakdirNya. Apa yang berlaku itu adalah Yang Terbaik sepatutnya berlaku. Jadinya, terimalah dengan hati yang terbuka. Hidup ini mudah sahaja, usahlah kita sukarkannya. Usah juga kita ambil lebih mudah daripada sepatutnya.

Selamat menduduki peperiksaan!


Stress Menjelang Peperiksaan

23 November nanti peperiksaan SPM akan berlangsung. Ramai pelajar dah makin stress atau tertekan. Maklumlah, SPM akan tentukan arah perjalanan masa hadapan mereka. Ramai pelajar tidak begitu suka untuk ke Tingkatan Enam selepas SPM. Kalau boleh nak masuk universiti terus, nak ke kolej. Nak elak ke Tingkatan enam sedaya dapat. Katanya sebab susah. Susah sangat ke belajar di tingkatan enam? Lain kalilah kita jawab ya…kali ni kita tengok dulu gejala stress menjelang peperiksaan.

1. Berdebar-debar dan jantung berdegup kencang
Setiap saat dada terasa ketat. Berdebar-debar. Jantung pula berdegup kencang. walaupun tidak melakukan aktiviti lasak seperti berlari, degupan jantung bergerak dengan kencang bagaikan anda baru menyudahkan larian beribu kilometer. Nafas anda jadi pendek. Anda perlu tarik dan lepas nafas anda dengan kadar yang cepat, bagaikan dada anda telah kehabisan oksigen. Kalau salah kawal, anda boleh pengsan juga sebenarnya.


2. Perut rasa memulas (sekejab-sekejab)
Aku selalu perhati yang Mek selalu berdepan dengan situasi ini setiap kali dia nak pergi mana-mana. Sekejab-sekejab masuk bilik air, buang air kecil dua titik…keluar, kemudian rasa nak buang air lagi. Bila masuk tandas, tak jadilah pula. Kalau perjalanan jauh, Mek sanggup tak makan dan minum hingga sampai ke destinasi. Lupa nak tanya dia, masa pergi Mekah tahun sudah, dia ada buang air dalam penerbangan ke tak hu hu hu nakal betul anak dia ni kan?

Kadang-kadang aku juga rasa begitu terutama bila kena buat pembentangan depan orang-orang yang aku rasa lagi hebat dari aku. Namun, sebab perangai aku yang “pakai redah” je, tak kiralah siapa…aku tetap akan bentangkan juga dengan suam-suam kuku awalnya, kemudian payah nak berhenti. Yakin aje walaupun aku bentang dalam bahasa Malaysia di hadapan orang asing yang tak reti dan tak faham bahasa Melayu. Boleh gitu? kalau Jepun boleh, tak kan kita tak boleh hu hu hu


3. Berpeluh dan rasa sejuk (tanpa lakukan apa-apa aktiviti)
Ini biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga walaupun cuaca panas, bilik tak ada pendingin hawa. Hujung jari bagaikan beku. Stress tahap ni masih lagi normal.

4. Suara bergetar
Ini juga biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga, atau pembentangan. Ada juga berhadapan dengan masalah ini bila diminta bercakap dikhalayak ramai. Bukan semua orang boleh jadi hebat bila berhadapan dengan orang ramai. Rasa macam makhluk asing sahaja dipandangi oleh semua mata. Salah hari, tangan gigil-gigil dan nampak kat kertas yang kita pegang.

5. Tangan menggigil
Aku pernah alaminya sekali dalam hidup setakat ni dan tak mahu lagi alaminya. Masa tu aku terduduk. Lutut jadi lembut, tak daya nak berdiri lagi dah. Tulang belakangpun dah tak daya menampung diri. Rasa nak baring di lantai je…Aku rasa langit dah jatuh menimpa kepala. Nafas jadi sesak. Masa itu, aku memang nampak tangan sendiri dah gigil-gigil. Cara aku lakukan untuk stabilkan kembali diri ketika itu adalah: beristifar sebanyak-banyaknya; tak tahupun berapa banyak, hingga rasa diri kuat semula. Setelah itu baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) hingga aku mampu positifkan diri bahawa apa yang berlaku ketika itu memang telah ditentukan Allah dan ada hikmah yang tersembunyi, yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Hingga aku yakin bahawa apa yang berlaku ketika itu adalah sesuatu yang terbaik untuk hidup aku. Fuhhhhhh! aku memang tak mahu situasi itu berulang sekali lagi dalam hidup ni. Sangat menderita!

Kalau anda nak masuk peperiksaan, gigil tangan ini akan ganggu tumpuan menjawab sebab nak tulis pun susah. Pen bergoyang tu. Biasanya anda akan alami kalau terlambat masuk dewan peperiksaan atau soalan yang anda ramal tidak masuk dalam peperiksaan. Jadi, jangan amalkan pergi lambat ke dewan peperiksaan. Lima belas minit pertama itu akan anda bazirkan untuk tenangkan diri sahaja. Anda akan lebih tenang kalau sampai awal, sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan berlangsung. Juga, jangan terlalu yakin dengan soalan ramalan tanpa ulangkaji keseluruhan topik. Bukan tak boleh meramal, namun perlu ada back up. Soalan ramalan itu hanyalah topik tertentu yang anda lebih tekankan berbanding topik yang lain, bukannya anda belajar berdasarkan soalan ramalan semata-mata. Namapun soalan ramalan, dah pasti belum tentu terkena atau tidak ramalan itu. Kalau kena, anda bernasib baik. Kalau tidak kena, paling kurang ada telah pun bersedia dengan keseluruhan silibus.

6. Mual dan nak muntah
Stress yang tidak mampu dikawal boleh menyebabkan anda mual dan muntah. Ini kira dah berada pada tahap yang agak kronik juga sebab anda gagal tanganinya. Setakat ni aku belum pernah muntah disebabkan stress, tetapi kalau sebab migrine agak selalu juga sampai ke tahap ni.

7. Kurang atau bertambah selera makan
Gejala ini bergantung kepada individu. Ada orang akan kurang makan bila stress, ada orang yang lain akan terlebih makan. Banyak kes obesiti terjadi akibat daripada stress, tak kiralah stress itu berpunca daripada tekanan di tempat kerja, diberhentikan kerja, putus cinta dan sebagainya.

Walaupun makan boleh hilangkan stress, namun itu hanyalah bersifat sementara kerana selagi punca stress itu tidak diatasi sebaiknya, ia tetap tidak akan selesai. Menjadi obes atau terlalu kurus kerana kurang atau terlebih selera makan akan memberi laluan kepada masalah baru yang lain pula. Jadi, berpada-padalah. Jalanilah cara hidup yang sihat. Bersenam umpamanya boleh mengurangkan gejala stress.


8. Pening kepala/sakit bahagian belakang kepala
Pening kepala, sakit pada bahagian belakang kepala ataupun adakalanya rasa tegang pada leher dan bahu juga antara gejala disebabkan stress. Kepada pengidap migrine macam aku pula, akan berlaku kekerapan migrine berbanding biasa walaupun faktor penyebab kepada migrine tidak ada langsung. Bagi sesetengah orang pula, mereka berhadapan dengan masalah untuk tidur ataupun tidak mampu untuk mencapai mutu tidur harian yang baik, umpamanya tidak dapat tidur, selalu terjaga dan tidur yang tidak nyenyak (walaupun dah terjaga dan tidur dengan lama tetapi masih lagi mengantuk). Seterusnya akan berlaku gangguan terhadap kesihatan.


Sebenarnya masih banyak lagi tanda-tanda dipamerkan apabila kita stress, namun cukuplah setakat itu sahaja ya. Harapnya tulisan ini dapat membantu adik-adik kita yang bakal hadapi peperiksaan SPM nanti ya. Cara mengatasi stress akan aku kongsikan dalam entri seterusnya.

Jumaat, 19 November 2010

Berapa Panjang Nak Tulis Entri?

Blogger otai selalu sahaja bagi tip tulis entri “tak payah panjang-panjang…bukan ada orang nak menelaah macam baca kitab sejarah tua untuk masuk peperiksaan”. Nasihat mereka lagi “Updet kena selalu. Kerap. Sepuluh kali seharipun tak apa”. Barulah orang serbu banyak kali sehari.

Betul ke entri kena pendek? Kenapa kena pendek? Tak boleh ke tulis panjang-panjang?
Kalau ikut formula nak kena kemas kini blog beberapa kali sehari, secara logiknya memanglah entrinya pendek-pendek dan kontot-kontot sahaja. Kalau panjang berelung-relung, bila masa pula nak buat kerja lain dalam hidup ni selain dari tulis blog.

Setiap entri itu pendek, padat, ringkas. Cerita apa yang perlu sahaja. Apa yang orang nak baca. Apa yang orang nak tahu. Tak payah nak ulang perkataan yang sama nanti jadi spam pula. Teori ini juga sangatlah benar. Betul.

Jadi, bagaimana dengan aku? kenapa masih lagi tulis panjang-panjang macam kereta lipang jalang gedung gedang? Ohhhh mudah sahaja sebabnya. Aku hanya kekalkan identiti sahaja. Identiti aku adalah menulis dengan santai…panjang lebar dan, dah tentu mengulang-ulang perkataan yang sama, kata-kata yang sama kerana itulah nilai seninya. Keindahannya.

Jadinya, bagaimana?
Antara trafik dan kepuasan kala menulis, mana satu daku dambakan?

PsssT: Mmmmm ingatkan entri ini akan jadi pendek. Rupanya masih lagi panjang. Gimana dehhh mau kukontotkan ia?

Selasa, 16 November 2010

Bila Pengorbanan Tidak lagi Dihargai

P.Ramlee dendangkan..berkorban apa sahaja, harta atau nyawa. Ahli falsafah akan kata “pengorbanan adalah tulang belakang dalam cinta”, manakala ahli agama pula akan kata “pengorbanan yang ikhlas kerana Allah”, namun apa kata hati? Apa akan jadi bila cinta dikhianati, pengeorbanan tidak lagi dihargai.

Sesiapa sahaja boleh katakan bahawa pengorbanannya itu ikhlas; Lillah hi taala. Namun, siapa yang mampu menilai tahap peratusan ikhlas itu? ataukah, sepanjang masakah dan selamanyakah pengorbanan itu berada pada tahap 100 peratus? Masa hadapan bagaimana?

Bagaimana pula andai pengorbanan itu tidak lagi dihargai? Atau dinafikan? Masihkah nilainya 100 peratus? Masihkah berpaksikan “Lillah hi taala”?

Ikhlas lagikah anda, andai…orang yang anda selamatkan dari perigi buta (bayangkan macam perigi magika pun ok jugak!) dengan susah payah itu, menghentak kepala anda sebaik sahaja dia berada di atas? Sedangkan, lelas di tangan anda masih berbekas merah kesan berat badannya yang perlu anda heret di tali?

Masih jua ikhlaskah anda andai kiranya mulut yang anda suap itulah yang meracuni anda dengan maki nista setelah berperiuk nasi ayam yang anda masak ditelannya? Dengan mulut itu jualah dia membuat pengumuman satu negeri mengatakan anda tidak tahu masak nasi ayam.

Ataukah anda masih lagi tidak apa-apa, andai pada hari hujan yang lebat (barangkali di Perlis atau Kedah…boleh juga di Kelantan), kemurahan hati anda untuk berkongsi payung dengan entah sesiapa yang kehujanan, akhirnya membuatkan anda kuyup. Menggigil kesejukan. Dia bukan sahaja berlalu tanpa ucapan terima kasih kerana kesudian anda menumpangkan teduhan berpayung itu, tetapi juga turut membawa pergi payung kesayangan anda. Lalunya, anda pula yang kehujanan dan kebasahan (errr…dah lama tak main hujan!). Saat itu, masih ikhlaskah anda?

Anda cirit birit kerana kecuaian sendiri makan di restoren yang nampak macam bersih dan cantik, tetapi kat ruang dapurnya tikus-tikus sedang bersilat pedang menyebarkan wabak. Anda memerlukan pil chi kit teck aun, tetapi nak jadi cerita, gaji bulan itu dah kering kontang sebab bayar bil astro yang tertunggak (bil astro boleh tertunggak tak?...nampak sangat tak pernah nengok Astro kan hu hu hu).

Bila anda mengenali seseorang teman sebegitu lama, tak kesahlah 6-7 tahun ka, 10 tahun ka…bertahun-tahun ka, dan anda sentiasa sahaja sanggup membantunya biar apapun kesukaran yang dia alami. Kucingnya mati dan dia melolong-lolong kesedihan, maka anda serahkan bahu anda untuk dia sandarkan. Anda tetap sabar dengan leleh hingusnya yang menitik di baju cucian kering anda. Anda tahankan hati juga mendengar dia hembuskan hingusnya sambil mulutnya tak henti mengomel tentang kematian kucing itu. Anda dengar juga biarpun berjam-jam dia berduka nestapa kebanjiran air mata hanya kerana seekor kucing kurap yang ditemu dalam hujan renyai, kemudian dibawa balik ke rumah dan dimandikan…diberi makan makanan dalam tin yang lebih mahal dari makanan anda makan sendiri, tetapi kucing itu akhirnya mati tercekik chewing gum (sadis tak cara kucing tu mati?). Kemudiannya dia berlalu setelah gelora di hatinya reda, itupun setelah dia angkut bersama kucing parsi kepunyaan buah hati anda sambil berkata “terima kasih…kaulah kawan aku dunia akhirat” tanpa sempat untuk anda beritahunya kucing itu bertuan juga. Padahal setelah dia menderum pergi dengan kereta merah mewahnya yang merelip-relip kilatnya tersilau lilin, anda pula perlu memerah otak untuk memberitahu pujaan hati tentang tragedi kucingnya itu telah disambar pergi. Padahal anda telah tahu yang ada gunung berapi lebih hebat dari Pinatubo akan meletup di rumah anda hanya kerana itu.

Ketika letupan Merapi menguasai diri anda, saat anda sedang mengelak debu beracun itu…anda terlihat dia sedang humban kucing parsi kepunyaan orang yang anda sayang itu ke lorong belakang kerana tidak tahan perabut mewah di rumahnya dicakar. Lalu andapun merangkaklah mengutip kucing parsi yang sudah comot dan bersalut air longkang itu, mencari sangkarnya yang telah kemik dan bawa balik semula ke rumah, mandikan dengan syampu dan gel mandian kepunyaan anda sendiri hingga wangi dan gebu semula seperti asal. Namun hati anda bagai disentap-sentap bila dia muncul semula dengan jurai air mata dan air hidung memberitahu bahawa kucing parsi yang dirembatnya dari rumah anda itu telah lari dipujuk rayu dek kucing siam jalang. Dan, kiranya anda mengalami situasi ini, masihkan jauh di sudut hati anda paling dalam terisi 100 peratus ikhlas?

Masihkah kita ikhlas, kiranya burung yang kita bela, yang kita beri makan di tangan…akhirnya berakkan tangan kita yang berlosyen mahal setelah habis makanan itu dipatuknya. Patukan itu anda tahan jua biarpun sesekali terasa bisa, bau beraknya itu juga masihkah perlu ditahan jua? Masihkah anda ikhlas.

Entri ini hanyalah satu perlambangan (bukan kisah benar tentang sesiapa yang jatuh dalam perigi buta atau masak nasi ayam yang tak sedap, atau mana-mana kucing parsi atau siam…hanya perumpamaan) tanpa jawapan, hanya ada persoalan. Jawapan ada pada hati anda sendiri. Tanyalah pada hati sendiri, dan itulah jawapannya setelah anda renung-renungkan. Jangan jawab dahulu kerana jawapan pada masa tersebut adalah apa yang anda fikir. Jawapan dari kepala dan akal. Bukannya jawapan dari gerak hati yang menentukan peratusan ikhlas itu.

Setelah membaca entri sepanjang ini, dengan ayat yang berbelit liku mengalahkan filem Tamil (dengar cerita Filem Cuci telah diolah semula dalam bahasa Tamil…jom pi tengok!), kemudian anda pening-pening lalat dan kehilangan rasa waras setelah menikmatinya…masih juakah anda akan ikhlas untuk menyudahkannya hingga nokhtak terakhir?

Selamat hari Raya Aidiladha. Selamat menunaikan ibadah korban. Selamat mengikhlaskan diri saat melakukan pengorbanan. Selamat mencari tempat jejaknya diri. Selamatlah segala-galanya.


PssTT: Semasa entri ini anda tatap, mungkin aku sudahpun mengasah parang dan pisau. Mengupas bawang, memotong segala yang perlu. Pernahkah anda alami kelelahan menguruskan seekor lembu pada musim Aidiladha dengan beberapa orang ahli sahaja? Daku perlu lakukannya jua sekalipun lelah, melainkan aku sanggup tengok Mek tertidur di atas lambakan daging.

PsssT: Jemput ke rumah pada Aidiladha. Kami akan hidangkan sup GEARBOX, segar dari ladang…strow bawa sendiri ya ;)

Isnin, 15 November 2010

Gambar Menara Jam di Mekah

Dah nak sambut raya. Aidiladha bakal menjelma. Bagi rakyat Malaysia, tak ramai yang sambut. Maklumlah cuti hanya satu hari. Tambah pula tahun ni jatuh di tengah minggu pula. Susah betul nak dapat cuti. Kalau cikgu tu lagilah parah. Serba salah dibuatnya.

Di Kelantan, Aidiladha sangat meriah. Jem tak payah nak cerita. Memang kalau tak ada jem macam tak sah pula. Selepas balik bercuti, Insyaallah, aku akan letak entri tentang raya. Namun kali ini aku hanya akan tampal gambar-gambar tentang menara jam yang cantik di Mekah. Baru siap. Kalaulah berkesempatan pergi sana, mesti menara ni antara tempat yang akan jadi sasaran kamera aku hu hu hu

Walaupun belum pernah sampai, gambar ni dah lama sampai sebenarnya kat aku. Aku nak kongsi dengan semua walaupun kira macam dah basilah kan. Selamat menikmati…