Anda Juga Mungkin Berkenan

Jumaat, 31 Julai 2009

Kota Kinabalu Lagi 2

Sabtu, 25 Julai 2009.

Pagi-pagi lagi terpaksa bangun. Terpaksa mandi. Terpaksa sarapan dan jam 7.30 pagi aku dah tercegat di UMS. Yang ada hanyalah budak-budak urusetia sahaja, orang lain belum ada yang sampai lagi. Dahlah aku kena mula bahagian aku tu jam 8.30 pagi ni...akhirnya, hanya aku seorang je isi slot selama sejam itu yang sepatutnya diisi oleh 3 orang. Nasib baiklah aku pandai goreng (hampir-hampir hangit juga!) kalau tak, nampak sangat aku ni senang kena bantai kan hu hu hu. Yang bantai aku tu pulak, dah mak cik dan pak cik. Itulah gunanya selalu kena sihir dek makcik-makcik sihir kat pejabat aku tu kan?

Jam 11 balik hotel untuk pack barang. Sempat online pun sambil pack dan golek-golek sekejab. Jam 1 baru check out dan terus ke airport. Dah check in, cari kafe untuk isi perut. Penerbangan jam 4.10, memang sah akan lapar. Dahlah tak makan tengah hari tadi. Penerbangan ini akan singgah di Labuan dulu. Dah tentulah jam lima lebih baru dapat makan.


Kalau tak sempat beli ikan, boleh beli kat airport je...harga, tak tau!
Jumpa kedai cenderamata ni, ingatlah pulak kat Dina...banyaknyeeee FM kat sini. Macam-macam benda ada termasuk...katak!



Kat ruang menunggu sambung baca Cinta Qatrunnada yang masih tinggal satu pertiga lagi. Bila pengumuman, terus je selamba aku ke Gate 5 seperti yang tertera kat boarding pass. Masuk flight dan diarahkan ke no 9A seperti yang tertulis. Alamak! Macam ada yang tak kena aje. Tak kanlah dapat business class kot. Baik hati sangat ke MAS kat aku?


Masa terkial-kial duduk dan nak letak beg kat tempat simpan barang tu, terlari-lari la datang pramugari manis tolong aku. Nasib baik dia tak terbang macam superman ke apa...kalau tak terkejut biawak aku, bukan terkejut katak lagi tu!

Dah duduk dan buka novel tebal yang aku bawa tu, datang la pulak pramugari lain, tanya nak minum jus apa. Aik...belum naik lagi dah minum ke? Ni boleh kembung perut dengan air kalau macam ni. Entah berapa kali la pulak nak kena minum ni? Gasak je lah, dah orang bagi kan, minum je lah. Bukan senang nak dapat layanan business klas ni, belum tentu dapat lagi lain kali. Hulur gelas pun tunduknya kalau boleh nak cecah lantai. Senyumpun manis ngalahkan madu yang orang asli jual kat jalan terpenuh liku nak pergi Cameron Higland tu. Tak sempat nak terkial-kial lagi, berlari je dia orang datang.


Habis je minum, datang ler sorang staff tu mintak keratan boarding pass aku. Aku bagi je. Mmmm salah bagi la pulak. Boarding pass yang aku tanda kat novel ni rupanya boarding pass masa datang dulu. Terkial-kial la pulak aku cari yang betul. Dah serah tu, dia terus mintak aku bangun dan ambil barang. Serius je! Salah Belon!

Terkial-kial lagilah aku buka tempat simpanan barang kat atas. Terhegeh-hegehlah aku tarik beg galas tu. Tak ada pun muka manis yang nak tolong. Tak ada pulak orang nak terlari-lari macam nak terbang untuk tolong aku. Aik...kena ambik sendiri la pulak!

“Flight puan di Gate 4...cepat sikit, dah nak berlepas tu,” beritahunya dengan muka kelat.
“Kat boarding pass tu kan tulis gate 5....saya masuklah kat gate 5,” ada hati lagi tu nak tegakkan benang yang basah hu hu hu. Memang dah perangai suka membangkang, mana-mana pun akan bangkang punyalah!


“Dah tukar Gate 4,” masih lagi masam orang tu jawab. Ntah bilalah tukar gatenya, aku pun tak tahu. Sumpah! Ralit membaca punya pasal. Maklumlah baru hadiri Kempen membaca kat 1Borneo kan! Malas nak melayan akulah tu! Aku ni kan buta huruf!


Sesedap hati mak bapak dia je nak tukar!
“Masa saya masuk tadi, 2 kali staff check....tak kan dua-dua orang tak perasan saya dah salah masuk?”

Senyap je dia tak kata apa-apa. Aku tahulah dia tengah menyumpah-nyumpah aku yang bangang ni kot. Aku terus ke Gate 4. Staff kat situpun kata “betullah ni,” bila tengok boarding pass aku.

Aku tanya balik “Apa yang betul?”
Dia: Dah betul gate ni
Aku: Apa pulak betul...tak betullah ni. Kat Boarding pass ni catat Gate 5. Ni kan Gate 4...
Dia orang senyap je, dengan muka yang bertambah-tambah kelatnya. Dah malas nak melayan aku lah tu. Bila toleh belakang, ada sorang mamat cina juga sesat macam aku. Salah aku ke? Aku dah masuk GATE yang betul lah...GATE 5. Nak tunjuk muka kelat kat aku ape ke hal nye. Kalau cakap “Minta maaf, kami tukar gate last minit. Dah buat pengumuman tapi puan ni telinga pekak mengalahkan badak tak dengar kot...” aku boleh jugak buat muka selamba katak dan kata...”Memang dah 40 juta tahun saya tak korek telinga, maka ampunkan saya salah masuk gate,”

Betul ke aku salah masuk GATE? Bukan Gate 5 ke? Adoiii la...


Moral cerita: Kalau ada orang melayan terlebih-lebihnya tu, korang berhati-hatilah. Sebabnya, itu hanya lakonan semata-mata. Mesti dia orang menyesal melayan aku macam Dayang layan Tuan Puteri hingga terlari-lari macam nak terbang gitu kan? Jadinya, kalau layanan atau kata-kata aku ni tak sedap didengar, ampunilah daku kerana...yang sebenarnya (pinjam tajuk lagu Yuna jab), hatiku tulus dan ikhlas...eh boleh ke gitu? Mmm apapun, korang pikir je lah sendrey! (Nabil jugak dapat nama!)
Entri terakhir pasal Kota Kinabalu ni aku upload minggu depan je lah...tetiba je kebuloq tahap dewa. belum Sarapan lagi, bah!

Kota Kinabalu Lagi 1

Jumaat, 24 Julai 2009.

Bangun dengan malas. Kalau boleh nak tarik selimut lagi. Walaupun acara bermula 7.30 pagi di UMS, jam 8.00 pagi baru aku siap mandi dengan terhegeh-hegeh dan seterika baju. Dah lama tak pakai baju kebangsaan hu hu hu...nasib baik muat lagi!

Jam 8.30 pagi bermalas-malas sabaran pagi dan ke UMS. Masa sampai, orang lain dah lama masuk dewan kerana ucaputama Pal dekan sedang berlangsung. Duduk 5 minit, namaku disebut-sebut Pak Dekan. Nasib baik tak ada orang kenal (agak akulah. Aku ni pun bukannya glamer macam Mawi atau Mawas hu hu hu).


Hari ni dapat kawan baru, Ros Aniza berasal dari Kuala Lipis. Dah dua tahun dia kerja di UMS, 4 tahun kerja di Sabah. Suaminya juga. Peramah orangnya. Walaupun baru kenal tiga empat saat lepas, rasa macam kenal dah bertahun.

Tengahari, melencong ke Pasar Filipina walaupun orang lain masih tercongok dengar pembentangan (Jahat tak aku? Pergi melencong..nak kata melancong pun tak jugak kan?). Bbeli kuih cincin, rantai tangan untuk Dina (tetiba terjumpa FM yang cantik-cantik....terus je beli walaupun call Dina tak dapat untuk tanya dia nak ke tidaknya benda alah ni. Kalau ko tak nak, Dina...rasanya aku dah mula boleh kumpul benda ni kot! Mana-mana aku pergi boleh jumpa sedangkan sebelum ni aku tak tau pun benda ni banyak dibuat dalam dunia yang luas terbentang ni...hu hu hu) dan Broach untuk Jieda.

Sebelum ni tak pernah tanya pun harga mutiara atau apa-apa yang dijual kat situ kecuali ikan dan udang masin. Sebabnya...memang tak minat nak beli (perempuan jenis apa ntah aku ni, tak suka sangat benda-benda macam tu). Namun, bila Dina dan Jieda dah kirim, barulah tahu memang susah nak tawar harga hingga separuh walaupun kita tahu formulanya begitu (terutama bila barang yang kita nak beli tu jenis yang murah. Dapat tawar harga seringgit pun dah patut syukor. Kalau yang harga mahal tu, masih boleh turun harga walaupun bagi aku masih agak mahal. Rantai tangan mutiara untuk Dina aku hanya mampu tawar RM5 je (Penat pujuk, bah! Dah banyak kali sebut bah! Bah! Bah! Pun masih lagi tak dapat turun banyak, bah!) nasib baik tak banjir je. Harapnya Dina puas hati.

Jieda kirim broach. Kalau yang biasa tu (kristal) ada jugak yang kurang dari RM20, namun bila sebut nak yang ada mutiara...(bila tengok, memang cantik-cantik ...tapi harganya pun turut cantik, bah! Berapa banyak bah daaaaa....). paling murah aku boleh dapat RM30 (masa cakap dengan Jieda Isnin ari tu, aku lupa lak, bagi tau dia harganya RM25 pulak. RM25 tu tempat simpan sudu yang adik aku kirim. Mmmm tu la...lain kali terima lagi bebanyak kiriman!) Ampun, Jieda! Pusing satu pasar cari yang harganya kurang dari tu, tapi memang tak dapat. Kristal dapatlah. Kalau ko tak nak pun tak apa, nanti aku buka meja kat opis (macamlah banyak bebenornya aku beli, empat je pun. Kalau ko tak jadi ambik pun tak apa, mesti orang kat opis aku jerit-jerit marah sebab beli 4 je. Ramai yang akan sambar untuk pakai raya nanti (aku pun tetiba rasa berkenan pulak nak pakai untuk raya. Entah macam mana aku lupa yang raya tak lama lagi. Kalau aku pakai sorang je, mesti anak beranak, adik beradik, mak dan kakak ipar aku kutuk tahap dewa punya sebab tak beli untuk dia orang. Nak selamat, tak payah ler aku ambik!). Jangan paksa diri untuk ambik ya, Jieda. Hanya...Jieda diberi keutamaan untuk pilih sebab dia yang kirim. Nanti aku akan send gambar 4 benda alah tu melalui emel. Dah Jieda buat keputusan, baru boleh lelong untuk orang lain hu hu hu...ada gaya macam orang buat bisnes tak?

Hari tu aku jumpa satu benda menarik kat pasar pilipin tu. Ada satu beg gantung katak. Aku ni kan peminat katak hijau....so, tangan ni gatal je pergi belek. Ros kata tu katak betul. Aku memang tak percaya. Manalah tahu dia saja je nak usik kan? Tapi bila adik yang jual tu kata memang katal betul...mak aiiiiii nasib baik aku tak termuntah kat situ. Dia orang hanya tambah tali sangkutnya dan juga zip. Selebihnya adalah badan katak itu sendiri.

Malamnya hadiri makan malam di Shangri-La Tanjung Aru resort & Spa (STAR). Betul-betul tepi pantai tapi, dah malam buta, manalah nak nampak. Hidangan malam ni stail Cina. Oklah tu kan.....aku kan memang gila masakan cina. Duduk pula semeja dengan pasangan cina dari UPM. Meja tu dikhaskan untuk UKM dan UPM sebenarnya (dari UKM aku sorang je perempuan), namun yang datang tu hanya aku dan pasangan dari UPM itu aje. Ros temankan aku kat meja tu. Pasangan UPM itu pula tarik anak-anak buahnya dari UPM. Jadinya, hanya aku dan Ros saja Melayu.


Nak meriahkan meja tu, aku buat2 je lah belajar makan dengan chopstik. Beria-rialah dia orang tu mengajar aku makan. Ros memang awal-awal lagi dah tarik bendera putih. Aku pula memanglah tak hebat sangat guna buluh tu, tapi takat nak berlakun tu kira masih boleh lagi. Itupun kalau terdesak sangat. Tak lah memalukan sangat kalau satu hari aku terpaksa berkampung di Yunan (tempat impian aku nak pergi sebelum mati selepas pegi Mekah dan Swiz) yang tak ada sudu dan garpu tu...bolehlah lagikan.

Masa aku sampai dan masuk dewan makan tu, acara makan dah mula hidangan pertama. Duduk je terus makan hu hu hu... Lebih kurang jam 9.30 malam baru Menteri Pelancongan Sabah sampai dan ucapan dimulakan. Aku memang tabik spring dengan pihak pengurusan dan Pak Menteri yang sporting sebegitu. Selalunya, kalau Pak Menteri belum sampai, acara makan tak akan dimulakan. Kali ni, makan dah nak habis baru menteri sampai. Kira oklah jugak macam tu. Pak menteri pun kenalah faham yang orang tunggu dia ni pun kebuloq juga kan. Dah dia yang lambat, janganlah pula dok dera orang lain untuk tunggu dia.


Aku pernah hadiri satu majlis makan malam amal kat Hotel Sunway awal tahun 2002 dulu. Dahlah kita orang kena bertolak jam 6 petang sebab nak elak jem, terlari-lari untuk solat maghrib, kenalah pulak tunggu Perdana Menteri pulak datang. Perdana Menteri pulak datang dengan lemah gemalainya pada jam 9.30 malam, ucapan pulak panjang-panjang padahal tak ada siapa pun nak dengar sebab semuanya dah kebuloq dan makan dimulakan pada jam 10 malam. Makan malam ke makan tengah malam tu? Aku dah nak pengsan dengan pedih perut. Nasib baikbawak bekal biskut dalam handbeg (sebab tu lah handbeg perempuan kena besar, boleh sumbat biskut, roti dan botol air mineral hu hu hu).

Di sebabkan meja aku kat belakang sekali, jadi acara di pentas taklah nampak sangat. Kena benarlah dengan acara belajar makan guna chopstik dan menghayati hidangan sepenuhnya. Di pentas kami dihidangkan dengan bacaan puisi yang menari, nyanyian lagu-lagu oleh pelajar UMS seperti lagu “Yang Sebenarnya”, lagu-lagu 60-an, lagu dangdut dan lagu rakyat serta tarian kadazan-dusun. Kami juga dihiburkan dengan tiupan saksofon, gesekan celo (macam pergi korea pulak aku!) dan tiupan sampolin. Tak ketinggalan juga nyanyian lagu klasik yang diperdengarkan oleh Pak dekan yang bersuara saprano. Ala-ala Broery Marantika gitu! Baliknya, terus online. Gian bah! Malangnya lupa nak bawa kabel telefon. Kalau tak dah boleh upload gambar.

Kota Kinabalu Lagi

Rasa macam sekejab je sebulan dah berlalu kan? Kali ni ke Kota Kinabalu lagi. Tinggal di hotel yang sama juga. hanya, kali ini 3 hari dua malam sahaja. Kurang sehari masanya berbanding bulan lepas. Ingatkan tak mahu tulis sangat pasal Kota Kinabalu kali ini, dah panjang lebar cerita bulan lepas.

Khamis, 23 Julai 2009
Ke KLIA jam 12 setelah pagi-pagi lagi ke pejabat. Kali inipun aku tak dapat check in sendiri. Mesin tu memang anti betul dengan aku kot!
Perjalanan ke KLIA...hijaunya hilang!

Di KLIA aku sempat up date antivirus. Dalam belon tak sempat pula nak test boleh guna wifi atau tidak kerana disebelahku sekeluarga pelancong dari London. Faham-faham sahajalah ruang yang cukup-cukup muat untuk mereka duduk itu adakalanya memakan raung untukku. Jadinya, lebih selamat untuk membaca sahaja daripada buka laotop. Sepanjang perjalanan, aku hanya baca novel Cinta Qatrunnada yang boleh tahan tebalnya itu. Anggaran berat= 1 kg.


Kali ini juga tinggal di CourtyardHotel di 1Borneo, bilik yang bertingkap dengan RM298 semalam. Mahal sebenarnya berbanding hotel lain, tapi disebabkan dia orang mudahkan urusan tempahan bilik, aku bantai je. Lain kali ke KK harapnya aku akan pilih hotel di tengah bandar pula. Dah bosan kot kat sini.

Kali ni ada tingkap. Inilah pemandangan dari tingkapnya...Fuyooo, nampak bukit!
Siap letak barang, terus ke 1Borneo cari KFC (lagi) untuk makan malam. Sebelum tu cuba cari kedai buku. Hanya ada sebuah kedai buku sahaja tetapi buku-bukunya pula terhad. Tidak seperti aku idamkan. Tak juga seperti gahnya kedai buku itu. Hanya kedai je yang gah!

Baliknya, aku jinjing 1 ketul kek keju, 2 ketul ayam goreng di KFC dan masuk Giant cari kopi. Kopi????? Fuyoooo dah lama tak minum kopi. Nak hilangkan giant je. Masa cari tangga nak balik hotel, terserempak dengan acara Kempen Membaca. Langsai seratus lebih kat Dawama. Nasib baik UMS hanya ada gerai sahaja, kalau tak, entah berapa banyak lagi duit tiris dari dompet.
Perpustakaan Negeri Sabah
4 buah buku beli
Malamnya online dengan Jieadam dan seorang rakan setelah menyusahkan adik teknisen hotel lebih 30 minit. Akhirnya baru tahu yang kabel laptop tak fungsi. Nasib baik tak sempat pindah bilik.

Khamis, 23 Julai 2009

Puteri Imaneisya “Kasih Ini Milik Kita”

Dah lama aku tulis pasal ni, tapi entah kenapa hati tak tergerak untuk upload kat blog. Entah kenapa. Kejab lagi nak lari pergi KLIA untuk ke KK, jadinya...malas nak pikir panjang aku tampal je lah benda alah ni kat sini. Mana tahukan kot-kot ada orang rindu nak baca blog aku semasa tuannya entah kat dunia mana hu hu hu....


Dah lama novel ini memenuhi rak buku tanpa kubelek isinya sejak belinya semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April 2009 lalu. Lama kan? Akhirnya aku punya kesempatan untuk menelaahnya semasa melencong (bukan melancong ya) ke Sabah untuk urusan kerja. Aku tak suka buang masa begitu sahaja. Tiap saat memang bererti dalam hidup, jadinya...ruang yang terluang aku isi dengan baca novel ni hingga selesai. Dah nak landing Kota Kinabalu semula, barulah aku tampal benda ni kat sini. Lama kan? Apa-apa pun, nikmatilah santapan minda ini seadanya...

Berikut adalah ulasan aku tentang novel ini serba sedikitnya. Kalau baik jadikan panduan, kalau tak berapa nak baik...buang je dalam tong sampah (boleh ke buang blog dalam tong sampah?);

Judul: Kasih Ini Milik Kita
Penulis: Puteri Imaneisya
Penerbit: Fajar Pakeer
Tahun: 2009
Harga: RM24.90
Jumlah halaman: 715

Sinopsis

“Kasih Ini Milik Kita” mengisahkan tentang persahabatan 4 orang remaja (Maya, Shahiza, Eliza dan Melissa) yang mengenali antara satu sama lain di ruang perbincangan maya rehatminda.com. Mereka akhirnya menjadi teman serumah yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Keakraban yang bermula di ruang maya rehatminda.com kemudiannya dibawa ke dunia realiti. Mereka sama-sama menjalani suka duka, gembira kecewa dan senyum tangis bersama-sama. Saling tolong menolong, bantu membantu dan bersama-sama menghadapi kehidupan remaja mereka secara positif. Mereka saling memahami dan membantu, malah sentiasa mengambil berat dengan orang di sekeliling.

Maya yang hangat bercinta dan terlalu menyayangi Joseph (berlainan agama dan bangsa) terpaksa menerima perkahwinan yang diatur oleh keluarganya tanpa mampu menolak walaupun dia sendiri tidak kenal calon suaminya itu. Biarpun begitu, dia tetap meneruskan hubungannya dengan Joseph tanpa pedulikan tunangnya. Semasa Maya kemalangan jalan raya dan terlantar di hospital, tunang misterinya itu tidak kelihatan menyebabkan dia semakin tidak ada hati untuk berkahwin. Pada masa inilah, perhatian dan kasih sayang Joseph semakin dirasainya, menyebabkan cintainya kepada lelaki itu kian menebal. Maya hanya mengetahui suaminya Muaz al-Amin (nama Islam Joseph) semasa upacara membatalkan air sembahyang, menyebabkan dia berasa sangat gembira.

Shahiza yang mencintai Aiman Rahimi sangat kecewa dengan tindakan lelaki itu yang meminta putus hanya sekadar sebab dia seorang anak luar nikah yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim (Banyak lah pulak “yang”nya dalam ayat ni...dah lalut ni, lain tahunlah ubahsuai ya). Tidak diketahui asal usul diri dan keluarga. Cintanya yang mendalam kepada Aiman Rahimi menyebabkan dia sukar menerima lelaki lain dalam hidupnya. Walaupun begitu Akmal Hakim tetap berusaha untuk memenangi hati Shahiza. Kedatangan semula Aiman Rahimi dalam hidup Shahiza menyebabkan Akmal Hakim terpaksa menarik diri dan sentiasa mendoakan kegembiraan Shahiza. Namun, Aiman Rahimi ternyata meninggalkan Shahiza sekali lagi apabila gadis itu mengalami peristiwa dirogol semasa pulang dari kerja dan terpaksa membuang sebelah ovarinya kerana kanser. Pada saat ini Akmal Hakim sentiasa berada di sisi Shahiza. Ketulusan hati Akmal Hakim dan keluarganya menerima kekurangan diri Shahiza, menyebabkan dia akhirnya menerima lelaki itu di dalam hidupnya, setelah kembali dari mengerjakan umrah.

Eliza pula seorang gadis yang periang dan perahsia. Sifat periangnya itu memudahkan dia mesra dengan siapa sahaja termasuk Aiman Rahimi. Apabila menyedari Aiman Rahimi dan Shahiza mempunyai hubungan yang serius, Eliza mengundurkan diri. Dia rasa bersalah dengan masalah yang timbul antara pasangan itu. Semasa ke Kundasang, Sabah untuk memujuk Maya, dia telah berkenalan dengan Danish Zafran. Eliza sebenarnya telah keluar dari rumah kerana kecewa dengan sikap mamanya dan berusaha untuk hidup berdikari. Setelah kematian ayah, mamanya telah berkahwin baru dengan boss sendiri. Ayah tiri Eliza pernah cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya tetapi dia pula dimarahi mamanya. Mamanya menuduh dia cuba menggoda ayah tiri sendiri. Akhirnya konflik dua beranak itu berjaya dileraikan apabila dia yang merakamkan semua kekasaran ayah tirinya terhadap mamanya menggunakan tape tersebut sebagai bahan ugutan supaya mamanya diceraikan.

Melissa hadir sebagai watak yang ringan sahaja. Dia yang berasal dari Sabah akhirnya memeluk agama Islam. Novel ini berakhir dengan kegembiraan apabila Maya bersalin pada hari persandingan ketiga-tiga sahabat baiknya. Melissa berkahwin dengan Badrulnizam, Eliza dengan Danish Zafran, manakala Shahiza berkahwin dengan Akmal Hakim. Ketiga-tiga pasangan pengantin ini tidak sempat bersanding di dewan kerana perlu berkejar ke hospital apabila Maya tiba-tiba sakit hendak bersalin. Maya dikurniakan anak kembar tiga.


Watak dan Perwatakan
Maya
Maya merupakan watak utama dalam novel ini. Dia seorang yang periang, peramah, pelucu dan bermulut lazer. Namun, dia juga seorang yang baik hati, prihatin, penyayang dan sangat bertimbang rasa terhadap orang di sekelilingnya. Sekalipun dia begitu menyayangi kekasih hatinya, Joshep, namun, apabila melibatkan keluarga, dia sanggup melupakan hati dan perasaannya sendiri dan memenuhi kehendak ibu bapanya. Dia telah menerima pinangan Ustaz hadi dan bertunang dengan orang yang tidak dikenali kerana mengikut kehendak keluarga, walaupun pada hakikatnya hati Maya sendiri tidak dapat menerima situasi sebegitu.

Shahiza
Shahiza seorang yang simple dan perahsia walaupun dia juga seorang yang lucu dan peramah dengan orang yang mengenalinya. Pada masa yang sama, dia juga seorang gadis misteri yang tidak mudah menceritakan kehidupan pribadi dan masalahnya kepada orang lain. Namun, dia sangat prihatin dengan persekitaran, mengambil berat tentang rakan-rakannya dan seorang pendengar yang baik. Tingkah lakunya, senyum dan tawanya terpenuh dengan misteri yang sukar ditebak oleh orang lain.

Shahiza adalah anak luar nikah yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Dia menolak cinta Akmal Hakim kerana mengharapkan cinta Aiman Rahimi yang dikenali di rehatminda.com. Namun, apabila Shahiza diperkosa dan terpaksa membuang ovarinya kerana kanser, Aiman Rahimi telah memutuskan hubungan mereka. Ketulusan Akmal Hakim dan keluarganya menerima Shahiza membuatkan hatinya lembut. Kembali dari umrah, Shahiza bersedia menerima Akmal Hakim.

Eliza
Eliza seorang yang periang, lucu dan kelakar. Setelah kematian ayah, hidupnya telah berubah. Ibunya telah berkahwin lain dengan boss sendiri. Lelaki itu cuba memperkosanya. Dia pula dituduh ibunya menggoda ayah tiri sendiri hingga mendorong dia keluar dari rumah dan hidup berdikari. Apabila mengetahui ibunya sering didera ayah tirinya, Eliza sering balik ke rumah secara diam-diam dan merakamkan semua kekerasan yang dialami ibunya. Akhirnya dia berdepan dengan ayah tirinya setelah tidak tahan lagi melihat penderitaan ibunya dan memaksa ayah tirinya itu melafazkan talak. Kehidupan mereka kembali ceria setelah itu. Perkenalannya dengan Danish Zafran di Kundasang melengkapkan lagi kegembiraannya, apabila cinta mereka membawa ke jinjang pelamin.

Melissa
Melissa adalah gadis Kadazan kelahiran Sabah. Dia akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan cara hidup dan keindahan Islam apabila melihat rakan-rakan serumahnya yang lain. Dia berkahwin dengan Badrulnizam.

Apa yang best pasal novel “Kasih Ini Milik Kita”

i. Bahasa bersahaja
Sesuai sangat dengan pembaca golongan remaja yang lebih santai, bersahaja dan mudah sahaja bahasa yang digunakan. Perkataan-perkataan atau ayat yang digunakan ini pula mampu membuatkan pembaca menghayati suasana dalam setiap situasi. Paling mengesankan adalah suasana gembira, ceria dan melucukan. Ini mampu membuatkan pembaca tidak kering gusi, paling tidakpun tersengih keseorangan sambil mengadap novel.

ii. Kelakar dan lucu
Sebagai pembaca, terus terang dikatakan yang novel ini memang terpenuh dengan kelucuan dan kelakar. Walaupun ada masanya serius, sedih, kecewa dan geram, namun tetap diselitkan dengan hal-hal lucu yang membuatkan pembaca pasti akan ketawa dan tersenyum-senyum. Sebenarnya, hampir sepanjang masa pembaca akan tersenyum dengan kelucuan yang dikemukakan. Rakan di sebelah pasti akan cemburu dengan novel ni. Sama seperti rakan-rakan dan orang di sekeliling saya semasa novel ini saya baca. Pembaca akan rasa gembira, enjoy sangat baca novel ni hingga sanggup melepaskan rancangan TV kegemaran atau mengurangkan waktu tidur semata-mata untuk menghabiskan novel tebal ini. Bagi sesiapa yang sedang stress, menghadapi masalah besar, berhadapan dengan kemurungan, dah pasti novel ini boleh menjadi alternatif mengubati minda. Tak percaya? Baik pergi beli dan baca!


iii. Banyak pengajaran boleh dikutip dalam novel ini. Sekalipun novel ini memaparkan tentang kehidupan remaja masa kini, namun pengisiannya bukan hanya tentang cinta semata-mata. Cinta itu pula berlandaskan Islam, bukan hanya untuk keseronokan dan nafsu muda mudi. Selain itu, diterap juga tentang kasih sayang keluarga.

Nilai persahabatan menjadi inti utama dalam novel ini. Walaupun semua watak ini mengenali dan kenal di satu forum perbincangan maya yang selalu mereka kunjungi secara online, itu tidak menjadi alasan untuk mereka menjadi sahabat yang baik. Persahabatan yang ikhlas dan murni telah mereka harungi tidak kira semasa susah atau senang. Mereka juga saling membantu, memberi sokongan moral ketika berduka dan sama-sama bergembira dengan kegembiraan rakan yang lain. Namun pada masa yang sama, novel ini juga turut memaparkan tentang bagaimana setiap insan perlu bersedia untuk terima takdir dan kuasa allah dengan setiap apa yang berlaku dalam hidup mereka.

Novel ini turut menuntut pembaca supaya hati-hati dengan dunia siber, yang penuh dengan pelbagai helah, tipu daya, dan kesangsian, walaupun masih ada lagi kejujuran dan kebaikan. Sifat berhati-hati dapat mengelakkan pengguna daripada tertipu. Selebihnya novel ini telah menerapkan tentang watak-wataknya yang yang sangat patuh kepada agama, berpendirian teguh dan tahu batasan pergaulan. Keseluruhannya, sekalipun novel ini terpenuh dengan cerita yang menarik, bahasa yang mudah, ringkas dan lucu, pada masa yang sama, penulis tidak melupakan tentang tanggungjawab sosialnya. Semua inti, pengajaran dan teguran terhadap pelbagai isu ini telah digarap dan diuli oleh penulis ini dalam cerita dengan kemas hingga tidak menampakkan langsung sifat mengajar atau berkutbah. Ini menyebabkan pembaca tidak rasa bosan atau paling kurangpun melangkau bacaan untuk halaman tertentu. Syabas Puteri Imaneisya

iv. Gambaran Generasi kini yang ada jati diri walaupun hidup pada zaman moden. Tahniah diucapkan kepada penulis ini. Walaupun sesebuah novel itu ditulis untuk menghiburkan pembaca, namun pada masa yang sama penulis ada tanggungjawab sosialnya. Inilah yang telah dilakukan oleh penulis ini. Generasi muda kini tidak perlu hilang arah dan jati diri untuk hidup pada zaman IT dan dunia globalisasi. Remaja masih lagi boleh hidup dengan gembira, mempunyai rakan-rakan yang ramai dan melakukan pelbagai aktiviti seperti perkemahan, namun pada masa yang sama masih lagi menjaga susila ketimuran. Tidak mengabaikan nilai-nilai Islam.


Apa yang tak best “Kasih Ini Milik Kita”

i. Boleh diteka apa kesudahannya. Pada halaman 230, dah tahu Maya sebenarnya bertunang dengan Josh. Tak pastilah pula pembaca lain juga boleh teka macam tu atau tidak. Walaupun begitu, tahniah kepada Puteri Imaneisya kerana ada teknik tertentu untuk menyatakan suspen pada bahagian akhir novel. Namun, cara ini sudah terlalu kerap digunakan dalam novel, drama atau telenovela menyebabkan pembaca yang dah selalu baca novel mampu meneka.

ii. Maya lahirkan anak kembar tiga? Kan semua tu boleh kesan masa mengandung, kecualilah pembaca memang diberitahu Maya rahsiakan hal itu kepada rakan-rakannya. Masa mengandung untuk anak kembar juga tetap 9 bulan? Kebiasaannya, tak ramai wanita yang mengandung anak kembar akan bersalin sama seperti itu (9 bulan), tetapi lebih awal. Agak jarang juga wanita bersalin anak kembar melahirkan dengan cara normal kerana apabila kelahiran berlaku tak cukup bulan, bayi akan hadapi masalah kesihatan seperti perlukan bantuan pernafasan kerana paru-paru belum lagi kuat, perlu masuk inkubutor dan sebagainya. Apabila kelahiran Maya secara normal, cukup pula bilangan bulannya, kedua-dua ibu dan anak pula sihat-sihat belaka, penulis seakan memaksa pembaca untuk berasa gembira dengan semua “kegembiraan” berpakej tersebut (perkahwinan Eliza, Shahiza dan Melissa serta kelahiran kembar 3). Kat situ nampak macam tak real sikit. Tak apa kalau Maya atau kembar 3nya itu ada masalah pada peringkat awal. Kalau penulis rasa nak gembirakan pembaca pada bahagian akhir novel ini, boleh aje selesaikan masalah itu dengan gambarkan mereka semua akhirnya keluar dari hospital. Kalaupun ada masalah kesihatan, tidak semestinya akan berakhir dengan kematian kerana teknologi perubatan di negara kita pun memang dah maju dan terkini.

iii. Tak kira secergas manapun seorang wanita itu, bila sampai bab bersalin akan kehilangan banyak tenaga dan darah. Mereka tetap perlu rehat yang cukup pada tahap awal bersalin. Apalagi kalau anak pertama. Jadi, kecergasan watak Maya selepas beberapa jam bersalin nampak agak kurang realistik. Apa lagi bila kelahiran berkenaan adalah kelahiran sulong. Walaupun ada orang mengatakan terdapat sesetengah wanita “mudah” bersalin hingga bersalin sendirian (biasanya banyak kes melibatkan kelahiran anak luar nikah yang kemudiannya dibuang. Orang di sekeliling tak sedarpun dia dah bersalin), namun semudah mana pun proses bersalin itu, ia tetap merupakan proses berisiko yang menuntut seseorang wanita itu banyak berehat. Mmm nak tahu lebih lanjut lagi, kenalah tanya wanita-wanita yang dah ada pengalaman bersalin lah ya...ataupun nak gambaran yang lebih terperinci, boleh saja cari di youtube.

iv. Walau bagaimana suka berguraupun seseorang itu, namun dalam masyarakat Melayu kita, gurauan juga perlu ada masa dan tempatnya. Gurauan sesama rakan-rakan berbeza caranya dengan gurauan bersama orang yang lebih tua, tetapi dalam novel ini, kedua-dua jenis gurauan itu tidak dapat dibezakan. Gurauan yang keterlaluan di hadapan orang tua pula dianggap biadap. Kebiasaannya, golongan yang lebih muda lebih menghormati orang yang lebih tua dan menghadkan cara gurauan berkenaan. Apalagi bila melibatkan ayat-ayat lazer yang hanya sesuai untuk rakan-rakan atau orang tertentu. Kita tidak akan bergurau dengan cara yang sama untuk semua jenis orang. Keakraban dengan seseorang akan


Anugerah Bintang:
Aku bagi 8 bintang juga untuk novel ini. Memandangkan ini bukanlah novel pertama Puteri Imaniesya, dah tentulah bintang dia kurang sikit nilainya. Apapun, novel ini sudah semestinya seronok dibaca. Pengahiran yang ceria dan menggembirakan, buatkan ramai pembaca akan puas hati dan seronok.


Cadangan:
Novel ini memang dah bagus sebenarnya. Menghiburkan, kaya dengan ilmu dan pengajaran. Penuh dengan perasaan di dalamnya (lucu, gembira, suka, duka, sakit, pedih, geram, benci). Tidak banyak kelemahan yang ada, hanya sedikit kesilapan fakta yang ada masanya tak tersilau dek mata. Itu biasa berlaku kerana apabila penulis menukang sebuah novel bak membina banglo mewah. Pasti ada bahagian tertentu terlupa nak pastikan kualitinya. Walau bagaimanapun, sedikit kesilapan itu tidak mencacatkan jalan cerita, sekadar menyerlahkan yang penulis tidak double check tentang fakta berkenaan.


i. Saya memang pasti penulis telah melakukan penyelidikan yang agak sempurna untuk novel ini dari pelbagai sudut, termasuk hal-hal berkaitan kejiwaan seperti tekanan emosi seseorang yang menjadi mangsa rogol dan keterpaksaan seorang anak berkahwin tanpa rela. Begitu juga tentang tempat-tempat tertentu yang digambarkan secara terperinci seperti Kundasang. Tahniah dengan usaha keras ini. Hanya pada bahagian tertentu (rujuk Apa yang tak best “Kasih Ini Milik Kita”) penulis tak terperasan tentang fakta yang bukan dari bidang penulis. Jadi, salah satu cara untuk mengelakkan hal sebegini berlaku dalam novel akan datang, penulis manis ini patut dapatkan khidmat sesiapa (rakan baik @ sesiapa yang sesuai) untuk bacanya sepintas lalu sebelum dihantar kepada penerbit. Hal ini penting kerana, sebagai penulis yang telah menukangnya dari awal hingga akhir, menulisnya, membaca dan mengeditnya berulangkali, ada masanya sudah tidak mampu lagi mengesan kecacatan yang sebegini. Sekiranya penulis ada rakan lain yang membaca dan sudi mengkritik secara jujurnya (jalanlah pula bila kena kritik melenting pula, sebab bukan semua benda yang kita buat tu betul dan bagus semuanya. Ada kala, perlu juga kita dengar pendapat orang lain kalau rasa nak meningkatkan mutu walaupun bukan kita terima seratus peratus). Pengkritik itu pula, kritiklah juga secara jujur dan berilah cadangan yang bernas dan memberangsangkan dengan niat untuk tambahbaik nilai karya. Bukannya nak jatuhkan penulis atau sesaja je nak rosakkan novel orang. Kenalah ada asas yang kuat juga.

Namun memang diakui sangat susah untuk dapatkan khidmat orang lain untuk bacakan dahulu sebelum hantar. Pertama, memang ambil masa. Ada orang boleh bacanya dalam waktu yang singkat, namun ada orang perlukan masa yang panjang untuk selesaikannya. Kedua, orang yang baca itu belum tentu mampu berikan kritikan yang membina. Ketiga, orang yang menerima kritikan juga belum tentu dapat menerima idea atau saranan rakan yang mengkritik tadi. Ada sesetengah orang, tidak berkeupayaan menerima semua kritikan secara positif. Keempat, ketebalan sesebuah novel (berbanding cerpen atau puisi) buatkan tidak ramai orang sanggup baca dan kritik dalam masa yang singkat. Kalau orang itu tidak berminat tentang penulisan kreatif, dah tentulah susah untuknya menghabiskan dalam jangka waktu yang singkat, apalagi berikan idea dan kritikan bernas untuk tambah nilaikan novel berkenaan. Andainya punya teman sebegitu, anda seorang penulis yang bertuah.


ii. Novel ni memang dah bagus, tak banyak benda yang boleh dicadangkan. Dari segi cerita, plot, mood, suspen dan penyelesaian yang digarap pengarang, memang dah bagus. Hanya ada sedikit hal sahaja yang perlu penulis ni hati-hati untuk penulisan novelnya pada masa akan datang. Secara keseluruhan, memang dah cantik! Isunya terkini, humornya ada, ceritanya best. Klimaknya pun mengembirakan. Semua itu adalah pakej yang sempurna kepada pembaca. Pembaca nak kan kegembiraan bila membaca novel. Kira macam tengok filem hindustan jugalah, kalau penyudahnya duka nestapa dan sedih, akan ada panggung kena bakar. Sebab itulah boleh dikatakan hampir 99 peratus filem Hindustan tu berkesudahan dengan kegembiraan.

iii. Penulis tidak perlu takut untuk membuai perasaan pembaca dengan meletakkan pelbagai suspen dan kejutan walaupun pada akhirnya penulis mahukan pengahiran yang mengembirakan. Contohnya, Maya mungkin menghadapi masalah kesihatan dan perlu bersalin awal kerana mengandungkan kembar tiga. Ini menyebabkan bayinya perlu ditahan di hospital. Bayinya demam kuning, atau masalah dengan paru-paru (atau lain-lain lagi yang sesuai). Ini boleh membuai emosi pembaca untuk turut sedih dan menangis bersama watak Maya. Kecanggihan teknologi, penemuan baru dalam bidang perubatan ataupun terdapat seorang hamba Allah yang membantu pulihkan keadaan. Pengakhiran tetap gembira kan?


Tulisan ini bukannya nak ajar penulis. Puteri Imaneisya memang dah penulis yang hebat. Dah bagus. Tulisan ini hanyalah pendapat pribadi yang mungkin boleh diterima pakai, mungkin juga hanya sebagai idea kiranya sesuai. Tidak ada niatpun untuk komplen. Andai tulisan ini tiada makna atau guna apa-apa, maka...silalah abaikan.

Selasa, 14 Julai 2009

Akhirnya Aku Tahu Tentang Satu Perkara

Selasa 7 Julai 2009. Aku meredah panas terik dan sesak manusia untuk ke KL pada jam 12.45 tengahari. Jarang aku akan ke KL pada waktu sebegini kecuali bila dah terdesak. Jumaat lepas ada seseorang telah telefon aku dan minta aku jelaskan bayaran tertentu. Sepanjang petang aku cuba hubungi En. Kamal, namun hingga jam lima petang, tiada siapa angkat telefon. Dua hari aku hidup tak tenang, macam ada bara bertimbun atas kerusi yang aku duduk. Namun, Sabtu tu sempat juga aku hadiri hari keluarga di Tasik Komuniti Cyberjaya walaupun hanya untuk 3 jam sahaja. Panas. Bila kepala berdenyut, aku lari balik. Sabtu tu pula aku masih lagi sempat bawa Dina dan Ain meronda di Bandar Baru Bangi (Pesta Buku dan Tapak Karnival Jualan Mega). Petangnya pula bersua dengan Su walupun hanya temankan dia sekejab sahaja.

Selepas uruskan beberapa perkara di pejabat paginya, aku merempit ke KTM UKM dan buat temujanji dengan En. Kamal yang maha sibuk itu. Nasib baik bawa novel, dapatlah aku membaca sepanjang melepak dan menunggu di sana. Lima minit sebelum jam lima baru boleh jumpa En. Kamal. Walaupun singkat, alhamdulillah, akhirnya dapat diatasi. Moga-moga. Aku masih lagi menunggu panggilan daripada Cik Akma untuk beri arahan selanjutnya.

Kalau dahulu, dah sah aku akan isi pelbagai borang tentang ketidakcekapan layanan yang diterima (terpaksa menunggu dua jam untuk jumpa hanya sekitar lima minit sahaja), namun setelah usia kian meningkat (Mmmm dah tua ke aku ni? Bukan masih 18 tahun ke?) tahap sabar tu dah makin meningkat. Melihat betapa sibuknya pejabat itu dihurung manusia, aku memang tabik spring dengan pekerja di sana yang masih lagi mampu melayan setiap orang dengan senyum manis. Mereka memang cekap dan cukup profesional. Kalaulah aku...mmmm muka dah jadi limau purut apa! Sebab itulah aku tak boleh kerja di bahagian pelanggan yang bersemuka dengan ramai orang. Berdepan dengan dinding tak apa!

Nak balik terus waktu itu, dah tentulah aku akan penyek macam dalam tin sardin bila masuk komuter nanti. Perut pula dah bergendang mintak isi, jadinya nak tak nak, kenalah cari apa-apa yang boleh dimakan. Sejak tengahari belum makan. Nasib baik sarapan dengan nasi lemak paginya. Bila dah jumpa En.Kamal, hati dah lega sikit, baru rasa kebulur. Rasa macam nak telan je semua benda yang boleh dimakan (dengar kata diet huhu hu!).

Tempat paling mudah, dah tentulah ke aras 6 Sogo. Food Court dia boleh tahanlah kot. Selesa juga. Namun bila ke sana, entah kenapa hati tak berkenan nak makan apa-apa walaupun perut lapar. Baru hari ni aku sedar tentang beberapa hal. Walaupun pelayan kat depan tu Melayu bertudung, ataupun Indonesia, tukang masak dan tauke gerainya cha ya nun alif. Kat makanan Thai yang aku suka order tu (dulu-dulu), pekerjanya tak faham pun apa yang aku tanya. Akhirnya selera bantut. Kepala dah mula ting tong ni...badan tak cukup sumber gula. Kena makan jugak macam manapun. Akhirnya aku putuskan makan di Secret Recipe sahaja (walaupun aku tak tahu apa yang ada di belakangnya, paling kurang aku belum nampak dengan mata aku sendiri). Jadinya, langsai juga cheese kek dan jus epal yang dikahwinkan dengan asam boi (lupa pulak nama apa, tapi...memang best!)

Yummy! Kek tak berapa sedap sangat...tapi just epal yang dikahwinkan dengan asam boi ni memang mengancam!

Sementara tunggu malam untuk balik, aku redah orang ramai di Sogo. Jualan Mega kan. Padahal, setiap kali hujung bulan dan musim terima gaji, macam itulah juga sale yang ada. Dah tak mega jadinya! Satu beg tangan dengan potongan 70% aku beli. Kakak yang kirim. Beg aku masih elok lagi, jadinya lain bulan ajelah beli. Bulan ni aku sengkek. Banyak kena buat bayar. Dah lah dua minggu lagi nak kena pergi Kota Kinabalu lagi, entah cukup ke tidaknya syiling nanti!

Malamnya, kena migrine walaupun dah telan 2 biji ubat, kepala masih lagi berdenyut tapi gagahkan juga untuk membaca. Sekarang ni kena habiskan membaca sebanyak-banyak novel yang membosankan itu (tahun lepas aku beli sekotak penuh di Kuching, siap kena charge RM75 lagi sebab terlebih timbangan. Nasib baik tiket flight free, kalau tak, jenuh juga nak kena bayar. Sebab buku-buku tu memang penting dan susah nak dapat, terpaksa jugalah aku korbankan nilai RM75 tu...).


Jumaat 10 Julai 2009. Ke Universiti Malaya, bayar yuran. Setelah kena arah pergi sana sini, dah berjeruk dengan peluh, akhirnya habis RM600. Selesai semuanya, aku ke KL. Janji nak belanja En. Mohd Noor. Dah lama tertangguh. En. Mohd Noor ni, antara orang yang terlalu banyak mudahkan kerja aku. Aku memang cukup berterima kasih sangat-sangat dengan dia. Dia bukan sahaja mudahkan banyak urusan aku untuk bina hidup baru dari puing-puing kehancuran, namun sedikit sebanyak kata-kata dan semangatnya buatkan aku kuat sebenarnya. Dia selalu kata aku “kuat” padahal sebenarnya dia yang berikan aku kekuatan itu. Masa dia kata dia kagum dengan aku, sebenarnya...aku dah mula putus asa dengan jalan hidup sendiri. Masa tu, aku hanya gamble saja. Alhamdulillah, apa yang aku redah tu akhirnya buka lorong untuk aku rentas perjalanan hidup ni.

Dia orang asing yang tak kenalpun aku, tapi sanggup tolong masa aku benar-benar perlukan pertolongan sebegitu. Padahal kawan-kawan aku yang warak (bukan calang-calang orang, terjemah al-qur’an boleh, solat tahajud apalah sangat. Berbanding dengan aku...siapalah sangat aku ni...) sering berjanji akan sentiasa menyokong aku entah lari ke dunia mana. Aku tak kenal dia, dia juga tak kenal aku, tapi akhirnya dia berikan aku harapan baru untuk terus melangkah. Dia berikan aku tanggapan yang sangat baik untuk aku mempercayai dan “beri peluang kepada orang lain membantu”, kerana sebelum ini aku tidak pernah menerima “bantuan” sebegitu. Aku lakukan semuanya sendiri. Aku tak ada apa-apa skandal dengan dia. Dia ada seorang isteri yang cantik (katanya) dan sepasang anak yang sedang membina kehidupan.

Sempat juga aku rembat orkid yang tumbuh liar di batang pokok dalam perjalanan ke perhentian bas semasa di UM dan simpan dalam sampul surat yang aku bawa bersama. Balik nanti boleh tanam depan rumah. Orkid ini orkid hutan sebenarnya. Dah hampir pupus. Masa aku cari kat kampung dulu, memang dah tak ada lagi. Tetiba je aku jumpa kat sini...terus je rembat. Sori lah ye, perangai memang tak bermoral! Janganlah pula korang cuba-cuba nak ikut pulak. Bukan je Tuhan marah, setan pun marah ni!

Dah lama tak naik bas. Hari ni jadi jakun sedikit, tapi berjaya juga naik bas ke tren Rapid KL di Universiti. Masa bas berhenti di hadapan Vista Angkasa, aku masih lagi terlongo tengok orang turun. Ingatkan bas itu akan buat pusingan. Nasib baik adik yang aku tanya masa di hentian bas tadi cakap dengan aku yang aku dah boleh turun. Hu hu hu termalu jugak, tapi berterima kasih dengan adik hensem tu. Ruginya dah tak ada koleksi adik pompuan solo, kalau tak dah kena pinang untuk adik aku. Dah lah hensem dan macho macam Hans Isac, pandai pulak tu...baik hati. Ingatkan lelaki macam tu dah pupus...hu hu hu. Alahai...kalaulah aku tak sedar diri masa tu, dah kena urat dah budak tu!

Aku ke Masjid Jamek, kemudian tukar train ke Hang Tuah. En. Mohd Noor ambil aku kat bawah jambatan Monorail dengan BMW dia...wow! merasa jugak aku naik BMW ye. Ingatkan sehayat ni hanya merempit je lah!

Kami makan di Cheras, belakang stadium. Kedai makan yang menghidangkan masakan Kelantan kegemarannya. Bila dia order, wow! Terbeliak mata aku. Macam 5 orang nak makan. Gulai kawah pun sampai dua pinggan. Ikan bakar. Sambal sotong. Ulam. Budu campur tempoyak. Sambal belacan. Ayam kampung goreng 3 ketul. Satu ketul tu suku ekor ayam. Mmmm dah hampir seekor ayam dah tu. Jus juga. katanya bila dia makan perlu “selak lauk nampak nasi”. Mak oiii!

Tak reti nak makan sebenarnya. Aku biasa makan sejenis atau dua jenis lauk sahaja. Kalau 3 jenis pun dah tak tahu nak makan macam mana. Akhirnya, ikan bakar dan ayam kampung goreng tu terpaksa dibungkus sebab tak sempat nak usikpun. Berbau satu train dengan kuah belacan ikan bakar hu hu hu...tebalkan muka je! Semua itu aku makan bersama adik dan adik ipar pada hari Sabtu. Itupun boleh makan sampai 2 kali lagi...alhamdulillah. Rezeki berkat mungkin.

En. Mohd Noor hantar aku ke tempat yang sama untuk balik. Asalnya aku yang nak belanja dia, namun akhirnya dia yang bayar. Adoiii! Apapun, terima kasih bebanyak kepadanya yang terlalu ambil berat. Dia sentiasa offer diri untuk mudahkan semua urusanku. Nasib baik aku ni bukan jenis yang suka ambil kesempatan, kalau tak...habislah dia aku pergunakan!
Rajin kan adik ni? Dalam train pun buat kerja sekolah.

Sabtu 11 Julai 2009. Pagi-pagi lagi dah kukus pulut. Asalnya nak buat pulut kuning, tapi pewarna kuning tak cukup, jadilah pulut merah. Minta maaflah, lupa pula nak snap gambar. Kelam kabut buat kerja dan bersiap untuk pergi rumah Dina. Jam 12 lebih Dina ambil kat stesen Petaling. Rumah barunya agak jauh sikit dari KTM berbanding sebelum ini. Dapat tengok rumah baru, dapat naik kereta baru juga. rumah yang selesa, kereta yang selesa juga. Alhamdulillah, moga-moga rezeki Dina akan sentiasa bertambah. Bolehlah aku tompang kereta dia lagi lain kali kan? Hu hu hu

Kena jamu makan dek Dina sampai aku tak larat nak bangun. Huh! Pecah diet aku. Tapi, rugilah diet kalau Dina masak rendang ayam. Terima kasih, Dina...sedap rendang ayam tu. Siap dia tapau untuk aku lagi. Siap bawak balik ikan pekasam lagi. Entah bila lah sempat nak masak nanti. Kita orang ni makan kat rumah hari minggu sahaja. Itupun adik aku yang masak. Aku tompang sekaki je.

Train dari Port klang sendat juga, tambah lagi dengan pintu train yang berada di hujung setiap gerabak sebegitu. Manusia yang naik train itu pula jenis pentingkan diri sendiri. Bukannya nak masuk hingga ke tengah. Kat tengah ruang masih kosong tetapi kat tepi pintu sendat macam dalam tin sardin. Paling geram lagi bila tengok ada makhluk yang sempat lagi dok peluk-peluk gatal dalam train sampai orang nak masuk pun tak boleh. Tahu le ko tengah bercinta, pergi lah peluk kat tempat lain. Aku bukan dengki, tapi berbulu mata nak tengok. Masa belum dapat ni memang lah romantik konon-kononnya, dah dapat karang...berpuluh tahun nak hidup dengan dia, rimaslah pulak karang. Itupun kalau senpat kawin. Kalau tak jadi, macam mana? Lu pikir la sendrey (pinjam ayat Nabil), aku berpeluh lencun sampai kaki, ko rasa syok ke peluk-peluk tengah khalayak ramai tu tanpa peduli apa jadi dengan orang lain? Podahhhhhhh ini macam punya orang pun ada ka? Aku ada snap gambar, tapi sebab dah sendat sangat...sikit je nampak.

Seronok sangat ke berpeluk dalam train sampai tak henggat donia?
Masa balik, aku turun di KL Sentral. Ingatkan jam 4 petang lebih tu masih belum ramai orang nak balik Seremban. Bila turun train...masyaAllah, ramainya makhluk! Akhirnya aku naik train semula dan turun di Bank Negara, tunggu train ke Seremban semula (nasib baik tak payah bayar tiket lain kan untuk lajak naik train macam tu). Dapat duduk bila train sampai di KL Sentral. Kira dapatlah aku membaca dengan selesa. Perdana Menteri kita perlu terjah train waktu macam inilah (weekend dan train ke Seremban memang terlalu kronik kepesatan penduduknya hu hu hu), baru dia tahu keadaan sebenar. Takat hari biasa tu...cabaran taklah besar sangat. Masa aku turun di stesen UKM pun, masih ada orang yang terpaksa berdiri lagi. Bayangkanlah macam mana punyalah ramainya orang!
Mmmm tak ada orang offer tempat duduk pun kat abang yang dukung anak ni....

Malamnya, ke Alamanda dengan adik dan adik ipar walaupun kepala memang berdenyut (walaupun dah telan 2 biji ubat migrine) dan kaki dah lenguh sangat sebab berdiri dalam train minggu ini, berjalan banyak pula tu (bengkak dulu datang balik. Ingatkan kaki aku dah elok dan boleh berlari!). Pergelangan tangan dah melelas dan tumbuh bintik-bintik merah kerana pakai jam yang tidak sesuai. Jam yang biasa aku pakai (hadiah dari kakak hampir 15 tahun lepas, dah tamat hayatnya). Jenuh letak bateri baru tetapi tetap juga tak mahu hidup. Enjinnya dah tak berfungsi. Hayat dah tamat. Aku beli jam kat kedai serbanika (RM9.90) sebagai jam sementara walaupun aku tahu akibatnya sebegitu. Ingatkan sempatlah tunggu bulan depan, tapi...tak sanggup untuk berdepan risiko untuk gatal-gatal dan berparut di lengan. Kulit aku memang sensitif. Lengan ni hanya sesuai pakai jam berjenama dan hiasan emas sahaja. Kalau tak, akan gatal. Ada sesiapa sudi nak hadiahkan barang kemas?

Akhirnya, beli juga jam baru dengan potongan harga hanya sebanyak 30 peratus sahaja. Potongan harga 50%, 60% dan 70% tidak begitu sesuai. Merelip-relip dengan pelbagai warna dan berlian yang melingkarinya. Rasa macam mak datinlah pulak. Aku suka yang simple sahaja. Kalau beli yang bertatahkan intan berlian itupun, orang tetap kata aku pakai jam pasar malam juga kan? Lagipun tak kena dengan citarasa.

Jam lama yang berusia 15 tahun, jam baru beli di kedai serbaneka berharga RM9.90 dan jam paling baru yang aku harapkan tahan hingga akhir hayat aku hu hu hu...aku ni kan manusia yang setia. Akan sentiasa hargai apa yang dimiliki. Janganlah ko rosak lagi ya jam...ko matilah sekali dengan aku hu hu hu

Terkejar-kejar jugak ke MPH cari buku. Masuk je ke celah rak, lampu dah ditutup. Dalam gelap itupun kami merayap juga cari buku sebab adik aku lebih tahu pasal buku yang aku nak beli itu. Tak ada. Mmmm kenalah pergi cari KL kalau macam ni!

Ahad 12 Julai 2009. Pergi pejabat dengan kakak dan 2 orang anaknya (Siti dan Angah) serta ustazah. Kakak dan ustazah nak belajar buat blog. Jadi cikgu lah pulak aku hari ni, padahal aku bukannya reti sangat. Sekalipun laptop ada 3 tetapi hanya satu sahaja yang boleh disambung dengan wifi UKM. Tak tahu kenapa yang dua lagi tu tetiba sahaja terputus sambungannya. Mungkin sebab hari minggu, ramai pengguna wifi kot. Ustazah ada masalah untuk daftar email baru menyebabkan tak boleh buat blog, tapi, aku berjaya juga buat emel gmail baru untuk dia (masa itu dia dah balik), aku buatkan juga kerangka blog untuknya. Namun akhirnya aku sedar yang kedatangan dia itu sebenarnya bukanlah untuk belajar buat blog tu, tapi nak kempen aku masuk Koperasi EG. Bukan tak nak masuk, ustazah, tapi aku ni sengkek nak mampus dah. Dah tak mampu! Karang aku nak makan apa? Pasir pun dah mahal sekarang ni tau!

Siti dan Angah

Jam 4 petang baru balik dari pejabat dengan kelaparan kerana skip lunch. Angah dah mengutuk aku sebab bagi dia biskut kering je. Walaupun lapar, dia masih jugak nak berlagak dengan aku. Apalah salahnya telan saja dulu biskut kering tu sementara jumpa nasi. Budak-budak zaman sekarang!

Apapun, kerangka blog untuk kakak sempatlah juga siap. Nanti aku akan tambah aksesori dan letak lebih banyak perkara kat blog tu. Angah yang sebelum itu tak nak buat blog, bila nampak blog Ummi dia dah cantik, gatallah pulak nak buat jugak. Bila dah siap yang dia punya, lupa pulak nak balik.

Sampai rumah, fulamak...rumah aku ke apa ni? Macam tongkang pecah. 4 orang lagi anak kakak ada kat rumah dijaga adik. Budak-budak lelaki, faham ajelah apa yang dibuatnya. Yang lelaki bongsu tu tak pakai pampers, selamba kodok je menjawab “tumpah” bila dia terkencing merata tempat. Jenuh adik kena mop lantai beberapa kali.

Akhirnya lunch kami jam 5.30 petang. Makan ramai-ramai kat ruang tamu, sekali dengan adik ipar yang baru siap basuh kereta masa aku balik. Selesai kita orang makan, abang ipar pula sampai dari Low Yatt. Nampak budu je, dia rasa lapar. Nasib baik nasi dan lauk masih banyak. Lupa nak snap makan besar kami tu sebab memang dah kebulur sesangat.

Malamnya kena mop lagi sekali sebab lantai memang dah melekit sesangat. Dan kami, terbongkang depan tv keletihan. Rasa nak pengsan dah, tapi keraskan juga mata sebab tak mahu ajar tidur awal. Sebenarnya hanya aku sorang je terbongkang kat situ sambil terlelap-lelap tengok Ghost (tv8) dan baca novel. Sedang dia keluar dating dengan suaminya.


Isnin 13 Julai 2009. Tak pergi pejabat hari ni. Terus sahaja aku ke KTM UKM dan turun di MidValey. Orang masih belum ramai. Setengah jam sahaja di MPH. Kedai buku yang besar sebegitu pun susah nak cari buku, apalagi kalau kedai buku cikai je!

Ambil train ke KL Sentral kemudian tukar Rapid KL ke Masjid Jamek. Sambil ke bangunan PKNS, sempat juga melilau tepi jalan tengok gerai yang jual pelbagai barang termasuk CD lagu-lagu lama. Susah nak dapat ni! Tangan gatal je nak beli (aku kan minat lagu-lagu lama yang boleh pecahkan gelas. Lagu Ahmad Jais pun ada...mesti Dina terlompat-lompat nak pergi cari sama), tapi bila fikir tujuan utama datang hari ni nak beli buku, terus je aku ke bangunan PKNS. Naik tingkat 1, kedai buku Pakistan tu masih tutup, terus ke tingkat 2, cari buku-buku dari Indonesia (Dulu namanya Pustaka Indonesia).

Kat sini secara asasnya dijual buku-buku agama, tetapi ada jugalah terselit satu dua buku ilmiah. Apapun, topiknya tetap berkaitan dengan agama. Masa dalam train tadi, aku satu gerabak dengan pak lebai-pak lebai tabligh yang berjubah. Kat sini, aku terjumpa salah seorang daripada mereka. Banyaknya buku yang dia beli. Hampir dua ribu ringgit. Dah pasti semuanya buku-buku agama. Percakapannya menjelaskan yang dia datang dari Sabah. Nak je aku mintak sedekah dengan pak cik tabligh ni bayarkan buku aku hu hu hu...dia mana boleh marah kan, orang lebai kena tunjuk contoh yang baik!

Kat sini aku beli 5 buah buku. Selepas diskaun (10 peratus je kot), harganya RM152.80. Aku naik train dan turun di stesen Bandaraya yang terletak di belakang Sogo. Terus ke Kedai Buku Minarva tetapi buku yang aku cari tak ada pun. Selepas itu ke Kedai Buku Mukmin. Dua buah buku sahaja ada. Hanya sedikit tajuk berkaitan dengan apa yang aku nak. Walaupun sedikit, lega juga hatiku. Sekurang-kurangnya ada. Kalau sempat, esok (hari inilah tu...) aku akan ke perpustakaan di UKM. Harap-harapnya adalah buku berkaitan, sebabnya perpustakaan di UKM ni kaya dengan buku-buku prasejarah zaman Hang Tuah lagi. Buku-buku baru sangat susah nak jumpa. Kalau jurnal tu banyaklah, boleh online terus ke Pengkalan Data seluruh dunia. Tak payah pergi ke perpustakaan pun, online terus je kat meja aku.

Makan tengahariku pada jam 3 petang juga di Secret recipe aras 6 Sogo.

Kaki memang dah tak ada upaya pun lagi nak melangkah. Sepanjang minggu ni banyak kerah tenaga untuk berlari ke sana sini, berdiri dalam train dan berjalan untuk jarak yang jauh. Buku lali mula nampak bengkak macam dulu, tak sempat nak urut pun. Tenaga memang dah susut. Badan pula dah sakit-sakit. Urat dah tegang sana sini.

Jam 4.30 aku sampai Bangi hari ni, terus balik rumah walaupun asalnya bercadang nak pergi pejabat. Siap mandi, terus sahaja tarik selimut. Bestnya tidur dalam suasana dingin walaupun di luar sana mentari masih lagi membahang. Sedarnya bila jam dah tunjukkan angka 8.45 malam. Wah!

Seluruh badan memang sakit-sakit. Lenguh. Sakit urat. Penat juga jinjing buku-buku tadi. Jari jemari pun rasa macam lenguh setiap sendi urat. Selesai sidai tuala dan pakaian yang aku basuh pagi tadi di bawah tangga (tangga memang jadi tempat sidai baju kat rumah ni hu hu hu...sekadar gunakan setiap ruang yang ada secara bermanfaat), bancuh segelas nescafe (dah lama tak minum nescafe, pantang kononnya, padahal...pantang jumpa!), lepak depan tv tengok sisa-sisa e-toyol.com dan bioNik (remote kan sentiasa kat tangan, sesedap rasa je tukar chanel), akhirnya tutup tv, masuk bilik dan tulis semua ni.

Selepas ni nak baca novel lagi. Masih ada sebeban novel yang perlu aku habiskan sebelum berakhirnya minggu ni. Kemudian, baca pula buku-buku yang baru aku beli siang tadi. Banyak nyeee nak kena baca! Letihnya kepala otak. Rasa macam nak rehat kat tepi pantai lah pulak...tenang-tenangkan hati, kosongkan minda dan mengelamun sambil dengar nyanyian ombak. Mengada betul! Masa tengah banyak kerja ni lah kepala buat hal. Tak boleh ke tunggu kerja siap dulu?

Akhirnya aku rasa macam aku dah tahu tentang satu perkara. Aku mula sedar yang tenaga dah mula berkurang. Dah susut. Walaupun cita-cita memanglah tinggi menggunung, namun daya dan upayanya dah terbatas. Kalau dahulu, aku akan ambil cuti dan shooping sehari suntuk tetapi masih lagi cergas keesokan harinya. Kini? Dah tua sangat ke aku ni? Bukanlah aku masih lagi 18 tahun dan tetap 18 tahun sampai bila-bila? Mmmmm rasa seramlah pulak...macam hantu jadinya. Usia tak bertambah dan boleh hidup ribu-ribu tahun...nak ke hidup sampai ribu-ribu tahun?

Adoiiii la...tak payahlah kan?