Ahad, 25 Disember 2011

Peperiksaan Perkhidmatan Awam

Sangat berguna kepada anda yang perlu jalani peperiksaan untuk memenuhi syarat perkhidmatan. Semoga maklumat ini membantu…

Mengikut PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 5 TAHUN 2011:

TUJUAN
1. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah untuk menjelaskan mengenai pelaksanaan peperiksaan perkhidmatan awam selaras dengan keputusan Kerajaan memperkenalkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

LATAR BELAKANG
2. Selaras dengan pelaksanaan SBPA, Kerajaan telah memutuskan antara lain, pemendekan tempoh percubaan dari satu (1) hingga tiga (3) tahun kepada enam  (6)  bulan hingga dua  (2)  tahun dan perubahan terma Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) kepada Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Berikutan keputusan tersebut, pelaksanaan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum dan Subjek Jabatan serta Peperiksaan Khas PSL memerlukan perubahan dari segi syarat menduduki peperiksaan, sukatan dan pelaksanaannya. 
3. Perubahan yang dilaksanakan di bawah Surat Pekeliling ini melibatkan dua (2) peperiksaan perkhidmatan berikut:
a) Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum dan Subjek Jabatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan; dan
b) Peperiksaan Khas PSL bagi menggantikan kelayakan masuk akademik untuk peningkatan secara lantikan ke skim perkhidmatan yang lebih tinggi.

Peperiksaan perkhidmatan bagi tujuan insentif kewangan seperti Bayaran Insentif Tugas Pengurusan Stor, Bayaran Insentif Tugas Kewangan, Hadiah Kenaikan Gaji  dan Elaun DwiBahasa masih dilaksanakan mengikut dasar yang berkuat kuasa.

GLOSARI ISTILAH
4. Istilah yang digunakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah seperti di Lampiran A.

SYARAT DAN KELAYAKAN
5. Pegawai yang disyaratkan menduduki Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum dan Subjek Jabatan adalah pegawai dalam tempoh percubaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan. Walau bagaimanapun, pegawai yang  dilantik secara lateral (pelantikan ke gred kenaikan pangkat) adalah dikecualikan daripada menduduki peperiksaan perkhidmatan ini.
6. Pegawai yang skim perkhidmatannya memperuntukkan PSL layak menduduki Peperiksaan Khas PSL sekiranya memenuhi syarat berikut:
a) telah disahkan dalam perkhidmatan;
b) telah berada di skim perkhidmatan semasa sekurang-kurangnya tiga (3) tahun; dan
c) diperakukan oleh Ketua Jabatan. 3

7. Pegawai yang gagal mencapai tahap yang ditetapkan atau tidak menghadiri Peperiksaan Khas PSL yang berkenaan tanpa alasan yang munasabah hendaklah dikenakan tindakan penangguhan sebanyak tiga (3) siri Peperiksaan Khas PSL oleh panel peperiksaan. Pegawai hanya layak menduduki semula peperiksaan tersebut setelah diperakukan oleh Ketua Jabatan.

PELAKSANAAN PEPERIKSAAN PERKHIDMATAN SUBJEK UMUM
8. Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum dilaksanakan seperti berikut:
a) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanggungjawab menggubal  sukatan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum mengikut tiga (3) Tahap Keperluan Penguasaan (TKP) iaitu Tahap Asas, Pertengahan dan Lanjutan;
b) JPA bertanggungjawab menyediakan soalan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum mengikut TKP yang telah ditetapkan;
c) Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab menentukan TKP Subjek Umum bagi skim perkhidmatan di bawah tanggungjawabnya;
d) Panel Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi hendaklah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan soalan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum kepada JPA sekurang-kurangnya enam (6) minggu sebelum tarikh peperiksaan;
e) Kementerian/Negeri/Agensi bertanggungjawab melaksanakan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum bagi skim perkhidmatan yang berkenaan; dan
f) Panel Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi bertanggungjawab mengurus dan mengeluarkan keputusan peperiksaan yang telah dilaksanakan. Carta aliran pelaksanaan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum seperti di Lampiran.

9. Tahap  penguasaan pegawai  mengenai  perkara asas kompetensi adalah berbeza mengikut keperluan skim perkhidmatan masing-masing.  Sehubungan itu,  TKP Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum ditetapkan mengikut kandungan subjek dan bentuk soalan. Perincian penetapan TKP mengikut kandungan subjek dan bentuk soalan seperti di Jadual 1.
10. Ketua Perkhidmatan hendaklah menggunakan syarat kelayakan masuk dan kategori perkhidmatan sebagai asas dalam menentukan TKP yang bersesuaian bagi skim perkhidmatan di bawah tanggungjawabnya. Asas penentuan TKP Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum seperti di Jadual 2.


PELAKSANAAN PEPERIKSAAN PERKHIDMATAN SUBJEK JABATAN DAN PEPERIKSAAN KHAS PSL

11. Peperiksaan Perkhidmatan Subjek  Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL  dilaksanakan seperti berikut:
a) Lembaga Peperiksaan  Kementerian/Negeri/Agensi  bertanggungjawab meluluskan sukatan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Jabatan  dan Peperiksaan Khas PSL  mengikut skim perkhidmatan di bawah tanggungjawabnya;
b) Panel Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi bertanggungjawab menyediakan soalan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL mengikut skim perkhidmatan yang berkenaan;
c) Kementerian/Negeri/Agensi bertanggungjawab melaksanakan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL bagi skim perkhidmatan yang berkenaan; dan
d) Panel Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi bertanggungjawab mengurus dan mengeluarkan keputusan peperiksaan yang telah dilaksanakan.

Carta aliran pelaksanaan Peperiksaan Perkhidmatan  Subjek Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL seperti di Lampiran C.


STRUKTUR PENGURUSAN PEPERIKSAAN PERKHIDMATAN AWAM

Lembaga Peperiksaan Perkhidmatan Awam

12. Lembaga Peperiksaan Perkhidmatan Awam (LPPA)  hendaklah ditubuhkan  dengan keanggotaan seperti berikut:
a)  Pengerusi :  Timbalan Ketua Pengarah  Perkhidmatan Awam (yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sumber manusia).
b)  Ahli  :  Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA atau wakil; Pengarah Bahagian Perkhidmatan, JPA atau wakil; dan Wakil-wakil lain yang berkaitan dan bersesuaian.
c)  Urus Setia :  Bahagian Perkhidmatan, JPA.

Kuorum Lembaga hendaklah sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk Pengerusi.
13. Bidang kuasa LPPA meliputi perkara-perkara berikut:
a) menentukan dasar peperiksaan perkhidmatan awam;
b) meluluskan sukatan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Umum bagi semua pegawai dalam perkhidmatan awam;
c) meluluskan sukatan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL bagi Perkhidmatan Gunasama di bawah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
d) melantik Panel Peperiksaan;
e) memantau dan mengawal piawaian pelaksanaan peperiksaan; dan
f) mempertimbangkan isu-isu lain berkaitan dengan pelaksanaan peperiksaan.
Lembaga Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi

14. Lembaga Peperiksaan di peringkat Kementerian/Negeri/Agensi hendaklah ditubuhkan
dengan keanggotaan seperti berikut:
a)  Pengerusi :  Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian / Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri / Timbalan Ketua Agensi (yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber manusia).
b)  Ahli  :  Ketua-Ketua  Jabatan / Bahagian di bawah Kementerian / Negeri / Agensi; Pengarah / Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia; dan Wakil-wakil lain yang berkaitan dan bersesuaian.
c) Urus Setia :  Bahagian/Unit yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber manusia. Kuorum Lembaga hendaklah sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk Pengerusi.

15. Bidang kuasa Lembaga Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi meliputi perkara-perkara berikut:
a) meluluskan penentuan TKP Subjek Umum bagi skim perkhidmatan di bawah tanggungjawab Kementerian/Negeri/Agensi;
b) meluluskan sukatan Peperiksaan Perkhidmatan Subjek Jabatan dan Peperiksaan Khas PSL bagi skim perkhidmatan di bawah tanggungjawab Kementerian/Negeri/Agensi;
c) melantik Panel Peperiksaan;
d) memantau dan mengawal piawaian pelaksanaan peperiksaan; dan
e) mempertimbangkan isu-isu lain berhubung sesuatu peperiksaan.


Panel Peperiksaan
16. Panel Peperiksaan ditubuhkan bagi membantu Lembaga Peperiksaan dalam melaksanakan peperiksaan perkhidmatan dengan keanggotaan seperti berikut:
a)  Pengerusi :  Wakil Ketua Perkhidmatan di bawah Perkhidmatan Gunasama atau Pengarah/Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
b)  Ahli  :  Wakil daripada jabatan yang melaksanakan peperiksaan perkhidmatan; dan Wakil-wakil lain yang berkaitan dan bersesuaian.
c)  Urus Setia :  Bahagian/Unit yang bertanggungjawab terhadap pengurusan peperiksaan perkhidmatan. Kuorum  Panel Peperiksaan  hendaklah sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk Pengerusi.

17. Bidang kuasa  Panel Peperiksaan meliputi perkara berkaitan peperiksaan seperti berikut:
a) menentukan piawaian soalan;
b) melantik penggubal sukatan;
c) melantik penggubal soalan;
d) menetapkan soalan dan mengesahkan skema jawapan;
e) melantik pemeriksa skrip jawapan;
f) menetapkan markah lulus;
g) mengesahkan dan mengeluarkan keputusan; dan
h) menyediakan laporan dan analisis pelaksanaan.

PENUMPANGAN
18. Lembaga Peperiksaan Kementerian/Negeri/Agensi boleh membenarkan pegawai dalam skim perkhidmatan di bawah tanggungjawabnya untuk menduduki sesuatu peperiksaan yang dilaksanakan oleh Kementerian/Negeri/Agensi lain, tertakluk kepada sukatan peperiksaan yang setaraf dengan keperluan skim perkhidmatan dan sesuai dengan bidang tugas pegawai berkenaan.

KAWALAN PIAWAIAN
19. Semua  Kementerian/Negeri/Agensi  hendaklah mematuhi pelaksanaan peperiksaan perkhidmatan awam yang ditetapkan. Sebarang pengubahsuaian terhadap penentuan TKP, sukatan dan kaedah pelaksanaan peperiksaan perkhidmatan selain daripada yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling ini hendaklah mendapat kelulusan daripada JPA.
20. JPA akan mengadakan naziran dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan perkhidmatan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

TARIKH KUAT KUASA
21. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.

PEMAKAIAN
22. Tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PEMBATALAN
23. Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 T ahun 1998 da n Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 T ahun 1985 adalah dibatalkan.

PERTANYAAN
24. Sebarang pertanyaan mengenai Surat Pekeliling Perkhidmatan ini boleh dirujuk kepada:

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Perkhidmatan 
Cawangan Pengurusan Kompetensi
Aras 5, Sapura @ Mines 
No. 7, Jalan Tasik, The Mines Resort City
43300 Seri Kembangan 
SELANGOR DARUL EHSAN
No. Telefon : 03-8946 4500/ 4547/ 4548/ 4574 
No. Faks     : 03-8946 4541/8946 4546 
E-mel     : peperiksaan@jpa.gov.my 

2 ulasan:

eelobor berkata...

daku lulus 1 paper, kandas satu paper. andai ambik option sbpa, konpem kena ambik semua exam yg baru.... huhuhuhu

anyss berkata...

Eelobor: tak sign pun kena ambik juga hu hu hu