Anda Juga Mungkin Berkenan

Rabu, 31 Disember 2008

Kutinggalkan Ia Di Sini


Disember tinggal sisa. Tak sedarpun setahun hampir berlalu. Hanya beberapa jam sahaja lagi. Tak sedarpun diri telah melewati setiap hari pada tahun ini dengan jayanya biarpun dalam payah.

2007 bak tsunami yang melanda. Sekelip mata semuanya membadai dalam hidup. Kerjaya yang kubina bertahun hampir ranap. Perancangan hidup yang kuatur, terburai satu persatu. Impian yang disemai berderai. Teman-teman hilang semua dan keluarga yang kuharap dapat menyandar harapan, goyah di sana sini. Paling utama; perjuangan yang kuagungkan, sia-sia semua. Berantakan. Aku terduduk. Terkedu. Tak berupaya. Tak berdaya. Diri tidak sahaja dirempuh tsunami dan hilang segala tetapi juga dihempap langit hingga sukar untuk bernafas.

Apa yang diharap, diperjuangkan, diagungkan, dipertahankan, semuanya...tinggal puing. Tinggal sisa. Dan semua pecahan itu kukutip persatu sepanjang 2008. Kucantum perlahan satu demi satu puing-puing deraian itu, kubina semula dengan penuh percaya bahawa aku mampu hadapi segalanya.

Allah menguji hambanya dalam pelbagai cara dan, Dia hanya uji dengan ujian yang mampu ditempuhi hambaNya itu sahaja. Itu yang aku pegang kemas. Itu yang aku semat di dada tiap kali diri terasa lelah. Rasa tak berdaya. Rasa teramat tak berupaya dan putusasa.

Aku tak kuat. Itu hakikat yang perlu aku terima. Lemah. Tak berdaya. Tak upaya. Malah, telah keringpun air mata menangisi nasib malang ini. Yang ada hanyalah satu semangat. Hanya satu. Yang satu itu adalah Allah tidak menguji hambaNya dengan apa yang tak mampu dijalani. Hanya itu sahaja.

Hari demi hari tetap dijalani dengan payah. Payah amat. Keseorangan. Selangkahpun sukar digerakkan. Hidup bagai telah terhenti pada satu noktah yang tidak siapapun inginkan. Statik dalam bara yang membakar. Payah. Sendirian.

Percayalah pada kuasa Allah. Percayalah yang Dia tetap akan bantu hambaNya yang sabar. Percayalah yang Dia lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Percayalah bahawa, Dia membantu kita dengan cara yang tidak kita dugapun. Apa yang perlu kita buat adalah pasrah. Pasrahlah dengan tiap ujian itu. Pasrahlah dengan tiap apa yang datang. Pasrahlah juga dengan setiap kebaikan kita buat biarpun dibalas dengan kesukaran. Dengan pasrah itulah, terbinanya jalan untuk kita lalui. Pasrah itulah buatkan kita redha. Redha itu akan buatkan kita mampu berfikir dengan lebih realistik. Bertindak dengan lebih hati-hati.

Bila percaya, bila pasrah, Dia yang Pengasih dan Penyayang itu akan turunkan bantuanNya dengan cara yang tidak terdugapun. Melalui orang yang tidak kita kenal atau sangkakanpun. Dan semuanya akan jadi lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan.

Januari 2008, aku hanya teruskan perjuangan untuk teruskan hidup hanya kerana nyawa masih lagi di badan. Tanpa cita-cita, tanpa harapan. Tanpa matlamatpun. Namun kini, akhir 2008, aku sedar, perjuangan sebenarnya baru bermula. Perjuangan untuk diri sendiri pula.

Sebelum ini aku berjuang untuk orang lain. Aku membina empayar untuk kebahagiaan orang lain. Aku berkerja untuk mengubah nasib orang lain. Segala-galanya untuk orang lain. Semuanya untuk orang lain. Dan kali ini, setelah berpuluh tahun hidup, baru kali ini aku hidup untuk diri sendiri. Aku berjuang untuk diri sendiri. Lalunya, biar sukar bagaimana pun, sepatutnya perjuangan itu akan menjadi lebih hebat lagi.

Biar sebesar mana silap yang dibuat, jadikan silap itu pelajaran yang paling berguna untuk kehidupan seterusnya. Silapku hanyalah satu, terlalu banyak memberi. Hingga berlebihan. Hingga tidak dihargai lagi. Aku tidak perlu buang masa untuk terus berduka dengan apa yang telah berlaku tetapi perlu teruskan perjuangan untuk dapatkan lebih banyak lagi yang aku pernah dapat sebelum ni. Kata Gina (THR), belajarlah daripada silap lalu. Orang yang jatuh terduduk akan lebih berjaya pada masa depan. Itu juga yang dituturkan beberapa orang yang baru kukenal setelah aku terduduk tanpa upaya untuk melangkah lagi. Itu juga yang kutemu dalam buku-buku motivasi.

Terima kasih kepada orang-orang yang baru kukenal pada 2008 ini. Pada En. Kamal, En. Wan Ahmad Rizalle (CIMB), En. Mohd Noor (Ambank) Ustaz Awi yang prihatin. Terima kasih teman-teman di Caluk Corner yang sudi menerima seadanya aku biarpun ada masa tertentu aku muncul dengan jiwa yang bercelaru terutama pada awal kemunculanku. Diri masih mamai kala itu. Masih mabuk air sejuk. Masih tidak percayakan sesiapa. Nyatanya, mereka sudi menerima biarpun tidak tahu, tidak kenal dan tidak kunyatakan identiti dengan tepat.

Terima kasih dengan penerimaan itu. Kala aku di atas, orang menerima aku sebab dudukku itu. Aku dibuang bersepah kala terpelanting jatuh. Material juga yang jadi nilaian manusia. Namun, di sini, aku diterima seadanya biarpun pada ketika aku tenat di gaung. Dan aku berazam untuk sentiasa ingat semua ini biarpun satu ketika nanti aku sudah mampu mendaki ke atas semula. Memanjat tebing lagi sekali.

Mengatur langkah dari runtuhan hidup memang tak mudah. Apalagi bila keseorangan. Sendirian. Dunia yang luas dan meriah ini terlalu sempit dan sunyi buat aku yang patah sayap. Setelah diasak, dihimpit, digilis dengan kepayahan itu, aku usaha untuk bertatih biarpun sebenarnya kala itu hanya mampu menyeret dada.

Dan hari ini, setelah duniaku punah relai, hancur berantakan, aku kembali bina semula tiangnya daripada puing-puing yang masih tinggal. Moga jadi istana. Moga jadi mahligai. Moga mampu lindungiku kala hari tua.

Terima kasih kepada Pejuang yang Terluka dalam Peperangan. Terima kasih berikan daku teknik berperang menghadapi musuh. Terima kasih bercerita tentang strategi tumbangkan musuh menantikan luka kita sembuh. Terima kasih.
2008 tahun merawat luka. Tahun mengutip harapan. Tahun menyemai mimpi. Payah, tapi...telah berjaya aku laluinya. Musuh tentunya sedang bergembira dengan terlantarnya aku tanpa upaya dengan lelas luka terpalit nanah. Musuh sedang ketawa melihat aku kehilangan upaya diri lagi. Musuh sedang berpesta menyambut kemenangan mereka. Aku tahu itu.

2009 bakal buka tirainya. Aku berjanji pada diri. Aku pahatkan pada hati. Setahun ini aku akan kembalikan gemilang yang pernah kuraih. Aku akan pastikan diri berada pada tahap terakhir aku sebelum terhempas jatuh. Dan 2010, tentunya aku perlu lebih dari itu. Aku perlu ada lebih tinggi daripada waku aku dihempas ke bawah.

Peduli apa aku dengan musuh yang sedang rancak berpesta. Peduli apa aku dengan tawa ejek mereka untuk terus lemahkan aku. Peduli apa aku dengan racun yang disebarkan bak wabak ke seanterio alam ini agar aku musnah. Peduli apa aku.

Kalau mereka jatuhkan aku sebab aku berada di atas, aku pasti akan terus ke atas. Kalau mereka lempar aku ke gaung kerana aku punya apa yang dia tak miliki, perlukah aku mengalah? Bukankah Allah dah tunjukkan siapa mereka yang bertopeng itu? Lalunya, perlu apa aku takut kepada ketakutan mereka?

2009. aku sebenarnya masih takut untuk terus melangkah. Aku masih fobia. Masih lagi tidak berani. Masih was-was juga. Semua itu bisik hati kecilku. Sungguh!
Kalau 2008 yang payah itu berjaya aku lalui dan selesaikan apa yang tidak terfikir akalpun, masihkah perlu kuturutkan bisik hati kecil itu? Kalau tahun ini aku berjaya bertatih daripada lumpuh, perlukah aku takut untuk berlari pada 2009?

Kuingin tinggalkan semua kekalutan yang pernah berlaku itu di sini. Di tebing 2008. Di akhir 1430H. Kuingin kuburkan semua sengsara itu di sini. Aku nak jadi orang baru pada 2009. Pada 1430H. Tinggalkan semua duka. Semua benci. Semua derita. Semua luka. Semua rasa. Biarlah hanya di sini. Cukuplah setakat ini. Cukuplah.

Aku masih belum kuat. Dan, aku perlukan kekuatan daripada semua orang. Yakinku masih belum mantap. Aku perlukan keyakinan untuk terus melangkahdaripada kalian. Sudikah kalian berjuang bersama-sama aku?

Selasa, 30 Disember 2008

Sebelum Tahun Baru

Sebelum tiba tahun baru, agak banyak juga cuti umum. Krismas, tahun baru hijrah. Tahun baru 2009 juga. Cuti yang berselang sebegitu buatkan malas nak pergi pejabat. Rasa lebih enak golek-golek di tilam yang tidak berapa empuk itu. Kalau tilam empuk, lagi malas rasanya. Dan aku memang sedarpun darjah kemalasan itu memang tinggi juga berbanding biasa.

Walaupun malas pergi pejabat, ada beberapa perkara yang rajin kubuat. Pertama, tidur. Kedua, ronda shooping kompleks. Ketiga, buat perkara-perkara yang dah lama tak sempat buat. Ringkasnya, beberapa hari sebelum tahun baru yang akan menjelma ini, aku telah buat perkara-perkara berikut;


1. Beli TV baru di Carefour, Alamanda Putrajaya. Jenama: Pensonik, 21 inci. Harga: RM379. Murahkan?

Sebelum ke Carefour, aku singgah dulu di kedai elektrik belakang rumah yang buat offer gila-gila kononnya. Offer akhir tahun. Tv yang sama harganya RM499 selepas diskaun. Walaupun taklah perlu sangat set tv tu setelah lebih setengah tahun tv Aiwaku telah rosak, tetapi bila tengok perbezaan harganya tu, terus je aku sambar tanpa fikir panjang. Plannya nak beli pada Tahun Baru Cina nanti. Awal sikit pun tak apakan? Mmmm kenalah puasa awal tahun baru kan hu hu hu...TV punya pasal, apa salahnya. Diet sama kan. Konon! Bila perut lapar, aku belasah je dan lupakan diet tu. Diet hanya pada musim perut kenyang je hu hu hu

First time tengok Nyang Rapik hu hu hu

2. Beli tangga. Juga di Carefour. Kat rumah dah ada tangga yang 12 palang tu, aku beli masa panjat bumbung dulu. Tapi tangga tu tinggi sangat untuk kerja-kerja memanjat di dalam rumah. Jadinya, tangga 5 palang pijak itu kena juga aku beli untuk memanjat bila ada lampu yang mati dan perlu tukar mentolnya. Harga: RM38.90. budget asal, RM60. Jimat la RM20. Boleh buat makan cheese kek tu!

3. Jahit langsir.
Ni aktiviti yang dah lama aku tak buat. Lebih 10 tahun gamaknya. Bila pandang je slinding door, ingat pula langsir tu tak pernah basuh sejak disangkutkan kat situ setahun lalu. Jadinya, beberapa kali ke Alor Star, aku beli kain langsir murah di sana. RM3.80 semeter. Cukuplah sekadar langsir untuk pondok burukku.

Beberapa hari ruang tamu bersepah

Mesin jahit kupinjam daripada kakak. Jadinya, musim cuti beberapa hari itu aku guna untuk jahit langsir: slinding door, satu pintu cermin kecil di tingkat bawah dan tidak lupa juga langsir tingkap untuk bilik tidurku.



Hasilnya, taklah cantik sangat. Slinding door itu pendek sebelah ukurannya. Nak buka balik dan jahit semula dah malas. Biarkan ajelah. Kos upah jahit beratus ringgit dapat kujimatkan bila jahit sendiri berbanding tempah. Walaupun sebelah labuh dan sebelah lagi agak senteng beberapa inci, fungsinya tetap terpenuhi. Cukuplah.



Kanan: langsir asal
kiri: langsir baru siap jahit

Ada sesiapa nak tempah? Hu hu hu...kalau anda sedia menanggung risiko langsir senteng sebelah, silalah buat tempahan.

Berita buruknya, satu badanku sakit-sakit sebab menjahit, mengemas dan ubahsuai rak-rak buku yang berat itu untuk letakkan tv.
Ni rupanya bila dah siap jahir semua...senget!





Ni yang kat dalam bilik tidur utama. Warna lebih kurang sama tapi yang ni gelap sikit. Siang pun dah gelap, apalagi malam. Sesuai untuk golek-golek!

Ahh....makin malaslah nak pergi kerja selepas ni!




4. Beli Meja tulis

Sakit belakanglah susun buih dan batu bata (buble) atas katil sambil meniarap. So, belilah meja tulis paling simple dalam dunia ni. Harganya RM40. Shooping sakan bulan ni kan? Hu hu hu...dah muflis!

5. Ronda di Plaza GM
Plaza ni letaknya Jalan Haji Taib 5, berhampiran dengan Chow Kit. Terdapat 7 tingkat. Istimewanya tempat ni adalah tempat jualan pelbagai barangan seperti pakaian, handbeg dan barangan kulit, barangan perhiasan wanita seperti kerongsang, rantai, gelang, anting-anting, kaca mata dan lain-lain. Lebih murah dibeli secara borong, sekurang-kurangnya 6 unit. Ada barangan tertentu seperti beg boleh dibeli sekurang-kurangnya 3 unit. Bila beli secara borong macam ni, harganya murah hingga 50 peratus. Meriah suasana kat sana. Nak tahu, alamilah sendiri!


Cantik je jam ni tergantung. Comel-comel pulak tu...












Mak cik ni marah bila aku ambik gambar kedai dia yang cantik dengan aksesori ini (mesti dia lagi marah kalau tahu aku panggil dia mak cik)












Meriah je suasana. Ada sesiapa nak serbu?

Jom Sama-sama Fikir!

SATU
Bila ke pusat beli belah, di aras basment kita akan jumpa dengan penjaga parking pekerja asing. Entahkan dari Bangla, entahkan dari Nepal. Hensem-hensem pula. Lebih hensem daripada Datok Shah Rukh Khan (Datok????? Ohhh tidakkkkkkkkk!!!!).

Bila perlukan bantuan di pusat beli belah mega itu, tak kiralah di Time Squere ke, Sogo ke, Midvaley ke, Sungai Wang, Bukit Bintang Plaza ke, ataupun mana-mana pusat beli belah besar, gah dan kecil juga yang lain, tetap guna pekerja asing. Hensem juga. Lebih hensem daripada Hans Isac.

Guard kedai emas, jaga pasar raya, cleaner, pelayan kafe mewah, pekerja hotel semuanya warga asing yang hensem-hensem. Kalah Salman Khan. Saingan Nasir Bilal Khan dan entah berapa ramai keturunan khan lagi. Takat macam Mawi, dah tentu lagi kalah (marah peminat fanatik Mawi kat aku ni...hu hu hu...). Kalau dahulu, pekerja asing di Kota Bharu barangkali hanya bersaing dengan pekerja dari Thailand dan Vietnam sahaja, tetapi kini mamat Pakistan, Bangla, Nepal begitu mudah dilihat. Di pasar borong Wakaf Che Yeh yang kukunjungi semasa balik kampung Aidiladha lepas buatkan aku tertanya-tanya. Pelbagai persoalan yang timbul.

Di pasar malam, di restoren, gerai-gerai tepi jalan juga, dikuasai warga asing. Ada yang tahu Bahasa Inggeris sedikit, ada yang tahu Bahasa Melayu sedikit-sedikit. Ada juga yang tidak tahu langsung keduanya, namun, mereka mampu juga hidup di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Persoalannya: mana pergi anak tempatan kita?

Seorang teman pernah menjawab “di Serenti, penjara dan pusat pemulihan akhlak” bila kuajukan pertanyaan yang serupa. Seorang lagi menambah “di bawah jambatan, sedang mabuk dadah dan pil kuda”.

Aku sendiri tak tahu jawapan untuk pertanyaan itu. Anda? Mahu berkongsi pendapat? Silalah komen. Pendapat pribadi anda tidak melambangkan ideologi saya sebagai pemilik blog asalkan jaga kesopanan dan kesusilaan warga Malaysia yang memang dah terkenal sebagai rakyat yang berbudaya tinggi.

DUA

Pada suatu hari Ahad dalam bulan Disember 2008, aku ke Kuala lumpur temankan bekas rakan serumah beli hadiah. Kami guna komuter di stesen UKM ke Bandar Tasik Selatan sebelum tukar train ke Plaza Rakyat. Leen nak ambil tiket untuk balik Ipoh sehari selepas Krismas.

Di Plaza Rakyat mataku tersilau dengan dua orang pondan (?) [lelaki yang nak jadi perempuan]. Melayu keduanya. Seorangnya nampak cantik. Bergetah. Rambut lurus panjang hingga melepasi bahu. Hampir mencecah pinggang sebenarnya. Make upnya cantik (aku yang asli gen perempuan ni pun tak pernah make up secantik dia sehayat umur ini). Potongan badannya memang menawan. Aku yang perempuan asli ini pun kagum dan cemburu dengan bentuk badannya itu. Punggung yang berisi, dada yang montok dan pinggang yang ramping. Tak ada lebihan lemak kat mana-mana. Lebih menawan dengan lirik mata galaknya.

Dalam hati aku memang akui, dia lebih cantik daripada aku. Lebih anggun. Lebih menawan. Lebih bergaya. Malah, lebih semuanya, kecuali tak asli sahaja kejadiannya sebagai perempuan. Itu sahaja kurangnya dia. Kalau aku berjalan bergandingan dengannya, aku memang amat pasti, lelaki akan bersiul menggodanya, bukan aku! Namun, perhatian orang ramai saat itu bukan kepada si jelita itu. Semua mata pasti memandang pada teman di sebelahnya. Teman seangkatan dengannya.

Temannya itu berumur dalam lingkungan 50-an. Aku agaklah. Tak akan lebih muda dari angka itu. Lebih tak tahulah pula. Rambut panjangnya yang dah nipis itu diikatnya. Mengenakan jeans biru dengan tshirt merah ketat menampakkan lagi kekurusan (kering)nya berbanding ketinggiannya yang pasti menjadi idaman setiap wanita. Ikutkan bicara hati, akupun masih nak tinggi sedikit berbanding ukuran sekarang, apalagi bila tidak dapat kenakan kasut tumit tinggi untuk tempoh yang lama akibat kecederaan jatuh tangga dahulu. Pasti akan nampak lebih lampai dan menawan. Kini, ketinggianku dah kekurangan 2 inci bila berkasut tanpa tumit. Mmmm macam tak bersyukur pula kan, padahal, tinggi ni dah terlebih baikpun daripada jadi kenet. Namapun manusia, tak pernah rasa cukup dengan apa yang ada!

Tidak seperti si manis yang anggun berpotongan badan menggiurkan itu, dia tidak mengenakan sebarang make up. Tanpa lipstik juga. Bila usianya yang sebegitu, garis-garis ketuaannya itu begitu jelas. Ketara. Sangat terserlah. Dan kerana itulah, dia menjadi tumpuan setiap mata, tanpa mengira bangsa. Setiap orang yang memandang, pasti akan memerhatinya berkali-kali. Setiap orang.

Malah, kehadirannya di situ buatkan seorang pekerja train berlegar-legar di kawasan landasan beberapa ketika. Pura-pura bertugas dan membantu penumpang-penumpang. Sejak diperkenalkan train, tidak pernah pekerja mereka sededikasi itu. Di mana-mana stesen pun. Yang pernah aku jumpa, pekerja yang cuba mengawal penumpang yang akan bertolak-tolak masuk ke dalam train pada waktu puncak. Itupun di stesen tertentu sahaja.

Sepanjang hari, diri tertanya-tanya. Tak teringinkah dia menjadi lelaki sejati semula? Tidakkah dia tahu yang Malaysia sudah kekurangan lelaki sejati kini?

TIGA
Anda barangkali sering melihat tentang perkara-perkara ini;
1. Lelaki yang lembut dan lemah lembut yang kelembutan mereka melebihi tahap lembutnya perempuan. Ada yang sengaja nak lembut, ada yang diasuh jadi lembut. Ada pula yang memilih untuk jadi lembut. Mereka ini masih lelaki, berpakaian macam lelaki tetapi nampak kurang lelaki. Mereka suka melakukan aktiviti yang tidak dibuat oleh lelaki lain.
2. Lelaki yang tukarkan diri dan penampilan menjadi wanita. Mereka ini lebih wanita daripada wanita. Ada kala sukar dikesan yang dia sebenarnya lelaki. Ada masa wanita pun kagum dengan penampilan mereka yang lebih menawan, ayu dan lembut daripada wanita sendiri.
3. Perempuan yang kasar macam lelaki tetapi dia masih lagi perempuan. Hanya buat kerja-kerja lasak macam lelaki. Kasarpun ada kala mengalahkan lelaki. Tong gas pun boleh angkat.
Perempuan begini bukan nak jadi lelaki, hanya kasarnya tu mengalahkan lelaki. Mereka terpaksa buat kerja tanpa bantuan lelaki. Kira macam perempuan besilah kononnya. Suka aktiviti lasak dan mencabar. Kalau tanya, dia masih lagi mengaku yang dia seorang perempuan.
4. Perempuan yang nak jadi lelaki. Ubah penampilan, cara bertingkahlaku, cara bercakap dan sebagainya. Mereka golongkan diri mereka sebagai pengkid.

Ada yang kata, semua tu sebab naluri mereka yang bercelaru. Mereka hanya tonjolkan apa yang mereka nak sahaja. Kononnya tersalah gen, sebabkan mereka terperangkap dalam jasad yang tidak sepatutnya jadi milik mereka. Kalau kita persoalkan tentang “naluri” ini dan kewajaran mereka untuk ikut dengan kehendak naluri itu, mereka akan tuduh kita “tak faham”.

Aku akui wujudanya khunsa, namun jumlahnya terlalu kecil. Menurut Islam, golongan khunsa boleh tentukan atau pilih salah satu jantina yang kuat dalam diri mereka. Persoalannya, bagaimana dengan golongan yang tidak ditakdirkan sebagai khunsa itu?

Siang tadi, seorang temanku dari Kota Bharu datang ke Kuala Lumpur dan lepak di KLCC. Katanya, negara kita memang dah betul-betul maju. Lelaki sama lelaki, dan perempuan sama perempuan pun boleh berpelukan, berpegangan tangan di khalayak umum tanpa silu. Mungkin mereka kawan karib, kataku balas SMSnya. Anda fikir begitu?

Isnin, 22 Disember 2008

Pelik tapi Benar?

Aku rasa macam nak tampal gambar je hari ni...tak sempat nak tulis. Banyak benda sangat yang aku nak tulis sebenarnya.
kecik je kan dia ....


Hensem tak dia? Sesaper belum berenti merokok tu, ada baiknya hentikan je.









Sejenis cili. Korang jangan marah aku weh, aku hanya tampal je gambar ni. Tak ada niat apa-apa ya...







Ni pulak buah jambu


Takutnya nak makan karet ni. Bagi je lah arnab yang makan...

Tak tau nak komen apa. Sedarlah jugak diri kan, semua ni ciptaan Allah. banyak-banyak komen maknanya komen ciptaan Allah. nak suruh aku yang cipta, dah sah-sahlah aku tak mampu buat pun.

Lain kali aku akan upload gambar pelik dan aneh yang lain pulak.

Mengenal Flora

Di belakang rumah, banyak semak dan bermacam jenis tumbuhan yang ada masanya sukar untuk jumpa di tempat lain. Kali ni aku rasa macam nak tampal beberapa jenis flora yang aku jumpa kat belakang rumah aku tu kat sini.
Pokok salak: masih belum berbuah.







Kantan: bunganya bukan sahaja sedapkan masakan. Tak adanya tak jadi Laksa Penang.




Aku suka tengok bila bunganya kembang. Macam bunga terataipun ada. Bila bunganya kering dan tua, jadi warna hitam. Biji benih? Tak tahulah pulak aku. Lupa nak tanya Mek. Setahu aku tanam pakai risornya.
Kat belakang rumah aku di kampung ni, berlambak dengan bunganya. Sekali petik paling sedikit dua tiga puluh kuntum. Bila-bila masa pun boleh petik dan celur cicah budu.





Di Bangi, harganya RM1.80 sekuntum. Mek aku jual 20 sen je sekuntum, hu hu hu...rasa nak tanam je pokok ni di Bangi. Apa daya, setengah kangkang kera pun aku tak ada tanah!

Pokok Keladi Colek: keladi ni ada bunga dan buah. Getah dia boleh hentikan pendarahan akibat luka. Luka kecil saja kot. Masa aku kecil dulu, takat luka kecil saja tu, aku guna getah keladi ni sahaja. Buahnya yang masak berwarna merah menyala. Burung memang suka makan. Jadinya, kalau nak tahan perangkap burung tu, bolehlah guna buah keladi ni sebagai umpan.

Pokok Keladi Kemoyang
Pokok keladi ni dah pupus kot sekarang ni. Susah bukan main untuk aku cari. Inilah satu-satunya yang aku jumpa. Itupun dah nak mati. Tinggal nyawa-nyawa ikan...opsssss, nyawa-nyawa keladi!


Pucuk keladi yang masih muda dan bergulung (masih belum terbuka daunnya tu) boleh dimakan. Boleh dicelur dan dimakan dengan sambal belacan atau budu. Nak sedap lagi, buatlah kerabu. Mmmm...tiba-tiba aku rindu nak makan kerabu pucuk kemoyang. Adussssssss....mana nak cari lagi kalau dah pupus pokoknya?


Pokok Kadok
Daun kadok ni ada aromanya yang tersendiri, macam juga serai atau daun kesum. Pokok ni ada khasiat yang tinggi untuk perubatan. Kajian sains dah buktikan tetapi aku terlupalah pula untuk apa. Nanti kalian boleh surf penemuan sains tersebut ya...
Daunnya nampak macam serupa sahaja dengan daun sirih, tetapi kalau diamati memang ada sedikit perbezaan. Beza yang amat ketara adalah dari sudut baunya. Daun ni biasa digunakan bila masak lemak siput sawah. Sila rujuk entri sebelum ni.

Pokok Cekur
Cekur ni ada macam jenis. Bunganya juga cantik. Ni cekur yang Mek aku tanam dalam baldi buruk di belakang rumah. Takat ni, aku tak pernah makan lagi flora ni, tapi aku memang akui bunganya warna purple muda itu memang cantik. Mohon maaf kerana aku hanya sempat snap yang belum berbunga sahaja. Bila nak snap cekur sedang berbunga cantik itu, memori dah full...hu hu hu

Jumaat, 19 Disember 2008

Peraduan Mengira Pisang

Hari ni aku ada bengkel di PICC Putrajaya. Dah beberapa entri aku tulis panjang-panjang, so hari ni aku nak tampal gambar ni je. Bagi peluang mata kalian merehatkan diri...hu hu hu
Aku ingat nak buat peraduan meneka berapa banyak pisang yang ada dalam tandan ni. Ada sesapa nak taja hadiah tak? Melancong ke Iraq ke, tanam tembikai di Sudan ke...nanti bolehlah hubungi aku ye hu hu hu
selamat mengira!

Khamis, 18 Disember 2008

Kuching yang Kukenal



Kuching sedang menangis berhiba diri ketika kakiku memijak buminya. Tangis langitnya masih gerimis saat tibaku jam 10.45 malam setelah lebih sejam setengah berada dalam penerbangan. Setelah hampir tiga tahun tidak kuhirup wangi udara segar buminya, patutnya aku yang menangis berhiba diri. Di hati, ada tangis lain yang dah lama serek.

Dalam tempoh itu, banyak perubahan yang berlaku di sana sini. Dah banyak bulatan yang dah tak ada lagi. Jalan bertingkatnya gagah luas, mudah sahaja diredah untuk ke hotel. Kuching memang telah banyak berubah. Seperti aku juga. Namun, masih ada lagi tempat-tempat yang menggamit ingatan dan tinggalkan kenangan. Manis dan pahit. Suka dan duka. Indah dan menyiksakan minda.

Crown Plaza Riverside. Pertama kali menginap di hotel ini. Selesa. Luas. Kalau boleh, hanya mahu memerap sahaja di bilik setelah lelah perjalanan yang panjang dan letih berkerja pada hari Sabtu di pejabat. Tiap kali datang di sini, biasanya aku menginap di Holiday Inn, Merdeka Palace ataupun kiranya dengan perbelanjaan sendiri, beberapa hotel tanpa bintang seperti Merlin Inn, Penrisen Inn atau beberapa buah hotel lagi jadi pilihan.

Biliknya yang luas, mewah dan selesa. Boleh main kejar-kejar. Malangnya hanya aku seorang yang ada. kalaulah ada anak buah aku tu...sah-sah sekejab je bersepah seluruh tempat.

Hotel ini berada di seberang jalan, berbanding Holiday Inn yang benar-benar berada di tebing Sungai Sarawak. Namun, dari tingkap kecil di tepi meja study yang tidak sempat kumanfaatkan sebaiknya itu, pandangan masih lagi dapat dihalakan ke sungai itu yang kian melebar ke muara. Indah. Namun tidak sempat dinikmati sebaiknya.



Kafe yang luas, cantik, tersusun dan banyak hidangan untuk sarapan paginya, namun tidak sempat kunikmati semuanya kerana pemandu teksi sudah tunggu di bawah. Selera juga telah mati kerana selsema


Berhala kucing ni berada di sisi hotel, iaitu di hadapan Holiday Inn. Ramai pelancong ambil gambar di sini sekiranya tidak berkesempatan untuk bergambar dengan Berhala Bapak kucing yang dibina di hadapan pintu gerbang Jalan (tiba-tiba pulak aku lupa nama jalan tu, tapi rupanya seperti di bawah).


Tempat bergambar kegemaran pelancong yang datang ke Kuching, di hadapan Berhala kucing besar ini.

Apa yang untung, hotel ini berada bersebelahan dengan pusat beli belah. Parkson. Giant. Cukuplah sekadar nak dapatkan keperluan semasa (aku perlukan roti dan tuna kerana di sini sukar untuk aku pastikan kedai makan Islam atau bukan-tak punya kepakaran untuk kenal pasti). Di Pusat beli belah itu juga terdapat KFC, Sugar Bun dan beberapa restoran makanan segera yang lain.

Jeti penambang yang hubungkan perkampungan Melayu di seberang sungai di Waterfront. Sungai ini juga digunakan untuk lumba perahu.Ada juga bot ekspress untuk perjalanan jauh.

Waterfront masih lagi ada di situ, gurauku dengan adik teksi yang peramah itu. Aku kagum dengannya. Malam buat part time bawa teksi ayahnya, siang berkerja bank. Anak muda yang gigih dan berwawasan. Siapa kata Melayu malas!

Pemandangan sepanjang Waterfront (sebahagian daripadanya). Kelihatan Hotel Hilton (putih) dan Crown Plaza Riverside di sebelahnya.

Seronok bersantai sepanjang sungai sambil menikmati pemandangan indah dan kegiatan seharian penduduk di seberang sungai.

Dan teksi itulah yang aku gunakan sepanjang dua hari di sini. Selain memberi rezeki kepada anak bangsa aku sendiri (Melayu bangsa ke 3 terbesar di Sarawak, berbanding di Semenanjung), Pak Cik bekas tentera itu memang profesional. Peramah dan banyak membantu juga. Banyak info yang aku dapat dalam pelbagai hal. Bagi sesiapa yang nak pergi ke Kuching, bolehlah guna perkhidmatan teksi Pak Cik Ahmad Jamel (016-8841522) teksi bernombor HQ 1522. Dah tentu dia berbeza dengan pemandu teksi yang hantar aku ke KLIA tempoh hari, yang buat drift sepanjang jalan. Tak sempat ke litar F1 Sepang agaknya!

Pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan, aku diberitahu pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan di Waterfront. Selain menjadi tempat yang cantik untuk bersantai, pemandangan sungai di sini pasti mampu menarik minat pengunjung. Di tebingnya 2 ekor replika Bujang Senang dibina. Biarpun berkali datang ke sini, aku tak pernah jemu datang ke sini. Aku pernah saksikan pertandingan lumba perahu yang diadakan di sini suatu masa dahulu.

Di seberang sungai, gagah kukuh Astana terlihat. Dibina sejak kedatangan Brooke dan masih kekal hingga kini. Di tebing seberang sungai juga terdapat perkampungan Melayu. Ada bot ulang alik menyeberang sungai dengan tambang hanya 30 sen (dahulu, tetapi tidak pasti tambangnya kini. Mungkin dah naik seiring dengan kenaikan harga petrol). Berada di tebing sungai di kampung Melayu itu sambil mengadap pusat bandar pada waktu malam memang mengujakan. Terlalu indah dengan gemerlap lampu-lampunya.

Pusat bandar pada waktu malam di lihat dari perkampungan Melayu di seberang sungai.






Peminat pasu?


Sepanjang jalan di seberang jalan kawasan Waterfront, terdapat kedai-kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong untuk membeli barangan kraf seperti pasu, barangan tembikar, tikar, dan sebagainya. Harga, boleh tahan juga mahalnya. Namun, kalau sesekali datang, apalah sangat berkira tentang harga. Bukan selalupun berbelanja barangan sebegitu. Bukan semua tempat ada barangan begitu. Sebagai barangan kenangan. Lainlah kalau sudah selalu datang. Rasa macam dah tak ada apa istimewanyapun. Sama seperti akulah, tak beli apa-apa pun sebab rasa macam dah terlalu biasa nampak.

Tidak jauh dari sini, terdapat India Street. banyak dijual pakaian dan keperluan lain dengan harga yang lebih murah. Tidak jauh beza suasananya dengan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Meriah bila dah dekat dengan musim perayaan Begini rupanya.

India Street


Pasar Satok yang glamer tu...


Nak beli ikan terubuk? Pasar Satoklah tempatnya. Boleh juga diperolehi makanan tempatan yang lain. Istimewanya pasar ini adalah pada hari Jumaat. Bermula dari tengahari, terdapat pasar tamu di sini yang berlangsung hingga Sabtu tengahari. Pelbagai barangan daripada penduduk tempatan boleh dilihat di sini. Penduduk sendiri yang pasarkan. Mereka datang dari jauh, bawa hasil tempatan dan pasarkan sendiri kepada pembeli.

Dijual oleh orang tempatan. Hasil taninya murah amat! Segar.

Pertama kali aku ke pasar ini, aku sudah sukakannya. Pelbagai hasil tempatan boleh didapati. Pucuk paku yang besarnya melebihi dua cekak besar hanya RM1 harganya. Kalau di Bangi, confirm harganya RM5. Dah lah banyak, hijau dan subur, segar pula. Pada datangku kali pertama itu, aku lihat dua perkara yang unik yang tak dapat kulupakan. Sayangnya masa itu aku tak dapat snap gambar.


Ulat sagu. Berani untuk rasa?


Keunikannya yang Pertama, sejenis ulat sagu yang boleh dimakan. Saiz ulat itu agak besar, lebih kurang saiz ibu jari tangan. Putih warnanya. Gemuk dan lembut. Cara makannya tidaklah pula kutahu. Kedua, aku melihat seorang perempuan tua Iban menjual itiknya. Apa yang unik, cara mak cik Iban itu gunakan untuk pamerkan dua ekor itik jualannya. Itik itu diletakkan secara saling membontoti dan dibalut badannya dengan guni. Jadi, hanya kepala itik sahaja yang kelihatan di kedua-dua belah, sedangkan badannya dibalut kemas. Pandangan itu aku temui masa pertama kali jejakkan kaki di Pasar Satok sekitar tahun 1999 dahulu.

Di sini tak banyak makanan tempatan dijual tetapi kalau setakat nak dapatkan tebaloi (sejenis snek diperbuat daripada sagu yang dibuat kaum Melanau) boleh diperolegi. Tebaloi ni kat lapangan terbang pun boleh dapat. beza harganya sekitar 50 sen hingga seringgit sahaja. Kalau tak sempat nak cari di mana-mana, boleh beli sahaja di airport.

tebaloi


Kek lapis sarawak memang popular. Kalau nak beli, boleh tanya pak cik pemandu teksi yang aku ceritakan di atas tadi. Dia tahu hal-hal tempatan seperti kilang tembikar untuk beli pasu, tempat jual lada hitam ataupun tempat jual kek lapis. Kalau nak rasa masakan tempatan juga boleh. Pak cik ni bersedia untuk bawa ke sana dan tunjukkan tempat. Aku tak beli kek lapis, pasu atau lada hitam kerana bukan keperluan buat masa ini. Kek lapis dah terlalu acap kali rasanya. Semasa adik di Politeknik Kuching, dia selalu bawa balik benda-benda sebegitu. Bagi keluarga kami dah tidak jadi benda tersohor lagi.

keunikan kek lapis Sarawak. Perlu masa 6 jam untuk siapkan sebiji kek ni. Kalau aku yang buat, sah-sah rentung!

Kalau ke Sarawak, cubalah rasa Laksa Sarawak dan Mi Kolok. Kedua makanan ini agak istimewa dan enak. Laksa Sarawak macam meehun karilah lebih kurang tetapi rasanya berbeza sedikit. Mi Kolok pula seakan-akan mehun sup, hanya berbeza dari segi rasa sahaja. Disediakan juga cili kicap sama. Namun, kedua makanan ini masih boleh didapati di Kuala Lumpur, Cuma tak pasti pula rasanya original atau pun tak.

Laksa Sarawak

Gemar bersantai dan menikmati keindahan alam? Pergilah ke Gunung Santubong dan Pantai Damai. Berhampiran kedua tempat ini terdapat perkampungan budaya. Bayaran masuk RM60. Itu dahulu, sekarang tak pastilah. Tapi aku lebih sukakan Gunung Santubong. Cantik, terutama pada waktu pagi. Berkabus. Indah. Tenang dan damai. Patutlah nama kawasan pantai berhampiran itu adalah Pantai Damai.
Gunung Santubong dan Pantai Damai...memang mendamaikan!


Masih banyak liku-liku Kuching tidak sempat kuselongkar, terutama galeri dan muziumnya yang banyak terdapat di sini. Ada masa, aku ingin berada dalam denyut nadinya. Merasa takdir hidupnya. InsyaAllah. Ada sesiapa sudi pergi bersama aku tak?