Anda Juga Mungkin Berkenan

Sabtu, 28 Februari 2009

Pasrahkah?


Khamis petang, aku syak komputerku dah kena serang, tapi hati masih lagi menafikan. Sebabnya, setiap hari antivirus aku update automatik, scan juga automatik.
Namun bila semakin ke petang, PC dah macam huru hara dan kacau bilau, akhirnya aku terpaksa menerima hakikat yang pahit tu. Caluk cadangkan aku scan dan clean antivirus secara online sebabnya dah tentulah antivirus yang ada dalam PC dah bengong kena serang. Kalau tak bengong, macam mana tiap kali scan, kata tak ada apa-apa.
Jumaat, seharian kerja aku cari antivirus free secara online. Akhirnya dapat kesan ada penternakan jaya virus dalam PC opis aku ni. Kira-kiranya dapat dikesan kepelbagaian makhluk halus dalam tu iaitu:
362 dalam C
155 dalam D
163 dalam MyDokument dan
7 dalam Share Dokument.
Fuyoooooooooooooo banyak tu!!!!!!
betul-betul penternakanan jaya!
Sabtu: aku datang kerja lagi semata-mata untuk hapuskan lanun yang menyerang PC ni, tapi hampeh! Mana nak dapat scan virus percuma secara online, kecuali ada ler benda2 tersembunyi yang dia orang mintak. Keputusannya, aku terpaksa tunggu hari Isnin atau Selasa untuk dapatkan bantuan teknisen yang pergi Kursus di Kuantan sejak Khamis lepas. Adussssssssssssss!!

Isnin, 23 Februari 2009

Tafsir Mimpi


Anda pernah bermimpi? Mustahil tak pernah bermimpikan? Paling-paling tidak, mimpi seram yang mengusik tidur kala fikiran tidak tenteram.

Aku jarang bermimpi, namun bila bermimpi ada dua perkara yang tersirat. Menandakan ada sesuatu yang akan berlaku, ataupun hanya sekadar hiasi keindahan minda ketika tidur yang tidak punya apa-apa maksud.
Mimpi sebagai petanda tentang sesuatu amat kerap berlaku dan biasanya berlaku beberapa ketika sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Awalnya, aku tidak begitu peduli sangat tentang mimpi kerana bagiku memang sukar untuk menterjemahkan mimpi itu apalagi untuk dikaitkan dengan kehidupan. Namun, apabila mimpi sebegitu berlaku begitu kerap terjadi dan sangat berkaitan dengan apa yang bakal terjadi itu, akhirnya naluriku sudah dapat bezakan antara mimpi yang bersifat petanda atau mimpi yang hanya hadir semata-mata untuk menyenangkan mindaku kala tidur. Namun adakalanya, aku juga keliru antara keduanya apabila aku sendiri tidak mampu untuk tafsirkan mimpi tersebut.

Aku pernah mimpi ayah sedang ketawa gembira. Ketawa dan kegembiraan sebegitu tidak pernah pun aku melihatnya dalam hidupku selama ini. Ayah sebenarnya seorang yang serius, apalagi di hadapan anak-anaknya. Jadi, apabila aku mimpikan ayah gembira sebegitu, jauh di sudut hati memang rasa pelik sedikit. Mimpi itu aku biarkan begitu sahaja tanpa peduli kerana selama ini mimpi hanya sesuatu yang indah semasa tidur. Mimpi itu jadi nyata kemudiannya. Hanya, kenyataan itu sangat berbeza. Kenyataannya ayah sangat marah padaku. Aku terima akibatnya beberapa hari kemudian. Dan akibat itu, mengubah seluruh perjalanan hidupku. Kebetulankah? Kebetulan jugakah andai perkara serupa berlaku berulang-ulangkali? Mimpi yang datang sebagai amaran awal, bak siren sebelum berlaku tsunami...aku sendiripun tidak tahu jawapannya.

Aku juga pernah bermimpi didatangi arwah datuk. Arwah tidak berkata apa-apa, hanya memandangku sahaja, kemudian melangkah pergi. Mimpi itu datang berulangkali hingga buatkan aku terfikirkan sebabnya. Bila bertanyakan beberapa orang, termasuk orang yang ahli dalam hal agama, aku dinasihati agar banyakkan bersedekah. Niatkan pahala sedekah itu kepada arwah. Ataupun lakukan amal kebajikan yang diniatkan pahalanya kepada arwah.

Ketika aku suarakan niatku kepada Mek untuk buatkan kenduri arwah, orang tua itu terdiam. Aku sendiri tak tahu apa yang difikirkannya. Namun, Mek tetap buatkan juga kenduri arwah itu setelah aku masukkan sejumlah wang dalam akaunnya untuk tujuan itu. Selepas itu, aku jadikan kebiasaan dengan meniatkan pahala apa sahaja hal kebaikan yang kubuat untuk arwah. Hingga kini, aku tidak lagi mimpikan arwah lagi.

Mimpi bersifat petanda ini datangnya pada waktu awal pagi. Orang kata sepertiga malam. Bila tersedar daripada mimpi sebegini, jam kala itu antara 3 pagi hingga 4 pagi. Tidak lebih daripada itu. Pada masa terjaga, mata tidak lagi akan mengantuk. Segar bugar. Walaupun diusahakan untuk lelap semula, selepas subuh baru boleh lelap.

Agak kerap juga aku mimpikan perkara-perkara yang menjuruskan aku kepada satu kebenaran dalam hidup ini. Biasanya perkara-perkara berkenaan adalah hal yang tidak ada orang terdekat atau disekeliling yang mampu beritahuku ataupun mereka sengaja merahsiakannya daripada pengetahuanku. Berdasarkan mimpi berkenaan, aku akhirnya dapat tahu juga rahsia itu. Bukannya tahu secara terus tetapi mimpi itu menjadi petunjuk. Berdasarkan mimpi itulah pemerhatianku akan lebih tajam terhadap tindak tanduk mereka yang biasanya ada niat serong itu. Akhirnya, aku dapat tahu juga tentang apa-apa komplot atau rancangan orang sekeliling untuk gulingkanku.

Masalahnya, aku tidak mudah percaya tentang hal-hal mistik sebegini. Walaupun dah ada petunjuk, dah ada klu, dan ada tanda-tanda serta beberapa bukti tentang apa yang bakal berlaku itu, namun hati kecilku sangat kerap menolak. Hati kecilku sangat tidak percaya. Hati kecilku sangat memberi masa untuk kukumpulkan dahulu lebih banyak bukti. Keraguan berkenaan menyebabkan tindak balas untuk bertindak berlaku sangat lambat. Akhirnya, aku hanya menyaksikan sahaja apa yang aku dah agak akan berlaku itu berlaku di hadapan mata. Nyatanya, semua petunjuk yang aku peroleh melalui mimpi itu sangat benar. Adusssss!

Bukan sekali dua berlaku sebegini. Berkali-kali. Bukan tidak percaya tentang deria keenam, namun kesangsian tetap sahaja menjadi penghalang. Sangsi kalau-kalau mimpi itu usikan syaitan. Sangsi kalau-kalau mimpi itu menjerumuskan aku membuat tanggapan salah kepada orang yang tidak berdosa. Kala terbukti ada kebenaran mimpi itu, hati tetap berdetik dengan rasa tidak percaya. Tidak percaya orang tersebut akan lakukan sebegitu pada kita. Tidak percaya yang individu itu akan tergamak mengenakan hingga tahap sebegitu. Akhirnya, hati bagai berbisik untuk membiarkan dia berterusan sebegitu hanya kerana mahu melihat sejauh mana dia sangggup lakukannya. Finally, diri akan terkapar parah bila kesanggupan orang itu memang di luar dugaan sama sekali.

Mimpi yang hanya mengindahkan mindaku ketika tidur biasanya berlaku setelah subuh ataupun selepas jam lima pagi hingga adakalanya hingga jam 10 pagi. Sekalipun jarang juga bermimpi sebegini, namun koleksi mimpi-mimpi indah ini memang indah untuk dikenang. Sangat indah. Kala terjaga, setelah tersenyum mengenangkan keindahan mimpi tersebut, mimpi itu tidak lagi kuingati. Tenggelam bersama kesibukan harian.

Yang mengganggu hanyalah mimpi-mimpi yang sukar untuk kutafsirkan benar tidaknya, ataupun apa maksudnya. Puas ditunggu, masih juga tak kunjung kebenaran. Hanya sebagai mimpi indah sahajakah ataupun punya tafsiran yang tertentu. Mimpi sebegini pula, datangnya berulang-ulangkali. Kalaupun tidak sama lokasinya, namun sama wataknya. Sama intinya. Benar-benar memeningkan.

Anda punya kemahiran mentafsir mimpi? Bantulah daku. Mimpi sebegini telah kerap kualami dengan watak-wataknya yang sama. Hanya lokasi dan suasananya sahaja yang berbeza. Beberapa hari lepas, aku bermimpi lagi. Mimpinya begini:

Aku berada di kawasan tasik yang dalam (seperti empangan buatan manusia) bersama seorang kekasih (yang aku sendiri tidak kenal siapa dia, tetapi dalam mimpi itu perasaanku padanya begitu mendalam) dan teman baiknya, allahyarham Hani Mohsin. Pelik bukan? Aku bukannya peminat arwah. Aku tak pernah jadi peminat fanatiknyapun dengan arwah selama ini. Hanya biasa-biasa sahaja.

Suasana sangat indah ketika itu. Airnya jernih, sejuk dan nyaman. Pemandangan yang cantik. Ada kapal layar lagi. Dan aku pula tidak tahu berenang. Namun keindahan suasana itu mampu kuhayati dengan bantuan arwah Hani Mohsin yang bawa aku jelajah suasana tasik itu (berenang) bersamanya tanpa rasa takutpun. Peliknya, aku lebih rapat dengan arwah berbanding dengan kekasih hatiku itu sendiri. Dan sang kekasih itu pula seakan tidak cemburu pula.

Mimpi sebegini agak banyak kali juga aku alami dengan watak-watak yang sama. Hanya lokasinya yang berbeza. Sekalipun berbeza, persekitarannya tetap berkaitan dengan air, sama ada sungai, laut atau tasik. Dalam setiap mimpi itu, aku sangat gembira dengan dua watak yang hadir dalam mimpi itu. Mereka juga. Dan ketenangan turut aku alami sehingga terbangun tidur keesokan harinya.

Mimpi itu aku ingati biarpun masa telah berlalu. Hingga berhari-haripun. Namun, aku sendiri tidak memahami maksudnya. Sang kekasihku dalam mimpi itu adalah orang yang aku tidak pernah kenal, tidak pernah jumpa pun. Arwah Hani Mohsin juga tidak pernah kusapa secara real, hanya melihatnya dalam majalah atau dalam drama lakonannya. Andainya mimpi itu hanya mainan tidur, patutnya aku dah lupakan mimpi itu bila terbangun keesokan harinya.

Persoalannya: Mengapa watak-wataknya sama? Mengapa perasaannya sama? Mengapa datangnya berulangkali? Mengapa mereka yang tidak kukenali itu yang datang, apa kaitannya dengan aku? Dan aku, seakan fobia dengan kegembiraan berada dalam mimpi kerana apa yang berlaku di alam mimpi adalah keterbalikan di alam nyata. Kala ayah ketawa gembira padaku, dia sebenarnya sedang marah. Kali ini, apa pula?

Mungkin aku perlu ubah pandanganku tentang mimpi ini. Mungkin aku perlu tanamkan dalam minda yang mimpi hanya mainan tidur. Ada sesiapa tahu mentafsirkan erti mimpi ini? Tafsirkanlah mimpi ini. Aku benar-benar ingin tahu.

Jumaat, 20 Februari 2009

Pesta Buku Bangi



Balik dari jogging petang semalam aku ternampak satu banting di sebelah PKNS tentang Pesta Buku Bangi yang diadakan bermula 18 Februari hingga Mac 2009. Asalnya nak balik rumah terus sebab dah penat sangat berjalan selama 2 jam, tapi bila ternampak banting berkenaan, langkah kaki melencong ke arah PKNS tersebut.

Bagi sesiapa yang nak melabur dalam bidang ilmu, bolehlah pergi ke kompleks PKNS Bangi untuk beli buku. Potongannya hingga 30 peratus sahaja yang aku nampak setelah melilau beberapa minit di sana. Janganlah harapkan macam Pesta Buku Antarabangsa di PWTC setiap April tu, tapi kira bolehlah untuk dapatkan buku-buku bacaan yang diterbitkan beberapa penerbit.

Ada satu tapak tu disewa oleh penjual buku-buku terpakai. Agak bagus juga. Ada beberapa judul buku yang aku berkenan dan nak beli tetapi disebabkan aku pergi jogging dan sekadar singgah sahaja di PKNS tu, jadi tak bawalah duitnya. Buku-buku terpakai ini terdiri daripada pelbagai jenis buku ilmiah, novel-novel dan juga majalah-majalah. Novel Saga umpamanya, terdapat dalam dua versi cetakan. Menarik tu....
Semasa menyebokkan diri untuk snap sana sini di kawasan pesta buku tersebut, tiba-tiba aku tersnap gambar YB tersohor di Bangi ni...YB Shafie Abu Bakar. Mmmmm nak pergi ucap salam dekat-dekat pun tak berapa nak sesuai. Maklumlah baru balik dari jogging. Semerbak baunya...

Bangi bandar Ilmu. Jadikan amalan membaca sebagai amalan kita sekeluarga. Selamat menambah ilmu!

Khamis, 12 Februari 2009

Bila Februari Bertandang




Februari datang lagi. Ada apa dengan Februari?


Kalau ditanyakan pada golongan muda mudi pada hari ini, tarikh 14 Februari memang tidak asing lagi kepada mereka. Malah, ada sesetengahnya sangat ditunggu-tunggu. Kononnya itulah tarikh untuk Hari Berkasih Sayang. Persoalannya, hanya 14 Februari sahajakah kasih sayang perlu diingati? Kenapa 14 Februari, kenapa tidak 15, atau 27 atau 29 Februari? Pada tarikh yang lain itu, kasih sayang tidak perlu diingati lagi?

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula menjadi budaya dalam masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada cetak mahupun elektronik. Kononnya hari inilah hari yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi.

Kini, Hari Valentine bagaikan menjadi sebahagian daripada budaya timur yang kita amalkan. Sama seperti menyambut hari Taipusam, Deepavali, Cah Goh Meh, ataupun mesti ramai yang akan marah kalau disamakan juga dengan Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri. Hakikatnya, promosi tentang sambutan itu sangat meluas. Lihat sahaja sambutan yang diadakan melalui program TV yang ditayangkan atas nama “Valentine’s Special”.

Sesekali, jelling-jelinglah persekitaran yang sudah mula membudaya dalam masyarakat kita kini bila tibanya Februari. Jenguk-jenguklah pasaraya yang membuat pelbagai promosi untuk hadiah sempena perayaan ini. Potongan harga untuk minyak wangi, pelbagai cenderahati yang comel di rak seperti anak beruang, patung, ataupun kad-kad yang direka khas. Harga bunga-bungaan pada tarikh ini memang akan melambung naik secara mendadak. Tempahan makan malam direstoren terkemuka, kelab, hotel-hotel pula akan penuh. Dengan harga promosi yang melambung-lambung yang ada masanya memang tak masuk akal pula. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seperti ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Lebih membimbangkan, kebelakangan ini pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa. Mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan, mengadakan parti, minum malah bergaul bebas dan sebahagiannya yang ada kala akan diakhiri dengan pesta seks. Hati kita lebih tergugah bila semua itu melibatkan muda mudi Melayu beragama Islam pula. Sedih!

Valentine’s Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Berdasarkan penyelidikan yang tak seberapa kulakukan, berikut adalah apa sebenarnya yang dipanggil Valentine Day itu. Jom sama-sama kita tambah ilmu sejarah hari ni…

Sejarah Permulaan Valentine’s Day

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day:

i. Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat
Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan bahawa pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari pada tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine dan iainya adalag satu upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Hujjah dan Dalil
Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain, apalagi mencampuradukkan akidah dan ibadat agamanya dengan akidah dan amalan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T;

Bermaksud:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!
[2] Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
[3] Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
[4] Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
[5] Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
[6] Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
(al-Kafirun ayat 1-6)

Jadinya umat Islam tidak boleh tampil dengan cara yang sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. :
Bermaksud:
Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa:
“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.


Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sekiranya Jawatankuasa Fatwa negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine Day ini dilarang dalam Islam, masihkah kita mahu meraikannya? Masihkah kita mahu mengagungkannya? Mungkin ada yang akan pertikaikan dengan alasan, betapa Islam juga agungkan kasih sayang. Pada aku secara peribadi, kasih sayang itu sepanjang hayat. Bukan hanya sehari dalam setahun. Bukan hanya ketika bunga mawar melambung harganya. Tidak juga terletak pada sebotol pewangi yang naik harganya itu.

Kalaupun nak menyatakan perasaan kasih sayang, luahkanlah pada hari yang lain. Pada hari harga bunga mawar tidak melambung-lambung tinggi. Pada hari harga pakej makan malam di hotel berbintang-bintang itu pada kadar yang biasa, ataupun pada hari harga pewangi dibuat Jualan Gudang. Kan jimat tu!


Artikel berikut merupakan kutbah Jumaat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang boleh diperolehi di
http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=72&Itemid=1.


"LARANGAN MERAIKAN HARI MENGINGATI KEKASIH "


Sidang jumaat yang berbahagia,
Marilah kita bertakwa kepada allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan mematuhi suruhannya serta meninggalkan larangannya, dan takutlah bahawa sesungguhnya azab allah s.w.t adalah suatu yang pasti bagi orang-orang yang ingkar dan ianya adalah terlalu dasyat untuk dihadapi.

Sidang jumaat yang dihormati,
Sejak kebelakangan ini, keruntuhan akhlak para remaja islam telah sampai pada satu tahap yang membimbangkan. Kegiatan-kegiatan sumbang,tidak sihat serta salah laku semakin menjadi-jadi seperti yang dilaporkan oleh media massa dan ada juga yang berlaku didepan mata kita. Lebih membimbangkan apabila golongan yang ramai terjebak dalam masalah sosial adalah para remaja dan belia, yang menjadi harapan bangsa dan agama masa hadapan.

Para remaja dan beliau merupakan aset negara yang amat berharga, yang bakal menjadi pemimpin, walaupun sekurang-kurangnya sebagai pemimpin dalam keluarga. Mereka wajib mengisi dada dengan ilmu dan iman bagi mempersiapkan diri sebagai pelapis pemimpin negara serta keluarga dan bukannya hanya asyik leka dengan keseronokan duniawi. Akibat keruntuhan ini, sekirannya tidak dibendung, pasti akan membawa kepada kerugian dan kehancuran keluarga, masyarakat,bangsa,agama dan negara. Kegagalan menghayati ajaran islam dan kemasukkan budaya tidak sihat yang dibawa oleh golongan yang memusuhi islam mempercepatkan lagi kehancuran umat islam dan peradabannya.

Syahadat yang pernah kita lafazkan mengandungi ikrar bahawa tiada tuhan melainkan allah serta Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah,tetapi mengapa kita gagal mengahayati tuntutan tersebut?, sebaliknya lebih banyak terpengaruh dengan ciri-ciri ajakan dan meniru cara hidup musuh-musuh islam, terutamanya golongan Yahudi dan Nasrani Laknatullah, yang berkiblatkan hasutan iblis dan syaitan.

Minggu hadapan apabila masuknya tarikh 14 Febuari, adalah tarikh yang diingati oleh sebahagian golongan muda mudi. Pasti kita lihat nanti, akan ramai anak remaja islam yang turut meraikan tarikh tersebut sebagai Valentine's Day. Minbar jumaat hari ini mengingatkan, bukannya untuk kita meraikan hari tesebut, sebaliknya biarlah ia berlalu begitu sahaja.

Sidang jumaat yang dihormati,

Nabi s.a.w pernah ditanya oleh sahabat tentang siapakah yang terselamat diakhirat kelak?
Jawab Baginda: Mereka itu adalah golongan yang menuruti perjalananku dan perjalanan para sahabatku.

Harus diingatkan Valentine's Day ini bukan amalan yang disuruh oleh nabi atau para sahabatnya Tabiil At-Tabiin atau para solihin, adalah sangat malang lagi bila mana valentine's day ini diraikan oleh pasangan muda mudi yang bukan mahram serta direstui pula oleh ibu bapa yang jahil tentang hukum-hukum agama. Pasangan kekasih ada kalanya meraikan hari valentine's day ini hingga berakhir di pub-pub, disko-disko, hotel-hotel dan berpenghujung dibilik-bilik sehingga berlakunya zina, yang kononnya sebagai tanda cinta kepada pasangan kekasih yang mereka sayangi.

Sidang jumaat yang dihomati,
Sebagai seorang Islam yang beriman, siapakah kekasih yang seharusnya kita agung-agungkan?.Sebagai umat Islam kita hendaklah menjadikan Allah dan Rasulullah S.A.W itu sebagai kekasih utama, kemudiannya ibu bapa yang melahirkan serta membesarkan kita.
Terdapat tiga tanda untuk mendapat kemanisan iman iaitu,
1. Cinta kepada Allah dan Rasul lebih dari seisi dunia.
2. Kasih dan benci sesuatu kerana allah.
3. Terlalu takut kepada kekufuran serta cukup takut dilontar kedalam api neraka.
Jika sudah berani keluar dengan pasangan bukan muhrim, sanggup dipeluk dan dibelai oleh pasangan yang bukan muhrim, sanggup menggadai kesucian diri untuk orang yang dianggap sebagai kekasih tanpa ikatan nikah, adakah perilaku ini dianggap sebagai kasih kerana Allah dan takut pada api neraka Allah?.

Sidang jumaat yang dihormati,
Valentine's Day itu diambil dari nama seorang paderi yang begitu berpengaruh pada zaman pemerintahan ratu dari Sepanyol. Terdapat beberapa variasi bagaimana valentine's day dikaitkan dengannya, namun sekurang-kurangnya terdapat dua variasi yang telah dicatat dalam sejarah.

1. Valentino adalah orang terpenting ratu Isabella yang berjasa menumpaskan kerajaan islam Krodova, Sepanyol. Ratu Isabella dan seluruh rakyat menganggap dia sebagai kekasih, lalu 14 Febuari itu diraikan sebagai tanda kemenangan dalam menyembelih dan menumpaskan umat islam serta memadamkan cahaya Islam di Sepanyol.

2. Sebelum mencapai kejayaannya menumpaskan islam, Valentino dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertamanya beragama islam dan kekasih keduanya beragama kristian. Memandangkan berlainan agama, maka dia terpaksa melupakan kekasihnya beragama Islam dan menumpukan kepada kekasih keduanya yang berpahaman Protestan. Apabila beliau berjaya menumpaskan kerajaan Islam di krodova sepanyol, maka ratu Isabella bertanya kepadanya, apakah bentuk ganjaran yang ingin dikurniakan atas kejayaanmu itu? Lantas Valentino menyatakan keinginannya untuk mengahwini kekasihnya, yang berpahaman protestan itu. Permintaan ini menimbulkan kemarahan kepada ratu Isabella dan juga rakyat Kardova kerana Velentino merupakan paderi katolik sedangkan kekasihnya seorang protestan , tambahan pula beliau adalah seorang paderi ia sememangnya tidak boleh berkahwin. Atas kemurkaan inilah beliau dipenjarakan, tetapi sebagai mengenangkan jasa paderi ini maka tarikh 14 Febuari dianggap sebagai "Hari Mengingati Kekasih".

Di barat, hari kekasih bermaksud hari tersebut para pasangan kekasih bebas melakukan apa sahaja. Mereka bukan sahaja bertukar bunga-bungaan, malah mereka akan melakukan perkara yang berada diluar batas moral manusia dan akhirnya berlaku perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Agak bahaya budaya ini telah dijadikan sebagai gaya hidup pada golongan muda mudi kita masa kini. Firman allah s.w.t :

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana menegakkan agama Allah, janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan, baikilah perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya". (Al-Baqarah: 195)

Sidang jumaat yang berbahagia,
Amalan menyebut hari valentine's ini, jelas bertentangan dengan Islam dan hari yang tidak dimuliakan oleh Islam. Hari yang asasnya bukan dari akidah yang benar, malah sesiapa dikalangan umat islam yang meraikannya samalah seperti dia meraikan perjuangan seorang paderi yang telah berjaya meruntuhkan Islam dibumi Allah di Sepanyol itu.

Meraikan valentine's day juga seolah kita mengiktiraf perilaku seseorang kasanova valentino yang mengheret dua kekasih dalam satu masa. Hari kekasih yang dibawa oleh musuh-musuh Islam ini tanpa disedari bertujuan melekakan dan merosakkan akhlak umat Islam. Sedarlah, bahawa budaya ini bukan budaya Islam. Budaya ini adalah kudis yang membawa barah kerosakkan dalam masyarakat kita, yang mana kumannya dikirim oleh musuh-musuh Islam dalam agenda mereka untuk memusnahkan khususnya para remaja Islam. Sewajarnya kita lebih menghayati dan meraikan kekasih kita -Habibullah- iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyinari kehidupan manusia dari kegelapan kepada cahaya seluruh alam.

Ya-allah , kurniakan kehormatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan ,kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, negeri selangor darul ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia,lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian negeri selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.
10 Februari 2006

Jadinya…masihkah kita mahu meraikan 14 Februari dengan cara yang sama seperti mereka? Apa bezanya Mereka berbanding anda?

Anda sendiri memang tahu jawapannya.

Rabu, 11 Februari 2009

Remaja Zaman Sekarang

Bila baca pasal kelakuan anak muda, anak remaja dan adakalanya anak yang dah beransur-ansur nak sampai senja ni, adakala rasa semacam pula. Kak Tie kita risaukan anak bujangnya yang masih lagi sekolah rendah. Masih disekolah rendah sudah di urat anak dara orang. Kerisauan Kak Tie tu boleh anda baca di http://kaytieze.blogspot.com/2009/02/apa-sudah-jadi.html

Memang susah jadi ibu zaman milaneum ni. Semua perkara nak kena risau. Banyak benda nak kena perhatikan. Perlu ditinjau. Cabaran hidup anak-anak kini pada zaman penuh pancaroba ini jauh bezanya dengan kehidupan kita pada musim-musim yang sudah. Masa seusia umur anak Kak Tie itu, aku rasanya masih lagi belum pandai nak mengurat anak teruna orang (sampai sekarang pun belum pandai-pandai jugak tu...). Bila di sekolah menengah, menyebut nama rakan-rakan sekelas lelaki pun kena marah.

Kebimbangan Kak Tie memang ada asasnya. Gejala sosial kian memberat kini. Toleh kiri kanan, hati jadi risau. Suasana masyarakat kita yang dah semakin maju dan TERBUKA masa kini (tak kira cara berfikir atau cara pakaian yang dikenakan...mmmm semuanya terbuka), bukan sahaja Kak Tie yang ada anak teruna itu sahaja yang risau. Aku pun risau jugak.

Aku sarankan agar rajin-rajinlah Kak Tie gunakan perkhidmatan awam. Dalam komuter, LRT ataupun monorel, Kak Tie boleh tengok macam-macam gelagat remaja yang ada masanya masih rebung lagi tetapi aksi mereka boleh buatkan muka kita yang dah jadi buluh ni memerah. Ramai antara mereka tak kesahpun untuk berpelukan mesra dalam perkhidmatan awam sebegitu lebih-lebih lagi kalau musim sesak dan sendat dengan manusia. Siap melentokkan kepala ke dada sang teruna lagi. Jadinya, kalau setakat anak teruna Kat Tie kena hendap tu, masih berada pada aras yang belum bahaya lagi. Kak Tie akan lebih risau bila anak bujangnya itu melangkah ke sekolah menengah.

Bukan semua remaja, muda mudi atau anak gadis dan teruna zaman ini yang sebegitu. Tak ramaipun, hanya segelintir sahaja. Namun yang segelintir itulah yang boleh sentap jantung kita. Sebenarnya masih ramai lagi anak-anak remaja, muda mudi dan si dara jetita yang masih tepu dengan kesopanan dan susila timur. Namun, kesusilaan dan budaya timur yang dibawa mereka ini buatkan mereka tidak begitu menonjol dan menyerlah di khalayak. Ataupun juga disebabkan mereka ini “normal” dan biasa-biasa sahaja berbanding dengan dua tiga kerat yang lain yang begitu menonjol atau sengaja menonjolkan diri itu. Itulah sebabnya mereka lebih mudah kita ingat, kita kenang dan kita rasa sakit kepala.

Buat anak-anak muda, adik-adik remaja dan anak bujang teruna alaf baru ini, jagalah susila diri. Jagalah Islam yang kita anuti. Jagalah nama baik ibu bapa. Jagalah juga susila timur yang kita dukungi. Remaja hanya sekali, jadi peluang yang datang hanya sekali itu usahlah dicemari dengan sesuatu yang akan kita tanggung akibatnya sepanjang hayat. Adik adik ini lebih bijak dari kami dahulu, jadi gunakanlah kebijaksanaan itu ke arah yang sepatutnya. Jika sekali buat silap, alangkah ruginya andai terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan berkenaan sepanjang hayat kita. Bukankah lebih baik kiranya usia muda digunakan untuk membina hidup yang lebih bermakna apabila dewasa nanti?

Fikir-fikirkanlah!

Selasa, 10 Februari 2009

Jualan Gudang Utusan

Berita tentang Jualan gudang di Utusan aku dapat semasa singgah di blog ini beberapa hari sebelumnya http://celikhuruf.blogspot.com/2009/02/masih-ada-jualan-buku-majalah.html. maklumat di blog ni aku guna untuk ke laman sawang Utusan. Lebih banyak maklumat boleh dapat di sana.

Jadinya, Sabtu 7 Februari lepas aku rancang ke alamat yang dinyatakan di Shamelin Perkasa. Aku ajak adik dan kakak sama, kotlah dia orang nak borong buku juga. Kami ni memang kaki buku, memang PANTANG benar kalau ada jualan Gudang buku macam ni. Confirm muflis punyalah!
Ingatkan besar-besaranlah dia punya jualan gudang tu...maklumlah, namapun jualan gudang. Namun apa yang terpacak dalam fikiran kami tu berbeza sangat. Dah lah kami memang tak biasa dengan tempat tu, banting atau iklan tentangnya yang tergantung kat tepi jalan juga payah nak jumpa. Hampir habis minyak suku tong unser tu barulah kami jumpa tempatnya.

Paling aku suka kat jualan gudang tu adalah kamus...harganya dah jadi semurah ni

Lain-lain tu biasa sahaja. Paling murah buku boleh dapat dengan harga RM1. Novel-novel ada yang 3 buah RM10. Akhir cerita, langsai juga RM184.60 kat situ. Kakak pula RM182.60. MUFLISSSSSS. Nasib baik sebab beli buku, bukannya beli barang-barang kurang penting.

Kat bawah boleh lihat kemeriahan yang ada kat sana.

Bila balik, buku-buku yang dibawa hanya 4 beg plastik. Budak-budak ni pula seronok bawa balik belon.
Mmmmm tapi...memang PENAT GILA. Bukan sebab jinjing buku, tapi...kejar bebudak ni...Adusssssssssss

Jumaat, 6 Februari 2009

Cadangan Parking Lot



Nampak macam comel je tempat letak kereta macam ni kan...ruangpun jimat. Ada kemungkinan tak untuk Malaysia bina tempat "simpan" kereta macam ni?

Rabu, 4 Februari 2009

Surau di Kompleks Beli Belah

Seronok kan kalau boleh selalu pergi shooping. Apalagi kalau musim jualan murah sama ada semasa jualan mega, jualan musim perayaan, jualan musim cuti ataupun jualan tiap hujung bulan bila dapat gaji. Diskaunnya adakala tak masuk akal. 80 peratus tu...bukan senang nak dapat, walaupun aku masih mengidamkan jualan hingga 100 peratus diskaun. Ada ke?

Sogo memang antara tempat klasik yang aku suka pergi bila nak beli belah atau lepak. Sebabnya, tak ramai orang. Lagi pula senang, ada stesen Bank Negara untuk komuter. Tak payahlah aku tukar train di Sentral. Masa balik juga begitu manfaat. Ada tempat duduk berbanding kalau naik di Sentral yang perlu berasak-asak.

Namun, ada satu perkara yang agak menyedihkan tiap kali ke Sogo. Pusat beli belah sebesar itu, meletakkan suraunya di kawasan yang paling terpencil. Di kawasan letak kereta yang panas. Pengap. Kecil dan sempit juga.


















Pada waktu puncak seperti musim perayaan dan hari minggu, ruangnya padat dan basah dengan air tapak kaki pengunjung. Waktu Maghrib terutamanya, ada masanya tiada ruang untuk berdiripun sementara menunggu giliran solat.Sekalipun ada kipas disediakan, pengudaraan yang tidak sempurna buatkan ruang sempit itu lebih pengap. Lebih hangat.

Sesekali beli belah di Time Squere, jenguk-jenguklah suraunya di tingkat 8 bagi muslimin dan tingkat 7 untuk muslimat. Aku tak pernahlah masuk ke surau muslimin tetapi surau muslimat yang disediakan itu tidaklah sempit sangat. Ada penyaman udaranya. Ada kipasnya. Namun, kesedaran pengguna yang rendah menyebabkan kemudahan ini “sedih” untuk dipandang. Sejadah dan telekung solat bukan sahaja berbau hapak dan kusam, tetapi amat kotor. Bersepah di lantai tanpa berkemas dengan rak yang disediakan atau ampaian terbiar kosong. Itu belum lagi dicampur dengan sepahan tisu yang digunakan cik adik manis buat mengelap lebihan gincu. Mmmm kalau diikutkan, cantik molek orangnya tetapi...pengotor! Dengarnya Islam mementingkan kebersihan! Fuihhhhhh. Hal-hal sebeginilah yang sukarkan kita nak jawab bila ditanya oleh orang bukan Islam. Mohon maaf, tidak dapat disertakan gambar buktinya kerana suasana tidak mengizinkan snap sekeping dua gambar. Melibatkan aurat juga.


Di bangunan Low Yatt yang majoriti dikuasai kaum Cina pun, meletakkan suraunya di tingkat UG (dahulu) tetapi kini telah dipindahkan ke B2, di tingkat bawah tanah searas dengan tempat letak kenderaan. Surau dahulu (di aras UG) sempit, namun penyaman udara memberi keselesaan kepada pengunjung. Bersih dan teratur juga. Dan kini, bila berpindah ke aras B2, surau berkenaan lebih selesa. Luas, bersih. Bukan sahaja ada kipas, tetapi ada juga penyaman udara. 

















Cuma sedikit canggung bila tempat wuduknya dibina bersebelahan antara tempat wuduk lelaki dan wanita. Bagi sesetengah orang memang tak kesah, namun bagi dua tiga tengah orang yang lain, rasa tidak selesa. Maklumlah, untuk mengambil wuduk, memerlukan wanita membuka sebahagian besar daripada tudungnya. Mmmm janggal lah pulak!

 















Di pusat beli belah Bukit Bintang dan Wang Plaza, surau comelnya memang terjaga. Selesa. Bersih. Kemas dan teratur. Telekung wakafnya juga kira bolehlah digunakan dengan selesa, tanpa bau hapak. Walaupun bilik wuduknya agak jauh sedikit, namun kecacatan sebegitu boleh dimaafkan bila selesa berada di dalam surau comelnya itu.

 

 














Nak surau yang lagi selesa masa beli belah, pergilah ke KLCC. Luas. Bersih. Selesa. Yang biasa-biasa aje suraunya bila berkunjung ke MidValey. Di Alamanda, Putrajaya...seadanya sahaja. Taklah secantik dan sebersih di Buikit Bintang Plaza, namun tidak juga sampai ke tahap surau di Sogo atau Berjaya Time Squere. Kiranya selesa seadanya sahaja. Kalau dahulu, semasa Alamanda baru dibuka, suasana dan persekitaran suraunya sama seperti di KLCC. Dah lah luas, bersih, selesa dan menyenangkan. Namun kini, tahapnya turun sedikit walaupun masih tergolong antara surau yang masih selesa digunakan.

Tak kira surau manapun kita pergi semasa beli belah, perkara utama yang perlu diingat adalah awasi barangan sendiri terutama dompet dan telefon canggih yang dibawa. Entah mengapa, tempat ibadat sebegitu menjadi tempat paling bagus untuk mencopek. Sedihkan!