Jumaat, 16 Disember 2011

PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PERSEKUTUAN


Semalam, aku dah dapat semua maklumat tentang SBPA yang dok kalut cari sejak beberapa minggu lepas. Jadi, aku kongsikan di sini…sepanjang minggu ini semua entri hanyalah berkaitan dengan pelaksanaan saraan baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang telah aku potong-potong jadi  beberapa entri (mungkin hingga 10 entri). Moga ada yang mendapat manfaat;


STRUKTUR PERKHIDMATAN
Kumpulan Perkhidmatan: Struktur perkhidmatan di bawah SBPA adalah terbahagi kepada empat (4) kumpulan perkhidmatan iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan Kumpulan Pelaksana.
6. Kumpulan Premier merupakan lapisan teratas dalam struktur Perkhidmatan Awam yang menyandang atau memegang strategic and key positions.
7. Kumpulan Pengurusan Tertinggi terdiri daripada Jawatan Utama dan Jawatan Gred Khas. Jawatan Utama dimaksudkan sebagai jawatan di peringkat pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang berperanan strategik menerajui jentera pengurusan organisasi sesebuah Kementerian/ Jabatan/ agensi. Manakala Jawatan Gred Khas pula ditetap berdasarkan pengiktirafan tahap kepakaran dan pengalaman pegawai yang tidak melaksana peranan ataupun tugas yang bersifat pengurusan dan strategik.
8. Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dikekal dengan lapisan gred jawatan/ gred gaji sebagaimana sedia ada.

Kumpulan Pelaksana diperkenal bagi menggantikan Kumpulan Sokongan. Lapisan gred bagi Kumpulan Pelaksana adalah mengikut kelayakan masuk minimum seperti ditetapkan dalam skim perkhidmatan. Kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditetapkan pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR).

PENGGELARAN GRED JAWATAN/ GRED GAJI

12. Penggelaran gred jawatan/ gred gaji dikemas kini selaras dengan pembentukan Jadual Gaji Sebaris (JGS) yang menggantikan Jadual Gaji Matriks (JGM) dan pemansuhan gred jawatan/ gred gaji 1 hingga 10.
13. Penggelaran gred jawatan/ gred gaji adalah berasaskan kepada syarat kelayakan masuk minimum yang ditetapkan atau yang setara dalam skim perkhidmatan.
14. Pembentukan gred jawatan/ gred gaji baru ini adalah berdasarkan kombinasi antara kod kelayakan masuk minimum dengan kod gaji. Kod pertama bagi gred jawatan merujuk kepada kelayakan masuk minimum, manakala kod kedua merujuk kepada gred gaji.

SEMAKAN SEMULA SKIM PERKHIDMATAN
15. Semakan semula skim perkhidmatan adalah berdasarkan perubahan semasa yang memerlukan Perkhidmatan Awam yang relevan untuk menarik dan mengekalkan modal insan terbaik dan menguasai kemahiran pelbagai (multi-skilling) selaras peningkatan ekspektasi pelanggan. Urusan penyemakan semula skim perkhidmatan merangkumi penggubalan skim perkhidmatan baru, penambahbaikan skim perkhidmatan sedia ada dan penjumudan skim perkhidmatan.
16. Sebanyak 21 Klasifikasi Perkhidmatan sedia ada dikekalkan berasaskan persamaan peranan, bidang dan fungsi seperti di Lampiran B1.
17. Berikutan daripada semakan semula skim perkhidmatan, sebanyak 11 skim perkhidmatan baru digubal dan 78 skim perkhidmatan dijumudkan. Dengan ini, jumlah keseluruhan skim perkhidmatan di bawah SBPA adalah sebanyak 234. Senarai skim perkhidmatan adalah seperti di Lampiran B2. Indeks pemindahan skim perkhidmatan SSM kepada SBPA adalah seperti di Lampiran B3 dan jadual pemindahan gred SSM kepada SBPA adalah seperti di Lampiran B4.

Format Iklan Jawatan
18. Pelantikan mulai 1 Januari 2012 hendaklah mengikut skim perkhidmatan di bawah SBPA. Format iklan jawatan hendaklah diasaskan kepada skim perkhidmatan berkenaan mengikut contoh seperti di Lampiran B5. Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Melalui Penggabungan/ Naik Taraf/ Penarafan Semula/ Pemansuhan Fungsi Di Bawah SBPA
19. Dengan pelaksanaan SBPA, 78 skim perkhidmatan di bawah SSM dijumudkan melalui penggabungan/ naik taraf/ penarafan semula/ pemansuhan fungsi pada 1 Januari 2012. Senarai skim perkhidmatan seperti di Lampiran B6.
20. Bagi pegawai yang pernah ditawarkan opsyen tukar lantik dan bersetuju menerima skim perkhidmatan yang berkenaan di bawah SSM, tetapi pegawai masih belum memenuhi syarat skim perkhidmatan yang ditetapkan, sekiranya pegawai menerima opsyen SBPA, gaji pegawai dipindahkan ke gred setara di SBPA secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga pegawai memenuhi syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan berkenaan. Setelah memenuhi syarat skim perkhidmatan tersebut, gaji pegawai dipindahkan ke matagaji sama dan sekiranya tiada matagaji sama, penetapan adalah pada matagaji tertinggi berhampiran di gred lantikan skim perkhidmatan tersebut.


Kedudukan Skim Perkhidmatan Jumud Sebelum SBPA
21. Semua jawatan jumud sebelum SBPA akan dimansuhkan mengambil kira fungsi skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi diperlukan. Penyandang jawatan jumud ini akan ditawarkan opsyen bertukar ke skim perkhidmatan berkuat kuasa di bawah SBPA. Senarai pemindahan jawatan jumud ke skim perkhidmatan berkuat kuasa di bawah SBPA adalah seperti di Lampiran B7. Sekiranya terdapat penyandang di skim perkhidmatan jumud selain senarai tersebut, agensi perlu memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (Bahagian Pembangunan Organisasi) untuk tindakan susulan.

22. Bagi pegawai dalam kategori ini yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA, pegawai di bawah Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibersarakan di bawah seksyen 6A(6) Akta Pencen 1980 (Akta 227) yang dibaca bersama seksyen 10(5)(b) Akta 227. Manakala pegawai di bawah Skim Pencen akan dibersarakan di bawah seksyen 10(5)(b) Akta 227.


PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Latihan Sektor Awam
23. Pembangunan latihan berteraskan transformasi minda dan pengukuhan kompetensi bagi membangunkan keupayaan intelektual, kemahiran dan sahsiah akan dilaksanakan melalui strategi berikut:
23.1 Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi diberi peluang lebih luas untuk mengikuti kursus pendek di institusi latihan terkemuka dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi daya kepimpinan. Ketua Jabatan hendaklah mengenal pasti bidang yang perlu diberi keutamaan untuk kepentingan perkhidmatan seperti pengurusan dan kepimpinan, kemahiran perundingan, komunikasi berkesan, linguistik dan hubungan antarabangsa.
23.2 Kumpulan Pelaksana disediakan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) bagi mengikuti latihan kemahiran teknikal dan vokasional di bawah SkillsMalaysia.

Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi
24. Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) diperkenalkan sebagai sistem baru penilaian kompetensi dan potensi pegawai yang lebih menyeluruh bagi menyandang jawatan di gred yang lebih tinggi. PROSPEK terdiri daripada Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP). PKP bertujuan untuk mengenal pasti kompetensi dan potensi pegawai, manakala BKP bertujuan membangun dan menilai kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang gred jawatan lebih tinggi.
25. Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang terlibat dengan pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan perlu mengikuti PKP dan BKP sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat. Bagi pegawai yang tidak terlibat dengan tugas-tugas pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan, pegawai akan dinilai melalui PKP sahaja.
26. Pegawai Kumpulan Pelaksana disyaratkan melalui PKP untuk dinaikkan pangkat. Pegawai Kumpulan Pelaksana di gred lantikan yang berkhidmat 15 tahun dan lebih boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat secara KUP tanpa PKP. Walau bagaimanapun, bagi kenaikan pangkat seterusnya pegawai dikehendaki melalui PKP.


6 ulasan:

caluk@cencaluk berkata...

lagi pendek x de ke panjang nak baca he he

eelobor berkata...

nok sign kor dok eh?

Unknown berkata...

semuga ianya memberi kebaikan kepada semua kakitangan kan

anyss berkata...

caluk: hu hu hu copy n paste je...tak mau nanti salah faham pulak

anyss berkata...

Eelobor: sign je. Ikut pengalaman orang lama yang pernah tak sign perubahan sistem begini, banyak benda dia rugi dan diabaikan. Sebab orang tak akan semak apa dah jadi dengan orang yang guna sistem lama.

Walaupun ni adalah "pilihan masing-masing", sebenarnya tak ada pilihan apapun ----> pendapat den la

anyss berkata...

kak Ina: insyaAllah, kita harapkan begitulah.