Anda Juga Mungkin Berkenan

Jumaat, 25 April 2008

Seringnya kita terlupa….

Banyak perkara kita terlupa dalam hidup ini, dari perkara yang besar dan perlu diputuskan secara berhemah ataupun perkara enteng yang ada masanya kita mampu putuskan hanya sesaat sahaja. Keterlupaan itu ada masanya memberi padah kepada diri sendiri semula. Benda yang enteng pun kita boleh lupa…

Isnin lepas, boleh dikatakan aku balik macam biasa dari office. Macam biasa aku tu kira selepas maghrib atau isyaklah….tapi dah tentunya teramat jarang untuk aku balik ke istana igauan aku selepas Subuh. Itupun setelah housemate aku telefon mengatakan dia sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor berhampiran rumah kami.

Rakanku itu demam setelah siangnya dia berpura-pura tidak sihat untuk mengelakkan diri ke pejabat. Tujuannya: menghadiri temuduga di Arkib Negara. Setelah tidak begitu tahan dengan tekanan erja yang terlampau, dia mula mengisi boring mencari kerja kosong. Mencuba-cuba untuk masuk ke dalam perkhidmatan awam. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki. Malangnya, petang hari yang sama, dia benar-benar demam. Jadinya terpaksalah ke klinik mencari penawarnya sebelum melarat.

Kami bersetuju untuk berjumpa di kawasan sekitar klinik itu sahaja. Mudah kononnya. Ada kedai makan, dekat pula dengan rumah kami. Dua puluh minit kemudian aku sampai dan kami hanya punya dua punya pilihan sahaja. Kebetulan semua orang malas untuk buang masa ke kedai makan lain, jadi kami bersetuju sahaja untuk pilih satu antara dua kedai makan yang berhampiran.

Kedai makan pertama, betul-betul di sebelah klinik adalah kedai makan yang menyediakan makanan berasaskan sup. Segala mak nenek sup disediakan di sana. Kedai makan kedua adalah kedai makan steamboat. Kebetulannya, kami bertiga memang kaki steamboat pun. Apalagi, teruslah belasah tanpa toleh kanan kiri lagi. RM16 untuk satu kepala, mana nak dapat lagi tu?

Apa yang mengujakan di kedai makan itu adalah pelbagai jenis fish ball, ketam ball dan bla bla ball lagi termasuk kangkung, beberapa jenis cendawan. Paling mengujakan adalah ketam, udang, sotong, lala yang segar bugar semuanya. Dari jam 10 malam kami mula makan, tak sedarpun masa berlalu dengan cepat. Apa yang kami punggah dan balun dengan sesedap rasa adalah udang, ketam dan bebola daging yang sedap tu. Tulang ketam dan kulitnya penuh rimbun dua pinggan. Kalaulah masa itu mak mertua lalu pun, memang kami tidak akan menoleh. Ditakdirkan Brad Pitt datangpun, rasanya kami masih sanggup lagi mengadap kaki ketam itu lagi berbanding pergi berborak atau ambil gambar dengannya. Walaupun aku ni peminat gila Brosnan, pada masa tersebut, aku lebih rela gigit kaki ketam itu dari jumpa Brosnan tu. Bombastik! Kalau Mawi tahu…mesti dia terkasima ni. Apa taknya, kalau Brosnan atau Brad Pitt pun kami buat tak endah sahaja, apalah sangat dengan Mawi.

Diikutkan, dengan RM16 yang kami bayar tu, kedai makan itu boleh lingkup. Semuanya makan macam tak sedar diri. Silap kedai makan itu juga, yang tidak diletakkan barang sejemput dua nasi putih tu apa halnya. Dahlah kami bertiga hanya sarapan sahaja pada hari tersebut tanpa makan tengahari…steamboat itu pula memang tidak mengenyangkanpun. Jadinya kapasiti yang boleh diisi dalam perut tu agak memberangsangkan jugalah. Seingatku, inilah pertama kali aku boleh makan sampai sebegitu sekali. Macam Somalia layaknya. Namun, sepulang sahaja ke rumah, kepalaku mula berdenyut. Ingatkan bila masuk tidur, semuanya akan kembali normal pada esok hari.

Pagi selasa itu aku terpaksa berkejar lebih awal ke pejabat kerana mengikuti kursus rangkaian selama dua hari. Pagi itu kepala berdenyut sedikit sahaja seperti semalam. Tanda-tanda migraine dah muncul. Namun, kerana kursus berkenaan, kugagahkan juga kaki ke pejabat. Malangnya, bila berhadapan dengan skrin computer dan cahaya yang terang, denyut di kepala kian memberat. Seusai makan pagi jam 10.30 pagi, terus sahaja aku mohon kebenaran pihak urusetia pergi jumpa doktor. Hasilnya, aku dapat MC.

Sampai sahaja di rumah, terus aku tidur tanpa sempat makan ubat pun. Denyutnya yang kian memberat buatkan langkah tak terdaya untuk ambil air di dapur buat makan ubat. Setelah bangun dua jam kemudian baru aku ambil ubat dan sambung tidur kembali. Sepanjang hari Selasa, aku hanya berbaring di katil dengan lena yang panjang. Orang kata tidur tu macamlah tidur pada waktu malam. Nyenyak. Lena. Malamnya, denyut kian kurang. Itupun setelah dua kali makan ubat.

Beberapa hari setelah peristiwa itu, hati tiba-tiba jadi ngeri untuk menghidu enaknya bau steamboat. Sudah serikkah aku?

Moralnya, berpada-padalah. Bersederhanalah. Kira macam dah insaflah ni kan. Itupun setelah sehari suntuk kena migraine. Entah-entah bila terbau steamboat lagi bulan depan, terlupa lagi sekali. Adusssssssss itulah namanya manusia. Mudah lupa. Bukan Melayu je mudah lupa!


Ahad, 20 April 2008

Seorang Teman yang Kembali...


Semalam, aku kembali ke rumah dengan 4 naskah majalah kegemaranku. Dewan sastera edisi Mac dan April dan Dewan Bahasa, juga edisi untuk bulan Mac dan April. Kedua-dua majalah itu aku kirimkan dengan seorang teman yang kebetulan bertugas di Pesta Buku Antarabangsa PWTC untuk kali terakhirnya. Kembali dari pesta buku itu nanti, dia sudahpun menjawat jawatan baru. Terima kasih, Kak Noraiti. Tahniah juga kerana punya rezeki naik pangkat sebelum pencen.

Sambil lepak di hadapan skrin tv kecilku, keempat-empat naskah majalah itu kubelek. Hanya sekadar membelek bagi melihat seimbas lalu isi kandungannya sahaja. Pembacaan secara serius akan dilakukan pada masa yang lain. Pada ketika minda benar-benar bersedia untuk menerima sesuatu yang bersifat ilmiah sebegitu. Dan mata, tertancap pada satu ruangan yang mampu menarik pembacaan seterusnya. Ruang Alumni MPR. Dua orang penulis muda membicarakan tentang seorang penulis muda juga iaitu Ahmad Zafran. Satu tulisan ditulis oleh Nisah haron, manakala satu lagi ditulis oleh Zaid Akhtar.

Memandangkan Ahmad Zafran ini kukenal biarpun tidaklah serapat mana kerana sikap pemalunya itu, namun namanya yang tertera di dada Dewan Sastera edisi April itu benar-benar menarik minatku untuk terus membaca. Memang sebegitu biasanya, kita sering mendahulukan tulisan orang-orang yang kita kenal berbanding tulisan orang lain yang tidak begitu akrab dengan kita. Namun, perenggan pertama yang ditulis Nisah Haron itu membuatkan aku terkesima seketika.

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Alfatihah. Perginya dia menemui Ilahi benar-benar mengejutkan. Tanpa dinyatakan pula sebabnya. Kemalangankah? Sakitkah? Ini tentunya tidak termasuk ajalnya yang sudah disuratkan sejak azadi lagi, yang tidak perlu dipersoalkan. Namun, usianya yang sebegitu memang mengejutkan andai telah dipanggil Tuhan. Bukan kerna dia tidak layak untuk menemuiNya pada usia sebegitu, namun kebiasaannya pada usia sebegitu jarang benar kita dengar berita kematian seumpama ini.Aku kenalinya semasa MPR 1993 yang dianjurkan DBP. Dia seorang yang agak pendiam juga berbanding peserta yang lain. Tamat MPR, dia hilang entah kemana. Masing-masing membawa haluan sendiri. Namun, satu ketika aku bertemu dengannya semula dalam satu acara di DBP. Beberapa tahun selepas itu. Pada ketika itu dia tinggal di kampung halamannya dan menolak peluang kerjaya yang lebih menjamin masa depannya semata-mata untuk menjaga bonda tercinta.

Saat itu, hatiku terdetik. Masih ada insan sebegitu pada era mengejar kemajuan ini. Dan dia pula sudah berkerja dalam bidang IT pada ketika itu, bidang yang terlalu jauh berbeza dengan penulisan. Katanya, dia sudah tidak menulis lagi. Katanya lagi, jaraknya dengan ibu kota membuatkan banyak perkara tidak mampu dilakukan termasuk menghadiri majlis ilmu berkaitan penulisan. Kala itu, aku memang menyedari yang lampu azamnya dalam penulisan mula sebam.

Dia rasakan dirinya jauh tertinggal. Dia rasakan dirinya serba kekurangan. Dia rasakan dirinya sudah menyimpang dari dunia penulisan. Katanya, lebih banyak masanya digunakan untuk kerja-kerjanya berbanding menulis. Ada putus harap dan kurang yakin meraja dalam dirinya.
Aku tahu dia memang berbakat besar. Aku tahu dia memang ada visi dan misi bila menulis. Aku sedar dia memang punya impian dan nilai murni yang ingin disebarkan dalam karyanya. Dan, saat itu aku katakan padanya “jika intinya yang murni nak disebarkan, biar apapun wadahnya boleh diaplikasikan. Apa yang utama adalah nilai itu disebar luas”.

Ketika itu katanya dia sedang menyiapkan satu karya berbentuk komik. Karya jenis itu berkaitan dengan persekitaran kerjanya pada ketika itu. Dan komik itu kemudiannya diattachkan padaku untuk ditinjau penerimaan audien. Bermula saat itu, kami mula berinteraksi melalui email. Blognya sering kukunjungi juga (http://panaharjuna.blogspot.com) untuk mengetahui perkembangan dirinya biarpun dari jauh. Namun, kala diri hanyut dek badai dunia, kebiasaan itu tiba-tiba terhenti. Dan aku, tiba-tiba teringatkannya kala ini. Sudahkah terlambat?Alfatihah buat arwah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Moga ditempatkan bersama hambaNya yang bertaqwa.

Sabtu, 19 April 2008

Selamat Datang


Akhirnya...blog ini terbina jua dengan serba kekurangan. Sudah agak lama ingin punya blog sendiri, namun pagi petang ini punya kesempatan untuk merealisasikannya. Itupun kerna di luar sana hujan lebat sedang mencurah. Alam menangisi entah untuk apa. Dan aku, kesepian merenung titik jernih membasah di luar jendela cermin. Indah kan kalau punya kesempatan untuk basah di bawah runtuhan hujan sebegitu...


Kesederhanaan pembinaan blog ini harapnya akan punya lagi kesempatan dilain waktu untuk terus updatenya sentiasa. Harapnya juga, ini jadi pemula bagi sesuatu yang sudah terlalu lama ingin kulakukan. Harapnya juga ia akan berterusan.

Terlalu banyak harapan, bukan? Harap-harapnya menjadi kenyataan. Harap-harapnya punya kekuatan untuk motivasikan diri coretkan sesuatu di sini.

Untuk pertama kali ini, biarlah ia berlaku dengan serba sederhana. Dan kuakhiri curahan rasa yang serba sederhana, di laman yang juga sederhana ini di sini. Pertama, memulakan. Kedua, meneruskannya. memulakan tidak sesukar meneruskan. Biar sesukar manapun sebuah permulaan itu, kiranya tidak diteruskan...akan diakhiri jua dengan pengakhiran.