Memaparkan catatan dengan label guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label guru. Papar semua catatan

Khamis, 14 Jun 2012

Cikgu Aku pernah Pesan…


Aku teringat kata-kata cikgu masa sekolah dulu
tau lah cikgu tu hanya cikgu je, bukannya orang besar
tapi cikgu ni dah jadikan ramai muridnya jadi orang besar
hanya aku je belum jadi orang besar, maka berkatalah cikgu tu:
“kalau kita tak mampu menyenangkan kerja orang,
janganlah menyusahkannya pulak”

seorang lagi cikgu sejarah aku yang tak hensem langsung di mata aku
tetapi banyak mengajar aku tentang banyak sejarah tamadun besar dunia
berkata: “Semua tamadun besar runtuh disebabkan 
anak bangsa tamadun itu sendiri yang buta mata hati dan sanggup
menjual negaranya demi tembolok sendiri”
Cikgu aku yang kata, aku hanya kongsi dengan kalian je
sama ada nak jadi manusia atau nak jadi syaitan
aku tak ada hak untuk campur…kalian kan lebih cerdik pandai

Bila manusia nak buat baik,
syaitan akan hasut untuk hentikan kebaikan tu
bila manusia nak jadi baik,
syaitan akan hasut supaya manusia buat jahat

Usah Tanya kenapa syaitan hanya minat kacau orang baik je
sebabnya mudah: kalau manusia lebih jahat dari syaitan
syaitan pun bukannya suka sangat
bukankah syaitan suka jadi yang nombor wahid?
dah terang-terang manusia tu lebih jahat dari syaitan,
tak payah hasutpun memang bersedia untuk jahat
tak perlulah buang masa, baik pi hasut manusia yang baik
…manusia yang nak buat kebaikan, yang menyeru untuk jadi baik
barulah mencabar kan? Barulah macho ya dak?

Jadi, apa bezanya antara manusia dan syaitan?

PssssT: entri ni tak cakap pun pasal terdapat golongan tertentu
yang sedang sabotaj pembinaan lebuhraya rakyat sepanjang 73 kilometer
menghubungkan KB-KK dijangka siap dalam tempoh tiga tahun
lebuh raya tu tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala)
turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).
tapi, kalau nak kata entri ini pasal sabotaj tu pun
kira halallah ya…


Selasa, 9 Disember 2008

Dialog Maut


i
Angah: Janganlah bawa laju...excident nanti susahlah.
Aku: Kenapa pula angah susah?
Angah: Angah ni belum besar lagi...belum pun UPSR. Belum kahwin lagi ni...

ii

“Benci aku ada anak semua lelaki. Tak pernah nak main elok-elok...gaduh saja kerjanya!”

Dialog itu dilafazkan sepupuku, seorang guru. Usia kami sama. Dua tahun kami sekelas semasa sekolah menengah dulu. Berpuluh tahun dia mohon ke Maktab Perguruan sebelum diterima masuk. Sebelum Posting dia berkahwin dan kini punya 3 orang anak. Semuanya lelaki.

Aku terkedu saat mendengar tutur itu sebenarnya. Namun, situasi tidak begitu sesuai untuk kunyatakan seayat dua kata-kata lazer ke telinganya. Allah tak bagi aku kesempatan untuk lukakan hatinya kala itu. Tidakkah dia sedar yang dia punya dua kesempatan yang tidak aku miliki? Bergelar isteri dan ibu, sedang aku belum tentu lagi punya kesempatan untuk kedua-dua atau salah satu daripada gelaran itu.

iii

Fahmi: Abah kata tak boleh makan kacang.
Aku: Kalau makan?
Fahmi: Kalau makan...akan mati.

Tak pasti cara mana paling sesuai untuk disiplinkan anak agar berpantang makan kacang. Fahmi (6 tahun) alergik dengan semua jenis kacang. Sejak diberitahu dia akan mati kalau makan kacang, dia memang tidak makan kacang walau sedikitpun. Walaupun neneknya memujuk “Raya tak apa, Tuhan tak bagi mati,”, namun dia tetap juga berpantang.

Persoalannya, dia takut mati atau cuba elak alergik itu?

Selasa, 20 Mei 2008

Sebuah dedikasi...


Dedikasi ini buat semua guru-guru di Malaysia
yang sentiasa berjuang untuk kemajuan anak bangsa,
Untuk golongan pendidik
yang tidak pernah kenal lelah dan jemu memberi harapan
dan kejayaan kepada setiap anak didik mereka,
untuk setiap insan yang mengajar orang lain biarpun sepatah perkataan.

Ilmu itu pelita diri,
Terima kasih buat Yang memberi
Semoga kekal alir pahalanya
Mengiring hingga ke Syurga.
Terima kasih kerna sudi member,
Biarpun hanya patah kata itu pedih terdengar
Namun buahnya ranum kukutip ini hari.

Belum cukup dengan hanya terima kasih
Berbanding sukarnya pengertian ilmu itu
Kubenam dan kupas
Di dasar hati, dalam mendapan diri.
Dan hari ini,
Kepada diri kuikrar janji
Akan kusebar pula ilmu ini serata alam
Moga menjadi teduhan buat semua.
Terima kasih, cikgu
Biarpun hanya A B dan C yang diajarkan
Namun tanpa abjad itu
Daku tak mungkin kenali begitu tingginya falsafah hidup.
Terima kasih, terima kasih.
Biarpun tak cukup ungkapan itu…
Terimalah seadanya, setulisnya.
Dengan rendah diri, di situ aku berteleku.

Guruku Terbilang...





Guru Cemerlang Negara Terbilang menjadi tema Hari Guru 2008. Biarpun pelbagai kontroversi timbul dalam profesyen perguruan, setiap tahun pada tarikh keramat 16 Mei, Hari Guru tetap diraikan juga. Tandanya, jasa mereka masih lagi dikenang. Khidmat mereka masih lagi diperlukan.


Sejak dahulu hingga kini, mereka tetap ada “nilai” yang tersendiri. Kalau tidak, untuk apa penyair tersohor Usman Awang menulis puisi khas untuk mereka. Sesekali, apa salahnya kita hayati puisi indah penuh makna ini…..

GURU OH GURU


SN Dato Usman Awang


Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat


Setiap tibanya Mei, lagu ini begitu merdu untuk didengari…

Guru Malaysia


Lagu & Lirik : Hashim Ahmad


Kami guru Malaysia

Berikrar dan berjanji

Mendidik dan memimpin

Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka

Kami tumpahkan setia

Rukun Negara kita

Panduan hidup kami semua


Di bidang pembangunan

Kami tetap bersama

Membantu, membina

Negara yang tercinta

Amanah yang diberi

Kami tak persiakan

Apa yang kami janji

Tunai tetap kami tunaikan

Buatmu Guru….perjuangan masih lagi panjang. Sama ada kita ini guru, ataupun insan yang berjaya dek jasa seorang guru, sama-samalah berazam untuk majukan negara. Doa-doakanlah kemakmuran Negara tercinta ini juga.

Jumaat, 9 Mei 2008

Semangat MEI pun mampirkan diri...


I MEI setiap tahun. Hari yang agak bermakna buat semua pekerja di Malaysia biarpun ramai juga yang tidak menyedarinya. Bagi pekerja pejabat, guru, pekerja industri, government, swasta….sebilangan daripada mereka mengetahui tentang tarikh keramat ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu pada tarikh tersebut, mereka diberi cuti rehat.

Namun ada juga yang tidak mengetahui tentang kewujudan hari seumpama ini. Pak Ngah di bendang, Pak Mat di ladang, ataupun Mak Joyah di kebun getah. Pada mereka, berapa banyak Hari Pekerjapun yang dianugerahkan, kerja-kerja mereka tetap perlu diteruskan juga. Mereka tak punya KWSP yang akan menjamin hari tua. Tak punya banyak keistimewaan untuk membuat pinjaman juga.

Ada masanya, kita terlalu rasa gah dengan pencapaian sendiri. Punya segulung ijazah. Ada pekerjaan di pejabat yang sentiasa sahaja sejuk terlebih suhu pendingin hawa. Ada kereta. Ada rumah (kalaupun sebenarnya masih lagi kepunyaan bank). Punya banyak kelebihan dan kemudahan untuk menambahkan lagi hutang padahal, hutang semasa belajar dahulu masih belum lagi langsai sepenuhnya. Lalunya, kita terlupa untuk berfikir sejenak tentang golongan yang tak punya segala apa yang kita ada.

Kita ada segulung ijazah dan pekerjaan yang menjamin hidup. Mereka hanya ada tulang empat kerat. Tulang itulah yang dibanting saban hari sepanjang usia tanpa jaminan KWSP pada hari tua. Kita ada sumber pendapatan tetap yang sentiasa dapat bonus pada hujung tahun sedangkan golongan ini perlu berkerja sepanjang masa. Tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kita punya kereta besar yang menjalar walaupun belum langsai hutangnya dengan bank. Mereka ada kereta buruk tetapi dibayar tunai kerana bank tidak sanggup untuk menawarkan pinjaman disebabkan mereka tak punya slip gaji.

Kita tinggal di rumah batu yang kukuh, penuh dengan segala kemudahan elektrik. Dan rumah itu kita sewa pula dengan harga yang mahal kerana nilai hartanah di kediaman elit yang kita duduki tak terjangkau dek gaji kita untuk membelinya, sedangkan mereka punya rumah yang sederhana. Adakalanya amat dhaif. Namun rumah itu kepunyaan mereka sendiri. Kita berbelanja di pasaraya besar yang gah diiklankan di kaca tv, sedangkan mereka dengan rendah diri menyelinap ke belakang dapur memetik pucuk ubi dibuat ulam.

Campur tolak kali bahagi, ternyatanya mereka lebih beruntung daripada kita yang punya simpanan KWSP yang dikatakan mampu menjamin hari tua nanti. Dan KWSP itu pula…sering benar kita keluarkan untuk bermacam hal yang remeh temeh pula. Mereka itu tak punya hutang dengan mana-mana institusi kewangan. Tak perlu membayar bil elektrik yang tinggi dengan penggunaan computer, peralatan elektrik yang canggih dan besar, bil air kerana penggunaan k olam renang dan membasuh rumah besar kita, kereta besar kita…ada masanya untuk mandi semua ahli keluarga kita yang semakin hari semakin bertambah besar saiznya akibat lebihan lemak, membayar bil astro, bil internet, malah bermacam-macam jenis bil lagi. Tidak termasuk lagi membayar harga perkhidmatan apabila menggunakan tandas awam yang tidaklah sebersih mana. Tol. Parking kereta. Sebenarnya, semua benda berbayar.

Difikirkan semuala tentang 1 MEI ini…aku tiba-tiba terasa…alangkah enaknya andai semua perbelanjaan ini boleh digunakan dengan sebaiknya kiranya hidup di kampong halaman sendiri. Persoalannya, kalaulah di sana ada peluang pekerjaan seumpama ini, masihkah aku sanggup tersiksa berdagang di tanah orang ini?

Biar apapun, sekali dalam setahun…kala memperingati datangnya 1 MEI, diri masih lagi merasakan betapa tidak cukupnya usaha selama ini. Masih belum cukup lagi kerja kuat. Demi Islamku, demi negaraku, demi anak bangsaku. Demi kepuasan hati sendiri. Tuhanku, berikan daku lebih kekuatan untuk teruskan perjuangan yang masih juga belum selesai ini.

Jom, sama-sama kita kerja kuat!