Anda Juga Mungkin Berkenan

Khamis, 29 Oktober 2009

Zulhijjah Datang Lagi I

Kami dikejutkan dengan kedatangan YB kawasan Chekok (aku sendiripun tak tahu nama dia, apalagi kenal wajahnya. Malas nak campur dalam bab politik) yang datang dengan mencedes hitam berkilatnya. Masa itu ayah pergi ziarah arwah datuk di tanah perkuburan belakang rumah kami. Memang dah lewat sangat masa tu, dah nak azan maghrib. Dia hanya tunggu di kepala tangga rumah kami (tangga dapur pulak tu). Kelam kabut adik aku yang tengah lap kereta cari ayah. Dengan berlagak aje aku kata “Najib (PM lah tu!) pun boleh tunggu ayah, apalah sangat takat YB Chekok je tu...” buatkan kakak iparku ketawa. Macam real je gitu hu hu hu. Hairan juga, macam mana Ybboleh kenal ayah? Entahlah...ayah bukan sesiapa, namun ada masanya dia bolehmengejutkan ramai orang. Dah lama hidup sikit, aku rasa makin tak kenal ayah hu hu hu.

Malam terakhir Mek dan Ayah berada di kampung, hingga jam 2 pagi mereka masih lagi melayan tetamu. Kami yang menjadi pembantunya itu dah terbongkang lelap sejak jam satu pagi lagi, tanpa mampu menahan lelah dan letih. Malam itu juga, beberapa orang saudara mara terdekat turut bermalam di rumah kami (Mak Cik Jah, Mak Jah, Tok Ayah Zahari dan Mat) kerana keesokan pagi kami perlu bertolak ke lapangan terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa.

Selasa. 22 Oktober 2009. Ketika terjaga jam 4.30 pagi, bau ayam goreng menusuk hidung. Mak Cik Jah yang tidur di sebelahku sudah tak ada. Ikutkan hati, memang tak terangkat kaki dah untuk melangkah, apalagi bangkit seawal itu. Kalau aku yang masih muda inipun terasa sangat-sangat tidak bermaya, apalagi dengan mek dan mak cik-makcik yang lain. Nak tak nak, walaupun mata masih sukar untuk dibuka, otak tetap mengarahkan kaki melangkah juga ke dapur. Kakak ipar sudah siap masak nasi dan hampir menyempurnakan masakannya. Entah jam berapa dia dah bangun dan masuk ke dapur pada hari itu. Tabik spring padanya!

Sebelum subuh, kami dah siap sarapan. Macam musim puasa pula. Anak-anak buah yang turut dibangkitkan awal itu juga makan tanpa soal dan terus pergi mandi bila diarahkan. Seusai solat subuh, kami bertolak dari rumah. Abang yang jadi ketua, berada paling hadapan. Yang lain hanya jadi pengikut. Maklumlah, dah lama sangat tidak ke lapangan terbang, jalan yang digunakan untuk elakkan kesesakan perlu digunakan. Sebolehnya kami tidak mahu mengambil risiko untuk lambat sampai memandangkan hari tersebut adalah hari berkerja dan bersekolah.

Kereta bergerak paling laju 70km/j buatkan aku rasa nak lompat turun dan tolak dari belakang. Aku memang sangat jarang sarapan, apalagi makan pada jam lima pagi. Makan seawal itu memang mengundang perut meragam. Sesampai sahaja di terminal pelepasan, aku terus berlari ke bilik termenung dan redakan gelora yang menggulung di perut. Ketika ke tempat mereka berkumpul semula, masing-masing sedang berbual dan melonggo di situ. Nasib baik Tok Ayah Zahari dah punggah beg dan letak dalam troli. Mereka mati-matian ingatkan aku ke kaunter check in. Masa masih lagi panjang setelah siap check in. Semua beg dimasukkan ke dalam pesawat kecuali beg yang aku pikul (mengandungi sedikit pakaianku dan lap top) yang sedaya upaya aku limitkan beratnya. Maklumlah, airasia hanya beri kami bawa 45kg sahaja untuk 3 orang. Kalau MAS boleh muat hingga 60kg. Untuk pertama kaklinya juga airasia menetapkan nombor tempat duduk. Jadinya, kami tak perlu nak berebut. Kan bagus macam ni?

Semasa di lapangan terbang, beberapa orang saudara mara yang lain juga sudah mula sampai. Mak Ngah Jenab, Cikgu Husin suami isteri, pak cik, Paei (Syafie) dan beberapa yang lain. Ruang menunggu yang dikhaskan untuk seorang sahaja pengiring jemaah haji penuh dengan kaum kerabat kami. Ketika pengumuman keberangkatan masuk ke pesawat, adegan macam drama swasta pun bermula. Mek dan ayah sebenarnya tidak pernah pergi sejauh itu. Apalagi berpisah dengan kami dalam tempoh yang sangat lama.

Ini juga pengalaman pertama untuk ayah naik pesawat (Mek pernah naik sekali sebelum ini). Jadinya, kerisauan mereka memang tidak dapat disembunyikan. Gembira juga sebenarnya. Tambah lagi bila mereka pergi bersama-sama. Tempat duduk asal aku di lorong sebelah kerana tempat duduk di tepi tingkap milik orang lain. Namun, apabila penumpang itu sampai, kami bersetuju untuk tukar. Jadinya, ayah yang duduk di tepi tingkap. Bolehlah dia menikmati pemandangan di luar nanti. Sampai sahaja di ruang pelepasan, pengumuman keberangkatan berkumandang. Kami hanya duduk menanti penumpang lain pergi dahulu. Bila keadaan dah reda sikit, baru kami turut serta.

Kesian juga tengok Mek ayah bila terpaksa naik airasia; turun naik tangga. Rasa bersalah pun ada. Kalaulah budget tidak mengekang (MAS tawarkan harga RM64 sehala ke KB tetapi terlewat sehari menyebabkan harganya naik hampir tiga kali ganda. Seminggu sebelum balik, harga itu ditawarkan semula. Adussssss sakit mental jadinya!), aku tak akan biarkan mereka susah-susah sebegitu. Namun, hati sedikit terubat bila melihat mereka riang ria je sepanjang penerbangan; menikmati awan dan suasana pagi yang cerah sambil menikmati segelas milo panas. Mek benar-benar menghayati keenakan milo panas itu sambil paksa ayah habiskan dalam gelasnya sebab tak mahu membazir (baginya memang tak masuk akal bila milo panas berharga RM5 segelas).

Turun je pesawat di LCCT, Mek suruh telefon abang tanya mereka sudah sampai rumah ke belum. Aku serahkan telefon kepadanya setelah abang menjawab dari hujung sana. Maka bermulalah arahannya yang pelbagai kepada abang dan kakak ipar. Kemas dapur. Simpan karpet. Lap itu ini. Macam-macam. Ayah hanya tersengih sambil memandang sahaja.

Abang ipar jemput kami dan terus balik. Aku balik Bangi terus kerana perlu ambil tiket untuk ke Kota kinabalu keesokan hari, sementara Mek Ayah ke Semenyih rumah kakak. Awalnya niat tidurku untuk sejam dua sahaja dan perlu ambil tiket pada petang itu juga, namun siapa nak tahu apa yang bakal berlaku? Tidurku itu bermula jam 11.30 pagi dan aku terjaga semasa jam sudah mengarah ke angka 7.30 malam. Aku sendiripun tidak percaya!

Tak rasa lapar, tak rasa letihpun. Ketika tersedar, aku masih lagi juga mengantuk. Tak pernah aku tidur mati sebegitu hingga terlepas waktu untuk ambil tiket di pejabat. Dan malamnya, jam 10.30 aku sambung tidur semula. Tidur yang sangat nyenyak juga. Esoknya, pagi-pagi lagi aku dah ke pejabat untuk ambil tiket dan tempah teksi ke KLIA untuk ke Kota Kinabalu, Sabah. Sabtu malam kembali semula ke Bangi.

Ahad, kami sekeluarga ke rumah sepupu (Anak Tok Ayah Zahari dan Mak Jah) di Kota Warisan untuk sedikit jamuan tengahari. Tak larat sebenarnya, sepanjang hari berdiri di Kota Kinabalu buatkan betis terasa lebih lenguh, tapi adakah pilihan yang lain? Baliknya masing-masing berpecah; kakak dan abang ipar yang bersama Mek Ayah balik terus ke Semenyih kerana tetamu sedang menunggu, adik dan adik ipar ke Alamanda manakala aku dan adik lelaki ke PKNS, Warta dan Metro Kajang untuk cari beberapa keperluan mutakhir yang masih lagi belum lengkap. Malamnya beli sate dang bungkus untuk kirimkan kepada Mek ayah di Semenyih melalui adik lelakiku (aku nampak mek macam teringin makan sate masa dalam penerbangan airasia tempohari. Bila dia tengok RM10 untuk 5 cucuk sate, dia tak jadi ambil).

Isnin: ikut perancangan asal, adik lelakiku itu datang ke rumah awal-awal pagi dan ambil MC (dia tak dapat cuti) dengan adik perempuanku. Aku pula akan ke Shah Alam untuk sedikit urusan. Namun, kakak telefon dan tanyakan bila nak sampai rumahnya kerana Mek dah tanya. Dia risau tak ada siapa yang akan goreng ikan bilis dan pack untuknya bawa, sementara adik lelakiku itu pula masih belum bangun lagi. Rancangan asal terpaksa dibatalkan. Shah Alam tak akan lari ke mana, jadinya tangguh dulu.

Dalam perjalanan, singgah dulu di bank untuk tanyakan tukaran asing. Setelah itu terus ke Semenyih. Aku goreng ikan bilis dan paketkan sementara kedua-dua adikku itu pergi tukar RM ke Rial Saudi Arabia, ambil MC dan singgah di Serdang ambil adik ipar yang kerja separuh hari untuk hari itu. Jam lima petang kami bertolak ke Kelana Jaya dengan tiga buah kereta. Abang ipar bersama anak-anak bawa Mek ayah pergi lebih awal, manakala yang lain-lain lewat setengah jam untuk pastikan tiada barang tertinggal dan kemas rumah yang bersepah itu. Perjalanan terpenuh jem dan sesat juga. namun akhirnya, alhamdulillah, kami semua selamat sampai. Gambar-gambar di Kelana Jaya tak dapat upload kerana masih lagi berada dalam telefon, tak sempat nak transfer ke dalam komputer.

Seusai solat maghrib, Mek terpa aku yang sedang mengenakan tudung dengan wajah yang sedikit kelam kabut. Bila kita orang check beg sandang seperti yang dia mintak, telefon baru yang abang ipar beri dah tak ada. Apalagi, merungutlah dia dengan kelalaian cucunya. Anak kedua kakaku itu memang terlebih aktif sikit, bukannya boleh duduk diam. Kelebihannya itu buatkan telefon itu hilang. Aku tak pasti cemas Mek itu sebab telefonnya hilang ataupun sebab sime kad percuma yang diberi tabung haji itu yang hilang. Kalau aku, aku lebih cemas sebab sime kad itu yang hilang sebab kos untuk telefon ke tanahair nanti akan mahal berbanding kiranya ada sime kad tersebut.

Abang ipar cuba daptkan sime kad baru (dapat tetapi entah kenapa yang dapat itu hanya ada kadnya sahaja tanpa sime kad –dah diambil dan diguna orang lain- kami menyedarinya kemudian). Orang kata ada masanya rezeki kita tak siapa yang tahu. Alhamdulillah, telefon itu cicir dan jatuh ke tangan orang yang betul. Tak lama selepas itu, kakak telah menrima panggilan (kami hanya setkan beberapa nombor sahaja dalam telefon Mek itu) dan insan yang baik hati itu telah pulangkan semula. Macam tak percaya sahaja benda macam itu boleh berlaku, sebab biasanya kalau dah tercicir tu, kira dah selamatlah...tetapi itulah yang berlaku.

Sepupu kami yang tinggal di Kota Warisan suami isteri turut datang. Kat sana juga kami terserempak dengan beberapa orang kampung kami yang juga turut hantar keluarga masing-masing. Sejauh itu mereka datang? Dalam kesesakan dan manusia yang berpusu-pusu itu, badan memang lencun bermandi peluh. Bau semerbak itu usahlan dikira lagi. Jam 9.30 malam mek ayah daftar masuk. Kami ingatkan penerbangannya jam 1.30 petang esok (mengikut makluman yang aku dapat dari tabung haji Kota Bharu), namun ternyata, mereka terus dibawa ke KLIA kerana penerbangan sebenarnya pada jam 1.30 pagi. Adegan macam dalam philem hindi pun berlaku lagi sekali. Memang sedih nak berpisah, tapi aku sebenarnya lebih gembira kerana seruan Ilahi telah sampai kepada mereka.

Aku tak pernah alami situasi yang sebegini. Aku tidak pernah tahu suasana di Kelana jaya sesendat ini. Aku juga tak pernah berpeluang hantar orang pergi haji walaupun hanya sampai lapangan terbang, apalagi melakukan semua perkara dengan terperinci berkaitan keperluan haji. Apa yang tercatat dalam dua entri ini adalah satu pengalaman baru bagi aku. Aku tak pasti pengalaman ini sama atau tidak dengan pengalaman orang lain.

Setiap orang nak pergi haji itu dikunjungi seramai orang yang kunjungi rumah kamikah? Sepenat itukah mereka? Sekalut itukah persediaannya? Sebegitu rupakah mereka tidak sempat berehat? Mek ayah bernasib baik sebab kami kuarantin dua tiga hari di Semenyih. Itupun sebab aku kena ke Kota Kinabalu pada hari Jumaat sebelumnya. Kalau tak, dah pasti mereka tak mahu lama-lama di Kuala Lumpur walaupun memang nak aku balik ambil dan temankan perjalanan mereka dari KB ke Kuala Lumpur.

Aku bersyukur sangat-sangat hajat mereka untuk ke tanah suci termakbul jua akhirnya. Mereka pergi dengan gembira dan teruja walaupun berat hati. Dan aku, hanya mahukan sesuatu yang terbaik sahaja untuk mereka walaupun adakalanya memang menguji kesabaran aku yang memang sangat-sangat kureang sabarnya ini. Sangat tinggi nilai barannya ini. Semoga mereka sihat walafiat untuk teruskan perjuangan sepanjang 44 hari di sana. Semoga mereka dapat lakukan semua ibadat dengan tenang dan tawaduk. Moga-moga mereka mendapat haji yang mabrur, semoga amal ibadat mereka diterima, dihapuskan segala kesilapan dan dosa...dibersihkan seluruh diri dan hati. Dan moga-moga juga mereka kembali dengan sihat sejahtera, selamat dan moga-moga segala-galanya yang tak mampu dilafazkan lidah. Terlalu banyak moga-moga yang kuharapkan hingga ada antaranya terbenam jauh dilubuk hati, payah untuk timbul dan munculkan diri. Apa-apapun, aku tetap tahu Allah mendengar doa moga-moga aku itu.

Mek, ayah...anakmu ini bukanlah anak terbaik dari sekalian isi alam ini, mungkin juga tidak seperti yang didambakan, namun aku tetap berusaha untuk jadi anak terbaikmu walaupun hakikatnya aku tidaklah sebaik mana. Biar apapun yang mendatang, aku sentiasa mendoakan agar kalian sentiasa dipayungi rahmat dan rahmanNya dunia akhirat. Kalian buatkan aku gagah, kalian juga yang melunyaikan harapan. Sebenarnya aku kalah dengan mereka. Hanya dengan mereka. Tidak mak cik tukang sihir, tidak pekeliling kenaikan pangkat yang baru diedarkan.

Selasa, 27 Oktober 2009

Zulhijjah Datang Lagi

Ramai orang tertunggu-tunggu ketibaan Syawal walaupun ianya baru sahaja berlalu. Maklumlah, setelah sebulan berjuang melawan lapar dan dahaga, mengekang pelbagai tahap nafsu, jadi...Syawal jadi sesuatu yang indah untuk diraikan. Namun bagi kami sekeluarga, Zulkaedah dan Zulhijjah lebih ditunggu dalam debar. Tahun ini, alhamdulillah, Mek dan Ayah termasuk dalam senarai antara puluhan ribu jemaah yang akan mengerjakan haji.

Keterujaan kami bermula sejak dapat tahu nama mereka termasuk dalam senarai. Orang tua tu dah naik darah tinggi berkala-kala masa terima surat tu. Kalut dan risau sebab tak pergi kursus haji lagi. Jadinya, mengurangkan tekanan tersebut, kami adik beradik pakat beli Viva untuk mudahkan semua urusan dan perjalanan. Beli DVD player dan dvd atau cd berkaitan haji yang boleh mereka tonton sepanjang masa yang mereka nak (Dua hari lepas DVD tu rosak. Rasanya sebab terlalu lasak diguna pakai. Nasib baik masih varanty lagi, tapi akan ambil masa juga untuk dibaikpulih. Kira hayatnya dalam 3 bulan ajelah tu hu hu hu...rasa macam cepat betul rosaknya tu walaupun berjenama jugaklah).

Semasa orang lain kalut lakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kami juga kalut siapkan kelengkapan mereka termasuk beli beg, pakaian ehram, buku-buku dan sebagainya. Semuanya kena dua. Masa beli beg menjelang Aidilfitri dulu, ramai orang hairan dengan keterujaan kami membeleknya hinggakan ada sorang kakak tu berborak dengan kami. Selamba bodoh je kami kata “Beg raya”. Mesti dia pelik, orang nak raya beli pakaian dan keperluan raya yang lain, tapi kami beli beg sampai dua. Besar pulak tu. Macamlah nak pergi raya ke Scotland.

Bila dah beli awal-awal tu, tak terasa sangat terbeban setiap bulan. Kami beli sedikit demi sedikit. Senaraikan semua benda yang nak dibeli, dari sebesar-besar barang hinggalah ke barang sekecil pisau cukur. Seluar dalam untuk ayah pun anak-anak dia yang beli...siap jenama buaya lagi tu. Padahal, kita orang sendiri pakai seluar dalam cap ayam je hu hu hu. Bila terjumpa kat mana-mana barangan yang kami senaraikan tu, akan teliti semua itu dan bandingkan harga. Sms yang lain kalau dah beli. Kalau rasa macam dah ok, masa tu jugak rembat dan simpan dalam kotak. Bila ada antara kami yang balik kampung, barangan tu akan dikirimkan.

Dua minggu lepas merupakan kemuncak persiapan kami. Aku sendiri pergi Lembaga Tabung Haji untuk semak tarikh sebenar mereka akan bertolak. Dia orang gelabah ala-ala tenuk dah tunggu surat panggilan dan tunggu tarikh sebenar. Makin dibiarkan, boleh naik darah tinggi lagi sekali. Jadinya, aku pergi je semak di Tabung Haji belakang rumah tu. Terus sms semua orang bagi tahu tarikh tersebut dan buat semua orang kalut.

Selepas raya hingga sekarang, aku memang tekan gear 5 buat kerja dan kejar tarikh akhir. Namun, memang tiada pilihan bila dah tahu tarikhnya. Kakak dan adik aku kat sini cikgu, jadinya mana boleh balik kampung sesedap rasa. Sekarang bukannya musim cuti sekolah. Aku yang memang jadi tukang mop tangga ni memang dah Sahlah perlu ambil cuti. Hanya aku saja yang perlu membolehklan diri balik kampung siapkan semua benda. Walaupun tengah kelam kabut tak cukup hari, perlu juga balik. Nak jadi cerita, tarikh akhir untuk kerja yang aku buat pada masa tersebut telah dilanjutkan hingga sepuluh hari. Bolehlah aku joli sekejab ya...

Aku mintak cuti seminggu sebelum itu lagi tetapi hingga hari Isnin (selepas Deepavali), status cuti itu masih lagi belum lulus sebenarnya. Terpaksa juga aku telefon pejabat tanyakan hal itu dan sahkannya. Risau jugak kot nanti berlaku perkara berbangkit. Maklumlah, orang memang tunggu saja aku buat silap untuk penyekkan jadi kerepek. So, hati-hatilah dengan setiap perkara yang akan dibuat dan jangan benarkan wujud ruang untuk timbulkan peluang. Betul tak?

Bila aku beritahu dah berada di kampung dan akan cuti panjang (seminggu termasuk weekend, lima hari sahaja hari kerja. Baki cuti untuk tahun ni masih ada lagi 25 hari la la la...), terus sahaja mereka janji akan sahkannya dalam sistem. Kalau tak luluskan pun nasiblah, aku memang dah ada kat kampung, dah tak boleh buat apa. Lagipun bukan salah aku. Aku dah isi borang tu seminggu awal, tak ada alasan untuk terbalikkan salah tu kat aku. Boleh tak buat gitu? Apa-apa ajelah Labu!

Sabtu jam 10.30 pagi dah turun dari rumah, makan bersama-sama adik dan adik ipaq sebelum mereka hantar ke ERL Putrajaya. Inilah pertama kali gunakan perkhidmatan ini. Biasanya pergi KLIA dengan urusan kerja, ambil aje teksi dan claim kemudiannya. Ingatkan macam naik komuter, asal saja sampai, boleh naik sahaja dan berdesup terjun ke KLIA. Rupa-rupanya, bukan semua train tersebut berhenti ambil penumpang di setiap stesen. Ada yang berhenti di beberapa stesen sahaja dan terus ke KL Sentral. Ada pula yang berhenti di semua stesen yang dilalui. Jadinya, sepanjang masa menunggu itu, dua buah train hanya lalu depan mata kami tanpa berhenti dan angkut kami sama. Masa menunggu: 18 minit. Nasib baik datangnya tepat masa.

Perjalanan menggunakan ERL memang selesa. Dengan tiket berharga RM6.40 dari Putrajaya (stesennya berdepan dengan hospital Putrajaya), orang kata memang berbaloi sangat-sangat. Selesa, laju, bersih dan kira mewah juga berbanding komuter atau Lrt. Kos pun rendah sahaja. Kalau nak ke LCCT, perlu turun di stesen Salak Tinggi dan ambil bas. Train ini akan terus ke KLIA. Sekejab sahaja dah sampai.

Sampai agak awal juga, terus check in dan masuk terminal B5. Banyak masa terluang digunakan untuk online. Maklumlah talian wifi percuma di KLIA kan. Kalau di lapangan terbang lain, memang kena pergi lepak di starbuck baru boleh dapat percuma, di KLIA, kita boleh duduk saja di mana-mana penjuru dan boleh online sementara menunggu masa terbang. Kira sempat jugalah borak dengan cik Bintang Chomel ;)

Jam empat petang mendarat di Lapangan terbang Sultan Ismail Kota Bharu. Tangkap limo pergi stesen teksi Kota Bharu. Sementara tunggu penumpang lain (di Kelantan, teksi akan tunggu penumpang penuh dulu baru jalan, kecuali kita sanggup bayar tambang lebih), aku jejalan tengok kawasan sekitar terutama kawasan stesen bas. Dah lama tak tengok terutama setelah bangunan kompleks beli belah baru tu siap sepenuhnya. Masa balik dulu, belum siap. Sekarang dah guna.

Jam 4.30 bertolak menghala ke Ketereh walaupun hanya dengan 2 orang penumpang sahaja. Pak cik tu mintak RM10 dengan aku untuk tambang hingga ke depan tangga rumah. Terpaksa setuju sahaja. Maklumlah, dah letih, panas dan melekit sangat-sangat. Teksi di sini masih lagi guna Mercedes Benz tua yang memang tak ada penghawa dingin. Lencun dengan peluh. Sampai rumah dalam pukul 5 lebih, terus sahaja tolong kakak ipar siapkan minuman untuk tetamu yang datang. Tengok mukanya pun dah tahu dia memang letih sangat. Aku yang memang tak cukup tidur sejak berminggu lepas, terpaksa buang niat untuk qada tidur secukupnya di kampung.

Kata kakak ipar, sejak dapat tahu tarikh keberangkatan (dua minggu lepas), rumah kami macam kena hurung semut. Orang datang tak putus-putus untuk jumpa Mek dan ayah. Hanya jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang sahaja Mek dan Ayah sempat rehat, makan dan solat. Adakalanya, ketika bang maghrib pun kami masih perlu layan tetamu. Belum sempat solat maghrib, tetamu yang lain (macam shif pulak dia orang ni datang) pula akan sampai. Mek selalu sahaja tak sempat makan, apalagi rehat. Nak solat pun terpaksa curi-curi saja. Malamnya hingga jam 12 kami masih ada tetamu. Adakala hingga jam 1 atau dua pagi.

Kakak ipar tak cukup tangan. Nak siapkan minuman untuk tetamulah, kena masak lagi, urus semua keperluan rumah seperti basuh dan sidai pakaian, kemas lagi. Air panas kena ada sepanjang masa. Nak mandipun kena pandai-pandai cari masa. Sepanjang masa dia perlu aktif jalan sana sini. Asal letak kepala sahaja, dia akan tertidur kat mana-mana pun walaupun semasa kami sedang berbual. Dah nampak keadaannya macam itu, tak sampai hati pulak nak tengok saja. Aku memang tabik spring dengan dia, tahan dengan kerenah Mek yang terlalu inginkan kesempurnaan (agaknya perangai aku pun macam gitulah juga kan) dan ikut citarasanya. Tahan juga layan orang yang ramai itu. Aku yang alaminya untuk tempoh tak sampai seminggu pun dah sakit-sakit badan, lenguh betis dan sakit tumit. Apa taknya, entah berapa jam sehari berjalan sana sini, buat semua kerja dan tak sempat dudukpun.

Ramai tak ramainya orang yang datang, entah berapa kilo gula sehari habis. Nescafe yang beratnya 400g (anggaran harga RM15) boleh habis paling lama dalam masa sehari setengah sahaja. Kira ni anggaran untuk bilangan tetamu yang datang ke rumah kami, tak ada niat nak hitung berapa banyak Ringgit Malaysia yang kami belanjakan. Itupun ayah boleh kata “Ayah tak royak ko sesape pun nak pergi ni...”. aku tak pasti berapa ramai yang datang kalau ayah memang buat pengumuman rasmi macam press conference hu hu hu.

Aku akui, memang tersangat letih, banyak tenaga digunakan dan tak cukup tidur. Tetamu nak kena layan, banyak kerja nak kena buat hinggakan nak keluar cari mana-mana barangan terakhir yang belum ada itupun susah. Kalau tak ada pembantu untuk sediakan minuman, basuh cawan dan urus hal ehwal dapur, tenaga Mek perlu diguna berganda pula. Kami sebolehnya tak mahulah dia terlalu letih, stress dan tak cukup tidur kerana semua itu akan ganggu urusan dia di sana nanti. Namun, tetamu yang datang juga perlu dilayan. Dan aku pula...masih lagi terfikirkan kerja yang masih belum siap. Dah berusaha untuk berjaga dan siapkan kerja-kerja itu pada malam hari, namun keletihan yang keterlaluan buatkan minda tidak mampu berfikir lagi kecuali hanya menginginkan bantal bucuk saja.

Sebelum ini, banyak kenduri termasuk kenduri kahwin telah kami lalui, namun aku memang akui keletihan kali ini terlalu banyak gandanya berbanding kendui-kenduri yang lepas. Masa kenduri kahwin, kita hanya penat beberapa hari sebelumnya hingga selesai sental periuk dan kemas pinggan mangkuk sahaja. Namun kali ini, sepanjang hari kami gunakan tenaga sebegini untuk tempoh yang lama juga. Kalau aku pun rasa nak pengsan, apalagi kakak ipar. Bila nampak saja aku balik, mukanya memang nampak berseri-seri. Bukan sebab dia terlalu rindukan adik ipaxnya yang sorang ni, tapi dia tahu aku balik untuk kurangkan tekanan dan beban kerjanya itu.

Macam-macam orang yang datang. Ramai yang aku tak kenalpun wujudnya mereka dari alam mana. Ada yang aku jumpa mereka masa kecil dulu, tetapi hilang netah kemana masa remaja hingga sekarang, baru jumpa balik. Ada juga yang aku tak pernah tengokpun sehayat ini. Yang bestnya boleh jumpa cikgu masa sekolah rendah dahulu; cikgu Nazimah. Aku pun tak pasti dia masih cam ke tidaknya muka aku yang dah tembam dan teramat Chomel ini hu hu hu. Sejak dulu lagi aku memang kurus kering dan berpenyakit (kot!), siap dengan hingus yang sentiasa meleleh sepanjang tahun hu hu hu (dapat bantuan makanan pelajar termiskin lagi tu hu hu hu).

Kemuncak kesibukan tersebut adalah pada hari Isnin 19, bila kami adakan sedikit majlis tahlil, doa selamat dan solat hajat. Walaupun buat secara layan diri, namun budaya perlu melayan tetamu itu masih menebal dalam masyarakat kita. Jadinya, ada masa masih perlu lagi sediakan makan secara berhidang untuk tetamu tertentu. Kaki tangan yang ada hanyalah aku dan kakak ipar sahaja yang akan lakukan semua kerja. Beberapa jiran yang datang tolong hanya tolong perkara-perkara tertentu sahaja, tambah pula mereka ini dah tahap mak cik-mak cik dah. Yang pangkat kakak-kakak ni, bantunya pun sedikit-sedikit sahaja, curi tulang untuk umpat sana sini tu yang banyak. Apapun, mereka tetap juga kurangkan bebanan kami berdua. Bayangkanlah kalau kami berdua sahaja buat semua benda, mahu dua hari tak siap lagi hu hu hu.

Bila semua tetamu dah balik, kerja kami masih lagi bertimbun. Bukan sahaja pinggan mangkuk dan gelas sahaja, tetapi juga semua periuk belanga dan besen yang besar gedabak itu juga. Ikutkan letih, memang rasa nak tidur saja tepi periuk itu, tetapi mengenangkan esok tentu akan tetap ada tetamu yang datang, aku gagahkan juga cuci semua kecuali periuk nasi dan periuk gulai. Malam itu, tidur kami tak bergerak. Macam tidur mati. Keesokan harinya, satu badan terasa lenguh dan sakit-sakit. Penat tak payah tanya, memang teramat sangat. Dan tetamu, tetap juga datang tanpa putus hinggalah malam terakhir Mek dan Ayah berada di kampung.

Hatiku Terkedu Memandang Warna Senja


Jumaat petang 16 October 2009: satu surat buatkan semua keghairahan hidupku sepanjang hari lebur. Nasib baik surat tu aku terima dah petang, dah nak habis waktu kerja (Malam sebenarnya...waktu kerja aku kan habis bila matahari dah lena di peraduan malam).

Ada apa dengan surat itu? Bagi orang lain mungkin tidak besar maknanya, tapi bagi aku...surat itu buatkan semangat merudum seketika. Surat itu berupa pekeliling tentang syarat baru untuk kenaikan pangkat. Bila pekeliling itu dikuatkuasakan, maka...impian untuk mohon kenaikan pangkat hujung tahun nanti lebur secara perlahan-lahan.

Saat itulah, tiba-tiba aku rasa menyesal tak isi borang kenaikan pangkat itu awal tahun dahulu, sedangkan syaratnya memang dah cukup. Apa nak buat, dahulu rasa malas nak pikir sangat hal-hal sebegitu. Bila mak cik tukang sihir tu buat hal berderet-deret (saja cari pasal sebenarnya. Aku pun tak faham kenapa dengan semua orang dia nak cari pasal. Hanya...dalam ramai-ramai orang itu, aku sorang aje kot yang melawan dengan cara paling ayu hu hu hu, tapi sebenarnya sempat juga menyebabkan mak cik-mak cik tu tertinggilah pulak tekanan darahnya. Yang lain reti kutuk belakang, sedangkan kat depan diam menikus. Jadinya, kira aku ni cabaran terbaik untuk depa dua ekoq lah ye hu hu hu), barulah aku gatal nak isi borang. Dan kini, makin gatallah tangan aku sebab kempunan nak isi borang itu.

Bermakna, paling awalpun aku boleh isi semula borang tu pada tahun 2012. Lambatnya! Terlalu lama tu! Aku risau mak cik-mak cik tu dah pencen. Karang tak dapatlah nak berpencak silat lagi. Walaupun sekarang ni dah ada “anak tukang sihir”, tapi yang tu aku tak berapa nak heran sangat sebabnya, maklumlah...baru aje berstatus anak kan. Jadi, senang sangatlah untuk aku goncang dia punya kuasa sihir tu. Sekali libas saja dia dah tercangak-cangak cari jalan nak sembunyi. Orang kata cabaran tak hebat sangat.

Maka sesungguhnya, aku memang agak terkilan sekali dengan pindaan syarat untuk kenaikan pangkat itu. Kalaulah aku tahu akan berubah begini, dah tentu aku akan mintak awal-awal lagi. Kalau takat perlu ambil PTK 5 je, tak jadi masalah sangat. Kedua-duanya aku boleh selesaikan pada tahun hadapan, namun ada syarat lain yang perlu aku penuhi. Padahal syarat itu tak pernah ditimbulkan sebelum ini.

Apa yang aku kecewakan itu hanyalah...aku perlu tunggu sekurang-kurangnya hingga 2 tahun lagi untuk penuhi semua syarat itu. Dua tahun itu terlalu lama untuk aku tunggu. Sebabnya, aku dah rancang untuk dapatkannya paling lewat pertengahan tahun hadapan. Dan semua perancangan itu perlu diubah gara-gara pekeliling tersebut.

Apa yang aku belajar dari semua ini adalah: Cepat dan jangan tangguh. Kalau dah layak, isi sahaja borang dan mohon. Kalau tunggu lama-lama lagi, orang yang jadi “pengubah dasar” akan tambah macam-macam lagi syarat agat tidak ramai yang mampu naik ke atas. Caranya itu semacam: tak mahu turun ke bumi dan tak mahu orang lain naik ke langit. Aneh betul!

Sekalipun semangat pernah merudum, namun aku tahu, dalam masa dua tahun ini, aku akan pastikan aku layak untuk isi borang tersebut. Dua tahun memanglah lama, namun tidaklah selama lima tahun atau sepuluh tahun. Aku tak bercita-cita nak jadi bos pun, namun ada dua benda aku akan dapatkan sebelum pencen. Tempoh untuk jejak pencen itu masih lama, aku memang pasti lebih dari dua benda itupun aku mampu dapat walaupun di sini terlalu ramai tukang sihir menggunakan penyapu untuk terbang. Kalau hidup aku panjang hingga sempat pencen, aku berdoa agar ketika itu aku tidak akan menjadi “anak tukang sihir” mahupun “tukang sihir” ataupun “nenek sihir”. Aku hanya nak jadi diri aku sahaja. Dalam hidup ni pun, tak banyak benda yang aku nak sangat. Nama, pangkat, glamer, kuasa atau terlebih kaya dari orang lain pun aku tak heran sangat, entah kenapa Allah takdirkan aku tak punya rasa iri untuk penuhi semua itu. Aku hanya nak “selesa dan bahagia” dengan kerja aku sekarang dan hidup aman damai sesedap rasa aku.

Aku tahu, aku bukanlah manusia yang bercita-cita tinggi melangit, aku hanya nak jadi diri sendiri yang punya beberapa “benda” dalam dunia terpenuh keinginan duniawi ini. Benda yang aku kejar itu sebenarnya hanyalah kehendak dunia semata-mata kerana walaupun aku niatkan “kerana Allah”, di sisi Allah tak sebesar mana maknanya. Hanya manusia yang agungkannya. Hanya keinginan dan nafsu manusia yang dambakannya. Dan aku sebenarnya terlalu takut untuk miliki semua itu kerana risau kalau-kalau nanti akan menyebabkan aku pula menjadi tukang sihir. Kalaupun kerisauan itu tetap ada, aku tetap juga mengangankannya. Pertama, kerana itu yang aku ingini sejak sekolah. Kedua, buktikan aku juga mampu capai apa yang mereka kejar, lebih daripada apa yang mereka dapat dan jangkakan. Ketiga, aku nak buktikan yang “benda itu” bukanlah faktor utama menyebabkan manusia BERTUKAR jadi tukang sihir. “Benda itu” hanyalah benda, diri sendiri yang tentukan sama ada nak jadi pari-pari atau tukang sihir.

Semasa di Bukit Jugra, aku bertekad untuk naik pangkat pertengahan tahun depan, namun kini list tersebut perlu aku buang dari entri mindaku. Pindahkan ke jangka masa dua tahun. Dengan itu juga, aku perlu ubah beberapa perkara lain dalam hidup ini untuk disesuaikan dengan semua keperluan tersebut. Perubahan drastik yang perlu aku buat adalah: siapkan belajar secepat mungkin. Aduhhhh minggu depan nak kena beritahu R.A aku supaya kerja lebih laju lagi. Mesti dia stress gila kerja dengan aku kan hu hu hu.

Sebut pasal R.A ni, dah nampak beberapa reaksi tak senang daripada beberapa individu bila aku gajikan R.A. tahu kenapa? Cabaran yang aku beri dah pastilah kian sengit! Sebelum ada R.A pun aku mampu buatkan beberapa bontot panas nak duduk, apalagi kalau dah ada R.A Hu hu hu...aku akan sentiasa mencabar sesiapa sahaja yang sanggup bersaing secara sihat. Andai ada antara mereka bersaing dengan cara tak sihat pun, jangan risau...aku tetap tak akan “kadah keting” sesiapa. Kalaupun mereka menang pertarungan di dunia fana ini, aku tidak pernah akan musnahkannya kecuali takdir Allah jua yang akan merentapnya dari mereka. Boleh gitu?

Boleh tak boleh pun kira boleh ajelah. Aku nak hidup dengan tenang di dunia terbentang luas ini, dan berbahagia bila berada di sana. Ada sesiapa nak ikut perjuangan tanpa “kadah keting” ini? Jom...majulah diri kita untuk kehidupan sejagat, majulah kita untuk kehidupan selamanya.

Ada kaitan tak tajuk nan dramatis tu dengan cerita yang dramatis juga ini? Mmmmm kira halallah ya hu hu hu...

p/s: “Kadah keting” merupakan dialek kelantan yang bermaksud menghalang orang lain ke hadapan (maju) dengan cara menyilang kaki di hadapan lawan secara tiba-tiba. Lawan yang tersandung kaki itu akan jatuh gedebuk macam nangka busuk. Ada masanya kita sempat lihat musuh menghalang kita sebegitu, tetapi disebabkan sifatnya yang berlaku secara tiba-tiba itu, kita tidak sempat untuk mengelak atau melawan. Jadinya, berhati-hatilah ketika melangkah, mana tahu ada orang silangkan kaki di hadapan kita supaya kita jatuh.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Sesekali Bila Memuji


Dah penatlah marah-marah. Orang kata, kalau selalu marah-marah, wajah cepat tua. Umurpun singkat. Penyakit banyak datangnya. Hatipun tak tenang. Jadinya, tak nak lah semua gejala itu buatkan hidup aku ni terganggu. Nak juga rasa sihat. Rasa gembira. Rasa sentiasa muda. Jadinya, nak kena senyum pulak ni. Tak mau dah marah-marah, walaupun ketika ni aku memang tengah bengang gila (hampir-hampir naik gila dah ni) dengan lawyer firm ni. Namun, aku ambil keputusan untuk memuji pulak dalam entri ini.

Tak mudah untuk aku puji orang, tapi kalau aku dah puji tu...maknyanya, memang tulus ikhlas dari dasar hatiku. Untunglah sesiapa yang dapat pujian aku. Mahal tu!

Satu masa dahulu (dah lupa tahun lepas atau tahun sebelum tahun lepas...lu kira la sendreyyy!), aku pernah ke PD keseorangan. Lebih tepat lagi Teluk Kemang sebenarnya. Saje je nak buang stress dalam kepala dengan hidu angin laut sebelum stress tu menular jadi wabak dan sindrom tak terkawal. Masa perut tengah keroncong tengah nyanyikan lagu-lagu M.Nasir (ada sesiapa punya mp3 lagu “Kau dan Aku” nyanyian M.Nasir dan Yunizar Husin tak? Nak mintak!), aku singgah di satu gerai. Memang hanya gerai itu sahaja yang buka pada masa tersebut. Apa saja yang ada dan tentu perut akan terima sahaja. Tengah lapar hampir ke arah kebuloq. Tak sempat sarapan pun, padahal waktu itu jam dah lebih tiga petang. Amalkanlah selalu!

Masa duduk di kerusi (hari tu bukan hari minggu, jadi tidak ramai pengunjung. Bukan musim cuti juga) hanya aku yang ada selain sepasang kekasih sedang menjamu selera. Bagi sesiapa yang selalu pergi Teluk Kemang, pasti dah tahu sangat tahap kebersihan gerai-gerai di sana, namun pilihan memang tidak ada. Nak atau tidak, terpaksa saja makan di situ.

Lama duduk, tak siapa datang ambil order. Rupa-rupanya bos tengah “basuh” pekerja. Lantang suara bos, menikus sahaja anak buah. Diam dan tunduk pandang lantai. Lebih banyak kena basuh adalah si tukang masak. Masa tu aku terfikir, kalaulah tukang masak itu tetiba saja mogok, tinggalkan senduk dan kuali lalu blah pergi main laut...apa jadi dengan perut aku? Tengah lapar mencapai tahap kebuloq ni!

Lambat datang ambil order, pekerja indon itu kena marah lagi sekali. Entah berapa banyak anak tebuan bos dia makan masa sarapan tadi agaknya...bengkeng aje! Dengan muka separuh merah, separuh pucat, dia datang hampiriku dan mintak order. Payah juga untuk dia senyum dan layan dengan baik, maklumlah baru kena marah. Bos pula marah pekerja depan pelanggan. Semua orang dengar termasuk pekerja-pekerja di gerai yang lain, orang lalu lalang dan berdekatan. Nasib baik bukan aku pekerjanya. Kalau tak, bukan saja kerusi meja aku terbalikkan, sekali dengan gerai itu aku campak masuk laut. Biar padan muka dia! (Ingat sikit bos, doa orang yang rasa dirinya teraniaya mudah makbul. Kena mak Indon tu tadah tangan doa bos tumbuh tanduk...parah jadinya. Tak pepasal bos jadi Jin Noti lak!).

Aku mintak mi goreng basah dan teh o ais limau saja. Itulah menu waktu terdesak aku sebenarnya. Bukan suka sangat, tapi kalau dah tak ada pilihan, memang itu pilihan terakhir. Sekejab sahaja tukang masak itu siapkan. Itupun hentak senduk dan kuali tak usah cakaplah kuat tidaknya. Memang tengah panas hati. Nak hentak kepala bos dengan senduk memang tak dapat dah, hentak ajelah kuali. Kalau pecah bos boleh tukar!

Aku makan tanpa banyak soal. Orang tengah kebulor memang telan apa saja yang ada. Kulit pisangpun rasa sedap apalagi mi goreng basah. Masa buat bayaran, aku tanya siapa yang masak. Bos yang tengah kira harga patut aku bayar terhenti buat kerja. Mendongak pandang muka aku tanpa kelip. Tajam.

“Kenapa?” soalnya dengan muka merah. Suara dah berubah. Pandangannya macam nak telan aku. Aikkkk, aku bukan pekerja hang, jangan dok nak buat tak tentu marah orang! Karang tak pepasal kena perang mulut lak!

Aku terdiam tak terkata. Terkejut sebenarnya. Kalaupun dia tak tahu jaga air muka pekerjanya, maki hamun pekerja sesedap rasa tak kira tempat, atau jadikan suasana kerja yang stress untuk tunjuk kuasa, apakah perkara yang sama perlu dia buat kepada aku, padahal aku ini kan pelanggan yang akan beri dia rezeki. Walaupun pekerjanya itu orang yang dia bayar gaji, tak bermakna dia boleh buat sesuka hati. Dia kena ingat, pekerjanya itu juga ORANG yang ada hati, perasaan dan harga diri.

“Saya nak ucapkan terima kasih sebab dia masakkan mi goreng yang sedap untuk saya,” balasku seayu dan sesopan yang boleh. Lebih sopan daripada apa-apa miss yang dinobatkan seluruh dunia. Moga-moga pujian itu boleh berikan motivasi kepada si tukang masak. Moga-moga sejuk hatinya. Moga-moga puji itu boleh beri semangat baru untuknya berkerja setelah merudum hingga ke kaki dek mulut bos yang celupar dan pra-san bagus itu. Padahal tingkahnya itupun kita dah tahu lavel bagusnya itu takat mana.

“Lapar sangat kot...sebab tu rasa sedap!” selamber toyer je si bos bersuara sambil tarik bayaran dan pulangkan baki. Aku tetap ucapkan terima kasih juga kepada si tukang masak yang tetiba jengulkan kepala dengan senduknya. Boleh nampak air mukanya yang muram dan terpenuh api sebelum itu berubah jadi tenang, ceria dan berseri-seri walaupun tak ada suara dilafazkan. Aku kagum dengan adik ensem itu yang sanggup bersabar dengan bos dia nan kemaruk kuasa.

Salahkah aku hargai orang yang masak untuk aku tengah kebulor tahap kronik ini? Salahkah aku puji untuk beri semangat dan motivasi kepada dia setelah bosnya sendiri lenyek perasaan “sukakan kerjanya” dengan marah-marah dan malukan dia di hadapan kawan-kawan gerai lain dan pelanggan? Salahkah aku gembirakan hati orang lain walaupun tak kenal dia pun. Ataupun sebenarnya, aku bersalah kerana puji si tukang masak ensem itu tetapi lupa nak puji bos tukang masak?

Budaya kritik memang dah berakar umbi dalam masyarakat kita. Semua orang buat tak pernah kena. Semua orang buat tak pernah bagus. Diri sendiri sahaja yang kena, yang bagus, yang baik. Pantang salah sikit, atau ada masanya tidak salahpun, hanya tak kena dek mata kita sahaja, mata orang lain ok-ok aje. Maka seperti peluru berpandulah kita buat kritik. Macam bertih goreng kita akan komen. Macam meriam buluh berdentum serata alam. Canang hulu hilir. Merata. Namun, bila ada orang buat kebaikan, sanggup tolong kita sedaya upaya hinggakan hal-hal yang tak perlupun dia tolong, lidah kita amat berat nak ucap terima kasih. Kelu tak terkata. Jari-jari kita payah amat nak taip dan tulis, kemudian hantar ke mana-mana akhbar, majalah atau stesen TV untuk ucapkan terima kasih walaupun orang korbankan nyawa untuk kita, berbanding sedikit silap dan salah faham yang bolehpun kita lupakan sahaja tanpa besarkan isu tersebut. Kalau boleh, mak cik tukang cuci jamban yang lupa nak bagi salam kat kita sebagai pegawai teramat BESAR (termasuk badan kita yang besar) pun kita nak bawak masuk meting. Betapa tak hormatnya mak cik tukang cuci tu pada pendapat kita (Luuu pikir la sendrey, dalam jamban pun nak kena bagi salam ka? Karang kena gelak dek jin pakai toceng lak! Itupun nak kena bagi tau...apa daaaaaaa!)

Kalau kita ucap terima kasih, kalau kita memuji tentang kecekapan atau kecemerlangan seseorang atau agensi tertentu, maka pujian itu pula dipandang serong. Dilihat pelik. Sama maksudnya macam: “Buat apalah nak puji-puji, tu kan dah keja dia. Dia dibayar untuk jadi hamba saya”. Boleh gitu?

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa untuk tulis surat terima kasih yang dihantar kepada ketua pengarah itu ini dan kemudian memuji seorang mak cik mop lantai yang tolong basuhkan kaki kita yang berlumpur masa kita jatuh longkang?

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa untuk tulis surat terima kasih yang dihantar ke akhbar, TV, majalah dan sebagainya untuk beri penghargaan kepada tukang kebun sekolah yang sentiasa awasi keselamatan anak-anak sebelum mereka dikutip bas sekolah ke sekolah agama? Kalau anak hilang, cepat aje latahnya salahkan pak cik tukang kebun tu, padahal, bukan kerja dia jaga anak-anak kita. Kerja dia jaga pokok je!

Berapa orang dikalangan kita yang sanggup luangkan masa beberapa detik dalam kesesakan jalan raya masa balik kampung pada musim perayaan dan hulurkan sebalang dua tart Soul yang sedap itu kepada anggota keselamatan yang bertugas? Macamlah kita saja ada hati nak gembira di musim perayaan, macamlah mereka itu tak punya perasaan itu. Macamlah mereka tak sambut raya. Satu paket kuih raya yang kecil itupun dah terlebih dari cukup untuk gembirakan mereka walaupun hakikatnya mereka perlu kongsi 14 orang. Yang penting kita ikhlas hulurkan sebagai tanda terima kasih kita, walaupun sebenarnya tak memadaipun.

Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih bersulam senyum kepada mana-mana petugas di kaunter yang kita kunjungi setelah semua urusan kita diselesaikan. Ucaplah “Selamat Hari Raya” kepada adik-adik kerja tol. Dahlah hari raya, dia tak dapat cuti. Ingat air mata tak meleleh ke terkenangkan keluarga di kampung? Hari ini, sama-samalah kita mulakan tradisi mengucapkan terima kasih ini. Tak susah pun...hanya senyum dan ucapkan terima kasih (walaupun di lorong tol. Bukan ke depa patut ucap terima kasih ke kita dah bagi bayaran? Hu hu hu tiap kali ucap terima kasih, depa buat donno je kecualilah kalau adik jantan yang jaga tol tu...sempat lagi tanya nombor telefon tu. Gitulah pulak!).

Sebagai permulaan, aku nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi baca tulisan panjang ini. Terima kasih, andai bermanfaat, sama-samalah kita kongsi. Andai rasakan ianya hanya bebelan, jadikannya sebagai alun muzik yang mendodoi jiwa. Syahdu!



Rabu, 14 Oktober 2009

Kini Semua Orang Boleh Terbang

Waaaaa gegak gempita semua orang pergi melancong, melencong dan memancung ya bila syarikat tambang murah ni lelong harga tiket macam lelong sayur kat pasar malam. Murah! Murah! Murah! Semua orang senang hati je terbang mana-mana aje.

Dulu-dulu aku penah dapat tiket yang harganya 99 sen sempena besday yang entah kali ke berapa. Pergi balik ke Alor Star hanya RM20 je…lebih murah dari harga tambang bas. Itu dululah. Sekarang ni tak tau lah harga yang sebegitu masih ada lagi ke tidaknya. Masa itu memang adalah, sebab orang tak tau lagi nak terbang pegi mana-mana. Terbang tu sesuatu yang gah lah masa tu sebab harga tiket MAS memang boleh beliakkan mata. Kalau takat nak jejalan buang masa dan buang angin merata tu, ada siapa nak? Lainlah kalau terlebih kupang.

Sekarang ni, merata-rata dah sampai. Merata-rata boleh pergi. Beli tiket pun pakai klik, klik aje…dah dapat!


Sebenarnya sekali itu ajelah pun aku naik kapai terbang warna merah-putih menyala ni. Itupun sebab dapat harga yang 99 sen tu. Kalau tak…haram aku dapat naik! LCCT pun aku belum tau lagi letaknya tang mana. Nak kata jakun ke apa, apa aku heran.



Kalau naik belon tu pun sebab urusan kerja. Urusan kerja ni biasanya pejabat akan ambik tiket MAS. Rembat je teksi dari Bangi, sejam kemudian dah pun terpacak di KLIA. Orang dok cerita LCCT tu jauh, tambang mahai skit dari pergi KLIA ke apa…manalah aku tau pun. Ada aku kesah?



Nak jadi cerita, aku kena pergi Bandung untuk urusan kerja. Pihak penganjur ambik satu travel agensi yang akan uruskan segala mak nenek yang berkaitan. Depa kata boleh book sendiri secara online untuk tiket kapai terobang tu. Aku pun booklah online.

Dua jam terkial-kial dok book macam yang orang lain dok buat tu. Kejab computer hang. Kejab tak leh jejak ke laman seterusnya. Kejab yang lain tak kluar muka rimau yang kena klik masa nak bayar. Kejab lagi itulah yang jadi, kejab yang lain, lain lagi yang jadi. Naik lenguh jari dok taip benda yang sama. Naik lenguh belakang dok hadap computer. Naik darah tu payah nak kiralah. Akhir-akhirnya, depa tolak juga bayaran dari Pak Rimau kuning aku tu, tapi tak kluarpun slip nombor tiket dan bla bla bla seperti yang patut. Hati dah panas. Dah didih ni!

Kenalah pulak telefon. Memang dah tak ada cara lain. Naik lenguh jari dok dail nombor +603 2171 9222 (Inquiry) untuk Tanya apa ke jadahnya dah jadi. Sepuluh minit tunggu, dua belas minit…lima belas minit, akhir-akhirnya robot betina itulah jugak yang dok jawab. Dok bagi tau iklan yang macam-macam. Kalau ada darah tinggi memang dah naik lebih 200 ni...

Lenguh telinga dok dengar robot betina tu…dail lah pulak nombor 603 2171 9333 (Booking). Robot betina jugak yang jawab. Sama aje jawapan dia walaupun dah tunggu hingga 10 minit;
“Mohon maaf, kerana telah membuat anda menunggu. Semua talian kami sedang sibuk. Anda dipersilakan menunggu di talian atau boleh menghubungi kami kembali”

Berbelas minit robot tu dok jawab, tak lenguih ke dia? Aku yang dok dengax ni pun dah rasa macam nak muntah. Last2, jawab la sorang pompuan bersuara manis. Mintak itu ini, cakap macam tu macam ni…”sebentar cik, saya akan semak….” Pergghhhhh sopan macam boleh buat menantu. Kalau tak ingatkan skirt senteng yang depa pakai tu, nak aje aku rekomen kat sepupu aku yang memang tengah cari bini.

Setelah 20 minit berlalu, akhirnya dapatlah nombor rujukan untuk aku tunjuk masa nak check in nanti. Itupun tarikh yang aku isi tu salah pulak. Balik awal sehari berbanding orang lain. Bila nak tukar ke tarikh baru, depa mintak duitlah pulak. Senang-senang, balik ajelah awalpun. Bukannya banyak harta bendapun nak shooping sakan pergi sana nanti. Jadinya, TERbaliklah awal sehari berbanding orang lain. Simpan je nombor tu kat tempat yang paling bagus, macam nak simpan gambor sang kekasih lah pulak. Dua hari kemudian, travel agensi tu telefon bagi tahu jadual penerbangan berubah. Dia mintak aku telefon sendiri sebab booking tu aku buat sendiri, bukan dengan agensi.

Terhegeh-hegeh lagi aku telefon. Berpuluh-puluh minit kena tunggu. Bila dapat selamba katak puru je depa bagi tau “Penerbangan cik dah dipinda ke jam 10 malam,”. Ikut suka mak bapak dia je nak tukar masa penerbangan orang. Hangin satu badanlah (dah lama pun tak naik angin ni!). Aku memang dah kena ada kat sana jam 3 petang, sesedap rasa je depa tukar pergi malam.



“Saya pergi urusan kerja, bukannya layan nak shooping,” naik sikit suara aku. Sempat lagi kontrol ayu tu.
“Saya cuba check flight awal untuk cik…tunggu sebentar ya…” tau lah pulak dia nak check!

Tunggu sana sini entah berapa minit lagi, akhirnya dia beritahu penerbangan itu diawalkan 5 minit dari penerbangan asal. Ada pun flight awal! Dah depa yang buat hal ubah dan tukar sana sini, aku pun ambil kesempatanlah tukar penerbangan masa balik. Masa book dulu, terawal sehari, jadi….mintak penerbangan keesokan harinya. Yahooooooo ada masa jugaklah nak melaram sehari lagi kan la la la…hepilah tu konon!

Dua tiga hari kemudian (kira hari ni lah tu...), masa tengah dok kalut nak kejar tarikh akhir, tetiba je berlagulah Sudirman dengan Basikal tuanya. Sms dari airasialah pulak. Perubahan dulu, travel agensi yang bagi tau…tetiba je hari ni airasialah pulak hantar sms bagi tau jadual berubah lagi. Berubah lagiiiii?????? Darah tetiba je naik ke kepala. Dahlah dua tiga patah je yang aku faham dari smsnya tu, mintak kitalah pulak call depa. Ada jalan ke? Sebenarnya sapa raja n i? Aku ke dia? Bukan aku pelanggan ke? Dah aku kena bayar harga tiket, aku kena bayar jugak harga bil untuk Tanya soalan-soalan bodos sampai kena tunggu entah berapa puluh minit, sekarang ni suruh aku telepon lagi? Berapa banyak bil pulak aku kena bayar??? Tolonglah wehhhhhh! Kalau aku tau macam ni…korang rasa aku nak ke book? Aku sanggup aje tak shooping dan labor kat MAS kalau tak payah berdepan dengan benda-benda macam ni.

Nak ke tidak, kenalah telefon. Karang ada apa-apa, aku pulak yang naik darah. Aku pulaklah yang mengamuk kat LCCT nanti. Masa tu, kang heboh satu dunia LCCT aku benamkan ke Selat Melaka. Atromen pun terkebil-kebil nengoknya nanti, apalagi Wak Suparman kan. Bila telefon tu, macam biasalah…jawapan ni ajelah yang robot betina tu tahu jawab:

“Mohon maaf, kerana telah membuat anda menunggu. Semua talian kami sedang sibuk. Anda dipersilakan menunggu di talian atau boleh menghubungi kami kembali” sopan je robot betina tu jawab berulang-ulang kami hingga akhirnya masa di telefon aku dah bergerak ke angka 8 minit 24 saat, barulah berjawab. Itupun nasib baik berjawab, setelah entah berapa kali dail sebelumnya dihidangkan dengan suara merdu robot betina itu.

Sorang lelaki bersuara macho jawab panggilan. Mintak itu ini, catat itu ini kemudian selamba cencorot je jawab…”maaf cik, penerbangan tu sama seperti yang dijadualkan,”

Aku tengah kalut malut dok kejar tarikh akhir macam ni, korang rasa aku boleh slamber badak ke ucap terima kasih kat dia orang dengan lawak paling bodossss penah aku jumpa tu? Adalah orang nak kena terajang ni!

Slogannya “semua orang boleh terbang”. Sebelum terbang lagi aku dah nak BERTUKAR jadi atromen, belum lagi kira masa nak terbang, ataupun setelah terbang pergi sana. Dibuatnya berubah entah berapa kali lagi, haruskah aku BERTUKAR jadi hijau dan musnahkan kapai Tony Fanandez tu?


Aku dah tak ada hati dah nak terbang pergi. Sekarang ni aku teringat satu lagi tiket yang aku tempah dengan belon merah-putih tu. Akan jadi hal yang samakah?

Apa yang aku tahu, rasanya aku nak bertaubat kot booking dengan belon merah-puteh ni. MAS pun ada jugak buat offer gila-gila macam tu…dah malas nak tanggung risiko sakit jantung dan darah tinggi. Ampunkanlah aku Datok Tony! Aku ni mudah serik! Doa-doakanlah serik itu hanya sketika sahaja…

Aku tengah nak meletopppppp....tak de niatpun nak burukkan sesiapa. Kalau jadi kat hang pa, hang pa rasa macam mana? Aku rasa macam kena bodossssssss je dengan depa ni hu hu hu

Sedang Memecut dengan Gear 5 Turbo Automatik

Dah dua minggu aku tanamkan azam berkerja dengan gear 5. Pecutan!


Gear lima itu memohon aku kurangkan masa tidur hinggalah aku peruntukkan hanya 2 jam sahaja. 22 jam lagi itu masa untuk kerja. Targetnya, dalam masa 3 bulan (hingga tahun baru) aku sempat kejar apa yang telah dirancangkan sejak awal tahun. Mudah-mudahan. Masih punya waktu lagi!

Rasa macam gila tak? Macam sedang bunuh diri? Lebih kuranglah tu.

Tak kesahlah apapun panggilannya, aku memang dah ditakdirkan hidup dengan cara gila itu sejak dahulu. Cumanya, kebelakangan ini sewel itu sedikit meningkat. Harapnya tak tersasar ke Tanjung Rambutan sudahlah. Kalau musim buah-buahan, ok aje kot!

Sepanjang minggu lepas, aku siapkan apa yang ditargetkan. Dah siap, dah hantarpun. Dan, dah qada tidur untuk 2 malam (maknanya tidur selama 6 jam untuk kedua-dua malam berkenaan. Kira macam orang lainlah kan...ke ada yang jadi beruang kutub, jaga hanya selama 6 jam sahaja!).

Mula sahaja minggu ini, bermula semula catuan tidur selama 2 jam itu. Ada tarikh matang baru yang perlu kukejar dan tarikh itu adalah hari ini. Namun, dukacita dimaklumkan yang report tu belum siappun. Baru 50 peratus. Macam mana tu? Langgar tarikh akhir lagi! Entahlah labu!

Semalam, aku tak buat apa-apa di pejabat. Selepas meting, kepala rasa hanyut sikit. Tekak rasa nak minum nescafe panas, namun apa daya tengah puasa. Nak kejar Syawal yang dah nak labuhkan tirainya itu. Akhirnya, aku golekkan diri di bawah meja dan tarik bantal serta totto. Best je lelapkan mata dalam dingin econ, dalam hangat totto. Nasib baik tak mimpi.

Bila bangun dikejutkan alarm tepon, mood kerja memang lari entah ke mana. Dah cuci muka, gosok gigi, siap wuduk pun...hati masih teringin nak tarik bantal semula. Alihkan perhatian otak kat bantal, aku gunakan tenaga pergi sana sini, naik tangga turun tangga dan macam-macam lagi. Akhirnya...tetap juga mengantuk. Meleleh-leleh air mata tak dapat nak tahan. P.A aku tu siap suruh tarik bantal semula (mana nak cari PA yang sporting gila macam tu hu hu hu). Namun akhirnya aku putuskan balik rumah lebih awal dari biasa. Kalau sambung tidur kat pejabat, risau jugak aku terbangun keesokan harinya. Heboh nanti!

Jam lima aku dah rempit balik rumah. Ramai yang terkejut dan sindir-sindir. Bukannya ada laki kat rumah untuk dilayan (Ingat laki je ke kena layan? Diri sendiri lagi perlu layanlah!). Singgah tepi longkang dan beli nasi kerabu dengan adik-adik di tempat yang selalu saja aku beli. Sampai rumah, tutup langsir...buka econ, tarik selimut dan tutup mata rapat-rapat. Namun...payahlah pulak nak tidur. Tadi bukan main lagi...masa bercakap pun rasa macam dah terpejam. Dah letak kat bantal paling lembut ni pun masih tak boleh tidur ke?

Entah bila tertidur. Bila tersedar dah jam 7.15. Dah terlepas waktu berbuka puasa. Sekarang ni azan maghrib jam 7.03 minit. Sekelip mata sahaja lenyap sebungkus nasi kerabu, semug nescafe panas. Ohhh bahagianya! Jam 10 baru mandi bila rasa melekit dan mata mahu tutup kembali.

Dah rasa selesa, terus buka kerja depan tv sambil menikmati drama bersiri mandarin kat tv7 hingga jam 12. Namun, jam 11.30 malam, perut tetiba keroncong balik. Hilang akal apa! Biasanya, kalau dah jam 9.30 malam tu, aku memang dah tak mengunyah lagi. Elakkan pengumpulan lemak berlebihan sebelum tidur.

Biasanya payah nak lapar dalam waktu sesingkat itu. Masa jamuan hari raya di UKM, aku sebat 3 keping lemang dan 2 keping roti jala sahaja tetapi kenyangnya hingga malam. Kan dah berbuka puasa jab tadi...sape yang makan agaknya?

Nak tak nak, selongkar juga peti ais, panaskan mehun sup lebihan kiriman kakak masa rumah terbuka dia tempoh hari dan sebat satu mangkuk. Urrrpppppp sendawa. Baru saja nak mula sambung kerja semula...mata semakin berat. Waduhhhhhhhhh apa dah jadi ni?

Hati memujuk-mujuk diri agar tidur. Sekejab sahaja. Apa salahnya kalau sekejab kan, memang pun dah kena tidur. Namun, bila bangun...di luar jendela hujan tengah melebat. Sejuknya! Dinginnya! Indahnya kalau dapat bergumpal dalam selimut. Aduhhhhhhh ya ampun! Kenapalah besar sangat dugaan kali ini? Luar biasa benar. Inikah tandanya aku akan dicincang lumat lagi?. Siapa lagi kalau bukan mak cik mak cik tukang sihir. Itukan memang dah kerja depa!

Dah penatlah nak set dalam kepala yang minggu ni masih perlu tidur 2 jam sahaja sehari. Minggu depan bolehlah nak tidur 12 jam sehari pun. Kenapalah susah sangat nak disiplinkan diri ni? Bukannya lama pun lagi...2-3 hari je lah!

Rasa-rasanya, aku tengah sewel ke apa?
Bukankah sekarang sedang tekan gear 5 turbo. Automatik lagi. Kalau macam ni...dah jadi gear 1 ni wehhhhhh!


Tolong! Tolong! Tolong! Aku rasa...aku sedang menapak ke dalam dunia penuh kegilaan. Selamatkan akuuuuu!!!

Isnin, 12 Oktober 2009

Izinkan Aku Diam di Jantungmu

Puisi spontan kala menikmati agungnya ciptaan Tuhan;




Jari jemariku kian kaku,
untuk detik ini, biarlah kutinggalkan dikau
kenangan yang tetap terpahat


tanyalah batu-batu di Tekala
entah berapa kandria pegunnya menanti desir dingin
belaian lembut air berliku di kakinya

hatiku masih tertinggal di situ,
bersama gigih si ikan kecil
menongkah arus mendaki juring licin
menjamah kekar batu nan setia
biar hakisnya melakar lelas
namun kutahu, kau tetap teguh disitu
menanti dan terus menunggu.


kala rindu bertandang, izinkan aku menjengukmu lagi



Isnin, 5 Oktober 2009

Rumah Terbuka

Aku malas nak taip apa-apa, hanya nak tampal gambar je. Pandai-pandai koranglah pikir cerita ni tentang apa...boleh gitu?



Boleh tak boleh pun peduli apa!


Terima kasih kepada tuan punya unta yang sudi bawak pegi jejalan