Selasa, 20 Disember 2011

SYARAT-SYARAT PERKHIDMATAN dalam SBPA




Kemasukan Secara Lantikan Terus Ke Gred Kenaikan Pangkat
56. Kemasukan secara lantikan terus ke semua gred kenaikan pangkat (lateral entry) bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah tertakluk kepada pegawai memenuhi syarat-syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.
57. Ketua Perkhidmatan hendaklah membentuk kriteria pemilihan kemasukan secara terus ke gred kenaikan pangkat bagi tujuan pengambilan oleh Pihak Berkuasa Melantik.
58. Penetapan gaji permulaan kemasukan secara lantikan terus bagi pegawai yang dilantik kali pertama dan pegawai sedang berkhidmat yang belum disahkan dalam perkhidmatan adalah berdasarkan gaji minimum gred jawatan lantikan terus. Bagi pegawai yang sedang berkhidmat yang telah disahkan dalam perkhidmatan, penetapan gaji adalah pada matagaji tertinggi berhampiran yang perbezaannya tidak kurang daripada satu (1) pergerakan gaji biasa bagi gred gaji JGS atau tidak kurang daripada 5% bagi gred gaji minimum-maksimum, terhad kepada gaji maksimum gred jawatan lantikan terus.
59. Bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan, pegawai perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan dan menghadiri Program Transformasi Minda (PTM) dengan jayanya.

Tempoh Percubaan
60. Mulai tarikh kuat kuasa SBPA, calon yang dilantik secara tetap dikehendaki berkhidmat dalam percubaan antara enam (6) bulan hingga 24 bulan. Pegawai boleh disahkan dalam perkhidmatan setelah melalui tempoh percubaan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan memenuhi syarat pengesahan lain yang ditetapkan.
61. Pegawai yang masih tidak dapat disahkan dalam perkhidmatan setelah tamat tempoh percubaan maksimum 24 bulan, boleh dilanjutkan tempoh percubaan tidak melebihi tempoh 12 bulan.
62. Bagi calon yang dilantik tetap tetapi belum disahkan dalam perkhidmatan mulai tarikh kuat kuasa SBPA dan bersetuju menerima SBPA, tempoh percubaan dan pengesahan dalam perkhidmatan adalah seperti berikut:
62.1 pegawai boleh disahkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa SBPA tertakluk telah berkhidmat dalam tempoh percubaan enam (6) bulan atau lebih, dan memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan di bawah SSM.
62.2 pegawai yang telah berkhidmat dalam tempoh percubaan selama 24 bulan atau lebih tetapi belum memenuhi syarat pengesahan dalam perkhidmatan, dibenar menghabiskan baki tempoh percubaan asal di bawah SSM atau baki tempoh yang dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik dan pegawai boleh disahkan sekiranya telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan.

Program Transformasi Minda
63. PTM diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam Perkhidmatan Awam. Program ini dibentuk bagi membolehkan pegawai memahami falsafah dan prinsip pembentukan negara, sistem pentadbiran Kerajaan dan peraturan-peraturan asas Perkhidmatan Awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan. PTM menjadi salah satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.

Peperiksaan Perkhidmatan
64. Peperiksaan perkhidmatan ditambah baik dari segi pelaksanaannya di mana sukatan peperiksaan bagi Subjek Umum diklasifikasikan kepada tiga (3) tahap keperluan penguasaan iaitu asas, pertengahan dan lanjutan. JPA bertanggungjawab untuk menyediakan sukatan dan soalan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum. Ketua Perkhidmatan pula bertanggungjawab menentukan tahap keperluan penguasaan Subjek Umum serta melaksanakan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum dan Subjek Jabatan.

Penilaian Prestasi
65. Sistem penilaian prestasi baru yang lebih menyeluruh diperkenalkan meliputi penggunaan kaedah pelbagai penilai (multi-rater), Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) dan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan yang ditambah baik. Sistem penilaian prestasi baru ini lebih inklusif, adil dan telus selaras dengan keperluan perkhidmatan dan mengandungi elemen baru kompetensi seperti idea inovatif dan kreatif serta sumbangan aktif pegawai di luar tugas rasmi.

Pingat Perkhidmatan Cemerlang
66. Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang diperkenalkan bagi mengiktiraf sumbangan pegawai yang melangkaui kebiasaan kepada perkhidmatan, masyarakat dan negara.


DASAR PEMISAH (EXIT POLICY)
67. Bagi memastikan kecemerlangan penyampaian Perkhidmatan Awam, Kerajaan memperkukuhkan dasar pemisah dengan mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah. Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.


PERSARAAN DAN FAEDAH PERSARAAN
Umur Persaraan Paksa 60 Tahun
68. Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, umur persaraan paksa adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini tertakluk kepada umur persaraan paksa 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan paksa 60 tahun. Borang opsyen pelanjutan umur persaraan paksa 60 tahun seperti di Lampiran F.

Kebolehalihan
69. Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan lagi mobiliti pegawai dalam perkhidmatan, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan dasar pelepasan dengan izin dan menggantikannya dengan dasar pelepasan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2012. Pemansuhan dasar ini membolehkan tempoh perkhidmatan pegawai diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah persaraan dengan syarat pegawai dilantik semula dalam Perkhidmatan Awam.
70. Dari segi pelaksanaan, pegawai perlu memaklumkan kepada Ketua Jabatan secara bertulis mengenai hasratnya untuk meninggalkan jawatan yang disandang bagi tujuan menerima pelantikan baru dalam Perkhidmatan Awam. Pelepasan jawatan tersebut akan berkuat kuasa mulai tarikh pegawai dilantik ke jawatan baru itu. Manakala, pegawai yang akan dilantik ke Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan serta pegawai yang berhenti daripada Perkhidmatan Awam hendaklah meletak jawatan.
71. Bagi pegawai yang melepaskan jawatan atau meletakkan jawatan dan kemudiannya dilantik semula pada atau selepas 1 Januari 2012, tempoh perkhidmatan lepas yang terputus boleh dimasuk kira bagi maksud penghitungan faedah persaraan.

Pembayaran Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan
72. Pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya bersara pilihan akan dibayar pencen apabila mencapai umur 55 tahun.

Pengiraan Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan
73. Pegawai yang dikehendaki oleh Kerajaan untuk dibersarakan atas alasan kepentingan negara atau demi kepentingan Perkhidmatan Awam diberi faedah persaraan yang dikira berdasarkan tempoh perkhidmatan seolah-olah pegawai itu berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan paksa yang terpakai baginya.




Tiada ulasan: